Wednesday, October 31, 2012

:: Happy birthday anak-anak bapak! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Oktober adalah bulan paling sibuk dalam diari keluarga kami.

1.13 Okt 2012 - Meraikan Abdul Aziz yang telah berumur 8 tahun.

2.27 Okt 2012-Meraikan Abdul Halim yang telah berumur 3 tahun.

2.29 Okt 2012-Meraikan Ainul Huda yang telah berumur 1 tahun.

Alhamdulillah,moga menjadi anak yang soleh dan solehah hingga generasi akan datang.

Birthday boy in 27 Oct @ Black Water (Ayer Hitam).

Birthday girl in 29 Oct @ Easy Money (Senawang).

Thursday, October 25, 2012

:: SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Hari ini,25 Oktober 2012 adalah hari Wukuf di Arafah.Berjuta ummat manusia berkumpul di sana demi untuk melengkapkan rukun haji.Selain dari melengkapkan rukun haji,ketika ibadah Wukuf inilah antara masa di mana segala doa akan dimakbulkan.

Setelah berwukuf masih ada lagi beberapa rukun dan wajib haji yang perlu disempurnakan oleh para bakal haji dalam perjalanan untuk mendapatkan haji mabrur.

Haji adalah ibadah yang mempunyai sejarah yang mendalam maksudnya.Disebalik ibadah haji tersembunyi begitu banyak hikmah terutamanya hikmah disebalik pengorbanan Nabi Ibrahim,Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail.Disebabkan pengorbanan mereka dan Allah teramat suka akan sifat murni mereka,Allah telah memfardhukan Ibadah Haji yang rukun serta wajib hajinya berkisar tentang pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim.

Bermula dengan kisah susah payah Siti Hajar berulang-alik sebanyak 7 kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah yang kemudiannya ia dijadikan ibadah Saie yang merupakan rukun haji.Ya,suatu pengorbanan dari wanita mulia,lalu kerana Allah suka,seluruh ummat Islam sehingga ke akhir zaman yang mengerjakan haji,samada lelaki ataupun perempuan mesti melakukan Saie.

Begitu juga dengan tawaf di Kaabah di mana Kaabah itulah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.Begitu juga dengan ibadah melontar Jamrah.

Apa pun bagi kita ummat akhir zaman,kita wajib mengkaji dan mengetahui disebalik perintah Allah yang kadangkala berlawanan dengan akal dan logik kita,jika kita patuhi dengan taat,pasti akan kita kecapi kemanisannya kelak.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA!

Wak,
TDI.

Tuesday, October 23, 2012

:: Makan ibadah vs makan sia-sia ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Makanan adalah untuk dinikmati.
Keberkatannya juga kita harus titik beratkan.

Saya suka memasak walaupun secara realitinya tidaklah banyak mana pun jenis masakan yang saya boleh memasak dengan baik dari segi rasa mahupun rupanya.

Itu suatu kisah....

Namun ada 1 kisah yang lain pula.Perasan atau tidak,sesuatu masakan itu tidak kiralah apa pun rasa dan jenisnya,masa yang diperuntukkan untuk kita menjamah/memakannya adalah lebih sekejap berbanding dengan masa yang diperuntukkan untuk ia dimasak.

Contohnya masakan ini,

Nasi beryani selain rasanya yang sedap ia juga antara masakan yang mempunyai harga yang mahal.Bagi harga sepinggan nasi beryani berlauk ayam/daging ia boleh mencecah belasan ringgit.Mengapa ia boleh mencecah harga yang sedemikian? Mengikut tukang masak nasi beryani,selain dari bahan resepinya yang mahal,masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan nasi beryani yang berkualiti pun memakan masa yang agak lama.

Bila selesai sahaja dimasak,rasanya tidak sampai beberapa minit sahaja,makanan itu sudah pun dihabiskan.Rasanya tukang masak pun belum hilang lagi penatnya menyediakan bahan masakan dan tugas memasak,nasi dipinggan sudah selesai licin.

Lalu,adakah berbaloi sebenarnya masa yang diperuntukkan untuk memasak sesuatu juadah jika dibandingkan dengan masa yang diperuntukkan untuk menikmati makanan tersebut.

Dan juga,adakah berbaloi sebenarnya duit yang kita bayar untuk sesuatu makanan yang mahal sedangkan keenakkan masakan itu hanya dapat dirasa sekelip mata sahaja.Rasa keenakkan makanan itu hilang sejurus sahaja makanan itu melepasi anak tekak kita.Mungkin ya,kekenyangan kesan dari makanan itu dapat dirasai kemudian.Namun selama mana?

Lalu,ini yang diajar oleh Ustaz saya suatu ketika dahulu:

"Setiap amalan anak adam samada ia menjadi ibadah ataupun menjadi sia-sia,ia begantung kepada cara perlaksanaannya,walaupun dalam pemakanan.

Makanan adalah keperluan dalam kehidupan.Makanan juga sumber tenaga.Tanda kita tidak cukup makan adalah kita tiada tenaga dalam badan.Lalu kita pun makan lagi untuk menambah tenaga.Proses ini berulang dan terus berulang.

Manusia perlu makan.Binatang besar juga perlu makan.Binatang kecil juga perlu makan.Mikro organisma juga perlu makan.Habis sahaja kita makan,makanan itu akan diproses oleh badan untuk dijadikan tenaga.Habis makanan habislah tenaga.

Tetapi,

Jika sebelum makan kita baca doa,ia menjadi amalan ibadah.Pahalanya akan berkekalan hingga ke hari Akhirat.

Jika sebelum makan kita mengharapkan keberkatan makanan itu agar bila kita dapat bertenaga untuk berkerja mencari rezeki halal,biar darinya kita dapat memberi makan minum anak kita,biar dari rezeki yang halal itu anak-anak kita serta generasi akan datang menjadi manusia yang membantu menaikkan agama Allah di muka bumi.Anak-anak ini juga InsyaALlah akan mendoakan akan kebaikan dan keampunan kepada kita walaupun kita sudah meninggal dunia.

Jika sebelum makan kita memohon kepada Allah agar makanan itu menjadi tenaga agar kita dapat bangun solat berjemaah di tempat azan di azankan dan kita dapat solat di awal waktu,maka perilaku makanan kita itu akan menjadi ibadah."

Sekarang,tinggal kita mahu mempraktikkan atau tidak sahaja.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Friday, October 12, 2012

:: Agar kelihatan menarik... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Bahagian kepala adalah antara anggota yang menjadi tumpuan ramai.

Ada kajian mengatakan yang setiap lelaki secara purata membelanjakan sebanyak 200 dolar setahun untuk membuatkan luaran kepalanya kelihatan menarik (termasuk kos memotong rambut dan kos pembelian set penjagaan rambut).

Bagaimana pula perbelanjaan purata bagi golongan perempuan?

Itu dari satu sudut kajian.

Sejumlah mana pula purata pembelanjaan samada dikalangan kaum lelaki mahupun perempuan untuk menjadikan dalaman kepala juga kelihatan ’menarik’.

Umum mengetahui dengan membaca bahan bacaan yang berfaedah kita dapat menambah ilmu dan pengetahuan kita.Umum juga mengetahui,semakin banyak kita membaca,semakin banyaklah maklumat yang kita dapat perolehi.Namun tentu ada yang bertanya,bila masakah hendak meluangkan masa untuk membaca memandangkan jadual dan aktiviti harian yang amat padat dan meletihkan.

Ini sedikit tips yang saya perolehi dari pembacaan dan pengalaman sendiri untuk dikongsikan berkenaan kaedah untuk menambah ilmu dengan cara membaca.

1. Membaca bukan perlu menghabiskan sehingga 1 bab atau beberapa bab,cukup sekadar semuka atau beberapa muka sahaja,bergantung kepada masa dan keadaan.
2. Letakkan beberapa buah buku ditempat mana yang senang dicapai ketika berada di dalam rumah.Mungkin ketika kita ingin duduk rehat atau sebagainya buku tersebut boleh menjadi peneman.
3. Jadikan kebiasaan membawa walaupun sebuah buku ketika berurusan di luar rumah (pasar,bank atau sebagainya.) Isikan waktu senggang menunggu giliran atau sebagainya dengan membaca buku berkenaan.

Selain dari membaca,mendengar juga salah satu cara yang boleh memberikan kita input dan informasi terbaru. Namun tentu sahaja ada yang bertanya,bila masakah hendak meluangkan masa untuk mendengar? Saya tiada radio di rumah.

Ini sedikit tips yang saya perolehi dari pembacaan dan pengalaman sendiri untuk dikongsikan berkenaan kaedah untuk menambah ilmu dengan cara mendengar.

1. Belilah beberapa kaset/CD/MP3 motivasi dan pasangkan ketika memandu ke mana-mana.
2. Dengarlah kaset/CD/MP3 berkenaan berulangkali,kerana ia menjadi pencerahan kepada sessi pendengaran kita yang sebelumnya.

Diringkaskan,mendengarlah ketika berjalan,membacalah ketika berhenti.

Moga perkongsian dapat memeberikan menafaat.

*Sebagai ummat Islam,juga boleh mempraktikkan dengan meletak beberapa utas tasbih di tempat-tempat strategik (di ruang tamu,bilik tidur,di dalam kereta).Utas tasbih tadi sebenarnya menjadi pengingat kita untuk membasahkan lidah dengan berzikir.

Wak,
TDI.

Monday, October 8, 2012

:: Orang dulu-dulu..... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Entah bagaimana secara tiba-tiba minat saya kepada jam dinding lama (baca : antik) terlalu mendalam.Ia bagaikan minat yang tidak dapat ditahan-tahan.

Deretan jam antik.

Seingat saya,dahulu di rumah abah ada sebuah jam antik.Selidik-punya selidik,abah sudah jual rupanya jam berkenaan.Sebelum dijual jam itu sudah rosak katanya.Tidak mengapalah,tidak rezeki saya agaknya.

Balik raya Aidil Fitri tempoh hari,ketika marhaban dan ziarah hari raya,sempat juga saya meninjau-ninjau mana-mana rumah yang ada menyimpan khazanah idaman berkenaan,ternyata masih tiada rezeki saya.

Ketika perjalanan pulang bercuti raya,saya singgah untuk solat maghrib di sebuah kampung berdekatan Ayer Molek,Melaka.Masjidnya agak masuk ke dalam.Selesai solat,entah macamana mata saya menangkap satu objek di dinding hadapan masjid berkenaan.Ya,jam dinding lama yang menjadi idaman saya.Tetapi di dalam hati terdetik,mana mungkin saya memiliki jam berkenaan kerana ianya milik masjid.Mungkin ada orang yang telah mewakafkannya disitu.

Terasa gembira ketika itu walaupun hanya sekadar berjaya menatap jam berkenaan,saya ceritakan kepada isteri ketika meneruskan perjalanan balik ke Senawang.

Sebenarnya saya pernah singgah di sebuah kedai menjual barangan lama di Pekan Rembau.Di sana ada menjual beberapa buah jam dinding lama.Namun bila ditanyakan harganya,paling minima pun berharga RM500,ia di luar jangkauan.

Balik ke Senawang selepas cuti hari raya pula majlis rumah terbuka kunjung tidak berhenti.Saban hujung minggu ada sahaja jemputan,samada yang dekat mahupun yang jauh.Nak dijadikan cerita,ketika menzirahi ke rumah Bilal Masjid Negeri,Encik Nasir,sekali lagi saya melihat sebuah jam dinding lama di rumahnya.Dek kerana perasaan ingin tahu yang mendalam,saya tanyakan kepada En Nasir bagaimana beliau boleh memiliki jam berkenaan.Rupanya ada orang yang menghadiahkan jam itu kepada beliau.Mana mungkin hadiah orang saya mampu memujuk En Nasir untuk menjualnya kepada saya.

....terpendam lagi hajat.

Baru-baru ini,ketika perjalanan pulang dari kampung ke Senawang,saya singgah ke mini Pasar Karat di Muar.Dipendekkan cerita,setelah bertukar-tukar cerita,akhirnya saya dapat memiliki juga sebuah jam lama dari salah seorang peniaga di situ.Walaupun berat untuk melepaskan jam berkenaan,akhirnya jam berkenaan bertukar tangan.Sebelum itu,Abang Razak,pemilik jam berkenaan sempat mengajar saya cara menggunakan jam antik berkenaan.Alangkah gembiranya rasa di hati.

akhirnya.....Ia menjadi milik saya.
Alhamdulillah.

Sempat saya berbual dengan isteri perihal jam dinding berkenaan,

"Tengok orang dulu buat jam,siap ada loceng,tak payah tengok jam pun dah tau pukul berapa."

"Ye lah,tak payah gaduh bateri habis pun kan..",tambah isteri saya lagi.

Orang sekarang?

Jam sekarang walaupun boleh dibeli dengan mudah dan murah,tapi nilai dan kualitinya tidak sama dengan jam lama.

Mungkin pengaruh kapitalisma agaknya-detik hati saya.

Moga perkongsian ada menfaat darinya.

Wak,
TDI.