Saturday, April 30, 2011

:: Travelog Anak Kampung-1 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

'Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.'

Orang melayu dahulu memang terkenal dengan simpulan bahasa,peribahasa,bidalan,kiasan dan sebagainya.Kita generasi baru ini hanya sekadar pengguna sekunder yang menumpang,agar kebijaksanaan mereka menggubah bahasa itu berkekalan hingga ke generasi akan datang.InsyaAllah.

Kenangan 'retro'.
Bayangkan dengan berbasikal orang dahulu mampu hidup.
Berbelanja,menghantar anak sekolah,pergi ke surau/masjid
(walaupun hari hujan),mereka masih utuh/kental menempuh dugaan.
Bandingkan dengan kita sekarang?

Saya dilahirkan pada penghujung 70-an di sebuah kampung di Johor.Waktu itu rata-rata penduduk masa belum merasai nikmat teknologi seperti sekarang.Kenderaan utama ketika itu masih lagi motosikal namun fenomena di mana kelibat golongan-golongan 'otai' (golongan warga emas) menunggang basikal masih lagi boleh kelihatan di sana-sini.Kenderaan yang namanya kereta,hanya mampu-milik oleh sebahagian kecil sahaja dari masyarakat.

Apa aktiviti ketika itu?.

Orang sekarang kata,sebab orang dulu-dulu ramai anak kerana tiada hiburan atau aktiviti pada waktu malam adalah terhad.Makanya mereka beranggapan bahawa aktiviti malam golongan orang-orang dahulu hanyalah menjurus kepada meramaikan bilangan anak sahaja.Wallahua`alam.

Tapi,

Dari imbasan ingatan dan pengalaman membesar era 80-an,orang tua-tua dahulu amat sibuk ketika waktu malam.

Malam Jumaat.

Setiap minggu akan diadakan bacaaan yaasin dan tahlil arwah dari rumah ke rumah.Seluruh penduduk kampung,tidak kira umur akan turut menjayakan aktiviti ini.Ingat lagi pesan abah dulu,'Tak tau baca Yaasin,baca Kull hu (surah al ikhlas) banyak-banyak.'

Dan,sebenarnya golongan kanak-kanak bahkan golongan dewasa juga amat menunggukan majlis seperti ini.Manakan tidak,kami semua dapat beramal ibadah bersama-sama dengan seluruh penduduk kampung di malam Jumaat (penghulu hari) yang penuh barokah itu.Orang dewasa dapat bertemu sesama mereka di dalam satu majlis,begitu juga golongan kanak-kanak.Cuma tambahan daya tarikan ketika itu adalah,selepas selesai membaca yaasin,bertahlil dan berdoa,para tetamu akan dijamu oleh tuan rumah dengan nasi ambeng,hidangan/menu yang cukup sinonim dengan orang jawa.Dan yang paling simboliknya,kami hanya menjamah sebahagian kecil sahaja dari hidangan yang ada,sebahagian besarnya pula akan dibungkus balik sebagai bontrot (buah tangan dari kenduri) yang kemudiannya akan dimakan bersama-sama dengan ahli keluarga di rumah.

Makanan yang penuh barokah dan dinikmati sekurang-kurangnya sekali setiap minggu ketika itu,kenangan yang begitu meninggalkan bekas di dalam hati.

Berkompang dan membaca barzanji.

Aktiviti ini saya kurang arif kekerapannya diadakan,samada setiap bulan atau ada hari hari tertentu.Yang saya ingat dan pasti,pada rumah tertentu dan pada malam tertentu,penduduk kampung akan berkumpul dengan membawa kompang masing-masing.Majlis akan dimulakan oleh seorang ketua dengan membaca selawat ke atas Nabi SAW dan diikuti oleh hadirin yang lain.Selepas itu barulah kompang akan dipalu dengan diiringi oleh bacaan barzanji dari rawi-rawi tertentu.Dan biasanya ia akan berlarutan hingga ke larut malam.Mungkin biskut keras bersama kopi pekat menjadi pembasah tekak waktu itu.Cumanya waktu itu tanggapan saya,'tak sakit ke tangan atuk-atuk ni berkompang berpanjangan,suara pula tak serak-serak.' Maklum sahajalah memalu kompang bukan calang-calang aktiviti,kalau bukan sebarangan orang,tak tahan dibuatnya.Lagilah suara yang dikeluarkan untuk membaca barzanji perlu menyaingi kekuatan bunyi kompang,tentu tenaga yang dikeluarkan juga bukan calang-calang.

Bacaan tahlil arwah.

Walaupun tika ini banyak pendapat tentang amalan membaca tahlil arwah dan cara penyempurnaannya (3 hari/7 hari/40 hari/100 hari/jamuan makan dan sebagainya) namun semangat dan pemahaman untuk beramal samada untuk bekalan sendiri mahupun untuk dihadiahkan pada si mati adalah 1 faktor yang lain.

Ingat lagi tahlil arwah ketika itu,rata-rata akan dibuat selama 3 hari berturut-turut jika ada sebarang kematian penduduk kampung. Selepas selesai membaca tahlil yang dipimpin oleh tuan imam,hadirin akan mula membaca surah al ikhlas secara bersendirian mengikut jumlah yang terdaya. Biji jagung kasar dijadikan sebagai pengganti biji tasbih.Dan ia akan dijumlahkan pada hari terakhir.(Minta maaf,saya tidak pasti berapa jumlah yang perlu dihabiskan bagi setiap orang.)

Dan,

Kampung kami memang terkenal dengan banjirnya.Pernah sekali banjir melanda dan salah seorang penduduk kampung meninggal dunia ketika itu.Jenazah yang telah siap untuk dikebumikan terpaksa diusung dengan sampan dari hujung kampung saya dengan menempuh banjir.Kebetulan rumah arwah ketika itu terletak nun di hujung kampung.Seingat saya,penduduk kampung turut bertahlil arwah pada malam berkenaan walau terpaksa menempuh banjir.Dan banjir yang melanda kampung saya bukan calang-calang 'ceteknya',pada kawasan tertentu boleh mencecah hingga ke pangkal pinggang orang dewasa.Namun,kerana semangat kejiranan yang kuat,itulah hasilnya.

........malah,orang tua-tua dahulu juga amat sibuk ketika siang hari.


Gotong royong.

Seperti yang dijelaskan diawal tadi,penduduk kampung era 80-an masih jauh dari menerima tempias teknologi.Mesin-mesin jauh sekali dapat diguna-pakai untuk aktiviti seharian.Parang,cangkul,tajak,sabit adalah antara alat yang popular dan sinonim ketika itu.

Apa gunanya?

Johor seketika dahulu (sehinggalah awal 90-an) bercuti umum pada hari Jumaat.Selepas sahaja kaum lelaki selesai solat jumaat,pada sela-masa tertentu akan diadakan aktiviti gotong –royong membersih kampung.Aktiviti akan bermula dengan penduduk kampung berkumpul di surau yang kadangkalanya 'kentong' (kayu kecil yang ditebuk tengahnya,dipalu untuk memberitahu masuk waktu/memberitahu akan ada kematian) dipalu terlebih dahulu sebagai tanda supaya mereka perlu berkumpul.Kemudian mereka akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dan akan bergerak ke kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh ketua masyarakat.Kebiasaan aktiviti utama adalah membersih sisi jalan (menebas rumput) dan membersih tepi parit (menarik lumut dan rumpai air).

Dengan berbekalkan alatan tertentu,maka bermulalah aktiviti berkenaan.Yang manisnya,selain aktiviti dijalankan secara berkumpulan,peluh pula mencurah-curah keluar,ada penduduk pula ringan tangan menghulur juadah.Juadah yang kadangkala sekadar air sirap dan biskut kering menjadi penyegar badan kepada ahli gotong royong.Biasanya juadah akan diletak di atas kerusi di tepi-tepi jalan dan sesiapa pun bebas untuk menikmatinya.Jika nasib menyebelahi kami,jamuan seperti bubur merah (dengan sedikit bubur putih ditengah-tengahnya) pasti memeriahkan majlis.Orang tua-tua dahulu kata,bubur sedemikian dibuat sempena mengingat pemulaan kejadian kita dahulu dimana benih lelaki tersenyawa di dalam benih wanita.Sebab itulah rupa bubur berkenaan sedemikian.Mungkin bubur merah (bubur nasi yang dicampur dengan sedikit gula merah) adalah simbolik benih wanita,manakala sedikit tompok bubur putih (yang dicampur sedikit dengan garam) ditengah-tengahnya adalah simbolik kepada benih lelaki.Wallahua`lam.

Bubur merah.
Simbolik asal kejadian dan bersatunya benih manusia.
Wallahua`lam.

Cukuplah 5 situasi yang dapat dikongsikan kala ini.Moga generasi yang ada sekarang serta generasi yang akan datang dapat mengambil iktibar dan menafaat dari kisah di atas.InsyaAllah.

Kesimpulan.

1. Walau sebesar mana jua pangkat kita mahupun kita rasa diri kita langsung tidak berpangkat,hiduplah dan bercampur-gaullah dalam aktiviti masyarakat selagi ia dibenarkan oleh syarak.
2. Sesuatu yang dilakukan tentunya bersebab.Oleh itu sekiranya kita tidak tahu menahu,bertanyalah dengan orang-orang yang terdahulu yang lebih berpengalaman.Ini kerana mereka hidup dengan memerlukan mujahadah/pengorbanan yang tinggi.
3. Islam mengajar kita agar menjaga kebersihan.Oleh itu kita dikehendaki menjaga kebersihan dan ajaklah dan ajarkanlah orang lain juga agar mencintai kebersihan.
4. Bersyukurlah dengan apa yang kita kecapi zaman ini.Berterima kasihlah dengan orang-orang terdahulu dengan mengenang jasa-jasa mereka.Tanpa mereka,siapalah kita.

Wak,
TDI.

Friday, April 22, 2011

:: Renung Sejenak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan catatan dari Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nor Azamir b. Haji Alias-Timbalan Mufti N9 (Surau Al Amin-17 April 2011).

Puji-pujian kepada Allah SWT pertama-pertamanya dan selamanya kerana kita terhutang budi yang terlalu banyak dan tidak terhingga denganNya.Puji-pujian dipanjatkan juga kerana kita sebagai hambaNya sentiasa memerlukan Rahmat dan Petunjuk Allah SWT dalam segala hal-ehwal dalam kehidupan.Dengan penuh pengharapan moga apa yang telah berlalu dan berlaku mendapat keampunan dan Hidayah dariNya agar kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai.

Sifat dosa.

Sifat dosa adalah ia meratah pahala yang kita ada serta melemahkan semangat untuk kita beramal ibadah.

Maruah kambing vs maruah babi.

Babi dijadikan Allah SWT dengan sifat kejadiannya yang tiada sifat malu.Di dalam sebuah kandang babi,penjantan A dan penjantan B dengan bebas mengawan walaupun dengan bertukar-tukar pasangan.

Berbanding situasi yang berlaku di kandang kambing.Di dalam kandang kambing hanya akan ada seekor penjantan dan beberapa ekor kambing betina yang akan menjadi pasangan untuk mengawan.Jika terdapat dua penjantan di dalam 1 kandang,pasti sesama penjantan akan berlaku pergaduhan sehingga kadangkala membawa kepada kecederaan hanya kerana berebutkan pasangan untuk proses mengawan.Dalam erti kata lain,antara kambing penjantan mereka tidak akan berkongsi pasangan dalam proses mengawan.

Sesungguhnya faktor pemakanan dan apa yang kita makan mempengaruhi sistem badan kita dan cara kita bertindak.Ditambah pula dengan manipulasi golongan kapitalis dimana unsur babi yang dicampur di dalam makanan tetapi menggunakan kod kod tertentu (contoh : E-xxx).Tindakan ini secara langsung menambah kecelaruan dan kekeliruan dalam masyarakat bagi mereka menyisih-asingkan makanan-makanan yang sepatutnya mereka perlu hindari.

...dan akhirnya kita dapati sebahagian dari masyarakat kita tanpa segan silu bertukar-tukar pasangan dalam melakukan hubungan jenis walaupun yang menjadi tukarannya adalah isteri masing-masing.

Jemaah Masjid.

Di dalam seluruh Negeri Sembilan ada hampir kira-kira 280 buah masjid.Di ambil kira secara purata 10 orang jemaah yang hadir bagi setiap masjid pada solat 5 waktu,jumlahnya hanya ada sekitar 2800 orang.Sekiranya ditambah masuk jemaah surau,2800x10 (anggaran),hanya ada sekitar 28,000 orang penduduk Negeri Sembilan yang datang untuk solat berjemaah.

Mana pergi penduduk Negeri Sembilan yang lain?

Berubah konsep.

Kalau diperhatikan perkembangan semasa dan terkini,lagu-lagu yang dinyanyikan era 2011 dibandingkan dengan era 80-an amat berbeza.Kalau dulu,lagu era 80-an melodinya mendayu-dayu dan intronya agak panjang berbanding lagu era 2011 di mana ia sudah tidak seperti dahulu lagi.Melodinya,liriknya,iramanya semuanya sudah berubah.

Agenda siapakah ini?

Sambutan Valentine.

Suatu masa dahulu remaja menyambut hari Valentine dengan aktiviti hanya sekadar bertukar-tukar bunga ataupun coklat,tapi tidak lagi kini.Aktiviti menyambut hari Valentine kini lebih menjurus kepada perkara maksiat sehingga ke tahap mereka berzina sesame pasangan.

Agenda siapakah ini?

Generasi Y.

Trend pemakaian muda-mudi memang dipengaruhi dari sumber media yang ada.Dan trend ini berubah dari masa ke semasa.Jika dahulu di antara trend yang popular adalah memakai jeans ketat terutama bagi muda-mudi wanita,kini trend lebih menganjurkan mereka membentuk generasi Y.Generasi yang memakai seluar di paras punggung sehingga ternampak belahan yang sepatutnya tidak boleh didedahkan.

Agenda siapakah ini?

Belajar ikut-ikut.

Kaum wanita secara umumnya memang rajin menuntut ilmu dan mereka amat konsisten akan usaha mereka itu.Maka tidak hairanlah jika kita dapati dalam kawasan taman-taman perumahan ada kegiatan seperti belajar berzanji,belajar marhaban,kumpulan yaasin,serta pelbagai lagi aktiviti kaum wanita.Tapi sekiranya mereka menuntut ilmu atas dasar mengikut-ikut kawan atau untuk seronok-seronok,tidak lebih dari itu,mereka harus fikirkan semula objektif mereka menuntut ilmu itu.

Bagaimana Yahudi mengkaji?

Yahudi juga mengkaji Al Quran,tetapi mereka mengkaji lebih kepada bagaimana untuk mencari kelemahan orang Islam.Mereka akan berusaha untuk membawa orang Islam agar tidak mengenali Tuhan mereka langsung membawa kepada syirik kepada Allah.

Pesan Imam Hasan al Banna.

1.Mempunyai matlamat hidup yang jelas.
2.Prinsip Al Quran ada di dalam hati.
3.Memperkasakan ilmu walau di mana sahaja kita berada.

Semoga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, April 13, 2011

:: Kuliah Baru (siri 2) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan hasil catitan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-12 April 2011)

Buku yang digunakan dan diulas pada kuliah maghrib.
Asas-asas Islam-Dr Ali Laban

Rujukan untuk kuliah sebelum ini (kuliah baru).

Kiamat dan tanda-tandanya.

Perbincangan minggu ini.

Tanda kiamat terbahagi kepada 2.
1.Tanda kiamat kecil (tanda sudah akhir zaman).
2.Tanda kiamat besar (tanda kiamat sudah dekat).

Nabi SAW menjawab soalan Jibrail dengan sabdanya,

"Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya."

Namun Nabi SAW ada menyatakan beberapa tanda kiamat.Sabda Baginda,

"(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya. Kamu akan melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing, berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)."

Makna majazi (makna kiasan) pada ayat di atas ialah :

1.Kebejatan zaman dan akhlak.

Orang muda zaman sekarang.

a. Tidak mendengar kata ibubapa.
b. Terpengaruh dengan suasana.
c. Gagal dalam pelajaran.
d. Gagal dalam akhlak.
e. Pelaku jenayah.
f. Belaku khianat.

Kita sebagai ibubapa.

a. Adakah kita mendidik anak dengan didikan Islam sepenuhnya?
b. Adakah kita mencurahkan kasih dan sayang sewajarnya?
c. Adakah kita menunjukkan ketegasan terhadap anak?

Harus diingat kasih sayang dan ketegasan adalah 2 perkara yang tidak boleh tidak mesti ada dalam institusi kekeluargaan,sepertimana perlunya/pentingnya garam dan gula dalam masakan.Jika ketegasan sahaja yang kita praktikkan/ketegasan ditahap yang melampau,maka dikhuatiri anak-anak tadi mencari kasih sayang di luar rumah.Apabila ini berlaku,maka tidak mustahillah kita melihat/dapati terlampau banyak maksiat seperti pezinaan melanda masyarakat kita.Anak-anak gadis yang mencari kasih sayang di luar sana sebenarnya telah termakan madu beracun.Jadilah kepincangan dalam keluarga malah yang paling kita takuti,bila lahirnya anak luar nikah,pezina itu sebanrnya telah merosakkan sistem susur galur zuriat mereka.

Sebaliknya,jika ketegasan dan kasih sayang sudah diberi secukup rasa,faktor sumber rezeki juga perlu dititikberatkan dan diperhalusi setelitinya.Apabila rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang haram serta syubahat maka keberkatan tidak akan datang dalam rumah.Secara tidak langsung anak kita akan menerima kesannya dan akhirnya mereka menjadi generasi yang amat sukar untuk dididik.

Selain dari itu,ibubapa juga dilarang sama sekali membawa masuk perkara-perkara haram ke dalam rumah.Kalau dahulu sumber bahan lucah/melampau hanya boleh didapati/dibaca/dilihat pada majalah-majalah tertentu sahaja,namun kini buku dan akhbar juga menjadi penyumbang ke arah itu.Tambahan pula masyarakat yang ada sekarang yang kini telah leka dan kurang peka terhadap perkara tersebut.Maka mereka tidah mengubah keadaan yang ada menyebabkan saban hari fenomena ini semakin parah dan menjadi barah dalam masyarakat.

2.Berlaku situasi terbalik dan bercampur baur.

Nabi pernah berkhutbah yang antara maksudnya,

Sabda Rasulullulah SAW, "Apabila disandarkan pekerjaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)."

Tanggungjawab memilih pemimpin.

Sabda Rasulullulah SAW, "Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin/pegawai di dalam sebuah kumpulannya sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah swt daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah swt dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang-orang yang beriman."

Orang yang dipilih dan diberikan kepercayaan pula semestinya :
a. Memberi nasihat dan bimbingan.
b. Bekerja keras untuk memajukan ummah.
c. Jaga keamanan (contoh :Membuat sistem di mana dapat menjaga harta rakyat dari dicuri).

Tanggungjawab pemimpin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,"Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Harga dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,"Seandainya dunia ini di sisi Allah punya nilai setara dengan sebelah sayap nyamuk niscaya Allah tidak akan memberi minum seorang kafir seteguk air pun." (HR. At-Tirmidzi, dishahihkan Al-Imam Al-Albani)

Pesanan di akhir majlis.

Ustaz berpesan agar kita menjaga adab dalam apa jua keadaan dan ustaz telah membaca Ayat Al Quran yang maksudnya,

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raaf 7:31)

Moga perkongsian memberikan manafaat.InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Tuesday, April 12, 2011

:: Menghargai dan Meraikan Blogger ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Segala puji-pujian kepada Allah SWT Tuhan Pentadbir sekian alam.
Selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW dan kaum keluarga.

Terharu.

Perasaan terharu bila ada blogger lain yang melinkkan blog kita di dalam blog mereka.

Antara blogger tersebut adalah :


blog : pakarhowto
(sahabat seIPIJ di Jepun dahulu)



blog : UMT
(sahabat seIPIJ di Jepun dahulu)

Terima kasih yang tidak terhingga buat blogger-blogger di atas.Hanya ALlah SWT yang berhak membalas jasa kalian.

Giliran saya.


Antara rutin harian (baca : sekiranya ada kesempatan) saya adalah membaca hasil nukilan/perkongsian dari blogger-blogger yang terlalu ramai di luar sana.Ada yang saya ikuti setiap hari,ada yang saya ikut sebagai silent reader,ada yang saya ikuti dan meninggalkan jejak (baca : komen) dan ada yang saya ikuti mengikut musim.

List blog yang wajib (baca : kerap) di lawati.

Namun blog-blog pilihan,saya senarai pendekkan di satu list dengan harapan saya tidak ter-miss untuk dapat membaca entry mereka yang terbaru.

Banyak (baca : terlampau banyak) manafaat yang saya perolehi dari melawat blog-blog yang ada dan kadangkala saya kongsikan yang termampu saya ingat dengan isteri di rumah untuk kegunaan bersama.

Antara yang terbaru adalah dari :

blog : Dr Intan

Hasilnya adalah :

Isteri saya begitu teruja untuk membuat kuih bakar idamannya setelah sekian lama memendam hasrat.Anak-anak saya juga begitu teruja untuk menikmati hasil air tangan umminya.Gambar di bawah adalah hasil selepas kali ke-3 mencuba resepi dari blogger yang begitu baik hati berkongsikan resepinya untuk bacaan umum.

Panas dari oven.

Cukup menarik?
(saya bagi 7/10 untuk hasil yang ini)

Terima kasih di atas perkongsian ilmu ( baca : resepi) yang ringkas dan mudah.Moga Allah membalas jasa Cik Doktor dan juga blogger yang lain yang saya tidak nyatakan secara khusus di sini.

Wak,
TDI.





Monday, April 11, 2011

:: Menadah Ilmu dari Ulama Nusantara (siri 2) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan catatan dari kuliah yang telah disampaikan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (Masjid Bandar Baru Senawang-9 April 2011)

Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki
(kali ke 2 berkunjung ke MBBS)

Merubah keadaan.

Ada setengah golongan yang merubah rupa paras mereka.Antara anggota yang sering diubah (baca: operation) adalah anggota-anggota pada bahagian muka seperti hidung,mulut dan dagu.Tujuan/objektif utama mereka mengubah bentuk anggota berkenaan adalah agar kelihatan lebih cantik/tampan.Mungkin ada dari mereka pula yang pernah mengubah struktur salah satu dari anggota badannya,tetapi disebabkan tahap kecantikan yang telah dibuat masih tidak memenuhi citarasa,maka mereka membuat perubahan pada anggota yang lain pula.Dengan erti kata lain,mana anggota yang diubah,maka anggota itu sahajalah yang berubah tanpa memberi efek/menambah kecantikkan kepada anggota lain.

Merubah dekorasi rumah.

Rumah yang kita miliki juga begitu.Mungkin tidak berpuas hati dengan binaan asal yang pemaju perumahan lakukan,maka kita ubah designnya.Yang kecil dibesarkan dan yang sempit diluaskan.Jika masih tidak berpuas hati dengan bentuk rumah yang sudah diubah,kita boleh sahaja menjualnya dan membeli rumah yang kena dengan citarasa kita.

Jalan pintas.

Tiadakah jalan pintas untuk kita mencapai hasrat kita? Tiadakah cara yang jika kita mengubah A maka B,C,D,E juga boleh berubah.Tentu menjimatkan kos jika kita mengubah struktur/bentuk hidung menjadi mancung bak seludang,maka bibir kita sertamerta menjadi bak delima merekah,pipi bak pauh dilayang dan mata menjadi berkilauan bak delima.Tentu sekali pusat rawatan yang boleh menawarkan pakej dan tawaran yang sebegitu akan menjadi tumpuan ramai dan ramai yang akan berpusu-pusu ke sana.Siapa yang tidak teringin menjadi cantik?

Pusat rawatan.

Pusat rawatan kecantikan adalah tempat di mana kita bisa menambah kecantikan yang ada pada diri kita kepada kecantikkan yang kita idam-idamkan.Biasanya kecantikkan yang diidamkan berdasarkan idola-idola tertentu seperti pelakon mahupun artis.Walaupun kadangkala kecantikkan yang diidam-idamkan hampir/boleh tercapai namun ia tidak terimbas kepada anggota-anggota lain,jauh sekali dapat merubah perlakuan dan sikap yang ada dalam individu tersebut.

Maksudnya,walaupun bibir sudah menjadi bak delima merekah,kebaikan yang ada/keluar dari bibir tersebut belum tentu ada.Begitu juga sekiranya tangan,hidung,telinga,mulut dan lidah dapat diubah bentuk dan paras rupanya belum tentu keadilan,kebaikan dan faedah-faedah lain dapat kita kecapi/miliki pada masa yang sama.

"Anda boleh menjadi cantik segalanya."-Iklan Pusat Rawatan mana tu?

Sabda Nabi Muhammad SAW,"Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika dia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahawa dialah HATI." (HR. Bukhari dan Muslim)

Jika hati rosak,bagaimana?

Sesungguhnya kata ulama,penawar yang boleh memperbaiki dan mengelokkan hati ada 5.

1.Membaca Al Quran dengan penuh tadabbur (memerhati,mengkaji,menyelidik).

Sesungguhnya dengan membaca Al Quran ia menjadi terapi hati.

2.Bangun tahajjud di waktu malam.

Allah berfirman,” Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. (As-Sajdah 32:16)

3.Bersahabat dengan orang soleh.

a.Siapa sahabat yang paling elok?

Bila kita tengok muka sahabat kita,kita ingat pada Allah,menambahkan ilmu agama dan membuatkan hati zuhud pada dunia.

b.Kisah terkesan dengan berkat Nabi Muhammad.

Ada seorang perempuan di zaman Nabi SAW yang mempunyai sifat yang tidak elok,perkataannya pula selalu menggunakan bahasa yang kasar.Lalu Nabi Muhammad SAW memberikan kepada perempuan itu makanan bekas dari apa yang Baginda makan.Berkat dari itu,perempuan tadi berubah menjadi seorang yang bersopan santun.

Sesungguhnya perilaku/perangai kita terimbas dengan perangai sahabat kita.

c.Kisah 'terimbas'.

Dalam situasi biasa,seorang hafiz boleh menghafal Al Quran lebih kurang selepas 8,9 bulan.Namun bagi hafiz yang cemerlang mereka boleh menghafal Al Quran lebih kurang selepas 80 hari.Namun ada yang lebih cemerlang lagi,iaituboleh menghafal Al Quran dalam beberapa minit/saat sahaja.

Siapa dia?-Teknologi Bluetooth.

Dalam beberapa minit/saat sahaja fail bacaan Al Quran dari telefon bimbit A boleh dipindahkan ke telefon bimbit B.Jika kita boleh berubah/meniru kebaikan seperti teknologi Bluetooth,sudah tentu ia satu Rahmat yang turun pada kita.

4.Mengosongkan perut.

5.Memohon doa kepada Allah SWT pada waktu sahur.

a.Kisah Hari raya

Ibarat kita memandu untuk pulang ke kampung pada hari raya,semakin dekat dengan hari lebaran keadaan jalanraya semakin sesak dengan kenderaan.Namun walau sesesak manapun jalanraya/lebuhraya pada musim lebaran,keadaan pasti akan lengang diwaktu dinihari,kerana kebanyakkan orang pada tika itu sedang berehat/tidur.

b.Kisah talian telefon.

Begitu juga talian telefon.Sekiranya kita membuat panggilan jauh (contoh : ke mekah),pada masa kemuncak,kualiti gelombang seringkali tidak begitu jelas.Berbanding ketika membuat panggilan pada tengah malam,kualiti gelombang pasti amat baik dan suara dapat di dengar dengan amat jelas.

Jika urusan dunia pun boleh begitu mudah dan cepat di waktu orang lain sedang rehat/tidak menggunakan waktu berkenaan,tentu sahaja untuk urusan akhirat lebih dari itu.

Moga perkongsian memberikan manafaat kepada semua.

Semua jemaah diijazahkan oleh Syeikh Nuruddin
dengan ratib al Haddad.

Bersalam dan mengucap terima kasih.
Mengambil berkat dengan kedatangan ulama.

(....Di kaki tangga masjid.)
Anak-anak adalah ibarat kain putih.
Moga mereka mendapat imbasan dan tempias
dengan kedatangan Syeikh Nuruddin.

Wak,
TDI.

Saturday, April 9, 2011

:: Adakah segalanya milik kita? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Suatu hari Rabi`ah pulang dari sebuah perang dengan membawa sejumlah harta rampasan perang yang banyak.Namun tidak lama kemudian,disebabkan ada panggilan jihad yang lain,Rabi`ah terus sahaja menyahut seruan itu.Sebelum pergi ke medan perang,Rabi’ah telah meninggalkan harta rampasan perang tersebut kepada isterinya sebagai bekal sepanjang sepeninggalannya itu.Dalam pada itu,walaupun Rabi`ah tahu isterinya sedang mengandung dia tetap meneruskan niatnya demi kerana Islam yang tercinta.

Bagi isteri Rabi`ah pula,dia menerima sahaja tanggungjawab yang telah diberi oleh suaminya.Harta peninggalan suaminya dijaga dan diurus dengan betul manakala anak yang di dalam kandungan pun diberi perhatian sepenuhnya.Namun sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku.Sejak Rabi`ah pergi ke medan jihad,tiada sebarang khabar berita tentangnya walaupun telah sekian tahun lamanya.Akhirnya isteri Rabi`ah pun mengambil keputusan untuk melakukan solat jenazah ghaib kerana dia beranggapan suaminya telah meninggal dunia.

Selepas dari itu,tinggallah isteri Rabi`ah seorang diri dan membesarkan anak lelakinya yang telah lahir ke dunia.Dididiknya anak lelaki tersebut dengan penuh kasih sayang dan dengan didikan agama yang cukup.Dihantarnya anak lelaki itu untuk menuntut ilmu agama kemana sahaja berbekalkan harta peninggalan suaminya dahulu.Membesarlah si anak dengan suasana agama dan dengan gigih menuntut ilmu walaupun tanpa bapa di sisi.

Tanpa disangka-sangka,pada suatu malam Rabi`ah telah pulang ke rumahnya dalam keadaan yang sihat sejahtera.Ketika menyambut kepulangan Rabi`ah,isterinya berada dalam keadaan terperanjat dan tidak menduga langsung yang suaminya itu masih lagi hidup.Di tambah pula bertahun-tahun lamanya Rabia`ah pergi tanpa ada khabar berita.

Dalam pada itu,tiba-tiba isteri Rabi`ah dilanda satu perasaan bersalah.Manakan tidak,sebelum pergi dahulu,suaminya meninggalkan harta yang begitu banyak,namun sekarang hartanya itu sudah tidak berbaki.Dia risau bagaimana hendak dijawabnya sekiranya Rabi`ah bertanyakan tentang harta peninggalannya dahulu.Keadaan rumahnya yang tetap seperti dahulu dan tidak banyak berubah walaupun setelah sekian tahun,tidak dapat membuktikan yang duit dari hartanya itu disalurkan ke situ.Namun kerana terlalu letih disebabkan perjalanan yang jauh dan hari pun sudah larut malam,Rabi`ah terus sahaja tidur tanpa bertanyakan banyak hal.

Keesokkan paginya,bangkit sahaja tidur Rabi`ah terus sahaja menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh.Selepas selesai sahaja solat subuh,jemaah terus sahaja mendengar kuliah yang disampaikan termasuk juga Rabi`ah.Bagi Rabi`ah,kerana ia sudah lama diperantauan,ia begitu takjub dengan suasana pagi itu.Kuliah yang disampaikan walaupun dari seorang anak muda tetapi isinya cukup mantap.Di tambah pula hadirin yang datang mendengar cukup ramai dan Rabi`ah percaya anak muda itu bukan calang-calang orang.

Selesai mendengar kuliah berkenaan,Rabi`ah terus sahaja pulang dan menceritakan perihal tersebut kepada isterinya dengan penuh perasaan dan takjub.Selepas dari bercerita perihal berkenaan,barulah Rabi`ah teringat akan anak yang ditinggalkannya dahulu yang masih di dalam kandungan isterinya.Lalu apabila ditanyakan pada isterinya,isterinya pun menjawab bahawa yang memberikan kuliah pada subuh hari tersebut, itulah anak mereka.Dan harta yang ditinggalkan oleh Rabiah dahulu telah digunakan dan dibelanjakan oleh isterinya untuk membesarkan dan memberi didikan agama yang terbaik untuk anak mereka.Dan tatkala itu juga isteri Rabia`ah menerangkan bahwa harta tersebut sudah tidak lagi berbaki.

Begitulah kisah Rabi`ah dan keluarganya yang mewakafkan diri,keluarga,anak dan harta mereka di atas jalan agama.

Siapakah sebenarnya Rabi`ah?

Ya,Rabiah merupakan salah seorang guru kepada Imam Malik-Imam kepada Mazhab Maliki.(untuk catatan Imam Malik pula adalah guru kepada Imam Shafie-Imam kepada Mazhab Shafie).

Nota :
300 hadith bimbingan
(Ust Dr Hj Zahazan Mohamed)

Ust Dr Hj Zahazan Mohamed.

Seperti yang dikisahkan oleh Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed-Kuliah Maghrib Surau An Nur,Bandar Baru Bangi (26 Mar 2011),ketika mengulas isi buku tulisan beliau 300 Hadis Bimbingan-Ke arah mencari redha Allah.

Wak,
TDI.

Thursday, April 7, 2011

:: Kuliah baru ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Entah mengapa hari Selasa pasti menjadi hari yang amat sukar untuk membuat pilihan.MBBS menjanjikan kehadiran Ust Hj Norazman (Tafsir Al Munir Juz Amma- blog ustaz )manakala Surau Al Amin menjanjikan kehadiran Ust Hj Hambali (Muntakhab Ahadith- blog ustaz).Di mana pula saya perlu menghadirkan diri?

Baru-baru ini saya mendapat jemputan dan makluman dari Ust Hj Abdul Halim (blog ustaz) tentang kuliah mingguannya di Masjid Paroi Jaya,juga setiap hari Selasa.Beliau akan berkuliah menggunakan buku yang bertajuk Asas-asas Islam (Dr Ali Laban).

Jemputan yang sukar untuk ditolak.

Tentu sahaja jemputan ini tidak dapat tidak,perlu juga dipenuhi.Tapi bagaimana pula untuk minggu-minggu yang mendatang? Bagaimanalah saya boleh menyusun aktiviti hari selasa saya.Kalau ikutkan hati dan perasaan serta runtunan kehendak,pasti saya tidak mahu ketinggalan untuk menghadiri ketiga-tiga kuliah tersebut.Tapi mana mungkin.Ya Allah berilah aku kekuatan.

Ust Hj Abdul Halim Abdullah,disalah sebuah majlis.
(ehsan ismaweb.net)

Alhamdulillah,Selasa yang lepas (5 Mac 2011) saya diberi kesempatan dan kekuatan untuk sampai ke kuliah Ustaz Hj Abdul Halim di Masjid Paroi Jaya.Malam itu Ustaz membacakan salah satu hadith yang tertulis dalam buku terbitan ISMA berkenaan.

Buku yang akan dihadam isinya.

Berikut serba sedikit catatan yang mampu dikongsikan.Semoga mendapat manafaat.

Daripada Saiyidina Umar r.a beliau berkata,"Ketika kami sedang di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, dan tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun dikalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha baginda seraya berkata,"Wahai Muhammad!Terangkan kepadaku tentang Islam".Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Islam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya".Lelaki tersebut berkata,"Benarlah engkau." Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.Dia bertanya,"Terangkan kepadaku tentang iman." Baginda bersabda,"(Iman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk." Lelaki itu berkata,"Benarlah engkau." Dia berkata lagi,"Terangkan kepadaku tentang ehsan." Baginda bersabda,"Ehsan itu bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Lelaki itu bertanya lagi,"Terangkan kepadaku tentang Qiamat." Baginda bersabda,"Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya." Lelaki itu berkata,"Maka terangkanlah aku tentang tanda-tandanya." Baginda bersabda," (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing, berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)."

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian baginda bertanya,"Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?" Aku berkata,"Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Baginda bersabda,"Sesungguhnya dia adalah malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu." (Hadith riwayat MUSLIM)

Ustaz menerangkan Islam itu adalah menyerah diri pada ketentuan Allah SWT.Dalam perkataan lain,Istislam adalah menyerah diri.

Iman pula bukan sahaja meyakini sesuatu itu di dalam hati tetapi diiringi dengan amalan.Dengan kata lain,iman itu perlu tertanam kukuh di dalam hati dan membenarkannya dengan amalan.Sebaliknya sesiapa yang mengingkari (tidak percaya atau tidak beramal) mereka adalah tergolong dalam golongan yang sesat dan gagal.

Di dalam hadith di atas juga,Islam mengajar kita agar menjadi seorang Islam yang beriman sehingga ke peringkat ehsan.

Sebagai contoh,

Tumpuan dalam kerja.

Jika kita ada sesuatu tugas kerja yang perlu diselasaikan,tentu sahaja berbeza tahap penumpuan kita terhadap apa yang kita lakukan bila ia dilakukan/diselesaikan di rumah berbanding sekiranya kerja yang sama kita lakukan/selesaikan di pejabat.Di rumah tentu sukar untuk kita memberi penumpuan yang terbaik terhadap kerja di sebabkan faktor persekitaran yang selalu sahaja menganggu tahap penumpuan kita.Contohnya seperti gangguan suara ahli keluarga mahupun gangguan suara yang keluar dari kaca telivisyen.Berbanding di pejabat,ia merupakan tempat di mana suasana dan persekitaran untuk bekerja.Tentu sahaja kita dapat menyelesaikan tugasan kita dengan daya tumpuan yang tinggi dan kualiti kerja yang baik.

Khusyuk dalam solat.

Begitu juga dengan solat.Tentu berbeza suasana solat yang dilakukan di rumah dengan dilakukan di masjid/surau.Ini membuktikan,salah satu faktor untuk mendapatkan mutu solat yang baik serta dapat dilakukan dengan khusyuk adalah dengan melakukannya di masjid atau surau dimana seruan azan dilaungkan dan dilakukan di awal waktu.Ini tidak lain kerana,suasana yang ada di dalam masjid/surau itu mempengaruhi daya tumpuan/kusyuk kita di dalam solat.

Harta.

Kita digalakkan untuk menderma sebahagian dari harta kita.Tetapi apabila harta kita itu sudah mencukupi haul dan nisab,maka ia wajib di keluarkan zakat.Kerana harta yang perlu dizakat itu bukan lagi milik kita tetapi harta orang yang berada di dalam poket/akaun kita.

Manusia.

Akhir sekali ustaz mengingatkan para hadirin bahawasanya manusia itu adalah gabungan dari roh dan jasad.Setiap dari roh dan jasad itu pula memerlukan keperluan masing-masing. Rumah,kereta,makanan,pakaian adalah contoh keperluan jasad.Manakala amalan solat,puasa,haji,sedekah,membaca Al Quran pula adalah untuk keperluan roh kita.Dengan erti kata lain,sekiranya keperluan itu tidak diseimbangkan maka kehidupan kita juga tidak seimbang dan yang paling ditakuti,kita menjadi golongan yang sesat dan rugi.

Wak,
TDI.

Monday, April 4, 2011

:: Catatan perjalanan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Seperti tiada apa yang dapat menghalang hati ini dari meruntunkan rasa kesedihan apabila melihat apa yang diusahakan selama ini hilang/musnah sekelip mata.

Bayangkan sahaja dalam masa 3 tahun,kebun yang diusahakan dengan menanam pokok sawit terbakar sebanyak 2 kali.Kejadian terakhir sekali adalah pada Mac 2011.Dan kejadian kali ini adalah yang paling teruk kesannya.

Melihat pokok yang dahulunya membesar dengan subur dan menghijau serta sudah belajar mengeluarkan buah walaupun tandannya tidaklah sebesar mana,tiba-tiba melayu dan menguning,tentu sahaja agak sukar menghadapi suasana tersebut.Bayangkan sahaja,segala usaha dari menanam anak pokok yang sekitar tingginya baru mencecah 2 kaki hinggalah tingginya melebihi tinggi saya sekali gandanya tentulah bukan calang-calang pengorbanannya.

Antara musuh utama pokok sawit adalah serangan babi hutan yang amat gemar memakan umbut sawit dipangkal batangnya.Tambahan lagi tatkala umur masih semuda anak pokok sawit,ia belum mengeluarkan duri keras dan ini secara tidak langsung telah mengurangkan lagi sistem pertahanan dari diserang.Mungkin zink yang dililit dikeliling anak benih boleh menghalang dari ia diusik oleh babi hutan.Tapi bagaimana pula dengan tabiat beruk yang suka mencabut anak pokok sawit.Tentu kesukaran tatkala saat hendak membesarkan anak sawit ini begitu sinonom dan tercatat di dalam diari dan memori para pekebun sawit.

Itu belum dikira dari musuh semulajadi yang lain.Pokok lalang adalah penghuni paling setia di atas tanah gambut (terutamanya selepas terbakar).Sifatnya yang suka mendominasi kawasan tanah menyebabkan agak sukar untuk menghapuskannya.Tambahan pula cara hidupnya yang suka membuat lapisan demi lapisan (tumbuh rapat-rapat antara generasi 1,2,3 dan seterusnya),menyebabkan proses meracun rumpai tidak kesampaian sekiranya tidak kena caranya.Belum sempat lalang nampak layu,dicelah-celahnya sudah muncul lalang baru yang hijau serta segar-bugar.Biasanya ini berlaku jika hanya lapisan bahagian atas pokok lalang sahaja yang terkena racun rumpai.

Itu belum senduduk,tenggek burung,paku pakis......

Yang dinyatakan di atas itu baru sebahagian dari cabaran,belum lagi dikira kos penjagaan dan kos sampingan (meracun,membaja,membuang pokok kait-kait,membuang pelepah,membuat jalan,membina jambatan) yang sekiranya mahu disenaraikan tentu banyak susur galurnya.

Di sini ia bermula.....
Jambatan kecil penghubung jalan utama ke dalam
kebun menjadi saksi kepada usahaku untuk
memiliki sebuah kebun hasil titik peluhku sendiri.

Lalu segalanya musnah dimamah dan dijilat api dalam sekelip mata sahaja.

Kaki ini sebenarnya sudah begitu lemah untuk berdiri menghadapi kenyataan yang telah berlaku.Melihat keadaan kebun dan segala isinya yang sebahagiannya agak teruk terjejas tentu begitu sulit untuk meluahkan gambaran perasaan yang tersemat di dalam hati.

Apa yang perlu dilakukan?
Di mana hendak bermula kembali?

Persoalan di atas mundar-mandir di dalam kepala yang masih berserabut dengan masalah yang melanda.

Tanpa menyedari,sebelum pulang semula ke bandar semalam (3 April 2010),abah menghulurkan beberapa not RM50 (tidak berapa pasti berapa jumlahnya),katanya sebagai ganti rugi dari pihak yang ingin bertanggungjawab atas kejadian yang telah menimpa kebun sawitku.Aku terharu dengan apa tindakbalas dari pihak yang mengaku hendak bertanggungjawab itu.Tetapi bukan itu yang aku mahukan.Aku masukkan kembali not-not tersebut ke dalam poket abah.Aku hanya perlu bersemuka dengan orang terbabit.Aku mahukan penjelasan.Pertama,mengapa kebun sawitku terbakar/dibakar? Kedua,apa jaminan pihak terbabit bahawasanya kebun aku tidak lagi akan terbakar walaupun atas sebab-sebab tertentu.

Ternyata tindakan abah lebih matang dariku.Dia memaksa aku mengambil juga not-not itu,dengan alasan sebagai modal untuk membeli anak benih yang baru.

Tiba-tiba,mindaku memproses satu input yang baru.Ya,membeli anak benih yang baru.Di situ aku akan bermula semula sambil aku memasukkan semula not-not itu ke dalam poket abah sebagai hadiah.

Kini,segala penat-lelah,jerit-perih,titisan peluh perlu diulang dan dikerah kembali demi survival seorang petani kecil yang masih mentah pengalamannya.

Terima kasih abah.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.