Friday, March 30, 2012

:: Daie Sejuta Ummat - Tinggalan Untuk Generasi Akan Datang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Menulis bukan sesuatu yang mudah.Terlalu banyak cabaran.Kadangkala idea mencurah di dalam kepala,namun bila mula menulis,intro terbaik tak muncul tiba.Di lain masa,bila idea sudah dihadam menjadi tulisan,ia bagaikan air yang mengalir,tidak berjumpa muara,langsung agak sukar untuk disimpulkan.Lalu masih juga tidak menjadi 1 hasil tulisan.Kadangkala terlalu obses untuk menulis,sampaikan 1 huruf pun tidak mampu untuk membentuk 1 ayat.Jangankan ayat,tajuk pun tidak mampu diberi di atas media yang poles kosong.Lalu apakah 1 resepi terbaik untuk menulis?

1.Ada yang berkata hendak menjadi penulis yang terbaik hendaklah banyak membaca.


2.Pernah saya terbaca,menjadi penulis haruslah mempunyai identiti sendiri.


3.Ada juga yang memberi pesan ringkas,"menulis adalah media untuk berkongsi bukan untuk berbangga."


.....Sungguh,ia serba sedikit memberikan saya garis panduan dalam menulis.

Namun,

Satu tips yang ingin saya kongsikan bila idea buntu kala menulis.Berhentilah menulis sebentar.Berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar dipermudahkan penulisan.InsyaAllah akan ada jalannya....

Blog WhiteWakGreen.

Ia idea yang spontan pada mulanya,bermula tahun 2009 dengan berteraskan "Mencari Sesuatu Untuk Di Pandu."

Setelah mengharungi hari,bulan dan tahun,kini dengan matlamat 8 entry per bulan,ia masih lagi mencabar kekuatan moral dalaman dan luaran saya dalam mendokong tanggungjawab dan komitmen untuk menulis.

Apa tujuan menulis?

Salah satunya...

Saya mempunyai susur galur yang menarik.Datuk saya berasal dari Indonesia lalu berhijrah ke Tanah Melayu dan berkhawin dengan nenek saya di sini.Malah khabarnya datuk ada isteri ketika di Indonesia.Bermakna saya mempunyai bapa/emak saudara di Indonesia.Ya,darah daging saya ada di sana.Namun ia hanya penceritaan dari mulut ke mulut tanpa ada wujud hitam putih.Malah saya hanya mampu mendengar dan mengetahui beberapa lipatan dari lembaran-lembaran kisah dan sejarah kehidupan emak dan abah, sedangkan saya hidup bersamanya.

Lalu,

Saya tidak mahu anak-anak dan generasi saya akan datang mengalami nasib seperti saya.Moga dengan adanya coretan-coretan dan perkongsian ringkas di blog ini,mereka serba sedikit dapat mengetahui sejarah susur galur mereka.Bukankah dengan mengetahui susur galur mereka,ia akan menguatkan jati diri kita?

....mudah-mudahan.

Juga,

Saya hadiahkan penulisan ini (sekiranya ada yang bermanafaat) kepada Allahyarhamah emak tercinta Hjh Misemah binti Haji Sakir.Doa saya-Moga bertemu di Syurga Allah nanti.

(klik gambar untuk imej besar)
Secalit penulisan saya yang tercatat di dalam buku
"Daie Sejuta Ummat-Ustaz Riduan Mohamad Nor".
Moga ia sebagai satu suntikan semangat kepada saya
agar terus dapat menulis di masa hadapan,InsyaAllah. 

Wak,
TDI.
(Jumaat,Jamadil Akhir 1433H)

Monday, March 26, 2012

:: Hari Sukan PASTI Kawasan Rembau 2012 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,bertempat di Padang Permaianan Awam,Taman Kemuning,Senawang telah berlangsung Hari Sukan PASTI Kawasan Rembau pada hari Ahad,25 Mar 2012 yang lepas.Sebanyak 10 buah PASTI telah menyertai,termasuk PASTI yang terbaru PASTI Gembira ( G = Great  E = Education  M = Must  B = Begin with  I = Islam  R = Rasul and  A = Allah).

Alhamdulillah juga,tahun ini PASTI Al Haazim dari Taman Desa Ixora adalah antara PASTI yang menambah seri suasana.Dan tentunyalah anak saya,Abdul Hadi yang awal-awal lagi terlalu teruja untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan adalah salah seorang pesertanya.

Kita ikuti laporan bergambarnya.

Antara yang terawal sampai.
Kala ini jam baru sahaja jam 8 pagi.

Ibu bapa dan pelajar mula memenuhi padang.
Pemandangan di bahagian pelajar PASTI.
Setiap khemah untuk 2 buah PASTI.
1 khemah untuk VIP.
1 khemah untuk pengacara majlis dan meja hadiah.
Kawasan khas untuk ibubapa di seberang padang. 

Pelajar yang lain mula memenuhkan ruangan di dalam khemah. 
Kala ini sekitar jam 8 setengah pagi.

VIP-YB Tn. Haji Taufek Abd Ghani.
Beliau adalah ADUN Paroi selaku Pesuruhjaya PAS N.Sembilan.
Beliau diberi penghormatan untuk merasmikan majlis pada hari itu.

Gembira setelah ummi dan adik beradik yang lain tiba.
Mereka lewat sedikit tiba memandangkan
adik-adik yang lain lewat bangun dari tidur.

Duduk sekhemah bersama dengan
YB ADUN Sikamat dan keluarga.

Santai.
Baby menyamar bersama baby sebenar. 

Majlis dimeriahkan lagi
dengan gerai-gerai jualan.

Acara yang ditunggu bermula.
Para pelajar mula bersiap untuk turun kebalapan.
Abdul Hadi : Bila agaknya turn aku ni?

Menghiburkan hati yang lara sebab
nama belum dipanggil untuk beraksi.


Akhirnya,tiba juga giliran.
Gambar kenangan kuartet 4x25 Pasti Al Haazim.

Gaya juara!!

Alhamdulillah,Hari Sukan PASTI pada tahun ini dapat disempurnakan dengan jayanya.Terdapat hampir 10 acara yang dipertandingkan dan dapat disempurnakan tanpa sebarang kejadiaan yang tidak diingini.Disamping acara untuk pelajar,ada juga acara untuk pasangan ibubapa (lontar belon air dan makan epal) dan remaja (rebut kerusi).

Akhir kata,seperti kata Pengerusi Majlis,selain dari penganjuran Hari Sukan Tahunan ini,ia merupakan juga wadah untuk para ibubapa,pelajar dan tenaga pengajar untuk beramah mesra.Selain itu ia merupakan salah satu majlis yang dapat menambahkan ikatan ukhwah sesama ummat Islam.Yang paling utama,acara seperti ini dapat juga mempromosikan produk Islam iaitu PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) kepada masyarakat sekeliling.

Mudah-mudahan tahun mendatang acara seperti ini dapat dianjurkan lagi dengan jayanya.

Logo PASTI.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Friday, March 23, 2012

:: Suami makan luar ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Ngeteh/teh tarik session bagi golongan berada
mungkin juga boleh dibuat di hotel 5 bintang.

Antara kegemaran sebahagian golongan lelaki adalah minum bersama-sama (baca: ngeteh/teh tarik session) dengan kawan-kawan.Dan antara budaya menarik bagi ngeteh/teh tarik session pula adalah 'memayung' antara satu sama lain.Dengan erti kata lain,ramai-ramai minum tapi ada seorang individu yang sukerela membayar semua makanan dan minuman yang telah dipesan.

Kadangkala,ngeteh/teh tarik session bukan sekadar minum-minum ringan,tetapi mungkin ada yang mendapat rezeki lebih lalu kawan-kawan yang sama minum bersama dipelawa untuk memesan apa jua menu untuk di makan.Sudah tentulah kawan-kawan tidak akan menolak peluang yang baik ini walaupun kadangkala dalam keadaan serba-salah.Faham akan keadaan itu,si individu itu tadi sendiri akan memesan makanan untuk kawan-kawannya yang seperti malu-malu kucing itu.Tersenyum lebarlahlah kawan-kawan semejanya itu kekenyangan kerana mendapat tempias durian runtuh.

Tup-tup,apabila balik ke rumah,yang berbelanja besar untuk kawan-kawan semejanya tadi,satu bungkusan makanan/minuman pun tidak di bawa balik bersama untuk isteri dan anak-anak.Aduhai....

Kisah seperti di atas bukan kisah asing yang pernah berlaku di tengah-tengah masyarakat sekarang.Bahkan kisah-kisah seperti di atas kadangkala ia tidakpun diambil peduli dan tidak dianggap masalah memandangkan wujudnya kisah yang lebih bermasalah yang perlu diselesaikan dalam sesebuah institusi keluarga.

Suami dan isteri.

Melayar bahtera rumah tangga bukan sekadar menghalalkan hubungan suami isteri yang dahulunya sebelum bernikah adalah bukan mahram,malah di dalamnya ada terkandung tanggungjawab dan hak-hak yang perlu ditunaikan.

Hubungan suami isteri di dalam rumahtangga juga sebenarnya menzahirkan yang ajaran Islam ini bukan sahaja menuntut akan kehalalan sesuatu perkara malah ia menuntut juga juga kita mencari yang baik-baik di dalamnya (halalan toyyiban).Sebagai contoh,dalam Islam daging kambing adalah halal di makan,tetapi bila daging kambing yang sudah dimasak kari lalu menjadi basi,maka Islam melarang kita dari memakannya.Sama juga di dalam rumahtangga,mendatangi isteri adalah halal,tetapi mendatangi isteri ketika isteri datang bulan adalah haram di dalam Islam.

Suami.

Antara tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebagai seorang suami adalah melengkapkan diri dengan pengetahuan agama.Bayangkan sahaja kalau si suami tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup di dalam dirinya,mana mungkin dia dapat memenuhi hak anak dan isterinya sepenuhnya jika begitu keadaannya.

Bila terjadi seperti situasi di atas,dalam keadaan si suami tidak arif/tahu yang mana yang haram dan yang mana yang halal,ditambah pula dalam suasana dunia persekitaran kita kini memberi tekanan yang tinggi dalam aspek kos untuk perbelanjaan harian,maka mungkin sahaja si suami tadi membawa pulang rezeki kepada keluarganya dari sumber yang haram.Kemungkinan itu tetap ada.

Walaupun mungkin ia kejahilan suami,namun kesan dari tindakan di atas pasti ada.Mungkin kesan dari tindakannya itu tidak terzahir ketika anak-anaknya masih lagi kecil,tapi 10/15 tahun akan datang,bila anaknya sudah lagi tidak boleh ditegur,maksiat pula menjadi-jadi,kala itu nasi sudah menjadi bubur.Bukankah gejala/permasalahan ini yang biasa kita lihat dipersekitaran kita sekarang?

Sebaliknya,jika kita fikirkan semula,makanan yang halal (halalan toyyiba),ia akan membawa kita kepada sifat taqwa.Bukan kah sifat taqwa itu boleh membawa kita ke syurga?

Isteri.

Walaupun secara pandangan mata kasar,tanggungjawab dan bebanan yang dipikul oleh isteri amatlah berat,namun hakikatnya ada hikmah di sebaliknya.Sebenarnya.isteri tidak perlu menyusahkan diri memikirkan perkara yang tidak tentu hala puncanya hingga membebankan diri dek kerana bebanan yang tidak terpikul.Sesungguhnya,antara yang utama dalam menjadi isteri adalah mendapat redha suami dalam apa jua hal selagi ia tidak melanggar batas-batas agama.

Kata orang arab,"khalas" -cukup.

Tanggungjawab bersama.

Mempunyai suami atau isteri yang terbaik dari semua sudut adalah cita-cita semua dari kita.Sebaliknya,jika berlaku di mana pasangan kita tidak bagus/ada kekurangan dari sudut melaksanakan tanggungjawab dan hak,maka kita tidak perlulah menyalahkan atau menghukumnya.Maka,apa yang penting adalah kita teruskan ketaatan kita kepada perintah Allah SWT.Berdoa dan berharaplah dengan sungguh-sungguh agar pasangan kita dapat berubah.Bukankah yang menggerakkan hati itu adalah Allah SWT.

Lihatlah,di dunia serba mencabar sekarang ini,maksiat kadangkala dianggap perkara biasa bila ianya sudah terlalu kerap berlaku di hadapan mata.Manusia terlalu sibuk untuk memikirkan permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat.Mereka seolah-olah hilang hala tuju dalam mengejar terlalu banyak impian dan juga tuntutan hidup.

Apa sebenarnya tujuan kita hidup?

Sesuatu kehidupan pasti dan pasti dipenghujungnya adalah kematian.Orang lain yang sebelum kita juga melalui ketentuan dan hakikat ini.Begitu juga orang yang selepas dari kita.Ada orang yang selepas meninggal dunia,terus sahaja senyap tanpa ada sebarang cerita/kisah sedangkan pada masa hidupnya,saban masa kisah dan ceritanya dapat didengari.Sebaliknya,ada orang yang selepas meninggal dunia,kisah dan ceritanya masih lagi diceritakan/dikisahkan/dibukukan/dikaji,sedangkan pada masa hidupnya dia dicaci dan dihina oleh segolongan manusia.

Bagaimana pula ketentuan kita kelak?

Ingat,mati akan tetap datang kepada kita.Mungkin lambat lagi ataupun mungkin sekejap lagi.Atau mungkin sesaat selepas ini.Wallahuaalam.

Wak,
TDI.

Sunday, March 18, 2012

:: Qiyam bersama ISMA Seremban ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,17~18 Mac 2012 baru-baru ini,ISMA Seremban telah berjaya menganjurkan Qiyamullail dan Rehlah Tahunan di Bagan Pinang,Port Dickson.Majlis bermula dengan pendaftaran jam 10 malam di Masjid Bagan Pinang dan berakhir pada jam 12 tengahari hari beikutnya.

Berikut dikongsikan laporan bergambarnya.

Selepas mendaftar,terus sahaja aktiviti bebas.
Abdul Aziz's 1st time qiyam.

Selepas Qiyam,solat subuh berjemaah,peserta terus sahaja berpindah lokasi
ke tepi pantai yang tidak jauh dari lokasi pertama,Masjid Bagan Pinang.

Rehlah dimulakan dengan tazkirah ringkas dari Ustaz Abdul Rahman. 

Riadah pertama.
Pecah telor-simbolik kepada mempertahankan iman
dari ancaman musuh luar.

Menunggu giliran untuk masuk padang.
Antara kumpulan yang dibahagi-bahagikan-Kumpulan Bakal Juara.

Peserta kanak-kanak dengan acara bebas mereka.

Tidak sah rehlah di PD tanpa acara air.
Moga anak-anak ini akan menjadi penyambung kepada
mata-mata rantai dalam usaha dakwah.

Tiba sudah acara penutup.

Santai sebelum pulang semula ke rumah.

Acara penyampaian hadiah bagi yang bergelar juara.

Pesanan dari Dr Zainur Rashid.
Beliau mengulas tentang Sistem Pendidikan Negara yang hendak dipinda.
Juga mengisahkan kembali tentang perang Badar.
Golongan yang kecil/lemah bukan bermaksud golongan yang akan kalah.

Bergambar kenangan sebelum berpisah.

Moga pertemuan ini bukanlah pertemuan yang terakhir.

Wak,
TDI.

Friday, March 16, 2012

:: Baik tanpa Sebab? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Jumaat (23 Rabiul Akhir).

Penghulu segala hari,Hari Jumaat muncul lagi.Diam tak diam kita sudah berada di pertengahan bulan Mac 2012M dan di penghujung bulan Rabiul Akhir 1433H.Namun,yang lebih utama untuk direnung sejenak adalah,apa yang telah kita tinggalkan di belakang sementara menunggu saat kematian yang entah bila detiknya?

Baik sangatkah kita?

Teringat saya kisah 25 tahun lepas.Saya anak lelaki seorang dalam keluarga.Hari Jumaat saya diwajibkan oleh abah untuk mengikutnya ke masjid untuk solat Jumaat.Ketika itu Jumaat dan Sabtu adalah cuti hujung minggu bagi negeri Johor.Oleh kerana pada hari Jumaat saya tidak bersekolah,maka saya dan abah dapat pergi ke masjid sedikit awal dan tidak perlu tergesa-gesa mengejar masa.

Apa tujuan kita memasukkan duit ke dalam tabungan masjid?

Ada beberapa kali,sebelum saya pergi ke masjid bersama abah,abah terlebih dahulu bertanyakan saya samada saya sudah membawa duit poket (baca : derma) atau belum untuk ke masjid.Satu-dua kali saya tidak faham juga pada mulanya.Tambahan pula,sekitar umur saya 7 atau 8 tahun,manalah ada sangat duit ketika itu.Duit belanja sekolah pun paling banyak pernah saya terima adalah 20 sen sehari.Duit tabungan hampir tiada.Lalu,apa yang hendak dimasukkan ke dalam poket?

Setelah beberapa kali Jumaat ditanya begitu,saya masukkan juga duit 20 sen ke dalam poket saya.Namun duit itu saya ambil dari rak kayu tempat abah kadangkala meletakkan duit syilingnya.

Sampai di masjid,apabila tupperware derma ditolak ke arah saya,saya masukkan duit 20 sen tadi.Aktiviti itu berterusan berulang kali sehingga satu peringkat abah sudah tidak bertanyakan lagi perihal duit poket untuk ke masjid pada hari Jumaat.

Lalu,

Bila dikenang-kenang kembali,sebenarnya latihan memasukkan duit (baca : derma) ke dalam tabung masjid ketika kecil dahulu itu telah memberikan input/maklumat yang sangat berguna kepada saya sehingga kini.

"Pergi ke masjid,jangan lupa membawa duit poket untuk dimasukkan ke dalam tabung."

Terima kasih abah kerana mendidik saya menjadi baik.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, March 15, 2012

:: Kita bukan pemberi rezeki ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Siapalah kita....

Antara sedar dan tidak,ramai yang menyangka bahawa yang mencukupkan makan dan pakai kita setiap bulan adalah datang dari duit gaji/pendapatan bulanan kita.Semakin kuat kita bekerja,semakin banyak wang gaji/pendapatan yang akan masuk ke dalam akaun.Maka bila bilangan angka semakin banyak nombornya, tersenyumlah kita kebahagiaan.Malah ada golongan yang berbangga dengan status bebas wang (Financial Freedom)-wang bukan masalah bagi mereka dalam hal berbelanja.

Sejauh manakah teori ini benar?

Duit bukan pencukup rezeki.

Tempohari saya meminta bantuan dari seorang kenalan saya untuk memasak juadah yang saya akan bawa ke surau sempena kuliah maghrib.Setelah berbincang tentang jenis makanan dan harga,maka bersetujulah kenalan saya itu untuk memasakkan menu permintaan saya pada hari dan masa yang telah ditetapkan.Kami membuat perbincangan tersebut pada hari Isnin.

Entah bagaimana,Selasa petang saya tergerak untuk pergi menziarahi kenalan saya itu.Tanpa saya sangka,rupanya kenalan saya beserta pembantunya sedang sibuk membungkus sesuatu.Bila saya tanyakan,rupa-rupanya mereka sedang membungkus makanan sepertimana yang saya tempah pada semalamnya.Saya tergamam sebentar.Manakan tidak,tempahan yang saya buat belum sampai masanya lagi untuk diambil.Masing-masing tergamam bila saya menyatakan kembali hari tempahan yang saya buat belum lagi tiba.

Saya bertenang sebentar mahu mencari idea untuk menyelesaikan masalah di depan mata.

Akhirnya baru terlintas idea yang tempahan makanan itu boleh di bawa ke Surau Al Amin (SAA),tempat Ustaz Haji Hambali berkuliah setiap hari Selasa.Cepat-cepat saya menelifon pengerusi surau SAA untuk menyampaikan hajat saya,takut-takut kuliah dibatalkan disaat terakhir.Sekiranya begitu,bolehlah saya membuat Plan B.Namun telifon tidak berjawab.Akhirnya saya bertawakal sahaja membawa tempahan yang sudah siap dibungkus itu.

Tiba di SAA,Alhamdulillah,kuliah Ustaz Haji Hambali berjalan seperti biasa.Lalu saya mengambil tempat di dalam surau seperti biasa.Sementara kuliah Ustaz berjalan,sempat saya berbisik kepada Pengerusi Surau mengenai hajat saya.Setelah mendapat persetujuan Pengerusi Surau,saya pun membawa masuk juadah makanan berkenaan melalui pintu belakang.Setelah selesai,saya masuk ke dalam surau kembali.Selesai masalah saya.Alhamdulillah.

Di akhir kuliah,selepas seluruh jemaah surau beransur pulang,saya dapati tiada lagi bekas makanan yang berbaki di atas meja.Moga ianya diterima oleh Allah SWT.

Seketika saya teringat kembali suatu pesanan,

"Sesungguhnya mungkin sahaja makanan (baca : rezeki) yang kita terima dari jemputan,sedekah dan hadiah dari sesiapa,yang menjadikan rezeki (makan,minum) kita untuk bulan itu cukup,bukannya datang dari gaji/pendapatan kita semata-mata.Malah yang paling utama,ia datang dari khazanah Allah SWT-itu yang perlu kita Imani."

Sangkaan saya,dapatlah kelak saya menjamu makan ahli jemaah kuliah maghrib di surau tempat taman saya tinggal,tetapi sebaliknya rezeki itu milik ahli jemaah SAA.
SubhanaLlah,ia ibrah dalam kehidupan.

Wak,
TDI.

Tuesday, March 13, 2012

:: Hidup Sibuk Mati Pun Sibuk ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Masa sentiasa berlari.
Jika kita berjalan,kita akan tertinggal di belakang masa.

Manusia seperti/seolah-olah tidak boleh bebas dari perkataan sibuk.Ada sahaja yang disibukkan untuk dilakukan malah ada sahaja perkara yang menyibukkan diri.Rasanya 24 jam yang ada dalam 1 hari 1 malam terlalu pantas berlalu dek kerana terlalu sibuk.Tak cukup-cukup rasanya masa yang ada.

Sekolah Rendah.

Saya bersekolah di Johor.Sehingga kini sistem pendidikan di Johor adalah bersekolah rendah kebangsaan di sebelah pagi dan bersekolah agama aliran Kerajaan Johor di sebelah petang.Ada tempat/bandar berjalan dengan sistem yang sebaliknya.

Bayangkan sahaja,kalau dahulu seawal jam 6 lebih pagi saya telah mandi di parit di hadapan rumah saya yang sejuknya sehingga menggigit tulang di dalam kegelapan subuh hari.Selesai mandi,berlari pula naik ke rumah untuk bersiap.Selesai bersiap,sebelum 7 pagi saya telah mula mengayuh basikal ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 4 km dari rumah.Bila jarum jam menunjukkan jam 12 setengah barulah selesai sekolah sessi pagi dan saya mengayuh basikal untuk balik ke rumah.

Setelah berehat serba sedikit,jam 2 petang saya bertolak pula ke sekolah agama yang jaraknya 2 km dari rumah dalam cuaca yang biasanya masih lagi berbasi panas teriknya.Walaupun jadual waktunya hanya sehingga jam 3 setengah,ia cukup melesukan badan.Sudahlah belajar di bangunan lama,kipas pula tiada,hiruk pikuk murid didalam kelas menambahkan lagi kerimasan.

Berkurang sedikit bebanan bila sekolah agama meningkat ke darjah 4.Pelajar darjah 4 hingga darjah 6 jadual waktunya dari jam 3 setengah hingga 6 setengah petang.Namun seharian sibuk pergi dan balik ke sekolah ditambah dengan bebanan belajar dan tanggungjawab menyelesaikan kerja rumah menyebabkan hari Jumaat dan Sabtu seperti ditunggu-tunggu.Ya,cuti adalah waktu untuk berehat-rehat sambil bersantai menonton kartun di TV.

Sekolah Menengah.

Diam tak diam,6 tahun waktu persekolahan bagi sekolah rendah berlalu dengan amat pantas.Selepas mendapat keputusan UPSR yang memberangsangkan,saya telah terpilih untuk bersekolah berasrama penuh di Cheras,KL.

Hidup di asrama lagilah bertambah sibuk.Seawal sebelum subuh terpaksa bangun tidur untuk bersiap.Jika terlambat bangun selain dari terpaksa beratur lama untuk mandi pagi,pasti akan didenda oleh Ketua Dorm,hanger (penyangkut baju) besi yang dijadikan rotan akan menunggu di hadapan bilik 1-5-pintu utama kami untuk ke surau.

Selepas bersarapan pagi,semua murid bergegas ke bangunan akedemik untuk memulakan hari persekolahan.Tamat sessi persekolahan pada jam 1 setengah petang,para pelajar bergegas pula pulang ke blok asrama untuk makan tengahari,solat zuhur dan bersiap untuk kelas persediaan petang.

Rush Hour!!!!

Jam 3 hingga 4 setengah petang,para penghuni asrama terpaksa berada di dalam kelas masing-masing semula untuk menyelesaikan kerja rumah.Walau kelopak mata terasa amat berat,digagahkan juga fizikal dan mental menempuhi 1 jam setengah itu.Ternyata jika tidak digagahi,segunung tugasan kerja rumah pasti akan tergendala.Ia tugasan harian yang mesti.

Selesai kelas persediaan petang serta setelah selesai minum petang dan solat asar,jam 5 hingga 6 setengah,sekali lagi penghuni asrama terpaksa turun ke bawah blok akedemi.Kali ini pula adalah untuk sessi riadah.Masing-masing agak bergerak ke lokasi masing-masing mengikut kelab sukan.Saya ahli kelab setia sukan kriket dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.

Selepas siap bersolat maghrib dan makan malam,sekali lagi para penghuni asrama menuju ke kelas untuk bersedia mengulangkaji pelajaran pada sessi kelas persediaan malam.Ia akan berlarutan sehingga jam 11 malam.Selesai tugasan di dalam kelas,kami menuju semula ke blok asrama untuk bersiap-siap sebelum beradu di atas katil mengumpul tenaga untuk keesokkan harinya.

Begitulah rutin hidup kami.Apa pun yang pastinya Sabtu dan Ahad adalah waktu merdeka bagi kami.Kami bebas dari kesibukan.Namun 5 tahun yang perlu ditempuhi ketika itu.Ia jangka masa yang cukup panjang rasanya.Manakan tidak,asrama amat sinonim dengan penjara masa dan undang-undang buat kami pelajar yang berusia remaja.

Pusat Persediaan ke Jepun.

Selepas mendapat keputusan SPM,saya mendapat pula tawaran untuk belajar ke Jepun.Selain dari kursus persediaan yang perlu kami tempuhi,ujian untuk menguasai bahasa Jepun untuk tempoh jangkamasa 2 tahun sebenarnya amat pendek dan amat perit rasanya kalau diingat kembali.Manakan tidak,segala macam huruf dan perkataan perlu dihadam dan diingat betul-betul.Segala macam ujian bertulis samada kecil ataupun besar perlu lulus,manakala kedatangan amat-amatlah diambil kira.Hinggakan perjalanan menaiki bas dari Kampung Baru menuju ke Jalan Semarak kami penuhi dengan mengimbas semula segala ingatan dan hafalan malam sebelumnya.Ya,setiap hari kami perlu menduduki ujian.Jika tidak lulus ujian harian,ujian ulangan (saishi-moichido) perlu kami duduki diakhir kelas pada sebelah petang.Sungguh memerangi saraf fizikal dan mental.

Setelah siang malam bertungkus lumus dan berhempas pulas akhirnya berjayalah juga kami anak-anak Malaysia bertutur dalam bahasa Jepun selepas 2 tahun dan berjaya melepasi halangan kelayakan untuk belajar ke Jepun.

Kolej Jepun.

Sudahlah ditempatkan diceruk kampung,kolej tempat saya belajar adalah nun dipuncak bukit.Di hadapan kolej saya adalah tempat buluh hidup subur.Jika mahu berurusan rasmi dengan sebarang bank ataupun pejabat,saya perlu mengayuh basikal lebih kurang 45 minit lamanya.Mujur jalannya menurun bukit,tapi untuk menempuh jalan pulang,sungguh bercinta untuk mengayuh basikal.Jika mahu memperbaharui permit untuk tinggal Jepun,kami perlu menaiki keretapi sangkut-sangkut.Itupun hampir sehari perlu diperuntukkan khas untuk urusan berkenaan.

Jika mahu diceritakan kisah belajar,ia tidak seindah/se-gah khabar yang kami belajar di luar negera.Kelas bermula jam 8 dan berakhir jam 5,setiap hari.Bila bertukar sensei untuk matapelajaran berikutnya,ada selang masa 5 minit.Itulah masa untuk ke tandas dan lain-lain urusan.Semua orang tahu,bangsa Jepun sangat tegas dalam isu masa.

Bila bertembung dengan masa yang terlalu mencemburui kita dan dengan kawalan yang amat dipantau,mengatur hidup bersesuaian dengan kehendak agama perlu juga dititikberatkan.Solat zohor biasanya tidak ada masalah,ia bertepatan dengan rehat kami sejam disebelah tengahari.Solat asar pada musim panas juga tidak menimbulkan masalah,ia boleh dilakukan selepas pulang dari kelas jam 5.Bila tiba musim sejuk,waktu maghrib adalah seawal jam 5 setengah petang.Waktu asar perlu ditempuh ketika berada di kelas.Untuk itu,sebelum bertukar sensei,saya akan bergegas ke tandas untuk mengambil wudhu-menggunakan sepenuhnya take 5 yang ada.Setelah selesai kelas berkenaan,saya akan menggunakan 5 minit yang ada untuk bergegas solat di bilik foreigner di bawah perpustakaan.Biasanya saya akan terlajak 5 minit selepas kelas bermula.Tetapi sistem kelas saya,5 minit terlewat masih dikira datang kelas tetapi dicop sebagai si chikoku (si lewat).Bayangkan,untuk lulus tahun berkenaan.saya perlu datang 80% dari seluruh kelas dan diperuntukkan dengan beberapa chikoku.Indahnya bergelar sebagai pelajar obesi (baca : luar negara) yang tidak sempat menjadi seorang obesiti.

Selesai 3 tahun saya pun berjaya menamatkan tempoh pembelajaran saya di Jepun.Saya pulang ke Malaysia membawa segulung sijil bertulisan Jepun dan membawa segunung kenangan yang pastinya masih dikenang sehingga kini.

Kerja.

Pulang ke Malaysia,saya bekerja di sebuah syarikat Jepun di Batu Pahat.Pada mulanya saya berkerja mengikut waktu pejabat,namun tuntuan produktiviti yang meningkat saya terpaksa bekerja shift 8-8 (8 pagi-8 malam ; 8 malam 8 pagi).Bila waktu siang bekerja,kami seperti terkongkong dek kerana bos Jepun seolah-olah sentiasa memerhatikan kami dari tingkat atas.Sehinggakan waktu minum pagi 10 minit kami terpaksa bergegas untuk makan dan minum.Rasanya mee atau nasi goreng hanya melalui tekak sahaja tanpa sempat dikunyah dengan sempurna.

Sibuk bukan alasan untuk kita masam mencuka.
Senyum adalah terapi untuk awet muda.

Sedar tak sedar,saya sudah berada di alam pekerjaan selama 10 tahun.Waktu terlama berbanding setiap fasa di atas.Walaupun sudah bertukar kerja sebanyak 3 kali,ketiga-tiga majikan saya adalh bangsa Jepun.Ya,saya masih berperang dengan masa dan kesibukan tuntutan bekerja.Walaupun hari sabtu dan ahad adalah hari cuti,minggu yang mendatang masih lagi saya perlu sibuk dan memikirkan akan kesibukan bekerja.

Lantas bilakah saya mampu duduk rehat dengan aman dan damai?

Kubur.

Kata orang,mati adalah tempat rehat.Saya tidak pasti sebab saya masih belum pernah melalui fasa itu.Tetapi ustaz saya pernah memberitahu,di dalam alam kubur,manusia-manusia terpilih akan sibuk diseksa oleh malaikat disebabkan perkara-perkara tertentu yang mereka lakukan di atas dunia.

Masih belum terlepas juga dari kesibukan.

Akhirat.

Adakah alam akhirat menjanjikan kemanisan yang mengamankan dan mendamaikan? Saya juga tidak pasti kerana saya juga belum pernah melalui fasa itu.

Namun yang pasti di alam sana,adanya syurga dan neraka.Manusia-manusia terpilih yang masuk ke dalam neraka akan sibuk diazab dengan azab yang pedih,yang tidak terbayang dengan mata,tidak terlintas dalam hati.Dan ia adalah azab buat selama-lamanya bagi golongan tertentu.

Masih belum terlepas juga dari kesibukan.

Lalu waktu bila kita mampu hidup tenang tanpa perkataan SIBUK?

"Ya Allah,Engkau sibukkanlah aku dengan perkara yang kelak dapat melepaskan akan dari sibuk diseksa di dalam kubur dan terlepas dari sibuk diazab di dalam neraka."

Wak,
TDI.

Thursday, March 8, 2012

:: Mati di atas katil ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

1 Mar 2012.

Minggu lepas,selepas waktu bekerja hari khamis saya terus pulang ke kampung.Memandangkan hari Jumaat saya perlu menyelesaikan banyak urusan,saya memilih untuk pulang menggunakan Lebuhraya PLUS berbanding menggunakan jalan raya biasa.Selain dapat memendekkan waktu perjalanan,saya juga cuba untuk mengelak dari diserang mengantuk ketika memandu dek sudah keletihan bekerja di siang hari.Alhamdulillah,selamat juga tiba di kampung halaman sekitar jam 10 malam.

2 Mar 2012.

Hari Jumaat,seawal jam 8 setengah pagi lagi saya sudah terpacak di hadapan Pejabat Daerah Muar.Setelah menyelesaikan tugasan di situ,saya bekejar pula ke Pejabat Agama Daerah Muar.Memandangkan hari semakin tinggi,setelah selesai tugasan di Pejabat Agama Daerah Muar,saya terus pergi ke dua buah bank untuk urusan selanjutnya.Selesai urusan di bank,jam menunjukkan 12 setengah tengahari.

Memandangkan perut pun sudah berdondang sayang,saya menuju ke Tanjung Emas untuk menjamu selera.Menu tengahari tersebut adalah asam pedas ikan merah bersama sayur tauge goreng yang cukup membuka selera.Selesai makan,saya terus ke Masjid Jamek Daerah Muar untuk solat Jumaat.Ya,sudah sekian lama saya tidak bersolat Jumaat di masjid yang cukup indah ini.Lokasinya yang berada betul-betul di tepi muara Sungai Muar membuatkan masjid ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri.Silap haribulan,mata akan menjadi layu dek kerana dibuai angin tepi sungai.

Selesai solat,sempat saya membasahkan tekak dengan cendol kacang merah.Terasa segarnya badan dikala waktu yang masih agak terik ketika itu.Setelah menikmati cendol tepi sungai,saya terus bergegas ke Pasar Ikan Pekan Parit Jawa.

Tiba di Pasar,berpusing-pusing juga saya mencari ikan yang hendak dibeli.Lain yang dicari,lain pula yang dibeli.Hari tersebut,ikan Duri Malim langsung tidak memunculkan diri di atas meja jualan.Akhirnya hanya membeli seekor ikan merah saiz sederhana,itupun nyonya di pasar itu menjualnya dengan harga RM28 sekilo.Hajat dihati ingin membeli ikan Jenahak,memandangkan harganya sahaja RM48 sekilo,hajat dipendam begitu sahaja.

Dalam perjalanan pulang,saya mendapat pesanan ringkas dari kakak saya pula agar menghantarkan anaknya ke sekolah jam 3:45 petang.Apalagi,terus saya pulang tanpa menyimpang ke destinasi yang lain.

Sampai di rumah kakak,anak buah saya sedang bersiap untuk ke sekolah.Dapatlah saya melepaskan lelah sebentar sambil menunggunya siap setelah hampir setengah hari ke sana dan ke mari menyelesaikan urusan dunia.Siap sahaja anak buah saya bersiap,saya hantar ke sekolah.Pada masa yang sama,saya menunggu anak kakak saya yang seorang lagi pulang dari sekolah yang sama.Setelah menghantar balik anak buah saya yang seorang ini,jam 4 petang barulah saya melabuhkan punggung ke rumah abah.

Sambil menunggu waktu Asar,saya membaringkan diri disamping kipas yang berputar laju.Hampir-hampir juga terlena bila azan mula berkumandang dari surau berdekatan.Kalau tidak dek kerana kekuatan yang Allah berikan,mungkin saya hanyut melayan kepenatan pada petang itu.

Malam tersebut,kerana sudah lama tidak berjumpa dengan makcik saya,saya menziarahi rumah beliau yang berada di Bt 17.Kebetulan atuk perempuan saya juga ada bersama di rumah beliau ketika itu,apalagi berbual panjanglah kami.Sedar-sedar jam sudah menjangkau jam 11 malam.Akhirnya,walaupun cerita masih lagi banyak untuk diperdengarkan,walaupun mata masih lagi sedar,tetapi kekangan masa dan kudrat,saya mengalah juga akhirnya.

3 Mar 2012.

Sabtu pagi,jam 8 setengah saya sudah tiba di pekan Parit Sulong.Hubungan Parit Sulong dan hari Sabtu adalah umpama aur dengan tebing.Hari Sabtu adalah hari Pasar Lambak bagi Pekan Parit Sulong.Bermacam jenis jualan ada di sana dan jelas suasana agak sibuk dengan aktiviti jual beli.Saya antara yang menggilai suasana hiruk pikuk itu.

Tengok punya tengok,pilih punya pilih akhirnya dapat juga ikan Jenahak yang dicita-citakan semalam.Harganya pula jauh lebih murah,hanya RM24 sekilo.Ditambah sikit dengan 2 kerat ikan Parang,jumlah harga 2 jenis ikan itu tidak sampai pun RM30.Alhamdulillah,sampai juga hajat.

Jam 11,saya sudah tiba kembali di rumah abah.Ikan untuk dimasak ikan pedas telah diserah kepada chef untuk disempurnakan.Manakala saya mengambil kesempatan untuk berehat sebentar.

Selepas solat zohor,setelah selesai makan tengahari,saya berkemas untuk bertolak pulang.Sekitar jam 4 petang saya pun bertolak dari rumah abah.Destinasi seterusnya sebelum pulang adalah rumah Wak Asror untuk mengambil ikan haruan dan rumah kakak untuk mengambil segala macam jenis daun untuk mandian orang pantang selepas bersalin.Tepat jam 4 setengah saya memulakan perjalan pulang dari kampung.

Kerana perjalanan masih lagi jauh untuk menuju ke rumah adik di Shah Alam,saya sekali lagi memilih untuk menggunakan Lebuhraya PLUS.Dari Tangkak saya terus sahaja menuju ke Exit Shah Alam Bt 3 untuk menuju ke Seksyen 6.Oleh kerana saya tiba di Shah Alam sekitar jam 7 petang,saya lencongkan kereta saya ke Masjid Negeri untuk solat Maghrib.Alhamdulillah,sampai juga hajat saya membawa keluarga untuk riadah santai di Masjid Negeri yang tersergam indah itu.

Setelah bersiar-siar sedikit sekitar Masjid Negeri,azan Maghrib pun berkumandang.Saya terus sahaja ke dewan solat utama di tingkat atas bersama Abdul Aziz.Umi dan anak saya yang lain menunggu giliran di tingkat bawah.

Sampai di tingkat atas,saf pertama telah penuh.Saya hanya sempat berdiri di belakang bilal untuk membentuk saf kedua.Selepas imam sampai ke tempatnya,bilal pun melaungkan iqamat.Saya perasan saf kedua juga telah penuh,dan saya lihat saf ketiga telah mula berisi setelah diatur susun oleh pegawai masjid.

Entah mengapa,tiba tiba dalam hati terlintas,alangkah baiknya kalau dapat solat di dalam saf paling dekat dengan imam.Entah bagaimana,bilal tiba-tiba berlalu pergi dari tempatnya di saf pertama.Makmum di kiri dan kanan bilal seperti terpinga-pinga,mungkin memikirkan apa yang terjadi kepada bilal.Namun mereka tetap berdiri ditempat asal mereka tanpa merapatkan saf yang kosong dek kerana bilal sudah tidak berdiri disitu.Sambil dari itu,mereka menoleh ke belakang seperti isyarat agar orang di belakang mengisi ruang kosong itu.Saya tanpa berlengah lagi melangkah ke hadapan dan terus berdiri betul-betul di belakang Imam.

Alangkah nikmatnya dapat berdiri solat di belakang Imam.Ia sukar digambarkan.Segala butir bacaan solat dapat di dengari dengan jelas.Ditambah pula bacaan Imam malam itu cukup merdu menambah lagi kesayuaan di dalam hati.Tanpa saya sedari,ia terapi yang cukup mujarab sebenarnya.Hilang segala kepenatan yang saya kumpul sepanjang perjalanan musafir.

Setelah saya dan isteri selesai bersolat segera kami bertolak ke rumah adik saya.Sampai di Seksyen 6 sekitar jam 9 malam,saya terus memunggah naik segala macam barang pesanan dari kampung untuk adik saya yang sedang berpantang selepas bersalin anaknya yang pertama.

Belum pun kering peluh dibadan,tiba-tiba anak saya Abdul Aziz mengadu sakit kaki.Saya pegang badannya dan terasa agak panas tanda demam.Cepat-cepat saya suakan air 100 Plus kepadanya.Tidak lama kemudian,Abdul Aziz muntah dan badannya kembali sejuk tanda demamnya mula kebah.Alhamdulillah.

Namun,Abdul Hadi pula diserang gatal-gatal pada badannya.Simptomnya naik biji air seperti cacar tapi badannya tidak panas.Puas saya memujuknya agar tidak keterlaluan menggaru.Akhirnya saya tertidur keletihan disamping 2 orang anak yang tidak berapa sihat.Terjaga juga beberapa kali apabila Abdul Hadi mengadu kegatalan.Setiap kali terjaga,saya periksa keadaan Abdul Aziz juga.Keadaan Abdul Aziz semakin stabil tetapi keadaan Abdul Hadi sedikit membimbangkan,biji air semakin banyak yang timbul.

4 Mar 2012.

Terjaga dari tidur pagi berkenaan,jam menunjukkan hampir waktu subuh.Saya bergegas bersiap untuk bertolak ke Masjid Negeri.Tiba di Masjid Negeri,beberapa saat kemudian terdengar muazzin melaungkan azan Subuh.Saya bergegas ke atas dewan solat utama.

Selepas solat,Imam Masjid menyampaikan tazkirah.Beliau membacakan sepotong hadith di mana Nabi SAW mengajar agar apabila kita mendapat nikmat kita hendaklah mengucap 'Alhamdulillah',bila rezeki kita agak payah kita perbanyakkan beristighfar,bila kita dilanda penyakit banyakkan mengucap 'Laa Hawla wa laa Qawwuta Illaa Billah'.

Alhamdulillah,banyak hikmah yang saya dapat dari hadith yang saya dengar dan perkongsiaan dari kuliah Subuh pada pagi itu.Terima kasih Allah.

Setelah selesai bersarapan pagi di rumah adik,kami bersiap pula untuk ke Seksyen 2 Bangi.Kakak saya juga sedang berpantang selepas bersalin anaknya yang ke 4.Khabarnya bayinya masih di tahan di wad Hospital Putrajaya walaupun sudah hampir 2 minggu lebih lahir ke dunia.

Sampai di Bangi jam hampir 12 tengahari.Setelah memunggah naik segala barang pesanan dari kampung untuk kakak,saya berehat di Gazebo baru di rumah kakak saya.Alhamdulillah,nikmatnya dapat berehat sambil angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Azan sekali lagi berkumandang dari corong pembesar suara Surau An Nur yang terletak tidak jauh dari rumah kakak.Saya bergegas ke sana untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.Bahgia dan nikmatnyanya dapat solat di surau secantik dan seaktif Surau An Nur.Fasilitinya serba lengkap dan canggih,malah aktiviti surau sentiasa diimarahkan dengan pengisian dari Ustaz dan Tuan Guru yang cukup besar namanya dalam bidang dakwah tanahair,Al Fadhil Tuan Guru Ustaz Hj Harun Din misalnya.

Usai solat saya berehat sebentar dengan melelapkan mata di rumah kakak bagi menjana kembali tenaga yang tersisa.Bangun dari tidur,saya menjamu selera makan petang dan terus bersiap untuk ke Bukit Mahkota pula.Di sana saya ingin menziarahi sepupu saya yang baru sahaja menimang anaknya yang ketiga setelah beberapa kali keguguran.

Tiba di Bukit Mahkota,hari sudah larut petang.Sambil melayan anak dan anak sepupu saya bermain azan Maghrib pun berkumandang.Sejurus selesai bersolat,saya meminta diri untuk pulang ke Senawang.

Dengan baki tenaga yang bersisa,saya gigihkan juga untuk memandu kereta.Dengan menggunakan lebuhraya LEKAS,Alhamdulillah dengan bantuan dari Allah SWT memang lekas (baca : cepat) betul saya sampai di Senawang.

Tiba di Senawang,anak semua sudah tidur kepenatan.Saya alihkan mereka ke dalam bilik lalu saya mengemas apa yang patut lalu masuk tidur untuk menyediakan diri bagi urusan hari esoknya.

Hari ini.

Ketika entri ini ditulis (7-8 Mar) keadaan fizikal saya tidak terlalu cergas 100%.Mungkin kesan kepenatan yang dialami oleh anggota badan menyebabkan kecergasan fizikal saya agak terhad.Bila dilihat kembali,rupanya keadaan umur mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan badan dan fizikal lagi tidak selasak dulu.

Kalau dahulu ketika zaman muda remaja,saya amat menggilai permainan kriket.Saya boleh bermain 25 overs bagi 1 Inning yang memakan masa 3-4 jam (bergantung kepada faktor) sambil terpacak berdiri di bawah sinaran matahari yang terik. Bayangkan,saya perlu menempuhi 1 perlawanan setiap hari.Maknanya jika dikira jumlah masa 2 Inning (setiap pasukan sempurna memukul dan memadang),ia sekitar minimum 6 jam saya berada di atas padang dalam masa sehari.Malah saya perlu melalui 4-5 perlawanan (bergantung kepada faktor) dalam tempoh pertandingan yang dijalankan.Biasanya ia memakan masa seminggu.Namun selepas sahaja pertandingan tamat,saya masih lagi cergas dan bersedia untuk bermain lagi pada bila-bila masa sekalipun.

....itu cerita dahulu.

Bila badan dan fizikal tidak selasak dahulu,dengan badan yang kerap kali sakit-sakit,sekali sekala terasa seram sejuk seperti hendak demam,ketika itu pasti akan terlintas akan saat kematiaan seperti sudah amat dekat.Walaupun terasa umur masa lagi panjang,siapa tahu,Malaikat maut akan menjemput saya pada bila-bila masa sahaja.

Cuma 1 harapan saya.Biarlah saya mati bukan di atas katil.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya dalam keadaan suci berwudhu.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya mampu melafazkan kalimah syahadah.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya dalam medan dakwah.Itu cita-cita dan doa saya.

Ya Allah,Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Wak,
TDI.