Tuesday, August 14, 2012

:: 16 - Lagenda Kek Lapis Serawak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam semasa berbuka puasa di MBBS,sempat saya berbual dengan jiran saya.Isterinya mengusahakan Kek Lapis Serawak semasa bulan Ramadhan ini,jadi saya bertanyakan sambutannya.

Kini sudah tidak perlu ke Serawak
untuk menikmati kek lapisnya.

Sebenarnya,bukan tahun ini sahaja isterinya mengusahakan Kek Lapis berkenaan,tahun-tahun sebelumnya pun begitu.Saya pernah merasa 'sample' kek tersebut ketika moreh di Surau TDI beberapa tahun lepas.Alhamdulillah,rasanya sedap :)

Cerita jiran saya itu,tahun ini permintaan pelanggan amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun yang lepas.Walaupun agak hambar pada permulaan Ramadhan ianya meningkat mendadak pesanannya bila tiba di pertengahan Ramadhan.Ada pelanggannya sejauh di KL.Mungkin juga pada peringkat awal,faktor harga membuatkan orang berkira-kira untuk membelinya.Saya juga begitu. (Untuk makluman kek lapis yang dijual oleh isteri jiran saya ini seberat 1kg lebih dan berharga RM75.00).

....Namun rezeki adalah dari Allah.
....Yang menggerakkan hati untuk membeli juga adalah Allah.

Sambil berbual,saya tanyakan kepada jiran saya mengapa tidak di komersialkan sahaja kek lapis berkenaan.Tambahan pula pelanggannya sudah sedia ada.Maknanya pelanggan masih lagi berpeluang untuk membuat order di luar bulan Ramadhan.Rupanya bukan jiran saya itu telah terlepas pandang peluang itu tetapi banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menuju ke arah itu.

Kata jiran saya,membuat kek lapis perlu melalui proses yang rumit.Untuk membuat 2 buku kek sahaja,isterinya perlu menumpukan sepenuh masa selama 5 jam.Ia sesungguhnya tugas yang memerlukan tenaga dan tahap kesabaran yang tinggi.Jika urusan membuat kek sahaja sudah memakan masa dan tenaga,bagaimana pula urusan rumahtangga yang lain seperti memasak,mengemas dll.

Kata jiran saya itu lagi,

Bulan puasa kebiasaan orang kita akan berbelanja lebih.Tidak kira tahap kemampuan,yang penting adalah tahap kepuashatian mereka.Pada hari biasa,mungkin sebuku kek lapis yang berharga RM75 akan dikira cukup mahal untuk dibeli,tetapi bila bulan Ramadhan ia sanggup dibeli untuk persediaan hari raya.

Mengapa?

Lihat sahaja bila tiba musim perayaan.Bermacam-macam barang baru di jual,tidak seperti bulan-bulan biasa.Ia seperti bulan pesta membeli belah.Maka,perabut lama diganti,langsir lusuh diganti malah kereta yang harganya puluhan ribu juga diganti.

Lalu,apa sangat lah dengan sebuku kek yang harganya baru sekitar RM75.

Ya,manusia seronok membeli-belah bila tiba bulan Ramadhan untuk persiapan Hari Raya di bulan Syawal.

Salahkah perilaku mereka?

Nak menyalahkan peniaga? Mana mungkin,mereka hanya berniaga.

Nak menyalahkan pembeli? Mana mungkin,mereka semua mampu adakalanya terlebih dari mampu.

Cuma,

Ingatlah jiran-jiran,sahabat-handai,adik-beradik,saudara-mara yang tidak berkemampuan yang ada di sekeliling kita.Mungkin mereka tidak mengharapkan wang ringgit kita tetapi tanggungjawab dan kesedaran kitalah yang membangkitkan dorongan untuk kita membantu mereka.

Moga Ramadhan 1433H kita lebih baik dari Ramadhan yang lepas-lepas.

Wak,
TDI.

Friday, August 10, 2012

:: 15 - Meraikan anak yatim ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam,majlis berbuka puasa di MBBS dimeriahkan oleh kehadiran kumpulan anak yatim yang berbuka puasa bersama kami.

Mereka sedang beratur mengambil juadah berbuka.
Umur mereka rata-rata sekitar sekolah rendah.
Bagaimanakah perasaan mereka berpuasa tanpa ibu/bapa
yang telah pergi untuk selamanya.

Ini wajah berbuka puasa anak
yang masih mempunyai ibu dan bapa di sisi.

Juga begitu...

Jiran rumah saya.
Beliau juga merenung nasib
anak-anak yatim berkenaan.

Mereka kini anak yatim.

Berpuasa selain dari dapat merasai kepayahan serta bersabar bagi menahan lapar dan dahaga (bagi merasai apa yang dirasai oleh golongan fakir dan miskin),ia juga mengajar kita sesungguhnya ada lagi golongan yang perlu kita ambil berat keadaan mereka iaitu,golongan anak yatim.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Thursday, August 9, 2012

:: 14 - Puasa bagi kanak-kanak : Bila masa yang sesuai? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Mendidik dan melatih seseorang untuk membuat sesuatu perbuatan bukan suatu perkara yang mudah.Tambahan lagi jika perkara itu sesuatu yang amat baru dan amat mencabar.

Komando.

Lihat sahaja bagaimana latihan seorang komando.Dengar ceritanya dari ramai-ramai calon yang mendaftar diri hanya segelintir sahaja yang berjaya dipakaikan beret hijau kebanggaan itu.Malah di pintu masuk kem latihan Komando terpampang slogan DATANGMU TAK DIUNDANG, JIKA RAGU SILA PULANG! Cukup dengan membaca slogannya sahaja pun sudah menguji keyakinan diri.

Memang benar,para pelatih komando perlu menjalani latihan yang sudah tentu lasak dan menguji fizikal dan mental.Memang perlulah,memandangkan komado adalah pasulan elit ATM.Jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini di dalam negara,kumpulan komandolah orang yang terawal berada di barisan hadapan.Ia melibatkan maruah.

Itu baru betul latihan yang mendidik namanya.

Latihan berpuasa.

Anak saya berumur masing-masing
8,6,4,3 dan setahun.
Bila patut mereka mula berpuasa?

Banyak timbul persoalan tentang bilakah masanya kanak-kanak perlu diajar untuk berpuasa.Tapi yang pasti bila baligh sahaja kanak-kanak tersebut,kewajiban berpuasa sudah tertanggung ke atasnya.Mungkin ia sekitar 12 tahun bagi kanak-kanak lelaki dan 11 tahun bagi kanak-kanak perempuan.Namun,jika kala itu ibubapa baru nak melatih dan memaksa anak mereka berpuasa,maka sudah tentu ia sudah terlalu lewat.(ia umpama baru hendak melatih komando sedangkan pihak musuh sudah berada di persisiran pantai tanahair kita)

Sesungguhnya faktor umur bukan faktor utama yang perlu dipertimbangkan untuk latihan berpuasa.Banyak lagi faktor,contohnya faktor ketahanan diri.Puasa bagi kanak-kanak lebih kepada menahan lapar dan dahaga,ia tidak seperti puasa orang dewasa.Oleh sebab itu faktor ini perlu juga difikirkan bagi menanganinya.

Maka,antara kelebihan untuk orang yang hendak berpuasa adalah anugerah dari Allah peluang untuk bersahur.Maka eloklah kiranya mula mendidik anak untuk berpuasa dengan mula mendidik mereka untuk bangun sahur.

Bila bangun sahur pula,didiklah untuk anak makan secukupnya.Lalu bolehlah mengajar mereka akan sunnah bersahur dengan melewatkannya.Boleh juga mengajar anak-anak dengan bersahur keberkatan akan datang.

Rasulullah SAW bersabda,”Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” - [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Apa dia keberkatan?

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika menghuraikan hadith ini di dalam bukunya Fathul Bari, keberkatan pada amalan bersahur itu membawa beberapa makna. Berikut adalah ringkasan daripada apa yang beliau nyatakan :

1- Keberkatan dengan maksud ganjaran dan pahala daripada Allah SWT.
2- Keberkatan dengan makna ia memberikan kekuatan dan mengurangkan keletihan bagi mereka yang akan berpuasa.
3- Keberkatan kerana waktu sahur adalah waktu untuk berdoa dan beribadah.
4 - Sahur merupakan satu sunnah Rasulullah SAW.
5 - Sahur merupakan amalan yang membezakan kita dengan ahli kitab yang mana mereka tidak bersahur.
6- Memberikan kekuatan untuk menunaikan ibadah.
7- Mengingatkan kita untuk berniat bagi puasa.
8- Membuka peluang untuk bersedekah untuk orang-orang yang bersahur bersama.
9- Mengelakkan akhlak buruk yang mungkin timbul kerana terlalu lapar.
10-Malaikat mendoakan orang-orang yang bersahur.

Mungkin kita boleh memilih 1 atau 2 dari maksud keberkatan di atas dan kita terangkan kepada anak-anak kita semasa kita bersahur bersama.Pupuklah anak-anak dan keluarga akan nilai-nilai yang baik yang ada di dalam setiap amalan dalam ajaran Islam.

Sesungguhnya anak-anak akan lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu jika mereka lihat kita sama-sama melakukannya juga.

Kata pepatah Inggeris bermaksud,

"Kebanyakkan anak-anak lebih memberi perhatian dengan apa yang mereka lihat ibubapa mereka lakukan berbanding dengan apa yang ibubapa mereka arahkan."

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, August 8, 2012

:: 13 - Kisah benar : 32 kali naik Haji ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

2,3 hari lepas,ketika perjalanan pulang dari Solat Maghrib di MBBS,sempat kami mendengar kuliah Ustaz Dr.Zahazan di radio IKIM.

Ustaz Dr.Zahazan mengisahkan bagaimana ada seorang hamba Allah yang telah pergi menunaikan haji sebanyak 32 kali seumur hidupnya.Mendengar akan keistimewaan yang telah dikecapi oleh hamba Allah tersebut,para sahabat memintanya untuk berkongsi perihal pengalamannya selama dapat menunaikan 32 kali ibadah haji tersebut.Lalu hamba Allah berkenaan menceritakan pengalamannya.

Kisahnya begini,

Ketika dalam perjalanan ingin menunaikan ibadah haji,saya dan isteri duduk bersebelahan.Tiba-tiba kami nampak seorang yang duduk di tempat yang sempit di dalam kenderaan yang kami naiki itu.Lalu saya dan isteri telah bersetuju untuk memberikan tempat duduk kami kepada orang berkenaan.Setelah orang itu duduk di tempat kami,lalu orang itu mendoakan kami agar dapat menunaikan haji setiap tahun.Mungkin berkat dari doa orang itulah saya dapat menunaikan haji sebanyak 32 kali.Ada kalanya saya bukan mahu pergi untuk menunaikan haji pun,tapi ada sahaja orang meminta untuk membuat badal haji dan sebagainya.

Jangan memandah remeh perkara yang kecil.

Lalu Ustaz Dr. Zahazan memberikan nasihat,"Jangan di pandang remeh sesuatu yang kecil.Mungkin dengan bantuan yang kecil itu kita mendapat berkat doa dari seorang Wali Allah."

Kita mungkin pernah mendengar akan hadith ini,

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, "Iman itu memiliki tujuh puluh cabang (riwayat lain tujuh puluh tujuh cabang) dan yang paling utama ialah Laa ilaaha illa Allah, dan yang terendah ialah membuang duri dari jalan. Dan malu juga merupakan salah satu cabang iman." (Ashhabus Sittah).

Dalam sebagian riwayat dari Imam Muslim dari sahabat Abu Hurairah pula, beliau berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Ada seseorang laki-laki yang melewati ranting berduri berada di tengah jalan. Ia mengatakan, ‘Demi Allah, aku akan menyingkirkan duri ini dari kaum muslimin sehingga mereka tidak akan terganggu dengannya.’ Maka Allah pun memasukkannya ke dalam syurga.”

Moga ada perkara-perkara kecil yang kita lihat dan kita mengambil berat tentangnya.Dan moga kita dapat mendapat Rahmat Allah lalu kita dapat masuk ke dalam syurga.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Tuesday, August 7, 2012

:: 12 - Promosi! Promosi! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Promosi.

Tempohari ketika hendak masuk ke dewan solat MBBS,terpandang saya kotak iklan di sisi tangga masjid.Kerana perasaan ingin tahu,saya mengambil 1 salinan.Berikut adalah butirannya :

Promosi (muka surat 1)

 Promosi (muka surat 2)

Promosi (muka surat 3)

Apabila saya membaca pamplet berkenaan,barulah saya tahu ia merupakan promosi pakej bersalin dari Hospital Bersalin Sukhilmi.Ingatkan pada bulan Ramadhan,barangan jualan yang akan diguna pada Hari Raya sahaja mempunyai promosi istimewa,rupanya harga pakej bersalin pun ada promosinya sendiri.

Sengaja saya masukkan promosi ini di dalam blog saya.Kalau mengikut kadar trafik pengunjung yang mengunjungi blog saya,carian Dr Nur Intan Zainal Shah adalah antara yang tertinggi.Malah kadangkala juga ada carian tentang Hospital Bersalin Sukhilmi.Harap maaf,keterangan yang terperinci mengenainya tiada di dalam blog saya.Moga entri kali ini tidak mengecewakan para pengunjung blog saya pada masa akan datang.
Trafik untuk Blog - Mencari Sesuatu Untuk Dipandu.

Promosi Lagi!!.

Jangan lupa,Ramadhan juga merupakan promosi istimewa kepada kita.Masih berbaki 10 malam terakhir.

"Ramadhan diawalnya Rahmat,dipertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka."

1.Jom kurangkan menonton TV dan gantikan dengan menghidupkan malam Ramadhan kita dengan amalan-amalan sunat (membaca Al Quran dll)

2.Jom kurangkan belanja untuk persiapan peribadi Hari Raya dan gantikan dengan memperbanyakkan sedekah pada yang memerlukan (mungkin juga jiran sebelah rumah kita).

3.Jom kurangkan makan supaya mudah untuk bangun Qiamullail.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Monday, August 6, 2012

:: 11 - Memburu fadhilat Ramadhan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Diam tak diam hari ini sudah masuk hari yang ke 17 kita berpuasa Ramadhan.17 Ramadhan pula adalah Hari Nuzul Al Quran.Semalam kami sekeluarga memilih untuk berbuka puasa di MBBS.

Antara jemaah yang memeriahkan majlis berbuka puasa di MBBS.
Kami bertahlil dahulu untuk arwah-arwah yang telah meninggal dunia.

Kelihatan jemaah semakin ramai.
Turut kelihatan jemaah dari Bangladesh.
Moga semangat mereka untuk mengimarahkan bulan Ramadhan
dapat dicontohi oleh masyakat di Malaysia.

"Ya Allah keranaMu aku berpuasa,kepadaMu aku beriman,
dengan rezekiMU kami beriftar."
Moga anak-anak ini akan menjadi tunjang yang membawa
kesuburan kepada usaha-usaha dakwah di atas mukabumi.

Ada beberapa sebab saya memilih untuk berbuka puasa di MBBS semalam dan hari berikutnya,InsyaAllah :

1. Untuk mendedahkan anak-anak agar mereka menyintai masjid dan suasana yang ada di dalamnya.
2. Untuk mendidik keluarga,masjid bukan tempat untuk solat semata-mata.Banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan. (Di zaman Rasulullah SAW,para sahabat berlatih perang juga di dalam masjid.)
3. Mengelak untuk terkejar-kejar masa ketika berbuka puasa dan akhirnya terlepas peluang solat berjemaah di masjid.
4. Menyediakan diri dan keluarga untuk 'all out' sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan.
5. Membantu isteri meringankan beban di rumah dengan berbuka beramai-ramai di masjid.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: 10 - Iftar Meraikan Sukarelawan ISMA N9 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

31 Julai yang lepas,saya mendapat sms dari Ustaz Hj Abdul Halim tentang cadangan untuk membuat majlis Iftar untuk Sukarelawan yang telah mendaftar sepanjang tahun lepas dan tahun ini.

Pada 1 Ogos sekali lagi saya mendapat sms dari Ustaz Hj Abdul Halim mengenai majlis Iftar berkenaan.Tarikh yang ditetapkan adalah 4 Ogos 2012 dan bertempat di surau Tepian Gelanggang,Pusat Belia dan Sukan,Paroi.

Berikut dikongsikan antara gambar-gambar di lokasi :

Antara sukarelawan yang hadir.
Mereka sabar menunggu giliran untuk mengambil juadah berbuka.

Bersedia untuk berbuka puasa.

Suasana selepas solat maghrib sambil menunggu waktu Isya.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Friday, August 3, 2012

:: 9 - Lihatlah sekeliling! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya ada seorang kawan baik dalam kategori OKU.Dia cacat pendengaran dan percakapan sejak kecil lagi.Isterinya juga begitu-OKU.Pasangan ini dikurniakan 3 orang anak yang normal.SubhanaLlah-Maha Suci Allah.

Pada tahun lepas,kawan saya itu menceritakan bahawa dia akan menyertai satu perhimpunan OKU di sebuah masjid anjuran NGO Negeri Sembilan.Dengarnya majlis itu perlu bermalam di masjid berkenaan.Yang menariknya kos pengangkutan,makanan dan sebagainya ditanggung oleh pihak penganjur.

Balik dari menyertai program khas tersebut,saya tanyakan kepada kawan saya tersebut mengenai program yang disertai olehnya itu.Macam-macam yang dia dapat belajat sepanjang di sana.Ia termasuklah ilmu teori serta praktikal tentang fardhu ain sehinggalah kepada ilmu dan praktikal ibadah-ibadah sunat yang lain.Tidak lupa juga,ada aktiviti qiamullail.Alhamdulillah,masih ada NGO yang peka terhadap nasib OKU seperti kawan saya itu.

Kini setahun lebih sudah berlalu.Saya dapati kawan saya itu sudah banyak berubah.Solat berjemaah semakin hari semakin rajin malah kini saya lihat dia sudah mula rajin untuk solat dhuha pada masa-masa yang terluang.

Apa yang saya suka tentang kawan saya yang seorang ini,selain dari perubahan positif yang telah dilakukannya,dia sangat ringan tulang.Apa sahaja yang saya minta tolong,biasanya dia akan cuba tunaikan.Tugas memotong rumput keliling kawasan rumah memang saya telah berikan kepadanya.Upah yang dia minta juga amat-amat berpatutan.Ada kalanya apabila saya ingin mengemas kawasan rumah,dia juga yang saya panggil untuk membantu.

Pernah saya tanyakan kepadanya latar belakangnya.Ceritanya dia berasal dari Gemas.Ibu bapanya sudah lama tiada.Adik beradiknya yang lain pula masing-masing sudah berumahtangga.Untuk balik kampung dengan anak yang ramai tentu menyukarkan.Ditambah pula kenderaan hariannya hanyalah basikal.

Tidak lama lagi,Lebaran akan muncul.Hampir kebanyakkan keluarga,bulan Ramadhan selain dari bulan untuk berpuasa dan beramal ibadah,mereka akan sibuk membuat persiapan Hari Raya.Bagi yang berkemampuan mereka akan menyediakan persiapan mereka mengikut kemampuan mereka.

Bagaimana pula persiapan Hari Raya bagi golongan yang tidak berkemampuan?

Bagaimana pula mutu amalan kita?
Bulan Ramadhan juga peluang untuk kita membantu golongan yang kurang berkemampuan
dengan menyalurkan rezeki yang kita terima kepada mereka melalui zakat fitrah.

Kadar zakat firah tahun 2012.

Moga perkongsian memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, August 1, 2012

:: 8 - Sejenak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Peluang.

Tempoh hari saya tela berborak dengan salah seorang rakan seusrah.Beliau seorang businessman-konsultan projek pembangunan.Beliau juga adalah antara batch pertama SAS (Sekolah Alam Shah,Cheras) jiran SMSS (Sek Men Sains Selangor,Bandar Tun Razak) sekolah saya suatu ketika dahulu.

Sahabat saya itu pada asalnya bekerja makan gaji tetapi akhirnya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.Lalu ceritanya,sepanjang penglibatannya dalam bidang perniagaan ini,setiap tahun,semakin dekat dengan Ramadhan semakin banyaklah peluang-peluang perniagaan yang masuk.Dengan erti kata lain,semakin dekat dengan Ramadhan semakin murahlah rezekinya.

Cerita sahabat saya itu lagi,jika diikutkan peluang yang terbuka di hadapan mata,mahu sahaja direbut semuanya.Tapi memandangkan Ramadhan datang hanya sekali dalam setahun,di tambah pula ganjaran bagi sesiapa yang beramal pula berlipat kali ganda,terpaksalah peluang yang ada itu ditolak bagi memberikan ruang untuk beramal.

Pada pendapat kawan saya itu,sekiranya ia tidak ditolak dengan hati yang gagah,maka peluang untuk beramal di bulan Ramadhan tentu sahaja akan terlepas begitu sahaja.

Itu cerita sahabat saya.

Bagaimana pula dengan kita?

Solat Maghrib kita di mana kita lakukan?
Solat Isya kita jam berapa kita tunaikan?
Solat sunat terawih kita pula bagaimana?

Ikhlas.

Semalam ketika mengambil wudhu di MBBS,orang di sebelah saya menegur sapa seorang pakcik.

A : Baru balik kerja ke?
B : Tak lah,balik kerja awal bulan puasa ni.
A : Nampak masih pakai baju macam baru balik kerja.
B : Taklah.Saja pakai baju macam ni.Biar orang tak perasan.
A : Tak perasan?
B : Yelah,kalau pakai baju macam ni,orang tak perasan kita nak pergi mana.Sebenarnya kita nak datang awal ke masjid.
A : Ooooo…

Begitu teliti sekali pakcik B itu hendak menjaga amalnya.

Kita bagaimana?

Tundukkah pandangan kita?
Bersih tak hati kita?
Sabar tak nafsu kita?

Ramadhan adalah bulan untuk melipat gandakan amal.

Moga perkongsian memberikan menfaat.

Wak,
TDI.