Wednesday, January 26, 2011

:: Harta dan pangkat : Adakah ia satu lambang? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kuliah Maghrib di MBBS (25 Januari 2010).
Tafsir al Munir (Juz Amma-Surah At Takaathur)

"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh) - (At-Takaathur 102:1) "

Mukaddimah.
Adakah emas itu lambang kekayaan?
(sekadar gambar hiasan)

Pernah sekali Prof. HAMKA menceritakan sebuah kisah tentang kehidupan seorang yang teramat kaya di Medan,Indonesia.Di sebabkan kemampuan yang ada ketika itu dan hartanya yang banyak,sehinggakan anak-anak orang kaya itu mampu untuk membeli kereta.Tapi yang peliknya orang kaya berkenaan masih lagi berjalan kaki ke sana ke mari tanpa menaiki sebarang kenderaan.Bila di tanya orang,orang kaya itu berkata,”anak-anak aku bolehlah membeli kereta,mereka anak orang kaya,aku tidak.”-Kekayaan yang di kumpul tidak semestinya kita dapat rasai/nikmati sepenuhnya.

Bisikan syaitan.

Antara lubang yang membolehkan syaitan masuk dan membisikkan pada hati ialah :

1.Sombong dan besar diri.
Kata Ustaz,"Janganlah kamu bekerja berlandaskan/bersandarkan PANGKAT tetapi bekerjalah kamu berlandaskan/bersandarkan AMANAH."

2.Buruk sangka.
Contohnya :
A : Kau ada pecah tak duit 50.
B : Kau nak buat apa?
A : Aku nak sedekah ni.
B : (eleh…nak sedekah,sedekah jelah,nak tunjuk-tunjuk pulak)

....Mungkin niat A ikhlas untuk bersedekah,tapi B pula telah termakan bisikan syaitan.

3.Kikir/bakhil.
Contoh bisikan syaitan : Kau sedekah ni nanti kau nak makan apa?
....Lalu kerana termakan bisikan,tidak jadilah orang itu untuk bersedekah.

Pangkat.

Kata Ustaz lagi,

"Bukan sahaja manusia sahaja mempunyai ajal,kuasa dan pangkat juga mempunyai ajalnya."

Sampul.

Ustaz juga ada menekankan dan menegaskan ada sesetengah pihak yang mula menggelar sesetengah ustaz sebagai 'Ustaz Sampul' merujuk kepada sampul duit yang di beri oleh pihak masjid/penganjur ceramah kepada penceramah/ustaz.Meskipun di gelar 'Ustaz Sampul' sekiranya masih mampu menegakkan/ menyatakan Hak & Bathil maka itu jauh lebih mulia dari 'Ustaz Tak Sampul' yang asyik berdolak-dalik untuk mengeluarkan pandangan/teguran sekiranya terdapat sesuatu yang menyalahi hukum syarak berlaku di depan mata.

Pesan ustaz,

"Hendaklah orang yang berilmu itu bercakap dengan bersandarkan ilmunya bukan dengan mengikut arahan pihak tertentu."

Di akhir kuliah Ustaz membawa suatu kisah :

Nak jadi cerita,seseorang telah terjumpa kawan yang dah lama x jumpa.Maka sesama mereka pun berhasrat untuk meminta nombor telefon masing-masing.Tetapi malangnya,kedua-dua mereka langsung tidakmembawa telefon bimbit mereka.Diringkaskan cerita,si A telah menghulur kertas pada si B untuk si B menulis nombor telefonnya.Si A pula berbuat perkara yang sama pada kertas yang lain.Lalu mereka pun bertukar-tukar kertas yang bertulis nombor telefon masing-masing.Si B tanpa berlengah terus sahaja menyimpan kertas berkenaan dalam poket baju kemejanya.

Setelah berpisah si B terus ke masjid untuk menunaikan solat jemaah.Sedang si B itu rukuk,maka entah macamana jatuh segala isi poket baju kemejanya ke lantai masjid,termasuk kertas tadi.Rupa-rupanya baru dia perasan kertas tadi adalah kertas nombor ekor.Akibat pusingan kipas yang agak kuat,kertas 'nombor' tadi terbang mengikut angin.Sudah tentu ramai jemaah yg TERperasan kehadiran kertas 'misteri' tersebut."Siapalah yang bawak kertas 'haram' ni sampai dlm masjid" -begitulah agaknya respon dlm hati memsg.

Tup-tup,kertas 'misteri' tadi terbang sampai kat tempat imam.Imam pula pelik,"siapa punya pulak 'kertas' ni??,aku punya ada dalam poket."

Pecah juga gelak hadirin malam tadi mendengar cerita dari ustaz.Sinis tapi mempunyai pengajaran yang terkandung di sebalik cerita.

Kata Ustaz Hj Nor Azman lagi,(Imam Masjid Masjid Jamek Dato' Kelana Petra Sendeng)-

"Kita bukan sahaja tidak boleh mendedahkan aib/keburukan orang malah kita juga tidak boleh mendedahkan aib/keburukan diri kita sendiri."

Dan peringatan dari Ustaz juga,

"Harta yang datang dari sumber yang halal akan diHISAB sebaliknya yang datang dari sumber yang haram akan diAZAB."

Wallahua`alam.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Friday, January 21, 2011

:: Bangkai itu bukan untuk dikata/dikeji ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pernah jumpa/nampak bangkai anjing yang mati ditepi jalan?

Beginilah nasib bangkai selalunya.
Busuk dan mereput.
Orang sekeliling pula mencaci-cela.

Mungkin mereka yang melihat senario di atas,begini respon mereka :

A : Eh,bila pula ada bangkai kat tepi jalan ni?
B : Bangkai anjing ni.
C : Siapalah yang langgar anjing ni agaknya.
D : Anjing mati!!!
E : Ish,mati kat jalan pulak.Najis mughalazoh tu.

Adakah dengan memberi respon sebegitu,bangkai anjing tadi dapat berubah?
Akhirnya,oleh kerana tiada mana pihak pun mahu menguruskan bangkai anjing tadi,busuklah ia di situ dan siapa yang ada disekitar itu jugalah yang berterusan menghidu 'aroma'nya.

Sepatutnya apa yang boleh kita buat?

Bangkai bukan untuk dikata tapi perlu diuruskan agar tidak berbau.

Oleh yang demikian,masukkan bangkai anjing tadi ke dalam guni,galikan lubang dan kambuskan bangkai.Bangkai yang sudah bertutup tidak mungkin akan berbau melainkan ia dikorek semula.Tapi mana mungkin lubang tempat bangkai anjing ditanam akan dikorek semula.

Maruah orang Islam.

Sepertimana kita tidak mahu maruah buruk kita dilondehkan oleh sesiapapun,begitu jugalah orang lain.Sekiranya kita mengetahui sesuatu perilaku buruk tentang orang lain,senyap dan pendamkan sahaja dalam diri kita.Menyebarkan perilaku buruk orang lain seperti menebarkan aroma bangkai yang busuk keseluruh pelusuk alam.Menyimpan/tidak menghebahkan perilaku buruk orang lain umpama kita menanam dan mengambus bangkai bagi mengelakkanya berbau busuk.

Kisah Saidina Umar r.a dengan peminum arak.

Suatu hari ketika Saidina Umar r.a membuat rondaan,beliau telah terdengar sesuatu yang mencurigakan (seperti bunyi gelas berlaga di dalam sebuah rumah).Lalu Saidina Umar r.a mengintai apa yang terjadi di dalam rumah berkenaan.Beliau dapati seorang rakyatnya sedang meminum arak.Lalu beliau pun melompat masuk ke dalam rumah berkenaan melalui tingkap.Memang benarlah,seorang lelaki telah ditangkap oleh Khalifah sedang meminum arak.Namun ketika ditangkap membuat kesalahan,pemuda itu cuba membela dirinya.Lelaki itu mengatakan dia terlalu ketagih arak dan perbuatannya itu dilakukan tetapi disembunyikan dari pengetahuan orang lain.Malah ketika itu juga pemuda itu telah mempertikaikan tindakan Khalifah dengan berkata,"Jika sekiranya saya melakukan 1 kesalahan,Tuan telah melakukan 3 kesalahan."

Jangan mencari kesalahan orang.

Pertama.Tuan sudah mengintai saya dari luar.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujuraat : 12)

Masuk ke rumah melalui pintu.

Kedua.Tuan telah masuk ke dalam rumah saya dari tingkap.

".....dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya." (Al-Baqarah 2:189)

Masuk ke dalam rumah tidak memberi salam.

Ketiga.Tuan tidak memberi salam ketika masuk ke rumah saya.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)." (An-Nuur 24:27)

Selepas dari kejadian itu,Saidina Umar tidak menceritakan kepada sesiapun akan peristiwa yang beliau ketemui itu.

Selepas beberapa ketika,ketika Khalifah membuat perjumpaan dengan seluruh rakyatnya,Saidina Umar telah terlihat kelibat lelaki peminum arak tersebut.Beliau telah memanggilnya ke sisi Beliau dan bertanyakan khabarnya.Saidina Umar berkata kepada lelaki berkenaan bahawa beliau tidak pernah menceritakan kepada sesiapun peristiwa pada malam tersebut .Lelaki berkenaan tersenyum dan memberitahu kepada Khalifah, semenjak dari peristiwa tersebut,dia sudah bertaubat dan sudah tidak meminum arak lagi.

Kesimpulan.

1.Menutup maruah orang Islam secara tidak langsung memberi inisiatif kepada orang berkenaan untuk bertaubat dan memperbaiki dirinya sendiri.
2.Menjadi pemimpin harus bersedia untuk ditegur.

Wallahua`alam.

Mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke 30 (21 Januari)" kepada Zaujah tercinta,Pn. Zaiton bte Othman.Moga angka 30 itu bisa mengorak langkah mengejar destinasi ke Syurga Allah dengan lebih laju dan penuh Istiqamah.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Tuesday, January 18, 2011

:: Diamond is forever! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Langit yang membiru.
(sekadar gambar hiasan)

Diberitakan bahawa apabila Jibrail a.s berdiri,kakinya mencecah dasar lautan,kepalanya pula mencecah 7 petala langit dan apabila sayapnya (yang sejumlah 600 sayap) di kembangkan,akan mencecah masyrik wal maghrib (timur dan barat).Walaupun kejadian Jibrail a.s sebegitu,namun malaikat tetap bukan sebaik-baik ciptaaNya.

Bersyukur ke Hadrat Illahi kerana menjadikan kita sebagai manusia yang sifatnya sebaik-baik kejadian.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin 95:4) "

Walaupun manusia menjadi sebaik-baik kejadian ciptaan Allah SWT,namun apabila manusia sujud/membesarkan selain dari Allah,maka golongan ini sebenarnya telah mencampakkan diri mereka sendiri ke dalam lembah yang penuh dengan kehinaan.

Tetapi,dalam pada itu,Allah juga telah menjadikan satu golongan manusia yang mempunyai perasaan kasih sayang.Dan golongan inilah yang akan menyelamatkan manusia tadi dari terus terjerumus di dalam lembah yang hina.Mereka inilah golongan para Nabi dan Rasul yang mana mereka ini akan menangis dan sentiasa mendoakan kesejahteraan bila mengenangkan nasib yang terjadi kepada ummat mereka.

Kejadian Berlian/Diamond.

Diamond/berlian adalah salah satu jenis batu permata yang juga menjadi salah satu perhiasan bagi kaum wanita elit.Ia menggambarkan contoh kekayaan perut bumi.Bagi penggemar/pengumpul berlian,mereka sanggup membelanjakan berapa sahaja wang mereka,asalkan mereka dapat memiliki berlian yang mereka hajati.
Sebentuk cincin berlian yang entah berapa
nilainya.Tapi hanya 1,pasti ia indah dan menawan.

Untuk menilai kualiti sebentuk berlian,banyak faktor yang perlu dipertimbangkan dan diperhalusi.Namun di antaranya ialah faktor 4C (cutting,color,clarity dan carat).Dalam pada itu,setengah pakar berlian pula mengatakan,Afrika Selatan adalah negara yang popular dengan lombong berlian.Malah dikatakan,Rusia juga mempunyai pakar-pakar yang boleh membentuk/mengasah intan menjadi berlian (Russian Cutting) yang terbaik.

Namun bukan semua orang mampu menggunakan rumus di atas (4C) melainkan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang menilai permata.Dengan erti kata lain,seseorang yang mahu menilai berlian,mereka mestilah benar-benar faham akan kelebihan yang ada pada berlian tersebut.

Tetapi sesiapapun,samada yang mahir dalam bidang menilai batu permata atau tidak,sebut sahaja berlian,pasti semua akan mengetahui yang berapakah tingginya nilai sebutir berlian tersebut.Hatta,apabila sebentuk berlian jatuh ke dalam tempat yang kotor sekalipun (contohnya di dalam air longkang),pasti tidak kira siapapun,mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil berlian itu keluar dari tempat yang kotor berkenaan.
Longkang sinonim dengan sifatnya yang
kotor lagi menjijikan.Siapapun yang terjerumus
ke dalamnya pasti akan terpalit dengan kekotoran.

Mengapa mereka sanggup?

Ini kerana walaupun berlian tadi telah terjatuh/termasuk ke dalam air longkang yang kotor lagi busuk,jika ia diambil keluar,dicuci dengan air,dibuang kotoran yang melekat,berlian akan tetap berlian.Nilainya tetap tinggi walaupun sebentar tadi,ia telah jatuh ke dalam air longkang dan luaran berlian tadi penuh di selaputi kotoran dan najis.

Kejadian manusia.

Manusia walaupun hina sekali kedudukan mereka disebabkan kelakuan buruk yang terlalu mengikut nafsu dan bisikan syaitan,manusia tetap manusia.Kejadian manusia adalah sebaik-baik kejadian ciptaanNya.

Apa tugas kita?

Kita yang di anugerahkan akal fikiran,yang diberi faham akan martabat kejadian manusia,seharusnya tidak memandang rendah terhadap seseorang individu tertentu.

Apa yang boleh kita lakukan?

Keluarkanlah golongan manusia ini (yang terjerumus ke dalam lembah kehinaan) dan letakkanlah mereka ditempat selayaknya.Kita merupakan golongan manusia yang telah Allah pilih dan dianugerahkan Iman ke dalam diri kita,sepatutnya kita juga mempunyai fikir dan risau atas masalah manusia sekeliling kita,sepertimana fikir dan risau para Nabi dan Rasul akan ummat mereka.Fikir dan risau itulah kita zahirkan dalam tindakan kita untuk menyeru mereka-mereka ini supaya kelak mereka ini mati dengan kalimah LaailahaillaLlah.
Ayuh diriku....

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Thursday, January 13, 2011

:: Turun hidayah ketika tidur ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

sekadar gambar hiasan....

Suatu ketika,seorang lelaki telah berjalan melalui di tepi sebuah masjid di sebuah tempat.Oleh kerana terdorong untuk mengetahui apa aktiviti orang Islam yang ada di dalam masjid berkenaan dan dia juga mempunyai keluangan masa,maka lelaki itu berhenti sebentar dan masuk ke dalam masjid tersebut.

Bila masuk sahaja ke dalam,lelaki berkenaan mendapati di ruangan masjid sedang berlangsung sessi ceramah dengan seorang lelaki bercakap di hadapan dan yang hadirin lain duduk mendengar ceramah berkenaan.Oleh kerana sedikit tertarik dengan apa yang sedang di bicarakan oleh penceramah berkenaan,lelaki tadi mengambil keputusan untuk menyambung duduknya bagi mendengar lagi apa yang akan di sampaikan oleh si penceramah berkenaan.

Sedang lelaki tadi cuba memberi perhatian terhadap isi ceramah,tiba-tiba dia terperasan dengan satu situasi yang cukup mengejutkannya.Di hadapan matanya,lelaki berkenaan terpandang beberapa orang lelaki yang duduk mendengar ceramah berkenaan tetapi dalam keadaan tidur.Ini sungguh menganehkan lelaki itu.Sedangkan bagi lelaki itu sendiri,yang mengalami masalah untuk tidur,dia terpaksa menelan beberapa jenis ubat baru membolehkannya dia tidur.Hakikatnya,dia sudah bosan dengan masalah susah untuk tidur yang dihadapinya.Dia juga sudah bosan untuk memakan ubat-ubat tidur.Dia juga sudah bosan untuk mengeluarkan belanja membeli ubat-ubatanya.Bagi lelaki itu,apa yang dia lihat sekarang di hadapan matanya seolah-olah seperti satu jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapinya.

Dalam dia berpikir dan mengenangkan masalah yang sedang dihadapinya itu,tiba-tiba dia terlintas satu idea dan berpendapat,mungkin dia boleh cuba untuk duduk dengan lebih dekat lagi ke dalam ruang masjid berkenaan dan mungkin dia boleh tidur hanya dengan mendengar ceramah tanpa memakan ubat tidur.Ternyata apa yang berlaku selepas itu bertepatan dengan pendapat yang terlintas di dalam kepala lelaki berkenaan. Selepas beberapa ketika mendengar isi ceramah yang di sampaikan,buat kali pertamanya lelaki berkenaan dapat tidur tanpa bantuan ubat setelah sekian lamanya.

Cahaya adalah sumber penyuluh di dalam kegelapan.
Ia boleh dicari bahkan boleh datang secara sendiri.
Hidayah juga adalah sumber cahaya yang menerangi hati seseorang
untuk menuju jalan mencintai Allah SWT.

Selepas tersedar semula dari tidur,lelaki itu mula terfikir sesuatu,bagaimana mungkin dengan hanya mendengar ceramah dia boleh tidur dengan mudah.Lelaki berkenaan pun pergi menemui lelaki yang menyampaikan ceramah sebentar tadi.Lalu diceritakan semula kepada si penceramah berkenaan akan pengalaman yang baru sahaja dilaluinya itu berserta dengan masalah yang sedang dihadapinya saban lama.Lalu penceramah itu dengan wajah tersenyum menceritakan kepada lelaki berkenaan,sesungguhnya ceramah sebentar tadi adalah salah satu majlis perkongsian ilmu.Bila berlakunya suatu majlis ilmu,malaikat akan berkumpul di sekeliling majlis ilmu tersebut dan Rahmat Allah SWT akan turun kepada majlis tersebut dan kepada siapa yang ada di dalamnya.Oleh kerana terlampau banyaknya Rahmat Allah yang turun,maka suasana di dalam majlis ilmu itu akan menjadi terlalu tenang dan hening.Oleh kerana terlalu tenang dan hening,maka suasana tersebut boleh menyebabkan kita boleh tertidur.Dengar sahaja penerangan itu,lelaki tadi melonjak kegembiraan di dalam hati.Dia telah menemui penyelesaian kepada masalah dalam hidupnya.Di ringkaskan cerita,lelaki itu telah memeluk Islam dan menemui bukan sahaja penyelesaian masalah susah tidurnya bahkan banyak lagi masalah yang ada di dalamnya yang dia sendiri tidak sedar sebelumnya.

Wallahua'alam.

Seperti yang di ceritakan oleh Sheikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makki pada 26 Dec 2010 di Surau Al Amin,Taman Cempaka F2 dengan sedikit pengolahan ayat.Moga tidak mencacatkan isi cerita yang asal.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Tuesday, January 11, 2011

:: Kebersamaan dalam Ibadah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Apa ada di sebalik ibadah?
Gambar Kaabah sebelum hari wuquf di Arafah.
Perhatikan kain putih di sekeliling kaabah.
Kain ini akan diturunkan setelah selesai hari wuquf.

1.Menyebarkan salam.

Ibadah salam adalah ibadah di mana satu individu islam mendoakan satu individu Islam yang lain dengan ucapan seringkas Assalamualaikum-Salam sejahtera ke atas kamu.Walaupun ucapan Salam itu sunat,orang yang mendengar/diberi salam wajib menjawabnya dengan ucapan Waalaikumsalam.Uniknya lagi,walaupun memberi salam itu ibadah sunat,tetapi ganjarannya melebihi dari si penjawab salam sedangkan menjawab salam itu adalah wajib. (Dalam ibadah lain,solat fardhu yang wajib itu mempunyai ganjaran yang lebih besar dari solat sunat,begitu juga dengan puasa fardhu dan puasa sunat)

2.Iftar.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad (4/144, 115, 116, 5/192), at-Tirmidzi (804), Ibnu Majah (1746), Ibnu Hibban (895). Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Iftar(berbuka puasa) adalah salah satu saat yang ditunggu-tunggu oleh orang yang berpuasa.Malah seperti hadith di atas,kita digalakkan juga untuk sama-sama berkongsi kegembiraan tersebut dengan menjamu orang lain yang juga berpuasa sama.

3.Solat sunat Tarawih.

Salah satu ibadah khusus di dalam bulan Ramadhan adalah solat sunat Tarawih. Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda pernah mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana takut ianya akan diwajibkan.Atas dasar inilah,umumnya masyarakat dan ummat Islam di Malaysia menunaikan solat tarawih secara berjemaah di malam-malam bulan Ramadhan.

4.Zakat.

Zakat adalah nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu (Al Mawardi dalam kitab Al Hawiy).Dengan kata lain,zakat (zakat harta,zakat fitrah,zakat ternakan,zakat perniagaan dll) wajib di keluarkan apabila cukup haul (masa) dan nisab (bilangan/jumlah) serta syarat-syarat yang lain.Zakat yang dikeluarkan pula akan diagihkan kepada asnaf yang 8 sebagai penerimanya.

4.Haji.

Haji adalah ibadah yang mempunyai rukun dan syarat sah tertentu dan dilakukan di Tanah suci Mekah.Di anggarkan pada tahun 2010,sejumlah lebih kurang 5 juta ummat Islam seluruh dunia telah berkumpul di sana untuk melakukan ibadah haji.Angka ini akan meningkat tahun demi tahun seiring dengan prasarana yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Arab Saudi.

Ibadah-ibadah di atas menunjukkan bahawa perlu dan peripentingnya kebersamaan ummat Islam dalam melakukan sesuatu ibadah tertentu.Malah banyak lagi sebenarnya ibadah/amalan dalam Islam yang memerlukan kebersamaan seluruh ummat Islam sebagai tanda dokongan dan sokongan demi untuk terus menghidupkan syiar Islam di atas muka bumi ini.

Apa yang berlaku kala ini?

Kalau di lihat situasi kehidupan yang ada sekarang,rata-rata kita boleh rumuskan bahawa terdapat kumpulan yang aktivitinya hanyalah suka menghibur (yang melalaikan) manakala ada sekelompok masyarakat yang aktiviti mereka adalah menghidupkan syiar Islam.

Berapa ramaikah pengikut/pendokong setiap kumpulan?

Tentu antara kita yang mempunyai anggaran dan mampu mencongak sendiri.Walaupun congakan itu tidak tepat dengan angka sebenar,tapi pasti tidak lari jauh.

Mana tauqir (tanda hormat) kita kepada Nabi SAW?

Dalam pada kita mengaku yang kita beragama Islam,agama yang dianuti berdasarkan perlembagaan Al Quran dan ajaran yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW,kita masih lagi bersikap sambil lewa untuk mengambil alih acara-acara maksiat bagi membawa manusia kepada amalan yang mengikut ajaran agama Islam.Lagu-lagu yang ke udara melalui medium penyiaran masih lagi banyak yang melalaikan berbanding jumlah lagu nasyid/qasidah yang berunsur agama.

Di manakah kita?

Kita selalu mengharapkan sesuatu kesudahan yang manis dalam setiap apa yang kita lakukan.Sebelum tidur kita mengharap kita akan tidur dengan lena/nyenyak maka kita akan bangun dengan segar selepas itu.Nelayan pasti mengimpikan hasil tangkapan yang banyak sebelum mereka pergi ke laut.Seorang penyerang bola sepak pasti mengimpikan untuk menjaring sebanyak mungkin gol ke gawang lawan sebelum ia turun ke padang.Orang Islam pula akan mengharapkan mereka tergolong dalam golongan kumpulan manusia yang dimasukkan ke dalam syurga di alam akhirat kelak.Tapi sebanyak manakah pengorbanan/usaha kita untuk menggapai harapan kita itu semua?
Di manakah usaha kita untuk menunjukkan kebersamaan kita dalam menuju kejayaan?

Sehari selembar benang,lama-lama menjadi kain.
Salah satu gambaran kebersamaan.
(sekadar gambar hiasan)

Jom renung-renungkan.

Perkongsian di atas adalah dari Kuliah Maghrib yang di sampaikan oleh Sheikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makki yang telah di sampaikan pada 26 Dec 2010 di Surau Al Amin,Taman Cempaka F2 dengan sedikit penambahan.Moga tidak mencacatkan isi penyampaian yang asal.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Monday, January 10, 2011

:: Kuliah Ilmu : Di manakah kita? ::

KULIAH ILMU
Bersama Tuan Guru Ustaz Ahmad Tajuddin bin Mat Jali dari Madrasah Tarbiyah Madinatul Ilmi, Batu Kurau, Perak
Tarikh : 7 Jan 2011 (Jumaat)
Masa : 7.30 mlm , selepas Maghrib
Tempat : Surau Taman Tasik Jaya Fasa 1, Senawang, N.Sembilan

Alhamdulillah,sedikit perkongsian yang diperolehi dari majlis di atas.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (An-Naml 27:38)

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml 27:39)

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (An-Naml 27:40)

Muqaddimah.

Nabi Sulaiman a.s adalah Nabi dan di antara 25 Rasul yang wajib kita mengetahuinya.Di antara ramai ummat manusia dari kejadian Nabi Adam a.s sehinggalah bayi yang terakhir lahir ke dunia yang entah berapa trillion jumlahnya,menjadi di antara 25 Rasul pilihan Allah SWT adalah satu kedudukan yang istimewa dan sangat tinggi.Di tambah pula dengan kedudukan Nabi Sulaiman a.s yang Allah telah anugerahkan kepada baginda satu kerajaan yang teramat besar yang melingkupi apa yang ada di udara,di bumi dan di air.

Pengajaran ayat.

1.Bermesyuarat.

Dalam keadaan yang sebegitu rupa istimewa dan besarnya kerajaan yang baginda perintah,namun dalam hakikat pentadbirannya,Nabi Sulaiman tetap bermesyuarat dengan seluruh pembesarnya untuk membuat sesuatu keputusan.Oleh sebab itulah,menjadi kewajipan masyarakat untuk menghidupkan roh mesyuarat dan berbincang dalam usaha menyelesaikan masalah masyarakat.Dari situlah nanti keberkatan yang turun dari kurniaan Allah SWT.

2.Ahli dalam kitab.

Sesiapapun dari kita yang mempunyai kefahaman terbaik mengenai ajaran Islam yang tercatat dari Kitabullah yang diturunkan oleh Allah SWT akan mendapat kelebihan di kalangan manusia.Saidina Abu Bakar r.a adalah orang yang paling memahami ajaran Islam yang diturunkan oleh Al Quran melalui ajaran Rasulullah SAW.Maka beliau dilantik menjadi Amirul Mukminin selepas kewafatan Nabi SAW.Begitulah juga Saidina Umar r.a,Saidina Uthman r.a dan Saidina Ali r.a.

Oleh yang demikian,menjadi tanggungjawab kita menanam niat dan berusaha untuk melahirkan dari zuriat dan keturunan kita seorang yang faham akan keseluruhan isi yang terkandung di dalam Al Quran.

Masyarakat zaman ini.

1.Islam cara kita.

Hakikatnya agama yang kita anuti sekarang ialah agama Islam.Agama itu jugalah yang di anuti oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW,para sahabat r.ahum,para tabiin,para imam mazhab,serta ulama ulama Islam.Tapi di sebalik itu apa yang menyedihkan dan membimbangkan,kebanyakkan dari kita mempunyai pemikiran yang tidak sama dengan pemikiran junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW,para sahabat r.ahum,para tabiin,para imam mazhab,serta ulama ulama Islam yang lain.Pemikiran kita yang jelasnya,lebih condong dan mirip kepada pemikiran tinggalan penjajah ratusan tahun dahulu.

2.Masjid kita.

Masjid merupakan rumah ibadah ummat Islam.Selain dari menjadi tempat beribadah,ia juga sepatutnya menjadi tempat aktiviti yang boleh menyumbang kepada kemajuan penduduk kariah.Kebelakangan ini,dengan alasan tertentu kebanyakkan masjid hanya di buka pada waktu solat sahaja,selain dari waktu solat,masjid lebih selesa dikunci.Apakah kita ingin menjadikan rumah ibadah kita mirip rumah ibadah agama lain yang hanya dibuka pada waktu tertentu sahaja yang di lihat umum pada waktu biasa ia lengang dan sunyi,hanya sekadar berdiri teguh sebagai sebuah bangunan tanpa ada pengimarahan di dalamnya?

3.Pendidikan kita.

Perlunya masyarakat zaman ini memikirkan 1 alternatif sistem pendidikan baru yang mana bukan sahaja mampu mendidik anak-anak kita untuk berjaya dalam bidang keduniaan malah berjaya juga dalam bidang akhirat.Kalau dilihat sejarah Islam,Imam Shafie (Imam Mazhab Shafie) telah hafal Al Quran sejak umur beliau 7 tahun.Tetapi sistem pendidikan yang kita ada tidak mengizinkannya begitu.Sistem yang ada sekarang hanya membenarkan pelajar sekolah menengah sahaja memasuki maahad tahfiz secara rasmi.Sedangkan kala itu,para pelajar telahpun terdedah dan terserap dengan pelbagai macam persekitaran yang boleh mengurangkan kelancaran menghafal Al Quran.

Moga perkongsian dapat memberikan manafaat dan kebaikan.

Wak.
4 Safar 1432H.
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Thursday, January 6, 2011

:: Kasih IBU membawa ke syurga ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Lirik lagu 1.
Oh ibu,
Kau di siram bayu pagi,
Kehilangan terasa kini....

Lirik lagu 2.
Ibu,ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila ku berduka,
Engkau hiburkan hatiku...

Peranan dan sumbangan ibu bukan sekadar diabadikan dalam lagu Bahasa Melayu,malah saya percaya IBU juga ada diabadikan dalam lagu dalam pelbagai bahasa.

Kisah Ibu di dalam Hadith Rasulullah SAW.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a,datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya, "Ya Rasulullah! Siapakah orang yang paling berhak untuk aku melakukan kebaikan kepadanya? Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu berkata lagi,"Siapakah setelah ibuku?" Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi,"Siapa lagi setelah ibuku? " Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi,"Lalu siapa lagi sesudahnya?" Nabi SAW menjawab,"Bapamu." ( HR Bukhari no:5514).

Kisah Ibu di dalam Kitab Suci Al Quran.

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata,"Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku,sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (A-li'Imraan 3:35)

Kisah Ibu dalam sejarah Islam.

Kisah 1.
Pada suatu hari Saidina Umar r.a mendatangi sebuah kawasan perumahan.Apabila Saidina Umar r.a sampai ke tempat berkenaan,kanak-kanak yang ada di kawasan berkenaan telah lari menyembunyikan diri masing-masing kecuali seorang.Bila Saidina Umar r.a mendekati dan bertanya kepada kanak-kanak itu,maka berlakulah perbualan seperti berikut :

Saidina Umar r.a : Mengapa dia tidak melarikan diri sepertimana kawan-kawannya yang lain.
Kanak-kanak : Aku hanya takut pada Allah.
Saidina Umar r.a : Siapa yang mengajar kamu begitu?
Kanak-kanak : Ibuku.
Saidina Umar r.a : Benarlah sepertimana yang diajar oleh ibumu.

Kanak-kanak itu adalah Abdullah ibn Zubair anak kepada pasangan Asma’ bin Abu Bakar dan Zubair bin Awwam.

Kisah 2.
Seorang lelaki melakukan kembara melalui jalan laut dalam usaha menuntut ilmu.Dalam perjalanan,kapal yang dinaiki oleh lelaki tersebut telah diserang oleh sekumpulan lanun.Apabila lanun itu berjaya menawan kapal berkenaan,maka segala barang berharga telah dirampas satu persatu dari penumpang kapal,sekalipun mereka cuba menyembunyikannya dari di rampas.Apabila tiba giliran si pemuda itu,maka terjadilah perbualan seperti berikut :

Lanun : Kamu ada barang berharga?
Pemuda : Ada.
Lanun : Di mana kamu sorokkan?
Pemuda : Ada di dalam lipatan di pinggangku.
Lanun : Aneh sungguh.Mengapa kamu memberitahu tempat kamu menyembunyikan barang berharga kamu,sedangkan mereka yang lain tidak.
Pemuda : Ibuku mengajarku supaya tidak bercakap bohong.Dan sememangnya aku tidak pernah bercakap bohong.

Dengan asbab pemuda itu bercakap benar,lanun berkenaan terus sahaja sedar dan insaf tentang perbuatan dan pekerjaan yang buruk itu.Dan pemuda yang tidak pernah bercakap bohong tersebut adalah Imam Abdul Qadir Jailani.

Begitulah hebatnya didikan seorang ibu.Bukan sahaja didikan itu menghasilkan tokoh-tokoh yang unggul kemudiannya malah mampu memberi asbab turun hidayah dan memberikan kesedaran kepada insan yang lain juga.

Bagaimana ibu zaman sekarang?

Dalam satu kajian,golongan teramai di muka bumi ini adalah kanak-kanak,kedua teramai adalah golongan wanita dan diikuti oleh golongan lelaki.Melihat dari data ini kita boleh mengandaikan sekiranya kaum ibu tidak memberi pendedahan dan bimbingan dengan sebaik mungkin,golongan kanak-kanak/anak-anak yang merupakan golongan teramai ini akan membesar dengan didikan yang tidak betul dan mereka amat mudah menjadi generasi yang rosak dan bejat pada kemudian hari.

Remaja masakini.

Lihat sahaja di negara kita tercinta ini,terlampau banyak masalah yang timbul di kalangan masyarakat.Budaya merokok bukan sahaja merebak sehingga ke peringkat pelajar sekolah rendah bahkan pelajar perempuan juga sudah tidak segan-silu menjebakkan diri mereka.Kes pembuangan bayi,gejala dadah,zina,ketagih arak,perhubungan bebas berlainan/sesama jantina dan bermacam lagi gejala yang adakalanya masyarakat sudah naik muak untuk membaca/mendengarnya jika di buat liputan.

Tidak risaukah kita?

Di sesetengah tempat/negara membangun,institusi keluarga telah menjadi begitu kucar-kacir.Anak sudah tidak lagi menghormati ibubapa hingga keperingkat tidak lagi menghiraukan langsung teguran.Bagi mereka ibubapa ibarat kawan-kawan yang boleh dibuat sesuka hati.Di sesetengah tempat lain pula,anak-anak sudah lupa identiti mereka yang sebenar.Mereka sudah tidak tahu hala tuju mereka dan apa yang mereka ingin lakukan malah amalan beragama pula sudah lama ditolak ketepi.

Kalau di Eropah,keluarga muslim yang tinggal di sana yang kebanyakkannya perantau dari Negara Timur.Anak-anak mereka sudah tidak tahu mereka beragama Islam walaupun mereka bernama Rahimi.Kalimah syahadah sudah tidak dapat diucap,solat barangkali sahaja langsung tidak pernah mengamalikannya.

Kalau di Jepun,ibubapa bisa diBODOHkan oleh para remaja mereka di khalayak kawan-kawan tanpa ada erti segan-silu lagi.Walaupun bangsa Jepun pada pandangan luar mempunyai budaya dan sopan santun yang begitu tinggi,namun di sebalik itu kepunahan boleh kita melihatnya jika kita berada di dalam kelompok mereka.

Bagi bangsa arab pula,walaupun mereka berbangsa arab dan fasih berbahasa arab,ada di antara mereka Mashaf Al Quran pun tidak boleh membacanya.Itu belum lagi fenomena yang biasa kita ihat anak bangsa mereka bersidai di bandar-bandar besar dan elit dengan pakaian yang tidak seperti mereka pakai bila di Negara asal mereka.

Di negara kita,tidak perlu pergi jauh.Tanyakan sahaja berapa ramai remaja Tingkatan 5 dalam 1 kelas yang solat 5 waktu penuh dalam sehari semalam.Saya kira anda sendiri mampu memberikan jawapannya secara tepat.

Itu gambaran sebahagian dari cara hidup manusia di atas muka bumi ini.

Masih tidak risaukah kita?

Manusia memang membangun/membesar seiring dengan kemajuan pemodenan disekitarnya.Sebagaimana manusia gah bila dapat melawat terusan Venice,Rome,Italy dan banyak lagi bandar bandar besar di dunia ini,maka manusia akan terus megah dengan apa yang mereka kecapi.Di tambah dengan era teknologi seperti iPod,Blackberry dan apa sahaja peranti elektronik yang terus menjaja jenama agar manusia tidak puas akan kemajuan yang sedang mereka kejari.Namun disebalik itu,modal insan yang sepatutnya diutamakan kadangkala jauh ketinggalan jika kita mahu nilaikan KPInya secara serius.

Back To Basic.

Apabila kita merenung terlalu jauh,titik fokus biasanya terlalu kabur dan kadangkala agak sukar untuk diperolehi.Jika kita renung beberapa kisah yang saya nukilkan di atas,peranan ibu dalam mencorak anak cukup signifikan untuk menjadikan satu ruang lingkup yang mampu menjadikan manusia sedar yang datangnya kita ke muka bumi ini adalah sebagai hambaNya dan perlu mengikut tatacara kehidupan berlandaskan Al Quran dan As Sunah.Jika para ibu tidak ada perasaan risau akan kewajipan dan peripentingnya mendidik anak dengan suasana Islam,maka agak sukar tujuan dan matlamat ini untuk di capai.

Sekarang persoalannya,bagaimana pula untuk membuatkan kaum ibu mempunyai fikir dan risau akan kesedaran seperti di atas?

Kitalah para suami yang perlu memikirkannya sejenak......

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

Tuesday, January 4, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 3 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian kepada Allah SWT yang telah memberi izin kepada kita untuk terus hidup di atas muka bumi ini dengan nikmat Iman dan Islam.Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

04-01-2011

Sedar tak sedar,anak saya yang sulong sudah berusia 7 tahun pada tahun ini.Maka secara layaknya,dia sudah boleh melangkah ke darjah 1 dalam sistem pendidikan Malaysia.Dan dalam merealisasikan tuntutan dan tanggungjawab sebagai seorang bapa,secara rasminya tanggal 4 Januari 2010 saya telah menghantar Abdul Aziz untuk memulakan hari pertama di alam persekolahan di Sekolah Rendah Islam As Sa’idiyyah (SRIAS) setelah melalui proses interview dan pendaftaran awal sebelumnya. (Kisahnya di sini 1 dan di sini 2 )

SRIAS,di asaskan sekitar pertengahan 80-an dengan seorang tenaga pengajar dan beberapa orang murid.Bangunan pertamanyaadalah di Taman Golf Height sebelum berpindah ke Taman Paroi Jaya dan ke Rasah.Kini bangunan SRIAS yang berada di Taman Rashidah Utama didirikan di atas sebidang tanah yang telah diwakaf milikkan seorang ibu warga Seremban.Kini,pada sessi 2011 murid yang berada di SRIAS adalah seramai 490 orang dengan kelengkapan dan infrastruktur yang semakin berkembang baik.Moga usaha dan sokongan semua pihak mendapat keberkatan dariNya.

Seperti juga sekolah-sekolah yang lain,hari pertama persekolahan pasti akan dimulakan dengan perhimpunan beramai-ramai.Cumanya,jika di awal tahun ia ditambah meriah dengan kehadiran ibubapa yang mendaftarkan anak mereka ke darjah 1.Dalam ucapan sulong untuk sessi 2011,guru besar sekolah/Mudhirah Norhayati Baharom (yang telah berkhidmat di SRIAS sejak 1989),beliau ada memuji kesemua pelajar darjah 1 yang mendaftar pada sessi tahun ini kerana tiada seorang pun yang menangis pada hari pertama persekolahan.Mungkin beliau mempunyai alasan sendiri mengapa pelajar tahun 1 tahun ini diberikan pujian sebegitu.Dalam isi ucapannya lagi,beliau menekankan betapa pentingnya seluruh warga SRIAS berpegang kepada Falsafah Pendidikan sekolah.Beliau sekali lagi menekankan,walaupun Falsafah berkenaan sentiasa bertulis di dinding bangunan tetapi jika tidak dilaksanakan maka Falsafah dan peripenting isinya hanyalah tinggal tulisan sahaja.

Falsafah Pendidikan Sekolah yang bermatlamat untuk
melahirkan Insan Rabbani.
Mari bersama kita mendokongnya.

Insan Rabbani dan Musleh.

Tokoh di SRIAS.
Mudhirah Norhayati ketika memberi ucap utama
untuk Perhimpunan Sekolah pertama sessi 2011.

Juga dalam ucapan Mudhirah Norhayati menekankan tentang pentingnya usaha yang berterusan dari semua pihak bagi melahirkan insan Rabbani (yang mengetahui segala hukum-hakam,syariat Agama) dan individu yang musleh (orang yang baik dan yang mampu mengajak orang lain kepada kebaikan).

Diakhir ucapan,beliau menyeru agar lebih ramai lagi ibubapa dan orang ramai sedar dan mengambil berat pendidikan anak-anak yang berteraskan Pendidikan Islam demi melahirkan generasi ummat yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sessi penerangan kepada ibubapa.

Tamat sessi perhimpunan,ibubapa yang mendaftar anak ke darjah 1 telah diberi penerangan lanjut tentang perjalanan sistem pendidikan yang akan diberikan kepada anak-anak kami.Mudhirah Norhayati sekali lagi memberikan penerangan yang cukup jelas dari segi sejarah penubuhan sekolah sehinggalah kepada sistem perjalanan sekolah.Selain dari itu wakil dari Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan As Sa`idiyah juga memberikan ucapan sepatah dua kata.Antara yang menarik dalam ucapan beliau adalah walaupun ibubapa perlu membelanjakan dan memperuntukkan wang yang lebih untuk mendapatkan pendidikan yang bertunjangkan Pendidikan Islam di SRIAS,ia merupakan salah satu usaha dalam membuat pelaburan untuk akhirat.Beliau memetik ayat berikut :

Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka (...hingga akhir ayat)
At-Tahriim-6.

Beliau juga serba sedikit mengisahkan kejayaan-kejayaan yang telah anak beliau dapati kesan tarbiah yang diperolehi dari SRIAS.Alhamdulillah,moga-moga perkongsian tersebut boleh memacu motivasi kepada kami semua juga.

Pendapat peribadi.

Secara peribadi,saya yang membesar dari sebuah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Berasrama Penuh,pengalaman menghadiri dan menghantar anak ke sebuah sekolah yang berlatar belakangkan agama adalah suatu pengalaman baru yang amat manis.Istilah-istilah baru seperti Rabbani dan Musleh serba sebanyak menambah keyakinan kita akan sistem Pendidikan Islam yang kita dokong dan sokong sekarang ini.Moga-moga Allah permudahkan urusan semua pihak dalam menjana modal insan yang MUSLEH dan mampu menjadi nakhoda yang berjaya dalam pelayaran yang serba mencabar di abad ini.Saya juga berdoa moga Allah permudahkan urusan kami sekeluarga.

Barisan Muallim dan Muallimah SRIAS.

Barisan murid-murid SRIAS sessi 2011.
Murid baru-pengalaman baru. 

......Untuk Pelaburan Akhirat.
Barisan Ibubapa yang penuh harapan
menghantar anak mereka masuk ke SRIAS.
Mereka dan saya mengharapkan yang terbaik untuk anak
kami untuk berjaya dunia dan akhirat.

 Nantikan pula siri Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 4 (insyaAllah....)

Nota :
Gambar-gambar di atas diambil dari laman blog SRIAS.

Wak,
Taman Desa Ixora,
29 Muharram 1432H.