Thursday, May 31, 2012

:: Membina persepsi ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Manusia yang normal perlu berkomunikasi.

Berkomunikasi antara sesama kita bukan sahaja berlaku setiap masa malah berlaku di antara pelbagai peringkat manusia.Malah di dalam institusi tertentu yang kita berada di dalamnya,kita akan berkomunikasi di antara orang atasan dan orang bawahan kita.

...ia tidak boleh di elakkan.

Berkomunikasi memerlukan kebijaksanaan terutamanya bila menyentuh hal tertentu.Cara kita berkomunikasi sebenarnya membina persepsi/tanggapan tertentu.

Contohnya begini,

Kes 1.
Bila seorang yang datang hendak berhutang dengan kita,lalu bila kita memberinya hutang,ia memberi persepsi bahawa kita mudah untuk meminjamkan sesuatu kepada orang lain.Tidak mustahil orang itu akan datang meminjam lagi di masa akan datang.

Kes 2.

Bila seorang yang datang hendak berhutang dengan kita,walaupun kita berkeupayaan untuk membantu,namun kita memberikan sebab dan alasan tertentu untuk tidak memberi hutang.Ia memberi persepsi bahawa kita bukanlah seorang yang mudah untuk meminjamkan sesuatu kepada orang lain.Mungkin orang tersebut akan berfikir berkali-kali untuk berjumpa dengan kita dengan tujuan yang sama di lain masa.

Pentingnya membina persepsi.

Persepsi itu amat penting dibina terutamanya sekali bila kita berhadapan/berurusan dengan orang yang selalu kita jumpa dan berkomunikasi.

Contohnya begini,

Situasi 1.
Bermesyuarat adalah contoh berkomunikasi.
Namun kita perlu membuat ketetapan,
jika tidak ia hanyalah sekadar komunikasi.

Saya perlu mengendalikan suatu mesyuarat berkala 2 minggu sekali.Ia dihadiri oleh pelbagai peringkat pekerja.Tapi saya nyatakan kepada boss Jepun saya,mesyuarat perlu diadakan tepat jam 2,walaupun pada awalnya beliau berkehendakkan mesyuarat dimulakan sebaik sahaja lunch break berakhir iaitu sekitar jam 1:30.Saya nyatakan,kami perlu bersolat dahulu.Dan pada pendapat saya tidak mengapa mesyuarat itu dimulakan jam 2,memandangkan ia merupakan mesyuarat yang agak panjang kadangkala hingga memakan masa 1-2 jam.Akhirnya beliau bersetuju.Dan akhirnya secara rasmi sekarang,tiada lagi mesyuarat-mesyuarat yang akan dijalankan sejurus sahaja lunch break berakhir.

Situasi 2.

Sewaktu bujang dahulu,ada sekali saya menampal pelekat PAS bertulisan jawi pada cermin hadapan kereta saya.Tidak lama selepas saya menampal pelekat itu,abah menyatakan sesuatu kepada saya.Ringkasnya dia tidak setuju dengan tindakan saya itu.Saya mendiamkan diri sahaja.

Tidak lama kemudian,saya sudah berani membawa balik akhbar Harakah ke rumah.Kadangkala sengaja saya tinggalkan di ruang tamu rumah abah.Selepas beberapa ketika saya perasan yang Harakah itu seperti berusik tanda ada yang membacanya selain saya.Bermula dari itu,saya lebih kerap membawa Harakah balik ke rumah dan meninggalkannya di atas meja kopi di ruang tamu.Dulu,bila saya keluar dan menyatakan saya ingin mendengar ceramah,abah pasti tahu yang saya akan pergi ke ceramah PAS.Dari riak mukanya saya tahu,abah tidak menyenangi tindakan saya.Namun selepas beberapa lama,riak muka itu sudah berubah,tiada lagi tentangan dari abah untuk saya menyertai apa sahaja aktiviti PAS.

...saya agak persepsi abah berubah selepas beberapa kali membaca HArakah.

Persepsi adalah lambang.
Manusia perlu 'berlambang/berlogo'.
Ia memberi persepsi.Jika tidak orang tidak akan
menghiraukan kita.

Melihat kepada persekitaran kita,di mana sahaja perlu ada lambang.Di tengah jalan ada lambang jalanraya.Di depan bangunan ada lambang perniagaan.Di hadapan kereta ada lambang logo syarikat kenderaan.Ia sebagai satu tanda.Ia juga mewujudkan persepsi.

Dan sudah tentulah manusia perlu juga mempunyai 'logo',walaupun ia tidaklah perlu sehingga di tampal di dada mahupun di bahu.Ia perlu bagi mewujudkan persepsi dan tanda kita wujud dan berfungsi.Ia juga tanda awal kita bukanlah boleh diinjak-injak atau diperlakukan sesuka hati.Kita manusia bukannya haiwan ternakan yang melata.

Ayuh manusia!!

Wak,
TDI.

Thursday, May 24, 2012

:: Dakwah dan kefobiaan masyarakat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

"Sehari selembar benang,lama-lama menjadi kain."
"Kambing yang terpisah dari kelompoknya akan dibaham serigala."
"Penyapu lebih kuat berbanding dari sebatang lidi."
"Bersatu teguh bercerai roboh."
"Solat fardhu berjemaah itu 27 kali ganda lebih baik darjatnya berbanding solat bersendirian."

Apa sebenar mesejnya?

1.Akhirat kelak : Sesungguhnya tatkala manusia berada di dalam syurga kelak,antara sesama ahli syurga akan menyebarkan salam.

2.Kematian : Menjadi satu fardhu kifayah kepada sesebuah kelompok manusia untuk menguruskan jenazah saudara Islamnya.

3.Ketika di dunia : Salah satu jemputan yang dituntut untuk kita penuhi adalah adalah jemputan walimah.

4.Saat kelahiran : Kita dan adik beradik kita lahir ke dunia adalah dari rahim ibu kita yang sama.

5.Asal usul : Manusia semuanya merupakan anak,cucu Nabi Adam a.s dan Siti Hawa.

...dulu dan kini dan esok (insyaAllah),manusia duduk di dalam bumi yang sama.Fitrahnya manusia saling berhubung dan saling bantu membantu antara satu sama lain,tak kira apa bangsa,pangkat,keturunan dan rupa.

Jika sudah begitu,apakah masih kita mahu ber 'nafsi-nafsi'? -Dan sudah tentulah ia tidak mengikut fitrah.

Mana mungkin cetak karipap yang diguna tapi hasilnya bahulu cermai.

Mana mungkin kita tidak mengikut dasar dan perlembagaan Allah ketika di dunia lalu kita mengharap kita di masukkan terus ke dalam syurga di akhirat kelak.

Apa yang penting?

Kita menjaga hubungan baik sesama manusia dan pada masa yang sama kita mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran-walaupun hanya dengan berkata, "Tidak elok kalau begitu,bukankah elok kalau begini."

Dakwah bukan perlu di omok-omokkan atau difobiakan ('dakwah-phobia') tapi perlu dipromosikan.

Wak,
TDI.

Monday, May 21, 2012

:: Ingin menjadi kaya? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Siapapun dalam hidup ini mahu menjadi kaya.
Antara resepi untuk menjadi kaya adalah dengan banyak memberi.
Dakwah juga salah satu ruang untuk memberi.
Berada di dalam karier kerja dakwah,lebih banyak dicela dari dipuji.
Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis.
Dan kaya di syurga lebih kekal.....

Ini antara buah bicara kami dengan Naqib usrah,Ustaz Hj Abdul Halim Abdullah.

"Kami pekerja XYZ ni ustaz,setiap tempoh masa tertentu,kerja dan kualiti kerja kami akan dinilai.Lalu penilaian itu akan disemak dan akan diambil tindakan selanjutnya.Penilaian itu berdasarkan,

Gred 4-Tidak memenuhi syarat dan akan dipecat.
Gred 3-Sederhana dan tersenarai sebagai calon VSS.
Gred 2-Baik dan bakal mendapat 1~2 bulan bonus.
Gred 1-Cemerlang dan bakal mendapat 4~5 bulan bonus.

Dengan ertikata lain,kami sentiasa dipantau,diperhatikan dan dinilai.Dalam tuntutan bekerja yang sebegitu,disamping tuntutan berdakwah yang  juga penting,bagaimana kami mahu menangani dan menyeimbangi masalah ini ustaz? "

Ustaz menjawab dengan kata kata berikut,

"Bukan dalam kerja sahaja ada gred,dalam membuat kerja dakwah juga ada gred.Contohnya begini,

Gred 4-Hanya pergi dan balik usrah/program sahaja.
Gred 3-Hanya melakukan dan menyelesaikan tugasan yang diberi.
Gred 2-Inovatif : Memikirkan cara untuk bagaimana maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat.
Gred 1-Cemerlang.Di belakangnya ada 1000 orang yang boleh dikumpulkan bila-bila masa sahaja.

Sekarang letakkan diri masing-masing dan nilailah diri kita sendiri."

Sebelum itu,mungkin soalan di bawah ini boleh ditimbang-timbangkan.

Soalan 1 :

Sesungguhnya jika kita membuat kerja dalam pekerjaan kita sambil lewa,lalu kita risau kita akan dibuang kerja.Sebaliknya,apakah kita juga risau jika kita membuat kerja dakwah sambil lewa lalu masalah yang berlaku/melanda masyarakat sekeliling bertambah serius sehinggakan merebak ke dalam keluarga kita? Sesungguhnya sahabat Nabi SAW,jika mereka membuat usaha dakwah mereka sambil lewa,pasti Islam tidak akan dapat sampai kepada kita pada hari ini.

Soalan 2 :

Perlukah kita membuat kerja dakwah (baca: mengajak manusia kepada kebaikan dan menghalang mereka dari membuat keburukan)?

Moga perkongsiaan dapat memberi manfaat.

Wak,
TDI.

Friday, May 18, 2012

:: Ilmu itu bukan untuk dibangga ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari ini (18 Mei 2012) sekolah anak-anak saya menyambut Hari Guru.Sekolah Rendah Islam As Sa`idiyyah (SRIAS) dan Pasti Al Haazim (PASTI) telah mengeluarkan surat menyatakan tentang majlis berkenaan.

Surat makluman 'Hari Murobbi'
-SRIAS,2012.

SRIAS dalam suratnya menyatakan yang pada hari sambutan pelajar tidak perlu mengikut jadual pada hari tersebut.Manakala PASTI menyatakan bagi pelajar lelaki perlu memakai Baju Melayu,berkopiah dan lengkap bersamping.Tidak lupa juga pihak PASTI memohon agar dapat kiranya para ibubapa menyediakan barang sepinggan kuih dan di bawa ke PASTI,mungkin ada jamuan yang akan dianjurkan.

Abdul Hadi dengan segaknya bersama bekal ke PASTI-
kuih ketayap dari Umminya.

Pulang dari solat Jumaat tadi,saya sempat singgah ke rumah.Anak-anak lelaki saya masing-masing sibuk menceritakan kisah sambutan di sekolah masing-masing.Khabarnya di SRIAS selain para pelajar membuat persembahan,para Muallim pun membuat persembahan sama.Meriah agaknya.

Abdul Aziz dengan seragam
SRIASnya.

Pulang dari PASTI,isteri saya menceritakan yang Abdul Hadi mendapat beg goody yang berisi dgn pelbagai barangan.Tidak lupa buah tangan dari PASTI yang merupakan himpunan kuih-muih yang dibawa oleh para pelajar dan dibahagikan samarata,bahagian untuk di bawa pulang.

Terima Kasih Ummi PASTI dan para Muallim dan Muallimah SRIAS kerana mendidik anak-anak kami untuk berjaya dunia dan akhirat,InsyaAllah.

Kami doakan moga ilmu yang diajarkan kepada anak-anak kami dapat mereka gunakan di dalam kehidupan dan saya doakan agar para guru-guru anak kami terus mendapat Rahmat dan Kasih Sayang dari ALLAH SWT.

Ilmu.

Ya,selain ilmu dapat ditimba di sekolah,ilmu juga dapat ditimba melalui pengalaman hidup.Malah,yang lebih penting,ilmu selain di cari ia juga perlu dipraktikkan.Barulah ia sempurna kitarannya.

Baru-baru ini salah seorang sahabat saya memberitahu yang dia akan ke Seoul,Korea pada cuti sekolah yang bakal menjelang ini.Katanya lagi,duit belanja ke sana datang dari hasil menanda kertas jawapan SPM tahun lepas yang ditokok sedikit.

Setakat yang saya ingat,sahabat saya yang seorang ini sudah jauh langkahnya.Sebelum ini dia pernah sampai ke China,sebelum itu ke Turki,sebelum itu juga pernah ke Jordan malah tahun lepas baru sahaja menunaikan umrah.Saya doakan rezekinya semakin murah dan dapat segera bertemu jodoh yang dapat membimbingnya sehingga dapat masuk ke dalam syurga Allah SWT.

Dalam bertanya khabar,sempat dia menyatakan kerisauan tentang pemakanan jika berada di luar negara.Terkejut saya.Manakan tidak,dia sudah pergi lebih banyak negara luar berbanding saya,tetapi masih lagi risau tentang makanan,terutamanya perihal halal dan haram.Sedikit pesanan saya,"merantau ke negara orang (musafir) inilah peluang terbaik kita menguji pemahaman ilmu akidah dan fekah kita,ilmu selain di cari ia perlu dipraktik."
Saya doakan moga urusan sahabat saya ini dipermudahkanNya.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, May 16, 2012

:: Selamat Hari Guru ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Selamat Hari Guru!

Antara guru yang paling saya takut ketika berada di dalam kelas 1 Kuning adalah Mr Ler.Beliau mengajar Bahasa Inggeris.Setiap kali ketika masuk ke dalam kelas,bulu ayam yang berhulukan rotan sentiasa di kelek.Suaranya garau,orangnya tinggi,tapi sayang mengajar di SKAH Bt 15 hanya sebentar.Jikalau tidak,InsyaAllah saya akan menjadi scorer dalam Bahasa Inggeris.

Darjah 4 Kuning saya mendapat cikgu ganti sementara matapelajaran Matematik,namanya Cikgu Azizah.Beliau sebenarnya mengajar Matematik bagi kelas 4 Merah.Jadi bila matapelajaran Matematik tiba,2 kelas akan bergabung menjadi 1.Dan aktiviti kegemaran Cikgu Azizah adalah Pop Kuiz.Semua murid dikehendaki berdiri,siapa yang berjaya menjawab soalan Matematiknya barulah boleh duduk.Siapa yang pertama dapat menjawab akan mendapat hadiah siapa yang terakhir menjawab juga akan mendapat 'hadiah'.Masing-masing berlumba sesama sendiri.Antara sebab saya amat meminati matapelajaran Matematik,mungkin nama Cikgu Azizah boleh di sebut.

Bila tiba darjah 6,guru kelas saya adalah Cikgu Noraini Hussein.Beliau sangat tegas dan yang antara guru yang paling cerewet pernah saya jumpa.Markah Bahasa Malaysia saya tidak pernah mencecah angka 85.Jika mendapat gred A pun sekadar atas pagar.Namun,arwah emak selalu bercerita setiap kali ada perjumpaan antara guru dengan penjaga murid,"Cikgu Noraini tu sayang Rizal.Selalu dia cerita......." - Ia bagaikan penceritaan yang sukar saya percaya sehinggalah akhirnya beliaulah antara guru yang memujuk saya ketika saya hanya berjaya mendapat 3A1B dalam peperiksaan UPSR.

Bila tiba sekolah menengah,antara cikgu yang menjadi kenangan sehingga kini adalah Pn Norma (Guru Add Math) dan Cik Khoo (Guru Sejarah).Jasa Pn Norma mengajar dengan penuh sabar dan kreatiflah saya mendapat A2 dalam Add Math ketika trial SPM.Pertama kali saya dapat meninggalkan di belakang beberapa para scorer Add Math kelas saya.Dan Cik Khoo pulalah yang mencabar (baca : menyindir) saya untuk mendapat A1 dalam matapelajaran Sejarah dek kerana terlalu kerap mendapat F9 sejak tingkatan 4 lagi.Dan cabaran itu saya realitikan.

Akhir sekali,cikgu saya yang berada nun jauh di Jepun,Prof Arai Junji,yang begitu banyak membantu saya dalam banyak hal ketika di Jepun terutamanya ketika tahun-tahun akhir di sana.Beliau adalah supervisor projek akhir saya dan beliau jugalah yang bersusah payah mencarikkan peluang kerja saya ketika saya masih berada di tahun akhir pembelajaran.

Terima Kasih Cikgu!!!

Pisang Emas Di Bawa Belayar,
Masak Sebiji Di Atas Peti,
Jasa Guru Sukar Di Bayar,
Doa Sahaja Sebagai Ganti.

Wak,
TDI.

Friday, May 11, 2012

:: Hebatnya mereka.... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Hidup juga ujian.
Akhirat kelak keputusannya.

Ketika di awal-awal tahun 1 di Pusat Persediaan Kajian Teknikal ke Jepun (PPKTJ),kami seluruh pelajar seramai 100 orang di bahagikan kelas mengikut ujian pencapaian Bahasa Jepun kami.Kelas 1 adalah kelas terbaik berbanding kelas dua dan seterusnyalah sehingga kelas ke 4.Setiap mid sem/akhir sem bila selesai sahaja peperiksaan,mana-mana pelajar dari mana-mana kelas boleh berpindah kelas mengikut keputusan masing-masing.Sistem ini berjalan terus sehinggalah kami tamat tahun 2.Namun ketika tahun 1,matapelajaran teknikal masih menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Di tahun 2 pula,keseluruhan matapelajaran teknikal di ajar dalam Bahasa Jepun.Kami perlu belajar mengikut kelas Bahasa Jepun masing-masing.Selama 2 tahun inilah saya melihat rakan-rakan sekelas saya yang kerapkali bertukar ganti setiap kali minggu peperiksaan selesai.Ia bak rutin.

...itu kisah di Malaysia.

Di Jepun pula kami di bahagikan ke kolej-kolej tertentu mengikut jurusan yang kami telah pilih.Ada yang di hantar ke kolej yang berada nun jauh di utara Hokkaido dan ada yang di hantar nun jauh ke selatan Okinawa.Namun satu kolej paling ramai hanya ada 3 orang rakan sebatch.Mungkin ada yang seorang.Saya bernasib baik kerana di hantar ke Tsuyama Kolej berdua dalam 1 batch.

...3 Tahun yang sekejap.

2002.Diam tak diam,sudah 3 tahun kami di Jepun.Bila berada di tahun akhir,kami terbahagi kepada 2 kumpulan.1 kumpulan yang akan mengambil peperiksaan untuk menyambung pelajaran di Universiti yang mereka pilih dan 1 kumpulan lagi akan menjalani temuduga di syarikat-syarikat Jepun yang juga mereka pilih sendiri.Yang memilih untuk bekerja pula terbahagi lagi sekali kepada 2 kumpulan,ada kumpulan yang ingin terus berada di Jepun dengan berkerja dengan syarikat Jepun dan ada kumpulan yang ingin berkerja di syarikat Jepun yang berada di Malaysia.Saya memilih kumpulan yang terakhir.

...setelah pulang ke Malaysia.

Saya memilih untuk pulang ke Malaysia disebabkan beberapa sebab,antaranya untuk berkhawin.Entah mengapa,sedangkan ketika itu saya masih belum ada pasangan yang steady.Namun hikmahnya cukup besar,beberapa bulan selepas saya bekerja di Batu Pahat,emak yang tercinta kembali ke Rahmatullah.Saya sempat bersama-sama dengan arwah emak sehingga arwah emak menghembuskan nafasnya yang terakhir (Al Fatihah).

...alam kerja.

Dengan gaji tidaklah sebesar mana,saya berulang alik kerja dari rumah di Muar-Batu Pahat,sekitar 40 minit perjalanan.Namun saya dapat menemani abah di rumah ketika tempoh-tempoh awal arwah emak baru sahaja meninggal dunia.Sesingguhnya,ia ketentuan dari Illahi.

Setelah 2 tahun bekerja,rakan-rakan saya yang menyambung pelajaran di Jepun pun telah menamatkan tempoh further study mereka.Alhamdulillah,ramai juga bilangan mereka sebenarnya yang further study.Saya perasan antara ramai dari mereka itu,rakan-rakan yang ketika berada di PPKTJ,mereka berada di kelas 4,tetapi kini mereka meninggalkan saya di belakang pula.Malah ada di antara mereka yang terus menyambung ke peringkat sarjana.Bayangkan betapa gigihnya mereka mendaki tangga,dari kelas 4 kini mereka boleh berbangga dengan status mereka.

Yang bekerja di Malaysia,tidak kurang juga hebatnya.Masing-masing telah membina karier dan hidup masing-masing.Mereka semua berjawatan,Alhamdulillah.

...setelah 10 tahun pulang (2002-2012).

Kini saya bekerja di Senawang.Alhamdulillah,ia nikmat besar dari Allah SWT.

Rakan-rakan saya?

Mereka semua telah berjaya dengan dunia mereka.Ada yang masih bekerja di Jepun (tidak mustahil gajinya sudah mencecah 5 angka),ada yang bergelar pensyarah,ada yang bergelar pengurus dan ada yang bergelar usahawan dan macam-macam lagi.Tidak mustahil,sikit masa lagi mungkin ada yang berpangkat Tan Sri dan Dato’.

Ada juga terlintas di hati kecil ini, "rugi tak sambung belajar dulu.Kalau tidak,mungkin aku dah jadi .... atau ...."

...pengubat hati.

Kalau di renung semula,hidup ini kita merancang,tetapi ketentuan datangnya dari Allah SWT.Mungkin kalau saya sambung belajar dahulu,hampir pasti saya tidak dapat berada di sisi arwah emak di saat-saat akhir.Dan mungkin juga jodoh saya tidak dengan isteri saya yang sekarang.Wallahua`alam.

...namun,

Beberapa hari dahulu,Ustaz Hj Zamri Zainal Abidin (bekas penyampai dan penerbit radio IKIM) telah sudi menyampaikan tazkirah di Masjid Bandar Baru Senawang.Tazkirah pada hari tersebut dalam bentuk forum di mana Ustaz Danial sebagai moderator dan Ustaz Khusairi Hamthan sebagai ahli panel yang kedua.Tajuk forum adalah "Solat mencegah kemunkaran dan kekejiaan: Dimanakah kita?"

Antara yang diutarakan oleh ahli panel adalah tentang banyaknya fadhilat solat,samada solat fardhu mahupun solat sunat.

Antara fadhilat yang disampaikan pada malam itu adalah,

Sesiapa yang bangun malam untuk melakukan sesuatu (contohnya : membuang air) tetapi sempat bersolat tahajud 2 rakaat pahalanya tidak cukup alam untuk memuatkannya.

*Jelas ustaz,bukan dunia yang tidak muat untuk pahala tersebut,tetapi alam,ia lebih besar dari dunia.

Sesiapa yang melakukan solat fardhu berjemaah,akan terbuka luas 8 pintu syurga untuknya.Dia boleh memilih dari mana pintu yang ia ingin masuk.

Mendengar sahaja fadhilat-fadhilat tersebut langsung terlupa sebentar akan dunia yang fana ini.Langsung tidak teringat akan rakan-rakan yang telah jauh meninggalkan saya.Langsung tidak teringat kekurangan yang ada di dalam diri.Terus rasa bersemangat untuk beramal ibadah memnuhkan beg bekal untuk di bawa ke alam yang kekal abadi.Namun saya juga mendoakan agar saya sekeluarga dan mereka (rakan-rakan saya yang lain) sama-sama terus mendapat Rahmat Illahi,mendapat kekuatan,cahaya dan hidayahNya agar kelak dapat berkumpul bersama sekali lagi di Syurga Allah nanti.

Moga perkongsiaan dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Monday, May 7, 2012

:: Beryani Gam - Ia bukan sekadar RESEPI ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Resepi Beryani Gam (edisi Kg Pt Hj Zain).

A.Untuk masakan daging.

1 kg daging kambing.
Sedikit bahan tumisan (bunga lawang,cengkih,kayu manis).
Minyak untuk menumis.
Daun pudina (RM2)-(dikisar).
Lada hijau (RM1)-(di kisar).
Sedikit halia,lengkuas,serai (di kisar).
1 tin tomato puri.
1 tin susu cair.
Sedikit madu,sos tomato,sos cili dan sos tiram.
5 biji tomato.
2 paket kecil kerisik.
2 ketul gula batu.
1 ketul gula kabung (diracik).

Daging di cincang dan diperap
dengan limau nipis selama 10 minit untuk
menghilangkan bau kambing.

Bahan untuk dikisar.

Campur dan kisar sekali gus.

Rebus daging yang telah di bilas.

Bahan penumis.

Tumis sehingga naik bau.

Masukkan bahan yang telah di kisar.

Rempah beryani yang sudah sebati dengan sedikit air.

Masukkan baki bahan resepi.
Tunggu sehingga betul-betul masak (sekitar 1 jam).
Selepas itu masukkan daging yang telah direbus
dan sambung masak sekitar setengah jam.
Minyak boleh dilebihkan (bagi yang suka).

B.Untuk nasi beryani.

1 peket (1kg) Beras Basmathi (untuk hidangan 10 orang).
Sedikit tomato,serai dan halia.
1 tin kecil minyak sapi.
1 tin susu cair.
Sepeket butter.
Limau oren.
Jus sunquick.
Bawang,kismis dan kacang gajus (di goreng untuk hiasan).


Basmathi.
Saya guna Faiza (1kg RM 8.99)

Rendam di dalam air (setengah jam)

Masak air dan masukkan serai,bawang,bawang putih dan tomato.
(Ini untuk memasak beras.)
Beras hendaklah dimasak sekitar setengah jam atau 3/4 masak.

Menyiapkan periuk kukus.

Bahan untuk nasi beryani.

Selepas 3/4 masak,tos dan letakkan di atas kain.
Beras yang dimasak dibahagikan dua untuk membuat 2 lapisan
di dalam periuk kukus.

Taburkan daun bawang,daun sup,kismis,bawang goreng,gajus,
miyak sapi,butter,jus sunquick dan susu cair.

Masukkan baki beras (3/4 masak)
Ulang langkah untuk lapisan kedua.
Perahkan limau oren.

Di atas dapur panaskan sup rebusan air kambing
yang dicampur dengan sedikit kuah daging yang telah siap dimasak tadi.

Naikkan periuk di atas rebusan sup.
Jangan lupa gamkan antara periuk kukus.
Tujuannya agar tiada wap yang terkeluar.
(gam adalah tepung gandum yang telah dibancung dengan air menjadi doh)
Tunggu sehingga 15~30 minit.
Nasi sedia untuk diangkat.

Inilah hasilnya.
Beryani Gam Pt Hj Zain.
Air Sirap+Sanquick.
Papedam.
Yogurt buah-buahan.
(di masak pada cuti hari pekerja 2012)

Nota :

Ia bukan sekadar resepi.Ia adalah warisan turun temurun masyarakat Pt Hj Zain bagi majlis kenduri kahwin.Ia lambang ikatan masyarakat kampung seluruhnya yang mengamalkan konsep gotong royong.Malah ia juga tidak membazir kerana nasi yang dikukus tidak menghasilkan kerak.

Selamat mencuba!!


Wak,
TDI.

Wednesday, May 2, 2012

:: hitam putih ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hidup adalah berpasang-pasang.
Ia umpama hitam dan putih.

Seorang kawan saya mempunyai anak yang berumur 7 tahun.Mengikut laporan guru kelas anaknya,anaknya itu mempunyai masalah kerana dia masih belum pandai membaca.Ini dipantau melalui tahap-tahap ujian yang dilaksanakan di dalam kelas.

Baru-baru ini,pihak sekolah telah memanggil ibubapa yang mempunyai anak yang bermasalah tentang pembelajaran agar memantau anak mereka.Mereka di beri masa sehingga tahap ujian yang seterusnya.Jika anak mereka masih lagi tidak menunjukkan peningkatan,pihak sekolah menasihatkan agar anak mereka di pindahkan ke sekolah lain.

...itu cerita kawan saya.

Saya juga pernah mendengar kisah yang agak serupa namun berlaku di kawasan lain di Negeri Sembilan.Kisah tersebut juga berlaku di mana ibubapa kepada pelajar tersebut telah di panggil oleh pihak sekolah anaknya berkaitan dengan kemajuan anaknya yang tidak memberangsangkan.Atas alasan tertentu,ibubapa dinasihati oleh pihak sekolah agar memindahkan anaknya ke sekolah lain.Memandangkan mereka duduk berhampiran dengan sekolah yang sediada dan untuk mengambil tindakan memindahkan anak mereka ke sekolah lain adalah terlalu jauh destinasinya berbanding sekarang,mereka berkeras juga menghantar anak mereka ke sekolah yang anaknya berada sekarang.Itu keputusan muktamad mereka.

Takdir Tuhan tiada siapa yang tahu.Bila anak tersebut berada di darjah 6,ketika keputusan UPSR diumumkan,dia telah mendapat keputusan yang amat cemerlang sehinggakan guru-gurunya terkejut dengan keputusan yang diperolehinya.

1.Persoalannya,perlukah pihak sekolah memberi katadua/memberi nasihat kepada ibubapa kepada anak yang kurang cemerlang di dalam pembelajaran agar dipindahkan ke sekolah lain,sedangkan pelajar baru sahaja berada di darjah1?

2.Dan lagi,perlukah ibubapa dan pelajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya perihal kemajuan pembelajaran?

3.Dan lagi,adakah ada pekeliling dari mana-mana yang mengatakan seorang pelajar sekolah rendah yang berdarjah 1,sekiranya masih belum pandai membaca/mengira,apabila sampai ke satu tahap,mereka perlu berpindah sekolah yang lain?

4.Apakah wajar pihak tertentu memantau prestasi guru yang mengajar di sekolah-sekolah yang mempunyai peratusan tertentu kadar pelajarnya yang belum lagi pandai membaca/mengira walaupun sudah sampai ke satu tahap?

Apapun,

Saya suka komen bapa kepada pelajar di dalam kisah kedua,"Kalau pihak sekolah berani mengeluarkan surat hitam putih agar anak saya perlu dipindahkan ke mana-mana,saya akur.Kalau tidak,nasihat/kata dua itu saya abaikan sahaja."

-Ya,hidup perlu ada hitam dan putih.Dalam konteks di atas,ia sebagai bukti.

Moga perkongsian memberikan manfaat.

Wak,
TDI.