Friday, January 27, 2012

:: Perabot Jati Asli ::

Bismillah hirrahman nirrahim

60 vs 1.
Akal ibarat parang.
Jika tidak di asah,ia akan berkarat lalu menjadi tumpul.

Jom asah minda kita petang ini sebentar dengan membuat latihan kira-kira.

1 kali kita bersolat fardhu biasanya purata masa yang diperuntukkan adalah 5 minit.

Jika,

a.5 waktu (dalam sehari semalam) = 25 minit
b.2 hari = 10 waktu = 50 minit (lebih kurang 1 jam)
c.10 hari = 5 jam
d.30 hari (1 bulan) = 15 jam (setengah hari)
e.2 bulan = 1 hari
f.12 bulan (1 tahun) = 6 hari
g.60 tahun = 360 hari (setahun)

Apa signifikannya?

Ada hamba Allah yang mengaku dirinya Islam namun tidak mahu bersolat 5 waktu cukup atas alasan solat itu membebankan,remeh,mengambil masa dan pelbagai lagi alasan.Kalau melihat dari perkiraan di atas,sekiranya kita hidup 60 tahun di atas dunia,hanya setahun sahaja kita perlu menghabiskan masa untuk bersolat,baki 59 tahun lagi Allah SWT memberi kebebasan untuk kita melakukan apa sahaja selagi masih di dalam batas-batas yang dibolehkan.

Tahukah anda???
Sedarkah kita???

Ombak.

Bersama rakan seperjuangan 1992~96 (SMSS).
Kali ini sambil beriadah di pantai PD sambil mendengar bunyi
deruan ombak (baca : Ombak yang diRindu)

2 minggu lepas (14,15 Jan 2012) saya baru pulang dari hari keluarga SMSS96 yang telah dianjurkan bertempat di Kayns Resort,Port Dickson.Ia pertemuan semula selepas 15 tahun (kali terakhir bertemu adalah ketika peperiksaan SPM tahun 1996).

Tidak jauh dari tempat majlis berlangsung adalah kawasan pantai,tidak sampai pun 100 meter.Ia tempat yang amat menarik dan mendamaikan.Walaupun lokasi penganjuran di buat di kawasan pantai,sayang sekali amat sedikit aktiviti yang dibuat yang melibatkan dengan alam semulajadi ciptaan Allah SWT itu.

Bila bercerita tentang adanya pantai maka akan adalah ombak.Seperti pepatah melayu ada mengatakan,sekali ombak bah sekali pantai berubah.Ia menggambarkan betapa pantai dan ombak saling berkaitan antara satu sama lain dan ia amat dekat.

Lalu bagaimanakah boleh wujudnya ombak?
Adakah ia terjadi secara semulajadi tanpa bersebab?

Mengikut sains,ombak berlaku disebabkan angin yang bertiup di tengah laut.Angin itu pula terjadi bila berlaku tekanan yang terhasil dari pertembungan antara udara panas dan udara sejuk.Udara yang panas itu pula terhasil antaranya adalah kerana adanya molekul-molekul panas yang terhasil dari pancaran cahaya matahari ke bumi.Matahari pula terhasil dari.....

'dot dot dot' itulah sebenarnya perlukan penerangan tentang agama (deen).Alam dan segala isi-isinya ini di ciptakan oleh Maha Pencipta.Dan kejadian yang dibuat oleh Allah SWT itu perlulah mengikut hukum dan ketetapanNya sepertimana hamba perlu mengikut perintah tuannya.Hubungan antara makhluk (hamba Allah) dengan Maha Pencipta itulah yang dipandu melalui jalan/cara hidup (deen) iaitu agama Islam.

Nota : Cuba masukan air dalam piring kemudian tiup air tersebut apa yang terjadi?
Samakan seperti ombak.

Teori Big Bang.

Saintis barat mengatakan kejadian alam ini terhasil dari satu letusan kuat (Big Bang).Ia nyata bercanggah dari kejadian alam yang diterangkan di dalam Al Quran.

Sekiranya mengikut pemikiran lojik akal biasa sekalipun,sesuatu yang meletup atau berlaga,kesan dan impak dari perlanggaran tersebut menyebabkan sesuatu objek itu akan musnah atau mengalami perubahan yang kesannya negatif.Mana mungkin sesuatu yang berlanggar lalu menjadi cantik seperti awan,gunung,air,pantai,bintang,bumi,planet dan lain-lain lagi kejadian Allah yang kita ketahui.

Kesimpulan.
Perabut Jati.
Semua orang tahu akan harganya yang mahal.
Dan semua orang tahu daya tahannya.
Daya tahan kita bagaimana pula?

Manusia perlu ada jati diri.Dengan kata lain,manusia perlu beriman dengan sebenar-benarnya dan membenarkan iman yang ada di dalam dirinya.Membenarkan itu bukan sekadar menghangguk-hangguk dan membenarkan di dalam hati sahaja,bahkan jika ada unsur luar yang ingin melunturkan keimanan kita itu,kita mampu tegak berdiri membenarkan keimanan kita.

Lihatlah pokok jati,bila ia menjadi perabot,sifatnya tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat,InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Thursday, January 26, 2012

:: Harta vs Takhta vs Wanita ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kita biasa dengar,antara yang di kejar oleh manusia di dalam dunia ini adalah 3 TA, takhTA, waniTA dan harTA.

Siapa,mengapa,di mana,sejauh mana dan selama manakah kita ingin mengejar si 3 TA ini?

TAKHTA.

Dalam sesebuah institusi,kedudukan seseorang itu berdasarkan pangkat dan jawatannyanya.Semakin tinggi pangkat dan jawatannyanya semakin tinggi pulalah kedudukannya.Dan semakin tinggilah segala-galanya, termasuklah INCOME bulanannya.

Kilang.

Kalau di dalam dunia perkilangan,jawatan dan kedudukan bermula dari general worker (pekerja am),operator,line leader,supervisor,technician,engineer,executive,assistant manager,manager,factory manager,general manager,managing director dan chairman.

Nota : Rasa-rasanya chairman adalah kedudukan tertinggi dalam jawatan di dalam dunia perkilangan.

Syarikat.

Mungkin lain sedikit ceritanya perihal jawatan di dalam syarikat,terutama sekali syarikat-syarikat yang besar jaluran perniagaan mereka.Tetapi apa pun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lah tampuk segala jawatan.

Jabatan Kerajaan.

Setahu saya,berdasarkan pengetahuan am yang saya ketahui,dalam sebuah jabatan kerajaan,ia akan diterajui oleh Ketua Pengarah.Mungkin sekiranya di dalam kementerian,Ketua Setiausaha (KSU) adalah jawatan tertinggi dalam susunan kedudukan.

Secara umumnya,Chairman,CEO,Ketua Pengarah atau KSU adalah antara jawatan paling besar dan tinggi di dalam sesebuah carta organisasi.

Lalu ada atau tidak lagi jawatan tertinggi selepas chairman,CEO atau KSU untuk dikejar?

Pangkat.
Kad Jemputan perkhawinan sekarang sudah dilengkapi
dengan 'panggilan' yang sepatutnya.....

Pernah atau tidak anda terdengar cerita di mana ada orang terasa hati bila kad jemputan kahwin yang dihantar kepadanya tidak disertakan title "Tuan Haji" pada pangkal namanya.

Itu baru Tuan Haji.Tidak tahulah pula apa pula jadinya sekiranya kad jemputan yang dihantar kepada VIP yang berstatus Dato’,Datuk,Tan Sri dan yang lain lagi tanpa pangkat mereka itu dinyatakan dipangkal nama mereka.

Dan...

Itu belum lagi VVIP yang mempunyai banyak pangkat seperti,Prof Datok Dr Ir AAA bin Prof Tan Sri Datuk Dr Ir BBB.Boleh tersasul pengacara majlis bila menyebut nama VVIP yang begitu susunan pangkat yang ada padanya.

Nota : Mungkin dalam susunan pangkat atau darjah kebesaran terdapat juga susunan keutamaannya.

Yang pasti,semakin tinggi darjah,pangkat dan jawatannyanya semakin tinggi pulalah kedudukannya.Dan semakin tinggilah segala-galanya termasuklah INCOME bulanannya.Dan golongan terpilih seperti di atas tentulah mempunyai persepsi berbeza dari kaca mata masyarakat biasa.

Lalu,ada atau tidak lagi pangkat tertinggi selepas pangkat yang ada yang mereka punyai untuk dikejar?

Mr Pesara vs Mr Pencen.

Kata seorang OTAI (yang lebih berpengalaman),jawatan paling tinggi di dalam carta organisasi akan kita perolehi apabila sampai sahaja umur bersara wajib.Ianya satu anugerah yang semua akan mengecapinya.Tidak kiralah kita seorang general worker, operator, line leader, supervisor, technician, engineer,executive, assistant manager, manager, factory manager, general manager, managing director dan chairman…

Dan yang paling istimewanya,jawatan itu boleh di pegang sampai bila-bila.Dan yang paling penting lagi,tiada siapa pula yang berani merebut jawatan itu dari kita.Tidak lain dan tidak bukan jawatan tertinggi itu adalah jawatan pencen.Ia jawatan terakhir di dalam sesebuah institusi.Ia tidak perlu dikejar dan yang pasti tidak ramai yang mahu mengejarnya.

Malah kata OTAI yang bijak pandai lagi,pangkat paling tinggi dan paling lama boleh disandang adalah Arwah ataupun Allahyarham.Tetapi sebaliknya ramai pula yang tidak sedar akan kewujudan pangkat itu sebenarnya.Ataupun sedar tapi buat-buat tidak sedar.

Buat peringatan untuk diri ini yang selalu lupa.

Wak,
TDI.

Wednesday, January 25, 2012

:: Naga 2012 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya tidak mempunyai ramai kawan yang berbangsa Cina.Yang ada hanyalah 2,3 orang.Itupun hanya disebabkan sama tempat kerja.Hubungan berlainan bangsa dalam lembaran diari saya amatlah sedikit.

Oleh yang demikian,memandangkan Perayaan Tahun Baru Cina bukanlah satu perayaan keagamaan,saya ingin merasai apa sebenarnya yang berlaku di kalangan bangsa Cina ketika mereka meraikannya.

2012 : Tahun Naga Air

Berbetulan sebelum bercuti tempohari,ketika saya mengucapkan "Selamat Tahun Baru Cina" kepada salah seorang kenalan saya yang berbangsa Cina,saya sudah mengenali beliau hampir 7 tahun lamanya.Beliau lantas menjemput saya untuk berkunjung ke rumahnya pada hari perayaan mereka itu.Apa lagi,saya pun menerima pelawaan tersebut.Tidak berapa lama selepas kami berpisah,beliau telah mengSMSkan alamat rumahnya kepada saya."TQ boss," itu jawapan sms saya.

Seperti yang telah di janjikan,semalam (24 Jan 2012) saya pun telah berkunjung ke rumah kenalan saya itu.Sebelum bertolak,saya mencari alamat yang diberikan tempohari di dalam laman web Google Maps.Garden Street Homes,S2 ada tercatat di dalamnya tetapi tiada nama jalan,ternyata ianya tidak dapat membantu.

Saya bertolak dari rumah sekitar jam 2 setengah petang.Ketika kereta saya baru sahaja melintasi Carrefour Rahang,telefon saya berbunyi.Panggilan itu dari kenalan saya.Setelah berbual,baru tahu sebenarnya berbetulan lagi,beliau pun sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Seremban.Di sebabkan itu,beliau akan menunggu saya berhampiran dengan pondok kawalan sebelum masuk ke kawasan kediaman beliau.Lega rasanya hati kerana tidaklah perlu saya terkial-kial kelak untuk masuk ke kawasan kediaman beliau.Tambahan pula saya memang sedia maklum kawasan kediaman beliau memang agak sukar mencari nama jalannya dek kerana terlalu luas.

Sampai berhampiran tempat yang dijanjikan,kenalan saya itu telah sedia menunggu.Lalu kami terus melalui kawasan pondok pengawal.Saya perlu mendaftarkan kehadiran saya ketika itu.Setelah selesai,kami terus menuju ke rumah beliau.

Memang sah seperti yang dijangkakan,walaupun jalan menuju ke rumah beliau hanya perlu melalui beberapa simpang jalan,tetapi memang agak sukar bagi yang pertama kali memasuki ke kawasan tersebut.Mujur kami diiringi oleh tuan rumah.

Sampai di rumah beliau,beliau terus menyambut kami sekeluarga.Belum sempat saya bersalaman dengan beliau,anak-anak saya telah didokongnya untuk keluar dari kereta seorang demi seorang.Mendapat sambutan sebegitu,saya terus bertanya kepada anak-anak,"Cakap apa dengan uncle?".Seorang demi seorang anak saya mengucapkan "Gong Xi Fa Chai", dengan style masing-masing.Tergelak kenalan saya itu melihat keletah anak-anak saya.

Kami telah dipersilakan untuk masuk ke rumah.Walau agak janggal kerana saya sendiri sebenarnya agak jarang memasuki rumah orang berbangsa Cina,saya terus masuk ke dalam.Kami terus sahaja dipersilakan untuk duduk di ruang makan rumah mereka yang berada di dapur.Apa lagi,bukan main sukalah anak-anak saya.

Duduk sahaja,kami dihidangkan dengan air dan makanan ringan.Tidak lupa juga limau mandarin yang memang menjadi tradisi.Kata beliau,isterinya akan tiba sebentar lagi kerana ketika kami sampai isterinya dalam perjalanan pulang dari rumah saudara mereka di Seremban.

Sedang leka menjamu selera dengan pelbagai makanan yang tidak henti-henti dijamu kepada kami,isteri beliau pun tiba dengan beberapa ramai saudara maranya.Walaupun sibuk melayan saudara mereka,isteri beliau masih lagi mesra melayan kami walaupun sebenarnya kami baru pertama kali bersua muka.

Saya kira mereka sekeluarga adalah orang yang baik-baik belaka.Masakan tidak,sebelum kami balik kami dibekalkan dengan beberapa juadah yang dihidangkan kepada kami.Mungkin untuk meraikan anak-anak kami.Yang nyata bukan sedikit kandungannya.Tidak lupa juga sampul merah (ang pow) yang diberikan kepada anak-anak kami.Bertambah gembiralah mereka.Tidak lupa juga,seperti ketika menyambut kami datang,ketika kami hendak balik,anak-anak saya didokong seorang demi seorang untuk masuk ke dalam kereta.Anak-anak saya juga nampak mesra dan selesa dengan layanan tuan rumah.

Sebelum berpisah,beliau sekali lagi menjemput kami datang lagi ke rumahnya pada Perayaan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan.Melihat kegembiraan di muka beliau seisi keluarga,pastinya menjadikan saya ingin lagi berkunjung untuk beramah mesra lagi dengan keluarga mereka pada masa akan datang.

Mengenang kebaikan mereka sekeluarga terhadap kami terutama layan baik mereka kepada tetamu,tentu meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri saya.Sebenarnya memang ada individu yang sebegitu di dalam kehidupan kita.Maksudnya,walaupun mereka belum lagi mendapat hidayah untuk beriman kepada Allah SWT,tetapi budi pekertiti mereka cukup sopan dan mulia.

Mengenang layanan baik dari mereka,sebelum kami balik,saya sempat membuka cerita yang anak saya yang sulung sedang bersekolah di sekolah aliran agama kepada beliau.Beliau juga ada bertanya apa beza sekolah aliran biasa dengan sekolah aliran agama.Saya menceritakan sedikit,yang sekolah aliran agama juga menggunakan silibus sekolah aliran biasa,cuma ditambah beberapa matapelajaran agama yang tidaklah berat isi kandungannya.Moga mukadimmah yang sedikit itu dapat memberikan sedikit ruang kepada saya untuk menceritakan indahnya Islam itu kepada mereka sekeluarga pada kemudian hari.

Mohon doa semua.

Wak,
TDI.

Tuesday, January 10, 2012

:: Pelajar Cemerlang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

.....keratan akhbar 2 Julai 1996 (The Star)
ianya kenangan selepas menjuarai salah satu pertandingan kriket.

Banyak-banyak sukan setakat yang saya tahu hanya kriket mempunyai anugerah Best All Rounder.Ia bermaksud pemain tersebut bagus di semua sudut,selaku pemadang(fielding),pemukul (batting) mahupun pembaling (bowling).

Dalam kehidupan,Best All Rounder amatlah jarang kita ketemui.Individu seperti ini boleh menjadi Imam Solat,Tukang Masak,Ketua Mesyuarat dan lain lain.Ianya walaupun jarang ditemui tapi bakatnya boleh diasah.

Didiklah anak untuk mencintai masjid seawal mungkin.
Mengajak anak ke masjid adalah tanggungjawab ibubapa
bukan tanggungjawab orang lain.
Marilah memulakan sebuah negara Islam bermula dari dalam rumahtangga kita.

Didiklah diri dan anak-anak serta orang di sekeliling kita untuk berpersatuan,terutamanya yang melibatkan diri untuk kebaikan masyarakat umum.Bila sudah berkumpul ramai,solat lah berjemaah,masaklah secara gotong royong,bermuafakatlah dengan bermesyuarat.Kita dihantar ke dunia untuk menjadi khalifah…

p/s : menuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad.moga menjadi pelajar yang cemerlang!

Wak,
TDI.

Friday, January 6, 2012

:: Red Alert ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya dilahirkan pada 15 Februari 1979.Kata arwah emak saya,disebabkan saiz saya yang agak besar ketika di dalam kandungan dan emak tumpah darah sebelum melahirkan saya,maka ketika sarat mengandung itu emak telah dibawa ke hospital untuk proses bersalin.Akhirnya saya dilahirkan melalui 'tingkap'.Ia kes yang amat jarang di zaman era 70-an di mana kebanyakkan ibu mengandung ketika itu hanya dibidankan oleh bidan kampung ketika hendak bersalin.Bidan kampung pula kebanyakkannya adalah nenek-nenek yang memperolehi ilmu kebidanan turun temurun dari ibu/saudara terdekat mereka.

Dipendekkan cerita,seawal umur 1 hari saya sudah berada di dunia hospital.

.....jom cerita tentang dunia tersebut.

Cerita sebelum 2012.

Cerita 1.

Saya ada seorang kawan yang sudah lebih 7 tahun mendirikan rumah tangga tetapi masih belum dikurniakan zuriat.Akhirnya tahun 2010 rezeki Allah turun kepada mereka.Rezeki yang mereka tunggu-tunggu dan harap-harapkan selama ini.

Isteri kepada kawan saya tersebut disahkan mengandung.Kesyukuran dan kegembiraan mereka sudah tentulah berganda-ganda melebihi pasangan yang mengandung selepas sahaja beberapa bulan bernikah.

Namun kegembiraan mereka terhenti seketika (sebenarnya mereka melalui trauma yang panjang selepas itu).Selepas beberapa kali menjalani rutin pemeriksaan di sebuah klinik kerajaan,seorang doktor yang membuat pemeriksaan kepada isteri kawan saya itu mengesahkan yang bayi di dalam kandungannya tidak mempunyai sebelah kaki.Ia berdasarkan dari keputusan ultra-sound scan.

Mendengar berita yang sebegitu membuatkan si ibu amat sedih.Emosinya terganggu.Bukan dia sahaja,emosi si suami turut sama terganggu.

Diringkaskan cerita,mereka redha dengan ketetapan Illahi.Akhirnya si ibu melahirkan anak melalui pembedahan.Ketika jururawat membawa bayi yang telah dilahirkan kepada ibunya,perkara pertama si ibu itu lakukan adalah memastikan keadaan fizikal anaknya terutama sekali keadaan kaki anaknya.Terngiang-ngiang lagi pesanan ibunya supaya memeriksa keadaan fizikal anaknya kelak selepas dia bersalin.Dalam keadaan yang masih lemah akibat kesan pembedahan,akhirnya kekuatan dan kegembiraan muncul setelah si ibu mendapati kedua-dua kaki anaknya berkeadaan sempurna sepertimana bayi-bayi yang lain.

Soalannya,adakah keputusan ultra-sound scan itu memang benar? Ataupun alat scan itu sendiri bermasalah?

Keraguan juga boleh dipertikaikan tentang cara doktor itu membuat rumusan.Mungkin doktor tersebut masih lagi baru dan masih lagi tidak mempunyai pengalaman yang cukup luas.Wallahua`alam.

Namun yang paling mengecewakan adalah cara penyampaian keputusan itu amat-amat mendukacitakan (ia pendapat peribadi saya).Adakah menjadi satu etika seorang doktor untuk terus sahaja mengkhabarkan berita sedemikian kepada patientnya tanpa perlu berlapik? Perlukah? Atau ada cara lain?

...itu cerita dari mulut orang.

Berikut ini adalah pengalaman saya sendiri.

Cerita 2.

Ketika arwah emak saya di rawat di HKL,doktor yang bertugas memeriksa para pesakit di dalam wad telah menerangkan status kesihatan emak saya di dalam wad berkenaan sedangkan emak saya sedang berbaring di atas katil.Doktor itu menerangkan yang harapan untuk emak saya terus hidup amat tipis.Saya hanya diam berteleku mendengar penerangan doktor tersebut.Yang saya perasan ada beberapa pasang mata yang telah menitiskan air mata.

Selepas doktor itu berlalu pergi,datang salah seorang sepupu saya menyapa saya.Dia memberitahu tidak sepatutnya etika seorang doktor menyampaikan status pesakit di hadapan pesakit.Itu melanggar etika namanya.Sejak dari itu baru saya sedar apa etikanya seorang doktor di hadapan pesakit.

Soalannya,adakah doktor tersebut tidak peka dengan etika yang sepatutnya beliau patuhi ataupun ada sebab-sebab lain? Jika beliau melanggarnya,ia sudah tentu suatu kesalahan yang amat berat.

...kita pergi sedikit kebelakang.

Ini kisah lain pula.

Cerita 3.

Beberapa tahun lepas saya dijangkiti demam cacar.Sesiapa yang pernah mengalami demam cacar,pasti berpengalaman dan dapat menggambarkan bagaimana demam kuat yang menyerang sebelum tanda-tanda cacar itu timbul di permukaan kulit.Ia sungguh melemahkan tenaga dalam badan kita.

Melihat tanda-tanda telah mula timbul di permukaan kulit,saya telah pergi ke klinik kerajaan tidak jauh dari rumah saya.Setelah memeriksa keadaan saya,pegawai perubatan berkenaan telah memberikan saya 2 hari cuti sakit.Saya bertanyakan mengapa hanya 2 hari sahaja saya layak menerima cuti sakit,memandangkan penyakit cacar agak mustahil untuk sembuh dalam masa 2 hari.Jawab beliau itu prosedur.Untuk mendapatkan sijil cuti sakit lagi,saya perlu datang semula ke klinik selepas 2 hari dan pemeriksaan akan dibuat sekali lagi.Tapi pegawai berkenaan mengatakan,buat ketika itu klinik berkenaan kehabisan sijil cuti sakit dan sekiranya saya perlukan cuti sakit,saya perlu pergi ke klinik kerajaan lain.

Persoalannya,bolehkah sijil cuti sakit kehabisan stok? Bagaimana prosedur pengawalannya?

Tiadakah prosedur lain sekiranya memang terdapat kes sijil cuti sakit kehabisan? Apakah pegawai perubatan sanggup melihat pesakit yang sedang kesakitan pergi ke sana dan ke mari membawa wabak cacar merata-rata semata-mata hanya untuk mendapatkan sijil cuti sakit?

Saya pun tidak pasti apakah etika yang dipakai oleh pegawai perubatan berkenaan.

...cukup sekadar itu dahulu.

Cerita selepas 2012.

Kisah 1.

Kenalan saya seorang tentera berpangkat Kapten baru-baru ini diserang sakit belakang yang teramat.Setelah menjalani beberapa pemeriksaan di hospital,didapati ada saraf yang mengalami tekanan di bahagian vertebra yang menyebabkan belakang pinggangnya merasai sakit yang teramat.Akhirnya doktor memberitahu pembedahan perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk.

Setelah menjalani pembedahan dan beberapi sessi terapi fisio (physio-therapy), alhamdulillah beliau kini sudah boleh berjalan walaupun dengan bantuan tongkat.Apa yang jelas,kata beliau,HKL adalah antara hospital yang terbaik yang boleh menangani masalah saraf tulang belakang.Peralatan,perubatan malah doktor-doktor pakarnya juga cukup lengkap.

...itu komen seorang Kapten.

Bagi saya,memang tidak dinafikan yang HKL memang canggih dengan peralatan dan kepakaran.Ia patut dibanggakan.

Kita baca pula komen seorang lagi kenalan saya,bekas pelajar Sekolah Alam Shah (SAS KL).

Kisah 2.

...dari status FB beliau :

sedikit perkongsian maklumat.tadi hantar anak ke klinik kerajaan.2pm, lengang, takde orang, staff pun tak nampak (bukan ini isunya ya).2.15pm sorang staff nurse keluar, "eh, dah lama tggu?" saya senyum je. dipendekkan cerita, rutin temujanji pun dilakukan... sambil tu staff nurse kata, "awak tau tak, kalau tempat cina, jangan mimpi la klinik lengang mcm ni, diorang akan gunakan kemudahan sepenuhnya, walaupun cuma budak-budak luka jatuh main buai"... "klinik ni bukan untuk org sakit je, org sihat la patut datang, supaya jgn sakit", sambung beliau.

moral cerita, kita jarang-jarang sekali menggunakan kemudahan yg disediakan, walaupun bayaran cuma RM1. dapat periksa kesihatan, rawatan, bekalan ubat, vitamin, bla3. kenapa ye, kita lebih suka pegi swasta yg byrn RM20 minima, kalau cabut gigi lagi la.. RM40 sebatang. padahal di klinik kerajaan RM1 sebatang.Itu belum bawak surat sekolah.. freee je..

Pendapat saya dari cerita di atas,pihak klinik kerajaan memang sangat-sangat hendak membantu penduduk di sekitarnya tetapi sebaliknya penduduk sekitar pula tidak mahu menggunakan kemudahan yang ada.

Ini pula cerita (baca : pengalaman manis) dari saya.

Kisah 3.

Siapa yang pernah mengikuti entry blog saya pasti pernah membaca entry ini (klik sini)

Kesimpulan :

Entry kali ini bukanlah untuk memburukkan mahupun mengampu sistem yang ada di dalam perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).Ia adalah fakta dan lebih kepada memberi kesedaran umum agar membetulkan persepsi kita terhadap sistem tersebut.Janganlah menyangka khidmat kerajaan yang pernah kita terima adakalanya amat mendukacitakan lalu kita merendah-rendahkan keseluruhan khidmat kerajaan yang lain pula.

Di lain sudut,pihak KKM harus meneliti kes-kes yang kadangkala mungkin mereka labelkannya sebagai terpencil tetapi tidak sebenarnya.Kita pula sebagai pengguna menganggap yang pihak KKM langsung tidak mengambil peduli komen mereka ataupun pihak KKM seperti tidak mengetahui perkara tersebut berlaku dan akhirnya ia terus berulang berlaku.

Meraka (baca : pihak KKM) sepatutnya menambahbaik sistem yang ada.

Sedikit perkongsian ilmu :

Mengikut Heinrich`s Law (sila rujuk En Wiki untuk keterangan lanjut) :

"that in a workplace, for every accident that causes a major injury, there are 29 accidents that cause minor injuries and 300 accidents that cause no injuries."

Dengan erti kata lain,jika ada 1 kes yang diadukan di KKM merupakan kes yang serius dan pihak KKM mengambil tindakan,terdapat 29 kes lain yang medium dan terdapat 300 kes lagi yang dikategorikan terpencil.Jika 1,000 kes yang diadukan merupakan kes yang serius bermakna terdapat 29,000 kes medium dan terdapat 300,000 ribu kes terpencil.Adakah data seperti ini tidak mahu di ambil kira oleh KKM?

Dan bagaimanakah pihak KKM meletakkan situasi bila ditahap 29 dan 300?

Akhirnya,

Ambillah iktibar cerita dari sebuah hospital swasta yang berikut ini.

Saya telah menghantar 1 email tentang ketidakpuashatian sistem penggiliran nombor di dalam hospital berkenaan pada kali terakhir saya membuat temujanji di hospital tersebut.Pada temujanji berikutnya saya dapati sistem penggiliran nombornya telah di naik tarafkan diperingkat memuaskan hati saya.Tidak perlulah saya menunggu-nunggu angka giliran saya yang tidak kunjung tiba dengan hati yang panas lagi selepas ini.Padahal bil perubatan saya bukanlah mencecah puluhan ribu pun,hanya sekitar ratusan sahaja,tapi mereka mengambil kira respon pelanggan.Ini baru efisien (baca : cekap) namanya.

Ada kemungkinan juga,pihak hospital swasta berkenaan mengambil tindakan bukan kerana email saya,tetapi mengambil kira komen-komen yang datang dari email pengguna dan pelanggan mereka yang lain.Atau mungkin juga mereka mengambil tindakan terhadap apa yang saya komen disebabkan ada tekanan dari pihak yang lebih besar kerana saya cc kan email tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap customer sevice bagi kawasan Asia Tenggara (memang tangan saya agak 'gatal' dan hati sedikit bengkek ketika itu).

Wallahua`alam.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, January 5, 2012

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung - Bahagian 8 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari ini dalam sejarah.4 Januari 2012,anak saya yang kedua Abdul Hadi memulakan sessi persekolahannya di Pasti Al Haazim,Taman Desa Ixora.

Memandangkan saya telah mendaftarkannya terlebih dahulu pada tahun lepas (klik link),maka pada hari ini saya hanya menghantarnya sahaja ke sekolah sambil melihat-lihat keadaan sekitar sekolah yang sudah berubah wajah hampir 100% berbanding pada masa Abdul Aziz bersekolah di situ 2 tahun lepas.Ia satu peningkatan yang amat-amat membanggakan.

Biar gambar pula yang bercerita.

Di awal pagi sebelum ke PASTI.

Trio Do Re dan Mimi.
Do (Abdul Hadi) bersama Re (Abdul Halim) dan Mimi (Ain Sofiah).

Di hadapan pintu pagar PASTI AL HAAZIM.
(berlatar belakangkan bunting YB Paroi)

Do yang mesra alam.
Terus sahaja menjadikan PASTI seperti rumahnya sendiri.
Apa lagi,kalau bukan buku Ben10 (baca : BenSepuluh)

Antara ibu bapa yang turut sama mendaftarkan anak mereka.
Anak-anak inilah yang bakal mewarisi tampuk perjuangan Islam
di atas muka bumi Malaysia,InsyaAllah.

Ini pula cerita ketika saya menjemput Abdul Hadi pulang.

Orang lain biasanya hari pertama tidak mahu ditinggal di sekolah.
Abdul Hadi pula tidak mahu balik walaupun sudah tamat waktu persekolahan.
Ini semua disebabkan rakan-rakannya ramai yang transit
sehingga ke petang di PASTI berkenaan.

Sebagai upah hari pertama : Air kotak coklat Perempuan Belanda.

Tidak cukup dengan itu.
Main gelongsor dulu.
(walaupun ketika ini jam menunjukkan pukul 12:12 tengahari)

Tidak ketinggalan,aksi di atas padang adalah
aksi menendang tanpa bayang dan tanpa bola.
Khairul Fahmi pasti tidak mampu menepis tendangan itu.

Sekian.

Walaupun baru berusia semuda 6 tahun,pemilihan tempat dan jenis pendidikan juga amat penting.Kanak-kanak adalah seperti 'sponge',ia menyerap apa yang ada disekitarnya,samada ia sesuatu yang positif mahupun yang negatif.

Hanya satu tips dari saya,berdoalah dan teruskanlah berdoa walaupun hanya sekadar mahu menghantar anak pada hari pertama persekolahan.Allah SWT pasti dan pasti Maha Mendengar dan InsyaAllah urusan kita akan dipermudahkan.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat,InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Wednesday, January 4, 2012

:: 2011 vs 2012 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

...2010...2011...2012...

Sudah lama tidak menulis atas beberapa alasan,menyebabkan skil untuk memulakan tulisan kembali,menjadi sedikit hambar.Umpama pemain badminton yang berehat panjang,walaupun skil smash dan drop shot masih lagi istimewa,ada sesetengah langkah atau pukulan akan menjadi sedikit 'asing' dan sumbang.Ia suatu kenyataan.

Cuti hujung tahun.

22 hingga 27 Dis saya telah mengambil cuti tahun bersempena cuti yang bersambung 25 dan 26 Dis 2011.Sebahagian besar masanya saya peruntukkan untuk berada di kampung (Ayer Hitam,Muar dan Rengit,Batu Pahat).Keluangan masa yang ada memberikan kesempatan kepada saya menziarahi sanak-saudara.Bertemu dengan mereka,tentu sahaja banyak cerita yang dapat di dengar samada kisah semasa ataupun kisah yang berulang.Ia sedikit sebanyak merapatkan tali silaturrahim antara kami.

Maka input-input saya perolehi,saya akan kongsikan bersama.Moga-moga menjadi peringatan buat saya sendiri dan para pembaca sekalian.

Tong gas meletup?

Nenek (orang Johor panggil atok) saya tinggal berseorangan di rumahnya. Umurnya saya kira lebih tua sedikit dari bekas PM yang ke 4,TDM.Atok agak sekian lama sudah tidak mampu berdiri.Beliau bergerak hanya dengan mengesut perlahan-lahan.Mengapa tidak duduk dengan anak-anak? Jawapan yang bertukar ganti akan diberikan oleh atok saya.Antaranya takut rumahnya menjadi rumah semut,nanti bunga-bunganya mati kekeringan dan banyak lagi 'nanti-nanti' yang lain.Namun atok Besah (adik ipar kepada arwah atok lelaki saya) menjadi jirannya yang terdekat,sedikit sebanyak amat-amat membantunya.

Namun ada kisah yang diceritakan.

Bulan lepas,ada seorang lelaki yang datang ke rumah atok saya.Katanya untuk memeriksa nombor tong gas.Menurut lelaki tersebut,ada satu kes di Parit Sulong,seorang maut kerana tong gasnya meletup.Jadinya,lelaki tersebut menerangkan yang ia perlu naik ke atas rumah untuk memeriksa tong gas yang berada di dalam.

Atok saya walaupun sudah tua,pendengaran dan penglihatannya masih lagi jelas.Lebih jelas dari saya kerana beliau tidak memakai cermin mata.Pemikirannya juga masih lagi tajam.Lebih tajam dari saya.Beliau masih mampu menghujahkan cerita-cerita politik kepada saya.Antaranya,isu pilihanraya (PRU 13) yang bila-bila sahaja akan berlangsung.

Atas fakta di atas,sudah tentulah beliau tidak membenarkan lelaki asing itu naik ke rumahnya.Entah apa yang akan berlaku agaknya jika dibenarkan lelaki itu naik jua?

Namun lelaki itu tidak putus asa.Beberapa kali dia menyatakan ketegasan atas keperluan baginya untuk memeriksa tong gas milik atok saya.Akhirnya,atok saya mengatakan yang cucunya bila balik kerja petang nanti akan memeriksa sendiri keadaan tong gas berkenaan.Lelaki berkenaan mengalah dan berlalu pergi.

Kesimpulan : Atok sebenarnya menipu lelaki berkenaan.Namun skil 'menipu' begitu dibolehkan di dalam Islam.

Modus operandi.

Antara yang banyak menjadi sasaran SKIM orang CEPAT nak KAYA adalah golongan-golongan tua di kampung-kampung yang tinggal berseorangan.Waktu sasaran adalah di sebelah pagi di mana kebanyakkan orang sibuk di tempat kerja.

Golongan seperti mereka ini memang cekap membuat homework dan kajian selidik.

Ini cerita Atok Besah.

Ada seorang lelaki datang ke rumahnya di suatu pagi.Anak beliau sedang bekerja di bandar Muar.Lelaki berkenaan katanya datang ingin menyerahkan sesuatu.

Selepas beberapa kali lelaki tersebut memberi salam tanpa berjawab,lelaki itu terus bersuara,"Tak baik tau makcik beri salam tapi tak di jawab."

Atok Besah masih lagi mematikan dirinya di dalam rumah.

Dalam pada itu,lelaki berkenaan 2,3 kali berpusing di kawasan rumah Atok Besah seperti mencari-cari sesuatu.Selepas beberapa ketika,lelaki berkenaan bersuara lagi."Makcik jangan risau,saya datang berdua.Kawan saya seorang lagi ni perempuan.Ada kat depan tu."

Dengar sahaja datang berteman dan berdua,lagilah gusar perasaan Atok Besah.

Akhirnya lelaki itu kedengaran berdengus dan berlalu pergi setelah hilang sabar agaknya.Setelah agak lama,barulah Atok Besah menjenguk keluar.Walaupun bayang lelaki tersebut sudah tiada,tapi kulit-kulit rambutan yang seperti baru sahaja lepas dikopek bertaburan di hadapan pintu rumahnya.Agak hairan juga Atok Besah,sedangkan ketika itu adalah bulan Ramadhan.Masakan orang yang tidak berpuasa datang dengan niat yang baik ke rumahnya tadi.Itu telah Atok Besah.

Weekend Husband Wife.

Ia seperti sudah menjadi kebiasaan orang sekarang.Suami kerja berasingan dengan isteri.Malah suami juga duduk berasingan dek kerana tempat kerjanya terlalu jauh untuk membolehkan mereka suami isteri duduk sebumbung pada hari bekerja.Meraka hanya berjumpa pada hujung minggu.'Weekend Husband' kata orang-orang sekarang.

Oleh kerana isteri juga bekerja,anak-anak terpaksa di hantar ke rumah pengasuh.Maka anak-anak hanya berjumpa dengan ibu mereka pada sebelah malam sahaja.Itupun dengan jumlah jam yang amat terhad.Malah ibunya pula sudah tentu kepenatan kerana bekerja seharian.Di tambah pula dengan bebanan kerja dan tanggungjawab di rumah pula.

Begitu juga dengan masa anak bertemu dengan bapanya.Hanya pada hujung minggu.Itupun masa cukup terhad.

Masing-masing ada keperluan masing-masing.

Apakah nasib anak-anak seperti ini?
Adakah tiada alternatif yang membolehkan mereka suami isteri duduk sebumbung?
Atau,
Adakah perlu si isteri berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa?

Ia soalan yang terlalu subjektif tetapi perlu dipikirkan dan diberi perhatian oleh semua pihak.

Untuk nota :
Cuba tanya diri anda sendiri.Berapa ramai kenalan anda yang tergolong sebagai 'Weekend Husband'.Nanti anda akan tahu berapa peratuskah golongan ini.

Harus di ingat!!!
Sekiranya nasi sudah menjadi bubur,ia tidak mengapa.Ia masih boleh dimakan.
Jangan sampai nasi dah basi baru nak mengambil tindakan.

Khutbah Jumaat.

Johor dan beberapa negeri seperti Pahang dan Trengganu di landa banjir pada penghujung Disember 2011.Di Johor antara yang terjejas teruk adalah daerah Mersing dan Segamat.Daerah Muar,walaupun tidak di landa banjir,namun hari demi hari dilalui dengan hujan yang masih lagi berterusan ketika itu.

Khutbah Jumaat adalah satu masa di mana masyarakat lelaki datang ke masjid dan mendengar apa yang diperkatakan oleh khatib.Oleh itu,apakah tiada keperluan untuk memperkatan isu hujan,banjir,kesihatan dikala musim tengkujuh ini?

Saya bukanlah orang yang bijak agama,jauh sekali menjadi pakar dalam bidang tertentu.Tapi perasaan ingin tahu amat meninggi di dalam diri.Walaupun telah acap kali dilanda banjir,musim hujan lebat,musim tengkujuh,tidak salah kiranya jika perihal itu dibicarakan di dalam khutbah masjid.Ini perlu diambil kira,kerana hujung tahun adalah musim cuti sekolah dan juga musim kenduri perkhawinan.Kita tidak mahu nanti,dek kerana musim hujan,tuan tumah menyumpah seranah hujan yang juga nikmat pemberian Allah.

"Alah,asyik hujan aje ni." Ia bisa terhambur dari mulut sesiapa pun.Walaupun kita tidak pasti apakah yang terbuku di dalam hati si penyebut,tapi kita mungkin boleh beranggapan yang si penyebut seolah-olah tidak akur dengan ketentuan Allah.Ia mungkin spontan.Manakan tidak,belanja kenduri perkhawinan zaman sekarang bukan calang-calang RMnya.Kalau hujan turun mencurah-curah,bagaimana tetamu yang dijemput hendak datang.Maka bagaimana pula 'salam kaut' dapat dilakukan.

Namun jika khutbah Jumaat memperkatakan tentang qada dan qadar,nikmat pemberian Allah di dalam musim hujan,tentu sahaja masyarakat akan menjadi celik maklumat (IT) walaupun sudah berusia emas.

Bukankah elok begitu?

Tahun Baru.

Hari Tahun Baru (pertukaran tahun masehi),adalah hari-hari biasa jika sekiranya bukan cuti umum.Malah di Johor,cuti Tahun Baru tidak digazetkan sebagai cuti umum.Tetapi sekadar menjadikan Tahun Baru sebagai lonjakan untuk berubah,ia sesuatu yang positif.Dalam bahasa Inggeris lonjakan tersebut dipanggil IMPROVEMENT,dalam bahasa Jepun ia disebut KAIZEN.Sebagai orang Islam ia disebut sebagai HIJRAH.

Ada seorang kawan saya bertanya,"Dalam bahasa Jawa apa pula?”

Jawapan saya mudah,"Jika si Jawa itu ISLAM,ia masih disebut HIJRAH."

Bersempena dengan itu,saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Tahun Baru 2012M."
Semoga tahun yang mendatang ini menjadikan pendorong bagi kita berubah menjadi yang lebih baik.Terutamanya dalam berkhidmat kepada ummah.

Jangan lupa juga,bertukarnya tahun,maka semakin dekatlah kita dengan saat kematian kita.
Wallahua`alam.

Wak,
TDI.