Friday, June 15, 2012

:: Mengharap turunnya hujan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kisah mereka.

Untuk mendidik dan membiasakan anak sulong saya-Abdul Aziz,agar menjadi pemimpin kepada adik-adiknya,kebanyakan tugas pembahagian saya serahkan kepadanya.Contohnya apabila saya membeli buah tangan,bila saya sampai di rumah,buah tangan itu saya akan serahkan kepada Abdul Aziz.Lalu apabila menerima sejumlah buah tangan itu,Abdul Aziz akan mula membahagi-bahagikan kepada adik-adiknya.

Biasalah,pasti ketika proses pembahagian,ada sahaja adik-adiknya yang tidak puas hati.Manakan tidak,ada yang mendapat gula-gula ungu sedangkan gula-gula merah yang diinginkannya dan sebaliknya.Untuk membeli gula-gula/buah tangan lain yang sama warna kesemuanya juga mustahil,anak saya mempunyai minat yang berbeza setiap kali saya membelikan mereka buah tangan.Kesudahannya ada yang memuncungkan mulut lalu Abdul Azizlah yang menjadi mangsa keadaan,mereka berpakat untuk 'tidak kawan' dengan Abdul Aziz.

Melihat keadaan itu,saya turun dari kerusi tempat biasanya saya berehat.Saya tanyakan kepada mereka,'Siapa yang beri rezeki?' Anak-anak saya yang sudah faham dengan soalan saya itu akan ramai-ramai menjawab, "Allah." Saya tersenyum mendengar jawapan mereka.Biasanya tidak lama kemudian,masing-masing akan mula menikmati buah tangan milik masing-masing walaupun mereka tidak dapat apa yang mereka hajati.Malah kadang-kadang ada salah seorang dari mereka menjadi pemula idea dengan mengajak untuk bertukar-tukar.Dapatlah mereka masing-masing merasa kesemuanya walaupun sedikit-sharing is caring.

Hujan yang turun membasahi bumi
adalah rezeki pemberian Allah.
Manusia mendapat Rahmat,tumbuhan mendapat sumber minuman
malah si katak menyanyi kegirangan.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"


Kisah saya.

Beberapa hari ini,panas yang agak terik melanda Senawang.Malah panas disiang hari membawa bahangnya hingga ke malam.Sehinggakan dinding rumah juga masih berbahang panas walaupun jam sudah menunjukkan jam 12 tengah malam.Bukan sekadar itu,apabila membuka pili air di waktu subuh,air dari tangki simpanan masih lagi suam.Agaknya ketika matahari rembang di tengahari,bagaimanakah kadar panasnya air di tangki itu.

Walaupun duduk di dalam pejabat yang berhawa dingin,namun bila turun ke bahagian pengeluaran,bahang panas disiang hari itu terasa juga.Lalu,badan akan cepat menjadi letih dek kerana air dalam badan terlalu cepat menyejat.

Semalam keletihan yang melanda badan agak terasa.Terasa terseksa menunggu jam 6 petang-waktu kerja tamat.Saya merancang untuk pergi ke Pasar Malam Taman Tasik Jaya mencari sekiranya ada sebarang makanan/minuman yang boleh dijadikan penyegar badan.

Sementara menunggu jam 6 petang,saya berehat sebentar di dalam surau dek kerana terlalu letih.Itu pun terlalu lama rasanya menunggu 10 minit itu berlalu.Jam 6 petang ketika saya keluar dari surau,panas terik masih menembak bumi.Mustahil dalam suasana panas yang masih bersisa ini saya dapat mengagahkan diri untuk menapak ketika berada di Pasar Malam.

Tunggu punya tunggu,jam sudah menunjukkan 6 setengah petang.Akhirnya saya tangguhkan rancangan saya untuk ke Pasar Malam.Lalu saya meneruskan membuat kerja sehingga jam 7 petang.

Tiba-tiba telefon saya berbunyi.Ia panggilan dari kerani saya.Katanya lauk yang dibeli di kantin tertinggal di pantry kilang dan dia menghadiahkannya kepada saya.Alhamdulillah.Sekiranya saya sudah berada di Pasar Malam,sudah tentu saya tidak akan berpatah balik untuk mengambil lauk yang tertinggal itu.Dan sudah tentu lagi jika sudah ke Pasar Malam,pasti beberapa keping duit kertas ini akan bertukar tangan dengan peniaga di sana.

Kerana terlalu gembira dengan rezeki yang tidak terduga itu,saya batalkan terus niat saya untuk ke Pasar Malam.Kerana apa? -Rezeki yang tidak di duga pun dapat,malah duit di dalam dompet pula langsung tidak berluak.

Sesungguhnya perjalanan hidup kita ini DIA lah yang lebih Mengetahui.
...dan rezeki itu Allah lah yang Memberi,kita tiada kuasa langsung untuk menentukannya.

Moga perkongsian dapat memberi munafaat.

Wak,
TDI.

Monday, June 11, 2012

:: Menanam pokok jambu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Cuti sekolah bukan sahaja sinonim untuk budak sekolah,kini cuti sekolah sinonim untuk semua golongan.Yang paling saya suka,bila cuti sekolah,jalanraya menjadi tidak sibuk terutama ketika waktu puncak.Ia sungguh menyamankan.Mungkin juga menyamankan semua golongan di luar sana.

Cuti sekolah baru sahaja selesai.

Dulu zaman saya bersekolah,bila tiba cuti sekolah,pagi-pagi sebelum azan subuh saya sudah berada di atas motor abah menuju ke Parit Yaakop di Bt 17.Tidak lain,saya akan membantu abah di kebun getah (mengutip getah beku).Itulah rutin harian cuti sekolah saya.

Di zaman anak saya bersekolah,cuti sekolah mereka tidak perlu diisi dengan aktiviti bertepuk tampar dengan nyamuk yang banyak di dalam kebun getah.Malah mereka juga tidak perlu bergelumang dengan tanah,selut dan semak samun.Dan lagi,mereka tidak perlu risau dengan bau getah beku yang melekat di badan.

Namun,

Walaupun begitu,saya tetap membiasakan mereka dengan aktiviti yang melibatkan fizikal sebagai rutin mereka ketika cuti sekolah ini.Biar mereka biasa duduk di atas tanah bukannya terawang-awang di atas angin.

Berpiknik di belakang rumah.
Tidak semestinya di Taman Tema sahaja boleh berhibur,
di Taman Belakang Rumah juga tidak kurang hebatnya :)

Bak kata Ustaz Hasrizal @ JAMBU ,
"Biar anak kita lasak bermain lecak,bergelumang dengan peluh,memanjat itu dan memanjat ini,moga-moga mereka menjadi BUAH JAMBU yang berkhasiat bukannya menjadi BUDAK JAMBU-merbahaya."

Wak,
TDI.

Saturday, June 9, 2012

:: Memburu buruan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Memburu adalah suatu aktiviti yang mencabar dan lasak.Ia aktiviti yang melibatkan fizikal dan mental.Pemburu harus sabar ketika memburu buruan.Walaupun bergelar pemburu,namun ada masanya pemburu tidak mendapat sebarang hasil buruan.Walaupun pemburu berobjektifkan dan bermatlamatkan hasil buruan,namun masih ada beberapa faktor yang amat menarik untuk dibincangkan disebalik perkataan PEMBURU hasil bumi ini.

Saya pernah terbaca,sesetengah kaum adalah pakar pemburu bagi sesuatu hasil buruan.Contohnya orang Jepun adalah pakar memburu ikan di lautan.Ada pula kaum yang pakar memburu buaya,contohnya penduduk pribumi di persisiran sungai di Sabah dan Sarawak.Ada juga kaum di pendalaman yang pakar memburu binatang.Apapun,ia melibatkan dan memerlukan skil dan pengalaman yang cukup unik.

...yang uniknya lagi.

Saya pernah terbaca yang sebenarnya tumbuhan juga pakar memburu.Jika manusia memburu rusa,pelanduk,napuh,kijang ataupun ayam hutan,lalu tumbuhan memburu apa?

Pemburu yang unik.

Pokok pisang dan pokok cili padi.
Ia antara tumbuhan yang hidup di kebun di belakang rumah saya.

Lihat sahaja kejadian pokok pisang dan pokok cili.Ia juga hidup di atas muka bumi seperti manusia.Ia juga bernafas.Pokok-pokok ini juga perlu makan dan minum untuk proses tumbesaran.

Namun,dalam kejadian pokok pisang dan pokok cili,Allah menganugerahkan kepadanya akar sebagai alat untuk memburu hasil bumi.Melalui akar inilah segala nutrien dan zat diburu di dalam tanah.Antara pokok-pokok ini mereka bersaing untuk mendapatkan hasil buruan.Hasil buruan tadi itulah yang menjadi sumber makanan tumbuhan tersebut.

...lalu,

Untuk difikirkan oleh manusia yang melihat dan berakal :

1.Bagaimanakah akar pokok pisang dan pokok cili memburu di dalam tanah?

2.Walaupun benda yang diburu adalah sama (nutrien,zat,air...),bagaimana pula pokok pisang mengeluarkan hasilnya adalah buah pisang manakala pokok cili mengeluarkan hasilnya adalah buah cili.

3.Walaupun berada bersebelahan,mengapa buah pisang berasa manis manakala buah cili berasa pedas?

Moga perkongsian memberikan munafaat.

Wak,
TDI.

Friday, June 8, 2012

:: AYAM KAMPUNG::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kaki ayam.
Kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.
Macam ayam patuk jagung.
Bagai ayam jantan,berkokok berderai-derai,ekor terpalit tahi sendiri.
Cakar ayam.
Tidur-tidur ayam.
Bapak ayam.
Ibu ayam.

Di atas adalah antara contoh perumpamaan melayu yang menjadikan kejadian dan perlakuan ayam sebagai bidalan/perumpamaan.Namun dari segi maksud sebenar,ada setengah bidalan/perumpamaan itu menggambarkan sesuatu yang negatif .

Contohnya,

i.'Cakar ayam' yang dikaitkan dengan tulisan tangan yang comot.
ii.Begitu juga dengan 'bapak/ibu ayam' yang biasa dirujuk kepada towkey pelacur.
iii.Malah 'macam ayam patut jagung' pula dikaitkan dengan orang yang solat terlalu laju (tonggang-tonggek perbuatan dan gerak-geri dalam solatnya)

Lalu,betulkah ayam itu hanya sesuai untuk bidalan/perumpamaan yang menggambarkan sifat negatif?

....saya tak pasti.

Tapi kewujudan ayam-ayam yang ada di rumah saya cukup banyak memberi hikmah kepada saya.

Ayam jantan saya ini baka dari Hulu Langat.
Setiap kali ada ibu ayam yang ingin bertelur,
si Jaguh ini pasti akan mencarikan tempat bertelur untuk pasangannya.
Jika tidak sesuai pada tempat yang sudah ditemui,pasti ia akan mencarikan
yang lain sehinggalah ibu ayam itu selesa untuk bertelur.

Apapun,kejadian ayam bahkan kejadian makhluk yang lain juga pasti ada nilai yang tertentu. 

Harapnya selepas ini walaupun sudah ada peribahasa "Rambut sama hitam,hati lain-lain" tetapi biarlah juga ada peribahasa "Biar hati lain-lain,Iman sama kental"-mungkin sekental daging ayam kampung (walaupun bukan perumpamaan yang tepat).

Wak,
TDI.

Wednesday, June 6, 2012

:: Hikmah dari pokok pisang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Beberapa hari yang lepas saya ada berborak dengan isteri di ruang dapur.Sambil berborak pelbagai isu dan tajuk,isteri saya ada menyebut katanya,

"Kata seorang ustazah,pokok pisang yang normal ni takkan mati selagi dia tidak berbuah.Matinya pokok pisang pula akan meninggalkan anak."

Pokok pisang,walaupun tidaklah segah pokok kelapa,
tetapi selain dari buahnya boleh dimakan,daunnya tetap berguna untuk
membalut kuih muih dan nasi lemak,
jantungnya boleh dibuat kerabu,batangnya boleh dibuat rakit,
bahkan matinya ibu pisang meninggalkan anak yang banyak.

Mendengar sahaja ayat itu,saya terus sahaja teringat pokok pisang tanduk yang saya tanam di hadapan rumah saya.Patutlah setelah sekian lama,walaupun pertumbuhannya bantut (dek kerana tanahnya yang keras dan kurang berbaja), pokok pisang tanduk itu tetap masih hidup sehingga ke hari ini.

Namun lain ceritanya pokok pisang yang ada di belakang rumah saya.Ada 3 pokok semuanya tetapi berlainan jenis (pisang nipah,tanduk dan berangan) dan Alhamdulillah,semuanya hidup subur.Tetapi saya yakin,pisang tetap dengan sifat kepisangannya,tidak akan mati selagi tidak berbuah dan matinya akan meninggalkan anak.

Bagaimana dengan kita manusia?

Adakah kita tetap dengan sifat kemanusiaan kita yang fitrah?
Adakah kita akan bersedia untuk mati?
Adakah kita sudah menunaikan segala tanggungjawab kita?
Apa tinggalan kita sesudah mati di atas dunia?

Pepatah dahulu mengatakan,

"Harimau mata meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama."

...saya edit sedikit,

"Manusia mati sebenarnya meninggalkan semua."

Moga perkongsian memberikan munafaat.

Wak,
TDI.

Monday, June 4, 2012

:: Aktiviti cuti sekolah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Tidak ingat di mana dan dari siapa,tetapi saya pernah mendengar tentang saranan supaya kita memperbanyakkan menanam tumbuhan kerana tumbuhan itu bertasbih kepada Allah SWT.Moga-moga dengan keberkatan tasbih dari tumbuhan yang kita tanam itu,tempias manfaatnya dapat kita kecapi bersama.

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” (QS. Al -Isra’: 44)"

Menggalak anak mencintai bumi hijau.
Moga generasi akan datang dan seterusnya
menjiwai sepenuhnya bahawa hidup ini
bukan hanya dunia dan kekayaan semata.

Moga perkongsian memberikan manfaat.

Wak,
TDI.