Monday, November 28, 2011

:: Perjalanan perlu diteruskan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Orang dahulu memang kaya dengan kata bidalan dan perumpamaan.Lalu mereka membuat kisah si buta dengan si gajah.

Arakian......Lalu bila 3 orang buta berjumpa gajah,yang seorang memegang perut gajah dikatakannya gajah itu seperti dinding yang rata.Bila seorang memegang telinga gajah,dikatakan gajah itu umpama kipas.Dan bila yang sorang lagi memegang ekor gajah,dikatakannya gajah itu umpama tali.Mereka masing-masing membuat kesimpulan tentang rupa bentuk gajah berdasarkan apa yang mereka rasa sahaja.Sedangkan mereka hanya memegang sebahagian dari tubuh badan gajah sahaja.

...itu kisah/perumpamaan orang dahulu.

Kisah orang sekarang.

Sebahagian orang sekarang melihat Islam berdasarkan apa yang mereka 'rasa'.Sebahagian dari kita melihat Islam hanyalah menunaikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan sahaja.Sebahagian dari kita pula,melihat Islam hanya solat fardhu Jumaat dan solat 2 hari raya sahaja.Manakala ada sebahagian dari kita pula melihat Islam hanya dengan pergi menunaikan ibadat haji ke Mekah sahaja.

Teruk sangatkah ummat Islam sekarang?

Adakah sudah tidak ada lagi orang yang betul-betul baik di atas muka bumi ini?

'Kisah orang sekarang' bukan bermaksud begitu.Syiar Islam di atas muka bumi ini masih lagi bersinar.Orang masih lagi ke masjid-masjid untuk menunaikan solat fardhu.Majlis-majlis ilmu masih boleh dijumpai di sana-sini.Kumpulan-kumpulan tareqat masih lagi aktif membuat aktiviti mereka.Malah semua ini menunjukkan orang-orang yang berakhlak baik dan beramal ibadat masih lagi ramai.

Musuh Islam.

Tidak cukup jika hanya kita menjadi seorang Islam yang baik dengan hanya melakukan amal ibadah untuk diri sendiri sahaja.Ini kerana Islam itu syumul-lengkap dan sempurna.Kita tidak mahu orang yang baik-baik ini diserang oleh musuh-musuh Islam di luar sana.Gerakan fahaman liberal contohnya,ia berjaya mempengaruhi ramai dari golongan ummat Islam.Akhirnya,golongan yang dipengaruhi ini beranggapan agama itu semuanya sama-iaitu mengajar penganutnya agar berbuat baik.Jika ada penganut agama lain yang lebih baik dari penganut agama Islam,maka boleh dianggap penganut agama lain itu lebih baik darjatnya.Sedangkan Islam itu tinggi dan lebih tinggi dari yang lain.

Lebih dahsyat dari itu,bila ada dari kita yang mengamalkan Islam yang sebenarnya,dengan mengambil kira keseluruhan intipatinya,orang itu dianggap sebagai 'ekstrim'.Berapa ramai dari kita termakan doktrin ini?

Senjata musuh.

Musuh Islam merancang strategi untuk melalaikan ummat Islam dengan pelbagai cara.Ini termasuklah dengan serangan tentera dan serangan budaya.

Mungkin sesuatu yang pelik dan luarbiasa bila kita melihat satu ceramah agama di masjid kariah kita,lalu tiba-tiba keluar seorang gadis di hadapan pentas untuk mengiklankan sesuatu barangan.Ia belum pernah berlaku.Tetapi ia tidak pelik apabila kita melihat ceramah agama melalui siaran televisyen,bila tiba ruangan iklan,kaca tv tiba-tiba memaparkan 2,3 iklan yang wanitanya tidak menutup aurat.Ia sudah benar-benar tidak memelikkan.Dan ini sudah tentulah serangan halus dari musuh Islam.

Masyarakat terleka.

Selepas Nabi Ibrahim tiada,amalan solat dan berpuasa sudah tidak lagi diamalkan oleh orang ketika itu.Yang berkekalan terus hanyalah ibadah haji.Ini kerana ramai pedagang yang memperdagangkan barangan mereka datang ke Mekah dan menjadikan Mekah sebagai pusat perniagaan.

Jika mengambil kira kisah sejarah ini,manusia memang tertarik dan tidak boleh lari dengan apa sahaja bentuk yang mengarah kepada wang dan kekayaan.Apa sahaja yang boleh mendatangkan nilai komersial akan diambil berat dan diberi sepenuh perhatian.Manakala yang tidak mendatangkan apa jua bentuk keuntungan boleh diletak tepi.

Risau.

Kita tidak mahu lahir generasi yang bila tiba waktu solat mereka solat tetapi selepas mereka selesai menunaikan solat mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu termasuk perlakuan maksiat.Malah kita juga tidak mahu lahir satu generasi yang melihat perlakuan maksiat dan mereka tidak langsung mengambil peduli kerana bagi mereka itu tidak mendatangkan 1 apapun keuntungan.

Tunjukkan jalan.

Bagi mengelakkan generasi dan zuriat yang bakal lahir nanti semakin songsang pemikiran mereka terhadap Islam,kita mestilah menunjukkan jalan kepada mereka jalan Islam yang sebenar.

Dari mana  pula kita hendak mengambil sumber sebagai penunjuk jalan berkenaan?

Dari beribu-ribu ayat Al Quran,hanya sekitar 800 ayat sahaja yang berkaitan tentang hukum-hakam.Yang selebihnya pula banyak ayat yang menceritakan tentang kisah dan iktibar (kisah Nabi Musa,Kisah Nabi Yusuf,Kisah Mariam,Kisah Bani Israel dll).

Bagaimana kita hendak menjadikan kisah di atas sebagai penunjuk jalan?

Nabi Muhammad SAW telah lama wafat dan tiada lagi nabi selepas itu.Nabi Muhammad SAW sehingga ke umur wafatnya memperuntukkan hidup baginda untuk berdakwah.Begitu juga Nabi-Nabi yang lain.Kita pula sebagai manusia,diutuskan ke muka bumi ini untuk menjadi khalifah dan tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk mentadbir bumi.Jika kita tidak membuat kerja Nabi,iaitu berdakwah maka kita tidak dapat menerapkan kisah-kisah hidup yang tercatat di dalam Al Quran di dalam hidup kita.

Masakan seorang ayah yang bekerja di tengah lautan berminggu-minggu lamanya dapat menerapkan kisah hidup Nabi Ibrahim ke dalam hidupnya dan keluarganya jika ia tidak membuat kerja dakwah.Malah bagi si ayah itu,gajinya yang beribu-ribu USD itulah yang dapat menjamin keselesaan hidup anak dan isteri yang ditinggalkan itu.Sedangkan Nabi Ibrahim yang meninggalkan isteri dan anaknya yang masih kecil di lembah yang penuh gersang hanya berserah penuh dirinya dan mengharap rezeki dari Allah.

Adakah kita mahukan diri kita menjadi seperti kisah si buta di atas tadi?

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433.

Wak,
TDI.

No comments: