Wednesday, February 29, 2012

:: Mengais Rezeki di Dunia ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Antara sedar dan tidak,sehingga ke saat dan detik ini,terlalu banyak nikmat yang telah kita terima.Apabila pagi menjelma,roh kita akan kembali ke dalam jasad kita dan dapatlah kita bangun pagi pada hari tersebut setelah kita tidur pada malam harinya.Ada manusia yang tidur pada malam harinya,lalu tidak bangun-bangun (baca : meninggal dunia) bila pagi menjelma.

Mampukah kita menghitung nikmat ALlah SWT?


Malah kalau dihitung-hitung,pada hakikatnya kita mendapat rezeki sejak berada di dalam rahim ibu kita lagi.Ketika itu kita mendapat rezeki/sumber makanan yang disalurkan melalui tali pusat.Lalu setelah 9 bulan 10 hari,setelah kita lahir ke dunia maka rezeki melalui tali pusat akan dipotong.Sebagai gantinya,kita mendapat rezeki yang di salurkan melalui susu ibu kita pula.Bertambah istimewa lagi,susu ibu itu keluar dari badan ibu kita dan dari bahagian sebelah akan menjadi sumber minuman dan dari bahagian sebelah lagi untuk sumber makanan.Ditambah lagi,kita mendapat bonus tambahan dengan Allah memberi nikmat kasih sayang yang datang dari kedua ibubapa kita.

Apabila anak itu semakin besar,semakin banyaklah nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan kepadanya.Nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dan tidak terhingga banyaknya itu disalurkan kepada si anak dengan perantaraan ibubapa si anak berkenaan.Sehinggakan si anak tadi merasakan seolah-olah ibu dan bapanyalah yang memberikannya rezeki berkenaan.

Tawakkal ibu ayam.

Siapa pun rasanya pernah melihat ibu ayam dengan anak-anaknya.Ketika dalam tempoh tumbesaran,ibu ayam akan sentiasa mendampingi anaknya.Ketika mencari makan,ibu ayam akan cergas ke sana ke mari mengais-ngais tanah mencari serangga,cacing dan sebagainya untuk makanan anak-anaknya.Jika setiap kali si ibu ayam berjumpa makanan pasti si ibu ayam akan mengeluarkan bunyi bagi menarik perhatian anaknya agar datang kepadanya.Begitulah perlakuan si ibu ayam.

Kalau dikira setiap kali menjumpai makanan dia akan memanggil anaknya,bila masakah ibu ayam itu sendiri makan? Itu persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Tawakkal beruang polar.

Salmon untuk beruang.

Mana perginya beruang polar ketika musim sejuk? Sudah tentu mencari makan, terutamanya aktiviti menangkap ikan ketika musim salji adalah sesuatu yang agak mustahil.Permukaan air yang yang menjadi ais disebabkan suhu persekitaran menyebabkan peluang untuk beruang polar berenang dan mencari ikan akan menjadi amat sukar.

Memandangkan peluang untuk menangkap ikan telah menjadi sukar,maka beruang-beruang ini akan berpindah ke hulu sungai di mana ketika musim itu,ikan-ikan salmon akan menentang arus menuju ke hulu sungai untuk tujuan bertelur.Beruang-beruang ini akan menunggu di pertengahan aliran air sungai yang deras sambil menunggu ikan-ikan salmon ini tiba secara berkumpulan.

Siapakah yang menggerakkan agar beruang-beruang ini berpindah dan menuju ke hulu sungai ketika musim sejuk.Dan siapakah mula yang menetapkan agar pada penghujung musim luruh ikan salmon perlu berenang beribu-ribu kilometer dari lautan yang terbentang luas lalu mudik ke hulu sungai? Itu juga persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Tawakkal burung jantan.

Pernah saya melihat satu dokumentari dari National Geographic.Dokumentari itu mengisahkan bagaimana seekor burung jantan yang membina sarang untuk pasangannya mengeramkan telur.Setelah membina sarang berkenaan,sepanjang pasangannya mengeram,si jantan tadilah yang berulang alik terbang ke merata tempat dan pulang ke sarangnya untuk memberi makan si betina.Biasanya seranggalah yang menjadi hasil tangkapan si burung jantan itu.Bayangkan,setiap kali si jantan itu berjaya menangkap sebarang serangga,serangga itu akan disuapkan ke paruh pasangannya.Bila masakah si jantan itu makan? Itu juga persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Si ulat dan daun segar.

Ketika Nabi Musa a.s diperintahkan oleh Allah SWT untuk memukul sebiji batu,maka Nabi Musa pun memukul batu tersebut lapisan demi lapisan sehingga ke lapisan yang ke tujuh.Pada lapisan yang ketujuh itu Nabi Musa a.s menemui seekor ulat ada di dalam batu tersebut dan bersama dengan ulat itu adalah sehelai daun yang segar.Sambil itu,Nabi Musa a.s mendengar ulat itu bertasbih,"Aku yakin Allah Maha Melihat,Allah Maha Mengetahui di mana aku berada,Dia yang memberi rezeki kepada aku,Dia tidak pernah lupa pada aku." Lantas siapakah yang meletakkan daun yang segar itu bagi makanan ulat yang duduknya di dalam batu yang berlapis tujuh?

Lantas siapakah yang memberi rezeki kepada kita selama ini?

Sampai terlalu risaunya kita terhadap ketentuan rezeki kita itu,sehinggakan seolah-olah kita anggap Allah tidak mengetahui kita duduk di mana,apa keperluan kita dan sebagainya.

Kata Saidina Umar r.a,"Manusia ada yang terlalu sibuk meminta-minta rezeki di dunia,sedangkan rezeki itu ada di langit."

p/s : Kiblat untuk meminta doa adalah ke langit.

Untuk difikir-fikirkan.

Wak,
TDI.

Monday, February 20, 2012

:: PASTI Al Haazim Berselawat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Sambutan Maulid Nabi SAW di bulau Rabiul Awal tahun ini masih lagi hangat.Di sana-sini sambutan masih lagi berterusan.

Sekolah anak saya PASTI Al Haazim,Taman Desa Ixora juga tidak ketinggalan untuk menganjurkan majlis yang sama.Untuk itu,pada hari Rabu yang lepas saya telah menerima surat makluman majlis berkenaan dari pihak pentadbiran PASTI.Di hujung surat,pihak PASTI memohon sumbangan sepiring kuih bagi setiap keluarga untuk majlis berkenaan.

Pagi Jumaat (24 Feb 2012) saya menghantar Abdul Hadi ke PASTI seperti biasa.Cuma bezanya,hari ini para pelajar PASTI diminta hadir ke sekolah lengkap berbaju melayu,bersamping dan berkopiah.Hari sebelumnya lagi,Abdul Hadi sudah memilih sendiri baju apa yang hendak dipakainya.Bersemangat sungguh nampaknya.

Abdul Hadi bersama buah tangan dari umi
untuk para pelajar dan tenaga pengajar
PASTI AL Haazim,Taman Desa Ixora.

Pulang dari sekolah,biasanya isteri saya yang akan menjemput Abdul Hadi.Tengahari Jumaat itu saya mendapat pesanan ringkas dari isteri saya yang Abdul Hadi merajuk di PASTI sebab tidak menang pertandingan selawat.Muncung panjang khabarnya.

Balik dari kerja pada petang itu,saya bertanyakan khabar Majlis Maulid Nabi SAW kepada Abdul Hadi.Alhamdulillah,moodnya sudah OK,bahkan saya dapat merasa kuih yang dibekalkan oleh Umi PASTI kepada Abdul Hadi.Sedap-sedap belaka kuihnya walaupun sudah tidak nampak rupa bentuknya.Maklumlah,kanak-kanak 6 tahun yang membawa bungkusan tersebut,entah apa yang berlaku sehingga sudah tidak nampak bentuk kuihnya lagi.

Terima Kasih PASTI!!!.

Sebagai catatan,Habib Soleh Al Jefri ketika memberikan tausiah sempena Majlis Maulid Nabi di Surau An Nur,BSS Fasa 2 (4 Feb 2012) ada berpesan,bawalah Nabi SAW dan sunnahnya ke dalam rumah kita.Bahawasanya mulianya batu,simen,marmar kerana bahan binaan itu ada hubungan dengan masjid dan surau.Apabila ia ada hubungan dengan masjid/dan surau (menjadi bangunan masjid/surau) maka manusia yang hendak memijak lantai masjid atau surau hendaklah menanggalkan kasut mereka.Bahkan bangunan tadi akan disebut rumah Allah.Jika tidak,mungkin bahan binaan yang sama hanya dipijak-pijak dengan kasut kerana menjadi lantai bangunan biasa sahaja.Begitu juga manusia,mulianya manusia bila ada hubungan dengan Nabi Muhammad SAW dengan melakukan sunnahnya.

Jom amalkan sunnah.Ajak anak-anak kita juga.Kata ustaz,bawalah sunnah Nabi SAW itu sehingga ke kubur,antaranya ialah dengan berjanggut bagi orang lelaki.

Berselawat (baca : Marhaban) antara salah satu contoh mudah
untuk kita melatih anak-anak kita cintakan Nabi Muhammad SAW.

Moga perkongsian memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Sunday, February 19, 2012

:: Di tarik ke lembah maksiat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Segala puji-pujian kepada ALlah SWT yang telah memberikan peluang untuk kita hidup dalam keadaan kita beriman dan beragama Islam.Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,para keluarga dan sahabat baginda yang berhempas-pulas mempertahankan ajaran agama Islam sehinggalah ia bertahan sehingga kini dan kita dapat menikmati kemanisan Iman dan Islam.

Setiap saat dan detik,manusia berhadapan dengan pilihan yang ada di depan mata.Ia satu situasi yang tidak dapat dielak atau dihindari.

Baik vs Baik.

Setiap amalan dan kebaikan mempunyai fadhilat tersendiri.Fadhilat atau kelebihan inilah yang mendorong dan memberi semangat bagi manusia untuk beramal dan berbuat kebaikan.Contohnya,fadhilat/kebaikan bersedekah di pagi hari ialah ia mendatangkan keberkatan kepada rezeki kita.Siapa yang tidak mahukan rezekinya berkat?

Maka disebabkan adanya golongan manusia yang faham akan fadhilat dan kebaikan sesuatu amal,maka berebutlah golongan ini untuk beramal,maka beruntunglah mereka.Lebih beruntunglah jika Allah memberikan kekuatan untuk mereka untuk terus beramal.

Dengan kata lain,golongan ini berniat untuk berbuat kebaikan dan ALlah SWT tunaikan niat mereka.

Baik vs Tak Baik.

Berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi merupakan cita-cita setiap manusia.Berjaya di dalam hidup di dunia ini adalah sesuatu yang kita impi-impikan.Bagi orang Islam pula selain dari kejayaan di dunia yang kita cari,kita juga pada masa yang sama perlu mencari kejayaan untuk akhirat.

Oleh kerana kejayaan adalah suatu cita-cita,maka tidak mustahil manusia akan berbuat apa sahaja demi mencapai cita-cita mereka.

Ustaz Ariffin,dalam menceritakan pengalaman hidup beliau,ketika beliau menuntut di Universiti Al Azhar pada masa yang sama beliau menuntut di sebuah Universiti yang lain dalam bidang pendidikan.Alhamdulillah, beliau lulus dalam kedua-dua jurusan dengan cemerlang.

Namun ada sebahagian golongan manusia,kerana terlampau mengejar cita-cita lalu mereka terlupa akan batas-batas agama.Lalu wujudlah penyakit seperti rasuah,tikam belakang,gunting dalam lipatan dan sebagainya.Malah hingga ada yang sanggup mengorbankan akidah mereka semata-mata mengejar kejayaan dunia.Manakan tidak,mereka lebih meyakini kuasa bomoh,tangkal dan jampi mentera dari meyakini akan Kekuasaan Allah SWT.

Pendek kata,kejayaan dalam mengejar cita-cita adalah tidak dilarang di dalam Islam.Tetapi kejayaan yang dikejar tadi tidak dapat menghalalkan cara kita berusaha sekiranya ia bercanggah dari tatacara yang dibenarkan dalam Islam.

Tak Baik vs Tak Baik.

Judi dan segala yang berkaitan dengannya bukanlah sesuatu yang baru di alam ini.Ia jelas diharamkan di dalam Islam.Haram maknanya,bila dilakukan dapat dosa,ditinggalkan dapat pahala.Malah judi merupakan tergolong dalam kesalahan-kesalahan dosa besar.

Tetapi kerana kecanggihan zaman dan teknologi,judi sekarang bukan hanya dilakukan di casino atau kedai nombor ekor,malah berjudi boleh dilakukan dengan melayari sahaja internet.Tetapi bijaknya tipu muslihat syaitan,maka judi yang memang sah haram,ia tampak halal setelah dikaburi dengan pelbagai cara dan muslihat.Bahkan,ada pihak pemerintah/berkuasa yang memberi keizinan untuk aktiviti judi menjadi 'halal' dengan memberi kelulusan lesen operasi.

Dahlah judi itu haram,bertambah-tambahlah dosanya bila ada yang menyalahgunakan kuasa untuk meng'halal'kan sesuatu yang haram.

Tak Baik vs Baik.

Ustaz saya pernah bercerita,pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang tidak menyukai dengan ajaran Islam.Bahkan bukan itu sahaja,pemuda itu juga mempunyai ramai musuh dek kerana sifat dan sikapnya yang memang buruk itu.Buruknya perangai pemuda itu sehinggakan dia mengejek-ejek ajaran agama Islam secara terang-terangan.

Nak dijadikan cerita,pemuda itu ada mendengar yang ajaran Islam ada mengajar penganutnya agar menutup kepala ketika membuang air.Maka pada suatu hari,pemuda itu pun menutup kepalanya dengan tangan ketika membuang air.Dia menutup kepala itu bukan kerana ingin mengikut ajaran Islam,tetapi dengan niat hendak mengejek-ejek dan merendah-rendahkan amalan berkenaan.

Entah bagaimana,sedang dia buang air,lalu datang musuhnya dan menjerut lehernya dengan tali.Kerana tangannya sedang menutup kepalanya,maka jerutan tadi tidak dapat terus menjerut lehernya.Dengan kekuatan yang ada,maka lelaki tadi sedaya-upaya melawan musuhnya tadi dan terselamatlah dia dari jerutan yang boleh membawa maut itu.

Tersedar dari kejadiaan itu,pemuda tadi terus sahaja insaf dan akhirnya memeluk agama Islam dengan rela hatinya.Walaupun niat awalnya tadi untuk mempermainkan ajaran agama Islam tetapi akhirnya kerana terbukti ajaran Islam itu mempunyai pelbagai kebaikan dan menafaat akhirnya si lelaki itu bertukar menjadi pemuda yang beriman dan beragama Islam.

Lalu,apa pilihan kita sekarang? Beruntunglah mereka yang dipilih oleh Allah SWT untuk terus berada di jalan yang penuh dengan kebaikan.

Mengelak untuk membuat kebaikan.

Sedikit perkongsian kisah benar.Hari Sabtu kebiasaanya saya akan hadir ke kuliah subuh Ustaz Hambali.Ustaz akan membacakan Kitab Bahrul Mazi jilid 4 (kalau saya tak silap).Pagi tadi,entah apa sebabnya,terasa benar malas untuk pergi ke kuliah berkenaan.Hati lebih kuat menarik untuk pergi beriadah di Kompleks Belia dan Sukan,Paroi.Yang peliknya,dalam malas-malas berkenaan,saya terus mengejutkan anak lelaki saya yang sulung untuk dia bangun solat subuh.Anak lelaki saya ini pula,dia yang tahu setiap hari Sabtu saya akan pergi ke Surau Al Amin,terus sahaja mandi dan bersiap.Tidak lama kemudiaan,dia terus sahaja meletakkan begnya yang telah siap berisi buku dan alat tulisnya di tepi pintu.Tahulah saya yang dia hendak mengikut saya ke Surau Al Amin.Demi untuk tidak mengecewakan anak lelaki saya,saya gagahkan diri juga untuk pergi ke sana.Alhamdulillah,sampai juga saya menghadirkan diri ke kuliah berkenaan hingga ke akhir.Benarlah kata-kata Ustaz Hambali ketika memulakan kuliah pagi tadi,"Kita harus bersyukur kerana terpilih untuk dapat solat subuh secara berjemaah dan dapat duduk di dalam taman taman syurga."

Moga Allah SWT terus memberikan kekuatan untuk saya dan seluruh ummat Islam agar dapat berbuat amal kebaikan dan seterusnya dapat menarik Rahmat Allah SWT dalam kehidupan kita.

Wak,
TDI.

Friday, February 17, 2012

:: 15 Februari ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kek sempena hari lahir saya yang ke-33.
(home made edition)

Saya tidak pasti dari mana sejarah dan asal-usul acara sambutan hari lahir lalu ia dikaitkan dengan kek.Ia pasti ada cerita di sebaliknya.Sepanjang pengamatan,saya kira di mana-mana tempat sekalipun di dunia ini,kek adalah salah satu 'objek' utama yang akan ada dalam menu acara sambutan mengenang hari lahir.

Sebelum itu,

Mengikut kisahnya,saya dilahirkan ke dunia melalui pembedahan.Sekitar tahun 1979,kes ibu bersalin di hospital bukanlah kes biasa,barangkali hampir 1 dalam 1000 kelahiran.Yang banyaknya ketika itu,ibu yang mengandung hanya melahirkan anak di rumah dengan dibantu oleh mak bidan kampung.

Dengar kisahnya lagi,sebelum melahirkan saya,emak telah tumpah darah ketika berada di rumah.Kemudiannya barulah emak dibawa ke Hospital Daerah Muar dan saya dilahirkan di sana.Lalu pada 15 Feb 1979,seorang bayi lelaki telah selamat dilahirkan yang kemudiannya dinamakan dengan nama Mohd Rizal.

Terkenang.

Semasa saya sekitar berumur 8 atau 9 tahun,ketika hampir dengan tarikh 15 Feb (baca : tarikh lahir saya) saya pernah menyatakan hasrat kepada emak saya agar emak membuatkan kek.Alhamdulillah,emak membuatkan kek batik untuk saya yang dimakan bersama dengan seisi keluarga.

Ya,kek batik adalah kek rasmi keluarga kami selain dari kek pisang.Sehingga kini ia masih lagi menjadi kek rasmi keluarga kami walaupun emak sudah lama meninggal dunia.Warisan itu diteruskan oleh kakak saya yang sulung.Walaupun emak sudah tiada di dunia ini,rasa kek batik dan kek pisang yang kakak saya buat hampir mirip dengan kek rasmi yang emak saya hasilkan dahulu.Istilah orang jepun ‘ofukuro no aji’ : masakan yang dimasak oleh emak kita.

24 tahun selepas itu.

Setelah usia menjangkau umur 33 tahun,sambutan harijadi bukanlah sesuatu keperluan yang mesti.Ia sekadar ingatan sahaja.Namun 33 tahun dahulu,saya dilahirkan oleh seorang ibu dalam keadaan saya sekeluarga beragama Islam,ia merupakan sesuatu kurniaan dan nikmat yang cukup besar.

Kek dari yang tersayang.

Tepat umur saya 33 tahun,saya menerima hadiah yang merupakan sebiji kek dari isteri tersayang.Dengar kisahnya,kek tersebut hasil kerja tangan isteri dan anak-anak kami.Selain rasanya yang sedap,ia sebenarnya bukan sekadar kek untuk dimakan.Kek itu sebenarnya membawa saya mengimbau kepada peristiwa-peristiwa yang lepas,terutamanya kepada kisah-kisah yang berkaitan dengan kelahiran saya ke dunia.

Alhamdulillah.

Segala puji-pujian kepada Allah SWT dan berbanyak-banyak kesyukuran di atas nikmat yang tidak terhingga banyaknya yang telah dianugerahkan kepada saya selama ini oleh-Nya.Moga usia selama 33 tahun ini,segala kesalahan dan kesilapan samada disedari ataupun tidak mendapat keampunanMu.

Untuk emak tercinta.

Terima kasih kerana mengandungkan dan melahirkan saya ke dunia.Pengorbanan emak tidak mampu saya bayar jauh sekali untuk membalas setimpalnya.Moga roh emak aman dan sentosa di alam sana.Doa keampunan untuk emak akan saya panjatkan selagi ada kemampuan dan kekuatan dalam diri ini.

Untuk isteri tercinta.

Terima kasih kerana menjadi isteri yang terbaik.

Akhir kata,

Sesuatu sambutan hari lahir,selain dari mengenang si tuan punya badan,kenang-kenanglah sekali siapa yang ada di sekitar si tuan punya badan.Ia tentu lebih mendatangkan keinsafan.

Wak
TDI.

Tuesday, February 14, 2012

:: Senawang Berselawat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Berikut dikongsikan hasil catatan dari Ceramah Majlis Maulid Nabi SAW oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid  (Masjid Bandar Baru Senawang-12 Feb 2012)

Majlis dimulakan dengan membaca qasidah
dan berselawat beramai-ramai.

Tanda.

Tanda seseorang itu merupakan orang yang baik adalah :
1.Dia suka akan kebaikan.
2.Dia suka kepada orang yang baik.
3.Dia senang untuk membuat kebaikan.
4.Dia akan bersusah hati jika tidak berpeluang untuk membuat kebaikan.

Sakit.

Orang yang bila terkena sakit mata,bila dia keluar dari rumah dia akan mengatakan yang dia tidak melihat matahari.Sebenarnya bukan matahari yang tiada,tapi matanya yang sakit itulah tidak dapat melihat matahari.

Begitu juga dengan roh,apabila roh yang sakit,maka dia tidak dapat melihat sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan dan juga tidak dapat melihat keburukan itu sebagai keburukan.

Kenapa Allah SWT memberi kebaikan kepada majlis ilmu?

1.Kita mengingati bahawa Allah SWT yang menjadikan dan menciptakan diri kita.
2.Kita mengingati bahawa Allah SWT yang memberikan rezeki kepada makhlukNya.
3.Kita menyebut dan mengingat Allah SWT lalu hati kita hampir kepadaNya.

Maulid Nabi SAW.

Antara nama Nabi SAW adalah :
1.Muhammad
2.Ahmad
3.Hamid
4.dan beberapa nama lagi.
Tetapi 3 nama di atas berasal dari perkataan arab 'kha mim dal' yang bermaksud memuji.

1.Muhammad bermaksud yang banyak dipuji
2.Ahmad bermaksud yang terpuji
3.Hamid bermaksud memuji

Nama Muhammad diberikan oleh datuk Baginda,Abdul Muttalib.Nama berkenaan adalah nama yang tidak pernah digunakan kala itu.

Kala itu anak-anak orang arab sebahagiannya diberi nama seperti Asad (harimau),Kalbun (anjing) dan nama-nama yang berunsurkan haiwan.Namun yang peliknya hamba-hamba sahaya mereka pula diberikan nama-nama yang lembut seperti Latifah (baik hati) dan sebagainya.Bila ditanya,mereka menamakan anak mereka dengan nama sebegitu agar berani manakala mereka menamakan hamba sahaya mereka dengan nama yang lembut agar mereka menurut perintah.

Bila kala itu orang ramai bertanya kepada Abdul Muttalib,mengapa bayi yang dilahirkan itu diberikan nama Muhammad,maka Abdul Muttalib menjawab agar bayi ini dipuji sepanjang masa.

Maka benarlah,nama Muhammad itu dipuji sepanjang masa sehingga ke hari ini dan sehinggalah bila-bila.Baik ketika melafazkan syahadah,mahupun azan bahkan kita juga berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Antara bait-bait qasidah yang di baca pada 'Senawang Berselawat'.
(tahniah kepada pasukan penganjur yang menyediakan
kelengkapan yang membantu audien turut sama berqasidah
dan memahami terjemahannya)

Lahirnya Nabi Muhammad SAW membawa Rahmat.

Ada suatu kisah di mana suatu hari sedang Nabi SAW dalam perjalanan ke pasar,Nabi SAW telah terjumpa dengan seorang hamba yang sedang menangis.Bila ditanya,hamba itu menjawab tuannya telah memberikan sejumlah wang untuk memberi barang di pasar.Tetapi wangnya telah hilang sebanyak 2 dirham.Dia takut akan dimarahi oleh tuannya nanti kerana membeli barang tetapi tidak mencukupi.Mendengar kisah hamba tersebut Nabi SAW terus sahaja memberikan 2 dirham kepada hamba tersebut untuk membeli barang untuk tuannya.

Dalam perjalan pulang,Nabi SAW sekali berjumpa hamba sahaya tadi.Sekali lagi Nabi SAW berjumpa hamba berkenaan dalam keadaan menangis.Bila ditanya,hamba itu menjawab yang dia takut nanti dia dimarahi oleh tuannya kerana pulang lewat setelah keluar awal dari rumah tuannya tadi.Mendengar akan luahan hamba tersebut,Nabi SAW menawarkan untuk menghantar hamba tersebut pulang dan akan menerangkan kepada tuannya kelak.Seperti tidak percaya,hamba itu berasa suka hati sebab Nabi SAW sendiri yang akan membantu dirinya walaupun dia hanya seorang hamba sahaya.

Apabila sampai di rumah tuan kepada hamba tadi,lalu Nabi SAW memberi salam.Tuan rumah yang mendengar suara Nabi SAW dan tahu akan Nabi SAW datang mengunjungi mereka,telah menjawab salam tersebut dengan suara yang perlahan sehinggalah Nabi SAW memberi salam kali ketiga barulah dijawab dengan kuat oleh tuan rumah.Bila ditanya oleh Nabi SAW,tuan rumah tadi sebenarnya terlalu suka dan gembira Nabi SAW mendoakan kepadanya,kerana perkataan salam itu adalah doa.Sebab itulah dia menunggu sehingga Nabi SAW memberi 3 kali salam baru dijawab dengan suara yang kuat.

Lalu Nabi SAW pun menceritakan masalah yang dihadapi oleh hamba sahaya tersebut.Terkejut dengan cerita Nabi SAW,sahabat tersebut oleh kerana terlalu gembira yang Nabi SAW sanggup bersusah payah ke rumahnya untuk membantu hamba sahayanya tadi,terus sahaja sahabat tersebut dengan rela hatinya membebaskan hamba sahayanya tadi.

Begitulah,sesungguhnya bekalan yang Allah beri kepada Nabi Muhammad SAW apabila Baginda dilahirkan ke muka bumi adalah Baginda membawa Rahmat ke atas seluruh alam,sehinggakan hamba sahaya pun dapat merasa Rahmat berkenaan.

Ulama itu perwaris Nabi SAW.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

:: Naluri Sihat vs Naluri Sakit ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan hasil catatan dari Ceramah Majlis Maulid Nabi SAW oleh Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki (Surau As Sobirin,Taman Tuanku Jaafar-12 Feb 2012)


Majlis dimulakan dengan berqasidah beramai-ramai
dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Sedap.

Naluri manusia memang gemar mencuba pelbagai jenis makanan dan minuman.Ada yang suka pada yang manis,pedas,masin dan sebagainya.Pendek kata,mana makanan yang sedap rasanya,sudah tentulah ada peminatnya.

Apa tandanya?

Bila manusia berasa suka pada makanan yang lazat mengikut selera masing-masing,ia menunjukkan yang perasaan (deria rasa) kita dalam keadaan sihat.Sebaliknya,apabila kita tidak dapat membezakan mana makanan atau minuman yang sedap,maka perasaan (deria rasa) kita sedang sakit.

Naluri.

Salah satu kecenderungan naluri kita adalah suka kepada hiburan.Kita berhibur biasanya dengan menyanjung dengan apa yang kita suka atau cinta.Biasanya pula bila disebut tentang hiburan,maka lagulah yang menjadi pilihan.Sebab itulah,disebabkan kecenderungan yang berbeza,maka bermacam bentuk lagu dan irama telah tercipta kala ini.

Untuk apa lagu itu dicipta?

Selain dari menjadi halwa telinga,lagu juga ada yang berunsur puji-pujian.Ada yang mencintai alam semulajadi,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan alam semulajadi.Ada yang mencintai manusia/kekasih,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan manusia/kekasih.Ada yang mencintai agama,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan keagamaan.

 Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki yang
sentiasa bersemangat untuk berkongsikan ilmu.

Jadi apa sebenarnya yang patut kita puji?

Naluri semulajadi atau gharizah antaranya suka/gemar pada makanan, minuman, hiburan, hubungan dengan pasangan serta beribadah kepada Pencipta.Antara contoh bentuk ibadah adalah bertasbih,bertahmid,bertakbir dan berselawat kepada Rasulullah SAW.

Mengapa kita mesti memuji dan menyanjung Rasulullah SAW?

1.Bagindalah yang menyelamatkan kita dari syirik kepada Allah SWT.
2.Bagindalah yang mendekatkan hati kita kepada Allah SWT,seterusnya kita mendapat maghfirahNya,lalu Allah redha kepada hambaNya lalu kita dapat masuk syurga Allah SWT.

Bagaimana kita boleh bersungguh untuk memuji Allah SWT dan Rasulullah SAW?

Ada manusia yang bila mendengar penyanyi yang mereka puja menyanyi,mereka terus seperti terawang-awang.Mata seperti tidak berkerdip,mulut diam membisu,telinga dipasang dengan penuh khusyuk,seolah-olah kenikmatan yang teramat bila mendengar persembahan dari penyanyi yang mereka puja-puja itu.

Jadinya bila melihat situasi di atas,tidak mustahil jika kita juga boleh menimbulkan kekhusyukkan bila kita memuji Allah SWT dan Rasulullah SAW,malah lebih dari itu.Jiwa dan naluri yang sihat adalah jiwa dan naluri yang mencintai akan perkara-perkara kebaikan.

Apa kemahuan naluri?

Naluri semulajadi memang mempunyai kemahuan yang tertentu.Sebagai manusia,kita mesti menyalurkan naluri berkenaan.Jika kita tidak menyalurkannya,maka naluri akan terkongkong.Namun jika naluri yang semulajadi tadi tidak disalurkan ke tempat kebaikan,maka naluri tadi pasti akan tersalur ke tempat kemaksiatan.

Kejadian makhluk.

Sepertimana sang ikan tidak boleh hidup tanpa air,begitu juga kejadian manusia.Jasad dan anggota manusia tidak dapat hidup tanpa udara.Malah naluri juga mempunyai keperluan.Maka naluri tidak dapat hidup tanpa ajaran,contoh untuk dituruti.

Berjaya dan bahagia.

Makhluk hidup dijadikan untuk berpasang-pasangan.Maka si lelaki biasanya akan melamar wanita untuk dijadikan isteri.Akhirnya pasangan tadi bila berkhawin lalu mendapat anak.Namun kebahagian mendapat isteri dan anak belum cukup selagi kita tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa.

Mendoakan dan beruasaha agar keluarga dan anak-anak
serta zuriat seterusnya supaya sentiasa di bawah
Peliharaan Allah SWT adalah tugas ketua keluarga.

Begitu juga halnya jika kita seorang peniaga.Maka pasangan peniaga tentulah si pelanggan.Belum cukup bahagia peniaga jika tiada barang yang hendak dijual.Tidak cukup bahagia jika barang yang hendak dijual tidak menarik perhatian pelanggan untuk membeli.Belum cukup bahagia jika ada pembeli tetapi perniagaan tidak pulang modal.Tidak cukup bahagia jika perniagaan pulang modal tetapi tidak mendatangkan keuntungan.

Begitu juga halnya dengan ibadah haji.Belum cukup bahagia jika kita hanya ada passport.Belum cukup bahagia jika kita hanya ada tiket kapalterbang untuk pergi ke Tanah Haram.Belum cukup bahagia jika kita hanya mendapat visa.Belum cukup bahagia jika kita hanya dapat pergi ke Tanah Haram sehinggalah kita dapat menyelesaikan rukun dan syarat sah ibadah haji.

Begitu juga sebagai manusia.Belum cukup bahagia jika hidup tanpa ilmu.Belum cukup bahagia manusia jika hanya berilmu tanpa belajar.Belum cukup bahagia manusia jika berilmu dan belajar tanpa beramal.Belum cukup bahagia manusia jika berilmu,belajar, beramal tapi tidak mendapat maghfirah Allah SWT yang akhirnya membawa kita ke dalam syurga Allah SWT.

Pesanan terakhir.

1.Menjadi mukmin bukan seperti layang-layang yang terputus talinya.Bila sudah terputus tali,layang-layang tadi mudah terbang ke sana dan ke mari tidak ada hala tuju dan akhirnya terhempas ke bumi dan tidak mampu terbang lagi.

2.Sepertimana kita bangun pagi pergi ke kedai mencari kuih seperti karipap atau donat untuk sarapan pagi bagi mengelak kita lapar dan tidak bertenaga untuk membuat kerja,begitu jugalah dengan naluri dan jiwa kita.Naluri dan jiwa perlu diberi makan dengan ilmu dan yakin agar kita dapat beramal dengan ilmu yang kita ada dan yang lebih penting kita tidak mudah digoda oleh musuh kita.

3.Istiqomahlah dalam beribadah.

Moga perkongsian memberikan menafaatnya kepada semua.

Wak,
TDI.

Saturday, February 11, 2012

:: Rezeki di Depan Pintu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya ada membela beberapa ekor ayam kampung yang rebannya ada di belakang rumah.Tetapi sebab jumlahnya yang tidaklah terlampau banyak dan dengan sifat semulajadi ayam kampung adalah hidup bebas,maka saya lepaskan sahaja ayam-ayam itu berkeliaran di dalam kawasan rumah.

Pepatah melayu kata,"Seperti ayam-bertelur sebiji riuh sekampung"
Tentu ayam itu bangga dengan telurnya,kalau tidak masakan
si ayam itu membuat riuh sebegitu.

Suatu hari maka tibalah masa salah seekor dari ayam betina saya itu untuk bertelur.Punyalah baik pasangannya,si ayam jantan yang berwarna oren itu kerana mencarikan tempat untuk si betina itu bertelur.Cari punyalah cari,akhirnya di atas bonet hadapan kereta sayalah lokasinya.

Mulanya saya tidak perasan yang bonet kereta saya itu menjadi sasaran tempat ayam betina saya bertelur.Sehinggalah pada suatu hari saya dapati bonet kereta saya penuh dengan calar balar.Siapa yang biasa melihat ayam bertelur,sebelum bertelur,kaki ayam akan mengais-ngais dahulu tempat ia bertelur itu.Sebab itulah penuh calar balar pada bonet saya.

Sedih juga melihat kesan calar-balar itu.Tetapi apakan daya,ayam kalau itu tempat bertelurnya pada biji yang pertama,maka pada biji yang kedua,di tempat itu jugalah yang akan dipilihnya.Akhirnya saya mengalah pada ayam yang sedang gian hendak bertelur itu.Saya biarkan juga ayam itu bertelur disitu tetapi saya tutup bonet kereta saya dengan kain langsir lama.

Tentang calar di atas bonet kereta itu,sakit juga mata melihatnya.Suatu hari saya bersama Ustaz Azhar (http://rijalunsodaqu.wordpress.com/) dalam perjalanan ke pejabat ISMA Seremban.Sempat Ustaz menegur calar pada kereta saya itu.Saya pun ceritalah apa yang berlaku.Rupanya Ustaz juga pernah mengalami kisah yang sama ketika Ustaz duduk di Klang dahulu,ayam bertelur di atas kereta.Senasib rupanya.

Disebabkan terlalu sakit mata,saya ikhtiarkanlah juga untuk menghilangkannya.Untuk menghantarkannya ke kedai cat untuk dicat semula,sudah tentulah ianya memerlukan modal yang besar,mungkin ia pilihan yang terakhir.Ikhtiar punya ikhtiar,akhirnya hilang juga calar balar yang berselirat itu bila saya sental dan tonyoh dengan kain yang saya curahkan cecair WAX ke atasnya.Alhamdulillah,mata sudah tidak sakit lagi kini.

Ada lagi kisah,

Walaupun saya kutip setiap telur pada hampir setiap hari,rupanya ada telur yang tidak sempat diselamatkan.Ada yang jatuh tergolek ke lantai malah ada yang bergolek masuk ke scoop intercooler turbo kereta saya.Agaknya si betina itu berfikiran yang lubang scoop itu tempat yang selamat baginya untuk menyimpan telur.Apa taknya setiap kali bertelur,setiap kali jugalah telurnya hilang.Akhirnya jadilah telur itu bertaburan isinya menjadi scramble egg yang tidak berapa menjadi di atas intercooler turbo kereta saya.

Dan akhirnya,ayam betina itu hanya penat bertelur tanpa dapat mengeram dan menetaskan telurnya.

Lain pula kisahnya.

Seminggu lepas,ayam yang sama telah tiba musim untuk bertelur lagi.Entah mengapa si jantan membawa si betina itu ke tempat yang sama iaitu di tempat saya parkir kereta.Sedangkan ayam betina yang lain pandai pula si jantan itu bawa ke tempat bertelur yang agak selesa,di bawah rimbunan pokok bunga saya contohnya.Agakan saya,jadi tempat bertelur lagilah kereta saya kali ini.

Tapi yang peliknya,si jantan dan si betina tidak memanjat kereta saya.Mungkin kerana kebetulan saya hadapkan kereta saya menghadap pagar.Itupun tujuan sebenarnya agar mudah isteri saya untuk mengeluarkan kereta untuk menjemput Abdul Hadi di Pasti Al Haazim.Samada ayam itu tidak mahu bertelur menghadap panas,ataupun pasangan ayam itu sudah memerhatikan yang keadaan tempat bertelur (baca : bonet kereta) sudah tidak sama seperti dahulu.

Mungkin juga kereta ini diparkir di kawasan yang tidak sama tinggi 
kedudukannya,sebab itulah ayam tidak bertelur di atasnya lagi.
(yang berlubang di atas bonet itulah scoop intercooler turbo kereta saya)
Lalu,

Si ayam tadi tetap juga mahu bertelur di kawasan parking kereta tetapi kali ini hanya di bawah,iaitu di atas lantai sahaja.Lega hati saya.Kereta tidak calar-balar lagi,telur tiada yang pecah bahkan buka sahaja pintu hadapan rumah,sudah ada sebiji telur ayam kampung,bak orang kata 'fresh from the farm'.Dapatlah kami anak beranak menumpang rezeki si ayam.Kalau dikira-kira setakat posting ini ditulis,tidak kurang dari sepuluh biji telur ayam berkenaan sudah kami kumpul untuk musim kali ini.

Sengaja saya tidak mahu ibu itu mengeramkan telurnya.Manakan tidak,ada dua ekor lagi ibu ayam yang sedang mengeram dan telurnya akan bakal menetas tidak lama lagi.Kalau si betina ini juga turut mengeram,manalah nanti si jantan itu hendak mengadu nasib.Tahu-tahu sahajalah,lepas mengeram dan apabila telur menetas,ibu ayam juga agak berpantang dari mengawan sebab sibuk menjaga anak ayam.2~3 bulan juga tempoh lamanya.Kesian si jantan itu nanti,hidup tanpa betinanya.

Fresh from the farm.
Telur yang dikutip selepas asar 11 Feb 2012.

Namun di sebalik itu,sempat saya berkata kepada isteri saya,"Tengok Allah nak beri rezeki kepada kita,betul-betul depan muka pintu.Takpelah,bekas calar kat bonet kereta tu biarlah menjadi peringatan untuk kita sepaya ingat rezeki depan pintu ni."

Moga rezeki tersebut adalah rezeki yang penuh keberkatan dan mendatangkan menafaat kepada kami sekeluarga.

Sekian,cerita ayam dan telurnya.

Wak,
TDI.

Thursday, February 2, 2012

:: Dinar dan Dirham ::

Bismillah hirrahman nirrahim

Antara pejam dan celik,kini sudah pun masuk ke bulan Februari 2012.Januari sudah kita tinggalkan di belakang.Sedangkan rasanya penduduk dunia seperti baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru 2012.

Dan sedar tak sedar juga,umur yang kita capai pun semakin bertambah bila masuknya tahun baru.Pada masa yang sama juga,antara sedar tak sedar,sebenarnya kita semakin dekat dengan saat kematian kita.

Silih berganti.

Selain berganti tahun,banyak lagi perkara yang berganti selain dari usia yang telah kita capai.Antaranya yang muda akan bertukar menjadi semakin berusia.Manakala kanak-kanak akan bertukar menjadi remaja.Bahkan yang bayi juga akan bertukar menjadi kanak-kanak.Ia adalah proses semulajadi.Semua orang yang diberikan kesempatan olehNya akan melalui proses yang sama.

Begitu juga dengan saya.Sedar tak sedar angka 33 sudah ada di dalam simpanan.Tidak pasti bila angka itu akan mencapai penghujungnya.Yang pasti,kini saya sudah punyai seorang isteri dan 5 orang anak,Alhamdulillah.Jika di zaman bujang dahulu,saya hanya perlu memikirkan dan menguruskan diri sendiri sahaja,kini ia tidak lagi.Tanggungjawab dan tugas semakin bertambah sepertimana bertambahnya usia walau hakikatnya kederat yang menanggung tidaklah sebanyak mana.

Sebut sahaja perihal anak,ia bukanlah semudah menyebut ABC atau Alif Ba dan Ta.Ia memerlukan segala bentuk usaha dan pengorbanan yang bersungguh-sungguh bagi kita mengungkap perkataan 'ANAK' itu sendiri

Antara yang selalu diperkatakan perihal anak adalah tentang peri pentingnya pendidikan yang perlu diberikan kepada mereka.Dan yang pasti memberi pendidikan kepada anak bukanlah setakat mengenalkan huruf ABC,Alif Ba Ta atau nombor 123 sahaja.Itu hanya sekadar asas sahaja.

Sejenak,

Baru-baru ini saya menghadiri perjumpaan semula (re union) bekas pelajar SMSS tahun 1992~1996.Ia perjumpaan terbesar selepas kami terakhir berjumpa bersama kira-kira 15 tahun dahulu.Kini kebanyakkan dari mereka sudah pun menjadi ibu dan bapa serta mempunyai anak-anak yang comel.Masa amat cepat berlalu.

Antara yang menjadi perbincangan antara kami adalah sekitar pendidikan anak.Ada yang mengharapkan anak mereka supaya pandai berbahasa Inggeris maka dari sejak tadika lagi,anak mereka telah dihantar ke sekolah yang lebih menekankan pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris.Juga sama halnya bagi ibu bapa yang menginginkan anaknya fasih berbahasa Mandarin.Mungkin kelak ada ibubapa yang menginginkan anaknya fasih berbahasa Tamil pula.

Selain dari itu,ada juga ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan sistem yang telah pihak kerajaan terapkan iaitu melalui sistem tadika KEMAS/pra-sekolah dan sekolah rendah kerajaan.Mungkin pilihan itu dibuat kerana mereka mengambil kesempatan dan kelebihan dari apa yang mereka/pasangan mereka ada iaitu status sebagai seorang guru di sekolah kerajaan.

Di lain sudut,ada pula ibubapa yang sanggup bergolok bergadai mengumpul dinar dan dirham, (baca : wang ringgit) semata-mata untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai sistem yang mereka anggap terbaik dan yang menggunakan sistem pembelajaran baru,Metode Khalifah contohnya ataupun Montessori Method.

Malah,masih ramai lagi ibubapa yang inginkan anak mereka belajar di dalam suasana yang Islamik,lalu menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai latarbelakang yang sebegitu.Ternyata disebabkan sambutan ramai,bilangan sekolah yang seperti ini makin tahun makin bertambah.

Ia suatu pilihan dari pelbagai banyak pilihan.

Apa pula pilihan kita?

Sejenak lagi,

Proses mendidik anak bukan semudah menghasilkan sebuah enjin kereta yang lengkap dengan transmission,yang memang terkenal dengan kepayahan/kerumitan untuk menghasilkannya.Enjin walaupun sesusah mana pun proses untuk menghasilkannya,jurutera masih boleh dibantu dengan pelbagai software untuk proses simulasi.Pendidikan anak tiada simulasi.

Lalu bagaimana?

Di dunia tanpa sempadan ini,teknologi semakin hari semakin canggih.Ditambah lagi,di dalam dunia yang semakin canggih ini,di mana-mana jua akan wujud persaingan,tidak kira apa jua faktor.Maka yang membolehkan kita supaya tidak ketinggalan dalam persaingan tersebut antaranya adalah dengan ilmu.Memang mempunyai bukti,dengan ilmulah membolehkan kita sentiasa berdaya saing di dunia yang penuh mencabar ini.

Ilmu itu ada di mana?

Di luar sana ada pelbagai bentuk/jenis buku.Buku adalah hasil tulisan para ilmuwan.Di dalam bukulah tersembunyi ilmu yang perlu kita bongkar.Dan tentunyalah buku mengenai pendidikan anak amatlah banyak dan mudah untuk di dapati.

Mengapa?

Pendidikan selain dari satu keperluan,bagi sesetengah pihak ia adalah suatu peluang perniagaan.Maka buku-buku perihal pendidikan anak-anak,antara yang menjadi modal perniagaan mereka untuk meraih keuntungan.Semakin banyak modal yang ditabur semakin banyaklah peluang untuk meraih keuntungan.

Lalu buku bagaimanakah yang perlu kita pilih?

Ini buku pilihan saya.Ia walaupun kecil tetapi amat signifikan bagi saya.Ia mudah di bawa ke mana-mana malah tidak jemu saya mengulang bacanya berulang-ulang kali.

Hasan Al Banna.
Ia adalah tokoh pertama yang bangkit selepas kejatuhan sistem pemerintahan khilafah.
Buku ini sedang di bedah dari kulit ke kulit
oleh Ustaz Ariffin-bekas Pengetua SMK Agama Sultan Muhamad Bt Beremdam
(suami Ustazah Salbiah Omar-Forum Ehwal Islam) di
surau Taman Desa Ixora (setiap khamis selepas solat maghrib) 

Antara tajuk yang akan di bincangkan.

Murabbi Cinta.
Salah 1 lagi buku kegemaran saya.

Antara bab yang tertulis di dalam buku tersebut.

Rancang Hidup Rancang Wang-Hamdy
(sesuai untuk umur 40 tahun ke bawah)

Rancang Hidup-Mendidik Anak.
Bab 7-Antara bab yang di sentuh secara terperinci
berserta dengan testimoni sekitar pendidikan anak-anak.
Ia amat menarik ulasannya. 
Walaupun dengan banyaknya jumlah buku yang kita miliki dan baca sebagai rujukan,ia belum lagi lengkap dan sempurna tanpa panduan dan garis panduan yang sepatutnya.

Lalu apa pula panduan kita?

Di dalam Al Quran begitu banyak kisah pendidikan anak-anak.
Antaranya adalah gandingan kisah Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya Nabi Ismail a.s.

Di dalam surah Luqman juga ada dinyatakan pendidikan terhadap anak.

Apa pula yang perlu kita lakukan?

Walaubagaimana teruknya pun akhlak seorang perompak,ia tetap tidak mahu anaknya menjadi seorang perompak.Dia tetap ingin menjadikan anaknya seorang yang pandai dan bijak.Kita sebagai ummat Islam pula,tanggungjawab kita bukan hanya tamat/selesai dengan menjadikan anak kita pandai dan bijak sahaja,malah lebih dari itu,kita perlu memastikan yang anak-anak kita berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Berjaya dunia cemerlang akhirat itu bagaimana?

Sesetengah ibu bapa teringin sangat agar akan ada salah seorang anak mereka yang akan menjadi seorang ustaz/ustazah.Kerana mereka sangat mengidam agar anak itu nanti bakal menjadi saham yang berterusan apabila mereka mati kelak.Lalu tidak hairanlah kalau ramai di antara kita yang berpusu-pusu menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai latar belakang dan persekitaran keagamaan yang baik,kelak dengan harapan anak mereka boleh menjadi ORANG AGAMA (baca : ustaz/ustazah).

Lalu,1 persoalan bagi mereka..

Jika pihak ibubapa sudah menjuruskan anak-anak mereka supaya menjadi orang agama,sudahkah ibubapa tersebut bersedia untuk menjuruskan anak mereka ke mana selepas mereka tamat pembelajaran kelak?

Orang agama vs org ahli agama.

Melalui buku di atas (Murabbi Cinta),

"Tetapi adakalanya ibu bapa keliru,antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama."

Tentunya,kalau dinilai semula,kita tidak boleh memaksa anak kita
sehingga menjadi orang agama,tetapi kita memang dipaksa
agar anak kita menjadi orang yang beragama.

Kebal.

Antara yang menjadi kerisauan ibubapa kala ini sebenarnya adalah tentang banyaknya maksiat,keburukan dan nilai negatif di luar sana.Bagi mereka,untuk menyelamatkan anak dan keturunan mereka seterusnya,anak mereka perlu memiliki ilmu kebal.Lalu di manakah perlu dicari untuk mendapatkan ilmu kebal tersebut? Kita perlu memikirkannya bersama.

Munajat.

Perihal sekecil memakai baju pun Islam mengajar penganutnya agar didahului dengan doa,ini apatah lagi perkara sebesar pendidikan Islam kepada anak-anak.Berdoalah dan teruskanlah berdoa.Bermunajatlah dan teruskanlah bermunajat.Tiada siapa yang boleh menjamin anak kita selamat dunia dan akhirat.Namun kita masih boleh berusaha dan berharap,moga-moga usaha kita boleh dituai di Akhirat kelak.

Akhir kalam,

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kita semua baru belajar,
Ada ilmu kita kongsi-kongsikan.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.