Saturday, May 28, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kisah ini sudah agak lama tidak bersambung.

Yang terakhir di sini (bahagian 3).

Sambungan.......

Report Card.

Semalam (27 Mei 2011) adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti semester (28 Mei~12 Jun 2011).Sebelum itu pihak pejabat SRIAS telah mengedarkan surat kepada ibubapa supaya mengambil slip keputusan penuh peperiksaan anak-anak mereka di sekolah.Maka semalam saya bersama Abdul Hadi,anak saya yang kedua telah pergi ke SRIAS untuk tujuan itu.

Tiba di sekolah,kelihatan murid-murid begitu bergembira menikmati makanan mereka kerana waktu saya tiba mereka semua sedang berada pada waktu rehat.Namun di dalam kelas masing-masing mualim/mualimah masih setia bersama dengan ibubapa yang hadir.Saya terus ke kelas 1 Ibnu Khaldun.Kelihatan Mualimah Aisyah sedang bertukar baton dengan Mualimah Siti ketika itu.Di dalam kelas masih ada 3 orang yang menunggu giliran untuk berjumpa dengan mualimah.Saya menunggu di luar.

Berbual-bicara.

Bersama saya ketika itu seorang bapa yang sedang dalam waktu bekerja,tetapi meluangkan masa ketika waktu rehat pejabat untuk menunaikan tanggungjawabnya di sekolah.Saya sempat berborak sebentar dengannya.Ceritanya,isterinya dahulu bekerja,tetapi disebabkan anak mereka semakin membesar dan tumpuan yang lebih pada keluarga perlu diberikan,maka isterinya kini bergelar suri rumah sepenuh masa.Kini anak yang sulung sudah di darjah 6 dan bersekolah tidak jauh dari taman perumahan tempat mereka tinggal.Begitu juga anak keduanya yang kini di darjah 4 sekolah yang sama.

Ceritanya lagi,

Sebelum menghantar anak lelakinya yang ketiga ini ke SRIAS,beliau tidak pun tahu akan kewujudan SRIAS.Tetapi setelah mendapat anjuran/cadangan dari seorang rakan,beliau telah menghantar anaknya ke SRIAS bermula dari pra-sekolah lagi.Sempat beliau bercerita akan kebimbangannya akan keadaan persekitaran yang ada kala ini.Hidup penuh cabaran dan dugaan,orang dewasa pun turut terkesan/terpengaruh dengan gejala tidak sihat,inikan lagi anak-anak yang masih terlalu muda untuk mengenal erti hidup.Niat beliau hanya satu,biarlah anaknya nanti membesar dengan asas agama yang kukuh,bila besar nanti walau sehebat manapun cabarannya ketika itu,anaknya tidak empuk walaupun direbus.Dengan erti kata lain,biarlah pendidikan agama yang diberi sejak kecil ini menjadi pendinding ketika anaknya besar kelak.InsyaAllah,anaknya itu akan disekolah pula di Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS) bila sampai masanya kelak.Anaknya yang ke empat juga akan di hantar ke SRIAS.

Sedang seronok berborak dan bertukar-tukar cerita,sedar-sedar giliran kami telah tiba.Saya berikan laluan kepada beliau untuk berurusan dengan mualimah Siti.Manakala saya mendapatkan 2 orang anak saya yang khusyuk bermain di luar kelas.Abdul Hadi seperti menikmati ruang dunia yang ada.Walaupun saiz tubuh badannya kecil,jiwanya besar untuk bersama-sama Abdul Aziz menerokai segala pelusuk ruang yang ada di dalam kawasan sekolah.

Memasang telinga.

Sementara menunggu giliran,sempat saya mendepangkan cuping telinga menangkap apakah isi perbincangan di antara mualimah dengan ibubapa yang hadir.Ada yang berupa teguran,ada yang berupa maklumat,ada yang berupa perkongsian dan ada yang berupa cadangan.Dalam hati saya,apakah yang bakal saya 'tadah' sebentar nanti ketika berjumpa mualimah.Risaunya melebihi risau Abdul Aziz,yang saya kira riak mukanya langsung tidak menunjukkan sebarang kerisauan.Walhal yang mengambil keputusan peperiksaan dia,bukan saya.

Mengadap.

Tidak lama kemudian tiba giliran saya.Lalu saya panggil Abdul Aziz dan adiknya.Saya mengambil tempat di hadapan mualimah Siti,manakala anak-anak saya duduk disisi.Mualimah terus menerangkan serba sedikit tentang perkembangan anak saya,termasuk dengan tahap hafazannya.Alhamdulillah,ketika ditasmik hafazannya oleh mualimah bertugas,nampaknya tiada masalah yang timbul.

Kini tiba giliran Mualimah Siti menerangkan tahap pencapaian anak saya pada peperiksaan kali ini dan pra-ujian sebelumnya.Alhamdulillah,walaupun kedudukan keputusan peperiksaan anak saya tidak dapat duduk di puncak,tetapi tidaklah pula terlalu jauh duduk di dasar.Bagi saya pada peringkat awal ini,ia satu permulaan yang boleh dilonjak lagi.Biarlah ia bermula dari bawah.

Sesetengah sistem persekolahan amat mementingkan hasil keputusan peperiksaaan.
Ada sesetengah sistem persekolahan pula yang amat mementingkan perkembangan
anak-anak murid selaras dengan perkembangan umur mereka.Ibubapa juga begitu.

Saya tidak terlalu banyak bertanya tentang perihal keputusan peperiksaan itu dengan mualimah,kerana saya telah tahu lebih awal akan keputusan peperiksaan setiap matapelajaran anak saya.Ini kerana Abdul Aziz telah terlebih dahulu membawa keputusan peperiksaannya balik ke rumah setiap kali Mualim/Mualimah memulangkan kertas jawapannya.Ada juga yang saya sempat semak di laman web As-Saidiyah.Terima kasih atas perkembangan teknologi.Keputusan anak boleh mudah disemak on-line,tidak seperti kita dahulu.

Risau.

Namun di sebalik itu,ada sedikit kerisauan dalam dasar hati saya akan perilaku Abdul Aziz,terutamanya bila melihat perkembangannya ketika di rumah.Lalu saya ajukan soalan itu pada Mualimah Siti.Alhamdulillah,penerangan beliau serba sedikit melegakan kerisauan yang ada.”Abdul Aziz suka bersendirian dengan dunianya sahaja.Tetapi bukan berada di dunia yang asing.Tempat duduknya di depan di samping pintu masuk.Paling jauh dia pergi pun di meja belakangnya sahaja.Meja belakangnya pun murid yang bijak.Dia tidak bercampur dengan murid-murid yang lain.Dalam kelas ini ramai murid yang agak sukar mendengar kata.InsyaAllah,sepanjang saya mengajar,dia dapat menyelesaikan segala amanah/tugasan yang diberi.Malah,dalam murid lain tidak mengucap terima kasih,dia ucap terima kasih.Cuba dia ni manja sikit.” Mualimah menerangkan panjang lebar perihal Abdul Aziz ketika di sekolah.Input itu saya simpan dalam memori kemas-kemas.Saya kira,ada mesej yang hendak disampaikan kepada saya.

Sebelum saya pulang,saya bertanyakan tugasan apa yang perlu ditunaikan oleh saya dan Abdul Aziz sepanjang tempoh cuti sekolah.Mualimah berpesan kepada Abdul Aziz agar dapat menjaga solat.Bagi saya itu pesanan ringkas yang cukup bermakna.Walaupun ringkas,anak-anak ini kadangkala lebih terkesan dengan pesanan dari seorang mualim/mualimah berbanding dari seruan dan arahan dari ibu bapa mereka sendiri.

Sebelum beredar,sempat Mualimah Siti bertanya akan perkembangan Abdul Aziz tentang bacaan jawi,memandangkan beliau tidak mengajar matapelajaran itu.Saya mengatakan,berdasarkan keputusan peperiksaan,Alhamdulillah,tiada masalah.Beliau bertanya lagi dengan tahap pembacaan ayat-ayat Al Quran,”sudah habis iqra’? “.Saya dengan ikhlas menjawab,”Abdul Aziz membaca muqaddam belum pindah ke Al Quran lagi dan tidak pula membaca iqra’,hanya muqaddam.” Sambil mengangguk-angguk,beliau sempat bertanya,”Membaca ke mengeja”.Saya jawab,”Membaca.”

Kelebihan Iqra'.

Dengan senyuman mualimah berkongsi pengalamannya ketika mengajar.Iqra’ adalah satu sistem yang kanak-kanak akan mengenal huruf jawi 1 huruf ke 1 huruf.Kemudian huruf-huruf tadi disambung menjadi 2 huruf.Kemudian menjadi 3.Kemudian mengenal huruf jawi yang berbaris.Kemudian barulah disambung dengan mengenal ayat-ayat lazim.Begitulah secara ringkas sistem iqra’ 1~6,terang mualimah.Saya menyahut idea itu.InsyaAllah anak yang berikutnya saya akan cuba menerapkan dengan sistem Iqra’.

Beredar.

Saya tidak pasti berapa lama mualimah meluangkan masanya kepada kami.Tapi saya rasa agak lama.Mungkin tidak ramai ibubapa yang menunggu selepas saya.Namun memang cukup berkesan.Saya berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan walaupun saya terpaksa bercuti semalam dengan meninggalkan timbunan gunung kerja yang perlu diselesaikan di pejabat.Menuju ke tempat letak kereta,saya bertemu dengan Habib,rakan Abdul Aziz semenjak di PASTI lagi.Katanya dia lapar dan kantin pula sudah tiada apa makanan yang dijual bahkan saya lihat ada sekeping duit seringgit di tangannya.Lantas saya membuka beg Abdul Hadi,saya berikan pada Habib goreng pisang,baki bekal dari ummi pagi tadi.Dia beredar kegembiraan.

Tersentuh.

Benar-benar tersentuh.Melihat anak-anak SRIAS berbaju melayu,yang perempuannya berjubah biru lengkap bertudung hingga ke paras dada pada hari Jumaat cukup mendamaikan mata dan perasaan.Suasana sekolah tetap sama,dengan hiruk pikuk pelajar,tetapi yang nyata kesan dari pembelajaran yang menitikberatkan sahsiah dan pembangunan akhlak amat memberi impak yang berlaianan.Di tambah lagi dengan para mualim yang bila bertemu /berselisih dengan bapa seperti saya,sempat memberikan ucapan salam sambil berjabat tangan bertanya khabar,tentu menyimpulkan impak yang ada.

Suatu hari nanti,bila anak-anak SRIAS sudah berjaya
dalam bidang masing-masing,moga mereka mengingati
uniform ini.Di sinilah mereka bermula......

Moga Allah SWT memberikan kekuatan dan istiqomah kepada kami semua.

Ya Allah,permudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat kelak.Amin.

Wak,
TDI.

Wednesday, May 25, 2011

:: Kuliah Baru (siri 5) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan hasil catitan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-24 May 2011)

Buku yang di kupas.
Sihat.

Tidak semua orang yang makan itu akan menjadi sihat.Malah ada manusia yang makan tetapi mempunyai penyakit yang lebih teruk dari manusia yang tidak makan.

Begitu juga dalam beribadah.Ibadah yang dibuat tanpa keikhlasan yang sebenar dan tanpa mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT mengikut apa yang diajar oleh Baginda Nabi SAW,maka kesan yang sepatutnya berlaku tidak akan diperolehi/dikecapi.

Hadith Nabi SAW.

Dengan kata lain,apabila kita makan makanan yang berkhasiat serta mengikut peraturan (tidak makan berlebihan dll.) maka tubuh badan kita akan sihat dan cergas.

Begitu juga,ibadah seperti solat yang dibuat mempunyai roh,maka kesan kepada si pengamalnya akan dapat diperolehi.

Implikasi.

1."Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-'Ankabuut 29:45)

2."Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)
3."Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (At-Taubah 9:103)

4.(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah 2:197)

Dari ayat dan tafsir yang dipetik dari Al Quran di atas membuktikan ibadah yang di fardhukan oleh Allah SWT (contoh : Ibadah dalam Rukun Islam) selain dari wajib dipraktikkan/di amalkan ia juga dapat memberi impak/implikasi agar akhlak pengamalnya dapat berubah menjadi baik.

Negara Islam.

Tertegaknya sebuah negara Islam yang sebenar adalah disebabkan adanya akhlak yang berkembang dengan baik di dalamnya.Negara Islam bukanlah tertegak semata di atas peruntukkan/undang-undang yang ada.Undang-undang yang ada adalah bagi mencegah kemaksiatan/kezaliman/kemungkaran.

Kisah tauladan.

Ada kisah yang penuh dengan tauladan akhlak apabila ada seorang lelaki mengembara di sebuah negeri di Turki.Apabila lelaki tersebut mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di sebuah masjid,ada seorang penduduk tempatan perasan akan kedatangan lelaki tersebut.Lalu lelaki tersebut dijemput untuk bermalam sahaja di rumah mereka.

Sampai di rumah mereka,lelaki berkenaan diberikan tempat tidur serta salinan pakaian yang merupakan pakaian anak lelaki mereka.Lelaki berkenaan dilayan dengan baik sebagai tetamu.

Bangkit dari tidur keesokkan harinya,lelaki berkenaan mendapati pakaian miliknya sudah siap dicuci dan lengkap digosok rapi.Stokinnya yang berlubang pula sudah siap dicuci dan dijahit.Mendapati dia dilayan dengan penuh kebaikan walaupun mereka saling tidak mengenali,lelaki tersebut mengucapkan ribuan terima kasih sebelum mereka berpisah.

Kisah di atas jarang berlaku,tetapi masih boleh kita ketemui ditempat-tempat di mana masyarakatnya memang menitik-beratkan tentang akhlak sesama manusia.

Sunnatullah.

Akidah adalah akar,ibadah adalah pokok manakala akhlak adalah buahnya.Dari buah/hasil yang baik maka nanti lahirlah generasi/masyarakat yang berkualiti.Kemudiannya nanti secara tidak langsung agenda pembangunan dan kemajuan dapat terhasil dengan berkesan dan mendatangkan menafaat kepada semua pihak.

Kemajuan dan Pembangunan.

Pembangunan dan kemajuan yang direka,dilaksana dan dikecapi bukanlah dari 1 sudut iaitu pembangunan ekonomi sahaja,tetapi ia menyeluruh sehingga ke segenap sudut.Untuk itu,peri pentingnya kita menitikberatkan agar tiada langsung faktor yang dapat merosakkan akhlak masyarakat.Kerana jika ini diabaikan maka tunggulah bahawa kemajuan yang kita kecapi akan kembali mundur disebabkan mutu akhlak yang tidak baik.

Dengan erti kata lain,sekiranya pembangunan dan kemajuan hanya diletakkan kepada faktor kekayaan dan material semata (tidak mengikut sunnatuLlah) maka pembangunan dan kemajuan seperti ini akan akhirnya merosakkan masyarakat,malah lebih teruk lagi ia mendapat murka Allah SWT.

Jaluran Iman.

Biarlah kita yang menjadi agen kepada akhlak yang baik turut sama memberikan kesan kepada orang di sekeliling kita.Jangan biarkan IMAN kita berlegar-legar hanya disekeliling diri kita sahaja.Moga dengan tutur kata kita yang baik,nasihat yang penuh berhemah tanpa mengguris mana-mana pihak,sifat dan tolak ansur yang kita tunjukkan maka akhlak yang baik ini dapat dirasai oleh anak dan ahli keluarga,tetangga serta masyarakat sekeliling.

Maka apabila ini berlaku,masyarakat sekeliling yang melihat keadaan sedemikian sedikit demi sedikit akan meniru sifat dan akhlak kita itu.Akhirnya,keluarga kita dijadikan tauladan dan contoh,maka di setiap jalan dan lorong di tempat kita tinggal,para penghuninya terjaga amalan dan akhlak mereka,nantinya melahirkan masyarakat yang berakhlak dan menjadi penyebab membangunnya sebuah negara yang maju dan dicontohi.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, May 19, 2011

:: Kuliah Baru (siri 4) ::

Bismillah hirrahman nirrahim

Berikut di kongsikan catatan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-17 Mei 2011)

Menuntut ilmu perlu berguru.
-Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Sedikit sedutan kuliah sebelum ini....

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Kualiti Diri.

Apabila kita hendak melihat kualiti diri yang ada pada seseorang itu,kita boleh menilai serta meneliti perbuatan dan perkataannya.Sesungguhnya sesorang yang memiliki bahasa/perbuatan yang baik adalah lebih bagus dari sesorang yang mempunyai amal yang banyak (cth : berzikir beribu-ribu) tetapi mempunyai akhlak yang teruk.

Hadith dari Nabi SAW :
...diambil dari buku yang dibincangkan
Asas Asas Islam (Modul Pembangunan Insan)

Pengajaran dari hadith di atas :
1. Supaya kita sentiasa berusaha untuk membaiki akhlak kita.
2. Nilai sesorang individu itu adalah pada akhlaknya.

Mana letaknya akhlak?

Di dalam Islam :
-AKIDAH adalah ibarat AKAR kepada sebatang pokok.
-IBADAH pula ibarat BATANG sebatang pokok.
-Manakala AKHLAK pula adalah BUAHnya.

Dalam usaha,niat dan tujuan kita menanam pokok adalah bertujuan untuk mendapatkan buahnya /hasilnya.Biarpun pokok yang di tanam bersaiz kecil,apabila ia mengeluarkan hasil maka ia lebih berharga dari pokok yang bersaiz besar tetapi tidak memberikan sebarang hasil.

Akhlak penentu hala tuju.

Dalam menentukan sesuatu hala tuju samada dalam skala kecil (contoh : keluarga) mahupun dalam skala besar (contoh : syarikat/negara),apakah yang perlu dititik beratkan/ditekankan?

Dalam skala kecil :

Dengan memahami kepentingan hala tuju dalam hidup adalah pembangunan akhlak,para ahli yang mendokong keluarga (suami,isteri) perlulah bersungguh-sungguh untuk menjaga dan memperbaiki akhlak mereka serta segala ahlinya.

Sebagai contoh,ibubapa yang peka tentang pentingnya pembangunan akhlak hendaklah sama-sama berkongsi idea/fikrah ini dengan masyarakat sekeliling yang berhubung dengan mereka.Mungkin boleh dianjurkan kepada guru-guru yang membuka kelas tambahan agar mereka memulakan kelas tambahan mereka selepas solat isya’.Sementara menunggu waktu itu,ibubapa boleh mengisi waktu di antara solat maghrib dan isya’ dengan membawa anak mereka ke masjid/surau untuk mendengar kuliah maghrib.Kerana dengan mendengar kuliah maghrib inilah nanti akhirnya akhlak akan dibina dan terbina berdasarkan input ilmu yang disampaikan oleh para-para ustaz.

Dalam skala besar :

Pada zaman sahabat r.a dengan pegangan akidah yang teguh,ibadah yang kuat dan dilengkapi dengan akhlak yang mulia,mereka telah memasuki dan memerintah beberapa negara yang baru (contoh : Turki, Iran,Iraq,Mesir).Apabila mereka telah mengalahkan tentera musuh,lalu berlakulah pertembungan dengan pembangunan material (yang dimajukan oleh pihak musuh sebelumnya) dengan pembangunan akhlak mulia (yang ditinggalkan hasil didikan/tunjuk ajar dari Rasulullah SAW).Maka dengan sebab itulah terhasilnya pentadbiran yang tiada tolok bandingnya sehingga ke hari ini.

Sabda Nabi SAW, "Alangkah baiknya harta yang baik di tangan orang yang baik." (Riwayat Ahmad)

Contohnya,ketika Said bin Abi Waqqas r.a (salah seorang sahabat Nabi yang di janjikan syurga) memimpin tenteranya masuk dan menawan Iraq,mereka sebenarnya memasuki sebuah negara yang memiliki pembangunan yang hebat (contoh : Taman Babylon,Istana Putih).Lalu Said bin Abi Waqqas r.a ketika itu membaca ayat Al Quran :

"Banyak sungguh kebun-kebun dan matair, mereka tinggalkan.Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah.Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.Demikianlah! Kami (Allah) wariskan kepada kaum yang lain." (Ad-Dukhaan 44:25~28)

Kemudiannya,dengan segala keberkatan hasil dari ajaran yang diwariskan oleh Nabi SAW,disambung pula oleh para sahabat Baginda SAW,akhirnya muncullah kemudiannya sehebat-hebat negara yang di panggil kerajaan Abbasiyah dan di antaranya lahirlah Khalifah Harun ar-Rasyid yang juga telah menubuhkan universiti pertama di dunia iaitu Baitul Hikmah.Semuanya berdasarkan dari akidah,ibadah dan akhlak,yang akhirnya terhasillah pembangunan (kemajuan dan teknologi) yang unggul.

Hadith dari Nabi SAW :
...diambil dari buku yang dibincangkan
Asas Asas Islam (Modul Pembangunan Insan)

Pengajaran dari hadith di atas:
1. Nabi SAW mengajar kita untuk menghubungkan iman dan amal dengan akhlak.
2.Kita mesti menjadi agen kepada mengekalkan/penyambung silaturrahim.

Ibadah dan implikasinya pada akhlak :

1.Solat.
-Allah mewajibkan ibadah Solat dan implikasinya solat dapat mencegah dari pelakunya membuat perkara keji dan mungkar.

2.Puasa.

Hadith dari Nabi SAW :
-Maka jangan di lihat kepada pengharaman sementara
makan dan minum.Bahkan ia dikira langkah terus
menerus menghalang jiwa daripada tindakan hawa nafsu
yang terlarang dan perbuatan mungkar.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183)

-Maka implikasinya,orang yang berpuasa akan menjadi orang yang bertaqwa.

Kunci dunia.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd:11)

Sebab itulah sahabat Nabi SAW berjaya dengan cemerlang.Ini disebabkan mereka telah mengubah diri mereka dari jahiliyah kepada Islam dan akhirnya mereka dapat kunci untuk mentadbir dunia.

Adil itu akhlak.
Barack Obama dalam ucapan pertamanya selepas dilantik menjadi Presiden Amerika ada menyebut bahawa Amerika boleh mentadbir dunia bukan kerana kekayaan yang mereka miliki ataupun kecanggihan senjata yang mereka ada (walaupun hakikatnya mereka miliki segalanya iaitu kekayaan dan kekuatan senjata),tapi disebabkan oleh keadilan,hak kebebasan bersuara dan kesungguhan yang mereka semua miliki.

Barack Obama juga menyebut,jika 100 tahun dahulu seorang wanita di Atlanta yang berumur 107 tahun tidak dapat hak untuk mengundi disebabkan alasan yang tertentu,tapi disebabkan keadilan yang ada sekarang maka wanita itu dapat mengundi selepas 100 tahun.

Kita dapat lihat di sini,walau secara umumnya mengetahui Amerika dikaitkan dengan banyak kemusnahan dimuka bumi ini (disebabkan perang) tetapi keadaan di dalam negara mereka ditadbir dengan penuh adil dan saksama dari segi hak dan tuntutan.Maka sebab itulah kita dapati Amerika menjadi 1 kuasa besar sehingga kini.

Hakikatnya apa yang sedang berlaku?

1.Faham akan hakikat ini (peri pentingnya akhlak),dunia barat akan sentiasa memastikan yang dunia Islam yang ada ini akan sentiasa diperintah.Jadi,mereka akan sentiasa memikir dan merancang agar akhlak ummat Islam juga sentiasa rosak.Sebab itulah mereka sentiasa mengolah agar artis-artis,filem-filem dan gambar-gambar lucah tersebar meluas ke mana sahaja.Ini tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan ummat Islam akan lalai/rosak akhlaknya dan kita sentiasa di bawah.

2.Kita ummat Islam sebenarnya bukan kalah dengan tekanan senjata.Ummat Islam menang ketika perang di Gaza walau dihimpit,ditekan dengan hebat dan hanya berbekalkan dengan senjata yang seadanya.Tetapi sebenarnya kita terus dijajah dan ditekan sebab akhlak dan jati diri kita yang rendah,suka mementingkan diri sendiri,penyelewengan kuasa dan rasuah yang akhirnya menjadikan ummat Islam terus sahaja di bawah.

Pengajaran :

1.Turun naik sesuatu ummat adalah disebabkan mutu/kualiti akhlak yang ada di dalam ummat itu sendiri.
2.Kita wajib membaiki akhlak kita dahulu sebelum dapat mengatasi kuasa besar yang ada kini.
3.Hakikat yang sangat penting adalah kita bukan sahaja memastikan akhlak kita dan keluarga kita juga baik bahkan kita wajib juga mengajak dan membawa masyarakat umum agar mempunyai akhlak yang baik/mulia juga.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

p/s : Mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'SELAMAT HARI GURU' kepada semua warga guru/pendidik.Jasamu dikenang!

Wak,
TDI.

Thursday, May 12, 2011

:: Menadah Ilmu dari Ulama Nusantara (siri 3) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan sedikit catatan dari Kuliah Maghrib yang telah di sampaikan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (Surau As Sobirin,TTJ-7 Mei 2011)

Menadah Ilmu dari Ulama Nusantara.
Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Ada sahabat r.a yang berpuasa sehari berbuka sehari dan berpuasa semula pada keesokan harinya.
Ada sahabat r.a yang mengkhatamkan bacaan Al Quran dalam masa sehari.
Ada sahabat r.a yang tasbih hariannya beribu jumlahnya.
Ada sahabat r.a yang bertaubat dengan bersungguh-sungguh sambil menangis di hadapan ALlah SWT.
Ada sahabat r.a yang berjaga malam sehinggakan wudhu’ solat Isya’ tidak batal sehingga solat subuh dan perkara ini berkekalan bertahun-tahun lamanya.
Saidina Hussein dikhabarkan telah pergi menunaikan haji sebanyak 25 kali dengan berjalan kaki dari Madinah ke Mekah.

Ia kelihatan SULIT untuk dilakukan di zaman kita tetapi pernah berlaku dalam sejarah para sahabat.

Di mana letak rahsianya?
Dari manakah mereka mendapat kekuatan dan istiqamah?

Rahsia.

Rasulullah SAW bersabda : "Jika imam membaca amin maka bacalah amin. Sebab orang yang membaca amin bersama aminnya malaikat, maka dia diampuni dosanya yang telah silam." (Riwayat Al Bukhari)

Merebut keberkatan.

Merenung dan mengkaji sedikit sejarah/sirah Nabi SAW.Di zaman Nabi SAW keluasan Masjid Nabawi adalah 100 hasta persegi,yang boleh memuatkan ribuan jemaah untuk solat berjemaah.

Sahabat r.a,yang mereka ini dekat dengan Nabi SAW,faham apa yang Nabi SAW sampaikan kepada mereka.Mereka semua sentiasa sahaja merebut segala peluang untuk beramal.Ramai dikalangan sahabat yang solat berjemaah tanpa masbuk (dapat bertakbiratul ihram bersama-sama dengan Imam). Dikhabarkan,seorang sahabat Nabi SAW yang tidak dapat bertakbiratul ihram bersama-sama imam telah menyedekahkan 60 ekor unta yang penuh dan sarat dengan barangan dagangan.Mereka semua faham betapa ruginya tidak dapat bertakbiratul ihram bersama-sama dengan Imam.Ini tahap IMAN mereka.

Isi kandungan Al Quran.

Segala kitab yang Allah SWT wahyukan kepada Nabi-Nabi sebanyak 104 suhuf (untuk Nabi Syith sebanyak 60 suhuf,untuk Nabi Ibrahim sebanyak 30 suhuf dan untuk Nabi Musa sebanyak 10 suhuf dan 4 lagi yang wajib kita ketahui adalah kitab Taurat,Zabur,Injil dan Al Quran).Semua isi kandungan suhuf/kitab yang pernah diwahyukan itu segalanya terkandung di dalam Al Quran.

Al Quran pula mempunyai sebanyak 114 surah yang terkandung di dalamnya segala macam hukum dan rahsia.Dan segala isi Al Quran tadi pula terkumpul di dalam surah Al Fatihah.

Dengan erti kata lain,dengan membaca dan memahamkan isi kandungan Al Quran,kita memahami isi kitab yang pernah diwahyukan sebelum ini.

Doa.

Doa-doa/munajat yang ada di dalam Al Quran contohnya :

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran :8)

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqaan 25:74)

Kemuncak.

Maka,dari sumber di atas,ada lagikah yang lebih tinggi nilainya sesuatu doa,apabila ia dibaca sendiri oleh Rasulullah SAW dan Baginda sendiri mengaminkannya.Di tambah pula ia di aminkan oleh para malaikat yang kita tahu suci dari dosa.Dengan kita ketahui bahawa di dalam Al Quran terkandung terlampau banyak rahsia/pengajaran samada yang tersurat dan tersirat.Lalu bila Nabi SAW membaca 'AMIN' selepas Al Fatihah,kemudian diiringi oleh para sahabat r.a yang lain juga turut membaca 'AMIN','AMIN' yang di baca tadi adalah mengharapkan seluruh doa yang ada di dalam Al Quran di kabulkan oleh Allah SWT.

Dengan sebab itulah para sahabat r.a mempunyai jasmani,rohani (fizikal dan mental) yang kuat malah jauh dari penyakit-penyakit seperti jantung,kencing manis atau apa sahaja penyakit yang kala ini menyerang penduduk dunia.Malah keimanan dan mutu ibadah mereka semakin lama semakin bertambah baik.Bertahajjud tanpa rasa lenguh-lenguh/penat selain ibadah lain seperti zikir,zakat,puasa,membaca Al Quran dibuat dengan istiqamah.

Dalam kehidupan harian pula,para sahabat r.a hidup dengan penuh qanaah,berbuat adil malah sentiasa tenang dan bahagia tanpa risau yang melampau akan faktor keduniaan.

Kekurangan yang kita ada.

Hari Jumaat bila kebiasaannya Imam akan membaca surah As Sajadah pada solat subuh,kita mengambil kesempatan untuk pergi lewat sedikit ke masjid/surau kerana surah yang di baca oleh Imam agak panjang.

Pada hari-hari bekerja,bila Imam membaca surah yang agak panjang atau membaca dengan perlahan,ada makmum yang berdehem-dehem sebagai isyarat agar Imam memendekkan sedikit bacaan surah yang sedang di baca agar cepat solat subuh selesai dan cepat pulalah mereka dapat meneruskan urusan mereka yang lain.

Dengan sikap seperti di atas,sudah tentulah kita akan ketinggalan atau tidak dapat membaca AMIN selepas AMIN imam.

Dulu dan sekarang.

Kalau suatu ketika dahulu sesuatu yang besar menjadi sesuatu yang dikagumi ramai,contohnya di awal zaman wujudnya komputer dan telefon bimbit.Tetapi kini dengan kecanggihan yang ada,makin hari saiz komputer dan telefon bimbit semakin kecil.Malah dengan kecanggihan yang ada juga sekeping CD boleh memuatkan hingga 13 ribu isi kitab.

Namun sekiranya kecanggihan yang ada itu kita terlupa password yang kita sendiri letak demi keselamatan data yang ada di dalam komputer mahupun telefon bimbit kita,apa akan jadi? Begitu juga halnya,walaupun kita mempunyai puluhan ribu duit di dalam akaun kita,jika sekiranya kita terlupa nombor pin kita,kita tidak akan dapat mengeluarkan duit kita di ATM.

Password bagi password.

Kita sentiasa berharap agak dalam apa jua yang kita hendak lakukan kita mahu lakukannya dengan penuh bersemangat agar hasilnya lumayan.Begitu juga dengan kemahuan yang lain,kita berdoa agar kita dapat bertaqwa kepada Allah SWT dengan takwa yang sebenar-benarnya.Kita juga mahukan kesihatan badan kita agar terhindar dari segala macam penyakit.Kita juga mahukan kesudahan hidup kita di dalam khusnul khatimah.Kita juga berharap agar bila kita di bangkitkan di hari akhirat kelak kita ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang soleh dan para Nabi-Nabi.Di samping kita juga masih memerlukan keperluan dunia yang lain.Apa passwordnya?

AMIN bersama-sama Imam ketika solat jemaah.

Ya Rahsianya terletak pada AMIN.

Tetapi,bagi setengah dari kita langsung tidak kisah AMIN ke tidak AMIN bersama imam,janji ada nasi dan lauk yang sedap di dalam rumah.

Mengapa ramai dari kita tidak merebut peluang ini?

IKLAN.

Berqasidah bersama-sama.


Moga perkongsian dapat memberi menafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, May 11, 2011

:: Kuliah Baru (siri 3) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan hasil catitan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-10 May 2011)

Buku yang digunakan dan diulas pada kuliah maghrib.
Asas-asas Islam-Dr Ali Laban

Akidah.

Akidah adalah perkara asas yang berkaitan dengan pegangan,keimanan dan kepercayaan dan ianya bersangkut paut dengan hati.

Ibadah.

Ibadah pula adalah bagaimana seorang hamba mengabdikan diri pada Allah SWT dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Akhlak.

2 perkara di atas (akidah dan ibadah) adalah perkara teras dalam ajaran Islam.Dan sebagai buah/hasilnya pula adalah bersangkut paut dengan AKHLAK.

Apa yang membentuk akhlak?

Dalam setiap saat,setiap hari,setiap minggu,setiap bulan,setiap tahun,apa yang kita lakukan (melihat,mendengar,bercakap) akan membentuk dan mengubah jatidiri dan peribadi untuk menjadi seorang insan yang tertentu.Lantas dengan akhlak itulah kita hidup dan bercampur dengan anak dan keluarga serta masyarakat sekeliling.

Menuntut ilmu.

Secara umum proses pembelajaran adalah dengan menuntut ilmu samada secara formal ataupun tidak.Anak murid yang hendak belajar/menuntut ilmu pula berharap pada contoh dan tauladan iaitu guru mereka.Walau secanggih manapun teknologi zaman sekarang (aka : maklumat di hujung jari),anak murid tetap memerlukan guru dalam proses mendapatkan ilmu.Ini adalah perkara asas.

Wahyu Allah.

Wahyu Allah yang diturunkan di dalam Al Quran adalah sumber rujukan yang sempurna.Kita sebagai ummat Islam,contoh tauladan yang sempurna bagi kita dalam menuntut dan memahamkan isi kandungan Al Quran adalah Rasulullah SAW.Malah Allah SWT telah mengesahkan yang Nabi SAW dilantik menjadi nabi di atas kemuliaan sifat yang ada di dalam diri baginda.

Ketinggian Iman Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang mempunyai kekuatan IMAN yang tinggi.Di mana Nabi SAW telah di Mikrajkan hingga ke Sidrathul Muntaha bertemu Allah SWT.

Pernah terjadi dalam sirah,ketika Nabi SAW berada seorang diri di tengah padang pasir,seorang hamba Allah telah mengambil pedang Nabi SAW dan bertanya kepada Nabi SAW,"Siapakah yang akan menyelamatkan kamu ketika ini?" Nabi menjawab,"Allah SWT akan menyelamatkan aku." Mendengar jawapan Nabi SAW,pedang yang berda di tangannya terjatuh.Lalu Nabi mengambil semula pedang milik Baginda itu dan bertanyakan soalan yang sama pada orang tersebut, "Siapakah yang akan menyelamatkan kamu ketika ini?" Lelaki itu menjawab,"Tiada siapa yang akan menyelamatkan aku."

Ketinggian amal Nabi Muhammad SAW.

Selain ketinggian darjat keImanan Baginda,Nabi SAW juga diriwayatkan pernah melakukan solat malam hingga bengkak kaki.

Ketinggian akhlak Nabi Muhammad SAW.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Kajian tentang akhlak.

Pernah di buat kajian di mana dompet yang berisi dengan wang ditinggalkan ditempat tertentu di negara-negara tertentu (contohnya : Sweden,England,Pakistan,Australia) dan hasil keputusannya kebanyakkan dompet yang dipulangkan kembali dengan isinya kebanyakkannya dari hasil kajian yang dijalankan di Negara barat.Dari fakta ini,pakar-pakar yang mengkaji menyimpulkan bahawa,kejayaan sesebuah Negara itu dipimpin/memimpin dunia adalah bukan kerana negara tersebut kaya,kuat dari faktor senjata ataupun mempunyai bangunan pencakar langit tetapi disebabkan oleh manusia yang tinggal di dalam negara tersebut mempunyai akhlak yang mulia.

Negara-negara barat contohnya (Amerika,England) mereka mempunyai sistem, kualiti, kebertanggungjawaban dan sifat kemanusiaan yang tinggi.Di sebabkan oleh faktor inilah kita dapati mereka berjaya memimpin dunia.Sesungguhnya dalam sunatuLlah,yang memimpin dunia bukan semestinya orang Islam.Kepimpinan dalam dunia adalah bergantung kepada contoh tauladan yang berkait rapat dengan akhlak bukan bergantung pada kualiti ibadah/amal sahaja.

Di contohkan Negara-negara seperti Amerika,England,Australia,Malaysia,Nigeria adalah sebuah parti politik dalam dunia (parti Amerika,parti England,parti Australia,parti Malaysia,parti Nigeria).Mana-mana parti yang mempunyai displin dan akhlak yang tinggi maka merekalah yang berjaya memenangi hati rakyat dan merekalah yang memimpin dunia.Tapi bila ada orang/negara Islam yang bangkit dengan membina akhlak,maka Allah SWT berjanji akan mengangkat mereka sebagai pemimpin dunia pula.

Begitulah hukum alam,saling tolak menolak dalam memimpin dunia.Bila ada ummat Islam yang bagus akhlaknya maka mereka akan bangkit menjadi pemimpin yang disegani.Tetapi sekiranya mereka lalai,mereka akan jatuh dan diganti dengan orang yang lain.

Sejarah silam.

Pengkaji sejarah yang mengkaji sejarah zaman silam pasti bila mereka mengkaji sejarah Rome dan Yunani,mereka akan menjumpai binaan-binaan yang unggul seperti Colosseum di Rome malah banyak lagi hasil senibina dan teknologi zaman itu.Ini berlaku 3000 tahun sebelum zaman Nabi SAW.

Tapi bila pengkaji sejarah datang ke Mekah dan Madinah untuk mengkaji sejarah Nabi,mereka tidak menjumpai apa apa bangunan seperti yang mereka jumpai di Rome.Dan ternyata tinggalan Nabi SAW kepada kita untuk dikaji adalah ribuan para sahabat r.a yang mempunyai akhlak yang mulia.Ini disebabkan kerana Nabi SAW diutuskan dengan membawa risalah dan menyempurnakan akhlak yang mulia.

Antara contohnya sahabat yang mempunyai akhlak yang tinggi adalah Abu Hurairahr.a.Di zaman Nabi SAW,Abu Hurairah r.a tidak mempunyai rumah.Beliau adalah salah seorang ahli suffah yang tinggal di dalam Masjid Nabawi.Namun kemudiannya beliau di angkat menjadi gabenor di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar r.a.

Keadilan dalam akhlak.

Ulama terdahulu ada berpesan,bahawa sesungguhnya sesuatu keadilan itu terletak dalam jiwa bukan terletak dalam akta mahupun undang undang.Sebagai contoh :

1. Terkadang undang-undang yang ada/diperuntukkan itu jelas,tetapi disebabkan hakim yang mengadilinya tidak adil,maka kezaliman akan berlaku.
2. Terkadang undang-undang yang ada/diperuntukkan itu tidak jelas,tetapi hakim yang mengadilinya bertindak dengan adil,maka hukum akan dijatuhkan dengan adil.

Apa yang perlu kita lakukan?

Tidak berpada jika kita hanya mempunyai akidah dan ibadah yang baik sahaja tanpa mempunyai akhlak yang baik.Sebab itulah kita dapati sekarang akhlak remaja dan muda-mudi terlalu ampuh dan terlalu mudah untuk runtuh.Ini kerana tidak lain dan tidak bukan,ada pihak yang merancang dengan rapid an teliti untuk meruntuhkan akhlak mereka lantas meruntuhkan asas kemajuan sebuah Negara.

Akhir-akhir ini masyarakat kurang menitikberatkan tentang pembangunan akhlak.Yang banyak dikejar adalah kejayaan dunia semata.Sesetangah ibu bapa yang mampu menghantar anak mereka ke tusyen kadangkala tidak kisah jika bayaran tusyen yang dikenakan agak tinggi,asalkan pulangan yang mereka dapat adalah setimpal seperti apa yang mereka harap-harapkan.Tetapi bila ada pusat-pusat motivasi yang menawarkan pakej motivasi untuk anak mereka mengenakan kos yang sedikit mahal,mereka tidak mahu menghantar anak mereka ke sana.Dari sini kita boleh lihat kecenderungan masyarakat kita kala ini.

Kita harus sedar bahawa pemberian terbaik dari Allah SWT kepada kita (samada di dalam sebuah negara mahupun keluarga) adalah akhlak yang terbaik.Dan peranan kita dalam masyarakat pula adalah memimpin dan membimbing ahli kita agar mereka mempunyai akhlak yang mulia.

Kesimpulan :

1.Ummat terbaik sepanjang zaman adalah para sahabat Nabi Muhammad SAW yang mempunyai akhlak yang tinggi.
2.Jika sesuatu negara,mempunyai masyarakat yang akhlaknya tinggi,Negara itu akan menjadi sebuah Negara yang lemah dan tidak mampu memimpin dunia.
3.Mengimbangi amalan akhirat dengan dunia juga penting Jangan kita juga bengkak kaki tetapi kerana disebabkan terjatuh ketika bermain bola sepak
4.Mendidik anak bukan hanya bertujuan agar mereka nantinya berkerjaya dan mempunyai gaji yang besar sahaja tetapi mampu membangunkan Negara dengan akhlak yang mulia.

Moga mendapat menafaat dari hasil perkongsiaan.

Wak,
TDI.

Saturday, May 7, 2011

:: Travelog Anak Kampung-3 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

"Jauh perjalanan,luas pemandangan."

SKAH Bt 15-Di sini segalanya bermula.

Ketika keputusan UPSR diumumkan keluar pada tahun 1991,saya merajuk di bawah pokok sawit di tepi padang sekolah.Itu hanya kerana gara-gara saya mendapat keputusan 3A1B.Keputusan matapelajaran Bahasa Inggeris tidak menyebelahi saya.Manakala dua rakan ketat saya berjaya mendapat 4A.Habuannya mereka dijamu makan sate!! Apapun,Tahniah buat mereka!
 
Namun sebagai gantinya (baca :pengubat hati) pada hari penyampaian hadiah tahun tersebut hampir 10 kali saya naik turun pentas untuk menerima hadiah termasuk mendapat nombor 1 dalam kelas darjah 6.Ia sesuatu sejarah yang tidak pernah terjangkau dalam pemikiran saya sebelumnya.

1992 (Sek Men Air Hitam-SMAH)

Ketika memulakan tahun baru sebagai seorang pelajar sekolah menengah,tentunya aura sekeliling begitu baru.Kawan-kawan baru,guru-guru baru,kakitangan pejabat baru malah yang paling gah adalah bangunan sekolah keseluruhannya yang baru (kami merupakan kumpulan murid pertama yang menggunakan bangunan sekolah tersebut).Minggu orientasi dipenuhi dengan aktiviti mengusung bangku dan kerusi dari bangunan sekolah rendah yang hanya dipisahkan oleh pagar untuk dipindah masuk ke dalam kelas-kelas baru.Pelajar yang mendaftar hanya terdiri dari kami pelajar tingkatan 1,4 kelas jumlahnya.Manakala sahabat saya yang mendapat 4A pada keputusan UPSR,seorang telah selamat berhijrah ke Sek Sultan Hj Ahmad Shah,Pekan dan seorang lagi ke High Scholl,Muar.

Sek Tun Perak.

Di bawah program Rancangan Khas Agama (RKA),saya mendapat tawaran untuk memasuki asrama Sek Tun Perak,Muar beberapa minggu selepas mendaftar diri di SMAH.Teruja dengan perkataan ‘asrama’ saya mengikut sahaja untuk di hantar ke sana.

Langit tak selalunya cerah......

Minggu pertama di alam asrama bukan 1 perkara yang manis.Sepanjang minggu tekak berasa pahit,makan tak lalu,terutamanya sekali waktu sarapan pagi-aura terpisah dari keluarga.Petang Jumaat,abah datang menjemput untuk cuti hujung minggu.Sebaliknya,saya telah packing segala barangan saya sama seperti pada hari mendaftar seminggu sebelum itu.Saya bernekad,saya tidak mahu tinggal di asrama lagi.Tapi hajat tidak dikabulkan.Berlinanganlah air mata di atas motor sepanjang perjalanan balik ke rumah.Hari Ahad saya terpaksa memunculkan diri di pagar asrama.

Rezeki datang lagi....

Ketika saya berlatih untuk persediaan hari sukan di padang sekolah,saya dipanggil ke kantin sekolah kerana abah datang pada suatu petang untuk berjumpa saya.Ketika saya berjumpa abah,warden asrama ada bersama-sama.Di tangan abah ada surat tawaran untuk memasuki Sekolah Maahad Muar.Setelah mendapat perlepasan dari warden asrama,saya segera balik ke dorm dan mengemas segala barangan saya.Gembiranya bukan kepalang!

Sekolah Maahad Muar.

Maahad Muar adalah 1 sekolah yang elit dalam fikiran saya ketika itu.Sekolah di Bandar Muar tidak banyak yang berasrama.Yang berasrama penuh hanyalah SMS Muar dan MRSM Bakri.Yang lainnya (Sek Men Sultan Abu Bakar-SAB (asrama pusat puteri),High School (asrama pusat putera) dan Maahad Muar) hanyalah sekolah asrama harian biasa.Tetapi yang berminat dengan aliran agama,Maahad tentu menjadi pilihan sekiranya mendapat tawaran.

Jauh dari jangkaan,Maahad Muar memang sebenarnya sebuah sekolah yang begitu tersusun sistemnya.Pelajar tingkatan 1 di asingkan kelas antara pelajar lelaki dan perempuan.Matapelajaran Bahasa Arab adalah matapelajaran wajib selain dari matapelajaran KBSM yang lain.Aktiviti asrama pula di susun rapi seperti usrah sebelum masuk waktu maghrib.Pelajar junior dilatih untuk memberi salam kepada pelajar senior.Solat fardhu wajib ditunaikan berjemaah di surau.Ia sesuatu yang baru dalam diari hidup seorang anak kampung seperti saya.

Dorm asrama pelajar tingkatan 1 di asingkan dari pelajar-pelajar yang lain.Ketua dorm kami (dorm al Farabi) –abang Daim,seorang pelajar tingkatan 6 atas.Setiap malam sebelum tidur,kami di wajibkan memasang kelambu.Jika tersedar di tengah awal pagi,akan kedengaran enjin bot nelayan menyusuri sungai tidak jauh dari kawasan sekolah.Kenangan indah!

Kenangan yang pasti tidak akan luput dalam ingatan......

Hujung minggu pelajar asrama dibenarkan untuk pulang ke rumah 2 minggu sekali.Saya mengambil kesempatan yang ada untuk balik kampung.Pertama kali menaiki bas sendiri bukan satu pengalaman yang menyeronokkan.Dengan beg baju yang di sandang,berbaju hijau dan berseluar hitam serta lengkap bersongkok saya bersama rakan lain menuju ke bas stop di hadapan sekolah.Dari Jalan Joned,saya bersesak dengan pelajar lain menaiki bas mini ke Stesen Bas.Dari stesen bas saya perlu menaiki bas bernombor 23-syarikat bas Lien Hoe (Muar-Yong Peng) untuk pulang ke kampung.Tunggu punya tunggu,hanya bas bernombor 18 (Muar-Batu Pahat) yang kunjung pergi.

Kerana sudah terlalu lama menunggu dan hari sudah semakin petang,saya menggagahkan diri untuk bertanya.Pemandangan dan situasi di Stesen Bas itu sungguh asing bagi saya akhirnya membuatkan saya tidak tahu kepada siapakah harus saya bertanya.Akhirnya saya hampiri seorang pakcik pemandu teksi.Selepas selesai bertanya,barulah saya tahu yang bas 23 stesennya bukan di situ tetapi berada berhampiran dengan pasaraya Up Well.Lalu,bergegas saya berjalan kaki ke sana.Alhamdulillah,bas 23 masih sedia menunggu untuk menghantar penumpang termasuk jugalah saya.

Sebulan.

Genap lebih kurang sebulan mendaftar diri di Maahad Muar,saya mendapat tawaran sekolah berasrama lagi.Kali ini dari Sekolah Menengah Sains Selangor-SMSS (lokasinya di Bandar Tun Razak,Cheras-dahulunya lebih dikenali dengan Kampung Congo).Abah menerangkan yang sekolah berkenaan adalah sekolah bantuan kerajaan penuh.Dengan erti kata lain,segala perbelanjaan sekolah,yuran,duit makan,buku teks,perkakas dan pakaian semuanya di tanggung oleh pihak kerajaan.Teruja dengan lokasi sekolah di Kuala Lumpur,saya menurut sahaja kehendak abah.

Jalan Tenteram.....

Saya tak ke seorangan ke SMSS.Zainuddin (anak Ketua Kampung kami-Almarhum Haji Haron) turut sekali mendapat tawaran yang sama.Dia adalah salah seorang rakan ketat saya yang mendapat 4A ketika UPSR.Abah,Arwah Haji Haron,Udin dan saya pada pagi yang bersejarah itu dengan menaiki kereta atuk Salleh menuju ke destinasi yang hendak di tuju.

Tiba di sekolah,kami di sambut oleh Tuan Hj Khamis (PK HEM) lalu terus di jemput untuk berkumpul di dalam bilik mesyuarat guru bagi urusan pendaftaran dan taklimat.Tika itu tidak ramai yang turut sama mendaftar bersama kami.Ada lebih kurang 10 orang semuanya (kalau tidak silap).Di fahamkan kami adalah dari kumpalan pengambilan kedua untuk pelajar tingkatan 1 tahun tersebut.Selepas selesai urusan pendaftaran,kami di bawa menuju ke bangunan asrama Blok D,lokasinya di atas bukit.Bilik asrama (dorm) saya berada di tingkat 3 (dorm 3-2).Berpeluh juga mengusung segala barangan dan perkakas saya untuk naik ke atas bilik asrama.Rakan sebilik saya ketika itu adalah Zainuddin Haron,Abdul Aziz Kamarudin,Aminuddin (?)

Selesai mengemas barangan,giliran untuk melihat bangunan kelas belajar pula.Setelah di bawa ke bangunan kelas,kami terus memilih tempat duduk.Sebelum masuk ke dalam kelas,terpampang di pintu papan tanda 1 Usaha.Ustazah Nur Halijah pula akan menjadi guru kelas kami.Sejak hari itu nama saya tercatat sebagai salah seorang pelajar :

Sekolah Menengah Sains Selangor,
Jalan Tenteram,Bandar Tun Razak,
56000,Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur.

Saat berpisah.....

Setelah segalanya selesai,para ibu bapa mula bertemu anak mereka masing-masing untuk sessi pesanan terakhir sebelum meninggalkan anak mereka di alam yang baru,termasuk juga abah.Seperti mendapat kekuatan entah dari mana,tidak setitik pun air mata jatuh kala itu.Walaupun akan ditinggalkan jauh,saya tetap tabah untuk kali itu.

Assembly asrama....

Ketika malam pertama saya berada di SMSS,mini orientasi telah di buat untuk kumpulan kami (kumpulan pengambilan kedua).Ketua-ketua dorm blok D (dorm 1-4 (?),1-5 (Faizal Amat),2-2 (Ramlan Thani) ,2-3 (Zuraimi),2-4 (Zainul Arifin Keliwon),2-5 (Zahari),3-2 (Khairul Nizam) dan 3-3 (Arif) telah mengumpulkan kami semua (termasuk kumpulan pertama) di bilik TV asrama.Kami telah diterangkan dengan lebih lanjut tentang peraturan yang perlu kami patuhi ketika berada di dalam sekolah,terutamanya ketika berada di dalam kawasan asrama.Ketika malam itu juga saya dijadikan contoh kerana pada siangnya saya memberi salam kepada senior-senior yang ada walaupun baru hari pertama menjejakkan kaki ke SMSS-ini adalah hasil didikan di Maahad Muar.

Blok D (Minggu Pertama).....

Kehidupan asrama SMSS tidak jauh berbeza dengan asrama Maahad Muar,cumanya asrama SMSS adalah asrama penuh.Seperti di Maahad,kami pelajar tingkatan 1 wajib memberi salam kepada pelajar senior,setelah diberi tunjuk ajar.Sampaikan terlalu taat menjaga peraturan tersebut,senior yang tidak beragama Islam pun kami terberi salam.Mujur ada senior lain yang memberi teguran.

Rindu.....

Rindu! Itu perasaan yang biasa akan melanda siapapun bila berjauhan dengan seseorang.Ini kan pula kami yang duduk berjauhan dari ibu bapa.Namun kawan-kawan yang lain ada yang datang dari Kelantan,Trengganu malah Sabah dan Serawak,tentunya rindu mereka lebih-lebih lagi terhadap keluarga mereka.Sekurang-kurangnya saya dapat menumpang kasih pada pakcik dan makcik saya yang duduk di sekitar KL (pakcik Haron di Setapak,Pakcik Bari di Keramat,Cik Mis di Shah Alam).Setiap kali kami di benarkan untuk balik bermalam,kerapkali ke sanalah destinasi saya sepanjang 5 tahun saya berada di SMSS.Dapatlah juga melepaskan rindu walaupun bukan pada emak dan abah.Dan dapatlah juga saya menukar selera dari nasi kawah dan ikan jaket kepada hidangan-hidangan yang sedikit kelaianan.

Rindu yang berulang.

Kini setelah 15 tahun meninggalkan bangku sekolah,banyak kenangan/memori/pahit manis yang kerapkali menjelma semula dalam minda saya.Setiap kali saya teringatkan kenangan itu,rindu terhadap kenangan silam pasti akan melanda diri.Apakan daya,yang telah lepas tidak boleh digapai lagi,yang tinggal hanyalah kenangan.

Terima kasih Allah terima kasih semua pihak,kerana semua itu saya berada di sini sekarang!

Kesimpulan :

1. Sekolah adalah salah satu institusi yang mendidik kita sekurang-kurangnya selama 11 tahun malah lebih.Jika institusi ini tidak di menafaatkan dan ditadbir dengan betul,ikhlas,tulus dan jujur,maka alangkah ruginya siapa yang berada di dalamnya.
2. Ibubapa mengharapkan setiap anak mereka menjadi yang terbaik maka mereka mengusahakan yang terbaik.Kita memang tidak mampu membalas jasa/pengorbanan mereka selama ini.Doakanlah akan kebaikan kepada mereka sentiasa walaupun mereka telah berada di alam kubur.
3. Kita duduk di atas muka bumi Allah yang sama.Hormat menghormati adalah perkara yang amat dituntut,walau siapa pun kita,walaupun dengan siapa kita berada.
4. Bila kita duduk dalam situasi agama/mengingati Allah,walau tidak banyak,hati dan perangai kita sedikit sebanyak akan dipengaruhi dengan sifat yang baik.Maka usahakanlah agar kita dan ahli keluarga kita menyokong dan berada di dalam produk agama.
5. Sesuatu yang lepas adalah telah berlalu dan kita perlu mengenang dan mengambil iktibar darinya.Perkara yang akan datang kita berusaha agar ia boleh diolah supaya menjadi sebuah kebajikan kepada semua.
6. Berpisah dengan keluarga adalah sesuatu yang menyiksakan tetapi sebagai pulangan kita akan lebih memahami akan erti mengasihi orangtua kita.
7. Siapapun kita,kaya manapun kita,berpangkat tinggi sekalipun,ikatan keluarga tidak boleh dileraikan jauh sekali untuk dilupakan.Yang jauh di dekatkan,yang dekat di rapatkan.

Wak,
TDI.

Tuesday, May 3, 2011

:: Travelog Anak Kampung-2 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Berkisah-kisah dahulu,
Ambil iktibar kemudian.

Dulu masa zaman kanak-kanak,aktiviti memancing adalah kegiatan dalam ertikata sebagai mengisi masa kosong/lapang.Itulah antara aktiviti wajib dan menyeronokkan.Tanyalah hobi apa paling popular kala itu,pasti 'memancing' adalah jawapan yang mempunyai rating yang tinggi.

Tapi,sebab apa?

Sebelum itu......

Serok.

Aktiviti menyerok (menangguk ikan dengan menggunakan sauk/tapis makanan/tudung saji) juga salah satu jenis aktiviti menangkap ikan.Biasanya lokasi aktiviti adalah di parit-parit kebun yang aliran airnya agak kecil.Antara ikan yang menjadi sasaran adalah ikan pelaga yang gemar menyorok dicelah-celah daun pokok getah yang gugur di dalam tali air.

Waktu malam juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk yang gemar menyerok.Dengan berbekalkan lampu picit/obor,cahaya lampu akan diarahkan ke gigi air di dalam parit.Mata ikan yang tersuluh dengan cahaya akan memantulkan warna merah,ia amat mudah dikesan.Dengan berhati-hati,salah seorang akan menangguk ikan berkenaan.Biasanya ikan haruanlah hasilnya.Untung-untung mendapat belut.Tapi hati-hati,jangan sampai terserok ular.

Lukah.

Mengikut abah ke kebun getah pada setiap hujung minggu adalah suatu perkara yang amat membosankan ketika itu.Kebun getah yang memang terkenal dengan banyaknya nyamuk ditambah dengan bau getah lantun yang amat menyengat hidung itu membuatkan saya tidak gemar ke sana.Namun ada 1 kegiatan yang saya gemar lakukan apabila tugas mengutip getah lantun selesai dibuat,iaitu mengangkat lukah.

Lokah yang ditahan beberapa hari sebelum,sekiranya hujung minggu sayalah yang menjadi tukang angkatnya.Kebiasaannya ikan seperti kepo,sepat siam,tembakang adalah antara yang berjaya didaratkan.Manakala keli atau haruan adalah bonus jika mengena.Umpannya juga mudah,gesekkan biji sawit yang telah masak dan telah luruh ke tanah dimana-mana permukaan yang kasar dan dimasukkan ke dalam lukah.Minyak yang mengalir keluar dari biji sawit tadi bisa menarik perhatian ikan untuk menuju ke puncanya bila lukah dibenamkan di dalam air.

Ada tips yang tidak boleh diambil sambil lewa untuk menahan lukah.Mulut lukah harus mengikut arah arus air bukan melawan arus.Kerana ikan yang telah tertarik dengan minyak sawit tadi,bila berjumpa dengan puncanya hanya berada diluar lukah kerana tidak menjumpai pintunya.Saya telah melakukan kesilapan ini.Patutlah berminggu ikan tidak berjaya didaratkan,rupanya mulut lukah diarahkan melawan arus (dengan tanggapan ikan berenang dari atas-walhal umpannya mengalir ke bawah).Pancang yang menahan lukah juga harus di benamkan sekuat hati bagi mengelakkan lukah hanyut dibawa arus selepas hujan dan untuk mengelakkan orang jalanan mengesan kehadiran lukah kita.

Oyak.

Oyak atau menghalau ikan masuk ke dalam jaring juga tidak kurang mencabarnya.Jaring besar yang dianyam menjadi tangguk bersaiz besar diletakkan ditengah-tengah parit.Seorang penjaga akan menjaga jaring berkenaan dari rebah.Beberapa orang yang lain pula akan masuk ke dalam parit tidak jauh dari tempat jaring tadi di tahan.Mereka ini akan berjalan di dalam air menuju ke arah jaring tadi sambil menghayun tangan di dalam air untuk menghalau ikan.Yang agak berani,segala celah tunggul serta lubang yang boleh dianggap lubuk ikan juga diterjah sama.Setelah kumpulan yang menghalau ikan tadi sampai ke jaring yang menunggu,serta merta mereka semua mengangkat mulut jaring tadi dari dasar parit dan didaratkan ditepi jalan.Segala isi jaring tadi akan diluahkan ke atas tanah dan ikan yang berjaya dihalau masuk ke dalam jaring akan dimasukkan ke dalam bekas.Begitulah seterusnya sehinggalah penuh bekas ikan yang kemudian hasilnya dibahagi samarata.Dapatlah dijadikan lauk makan malam.Ikan parit yang digoreng kering oleh arwah emak memang tiada tandingan rasanya.

Tuba.

Akar tuba yang dititik/dilumatkan dan dicampur dengan santan kelapa,bila dicampakkan ke dalam air dapat melumpuhkan sistem insang ikan yang berada di sekitar kawasan itu.Ikan yang terkena campuran akar tuba tadi akan timbul di permukaan air dan proses mengutip ikan boleh dilakukan ketika itu.Itu yang saya pelajari dari salah seorang sahabat saya suatu ketika dahulu ketika sekolah rendah.

Oleh kerana terlalu teruja dengan ilmu baru tersebut,saya memujuknya agar membawa sedikit sampel sebagai bahan uji kaji.Pada hari yang telah dijanjikan,setelah mendapat bahan ujikaji,saya bersama-sama dengan sahabat saya tadi membawa akar tuba tersebut ke sebuah londang (takungan air yang terjadi pada kuari tanah merah yang tinggal).Di sana akar tuba yang telah dititik dan diperam saya campakkan ke dalam air londang yang dikenalpasti mempunyai ikan.Kerana yakin dengan langkah-langkah ujikaji telah lengkap dijalankan,kami meninggalkan kawasan londang berkenaan.

Beberapa hari selepas itu,kami melawat tapak ujikaji semula.Hasilnya amat memberangsangkan.Hati segera terdetik,'Banyaknya ikan yang timbul'.Tapi malang sekali,walau hasil ujikaji berjaya tapi semua ikan tadi sudah berbau busuk dan tidak boleh di makan lagi.Terkejut dengan hasil ujikaji,kami lantas meninggalkan kawasan londang dengan seribu pertanyaan yang tidak terjawab sehingga kini.

Berbalik kepada isu pancing...

Secara ikhlas saya tidak pandai memancing.Sejak saya kecil hinggalah ke tahap dewasa ini,boleh dikira berapa kali umpan pancing saya yang mengena.Kalau dahulu kami memancing ikan berkumpulan,2 atau 3 orang.Masing-masing memilih lubuk masing-masing,namun sesama kami tidak duduk berjauhan.Namun dalam banyak situasi,hasil tangkapan saya hanyalah sekadar lumut parit mahupun tunggul reput.Pernah kail yang saya tinggalkan dimana batang jorannya dipacak ke dalam tanah disembat ikan keli.Habis tali joran saya terbelit setelah ikan keli itu menarik mata kail saya masuk ke dalam lubuknya.Dengan bantuan rakan,akhirnya dapat juga saya mendaratkan ikan berkenaan.Gembiranya bukan kepalang.

Ketika di Jepun saya pernah memancing dengan beberapa sahabat,sahabat jepun dan sahabat setanah air.Hasilnya tetap sama,tangan kosong.Itupun kedua-dua jenis lokasi memancing telah saya terokai,air manis dan air tawar.

Ketika melawat Perth,Australia saya juga berkesempatan untuk memancing di sebuah jeti bersama 2 orang lagi sahabat.Umpan yang sama,cara memancing yang sama,jeti yang sama,tapi kail yang mengena hanyalah kail 2 orang sahabat saya.Mat Salleh yang berada disekeliling tidak perlu diceritakan.Mereka semua terlebih otai.Saya hanya mampu membantu menyiang ikan hasil tangkapan di tepi jeti.

Entah mengapa,bukan rezeki saya pada memancing agaknya.

Kesimpulan.

1. Mengisi masa lapang dengan aktiviti tertentu memang menyeronokkan,terutama sekali bila mendapat hasil.Lebih menyeronokkan bila hasilnya berjaya menambat hati orang yang kita sayangi.
2. Rezeki adalah ketentuan Illahi,kita hanya sekadar berusaha.Tetapi jangan menyalah gunakan sumber alam,menuba ikan contohnya.
3. Ilmu dituntut bukan di dalam dewan kuliah,kelas,majlis ilmu sahaja,ilmu juga boleh dituntut dari seorang yang pakar,walaupun lokasinya di tepi londang.
4. Untuk menjadi pandai perlu bertanya.Untuk menjadi ‘pandai-pandai’ bolehlah mengikut lojik akal sendiri,tapi kerap kali pasti ia akan melawan hukum alam.
5. Kita duduk di muka bumi ini,hasil masyhulnya bukan milik kita semuanya tetapi kita meminjam dari anak/generasi kita seterusnya.Ia wajib dijaga.
6. Orang tamak selalu rugi,bagai kisah anjing dengan bayang-bayangnya.

Wak,
TDI.