Wednesday, September 29, 2010

:: Seketika mendongak,seketika menunduk ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Sedikit di kongsikan kuliah Motivasi Pagi (IKIM) yang di sampaikan oleh Ustaz Ghazali Ibrahim (29 September 2010)

Ustaz membicarakan tentang pentingnya kita memerhatikan alam semulajadi kerana di situ kita akan dapat pengajaran yang banyak.

Kisah Burung Penguin.

Penguin betina akan bertelur pada musim sejuk.Telurnya pula hanya sebiji.Telur itu pula akan di bawa ke satu tempat perkumpulan di mana telur-telur dari seluruh penguin betina akan di eram.Namun yang mengeramnya adalah pasangan jantan penguin tersebut.Maka penguin jantan tadi akan berjemaah mengeram telur pasangan betina masing-masing sehinggalah menetas yang memakan masa selama 4 bulan.Bayangkan dalam keadaan cuaca musim sejuk di kutub yang biasanya kesejukan mencecah ratusan darjah di bawah paras beku,para penjantan masih lagi tabah dan setia mengeram telur pasangannya.Mengapa semua ini sanggup diharungi oleh kumpulan penjantan itu.Jawapannya kerana mereka faham sunatuLlah.Hanya dengan bersabar menahan dugaan sepanjang 4 bulan itu sahajalah yang boleh membuatkan telur pasangan mereka boleh menetas.
"sepakat membawa berkat."
Penguin juga hidup berjemaah.Apatah lagi kita.....

Tambah ustaz : Sebab itu ramai saintis yang mengkaji alam semulajadi mendapat hidayah untuk masuk Islam kerana terkesan dengan hukum alam ini.Dan tidak mustahil juga,para saintis ini ramai yang mendapat kefahaman lebih dalam dalam membentuk keImanan mereka.

Dari konsep yang sama ini jugalah manusia sepatutnya mengkaji lebih dalam tentang pengajaran dari hukum alam.Banyak pengajaran yang boleh di ambil contohnya dalam datangnya bulan Ramadhan dan Syawal setiap tahun.Di penghujung Syaaban dan Ramadhan,ahli falak akan melihat adakah anak bulan sudah muncul atau belum bagi menentukan tarikh awal Ramadhan dan 1 Syawal.Peredaran dan pergerakan bulan yang teratur adalah disebabkan si bulan taat dengan perintah dari Penciptanya.Apa jadi kalau anak bulan tidak muncul?
Ahli falak,mereka pakar dalam ilmu kaji bulan dan bintang.

Begitu juga pertalian antara manusia dan tumbuhan.Manusia bernafas membebaskan karbon dioksida dan menghirup oksigen.Tumbuhan pula sebaliknya.Apa jadi sekiranya tumbuhan engkar perintah Allah?

Kata ustaz lagi,sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu secara sia sia.Dan kita sebagai makhluknya haruslah sentiasa mengkaji dan memerhatikan Kebesaran Allah SWT.Apabila kita sentiasa memerhatikan dan mengkaji Kebesaran Allah SWT,maka secara automatik hati kita akan menjadi bersih.Maka dengan hati yang bersih,kita akan mudah membuat amal serta patuh dengan segala perintah yang telah di turunkan oleh Allah SWT kepada seluruh makhlukNya.
suburkanlah hati dgn Zikrullah.

Apa lagi nikmat yang lebih besar yang kita boleh kecapi melainkan mendapat hati yang bersih sempurna dan dapat mengucap Laailaha illaLlah.

Wak,
20 Syawal 1431H
Senawang,Seremban,
Negeri Sembilan.

Tuesday, September 28, 2010

:: Secangkir kenangan di tanah seberang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari Raya yang sinonim dengan tradisi balik kampung bisa menggamit satu nostalgia yang amat indah.

Saya pernah berada di Bekasi,Indonesia (sebuah bandar tidak jauh dari Jakarta) seminggu sebelum Lebaran.Berpuasa di sana memang benar mengajar erti sebuah PUASA yang sebenarnya.Bayangkan sebuah bandar yang tidak jauh dari Jakarta,tetapi sebahagian penghuninya tinggal di tepi-tepi jalan dan di bawah jambatan.Pemandangan waktu pagi amat sibuk dengan manusia yang berpusu pusu ke tempat kerja.Saya yang menyewa sebuah teksi,yang sama berasak dalam kesesakan jalanraya waktu pagi,beberapi kali di kejar dan di bontoti oleh peminta-peminta sedekah.Mereka mengerumuni sekeliling kenderaan tatkala kenderaan semua berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.Ada yang bertongkat,ada yang kudung,ada yang masih terlalu muda,namun dek kerana ingatan dari pak supir agar tidak menghulurkan wang,saya tahan niat saya untuk berbuat demikian.

Sampai di tempat yang sepatutnya mesyuarat akan di jalankan,di sebuah kawasan pusat perindustrian dan perkilangan,saya perhatikan terlalu ramai manusia berpusu-pusu menuju ke tempat kerja masing masing.Kebanyakan mereka seperti juga di Malaysia menggunakan kenderaan motorsikal untuk ke tempat kerja.Cuma yang berbeza mereka memakai helmet 'full face' tidak seperti kita yang lebih selesa dengan helmet biasa malahan kadang kala langsung tidak memakai helmet.

Kebetulan kilang tempat saya bermesyuarat itu betul betul di hujung kawasan pusat perindustrian,yang saya boleh katakan luasnya seperti sebuah bandar.Betul-betul di tepi penghujung kawasan perindustrian itu sudah kelihatan rumah yang saya kira seperti setinggan,yang kalau di lihat secara zahirnya terlalu dhaif.Kawasan Bekasi yang tanah merahnya mudah menjadi habuk dan debu itu memburukkan lagi keadaan dan pemandangan kawasan perumahan tersebut.Infrastruktur seperti jalan saya kira hanyalah dibuat di antara bumbung-bumbung rumah mereka.Agaknya bagaimanalah penduduknya menjalankan kehidupan di dalam kawasan perumahan itu.

Di simpang simpang jalan menuju ke kawasan kilang yang begitu banyak didirikan itu,terdapat banyak warung-warung kecil yang boleh di tolak ke sana-sini.Mungkin tidak pelik mengapa adanya warung menjual makanan ketika bulan puasa sedang berjalan kerana penduduk Indonesia walaupun paras rupa mereka agak serupa tetapi agamanya berbeza-beza.Tidak seperti di Malaysia,kebelakangan ini saya dapati ada peniaga melayu/Islam yang meniaga warung yang menjual sarapan pagi/makan tengahari.Apakah alasan mereka sebenarnya.Untuk siapa mereka berjual beli? Wallahua`alam.

Masuk ke dalam kawasan kilang,situasinya hampir seperti Malaysia.Kantin kilang di tutup sepenuhnya sempena bulan puasa.Waktu rehat tengahari pula surau kilang di penuhi oleh para pekerja kilang untuk melenakan mata dan berehat meluruskan tulang belakang.Saya salah seorang yang meramaikan 'jemaah' itu.Namun yang meriahnya,bangkit dari tidur,kami beramai ramai solat zuhor secara berjemaah.

Sedang saya menunggu giliran untuk mengambil wudhu',saya di sapa oleh salah seorang pekerja kilang di sana.Setelah bertanyakan serba sedikit perihal saya,lantas saya di tanya bagaimana syiar Islam di Malaysia.Terkejut saya bila di tanyakan sedemikian rupa.Seorang pekerja kilang bisa mengutarakan soalan yang saya kira orang biasa tidak menanyakannya sebarangan.Saya menjawab Islam di Malaysia kian subur namun di Indonesia syiarnya jauh lebih subur.Yang lebih menariknya,kata pekerja tersebut,oleh kerana pekerja lelaki yang ramai,mereka bersolat fardhu Jumaat di dalam kilang sahaja.Satu fenomena yang agak asing jika di tempat kita.Dan lebih menarik,khutbah akan di sampaikan oleh khatib yang di pilih antara mereka juga.Hanya kadangkala khatib jemputan datang bergilir untuk memberi khutbah Jumaat.

Pada sebelah petangnya pula,setelah selesai bermesyuarat,saya di bawa berlegar-legar mengunjungi kawasan kilang berkenaan.Sedang saya di bawa melawat,di satu sudut saya lihat beberapa pekerja sedang sibuk membungkus sesuatu.Dan yang dapat saya perhatikan,bungkusan yang sudah siap di bungkus agak banyak jumlahnya.Bila di tanyakan kepada 'pemandu pelancong' saya,barulah saya tahu bungkusan-bungkusan itu adalah sumbangan pihak kilang yang akan di sampaikan kepada semua pekerja sebelum mereka pulang berhari raya ke kampung halaman masing masing.Malah,yang lebih meriahnya,kilang akan menutup operasinya sepanjang 2 minggu untuk membolehkan para pekerjanya menyambut Lebaran di kampung halaman.Bila di tanya,mengapa begitu lama? Jawab mereka,antara mereka,perlu pulang ke kampung halaman yang jauh perjalanannya memakan masa 3 hari.Bayangkan perjalanan pergi dan balik sahaja sudah memakan masa selama hampir seminggu.Patutlah mereka di peruntukkan cuti yang agak lama.Tambahan pula,pengistiharan cuti itu,adalah dengan kesepakatan antara pihak pemerintah Indonesia dengan pihak pentadbir kilang.Nampak betapa pekanya pihak pemerintah dan pihak pengurusan kilang,walaupun sebenarnya pihak pengurusan kilang adalah pemodal dari luar Negara,mereka tetap meraikan penduduk tempatan.

Pada malam hari,suasana bandar Bekasi yang agak di penuhi dengan pasaraya-pasaraya yang besar,meriah dengan persiapan penduduknya membeli-belah untuk Lebaran.Saya sempat pergi meninjau-ninjau bagaimana agaknya penduduk Indonesia membuat persiapan raya.Di sana-sini gerai banyak menjual pakaian raya.Di Indonesia,baju melayunya di jual tidak sepasang beserta seluar.Hanya baju yang designnya tidak berpoket di hadapan seperti baju melayu kita di sini.Saya tertarik dengan sepasang baju melayu berwarna coklat tetapi sedikit bercorak di bahagian dadanya.Kualiti kainnya juga agak berbeza kerana kebanyakkan fabrik yang di gunakan hampir mirip dengan cotton tetapi dalam gred yang agak sedikit kasar.

Dalam meninjau-ninjau dan mencuci mata,mata saya menangkap objek berupa sebuah congkak yang boleh dilipat dua.Bila di lipat,belakang congkak berkenaan di hias dengan corak yang begitu menarik.Dengan harganya yang tidak keterlaluan,saya bercadang untuk membeli sepasang congkak berkenaan untuk di buat hiasan dinding.Sambil saya berborak dengan jurujual untuk tujuan menawar harga,sempat saya bertanyakan kepadanya beberapa soalan.Cerita jurujual berkenaan,mereka akan bertungkus lumus bekerja setahun di perantauan dan akan hanya pulang ke kampung halaman pada hari Lebaran.Memandangkan Jakarta adalah Ibu Negara Indonesia,maka ramailah anak-anak perantauan yang mencari rezeki di Pusat Bandar itu.Kebanyakkan mereka datang dari jauh dan taraf hidup keluarga mereka jauh jaraknya lagi untuk di katakan dalam keadaan selesa.Duit hasil gaji mereka kebanyakkan di salurkan ke kampung untuk membantu keluarga,dan urusniaga sebelum Lebaran ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengumpul sedikit wang untuk membeli ole-ole yang akan di bawa pulang ke kampung.Agak melas saya mendengar celotehan jurujual itu.Saya tidak pasti samada itu luahan rasa hati yang ikhlas ataupun hanya satu 'selimut yang di hamparkan' untuk meraih simpati saya untuk membeli barang jualannya.Namun bagi saya,apa jua niat jurujual itu,mereka tetap mencari berusaha rezeki secara halal dan tidak salah kiranya saya membantu mereka.

Tiba masa untuk pulang ke tanah air......

Waktu itu kira kira 5 hari sebelum tiba Lebaran.Saya di jadualkan berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Soekarno Hatta. (saya pernah ceritakannya di hujan emas ke hujan batu.) Dalam perjalanan pulang,saya di hantar oleh pak supir tempat saya menginap sepanjang di Bekasi.Ketika itu saya memilih untuk duduk di hadapan bagi melihat pemandangan Bekasi dan Jakarta di siang hari.Cuaca petang itu agak terik di tambah lagi apabila melalui jalan lebuhraya bandar Jakarta yang memang kerap macet itu,menjadikan keadaan semakin berbahang.Sampai di suatu kawasan,lebuhraya yang kami lalui mengalami macet yang amat dahsyat.Kenderaan bersimpang siur untuk mencari haluan yang agak selesa di atas lebuhraya 4 lorong itu.Bunyi hon di sana-sini menambah kebingitan.Menambah gawat panorama petang itu adalah bilangan peminta sedekah yang berlegar-legar ke sana ke mari mencari sesisip belas kasihan.Bayangkan di atas lebuhraya yang amat sibuk itu,masih ada peminta sedekah yang memperjuangkan nasib mereka demi sesuap nasi.Dan yang amat syahdu serta merentap simpati diri,bila melihat kanak kanak kecil yang membawa gendongan beg berisi botol air mineral.Mereka bergerak dari sebuah kenderaan ke sebuah kenderaan yang terperangkap dalam macet itu sambil mengacukan botol mineral mereka kepada pemandu kenderaan dengan harapan ada pelanggan yang akan membelinya.Tambahan ketika itu sinaran mentari amat terik walaupun sudah agak condong ke arah barat,tentu sebotol air mineral mampu menarik perhatian ramai.Dengan pakaian yang kelihatan lusuh dan agak compang-camping,malah ada yang tidak beralas kaki,mereka tetap menghayun kaki mereka dari satu kenderaan ke satu kenderaan.Apabila nampak kenderaan bergerak agak laju,kelihatan mereka berlalu ke tepi lebuhraya untuk berteduh di bawah pohon pokok.Dan mereka akan muncul lagi di tengah kesibukan lebuhraya itu bila kenderaan kembali menjadi perlahan.Sungguh cekal hati mereka walau masih muda.

Di sepanjang lebuhraya pula,kelihatan rumah tersusun padat di kiri dan kanan jalan.Suasananya mirip kampung kerana kebanyakkan rumah di bina dari asas tiang kayu.Yang menariknya,bangunan masjid/surau didirikan amat berdekatan.Tiang menara masjid A boleh kelihatan dari masjid B.Mungkin kerana kepadatan penduduk menyebabkan ianya di bina berdekatan antara satu sama lain.Ianya mungkin menjadi bukti bahawa syiar Islam lebih subur di sana berbanding di tempat kita.Wallahua`alam.

Itu cerita beberapa tahun lepas.Pengajaran yang bisa di kutip itu telah membuka rongga/lorong baru di minda saya yang sudah agak lama tertutup tentang satu dimensi baru tentang erti kehidupan.Keselesaan hidup di tanah air kadangkala mengalpakan kita akan nasib sebahagian lagi saudara seIslam kita di muka bumi ini.

Agaknya masih sempatkah kita berbuat sesuatu???

Untuk itu,saya coretkan sedikit catatan yang saya kira boleh di hadamkan demi mendapatkan cara hidup yang selaras dengan ajaran dan tuntutan agama.

"Ust Ghazali Ibrahim (motivasi pagi)-Radio IKIM (28 Sept 2010)


Kata ustaz,biarlah kita belajar dari kehidupan seekor burung yang hidup bebas di muka bumi.Bila muncul matahari di pagi hari,burung berkenaan akan terbang ke merata tempat mencari rezeki bagi mengisi temboloknya.Kecekalan si burung mencari rezeki harian tanpa ada 'gaji bulanan' (yang tetap menunggu) boleh mengajar kita erti mencari rezeki dan erti sebuah ikatan tawakkal kepada Allah."

Wak,
19 Syawal 1431H
Senawang,Negeri Sembilan.

Friday, September 24, 2010

:: entri ke-100 --Rezeki itu tidak ke mana ::

"Yang bulat tak datang bergolek
Yang pipih tak datang melayang."

sepipih bulu pelepah inikah??

Itu pepatah melayu yang sentiasa segar di minda kita.Pepatah-pepatah sebegini memang banyak diilhamkan oleh orang-orang tua zaman dahulu.Apakah sumber mereka sehinggakan ilham mereka masih lagi "evergreen" sehingga sekarang?

Melihat kebesaran Alam semulajadi ciptaan Allah SWT.
Ya,itulah sandaran yang membuatkan kata kata mereka amat bijaksana.

Apa pula maksud pepatah di atas?

Kita perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu.
Kata orang tua-tua juga,usaha itu tangga kejayaan.
anak tangga adalah subjek yang perlu kita
tempuhi sebelum sampai ke pintu tujuan.

Namun,mari kita renung sejenak kisah yang akan di bawakan ini.Ianya perlu dihayati dalam perspektif yang sedikit berlainan.

"Seorang pelajar madrasah telah pulang ke kampung untuk melawat ibunya.Apabila sampai di kampung,tiba tiba si pelajar itu teringatkan sesuatu yang di ajar oleh salah seorang guru madrasahnya tentang rezeki.Gurunya menyatakan bahawa dalam kehidupan ini ada 2 perkara yang akan mengejar kita,iaitu rezeki dan saat kematian.

Lalu,tergerak pelajar tadi untuk mencari kebenaran kata-kata gurunya itu.Lalu pelajar itupun mengambil keputusan untuk duduk tinggal di dalam sebuah gua.Dan yang pastinya pelajar itu tadi pergi gua berkenaan tanpa membawa sebarang bekalan makanan.

Setelah beberapa ketika,oleh sebab risaukan hal keadaan anaknya itu,ibu pelajar berkenaan telah pergi ke gua tempat anaknya menyendirikan diri.Tujuan ibunya melawat itu adalah untuk melihat keadaan anaknya yang berkelakuan agak pelik itu dan bagi memastikan anaknya dalam keadaan selamat.Ibu berkenaan juga membawa bekalan makanan untuk anaknya itu.

Melihat keadaan anaknya yang tetap tidak mahu menjamah sebarang makanan,ibu berkenaan meninggalkan sahaja bekalan itu berdekatan tempat duduk anaknya.Baliklah semula ibu berkenaan kembali ke rumahnya bersendirian.

Tiba-tiba,tidak lama kemudian,gua berkenaan di masuki oleh beberapa orang perompak.Perompak itu sebenarnya telah menjadikan gua tempat pelajar itu duduk menyendirikan diri sebagai sarang tempat mereka bersembunyi.Apabila perompak itu masuk sahaja ke dalam gua,mereka amat terkejut kerana tempat persembunyian mereka telah di datangani oleh orang asing.Lebih memeranjatkan lagi,mereka dapati di samping lelaki yang duduk di dalam gua tersebut terdapat bekas makanan yang tidak di usik lagi.Oleh kerana lelaki berkenaan tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan,para perompak tersebut menyangka kedatangan lelaki tersebut adalah bertujuan untuk memerangkap mereka.Dan umpan perangkap itu adalah bekas berisi makanan yang ada di samping lelaki tersebut.

Para perompak berkenaan telah bersepakat dan bersependapat bahawa makanan di dalam bekas berkenaan telah di letakkan racun oleh lelaki yang mereka tidak kenali itu.Dan sekiranya mereka makan makanan yang beracun itu,maka tamatlah riwayat mereka semua.

Oleh kerana geram dengan anggapan mereka sendiri itu,perompak itu telah berpakat untuk menangkap lelaki asing itu dan menyumbatkan makanan yang ada di sisinya itu ke dalam mulutnya.Lalu ditangkaplah lelaki tersebut walaupun mereka berasa agak pelik mengapa lelaki berkenaan tidak melarikan diri mahupun melawan tindakan mereka.

Selepas di tangkap,kumpulan perompak itu telah mengambil bekas makanan tadi dan berhasrat untuk memaksa lelaki tersebut memakannya sebagai tindakan membalas dendam.Walaupun telah dipaksa,makanan itu tetap tidak berjaya di sumbat ke dalam mulut lelaki berkenaan kerana mulutnya di katup rapat dan rontaannya cukup kuat.Tindakan lelaki itu menambah lagi kekuatan tanggapan mereka tentang lelaki berkenaan memang berniat untuk meracun mereka.Lalu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbat makanan itu masuk ke dalam mulut lelaki berkenaan.Akhirnya berjaya juga kumpulan perompak itu menyumbat makanan berkenaan ke dalam lelaki tersebut.

Tidak lama setelah kumpulan pencuri itu berjaya menyumbat makanan yang mereka sangka beracun itu ke dalam mulut lelaki asing itu,tiba-tiba mereka dapati lelaki itu menangis teresak-esak.Pada tanggapan mereka,tentu lelaki itu menangis kerana sedih di sebabkan makanan yang beracun tadi sudah masuk ke dalam perutnya.Namun untuk mendapatkan kepastian,salah seorang pencuri itu bertanyakan kepada lelaki tersebut,mengapa dia menangis teresak-esak.

Apa jawapan lelaki tersebut??

"Kini aku telah yakin dengan kata kata guruku,bahawa sesungguhnya rezeki itu memang mengejar kita."

Di sebabkan pelajar tersebut melihat kumpulan erompak itu seperti terpinga-pinga,maka pelajar tersebut pun menceritakan semula kisahnya dari awal sehinggalah mereka menemuinya di dalam gua tersebut.Jelas pelajar itu lagi,"Niatku untuk tidak makan apapun tidak kesampaian walaupun aku cuba sedaya upayaku.Ternyata rezeki yang sudah menjadi ketentuan untukku akan mengejarku walaupun di mana aku berada.Walaupun aku tidak mahukannya,pasti dengan asbab lain ia akan masuk juga ke dalam mulutku ini."

Perompak-perompak berkenaan yang mendengar kisah pelajar lelaki tersebut terus sahaja insaf dan meninggalkan kerja mereka yang suka mencuri harta orang itu.

Pengajaran:

Hakikatnya rezeki mengejar kita.
Tertibnya pula kita perlu berusaha.

Hendak seribu daya,
Tak hendak seribu dalih.

Salam Syawal 1431.
Mohd Rizal,
Taman Desa Ixora.

Wednesday, September 22, 2010

:: Sekitar Lebaran 1431H ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Syawal 1431H.

Syawal sudah melangkau hari yang ke 13.Tidak seperti Ramadhan di mana orang lebih perihatin untuk tekun beramal ibadah,Syawal lebih sinonim dengan bulan makan.Di sana sini pasti ada sahaja majlis makan,samada majlis marhaban rumah ke rumah ataupun rumah terbuka (malah kini ada istilah lorong terbuka).

Sebut sahaja marhaban rumah ke rumah,tahun ini buat sekian kalinya selepas 6 tahun saya berjaya menyertai marhaban ke luar kampung yang di anjurkan persatuan penduduk kampung saya di Muar Johor.

Sebelum itu.....

Bila di sebut marhaban dari rumah ke rumah,terdapat 2 majlis marhaban yang di anjurkan.Pertamanya adalah marhaban yang dilakukan di dalam kampung.Mengikut tradisinya ianya dilakukan pada hari raya ke dua setiap tahun.Oleh kerana kampung saya mempunyai hampir 50 buah rumah,majlis marhaban akan bermula seawal jam 8 pagi.Dari yang sekecil kanak-kanak hingga yang ke pangkat datuk,semuanya berbaju melayu lengkap bersamping dan bersongkok hitam akan mula berkumpul di rumah penghujung kampung untuk memulakan majlis.Majlis marhaban biasanya di mulai dengan selawat ke atas Nabi (seperti yang tertulis di dalam kitab Berzanji).Lagu Marhaban pula biasanya di ubah suai kepada beberapa irama.Selesai marhaban,wakil dari pemuda yang telah di pilih,di beri tugas untuk membaca doa ringkas sebelum tuan rumah mempersilakan para hadirin menjamu juadah yang telah di sediakan.

Sementara para hadirin menjamu selera,wakil khas dari rombongan marhaban akan menjadi wakil penduduk kampung untuk memohon kemaafan kepada tuan rumah.Apabila wakil khas tadi melaungkan selawat,maka selawat tadi akan di sambut oleh hadirin yang lain menandakan rombongan perlu bangun untuk meneruskan majlis di rumah seterusnya.Sebelum hadirin keluar dari rumah tersebut,mereka akan bersalaman dengan tuan rumah sambil mengucapkan selamat hari raya dan terima kasih.

Begitulah seterusnya...

Biasanya setiap rumah mengambil masa 10~15 minit sahaja bergantung kepada menu yang di sediakan.Dan kebiasaannya pula tuan rumah yang menyediakan menu/juadah yang lain dari yang lain secara tidak langsung akan di beri tumpuan lebih oleh hadirin yang datang.Biasanya juadah yang di sediakan bergantung kepada masa rumah itu di lawati.Sessi pagi biasanya juadah berlatarbelakangkan dan berkonsepkan sarapan seperti mee goreng,keladi goreng ataupun roti jala.Sessi tengahari biasanya menunya agak berat seperti mee hoon goreng atau mee hoon sup.Sessi petang biasanya agak santai dengan kuih muih dan di sulami dengan buah buahan.Namun kebanyakkan tuan rumah menyediakan juadah mengikut kemampuan masing masing.

Sessi marhaban pula biasanya berhenti rehat 2 kali untuk memberi peluang para ahli rombongan menunaikan solat zuhur dan solat asar secara berjemaah.

Sebelum terlupa....

Pada majlis marhaban rumah ke rumah ini juga,tabung (tin kosong yang siap bertali untuk di sandang) akan di edarkan dari rumah ke rumah untuk mengutip derma kepada yang berhajat.Biasanya tin kosong akan di isi sedikit wang syiling dan ianya akan di goncang sebagai tanda tabung sedang bergerak masuk ke dalam rumah.Tabung ini pula biasanya akan di buka dan di kira isinya pada rumah terakhir majlis marhaban berkenaan.

Dan pada rumah terakhir ini juga,ketua pemuda akan mengumumkan jumlah kutipan tabung dan memberi penerangan ringkas untuk majlis marhaban luar kampung keesokan harinya.Dan pada kebiasaanya majlis marhaban di dalam kampung akan selesai sekitar jam 6 setengah petang.

(Rehat seketika....biar gambar yang berbicara.)

Kemas,segak & bergaya.
(lengkap berbaju melayu,bersampin & bersongkok)

Antara juadah yang di sajikan....

Rumah baru = ahli baru masyarakat Pt Hj Zain...
Ahlan wasahlan wamarhaban....

Layan otak otak....
Meriah....


Kerahan tenaga??
Hj Ghuzali sekeluarga......


Generasi pemuda...

Generasi pewaris...

Ketua masyarakat (kiri sekali-berbaju coklat) bersama
Ketua Pemudanya (tengah-berbaju biru) memacu masyarakat
ke tangga kejayaan.TAHNIAH!!!

Abah (tengah berbaju hijau berkopiah putih)...
....tetap gigih menyusun langkah.

Menyusun jari & merendah diri
mengharapkan kemaafan Tuan Rumah.

Unik!!!
Pemegang amanah dengan tabung kutipan derma...

Jumlah sumbangan derma...

Gambar kenangan.
Tamat sudah sessi 2010.
(saya kanan sekali bersama anak berbaju ungu)

Picture of the day...
Green day & save the ozon layer!!

Picture of the year!!!
Semangat bermarhaban sehingga terbenam ke dalam selut!!

Marhaban Luar Kampung.

Marhaban Luar Kampung adalah di mana penduduk kampung kami akan menziarahi sambil bermarhaban ke rumah tokoh masyarakat (Alim ulama/Naib Khadi/Imam Masjid),Penghulu,ketua kampung dan ketua masyarakat pada hari raya ke tiga setiap tahun.Tujuan majlis marhaban ini tetap sama iaitu mengeratkan tali silaturrahim antara penduduk kampung dengan masyarakat luar.Untuk mengunjungi satu persatu rumah saudara seIslam yang tinggal di luar kampung kami adalah amat mustahil dan sebagai gantinya kami menziarahi ketua ketua mereka sebagai tanda hormat kepada masyarakat yang tinggal di luar kampung kami.

Marhaban Luar Kampung biasanya di mulakan agak lewat sedikit sekitar jam 8 setengah pagi.Sedikit kelaianan dari Marhaban di dalam Kampung,Marhaban Luar Kampung di tambah kemeriahannya dengan baju seragam.Walaupun tetap dengan baju rasmi kebanggaan orang melayu,baju melayu untuk sessi Marhaban Luar Kampung biasanya seragam warnanya.Dan biasanya seragam ini di pakai untuk tempoh 3 tahun.Dan tahun ini,seragamnya adalah berwarna merah hati.

Tahun ini majlis marhaban bermula di rumah ketua kampung En Jamil di Bt 18.Setelah semua ahli rombongan tiba di perkarangan rumah En Jamil,kami pun mula masuk ke dalam rumah beliau.Rutin/aturcara majlis tetap sama seperti marhaban di dalam kampung,tetapi sementara hadirin di persilakan makan,seorang wakil dari rombongan marhaban kampung kami akan bangun berucap sepatah dua kata.Biasanya isi ucapan sekitar mengucapkan salam ‘Idul Fitri dan memohon kemaafan kepada tuan rumah seisi keluarga dan seluruh masyarakat di bawah jagaannya.

Begitulah seterusnya pada rumah rumah yang lain.

Tahun ini,walaupun setelah 6 tahun tidak mengikuti rombongan ini,saya telah menjadi bidan terjun untuk memberikan ucapan.Tambah berat lagi,ucapan yang perlu saya sampaikan adalah di rumah Imam Masjid Kariah Bt 16.Memang tidak selayaknya saya berucap,tapi memandangkan permintaan dari ketua rombongan,saya dengan rendah hati berucap juga di rumah Tuan Imam berkenaan.

Tidak banyak yang saya perkatakan dalam ucapan berkenaan.Cuma yang saya tekankan hanyalah tradisi Marhaban dari rumah ke rumah ini,samada untuk di dalam kampung ataupun ke luar kampung mestilah dipertahankan sehinggalah generasi seterusnya.Ini kerana di samping mendapat fadhilat/kebaikan dari kita berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW secara tidak langsung kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan silatur rahim antara kita.

Sambutan ala bandar.

Lihat sahajalah apa jadi sambutan Hari Raya di bandar bandar samada bandar kecil mahupun bandar besar.Masyarakat di bandar yang sebahagiannya lebih gemar hidup menyendiri menyambut Hari Lebaran dengan cara mereka.Hari Lebaran dengan Panggung Wayang agak sinonim dengan cara mereka menyambut Hari Istimewa ummat Islam ini.Malah ada sebahagian dari mereka Hari Lebaran hanya sekadar pergi ke masjid untuk solat hari raya.Tidak lebih dari itu.

Sebenarnya Hari Lebaran boleh diimarahkan dengan menziarahi pusara sanak saudara kita,menziarahi rumah kaum keluarga di samping menziarahi rumah taulan dan jiran.

Dan....

Majlis marhaban ini jugalah salah satu dari acara/sambutan yang perlu di teruskan oelh generasi sekarang ini sehinggalah generasi generasi akan datang.Semua sedia maklum,Hari Lebaran inilah masa/peluang untuk anak anak tempatan yang bekerja di luar kampung untuk pulang ke kampung halaman.Dan peluang ini sekiranya tidak di gunakan dengan baik,maka di khuatiri suatu masa nanti sambutan Hari Lebaran di kampung sudah mirip sambutan Hari Lebaran di sesetengah bandar-bandar.

......liputan gambar edisi Luar Kampung.


Seragam!!

Sehati sejiwa...
...tidak kira usia.

Dengan rendah diri dan penuh harapan,saya mendoakan pimpinan kampung kami (Kampung Parit Haji Zain,Bt 15,Ayer Hitam) sentiasa di limpahi kesihatan dan kewarasan oleh Allah SWT bagi memimpin anak buahnya ke tahap yang lebih baik selepas ini.

Dan di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi tinggi ucapan TAHNIAH pada pimpinan masyarakat kampung dan seluruh ahlinya yang telah berjaya meneruskan tradisi Majlis Marhaban buat sekian kalinya.

Kepada sahabat,taulan dan para pembaca blog saya juga ingatan pada diri sendiri juga (yang serba dhaif ini),teruskanlah beramal dan teruskanlah berdoa agar kita dapat bertemu kembali dengan Ramadhan akan datang.

(terima kasih kepada penyumbang gambar di FB Kampung Pt Hj Zain)

Salam Lebaran,
Mohd Rizal Salikon,
Senawang Negeri Sembilan.

Wednesday, September 8, 2010

:: Selamat Hari Raya 'Idul Fitri 1431H ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bingkisan R.A.M.A.D.H.A.N.

Rasanya baru semalam memulakan puasa,
Apakan daya hari ini sudah menjangkau 29 Ramadhan,
Malam Lailatul Qadar,entahkan sudah berlalu atau belum,
Andainya masih ada peluang,doalah bersama agar bertemu dengannya,
Dan kesempatan yang ada teruskanlah menunaikan amalan wajib dan sunat,
Hari Raya bukan garisan penamat untuk kita berhenti membuat amal,
Amalan perlu di teruskan walau di mana jua kita berada.
Niatkanlah di hati,agar Allah matikan kita dalam kita bersedia untuk mati.

Memetik kata kata Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) :

"Jangan kau ucap selamat tinggal,
Bahkan ucaplah hingga bertemu lagi,
Seandainya tidak di bumi Tuhan,
Mudah-mudahan di syurga-Nya nanti!"

Ya Allah ketemukan lah lagi Ramadhan padaku......

Saya dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada pembaca blog saya :

"Taqabbalallahu minna wa minkum Wa ja'alna minal 'aidin wal faizin."
-semoga Allah menerima (puasa) kita dan menjadikan kita kembali (dalam keadaan suci)
dan termasuk orang-orang yang mendapat kemenangan.

Selamat Hari Raya 'Idul Fitri 1431 H.
-dari kami sekeluarga.
Mohd Rizal Salikon
Zaiton Othman
Abdul Aziz
Abdul Hadi
Ain Sofiah
Abdul Halim

Friday, September 3, 2010

:: sebulan itu terlalu cepat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan bersama isi kuliah subuh sempena Ramadhan yang di sampaikan oleh Ustaz Haji Hambali Saat. (Surau Al Amin-28 Ogos 2010)

Kuliah pagi tersebut dimukadimmahkan oleh ustaz dengan isu/kes pembuangan bayi.Mengikut kata ustaz,dari data yang ada,pada bulan Julai dan Ogos 2010 sahaja sebanyak 27 kes pembuangan di laporkan oleh media massa.Pada hari tertentu pula,di laporkan sebanyak 3 kes pembuangan bayi telah berlaku.
Gejala pembuangan anak yang berlaku saban masa.
Bukti kepada seriusnya masalah sosial hari ini....

Dalam menangani isu serius seperti ini,selagi rangsangan untuk masyarakat dekat pada agama tidak dilakukan maka dengan itulah isu demi isu,kes demi kes akan semakin bertambah dan semakin buruk keadaanya.Malah lebih buruk dari itu,rangsangan untuk masyarakat menuju ke arah hiburan pula dibuat terlalu kerap, menyebabkan keadaan yang ada semakin tidak terkawal.

Dan kata ustaz lagi,kedatangan bulan Ramadhan setiap tahun adalah umpama mekanik di dalam bengkel yang membaiki keadaan.Di ibaratkan keadaan ummat zaman sekarang ini seperti sebuah kenderaan yang 'alignment' dan 'balancing' tayarnya sudah lari.Brek pada tayar pula sudah tidak mencengkam kuat.Lampunya banyak yang pecah sana sini.Bila kenderaan ini berjalan di atas jalanraya,mara bahaya boleh datang di mana sahaja dan pada bila masa sekalipun akan boleh menimpa.

Servis tayar (alignment dan balancing) adalah perkara
asas dalam memastikan tayar boleh digunakan tanpa masalah.

Lalu bila kenderaan ini memasuki bengkel Ramadhan,mekanik-mekanik yang ada di dalamnya akan memperbaiki keadaan kenderaan tersebut.Maka bila kenderaan itu keluar dari bengkel Ramadhan,maka kenderaan tersebut dalam keadaan yang telah dibaiki.Samada ia dibaiki secara 'total' ataupun sebahagian sahaja,bergantung kepada tahap kerosakannya.Kerana setiap tahap kerosakan,perlu tahap tertentu untuk memperbaiki keadaannya.

Sesungguhnya keadaan kita amat berbeza dengan sahabat r.a......

Di zaman mereka kedatangan Ramadhan,hanya ibarat kenderaan mewah yang masuk ke dalam bengkel.Sesungguhnya kenderaan mewah itu pula mempunyai kondisi yang amat cemerlang/'tip-top'.Masuknya kenderaan mewah itu ke dalam bengkel hanya untuk menambah alatan aksesori.Bila keluar sahaja dari bengkel berkenaan,kenderaan mewah tersebut bertambah serinya dan bergemerlapan keadaannya.

Itulah hakikatnya.....

Maka beruntunglah manusia di zaman ini yang mampu mengikut jejak langkah sahabat r.a.

(....sedikit dikongsikan coretan perjalananku.)

Melihat manusia sezaman denganku,walaupun masjid/surau jaraknya hanya beberapa tapak dari rumah,namun masih ‘ayem’/selesa untuk menghabiskan sisa hembusan rokok selepas berbuka puasa, di hadapan beranda rumah sedang manusia lain sibuk untuk mengejar solat berjemaah maghrib di tempat azan dikumandangkan.Apa yang termampu dalam diriku hanya sekadar memanjatkan doa agar saudara seIslamku itu juga turut sama dipilih oleh Allah swt untuk sama sama faham akan hakikat memilih kepentingan dalam urusan beragama.)

Sesungguhnya kata ustaz Haji Hambali,bila hidayah Allah itu turun,kesan hidayah itu boleh pergi jauh melangkaui batas pemikiran manusia.

Kisah iktibar dari peristiwa besar-bulan terbelah dua.

Kisah bulan terbelah dua adalah salah satu mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi SAW sebelum hijrah.Ketika itu tokoh-tokoh kafir Quraisy telah meminta Nabi Muhammad SAW membelah bulan menjadi dua bagi membuktikan keNabiannya.

"  Dalam Bukhari dan Muslim, juga dalam kitab2 hadits yang terkenal lainnya, diriwayatkan bahwa sebelum Rasulullah (saw) hijrah, berkumpullah tokoh2 kafir Quraiy, seperti Abu Jahal, Walid bin Mughirah dan Al 'Ash bin Qail.

Mereka meminta kepada nabi Muhammad (saw) untuk membelah bulan. Kata mereka, "Seandainya kamu benar2 seorang nabi, maka belahlah bulan menjadi dua."
Rasulullah (saw) berkata kepada mereka, "Apakah kalian akan masuk Islam jika aku sanggup melakukannya?"

Mereka menjawab, "Ya." Lalu Rasulullah (saw) berdoa kepada Allah agar bulan terbelah menjadi dua. Rasulullah (saw) memberi isyarat dengan jarinya, maka bulanpun terbelah menjadi dua. Selanjutnya sambil menyebut nama setiap orang kafir yang hadir, Rasulullah (saw) berkata, "Hai Fulan, bersaksilah kamu. Hai Fulan, bersaksilah kamu."

Demikian jauh jarak belahan bulan itu sehingga gunung Hira nampak berada diantara keduanya. Akan tetapi orang2 kafir yang hadir berkata, "Ini sihir!" padahal semua orang yang hadir menyaksikan pembelahan bulan tersebut dengan seksama.

Atas peristiwa ini Allah (swt) menurunkan ayat Al Qur'an: " Telah dekat saat itu (datangnya kiamat) dan bulan telah terbelah. Dan jika orang2 (kafir) menyaksikan suatu tanda (mukjizat), mereka mengingkarinya dan mengatakan bahwa itu adalah sihir." (QS Al Qomar 54:1-2) "                     (ehsan dari blogger)

1.Hidayah kepada ummat yang berada jauh beribu batu.

Walau pun tokoh-tokoh kafir Quraisy ini sudah melihat dengan mata mereka sendiri akan mukjizat Nabi Muhammad SAW,tetapi mereka tetap enggan memeluk Islam malah mereka memperolok-olokkan dengan mengatakan kejadian bulan terbelah dua itu adalah sihir.Tetapi pada masa yang sama,beribu batu jauhnya dari Tanah Mekah,di tanah Kerala,India,seorang raja telah melihat kejadian bulan terbelah dua itu.Oleh kerana kejadian itu amat pelik,raja berkenaan telah mengarahkan satu rombongan untuk menyiasat dan meneliti mengapa fenomena pelik itu boleh berlaku.Akhirnya sampailah rombongan yang diutuskan raja itu di Tanah Mekah dan akhirnya setelah mereka dapat mengetahui kisah sebenar dari kejadian bulan terbelah dua itu,maka rombongan dari Kerala itu pun memeluk Islam.

2.Hidayah kepada ummat yang hidup selepas beribu tahun.

Kisah keislaman Mr. Pitkhok (ketua Al-Hizb Al-Islamy Inggeris) bermula dari hadiah sebuah tafsir Al Quran dari rakan seUniversitinya.

Mr. Pitkhok menceritakan kembali,apabila tafsir Al Quran itu di buka,ayat yang mula-mula di bacanya ialah tafsir surah Al Qomar yang menceritakan akan kisah bulan terbelah dua.Selepas membacanya,Mr. Pitkhok meletakkan semula tafsir berkenaan tanpa membeleknya kembali.

Sehinggalah pada suatu hari,ada rancangan television yang memaparkan temuramah bersama angkasawan yang telah mendarat ke bulan.Dalam temuramah berkenaan angkasawan berkenaan ada menyatakan mereka menemui kesan seperti bulan pernah terbelah permukaannya.Dan apabila sampel gambar bersama bukti lain di rujuk pada pakar,maka dengan gambar dan bukti yang ada pakar itu menyatakan,bulan pernah terbelah dan ianya berlaku beribu tahun dahulu.

Dengar sahaja kenyataan itu Mr. Pitkhok membuka semula tafsir Al Quran yang pernah di bacanya dahulu.Di bacanya semula tafsir tafsir ayat Al Qomar dan dengan asbab itulah hatinya terbuka untuk Islam.

.......Ya,Hidayah hanyalah di bawah keKuasaanNya.Kita tidak ada kuasa untuk memberi hidayah kepada sesiapun hatta kepada keluarga terdekat.Namun kita masih mampu lagi berdoa agar sahabat/saudara seIslam kita agar mereka dilimpahi HidayahNya.

Madrasah 24 Ramadhan (Jumaat)
Taman Desa Ixora,
Senawang.