Friday, July 23, 2010

:: Setenang air di tempayan ::


usaha dan ikhtiar
menjadi asbab Allah SWT turunkan
limpahan rezeki kepada makhlukNya.
(sekadar gambar hiasan)

Memburu di padang datar,
Dapat rusa belang di kaki.
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Dapat rusa belang di kaki,
Hadiah untuk pengawal raja,
Bagai bunga kembang tak jadi,
Tanah di gembur akar di baja.

Hadiah untuk pengawal raja,
Untuk jamuan hari kenduri,
Tanah di gembur akar di baja,
Ilmu di tuntut pedoman diri.

Untuk jamuan hari kenduri,
Jiran tetangga dan juga taulan,
Ilmu dituntut pedoman diri,
Nampak cahaya menyuluh jalan.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan bersama isi kuliah yang sempat/dapat di catat.

Kuliah Maghrib Ustaz Hj Hambali Saat (9 Julai 2010-Surau Taman Matahari)

Kisah Indahnya Dakwah Cara Rasulullah SAW.

Rasulullah s.a.w mengirim satu pasukan berkuda ke daerah Najd. Mereka pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanifah bernama Sumamah bin Usal, pemimpin penduduk Yamamah. Lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid.

Satu hari Rasulullah s.a.w keluar menemui tawanan tersebut dan Baginda telah berdakwah kepada Sumamah.Lalu Sumamah menjawab,"Kamu semua menahan aku kerana kamu semua lapar dan aku nampak perut kamu semua kempis.Jika kamu meminta harta maka aku akan berikan berapa banyak yang kamu mahu." (Yamamah adalah merupakan kawasan pengeksport gandum ketika itu).Dengar sahaja jawapan Umamah,Rasulullah s.a.w meninggalkan tawanan tersebut.

Keesokkan harinya,Baginda menemui tawanan itu kembali, lalu Baginda telah berdakwah kepada Sumamah untuk kali kedua. Lalu Sumamah menjawab,"Sepertimana semalam,begitu juga hari ini,aku tidak mahu akan Islam."Dengar sahaja jawapan Umamah,Rasulullah s.a.w meninggalkan tawanan tersebut.

Keesokkan harinya,Baginda menemui tawanan itu kembali, lalu Baginda telah berdakwah kepada Sumamah untuk kali ketiga.Lalu Sumamah menjawab,"Sepertimana semalam,begitu juga hari ini,aku tidak mahu akan Islam." Dengar sahaja jawapan Umamah,lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabat: "Lepaskan Sumamah." Lalu Sumamah pun di lepaskan.

Apabila Sumamah di lepaskan dan keluar dari masjid,Sumamah dapati kuda yang menjadi tunggangannya ketika ditawan,berkeadaan amat terjaga dan berkeadaan sihat.Malahan tiada satu barangpun yang hilang dari tunggangannya itu.Lalu Umamah pun berlalu pergi sehinggalah di pinggiran Baqi’ sambil merenung kata kata Rasulullah SAW kepadanya.

Setelah memikirkan dan merenung kembali kata kata RasuluLlah SAW kepadanya,Umamah telah berpatah semula ke dalam Masjid dan mengucapkan kalimah syahadah.
Masjid,amal,imarah....
Di sini juga Rasulullah SAW mula membina empayar.

Ustaz menerangkan bahawa :
1. Masjid adalah tempat yang mulia.
2. Peranan masjid adalah tempat perlaksanaan amal agama dan menjadi asbab turunnya hidayah dari Allah swt.
3. Solat berjemaah perlu di hidupkan dan jangan biarkan masjid terbiar kosong tanpa aktiviti.

Kuliah Maghrib Ustaz Hj Hambali Saat (13 Julai 2010-Surau Al Amin)

1.Tundukkan pandangan ketika solat dan juga di luar solat.

a.Tundukkan pandangan ketika solat :
Untuk menjaga mata dan hati dari menoleh selain dari tempat sujud.Memandang ke sekeliling akan mengurangkan kekyusukkan dalam solat.
b.Tundukkan pandangan ketika di luar solat :
Untuk menjaga mata dan hati dari menoleh/memandang ke tempat yang tidak di benarkan oleh agama.Sesungguhnya dengan memandang maksiat,ia meninggalkan titik-titik hitam ke dalam hati kita dan seterusnya menutup hati dari mendapat cahayaNya.

2.Pengajaran kisah Siti Hajar dan Ismail yang di tinggalkan oleh Nabi Ibrahim di Mekah.
a. Manusia tidak tahu apa yang ada di sebalik perintah Allah SWT dalam amalan kita.
b. Tawakkal Nabi Ibrahim a.s ketika meninggalkan keluarganya di lembah yang kering kontang itu di sertakan bersama isterinya uncang kurma dan bekas air.Ini bagi menunjukkan tawakkal seorang Nabi Allah juga bukanlah meninggalkan anak isteri mereka begitu sahaja tanpa sebarang bekalan.
c. Latihlah isteri supaya menjadi seperti tabahnya dan taatnya Siti Hajar.Malah walaupun Asiah merupakan isteri Firaun,Asiah juga boleh dijadikan pedoman/iktibar di dalam keluarga kita.

 Mekah dan tapak sejarah...

menjadi saksi kepada pengorbanan
seorang isteri dan anaknya serta
tabahnya seorang Nabi dalam berdakwah.

Ceramah Isra dan Mikraj Prof Hj Muhd Kamil Ibrahim. (17 Julai 2010-Vila Suria)

1.Sesungguhnya pengajaran dari Isra dan Mikraj membuktikan Allah bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kerana hanya memfardhukan 5 waktu dalam ibadah solat walaupun pada mulanya adalah sebanyak 50 waktu.

2.Rasa istimewa itu hanya dapat di rasai oleh orang tertentu sahaja.Contohnya,
kalau kita ingin bertemu seseorang,dalam pada masa yang sama kita tahu dengan siapa kita ingin berjumpa,tentu kita akan rasa istimewa jika dapat bertentang mata dengan orang berkenaan,tambahan lagi orang yang kita hendak temui itu seorang yang istimewa.Namun bagi orang lain,mungkin pertemuan dengan orang berkenaan tidak memberikan apa apa makna sekalipun,malah ada juga yang tidak mengambil hirau.Hanya orang yang rasa istimewa sahaja mengerti apa maksudnya yang sebenar.
berdoa...menzahirkan lintasan hati
tanda merendahkan diri seorang hamba
kepada Penciptanya.

3.Sesuatu pemberian/anugerah/rezeki itu adalah di bawah Kuasa Allah SWT dan bukan kuasa manusia.Mintalah pada Allah SWT dalam doa/munajat.
a.Mintalah doa dengan penuh harapan.
b.Mintalah doa walaupun dalam bahasa ibunda.
c.Mintalah doa walau sekecil mana pun hajat kita.

Wallahua`alam.














Hidup saling bantu membantu ibarat gayung dalam tempayan.
Dan manusia mendapat manafaat dari isi airnya yang nyaman.

Moga perkongsian dapat memberi pencerahan dan memberi serba sedikit panduan dalam menempuh cabaran hidup yang semakin hari semakin genting.

Friday, July 16, 2010

:: High Tech vs High Touch ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut adalah beberapa isi penting dari beberapa sessi pengisian/tazkirah yang sempat di catit olehku.

1.Dari sedutan siaran di radio IKIM.fm.

Hobi merupakan salah satu aktiviti dalam mengisi masa lapang/terluang.

Contohnya :
Pancing dan kaki pancing...
bak aur dengan tebing....

Si A terlalu gemar mengisi masa lapangnya dengan memancing.Hampir setiap hujung minggu pasti destinasi/hala tujunya samada kolam pancing berbayar,sungai mahupun lubuk dan jeti.Kepuasan menaikkan ikan yang tersangkut pada hujung mata kail hanya golongan ini yang mnegetahui nilainya..Sehinggakan ada sesetengah sahabat/kawan yang menggelar si A tadi sebagai kaki pancing/raja pancing dan si A tidak kisah/ambil peduli dengan gelaran berkenaan.Namun dek terlalu asyik dengan batang kailnya,Si A acapkali lupa akan tanggungjawabnya samada urusan duniawi mahupun ukhrawi.Apakah pada masa yang sama si A setuju/tidak kisah kalau ada sahabat/kawan lain yang menggelarnya Hamba Kail/Pancing/Joran di sebabkan kelalaiannya itu? Jawapannya : Tentu sekali tidak setuju malahan tersinggung/marah kerana di gelar begitu.

seharusnya pertandingan bola di Malaysia
perlu di susun jadualnya agak kaki bola/sorak tidak
terlalai dari tanggungjawab SOLAT.

Samalah juga dengan kaki piala dunia,mereka tidak kisah di gelar kaki bola/kaki sorak namun pada masa yang sama akan marah/tersinggung bila di gelar Hamba Bola/Hamba Astro dll.

main dam...sudah acap kali naik aji,
jangan lupa dan terlalai....

Begitulah juga dengan kaki dam/kaki warung akan berasa marah/tersinggung bila ada yang menggelar mereka Hamba Dam/Hamba Warung.

Namun di sebalik itu

Jika ketiga tiga individu di atas di ajukan/di suakan borang kutipan derma,agak agaknyalah apa yang mereka tulis pada ruangan NAMA PENYUMBANG sekiranya mereka menderma?

'HAMBA ALLAH.'

Ya,perkataan HAMBA ALLAH amat sinonim dengan Borang Kutipan Derma.Tapi apakah maksud di sebalik HAMBA ALLAH itu betul betul di hayati oleh golongan ini?

Sesungguhnya jika kita kenak Allah SWT,maka kita tidak akan mudah lupa akan diri kita.

2.Pengisian dari Prof Sidek Baba di IKIM-12 Julai 2010 (Segmen Keluarga Sakinah-Jam 5 ptg)

adakah kita bersedia dengan kebejatan
akhlak remaja yang lebih teruk lagi selepas ini.
Apa tindakan kita untuk menampannya.
(sekadar gambar hiasan)

Masalah masyarakat/remaja yang semakin kritikal hari demi hari melanda dekad ini sedikit sebanyak datangnya di sebabkan perkembangan teknologi yang semakin hari semakin maju.Dalam pada kerajaan/pihak tertentu menekankan perkembangan teknologi (high tech) dalam kehidupan namun masih kurang penekanan terhadap perkembangan individu yang menyentuh (high touch) tentang penambah elokkan peribadi/sifat kendiri.Di samping HIGH TECH,HIGH TOUCH juga perlu di selaraskan/di majukan/di modenkan bagi menjadikan seseorang itu kebal dari dipengaruhi faktor luaran yang negatif,seumpama ikan yang dagingnya tidak masin walau hidup di dalam air masin.

Selain itu,Prof Sidek Baba juga menekankan tentang pentingnya perkongsian ilmu dalam kehidupan. Bahawasanya ilmu juga adalah satu amanah dari Allah SWT dan amanah yang perlu kita tunaikan adalah kita kongsikan/sampaikan pada yang lain.

Prof Sidek Baba juga mengingatkan bahawa kita tidak boleh membenci seseorang individu kerana sifat buruknya yang suka membuat maksiat.Apabila kita membenci individu tersebut kita secara tidak langsung telah memutuskan tali dakwah.Sepatutnya kita perlu hanya membenci perlakuan maksiatnya itu tetapi pada masa yang sama kita perlu kasihan belas pada individu/si perlaku maksiat itu.

3.Kuliah Maghrib di Surau Taman Cempaka Fasa 1 -8 Julai 2010 (Ust Hj Hambali Saat)

Sesetengah dari kita kadangkala berpendapat, kelebihan/kemurahan nikmat yang sesetengah individu yang mereka kecapi adalah di sebabkan keistimewaan mereka (sebagai Wali Allah contohnya).Lantas kita menganggap keistimewaan yang mereka/golongan itu kecapi/nikmati/perolehi hanya tertentu untuk mereka sahaja.Secara tidak langsung kita berfikirankita tidak langsung berpeluang untuk mengecapi kelebihan sepertimana yang telah dianugerahkanNya kepada mereka.

dari kecil di latih membuat amal,
sebab setiap amal ada fadhilatnya (kelebihannya).
Melentur buluh biar dari rebungnya.
(sekadar gambar hiasan)

Ingatan dari Ustaz Hj Hambali,kita masih berpeluang untuk mengecapi nikmat/pemberiaan dariNya sama seperti mereka juga sekiranya kita berusaha seperti mana mereka lakukan.Perkara yang boleh kita lakukan adalah bertanyakan kepada mereka tentang amalan amalan mereka dan dari situ InsyaAllah kita juga berpeluang untuk merasai KELEBIHAN beramal.

Moga dengan sedikit perkongsian di atas dapat menambahkan ilmu yang sedia ada dan menghilangkan kejahilan dalam diri.InsyaAllah.

Thursday, July 15, 2010

:: Rezekiku di mana? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Biru,hijau,kuning....
Warna-warna kehidupan.

Perjalanan dalam hidup pasti dan pasti akan bertemu dengan pelbagai suasana dan kejadian.
Ada yang hijau,ada yang putih,ada yang biru,ada yang kuning malah ada yang berwarna warni.Meminjam kata kata dari orang seni-warna warna kehidupan.

Jom perhati kisah ayam.

Kisah ayam.
Ayam..bermacam ayam...

Ayam adalah dalam kategori burung yang di ternak samada untuk mendapatkan hasil daging ataupun telurnya.Sejarah ayam dalam menyumbang salah satu sumber makanan kepada manusia mungkin terlalu panjang untuk di jelaskan,namun populariti ayam tidak pernah tenggelam di telan zaman walau di mana Negara sekalipun.

Kalaku kecil dulu,ayam adalah salah satu makanan/lauk yang di anggap agak mewah jika di hidangkan dalam menu.Walau kala itu rata rata penghuni rumah yang tinggal di kawasan kampung membela ayam,namun menu berlaukkan daging ayam hanya dapat di rasa/nikmati pada kenduri-kendara/hari raya.Nikmat dapat mencicipi daging ayam kampung bersama-sama ahli keluarga amat meninggalkan memori dan nostalgia.Bayangkan sahaja,sekiranya kenduri kendara yang datang/munculnya hanya sekitar 4/5 bulan sekali,maka setahun hanya sekitar 2/3 kali sahaja kami dapat menikmati kesedapan rasa daging ayam.
AYAM...Kenduri dan nasi ambang.
Saat yang di tunggu suatu ketika dahulu.
(ikhsan dari bloggers)

Namun 10/15 tahun kebelakangan ini,senario seperti di atas amat jarang kita dengar lagi kisahnya di perkatakan.Ianya hanya di bualkan sekadar mengimbas kenangan silam oleh golongan golongan yang pernah mengalaminya sahaja.Mengapa ya?

Kisah ayam daging.

Ayam daging/pedaging/broiler adalah sebahagian hasil dari kajian sains dalam perkembangan teknologi.Di bandingkan dengan ayam kampung yang memerlukan 6 bulan untuk menjadi ayam matang (berat sekitar 1.2~1.5kg) ayam daging pula hanya memerlukan sekitar 5~6 minggu untuk mencecah berat yang sama dan sedia untuk di sembelih/di jual.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Sebenarnya ayam daging adalah hasil dari biaksilang (cross breeding) dengan beberapa jenis ayam sehingga mendapat ayam yang bersaiz besar dan cepat mendapat berat yang sesuai untuk dijual/di sembelih.
Ayam pedaging.
Makan timenya 24 jam.
(ikhsan dari bloggers)

Secara umumnya kita mengenali ayam pedaging sebagai ayam yang kuat makan.Memang itulah objektif/matlamat saintis yang mengkaji tentang baka ayam.Bagitulah tabiat dan situasi ayam pedaging yang mempunyai nafsu makan yang yang kuat.Ayam pedaging ini selagi ada ruangan kosong dalam perutnya selagi itulah makanan/dedak akan di patuk masuk.Baka ini sengaja dicari dan dibiak sehingga metabolismanya sangat tinggi untuk memastikan mencapai berat badan yang ideal untuk dijual dalam masa yang singkat.Dengan sumber makanan yang kuantiti dan kualiti yang agak mewah dan sentiasa dalam keadaan cukup di bekas makanan khasnyanya,ayam tadi akan terus membesar dan bersedia untuk di jual/sembelih dalam tempoh masa yang di tetapkan.
Antara dedak khas/penggemok
untuk ayam pedaging.

Ayam serama.

Ayam serama adalah tergolong sebagai ayam hiasan.Ini di sebabkan fizikal ayam ini yang bersaiz kecil dan mempunyai kecantikkan tersendiri telah menawan pelbagai lapisan masyarakat.Selain menghiburkan hati pemiliknya,hobi membela ayam serama juga boleh menjadi satu sumber perniagaan kerana nilai ayam serama ini juga agak tinggi.Seekor ayam serama yang cukup sifat dan kecantikkannya boleh mencecah puluhan ribu.Dan yang pasti tiada skala rasmi mengenai cara penetapan harga ayam berkenaan,hanya sekadar persetujuan antara pemilik ayam dengan pembeli yang berminat.
Ayam serama.

Maklumat tidak rasmi (perbualan orang ramai) mengatakan ayam serama ini berasal dari Kelantan. Ayam Serama yang ada sekarang adalah hasil daripada kacukan beberapa ekor burung eksotik seperti Burung Hutan, Bantam dan juga Merpati.

Namun begitu,ayam serama masih lagi di gredkan mungkin untuk rujukan ketika dalam pertandingan atau seumpamanya.

Contoh grad ayam serama :
Grade 3A beratnya dibawah 250gm
Grade 1A beratnya dibawah 350gm
Grade B beratnya dibawah 500gm

Memandangkan berat badan ayam serama menjadi salah satu faktor yang menentukan kecantikkan satu-satu ayam serama itu,penjagaan makanan dan kualiti makanan amat memainkan peranan.

Tidak seperti ayam pedaging,ayam serama hanya memerlukan jumlah/kuantiti yang kecil dalam pemakanan hariannya.Itupun sekadar tidak penuh telapak tangan milik tuannya dan yang pasti bekalan makanan untuk ayam serama bukanlah di lambakkan/di pastikan sentiasa ada seperti ayam pedaging.

Sepertimana tujuan utama ianya di pelihara,walaupun dengan makanan yang di tentukan/di kawal jumlahnya,namun layanan yang di berikan oleh tuannya amat istimewa.Dengan sangkarnya yang di bina khas,di mandikan seminggu sekali dengan syampu tertentu untuk menjaga kualiti bulunya bahkan ada kalanya makanan tambahan (untuk bekalan protein,fiber,vitamin) juga di berikan.Mungkin tidak keterlaluan jika di ceritakan ada sesetengah pemilik ayam serama yang tidak langsung marah dengan ayam serama kesayangannya yang menjatuhkan najis di bahu ketika membelai/memanjakan ayamnya.

Kesimpulan.

Mungkin ayam pedaging hanya di bela/ternak untuk mendapatkan hasil dagingnya maka ia tidak mendapat layanan sebaik ayam serama.Ringkasnya,tugas ayam pedaging hanya makan dengan rezeki/dedak yang di sediakan melimpah ruah tanpa tugasan yang lain.

Namun tidak pada ayam serama,ia perlu berkokok dengan merdu,jalan perlu mendada,bulunya perlu cantik,kesihatannya perlu berjaga lebih lebih lagi bila tiba waktu pertandingan.Tugasnya banyak dan berterusaan.Sekiranya gagal mengekalkan prestasinya maka nasibnya mungkin tidak sebaik sebelum itu.Namun yang pasti,bila pun makanannya tidaklah semewah ayam pedaging...

Apa yang boleh kita tamsilkan pada 2 situasi/cerita di atas.

Manusia (Si A) terkadang mudah cemburu apabila melihat ada sesetengah manusia/individu (Si B) yang mana manusia/individu itu di limpahi dengan kemewahan sepanjang masa/pada sesetengah masa.Akan bertambah cemburunya Si A akan nasib/kelebihan Si B tersebut apabila kemewahan yang dikecapi Si B tanpa perlu di sertakan dengan usaha yang kuat/bersungguh sungguh.Dalam hati Si A sering/kadangkala terlintas,mengapalah agaknya Si B itu boleh mengecapi nikmat/kemewahan yang melimpah ruah.Malahan Si A juga jikalau mampu ingin berusaha agar dapat mencapai tahap sepertimana nikmat/kemewahan yang Si B kecapi.
Mercedes...Elit & lambang kemewahan.

Dalam berangan angan untuk mengecapi kemewahan seperti Si B,kadangkala/kerapkali Si A memuhasabah/menilai usahanya selama ini untuk menuju cita citanya.Usaha dunianya juga tidak pernah terabai,kerja harian untuk mencari rezeki tidak pernah bermalas malasan,kerja/tugas/amal akhirat juga tidak kurang usahanya.Namun terkadang Si A masih belum bertemu jawapan mengapa nasibnya/rezekinya tidak sebaik Si B.

Kata Ustaz Hj Hambali ketika menyampaikan kuliah Maghribnya di Surau Desa Melor-4 Julai 2010) kadangkala walaupun dengan rezeki yang sedikit di mata manusia, ,walaupun kadangkala usaha dunia dan amal akhirat (ibadah wajib mahupun ibadah sunat) yang telah di buat,tetapi sesungguhnya keberkatan yang Allah SWT sertakan pada rezeki itulah yang lebih besar maknanya.Mungkin dengan zikirnya,solat sunat,puasa sunat dan ibadah lain di jadikan asbab untuk Allah SWT Suka/Sayang kepada hambaNya lantas menghapuskan dosa kita terhadapNya.Wallahua`alam.

Moga daku boleh sabar dengan ujian dariNya.

"Allohumma inni as-aluka imanan-kamila,wayaqinan shodiqon,hatta a'lama annahu laa yushibuni illa ma katabtali,wa'ilman nafi'an waqoblan khosyi-'an,walisanan zakiro,warizqon wasi'an,wahalalan toyyiban,wa'amalan sholihan maqbula,watijarotan lantabur."

Amin.....

Friday, July 9, 2010

:: K.I.T.A.......S.E.M.U.A ::

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih (nutfah) pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi ‘alaqah; lalu Kami ciptakan ‘alaqah itu menjadi mudghah; kemudian Kami ciptakan mudghah itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebagai sebaik-baik Pencipta. [al-Mu’minun 23:12-14]

Bismillah hirrahman nirrahim.

Asal kejadian manusia seperti yang terkandung dalam maksud ayat di atas di sebut dengan jelas.Dari tanah menjadi nutfah kemudian menjadi `alaqah dan peringkat seterusnya menjadi mudghah.Dan seterusnya,apabila sudah lengkap dan jasad tadi sudah di tiupkan ruh kedalamnya,maka apabila tiba masanya selepas 9 bulan lebih maka akan lahirlah jasad yang di panggil bayi tadi ke alam dunia dari rahim ibunya.
Wahai sahabatku,lihatlah....

(boleh baca dengan lebih jelas proses kejadian manusia di ---> sini)

Maha Suci Allah yang kadar IlmuNya tidak dapat digambar oleh kita hambaNya yang serba hina.Segala puji pujian bagi Allah SWT yang mengizinkan makhlukNya memahami proses dan peringkat kejadian mereka sendiri,peringkat demi peringkat melalui ayat-ayatNya dan kajian kajian yang di lakukan.
Peringkat kejadian manusia.

Proses kejadian manusia.

Lihat sahajalah betapa banyaknya dapat kita lihat/saksikan kebesaran Allah SWT dalam kejadian manusia,jika kita hendak berfikir dan memerhati.Allah SWT yang sifatNya Maha Sempurna telah menjadikan kita dalam keadaan lengkap dan sempurna.

Dalam kejadian manusia,kita telah :
Dianugerahkan/dipinjamkan otak/akal oleh Allah SWT untuk kita berfikir.
Dianugerahkan/dipinjamkan mata/penglihatan oleh Allah SWT untuk kita melihat. Dianugerahkan/dipinjamkan hidung oleh Allah SWT untuk kita menghidu.
Dianugerahkan/dipinjamkan telinga/pendengaran oleh Allah SWT untuk kita mendengar.
Dianugerahkan/dipinjamkan mulut dan lidah oleh Allah SWT untuk kita berkata kata.
Dianugerahkan/dipinjamkan kaki dan tangan serta anggota lain oleh Allah SWT untuk kita berada di dunia menjadi khalifahNya.
 Salah satu proses kejadian/perkembangan
manusia di alam rahim

SubhanaLlah,Maha Suci Allah.
AlhamduliLlah,Segala puji pujian hanya bagi Allah.

Namun jika di fikirkan sejenak,dalam kejadian manusia ketika di alam rahim terutamanya,apakah hikmah yang dapat kita pelajari darinya?

Mengapa Allah SWT menganugerahkan/meminjamkan kepada kita anggota-anggota/organ badan,sedangkan ada sesetengahnya kita tidak perlu dan tidak menggunakannya ketika di alam rahim.Mungkin sekiranya bayi yang di alam rahim tadi dapat berfikir,mungkin bayi berkenaan akan berfikir apakah sebenarnya fungsi anggota anggota badan mereka ketika itu.

Contohnya anggota tangan.Tangan secara umumnya adalah anggota untuk memegang.Sekiranya tugas tangan begitu,apa yang hendak di pegang oleh tangan ketika di alam rahim.

Bagaimana pula dengan anggota kaki.Kaki secara umumnya adalah anggota untuk berdiri atau berjalan.Sekiranya tugas kaki begitu,kemana pula kaki tadi hendak berjalan mahupun berdiri ketika di alam rahim.

Bagaimana pula dengan mulut.Mulut secara umumnya untuk berkata kata dan sebagai anggota pemakanan.Sedangkan di alam rahim,bayi makan melalui pusat jauh sekali untuk berkata kata.

Namun,

Bila lahir sahaja ke alam dunia,barulah secara fizikal tangan dan kaki dan beberapa anggota lain dapat berfungsi mengikut tugas tertentu.

Sedikit demi sedikit tangan akan mula bergerak dan menggengam.
Kaki pula setidak tidaknya akan mula menendang mula bereaksi bila di sentuh.
Dan mata mulalah berfungsi dan akan mula melihat alam dunia.Barulah pemilik mata tadi sedar bahawa alam rahim yang di rasakannya cukup besar sebelum ini menidakkannya.Kala itu yang pasti,si pemilik mata mula menyedari bahawa alam dunia ini berlipat kali ganda besarnya dan limpahan nikmat yang ada berlipat kali gandanya berbanding dengan alam rahim.
Keindahan alam yang dapat di lihat
dan di nikmati melalui anggota mata.
(sekadar gambar hiasan-ehsan dari blogger)

Dan begitulah seterusnya,kelak bayi yang terus membesar itu akan mula mengetahui apakah sebenarnya fungsi setiap anggota berkenaan.

Dan hakikatnya walaupun tanpa sedar kita pasti akan bersyukur bahawasanya kita mempunyai anggota tubuh yang lengkap.Dengannyalah kita akan membuat aktiviti seharian.

Bagaimanakah pula nasib bayi yang dilahirkan tanpa sempurna anggota.Walaupun bukan pintanya begitu,namun sudah pasti Allah SWT ada/ingin memperlihatkan pengajaran di sebalik kejadian dan ketentuanNya.Walaupun kita tidak dapat merasai sendiri ujian lahir kedunia tanpa anggota/organ badan yang sempurna,namun serba sedikit pasti kita akan dapat merasakan dan mengagak bahawa hidup mereka pasti ada keterbatasan dalam membuat aktiviti.

Cuba renungkan pula hikmah kelahiran.Bagaimana pula sekiranya ada bayi yang sudah selesa dengan alam rahim dan tidak mahu lahir ke alam dunia?

Tinggal sejenak.

Makhluk yang bergelar manusia di hantar ke dunia dengan 1 maksud iaitu menghambakan diri pada penciptanya,Allah SWT yang Maha Agung.Kita telah di ajar,di asuh dan di tuntut agar sepanjang keberadaan kita di atas muka bumi supaya sentiasa membuat apa yang di suruh oleh Allah SWT dan tidak melakukan laranganNya.Dan hakikatnya juga,kita faham bahawa segala suruhan dan larangan berkenaan,apabila kita mentaatinya maka Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala kepada kita.Sebaliknya apabila kita tidak mentaatinya maka kita di anggap melakukan kesalahan dan menerima ganjaran dosa akibat perbuatan kita.

Namun,

Apakah hikmah di sebalik tanggungjawab kita untuk membuat apa yang di suruh oleh Allah SWT dan tidak melakukan laranganNya.

Apa sebenarnya fungsi kalimah syahadah?
Apa pula fungsi solat?
Apa sebenarnya faedah kita berpuasa?
Apa sebenarnya zakat?
Apa fungsi ibadah haji?
Bagaimana pula dengan ibadah ibadah yang lain?
Bagaimana pula ibadah yang sunat dan yang harus?

Hakikatnya manusia yang dikurniakan otak akan berfikir.Cuma bagaimana cara dan halatuju kita berfikir sahaja yang akan membezakan.

Kata Ustaz Hj Hambali ketika menyampaikan kuliahnya di Surau Al Amin (29 Jun 2010)
Amal ibadah kita ketika di dunia adalah tamsilan anggota badan kita ketika di dalam alam rahim.Kita hanya akan menyedari nilai sesebuah amalan bila kita sudah masuk ke alam akhirat.Banyak amalan maka banyaklah menafaat yang kita perolehi di sana.

Dan sesungguhnya akhirat adalah tempat untuk menuai segala amalan baik kita.Syurga Allah SWT yang nikmatnya tidak terperi/tidak terbayang oleh akal manusia yang hanya menyediakan tempat kepada yang taat perintah Allah SWT ketika di dunia.
Adakah kita mahu menjadi golongan ini?

Maka dengan bekal amalan yang di bawa ke hari akhirat maka kita akan melihat ganjaran yang mungkin kita tidak akan mendapatnya di dunia.Dan ketika itulah kita baru sedar tentang kebenaran ayat ayat Allah dan RasulNya mengenai amalan dan apa balasannya di hari kelak.

Kurangnya amal maka kita akan berasa rugi yang tidak kepalang.Melihat orang lain yang membawa bekal amalan kebaikan dan mendapat ganjaran/kelebihan akan menambah rasa rugi orang berkenaan.Maka cacat di akhirat adalah tamsilan dengan kurangnya amalan baik ketika di dunia.

Sehubungan dengan itu,ustaz menyeru kepada semua agar memperbanyakan membuat amal kebaikan sebelum tibanya saat kematian yang akan menjemput kita bila bila masa sahaja.
Ayat Allah yang mengingatkan kita akan kematian.

Sejenak,cuba renungkan pula hikmah kematian.Bagaimana pula sekiranya ada manusia yang sudah selesa dengan alam dunia dan tidak mahu pergi ke alam baqa'?

Nota :
Moga perkongsian dapat menambahkan ilmu dan menambahkan pemahaman.

Wednesday, July 7, 2010

:: Banjir ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Roti canai 1,teh tarik kurang manis 1.
Siap!!!!!!! (sayup dari dapur kedai makan menyahut order)
(ehsan dari blogger-sekadar gambar hiasan)

Roti canai,satu menu yang rasanya pelengkap senario pagi di mana mana jua tempat sekalipun.Sama statusnya seperti dengan kehadiran nasi lemak dan karipap di atas meja makcik yang menjaja kuih di simpang dan sisi jalan.

Namun roti canai ini jugalah yang mengheret dan mengajak minda ini untuk mengetuk kekunci keyboard PC ku ini untuk mencatat sesuatu.

Daku juga penggemar roti canai dan pastinya kalau di beri pilihan tentulah roti canai yang di uli dan di canai oleh arwah emak yang menambat hati.Dengan gaya tersendiri,rasanya tetap istimewa walau arwah emak akan mencanai roti tersebut tanpa menebarnya terlebih dahulu seperti yang penebar roti canai biasa lakukan.Dulang nasi ambang yang bersaiz besar akan di pilih dan doh roti canai yang sudah di perap akan di regang di keliling dulang berkenaan.Lantas roti canai akan di bentuk seperti sanggul sebelum di goreng untuk di jadikan sarapan buat kami sekeluarga.Cicahnya cukup dengan gula kerana daku dilahirkan dalam suasana makanan yang tidak terlalu berkuah.

Namun,suasana persekitaran yang mempengaruhi,sedikit demi sedikit jiwa ku dan akhirnya kini daku lebih gemar menjamu selera dengan roti canai banjir.
tak cukup banjir....
(ehsan dari blogger)

Tempat daku bekerja juga tidak ketinggalan untuk menyediakan menu roti canai.Walau tidak saban hari menu roti canai di sediakan,ia tetap menjadi pilihan dan istilah goreng pisang panas mungkin boleh di tukar kepada roti canai panas dalam suasana begini.Ini kerana,sekejap sahaja roti canai di letakkan di kaunter makanan,maka akan 'lesap' dari pandangan sekelip mata.

...seperti menatang minyak yang penuh
(ihsan dari blogger-sekadar gambar hiasan)

 Roti canai banjir yang menjadi pilihan,adangkala mendatangkan kesukaran kerana daku perlu membawanya seperti menatang minyak yang penuh.Bayangkan menatang minyak yang penuh dari kaunter makanan ke kaunter bayaran lalu ke tempat duduk.Tentu amat sukar.Bagaimanapun,kalau dah cinta lautan api sanggup jua di renangi,inikan pula hanya sekadar banjir.

Bahawa sesungguhnya ilmu Allah SWT itu Maha Luas jika hendak di bandingkan dengan ilmu makhlukNya.Entah macamana,suatu hari di samping daku ada seorang rakan sekerja berbangsa India yang sama sama memilih roti canai untuk bersarapan pagi.Pagi berkenaan sahabatku itu telah mengambil dua keping roti canai dan baru ku tahu tabiatnya juga sukakan roti canai banjir.Namun yang membezakan dengan caraku membanjiri roti canai adalah,dia terlebih dahulu mengoyakkan roti canainya menjadi beberapa bahagian.Cukup pantas dia mengoyakkan 2 keping roti canainya.

Selesai sahaja mengoyak roti canai berkenaan,terusku melihat barulah dia menuangkan kuah dhal membanjiri roti canainya.Sambil mulutnya berceloteh sendiri,"buat macam ni baru kuah tak senang tumpah”.Daku yang sejak tadi memerhatikan sahaja gelagat sahabatku itu menangkap sesuatu yang boleh di gunapakai.Dalam hati terdetik jua suara kecil,"Mengapalah aku tak buat macam tu,tak perlulah bersusah payah berlagak seperti menatang minyak yang penuh." Oleh kerana barisan yang ada di belakangku agak panjang,ku kira-kira tak sempat untukku mempraktikkan ilmu baru berkenaan.Lantas ku banjiri juga roti canai ku dan berulang lagi senario menatang minyak yang penuh buat sekian kalinya.
....banjir gaya pro & otai
(ehsan dari blogger)

Pagi semalam daku keluar untuk bersarapan pagi lewat sedikit selepas kumpulan pertama keluar berehat.Jadi ada senggang masa untukku mempraktikkan ilmu yang kupelajari minggu lepas kerana tika itu kurasa kaunter kantin sudah kembali lengang sementara menunggu kumpulan kedua keluar berehat.Sambil terkial kial mengoyak roti canai menjadi cebisan lebih kecil,akhirnya selesai juga tugasan pertama itu.Sambil meniru gaya sahabatku sebelum ini,lalu ku banjiri roti canaiku dengan kuah dhal.1 senduk…2 senduk…3 senduk…sekiranya kondisi biasa (tanpa roti canai di koyak koyakkan,pasti hampir melimpah kuah dhal tadi dari pinggan.) namun tidak pada kali ini.Alhamdulillah,tidak perlu lagi aku menempuh dugaan menatang minyak yang penuh.

Sebelum itu.....

Dua tiga minggu lepas,di takdirkan Allah,sahabatku ini berkunjung ke bilik tempatku bekerja untuk mengimbas (scan) beberapa dokumen.Berikut antara buah butir perbualan kami.

A (Aku) : Banyaknya nak scan.Nak kena tolong tak.
K : Takpe bang,senang je ni.
A : Nak hantar ke mana ni?
K : Nak minta bantuan dengan Jabatan Kebajikan la bang.
(sambil aku membelek-belek antara borang yang telah siap di imbas.)
A : Sekarang duduk dengan siapa?
K : Duduk dengan mak.Mak kerja cuci opis dekat Seri P.
A : Boss?
K : Boss sudah lama xde.Dulu boss kerja kilang kat KL,berhenti awal sebab sakit.
A : OOOO…
(sambil membelek belek borang yang lain pula)
A : Apsal nama u punya boss sama macam nama melayu,siap ada bin lagi.
K : Datuk saya Islam bang.Bapak saya pun Islam.Lepas kawin dengan mak dia sudah tak ikut Islam.
A : Abis u?
K : Saya Hindu la bang ikut saya punya mak.
A : Abis u punya boss kubur kat mana?
K : ………………….
(terus sahaja tajuk perbualanku tukar,takut si K tidak selesa)
A : Sebelum ni u kerja mana?
K : Sebelum ni sekolah.Tapi sudah berhenti.Sekarang mau ambil SPM kat sekolah swasta.
(K terus meninggalkan bilikku setelah kerja mengimbasnya selesai)

Banyak persoalan yang timbul hasil dari sessi 'borak' yang ringkas itu.Apa pun terima kasih K kerana mengajarku skil banjir yang sebenar :)

Monday, July 5, 2010

:: mencari sesuatu untuk di pandu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Baru sahaja selesai bertamu ke blog Ustaz Haji Abdul Halim bin Abdullah (di sini).Entri beliau kali ini sepertimana entri entri sebelumnya,mempunyai impak yang tersendiri dan secara langsung mendedahkan pembaca kepada realiti sebenar sesuatu isu itu,yang kadangkala di suatu sudut kita menganggapnya sebagai satu isu kecil.

Daku sempat meninggalkan komen ke atas entri tersebut  :
"salam.isu sebegini memang sepatutnya di ketengahkan oleh golongan yang berilmu yang bilangannya ramai di luar sana untuk tatapan dan penambahan ilmu bagi golongan yang dahagakan ilmu yang berlipat kali ganda jumlahnya.moga usaha usaha memberi faham tentang isu2 sebegini kerap dan dapat di giatkan,takut nanti yang bersemangat hanya hangat di tengah jalan.
moga penjelasan yang sebegini dapat menambahkan pemahaman kepada umum.aktiviti penerangan yang sebegini dan sekiranya dapat di teruskan dalam sela masa yang tertentu dapat memberi momentum untuk ummat terus bergerak berlandaskan ilmu sekaligus menjauhkan diri dari landasan yang robak rabek angkara manusia yang hanya cintakan 3 ta (takhta,harta,wanita).jazakumullah ustaz.

dari warga desa ixora."

Dari sudut pandanganku,terlalu banyak isu bangkit dan di bangkitkan kebelakangan ini malah sebelum ini juga.Selain isu Tanjong Pagar,ada puluhan malah ratusan isu yang perlu di ambil kira oleh masyarakat tentang tahap keseriusannya.Anggaplah dalam ratusan isu itu ada dari mana-mana pihak yang memainkan peranan untuk mengambil peduli,lantas mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.Jangan biarkan isu isu seperti keganasan rejim zionis keatas anak kapal Mavi Marmara sejuk dan lenyap dek kerana di baham kepanasan Piala Dunia.

Renung sejenak.

Jika melihat pada isu isu yang pernah bangkit dan di bangkitkan sebelum ini sejauh manakah ia di tangani?
graf : sebagai alat pemantau

Sebagai contoh:
Berapakah kadar penurunan gejala pembuangan bayi dari Januari hingga Jun 2010?
Bagaimana pula dengan kadar orang yang murtad? Masih murtadkah mereka?
Bagaimana kadar penagih dadah yang pulih berbanding dengan penagih baru?
Bagaimana pula kadar dan keadaan semasa gejala seks bebas di kalangan pelajat IPT dan pelajar sekolah?

Itu baru masalah dan isu semasa dalam negara.Belum lagi di sebut isu semasa dan masalah global.Tentu semakin berserabut dunia ini sekiranya masalah masalah ini sekiranya tidak di tangani SEGERA.

Keluar sejenak dari kotak.

Baru baru ini tempat kerjaku di datangi oleh tamu dari HQ.Tamu yang datang setahun sekali ini merupakan juru audit yang menghabiskan dua hari mereka untuk mengaudit tempatku bekerja.2 tahun kebelakangan ini,lenggok mereka mengaudit agak sama temponya.Sebelum hari audit kami di beri tempoh untuk memilih 3 tema.3 tema itu pula kami perlu memilih dari beberapa repot yang telah kami sediakan sepanjang tempoh 6 bulan tahun ini.Repot itu pula di ambil dari keputusan analisa dan tindakan tindakan yang telah di ambil dari komplen pelanggan ke atas produk keluaran syarikat tempat daku bekerja.

Alhamdulillah,setelah berhempas pulas sepanjang beberapa minggu akhirnya audit kali ini menampakkan peningkatan yang agak memberangsangkan dari segi pemarkahan yang telah di nilai oleh juru audit.Namun ada beberapa aspek yang daku dapat rasakan ia masih lagi lemah dan belum cukup untuk memuaskan hati juru audit.

Dalam proses membuat repot,analisa tentang maklumat komplen yang di terima dari pihak pelanggan amatlah penting.Ini bagi memastikan tindakan kami kelak adalah berdasarkan kepada permasalahan sebenar.Ini penting,kerana jika tindakan yang di ambil bukan pada permasalahan sebenar,kelak kebarangkalian untuk perkara itu berulang amatlah tinggi.
tiubless??

Contohnya,sekiranya tayar motorsikal kita pancit,kita mengambil tindakan dengan menukar tiub tayarnya.Namun sekiranya kerapkali pancit,tindakan hanya dengan menukar tiub tidak akan menyelesaikan masalah,malah menambah kos kepada si pengguna.Mungkin kualiti jalan raya yang kita lalui saban hari memang mudah memudharatkan tayar motorsikal kita.Atau mungkin kualiti tayar kita sudah berkurang, lantas mudah menyebabkan benda asing boleh menembusi hingga ke dalam tiub.Jadi walau sudah kerap menukar tiub setiap kali pancit,sudah tentu tidak dapat menyelesaikan masalah.Jadi langkah perlu di ambil samada mahu menukar tayar yang baru atau menukar tayar kepada jenis tanpa tiub (tiubless).

Dalam mengambil menangani sesuatu,perkara pertama yang paling penting yang perlu kita kenalpasti sebelum mengambil tindakan adalah dengan mengnal pasti mengapa masalah itu boleh terjadi.Ketika tindakan hendak ambil pula,yang paling penting untuk di pertimbangkan adalah,adakah dengan tindakan kita itu,masalah yang serupa tidak akan berulang di masa hadapan.Ini merupakan tanda soal yang paling besar yang kerap menyelinap masuk dalam permasalahan yang timbul.

Tinggalkan sebentar tanda soal tersebut.

Walaubagaimana canggih pun ciptaan manusia kita tidak boleh lari dari ketentuan Illahi.Itulah hakikat yang perlu di terima oleh semua ummat manusia.Namun adakah kita perlu berserah begitu sahaja sedangkan kita masih lagi boleh berusaha.

Berkesan.

Dalam mengambil tindakan,ukuran keberkesanan tindakan yang di ambil boleh di lihat dengan membuat pemantauan susulan keatasnya.Sekiranya mahu menunggu akan ada atau tidak komplen dari pihak pelanggan tentang masalah yang sama selepas mengambil tindakan,tentu sudah terlewat untuk menilai keberkesanan tindakan yang telah di buat.Mungkin dalam jangka masa tertentu,pemantauan boleh di jalankan dan mungkin di sana nanti akan nampak sebarang kelemahan atau sebaliknya.Sekiranya kelemahan yang di kesan,pembaikpulihan harus di lakukan segera bagi memperbaiki keadaan.

Daku rasa inilah antara faktor yang masih lagi gagal menambat hati juru audit buat saban kalinya.Malah komen dari ketua juru audit,yang menegaskan bahawa tindakan tindakan yang telah kami ambil dalam mengatasi masalah,masih belum dapat memberi jaminan yang ianya dapat mengelakkan dari masalah yang berlaku itu dari berulang.Dan daku cuba simpulkan dari pengamatanku sendiri,kurangnya tindakan susulan/follow up selepas tindakan yang di ambil ke atas segala masalah yang di suarakan oleh pelanggan/customer antara penyebab kurangnya keberkesanan terhadap tindakan tindakan yang telah di ambil.

Kembali kepada asas.

Tindakan susulan/follow up bukannya satu konsep baru yang di perkenalkan.Ia adalah konsep yang sudah digunasedia sejak sekian lama.

Nabi Daud a.s bapa kepada Nabi Sulaiman a.s adalah pemerintah sebuah negara.Baginda kerapkali menyamar sebagai rakyat biasa dan menyelinap masuk ke dalam negeri pemerintahnya untuk mengetahui maklumat/feed back dari rakyatnya sendiri tentang pemerintahannya.Rata rata rakyat baginda memberikan penilaian yang bagus terhadap pemerintahan Baginda.Sehinggalah pada suatu hari Nabi Daud a.s bertemu dengan Jibrail a.s yang menyamar sebagai seorang lelaki yang memberi peringatan kepada Nabi Daud a.s bahawa sesungguhnya Nabi tidak boleh memakan harta dari Baitul Mal.Dengar sahaja teguran tersebut,Nabi Daus a.s terus pulang ke istananya dan menangis di hadapan Allah sambil bertaubat dan menyesali tindakan Baginda selama ini.Dengan keberkatan doa Baginda,Allah SWT telah menganugerahkan Baginda mukjizat ‘pandai besi’ sehingga dengan mukjizat itu,Baginda boleh melembutkan besi dan jadilah besi besi tersebut baju besi untuk kelengkapan perang.Baginda pun menjual baju besi itu dan dengan rezeki itulah Nabi Daud a.s menyara kehidupannya.

Hakikat hidup.
Muhasabah diri.

Manusia memang mudah lupa dan lalai.Namun kita di ajar untuk hidup secara berkumpulan/berjemaah.Dan di antara tertib hidup berkumpulan/berjemaah perlu ada menilai kembali/muhasabah di atas segala apa tindakan yang telah di ambil.

Gelojak.

Namun dalam diriku ini masih lagi tertinggal tanda tanya,apakah agaknya langkah yang perlu di ambil agar nasib 'ISU' yang bangkit dan di bangkitkan tidak tenggelam dan sejuk mencair dengan panas dan bahangnya 'ISU' baru.

"Ya ALLAH Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-MU.Bertemu untuk mematuhi perintah-MU,bersatu memikul beban dakwah-MU,hati-hati ini telah mengikut janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-MU,Maka eratkanlah Ya ALLAH akan ikatannya.Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-NYA(yang sebenar).Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya Rabbani-MU yang tidak kunjung malap,Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan keimanan/keyakinan dan keindahan tawakal kepada-MU.Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang-MU..(Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU.Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.Ya ALLAH,perkenankan permintaan ini.."