Monday, June 27, 2011

:: Travelog Anak Kampung-6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Intro.

1994 adalah tahun saya mengambil peperiksaan PMR.Saya adalah batch kedua selepas sistem peperiksaan tingkatan 3 ditukar dari Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ke Penilaian Menegah Rendah (PMR) pada tahun 1993.

Sebagai sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pastinya prestasi keputusan peperiksaan adalah amat dititik beratkan.

Ustaz baru.

Setiap tahun pertukaran guru yang mengajar dalam matapelajaran tertentu memang tidak dapat dielakkan.Ia samada memberikan kesan positif mahupun sebaliknya.

Ustaz Lukman Mamat adalah ustaz yang baru bagi kelas kami (3 Usaha) pada tahun itu.Beliau yang berasal dari Trengganu baru sahaja berpindah ke sekolah kami dari sebuah sekolah harian di Johor.

Sewaktu berbual dengan beliau pada suatu hari setelah tamat kelas agama di surau asrama,beliau mengatakan sekolah yang diajarnya sebelum itu adalah sekolah yang agak pendalaman.Anak murid sekolah tersebut perlu dicari dan dipanggil terlebih dahulu sebelum kelas ingin dimulakan.Itupun sekiranya dicari ada di antara mereka yang masih leka bermandi-manda di tali air.

Sebenarnya kelas kami sering sahaja bertukar ustaz/ustazah untuk matapelajaran agama sejak dari tingkatan 1 lagi.Ketika berada di tingkatan 1 Usaha Ustazah Hjh Norhalizah mengajar kami matapelajaran agama manakala ketika di tingkatan 2 Usaha Ustaz Hj Rosli pula yang mengajar kami.Kedua-dua guru berkenaan adalah juga warden asrama.Selain dari mereka mengajar kami di kelas,mereka juga menjaga kebajikan kami ketika di asrama.Jadinya sebagai warden dan guru,mereka ini amat masak dengan perangai-perangai anak muridnya kerana boleh dikatakan sebahagian besar masa mereka adalah bersama kami.

Begitu juga dengan Ustaz Lukman.Beliau juga terus menjadi warden asrama kami ketika mula-mula bertugas di SMSS.

Tegas.

Mungkin latarbelakang dan pengalaman mengajar sebelum-sebelum ini membuatkan Ustaz Lukman dianggap sedikit tegas oleh warga asrama sekolah.Sebenarnya banyak aktiviti baru yang diterapkan oleh Ustaz Lukman terutamanya aktiviti di dalam surau.Saya rasa aktiviti yang dilakukan itu itu serba sebanyak mengambil masa pelajar ketika di asrama dan secara langsung telah menyempitkan ruang untuk mereka bersantai.Mungkin dari situ mulanya kami telah melabelkan Ustaz Lukman sebagai seorang yang tegas.

Taklim.

Antara contoh aktiviti baru kami warga asrama ketika itu adalah mendengar majlis taklim setiap pagi sejurus sahaja selesai solat subuh berjemaah di surau.Walaupun tidak mengambil masa yang terlalu panjang,ia sebenarnya mengurangkan masa untuk pelajar tidur kembali selepas solat subuh sementara menunggu loceng dewan makan berbunyi untuk sarapan pagi.

Kuliah subuh.

Selain dari itu,kuliah subuh untuk pagi Sabtu dan Ahad pula semakin aktif memandangkan sudah ada 2 orang Ustaz yang menjadi warden,iaitu Ustaz Hj Rosli dan Ustaz Lukman sendiri.Mereka berdua bergilir-gilir menyampaikan kuliah subuh.Kalau dahulu sekiranya kelibat Ustaz Rosli tidak kelihatan di dalam surau ketika pagi Sabtu atau Ahad,bermakna tiada kuliah subuh hujung minggu.Ia bererti MERDEKA bagi kami.Dan masa senggang sementara menunggu aktiviti persatuan pada hari sabtu yang bermula sekitar pukul 8 akan diisi sepenuhnya oleh kebanyakkan dari kami dengan aktiviti menarik kembali selimut untuk menyelubungi badan.Begitu juga hari ahad,riadah pagi hanya akan bermula sekitar jam 7 setengah.Dengan jadual harian pada hari persekolahan yang begitu padat,tentu sekali peluang dapat tidur lebih diwaktu pagi jarang-jarang ditolak.

Tutup aurat.
Malah ketika itu juga sudah berkurangan melihat kelibat pelajar yang berkeliaran di dalam kawasan sekolah terutamanya ketika hari minggu tanpa menutup aurat.

Mengapa?

Ustaz Lukman memang saban masa berada di dalam kawasan sekolah/asrama walaupun pada hujung minggu.Kadangkala beliau rajin meronda kawasan sekolah pada waktu malam dihujung minggu.Tentu sekali sesiapa yang berkelakuan yang mencurigakan akan pasti didekati oleh beliau.Jika dalam soal siasat ringkas itu pelajar berkenaan gagal memberikan jawapan yang memuaskan,pasti akan mendapat hukuman kala itu juga,termasuk mereka yang dengan sengaja tidak menutup aurat,tentu sekali tidak dapat melarikan diri,walau apa jua alasan yang diberi.

Team ragbi.

Team Ragbi SMSS memang bukan calang-calang pasukan.Ia adalah pasukan ragbi yang bukan ampuh untuk dikalahkan.Tetapi dengan syarat yang telah diperketatkan,mereka terpaksa akur dengan nasihat Ustaz Lukman.Mereka tidak lagi boleh berjalan dari asrama untuk ke padang ragbi dengan berseluar pendek ragbi.

Konsert Hari Raya.

Malam hari terakhir sebelum semua pelajar pulang ke kampung untuk berhari raya adalah hari yang paling happening.Pelajar yang jauh (dari pantai timur dan utara) akan pulang pada malam itu dengan bas yang telah disediakan oleh pihak sekolah.Bakinya akan pulang pada keesokan paginya juga dengan cara yang sama.

Malam terakhir itu pula akan dimanfaatkan oleh baki pelajar yang tinggal dengan mengadakan mini-konsert di dataran mini di kawasan sekolah.Ia adalah salah satu aktiviti turun temurun.Ia suatu upacara/tradisi yang begitu meriah.

Begitu juga tahun berkenaan (1993),beberapa kelompok pelajar terus ingin mengekalkan tradisi berkenaan.Akhirnya belum sempat mini konsert itu panas enjinnya,mereka yang hadir telah bertempiaran lari ke seluruh kawasan sekolah kerana aktiviti mereka telah dapat dikesan oleh Ustaz Lukman.

Oleh kerana telah dikejar oleh Ustaz Lukman dan salah seorang dari pengawal sekolah,maka ada yang berlari dan menyorok dirimbunan pokok ubi dihujung kawasan sekolah.Ada yang sempat kembali ke kawasan asrama,terus sahaja ke bilik basuhan berpura-pura membasuh baju.Tak kurang juga yang menyerah diri.Tentu kala ini ada yang tersenyum mengenang aksi kejar mengejar itu,dimana ketika itu sambil dikejar sambil Ustaz Lukman melaungkan kalimah 'Allahuakbar!'.

Senarai nama.

Shahmizart Tumingan adalah ketua kelas kami (3 Usaha).Beliau dan ketua-ketua kelas (seluruh tingkatan) yang lain telah ditugaskan oleh Ustaz Lukman untuk menyenaraikan nama seluruh pelajar lelaki dan menyerahkannya kepada beliau,tidak tahu mengapa.

Suatu pagi yang damai,setelah kami selesai bersolat subuh dan mendengar taklim,Ustaz Lukman telah mengeluarkan beberapa helai kertas.Beliau telah memilih sehelai dari helaian-helaian kertas yang ada.Beliau mula membaca isi kertas berkenaan yang kebetulan merupakan senarai nama pelajar tingkatan 1.Nama yang dipanggil dikehendaki menjawab dan mengangkat tangan tanda mereka telah hadir solat subuh pada pagi itu.Alhamdulillah,tentu sekali pelajar tingkatan 1 mestilah ada kesemuanya di dalam surau,mereka memang wajib solat berjemaah.

Di suatu pagi yang lain tiba-tiba telinga salah seorang dari kami mendengar mirip-mirip nama pelajar 3 Usaha dipanggil oleh Ustaz Lukman di surau.Lantas dia mengejut kami semua bangun.Entah macamana hari itu kami 1 dorm (majoritinya pelajar 3 Usaha) tidak seorang pun terjaga untuk bangun solat subuh.Kami bergegas mencapai kain pelikat dan baju (itupun mana yang dapat tercapai sahaja).Seperti lipas kudung kami terus berlari ke dalam surau di tingkat bawah.Mujurlah ada beberapa orang wakil 3 Usaha yang bangun awal,mereka serba sedikit menyelamatkan keadaan.Kami hanya menjawab panggilan setelah kali kedua nama kami diulang baca.Fuhhhh.....

Membaca Yaasin.

Satu lagi aktiviti yang telah disusun oleh Ustaz Lukman ketika itu adalah membaca surah Yaasin sebaik sahaja selesai solat Subuh.Saya tidak berapa ingat samada ia dibaca secara beramai-ramai ataupun khusus dibaca oleh pelajar tingkatan 3 yang akan menghadapi peperiksaan PMR pada tahun itu.Tetapi seingat saya,antara kelebihan membaca Yaasin di awal pagi yang diajarkan oleh Ustaz Lukman ketika itu adalah segala urusan sepanjang hari akan dimudahkan ALlah SWT.

Entah mengapa saya 'termakan' dengan nasihat Ustaz Lukman.Membaca Yaasin di setiap pagi,selagi mampu saya cuba kekalkan.Ia ternyata memberi kesan.Berlalu waktu pagi tanpa membaca surah Yaasin tentu membuatkan hati dan diri saya berasa tidak selesa.

Alhamdulillah,berkat doa,usaha dan tunjuk ajar dari seluruh pihak,keputusan PMR yang diumumkan pada tahun itu,walaupun saya tidak mendapat 8A,tetapi ia satu keputusan yang agak memberangsangkan dan mengejutkan terutama sekali diri saya sendiri.Manakan tidak,sewaktu peperiksaan percubaan,jangankan 8A,1 A pun tidak mampu saya perolehi.Mungkin keputusan PMR itu juga berkat tunjuk ajar Ustaz Lukman agar anak didiknya mengamalkan bacaan Yaasin setiap pagi.Wallahua’alam.

Moga perkongsian memberikan manfaat.

p/s : Aku hadiahkan manfaat penulisan ini (jika ada) kepada guruku tercinta Ustaz Lukman bin Mamat.Moga Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat cikgu.

Terima Kasih Cikgu!

Wak,
TDI.

Saturday, June 25, 2011

:: Ghazwatul Fikri ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan isi kuliah magrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Haji Khazri Osman di Surau Taman Tasik Jaya (16 Jun 2011)
Ust Hj Khazri Osman.
(ehsan dari blogger)

Buku Yang di Kupas : Fiqh al-Sirah 3 (Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti)
Tajuk : Surat yang di hantar oleh Rasulullah SAW kepada raja-raja.

Fiqh al-Sirah.

Antara surat yang di utus oleh Rasulullah SAW adalah kepada Raja Rom (kristian) dan Raja Qisro (majusi).Namun di sebalik sejarah itu ada 1 tragedi besar yang mana utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah SAW iaitu Al Harith r.a telah ditangkap dan akhirnya Al Harith r.a telah dibunuh.

Kala itu ummat Islam bersama-sama Rasulullah SAW berada di dalam marhalah (peringkat) bertahan.

Selepas beberapa ketika ummat Islam bersama Rasulullah SAW telah memasuki marhalah (peringkat) berperang.

Menurut Dr Wahbah Zuhaili,

Perginya mereka berperang ketika di zaman Rasulullah SAW bukanlah untuk memaksa manusia yang diperangi agar memeluk agama Islam tetapi hukuman/tindakan terhadap kedegilan mereka setelah diberi beberapa peringatan/peluang oleh Rasulullah SAW.

Ghazwatul Fikri-Perang saraf.

Perang saraf yang dilancarkan oleh musuh Islam kala ini sebenarnya amat halus sehinggakan terkadang kita sendiri sebagai ummat Islam tidak menyedarinya.

Sebagai contohnya mereka membuat satu lawan web sosial.Apabila laman web ini mula dikembangkan dan digunapakai maka keuntungan yang diraih dari laman web ini akan disalurkan ke negara Israel.Siapa yang menggunapakai laman web tersebut? Berkemungkinan besar penggunanya adalah terdiri dari kita ummat Islam,iaitu kita sendiri.

Selain dari itu,musuh Islam ini juga memperalatkan artis wanita sebagai daya tarikan dalam agenda perang saraf mereka.Kerana tanpa golongan ini menyedari,musuh Islam ini sebenarnya sedang melekakan dan melalaikan mereka dengan hiburan yang disusun dan dirancang.

Akhirnya,

Negara-negara yang ummat Islamnya ramai di dalam sesebuah negara telah terikut dan terpengaruh dengan agenda perang saraf musuh Islam ini.

Apa kesannya?

1. Jika pertandingan ratu cantik di buat di Rusia mungkin ia suatu perkara biasa kerana negara Rusia sendiri adalah sebuah negara yang tidak mengamalkan ajaran Islam.Namun akhir-akhir ini pertandingan ratu cantik juga turut dianjurkan oleh negara-negara yang ummat Islamnya ramai.

2. Bangsa yang paling takut mati adalah bangsa Yahudi.Bagi mereka kematian membuatkan rakyat mereka mengurang dan boleh menjejaskan usaha mereka meluaskan tanah jajahan haram mereka.Sebaliknya ummat Islam yang faham dengan agama sangat memahami akan tuntutan JIHAD.Ini membuatkan musuh-musuh Islam gentar dan membuatkan mereka dalam ketakutan sekiranya roh jihad fisabiliLlah ini kembali masuk ke dalam jiwa-jiwa orang Islam.Akhirnya apa yang berlaku,musuh-musuh Islam ini merancang dengan teliti bagi melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang hanya gemar menggunakan jenama Islam.Akhirnya lahirlah perkataan seperti JIHAD HARTA yang sebenarnya ingin menyembunyikan erti sebenar JIHAD.

3. Jika berlaku penentangan terhadap pemakaian PURDAH di Belanda,Peranchis atau mana sahaja negara barat atas alasan yang tertentu,ia mungkin di atas dasar pemahaman mereka yang ingin menegakkan hak-hak tertentu.Tetapi penentangan yang sama juga berlaku di dalam negara Islam.Lebih dahsyat lagi,kopiah putih yang dipakai oleh orang lelaki juga menjadi sasaran,seolah-olah ia seperti senjata berbahaya yang perlu ditakuti.Akhirnya pakaian (kopiah) yang mungkin harganya sekadar RM5 bila dipakai,secara automatik ia dilabelkan dengan sesuatu yang tidak baik oleh masyarakat sekeliling dan ia tercabut dari kepala begitu sahaja.

Pengajaran dari sirah Rasulullah SAW mengenai menghantar utusan Dakwah Islam kepada raja.

1. Islam beredar mengikut peredaran zaman.Ia melalui beberapa marhalah (peringkat) secara beransur-ansur dalam perkembangannya ke seluruh ummat.

2. Dakwah Islam perlulah dibuat kepada manusia keseluruhannya,bukan pada kaum/bangsa tertentu sahaja.

3. Sebagai ummat Islam,kita perlu menyediakan diri untuk melakukan kerja dakwah pada bila-bila masa diperlukan malah ke mana tempat sekalipun hatta ke seluruh muka bumi.

4. Mempelajari/melengkapkan diri dengan menguasai pelbagai ilmu bahasa,terutamanya bahasa orang tempatan di mana tempat kita ingin menyampaikan risalah Islam.Kerana Rasulullah SAW pernah dalam sehari menghantar 6 orang sahabat ke 6 buah kaum dipertempatan yang berlainan dan para sahabat itu sendiri telah menguasai bahasa orang tempatan berkenaan.

Moga perkongsian dapat memberikan manafaat.

WAK,
TDI.

Friday, June 24, 2011

:: Kuliah Baru (Siri 6) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut di kongsikan hasil catitan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-21 Jun 2011)

Intro.

25 Jun 2011 akan di adakan 1 program "Malam Bersamamu Palestin" di Masjid Paroi Jaya dengan anjuran bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Palestin di dalamnya ada Masjidil al-Aqsa-
Masjid ketiga suci dalam Islam.

Mengapa isu Palestin?

Mungkin ramai yang bertanya mengapa perlu diketengahkan isu Palestin,ianya sebuah negara yang jauhnya 6~7000 km dari negara kita.Banyak lagi isu tempatan yang boleh dibawa ke tengah masyarakat.

Samada ia adalah isu tempatan mahupun ia adalah isu luar negara,sebenarnya ia sama penting.

Sabda rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan orang islam bukanlah dari golongan mereka."

Dengan kata lain golongan yang tidak mengambil berat perihal saudara seIslam mereka maka keIslaman mereka tidak sempurna.

Sabda rasulullah s.a.w.: "Bandingan orang-orang mukmin sesama mereka dalam berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bersimpati dan saling bersimpati di antara mereka adalah seperti tubuh yang satu. Apabila satu anggota tubuhnya mengadu sakit maka semua anggota tubuh itu turut merasa sakit dengan berjaga malam (tak tidur) dan demam."

Dunia global.

Peta dunia.

Berdasarkan realiti dunia global,apabila berlaku sesuatu perkara di suatu tempat maka ia akan memberi kesan kepada tempat di satu sudut dunia lain.Contohnya bila kedudukan ekonomi Amerika jatuh merudum,maka ekonomi dunia juga akan terjejas.Begitu juga apabila berlakunya penurunan harga minyak dunia maka impaknya akan terkesan kepada dunia global.

Atas dasar kesedaran pihak-pihak yang menyokong penubuhan negara haram Israel bahawa tidak cukup sekadar mereka mengusai Palestin sahaja kerana negara jiran yang lain juga adalah negara Islam,maka dalam pemikiran mereka,negara-negara jiran ini juga perlu di jajah kerana bila mana negara jiran ini sedar akan tanggungjawab sesama Islam dan peri pentingnya menjaga hak-hak negara jiran mereka,maka ini secara tidak langsung akan menganggu kestabilan penjajahan mereka di negara Palestin.

....sambungan kupasan tentang buku ( Asas-asas Islam )

Akhlak adalah buah kepada iman.Bila kekuatan iman yang berpaut di dalam hati kuat maka akan lahirlah akhlak yang baik.Oleh itu,agama Islam yang diturunkan bukan sahaja mengajak kepada mempercayai/mengimani rukun iman yang 6 sahaja,bahkan ajaran Islam ini melahirkan penganutnya yang berakhlak mulia yang akhlak itu nanti dapat memberi kesan dan dapat dirasai juga oleh keluarga,saudara mara dan sahabat handai dan akhirnya mereka juga mempunyai akhlak yang sama

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
Maka tidak terpakailah falsafah orang-orang kita yang sering mengungkap, "Di dalam hati siapa yang tahu." kerana bila iman kita baik akhlak kita juga akan baik,begitu juga sebaliknya.

Nak pimpin dunia?

Dengan hanya mempunyai dan mengamalkan agama yang benar sahaja,ia bukan menjamin kita dapat memimpin dunia.Ini kerana,sudah menjadi sunatuLlah,negara/bangsa/masyarakat yang mempunyai akhlak yang tinggi sahaja Allah SWT akan beri kepada mereka kekuasaan dunia.

Syria.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria baru-baru ini.Kekejaman pemerintah mereka membuatkan lebih kurang 10 ribu rakyat Syria menjadi pelarian dengan membuat khemah di sempadan negara Turki dan Syria.Perkara penzaliman terhadap rakyat sendiri seperti yang berlaku di sebuah negara Islam seperti di Syria itu tidak berlaku dalam sebuah negara yang mempunyai pemerintah kafir.

Sekiranya masih sebegini akhlak ummat Islam,bagaimana mungkin Allah SWT akan memberikan kita hak untuk memerintah/mentadbir/memimpin dunia.

Mengapa?

Sekiranya kita mempunyai harta yang banyak dan kita melabur berjuta ringgit dengan membina sebuah hospital,siapakah yang akan kita lantik untuk menjadi pengarah hospital berkenaan?

Kita mempunyai anak namun anak berkenaan tidak mempunyai kelulusan,juga mempunyai displin displin diri yang buruk malah kerap kali melepak di bus stand.Adakah kita akan melantik anak kita sebagai pengarah hospital?

ataupun,

Kita akan melantik doktor pakar yang mungkin bukan beragama Islam sebagai pengarah hospital kita.

hakikatnya,

Kita sayang anak kita namun kerana tiada displin dan kelulusan yang diperlukan,maka kita tidak melantiknya sebagai pengarah hospital.

Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Allah SWT menyayangi orang Islam lebih dari orang kafir.Tapi orang Islam tetap tidak boleh menjadi pengarah dunia melainkan dengan adanya displin dan syarat-syarat yang lain.Sebaliknya,sekiranya ada ummat Islam yang mempunyai/mencukupi syarat (berilmu,amanah,adil,tiada konspirasi dan bertakwa) pasti ummat Islam akan memperolehi hak untuk menjadi pengarah dunia.

Allah SWT berfirman yang maksudnya,"Bagi setiap umat ada tempoh (ajal) yang ditetapkan; maka apabila tiba tempohnya, mereka tidak dapat melambatkan sesaatpun, dan juga tidak dapat mereka menyegerakan."

Maka tidak mustahil kuasa besar yang ada sekarang juga pasti akan ada ajalnya.

Dalam sejarah duniapun,lihat bagaimana kerajaan/kuasa besar dunia seperti Rejim Kesatuan Soviet akhirnya telah tumbang pada tahun 1991.


Revolusi mesir.

Dengan bilangan ulama yang ramai dan mereka semua menyumbang dalam proses dakwah.Malah para ulama berkenaan akan memastikan perjalanan dakwah mereka sampai ke merata tempat/kawasan.Maka secara tidak langsung dari asbab penyebaran dakwah ini,akhlak mulia telah tersebar ke merata tempat termasuk hingga ke dalam kem tentera.

Malah keluarga juga memainkan peranan dalam hal ini.Para datuk yang mempunyai cucu yang bekerja sebagai tentera,menasihati agar cucunya itu dapat menjaga akhlak mereka dengan baik.Begitu juga ibubapa,mereka juga memainkan peranan yang sama sekiranya mereka memiliki anak yang bekerja sebagai tentera.Maka akhirnya bila revolusi meletus pada 25 Januari 2011,para tentera tidak menembak orang awam sebaliknya menjaga keselamatan mereka.Maka itulah antara sebab revolusi mereka di Mesir berjaya.

Revolusi Syria.

Tentera Syria mempunyai akhlak yang kurang bagus.Akhirnya ketika revolusi berjalan,tentera berkenaan telah menembak orang awam.

Menghayati.

Apabila membaca Al Quran,kita akan dapati tidak akan ada pemisahan antara ibadah-iman-akhlak.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya; Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela; Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; Yang akan mewarisi Syurga Firdaus mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu'minuun 1-11)

Antara pengajaran ayat :

1. Menjaga solat.
Kita di ajar oleh Nabi SAW untuk menunaikan solat fardhu di masjid.Salah satu kebaikannya adalah di masjid kita akan berjumpa dengan ramai orang yang beriman dimana mereka ini mempunyai akhlak yang baik.
2. Menjaga dari perbuatan sia-sia.
Sebagai seorang Islam kita hendaklah menjauhi perkara lagha contohnya menghadiri konsert yang artis-artisnya serta programnya melalaikan.
3. Menjaga kehormatan.
Hendaklah menjauhi perkara lucah (contohnya yang dipertontonkan di TV,radio,majalah,suratkhabar ataupun papan iklan di jalanraya.)
4. Jaga amanah dan janji.
5. Mengeluarkan zakat.
Kita orang Islam hendaklah tolong menolong antara orang yang bernasib baik dengan orang yang kurang bernasib baik dari segi harta benda.

Moga perkongsian dapat memberikan manafaat.

Wak,
TDI.

Monday, June 20, 2011

:: Travelog Anak Kampung-5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kanji.
Cara menulis kanji 'IE-RUMAH'

Bermula petang Jumaat sehinggalah ke petang Ahad adalah waktu yang paling dinanti oleh kami sebagai pelajar persediaan yang sedang belajar bahasa Jepun ketika itu.Semenjak Ahad malam sehinggalah ke petang Jumaat otak diperah untuk pelbagai aktiviti pelajar.Kanji (senyougo-technical terms dan nihonggo-tulisan kanji biasa),Bunpou,Cyoukai,Testo (mini testo-setiap hari dan testo setiap Jumaat) dan,Mouichido adalah anatara rutin kami setiap hari.Tidak cukup di dalam kelas,setiap hari pelajar dikehendaki menghafal 10 bentuk kanji dan akan di test pada keesokan harinya.Malam hari selain dari membuat syukudai-homework yang telah diberikan oleh beberapa orang sensei-lecturer,menghafal kanji adalah aktiviti wajib.

Hafal.

Bayangkan sahaja,waktu makan malam yang dihimpitkan agak kecil masanya,itu pun kadangkala terpaksa dihadap bersama buku kanji di sisi.Ya,menghafal kanji bukan senang.Tulisan yang telah dipelajari strokenya di dalam kelas pada siang harinya,perlu diulang tulis hingga beberapa kali (kadangkala hingga puluhan kali) barulah ia dapat dihafal.Itu baru dapat menghafal strokenya belum lagi bunyinya.Itu baru satu kanji.Jika sepuluh kanji?

Kampung Baru.

Esok awal-awal pagi kami sudah sedia menunggu bas untuk ke dewan kuliah.Ketika menunggu bas di hadapan Masjid Kampung Baru (berdekatan dengan Pusrawi-Kampung Baru) untuk ke PPKTJ ( di UTM Jalan Semarak) buku kanji masih lagi dikelek.Tangan masih mencoret-coret di atas angin mengulang balik hafalan kanji malam sebelumnya.Kadangkala bila ingatan/hafalan tersangkut, maka buku kanji dibelek semula.

Jalan dari Kampung Baru ke Jalan Semarak,walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana tapi kesesakan kenderaan yang berada di atas Jalan Raja Muda dan Jalan Tun Razak sering membuatkan perjalanan kami itu memakan masa yang panjang.Sebab itulah kami semua keluar awal untuk menunggu bas.Sekiranya terlewat sampai di tempat menunggu bas maka tempat duduk akan terlepas dan hukumannya adalah berdiri di sepanjang perjalanan.Ia bukan sesuatu hukuman yang indah.

Hafal lagi.

Sambil menunggu bas mengesot-esot bergerak di belakang kenderaan lain,ada di antara kami yang mengisi masa yang ada dengan tidur-tidur ayam.Ya,tidur untuk sekadar melepaskan lelah malam sebelumnya.Namun ada yang masih khusyuk membelek buku kanji sambil tangan mencakar angin.Lebih dahsyat fenomena bila tiba hari Jumaat.Hari itulah hari gabungan segala macam test.Ujian Nihongo (merangkumi bunpou,cyoukai,kanji) dan ujian subjek math,fizik dan kimia (juga di dalam bahasa Jepun).Dan ia perlu di lalui setiap minggu.

Sebab itulah bila tiba petang Jumaat,nafas lega boleh ditarik sedalamnya.Segala ujian telah selesai.Segala macam kanji,bunpou,doukai (pemahaman petikan dalam bahasa Jepun) dan cyoukai boleh diletak di tepi buat sementara waktu.Hujung minggu adalah waktu untuk melepaskan lelah.

Balik.

Balik ke asrama Kampung Baru di sebelah petang juga perlu menunggu bas.Namun kali ini di kawasan tempat letak bas UTM,cumanya bas kami sahaja tidak menggunakan lambang UTM tetapi sebaliknya munggunakan lambang Pusat Kajian Teknikal ke Jepun (PPKTJ).Menunggu bas pulang tidaklah segetir seperti menunggu bas ketika hendak pergi.Kami akan lebih santai ketika balik.Sambil menunggu bas bergerak,ada yang berborak sambil membuat beberapa longgok kumpulan di tapak parking bas.Ada pula yang duduk meleset di terowong laluan pelajar untuk ke blok-blok dewan kuliah UTM.

Terowong.

Sesiapa yang melalui terowong berkenaan pasti ia sesuatu 'pengalaman baru' yang 'ngeri'.Pelajar perempuan terutamanya yang melaluinya pasti akan disapa 'mesra' oleh rakan-rakan kami.Mungkin mesranya mereka sehingga memungkinkan mereka tidak akan melalui terowong berkenaan buat kali kedua melainkan jika mereka tidak sanggup menahan panas cahaya matahari.Lebih 'mesra' sapaan bila yang melaluinya adalah pasangan belangkas.Tidak perlu dibayangkan jenis apakah sapaan mesra berkenaan.

Asah.

Sambil menunggu bas bergerak sambil berborak kosong mungkin adakalanya membosankan.Saban hari menghadap beberapa tekanan belajar amat menyesakkan minda.Akhirnya sebagai aktiviti seronok-seronok,ada di antara kami yang ditangkap oleh beberapa orang untuk di bawa ke suatu kawasan.Dan di situ mangsa yang ditangkap akan di'asah' oleh mereka.Ada yang melawan walaupun akhirnya menyerahkan diri sahaja.Manakan mungkin terlawan tenaga 4 orang (malah kadangkalanya lebih) oleh tenaga seorang yang telah dipegang erat tangan dan kaki.Sekali lagi,tidak perlu dibayangkan bagaimana aktiviti 'asah' itu dijalankan.

Balik.

Untuk pulang ke asrama Kampung baru,kami perlu menyelusuri kembali kepadatan dan kesesakan persimpangan Jalan Raja Muda dan Jalan Tun Razak (waktu itu,sekitar tahun 1998~99 persimpangan bertingkat masih belum wujud di situ).Tetapi balik ke asrama pada petang Jumaat pasti meriah.Masing-masing sudah mula menyusun jadual sepanjang cuti hujung minggu.

Anak Perantau.

Bagi anak perantau seperti saya,asrama tetap destinasi cuti hujung minggu.Bagi yang berasal dari Selangor atau KL,mereka boleh pulang ke rumah keluarga mereka.Yang tinggal di asrama,ke mana pun destinasi hujung minggu,waktu malam pastinya asramalah tempat kembali,cuma yang harus di ingat,jam 12 malam,pintu pagar akan ditutup.Maka sekiranya tiba semula lewat ke asrama,pandai-pandailah memanjat mana yang boleh dipanjat.

Teringat ketika di suatu malam hujung minggu yang penuh dengan kebosanan.Itu disebabkan ramai yang tiada di asrama kerana mereka semua telah keluar entah ke mana.Tinggallah kami yang entah berapa kerat ketika itu.Pakat punya pakat,empat orang berjaya dikumpul untuk meronda bandaraya Kuala Lumpur malam itu.Ya,dengan menunggang basikal di tengah malam.

Destinasi yang di cari.

KL adalah bandaraya metropolitan.Bandaraya yang penuh dengan persaingan untuk ke hadapan.Di mana ada peluang,pasti ada yang menyerbu.Masyarakat sudah tidak menoleh kanan dan kiri.Masyarakat yang memedulikan masyarakat sudah lama hilang di sini.Jauh sekali untuk memedulikan kami berempat yang menunggang 2 biji basikal sambil berbonceng.

Sambil berbonceng,destinasi pertama yang di tuju adalah Muzium Telekom.Dengar khabarnya malam minggu ramai budak skate lepak di situ (maaf kerana terpaksa menggunakan bahasa sebegitu untuk menyesuaikan dengan keadaan).Sedikit hampa kerana malam tersebut langsung tiada kelibat sesiapun di situ.Setelah berpakat semula,kami meneruskan kayuhan menuju ke Dataran Merdeka.Dataran Merdeka juga sedikit hambar malam itu.Yang ada hanyalah bendera yang berkibar.Kami meneruskan semula kayuhan.Kali ini kami menuju ke Jalan TAR.

Bingit.

Jalan TAR penuh bingit malam itu.Motor RX-Z berlegar-legar ke sana ke mari.Ada yang sudah mula bertukar menjadi superman.Kami hanya memerhati dari tepi bangunan Mara.Tidak lama kemudian kami dengar sedikit kekecohan.Kami menyelusuri jalan di tepi bangunan.Rupanya ada mamat motor yang terperosok di tepi bahu jalan bersama-sama dengan motornya tanpa kami ketahui apa sebabnya.Melihat tempat kejadian yang semakin kecoh,kamu berlalu pergi.

Malam itu kami tiba semula di asrama memang sudah agak lewat.Dan tembok asramalah destinasi kami ketika itu.Setelah selamat memanjat masuk dan basikal pun sudahpun dihulur ke dalam,kami terus masuk ke dalam bilik tanpa dapat menyempurnakan matlamat kami pada malam itu,untuk melihat budak skateboard KL beraksi.

Kenangan.

Petang Sabtu hujung minggu biasanya adalah hari yang sunyi.Sunyi kerana ada sebab tertentu.Biasanya kala ini asrama kami akan dilawati/diziarahi oleh beberapa orang Jemaah Tabligh.Jemaah Tabligh ini biasanya dari kalangan para pelajar Universiti juga.Dengan pendekatan tertentu,mereka akan melawat dari bilik ke bilik menyatakan tujuan mereka datang.

Umur awal 20-an bagi kami adalah lebih kepada masa untuk berseronok-seronok.Di datangi Jemaah Tabligh dengan bertanyakan khabar yang diakhiri dengan mengajak kami untuk bersama-sama bersolat berjemaah di surau asrama bukanlah sesuatu yang menarik perhatian ketika itu.Maka tidak mustahil tidak ramai yang berminat.Malah mendengar percakapan mereka ketika diziarahi juga kerana terpaksa,itupun kalau boleh mengelak kami akan mengelak.

Lebih canggih lagi,akan ada spy yang memberitahu Jemaah Tabligh sudah ada di bilik mana kepada kami,jadi senanglah untuk melarikan diri dari terserempak dengan mereka.Sekiranya mereka sudah selesai di tingkat atas,maka kami dari asrama bilik bawah akan pergi ke bilik atas pula.Secara logiknya,mereka tidak akan berpatah balik ke tingkat atas semula.Itu telahan kami.Bahkan taktik menyelinap sebegitu memang menjadi dan berkesan.

Turun juga.

Bukanlah seteruk mana kami ini.Walaupun melarikan diri dari bertemu dengan Jemaah Tabligh,surau asrama tetap ramai jemaahnya bila tiba waktu solat fardhu.Mungkin jiwa muda ketika itu sahaja yang membuatkan kami berkelakuan seperti itu.

Krisis ekonomi.

1998 adalah tahun yang banyak meninggalkan peristiwa besar dan kecil.Selain dari kes DSAI yang menggamit perhatian ramai pihak dari luar dan dalam negara,krisis ekonomi yang melanda negara juga tidak kurang hebat tamparannya.Apa tidaknya,pusat persediaan bagi pelajar-pelajar ke luar negara (PPP di seksyen 18 Shah Alam) telah membekukan penghantaran pelajar ke luar negara.Pelajar-pelajar yang sepatutnya di hantar ke UK,US,Australia dan lain-lainnya telah mula diserap masuk ke Universiti-Universiti tempatan.Kami juga (pelajar ke Jepun termasuk PPKTJ,AAJ dan Mara) menerima tempiasnya,cumanya status kami sahaja yang belum diketahui.

Maka terjadilah situasi seperti kapal yang terumbang ambing.Para lecturer kami juga tidak dapat memberikan kata putus.Ada pelajar yang sudah mula tuang kelas.Mereka seperti sudah putus asa.Harapan untuk belajar le luar negara seperti sudah malap.Maka malam hari akan kedengaran ada kawan-kawan yang mendendangkan lagu "I beleive I can fly-R Kelly"

Patutlah Allah mentakdirkan kami diziarahi oleh Jemaah Tabligh.Ada hikmah rupanya.

Wak,
TDI.

Thursday, June 16, 2011

:: Bahagia dunia dan akhirat ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan isi kuliah magrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Haji Hambali bin Saad di Surau Al Amin,Taman Cempaka-2 (14 June 2011)

Mukaddimah.

Kita tidak boleh mengelak untuk berada di hujung.Beberapa hari yang lepas,New Zealand (Christchurch) di landa gerak gempa.Awal pagi 16 Jun 2011 kira-kira jam 1.25~4:13 pagi dijangkakan akan berlaku fenomena gerhana bulan.2 peristiwa ini tidak lain dan tidak bukan merupakan salah satu bukti dan tanda-tanda Kebesaran Allah SWT.

Gempa bumi di New Zealand.
Adakah kejadian ini tidak perlu diperhati?

Gerhana bulan.
Belajar dalam ilmu sains sebagai pengetahuan.
Belajar dari ilmu Al Quran sebagai tanda kita hamba Allah.

Namun jika kita memerhatikan dengan lebih dalam lagi,peristiwa dan kejadian di atas mungkin juga ia sebagai tanda/amaran awal bahawa kita sudah berada dipenghujung zaman. Wallahua`alam.

Maka dalam kita menempuh hidup yang penuh dugaan dan cabaran ini,perbanyakkanlah doa : "Rabbana ma khalaqta hadha batila Subhanaka faqina 'adhaban-Naar."-"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (A-li'Imraan 3:191)

Meyakini hakikat bahawa hari kiamat akan muncul seperti terkandung dalam Rukun Iman adalah wajib.Keyakinan Iman yang teguh ini amat penting kerana ia adalah sebagai pegangan dalam mengemudi kehidupan di dunia.Malah keyakinan dan keimanan yang teguh ini menyebabkan apabila sesorang itu berdoa akan menjadi asbab doanya akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Doa.

Apa itu doa?

a.Doa adalah senjata umat Islam.
b.Dengan meminta/memanjatkan doa,tanda orang itu beriman.
c.Dengan meminta/memanjatkan doa,tanda orang itu tawadhu’.
d.Dengan meminta/memanjatkan doa,tanda orang itu sedar kedudukan dirinya sebagai hamba Allah.

5 vs 5.

Abu Hurairah r.a ada menyatakan bahawa sesiapa yang dikurniakan 5 benda tidak akan diharamkan padanya 5 benda.

1. Sesiapa yang Allah kurniakan baginya keupayaan untuk bersyukur maka Allah tidak haramkan baginya untuk ditambah nikmat yang berkenaan.

Sesuatu kurniaan Allah SWT adalah suatu nikmat yang tidak ternilai harganya walaupun ia sesuatu yg kecil ataupun sedikit.Sebab itulah kita di ajar supaya berdoa : "Allahummaj`alni min- asy-Syakireen" - " Ya Allah jadikanlah kami dari golongan orang yang bersyukur."

Peristiwa Al Anbar.

Suatu ketika sahabat Nabi sedang dalam perjalanan menuju ke suatu medan perang.Bersama mereka adalah bekalan yang dibawa termasuklah unta susu (untuk bekalan minuman),unta daging (untuk bekalan makanan),unta kenderaan dan bekas berisi kurma.Maka dengan bekalan inilah mereka meneruskan perjalanan.

Sampai di suatu masa,unta daging yang mereka bawa telah kesemuanya disembelih.Lalu mereka mula menyembelih unta susu mereka.Sehinggalah kesemua unta susu mereka pun akhirnya habis disembelih.Bagi mereka,untuk menyembelih pula unta kenderaan adalah mustahil.Lalu yang tinggal pada mereka adalah bekas makanan berisi kurma.

Lalu mereka mula mencatu pemakanan mereka.Mereka hanya memakan sebiji kurma dalam sehari.Namun apabila mereka dapati bekalan kurma semakin berkurang,mereka hanya memakan separuh biji kurma dalam sehari dan bijinya mereka simpan.Akhirnya oleh kerana bekalan kurma juga telah kehabisan mereka hanya menghisap biji-biji kurma yang mereka simpan sebelumnya.

Allah Maha Penyayang kepada hambaNya yang sabar.Akhirnya ditakdirkan seekor ikan yang besar dicampakkan di hadapan mereka.Lalu mereka pun memakan daging ikan berkenaan. Diriwayatkan,terlalu besarnya ikan itu sehinggakan biji matanya boleh muat sekiranya dilalui oleh seekor unta.

Setelah melalui peristiwa itu,sebahagian dari daging ikan itu telah dijemur dan telah dibawa pulang ke Madinah untuk diberikan juga kepada Rasulullah SAW.Rasulullah SAW bersabda,"Itu tanda Allah balas kesyukuran kamu semua."

Kebal harta.

Di awal pengislaman Abu Hurairah r.a,beliau solat dalam keadaan bangun dan jatuh kerana kelaparan yang ditanggungnya.Namun kemudiannya apabila kerajaan Rom dan Parsi sudah jatuh ke tangan Islam dan kekayaan ketika itu melimpah ruah tetapi Abu Hurairah r.a tetap makan sehari hanya sekali.

2. Sesiapa yang Allah kurniakan baginya sifat sabar maka Allah tidak haramkan baginya untuk ditambah ganjaran pahala.

Nak dapat sabar di mana?

Ulama menyatakan sabar itu boleh didapati bila seseorang itu melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ –mengajak orang berbuat amal perbuatan yang baik dan mencegah orang dari membuat perbuatan mungkar.Dengan erti kata lain,dengan membuat amalan itu,golongan ini akan mudah terdedah dengan cacian dan hinaan dari golongan masyarakat tertentu.Apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini,lalu mereka mengangkat tangan dan berdoa memohon pertolongan dari Allah SWT.Jika mereka melepasi dugaan ini jadilah mereka golongan yang sabar.

Apa balasannya?

Allah SWT berfirman, "Innama yuwaffas shabirun ajrahum bighairi hisaab." (Yang bermaksud): Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Az-Zumar 39:10)

Kita juga di ajar akan selalu berdoa : "Allahummaj `alni min- asy-Sobireen" - "Ya Allah jadikanlah kami dari golongan orang yang bersyukur."

3. Sesiapa yang Allah kurniakan baginya sifat taubat maka Allah tidak haramkan baginya untuk dikabulkan doa.

Ulama menafsirkan taubat itu sebagai meninggalkan amalan kejahatan dan menggantikannya dengan amalan kebaikan.

4. Sesiapa yang Allah kurniakan baginya keupayaan untuk beristighfar maka Allah tidak haramkan baginya keampunan.

Ulama menafsirkan istighfar itu sebagai memohon keampunan kepada Allah SWT.

Petua.

Petua untuk mendapatkan anak-banyakkanlah beristighfar kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya,

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)." (Nuh 71:10-12)

Istighfar untuk diri sendiri-apa menafaatnya?

Allah SWT berfirman yang maksudnya,"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(An-Nisaa' 4:110)

Istighfar untuk orang lain yang telah mati-bagaimana caranya?

Bacalah doa ini, "Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" - "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."

5. Sesiapa yang Allah kurniakan baginya keupayaan untuk berdoa maka Allah tidak haramkan baginya ijabah.

Firman Allah SWT : "Ud'uni astajib lakum" -  "Berdo'a kepadaku niscaya akan Ku-perkenankan bagimu" (QS. al-Mu'min:60).

Ulama menyatakan antara sebab mengapa doa tidak dimakbulkan adalah :

1.Sentiasa membuat amal keburukan tetapi tidak bertaubat.
2.Mengaku sebagai hamba Allah tetapi tidak beramal kepadaNya.
3.4.Membaca Al Quran tetapi tidak memerhatikan kehendak Al Quran (yang mana perintah dan yang mana larangan)
5.Mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW tetapi tidak melakukan sunnahnya.
6.Mengetahui dunia dan isinya itu tidak berharga dan akhirat itu kekal abadi tetapi bersedih bila kehilangan harta dunia.
7.Mengetahui akhirat itu lebih baik dan kekal tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk ke arahnya.

Moga perkongsian memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Tuesday, June 14, 2011

:: Saddu al-Zaraik ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Intro.

Masalah ada di mana-mana dan ia boleh timbul bila-bila masa tanpa diduga.Namun setiap pemasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya,cuma dengan cara bagaimana sahaja kita memilih jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.Dan yang paling penting,apa sandaran kita?

Kaunseling vs Kaunselor.

Antara jalan penyelesaian yang boleh dipilih bagi menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan mendapatkan kaunseling dari kaunselor yang berkelayakkan/diiktiraf.

Jika di Indonesia,ada institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus khusus tentang kaunseling Islam.Langkah ini di ambil dengan sebahagian tujuannya adalah untuk membetulkan dan melandaskan persepsi tentang dunia kaunseling.Ia juga bertujuan untuk mengelakkan adanya kaunselor yang menganggap diri mereka lebih sebagai kawan (tempat mengadu masalah),bukannya pensyarah atau guru kepada yang datang mengadu masalah.Ini juga penting bagi mengelakkan dan menangani gejala-gejala yang pernah kita dengar di mana kaunselor merogol/berzina dengan individu yang datang mengadu masalah.

Bagaimana boleh terjadi sebegitu?

Orang yang bermasalah biasanya akan mengadu masalah yang mereka hadapi dengan tujuan untukmencari jalan penyelesaian.Setidak-tidaknya jika tidak menemui jalan penyelesaian,sekurang-kurangnya apabila ia dapat berkongsi masalah,sebahagian beban yang tertanggung dek kerana masalah itu akan dirasainya berkurangan.Ia kesan psikologi.

Sesetengah kaunselor akan membuat pendekatan tertentu berdasarkan ilmu dan pengalaman yang mereka kutip,cuba sedaya upaya mereka bagi menyelesaikan masalah si pengadu.Namun sebaliknya,jika batas-batas agama tidak di jaga dengan rapi,segala macam fitnah akan terbuka luas di hadapan mata,terutama sekali bila berhadapan/tinggal berduaan dengan yang berlainan jantina.

Memandangkan yang datang bertemu kaunselor adalah individu yang bermasalah,mereka juga barangkali sedang mengalami tekanan jiwa/perasaan.Tentunya dalam keadaan sebegini,amat sukar bagi individu yang terbabit untuk berfikir secara lebih waras dan teratur.Sudah tentunya, kaunselor pula akan cuba mengorek sedalam mungkin permasalahan yang sedang dialami oleh individu tersebut.

Individu tersebut pula,sifatnya yang sedang tertekan,mungkin sekali dia akan meluahkan segala isi hatinya sebagai bahan kongsi,dan memang itupun tujuannya dia berjumpa dengan kaunselor.Secara tidak langsung bila permasalahan diluahkan dari hati,dan didengar pula oleh kaunselor yang cuba menyelami hati individu berkenaan,tentunya kaunselor berkenaan sedikit demi sedikit akan terlintas perasaan ingin lebih tahu.Bagi kaunselor yang memang 'memasang jerat/terjerat' dengan keadaan sebegini,bila mereka tidak membatasi faktor perasaan dan nafsu,maka sudah tentulah ia akan memakan diri.

Dunia sudah terbalik.Yang pakar mempunyai ilmu namun nilai kemanusian/kerohanian telah hilang/tenggelam disebabkan hadirnya nafsu dan bisikan syaitan.

Perlukah batasan?

Bekerja bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayyah adalah dibenarkan malah diperlukan,lebih-lebih lagi khususnya bagi kaum wanita.Dan lebih-lebih lagi diperlukan seorang wanita itu menyumbang tenaga/kepakaran bilamana urusan itu hanya perlu/boleh diselesaikan antara kaum wanita sahaja.Pakar sakit puan,doktor bersalin,bidan adalah salah satu contoh yang paling dekat.Sebaliknya ia amat berkurangan.

Apa akan jadi sekiranya ini tidak di atasi?

Maka timbullah masalah (antara sedar atau tidak) para ibu yang mengandung terpaksa diperiksa dan dirawat oleh doktor lelaki.Ia suatu masalah yang 'halus' tapi perlu dihalusi.Ditambah pula para suami yang turut sama menghantar isteri untuk diperiksa hanya lebih suka/rela meluangkan masa melihat/membaca suratkhabar/majalah dari turut sama masuk ke dalam bilik pemeriksaan.Apa agaknya alasan mereka?

Situasi di atas sebaliknya jika dibiarkan tanpa pemantauan dan pembaikpulihan,gejala seperti pencabulan seks (samada disedari atau tidak),rogol dan zina akan berlaku.Ini secara tidak langsung merosakkan dunia kedoktoran,yang sepatutnya mereka-mereka ini mencurahkan tenaga demi kebaikan pesakit.Tetapi disebabkan muamalat dan muasyarat yang dipraktikkan oleh sesetengah dari mereka ini tidak betul,pencegahan perlu dilakukan.
Malah kehadiran doktor lelaki di dalam wad/bilik bersalin juga amat mudah kita temui sekiranya kita berada di sana.Malah lebih dari itu,'kesesakan'/ketidak selesaan ibu yang hendak bersalin itu disebabkan hadirnya doktor lelaki semakin ditambah kesesakannya dengan hadirnya doktor-doktor pelatih yang menjalani latihan praktikal.Tidak ada alternatif lainkah yang boleh disusun oleh pihak pengurusan hospital bagi menambah baik keadaan sebegini? Mungkin hanya kerana kesakitan yang ditanggung melebihi perasaan malu,mahu tak mahu ada juga ibu yang sarat mengandung 'membenarkan' doktor lelaki memeriksa mereka ketika di bilik bersalin.

Sebenarnya dalam etika perubatan dan ilmu kedoktoran,doktor tiada kuasa sekiranya pesakit/ibu mengandung itu menolak untuk diperiksa/doktor itu hadir ketika proses sebelum bersalin.Ini tidak termasuk dalam kes-kes kritikal.Ibu-ibu mengandung haruslah peka tentang ini.Memandangkan bidan-bidan yang berada di dalam bilik bersalin adalah amat terlatih dan mempunyai pengalaman,mengapa tidak kita bergantung harap dengan bantuan mereka.Ia tidak terlalu keterlaluan,selain kaum wanita dapat menjaga aurat mereka sebaiknya.

Lain halnya sekiranya suami mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai isteri bersalin di hospital-hospital swasta yang agak Islamik.Tetapi apa jadi sekiranya doktor perempuan yang sepatutnya memeriksa isteri dan menyambut kelahiran bayi tidak dapat hadir oleh sebab-sebab tertentu? Dan doktor gantinya pula adalah seorang doktor lelaki.Masalah penjagaan aurat dan yang berkaitan dengannya masih tetap belum selesai.

Fitnah masih lagi terbuka dan masih belum tertutup rapi.
Sedangkan Islam membawa pendekatan pencegahan atau dalam kaedah fiqh dipanggil 'Saddu al-Zaraik-menutup pintu kerosakkan.'

Perlunya ketegasan.

Dalam peristiwa Fathul Makkah,seorang sahabat telah mengupah seorang wanita untuk membawa risalah yang menyatakanakan kedatangan Nabi SAW ke Mekah.Risalah itu sepatutnya diserahkan kepada kaum keluarganya di Mekah.Risalah itu dibuat atas kerisauan sahabat tersebut akan keselamatan keluarganya.

Nabi SAW yang diberitahu oleh Allah SWT akan keadaan ini,lantas menghantar Saidina Ali untuk memintas wanita tersebut.Sampai disuatu kawasan,Saidina Ali telah berjaya menemui wanita berkenaan.Walaupun selepas diperiksa dan ditanya,wanita itu tetap mengatakan yang dia tidak membawa sebarang risalah.

Berhadapan dengan situasi itu,lantas Saidina Ali berkata,"Mata aku mungkin boleh ditipu,tapi kata-kata Nabi SAW tidak pernah menipu (sambil Saidina Ali menghunuskan pedang)." Akhirnya wanita berkenaan menyerahkan risalah yang sedang dibawanya.

Kesimpulan.

1.Kerja adalah satu amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggung jawab..
2.Menutup aurat adalah wajib.Usaha untuk menjaganya juga wajib.
3.Ketegasan adalah perlu.Ia tidak sama dengan tolak ansur.

Moga perkongsian memberikan manafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, June 9, 2011

:: Travelog Anak Kampung-4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bertukar ganti.

Apa sahaja yang tua,pasti ada keterbatasan.Di tambah lagi tahap kemampuan yang dimiliki tidak dapat lagi menyaingi tahap kemampuan yang muda.Mungkin sebab itu,yang tua perlu ditukar kepada yang muda.

Jiran lama.

Tanah di sebelah kanan tapak rumah lama dahulu adalah milik Kak Minah dan suaminya Arwah Wak Rosmin.Di sebelah kiri pula adalah milik Arwah Wak Singkir.Tanah milik Wak Singkir di tanam dengan pokok getah.Seingat saya ketika usia saya sekitar 6 tahun,usia pokok getah di kebun Arwah Wak Singkir sudah sampai usia untuk ditebang bagi membolehkan pokok getah yang baru ditanam semula.

Bongkah yang dikumpul.

Sekadar gambar hiasan.

Melihat bagaimana pokok getah ditebang dengan menggunakan mesin tebang (chainsaw) adalah sesuatu aktiviti yang menarik perhatian.Habuk akan berterabur keluar bila sahaja mata mesin tebang bergesel dengan batang pokok.Batang pokok yang hendak ditebang terlebih dahulu dipotong sedikit berbentuk bongkah V pada arah mana pokok itu hendak ditumbangkan.Bongkah inilah nantinya saya kumpulkan untuk dijadikan tempat duduk 'mainan'.

Apabila pokok yang sudah ditebang tumbang menyembah bumi,saya akan meniti di atas batang pokok getah sebaik sahaja kerja menebang selesai pada sebelah petang.Untuk memanjat sebatang pokok getah mungkin bukan calang-calang halangan,tapi apabila ia sudah tumbang,saya boleh menjejakkan kaki saya sehingga ke pucuknya.

Batang pokok yang dikerat-kerat.

Antara kegunaan pokok getah yang sudah ditebang adalah dijadikan kayu api.Batang pokok getah akan dikerat mengikut panjang tertentu bagi memudahkan ia diangkat dan dipindahkan ke tempat yang sesuai.Apabila ia telah dipindahkan dari kebun getah,batang pokok getah tadi akan dibiarkan terjemur untuk proses pengeringan.Apabila ia sudah cukup kering,batang pokok getah tadi akan dibelah dengan kapak untuk dijadikan bilah-bilah yang lebih kecil.Kala ini ia telah menjadi kayu api.

Kayu api yang telah dibelah sekali lagi perlu dijemur.Ia akan disusun bersilang-silang membentuk segi empat.Biasanya bila kayu api sudah cukup kering,ia akan disusun pula di atas pelantar dibawah dapur kayu.Kulit kayu yang terpisah dari kayu api akan dikumpulkan untuk dijadikan umpan api ketika hendak menyalakan api untuk memasak.

Dahan,ranting tunggul yang tinggal.

Dahulu,kerana ketiadaan teknologi,pokok getah yang berumur tua akan ditebang dan kemudiannya dibakar.Tidak seperti sekarang,kayu getah masih mempunyai harga (malah kadangkala harganya melambung mahal) kerana ia kemudiannya diproses untuk dijadikan kayu perabut.

Maka selain proses menebang,proses membakar tunggul,dahan dan ranting yang tinggal juga amat menarik perhatian.Segala dahan dan ranting akan dilonggokkan setempat di atas tunggul pokok getah yang tinggal.Ia akan membentuk sebuah timbunan kayu.Apabila api dinyalakan,ia terus marak membakar longokkan kayu.Biasanya proses pembakaran akan memakan masa yang lama,kadangkala hingga menjelang maghrib.Tentunya pemandangan api diwaktu malam akan lebih indah disamping percikan bunga api yang keluar.Apabila hari semakin cerah keesokkan harinya,yang tinggal pada longgokkan kayu yang telah dibakar adalah abu dan kesan asap.

Subur.

Tempat bekas bakaran kayu dan tunggul menjadikan tanah dibawahnya turut terbakar.Ini kerana tanah gambut terjadi hasil reputan segala jenis hidupan.Maka kayu-kayu/akar reput yang ada di dalam tanah gambut juga turut terbakar ketika proses pembakaran kayu getah dibuat.Secara tidak langsung menjadikan tanah gambut tersebut menjadi tanah bakar.Tentu semua sedia maklum,bahawa tanah bakar adalah tanah yang subur dan sangat elok untuk dijadikan kawasan penanaman.

Minta izin.

Penduduk kampung yang berminat untuk bercucuk tanam biasanya akan meminta izin dengan tuan punya tanah untuk membolehkan mereka mengusahakan secara sementara di atas tanah yang telah siap proses membakar segala kayu yang tinggal.Ia diusahakan sementara menunggu anak getah di tanam dan membesar.Biasanya tanaman yang di tanam adalah tanaman kontan seperti sayuran dan keladi.

Wak Kusnon Kadimon (Mansur).

Arwah Wak Mansur adalah antara orang yang aktif bercucuk tanam di atas tanah Arwah Wak Singkir ketika itu.Walaupun rumahnya agak jauh terpisah dari kebun Wak Singkir,tanaman yang di tanam amat menjadi dan hasilnya juga lumayan.Ketika itulah saya mengenal pelbagai jenis sayuran dan tumbuhan kerana saban hari,tempat yang dijadikan kawasan permainan saya adalah kebun arwah Wak Singkir.Ketika bermain-main saya akan melihat-lihat kebun mini yang diusahakan oleh Arwah Wak Mansur.Ada pokok timun,gambas,kacang dan bermacam lagi.Paling saya ingat sehingga kini adalah buah labu air yang berwarna kuning (maaf tidak ingat namanya).Buah labu ini akan diracik-racik oleh arwah emak lalu dicampurkan dengan santan kelapa.Untuk diminum ia akan bertambah lazat sekiranya ditambah ais.Arwah emak kata hidangan itu namanya 'rocoh' dalam bahasa jawa.Hmmm…rasanya memang 'mabeles'.

Batang pokok yang tinggal.

Tidak semua batang getah yang dapat dibakar,terutamanya yang tumbang bersempadan dengan kebun getah orang lain.Makanya pokok getah itu akan terbiar begitu sahaja menunggu reput.Sebaliknya batang getah yang tinggal itu akan ditumbuhi dengan cendawan kecil (cendawan kukur).Cendawan ini tidak beracun dan boleh dimakan,cumanya proses mengutip cendawan berkenaan agak rumit disebabkan saiznya yang kecil.

Cendawan kukur.
(ehsan dari blogger)

Biasanya apabila arwah emak balik dari menoreh,sambil menunggu peluh kering saya akan diajak untuk mengutip cendawan kecil tersebut.Walaupun jenuh mengutip,apabila ia sudah di masak ditambah dimakan bersama nasi panas,rasa cendawan kecil yang sudah dimasak itu memang membangkitkan selera.

Rindu yang berulang.

Masakan dari air tangan emak sendiri tentu istimewa.
Adakah segalanya itu boleh dikecapi lagi?

Memori silam memang bisa menggamit kenangan.

Kesimpulan :

1. Hidup dikampung walaupun kadangkala jauh dari limpahan teknologi,tapi sikap tolak ansur serta bantu membantu membuatkan kehidupan antara kami saling cukup-mencukupi.
2. Berbudi kepada tanah memang memerlukan curahan keringat.Tetapi pulangan usaha yang dilakukan bisa menghilangkan kepenatan membanting tulang.
3. Makanlah dari sumber yang halal dan dari sumber yang baik.Bahan makanan yang segar adalah yang terbaik kerana makanan yang diawet adalah tidak baik untuk kesihatan.
4. Walau semaju mana pun kita berada,kenangan silam/sejarah tidak harus dilupakan.Ianya perlu dikongsi kerana tanpa kenangan silam/sejarah,kita mungkin tidak berada di tempat kita sekarang.
5. Rajin dan usaha tangga kejayaan.Selain itu kesihatan juga amatlah penting bagi memacu langkah menuju kejayaan.
6. Bumi dan segala isi alam ini bukan milik kita tetapi kita meminjamnya dari anak bangsa akan datang.

Moga perkongsian memberikan manafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, June 8, 2011

:: Mencari Yang Dahulu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pantas.

Dalam keadaan dan kitaran dunia yang terasa semakin pantas ini,kadangkala membuatkan diri kita juga terikut dengan putaran kesibukan tersebut.Dan dalam tidak sedar,kita kerapkali terlupa untuk mensyukuri nikmat yang dianugerahkan kepada kita.Bahkan kadangkala kita tidak menyedari langsung dengan apa yang dianugerahkan kepada kita itu adalah sebuah nikmat.Hakikatnya,samada nikmat itu besar mahupun kecil,nampak atau tidak nampak,sebagai hambaAllah,kita sepatutnya mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkanNya.

Membuka ruang.

Sekiranya ruang/masa dalam hidup kita,kita memberi ruang yang besar dalam hal keduniaan maka kita akan faham akan hal keduniaan.

Contohnya,seorang tuan kedai,sekiranya dia menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada peniagaannya,dia akan mahir akan ilmu perniagaan.Bila dia mula berniaga di kedainya,semakin hari melalui pemerhatiannya,dia akan mula tahu barang apa yang perlu dibeli untuk stok di dalam kedai dan di mana ia boleh di beli dengan harga modal yang murah,walaupun pada asalnya dia tidak ada ilmu langsung tentang bidang tersebut.

Malah kadangkala,sesibuk manapun si peniaga tersebut,dia pasti akan melayan pelanggan yang masuk ke dalam kedainya tersebut.Si peniaga sanggup mengenepikan segala urusannya demi melayan pelanggannya itu walaupun ketika itu dia sedang menikmati hidangan makan tengaharinya.

Lebih dari itu,walaupun tatkala kedainya sudah ditutup dan si peniaga itu sudah dalam perjalanan pulang ke rumahnya,dia sanggup berpatah kembali ke kedainya semata-mata memenuhi hasrat pelanggannya yang menelefon untuk membeli beberapa senarai barangan.

Malah jauh dari itu,si peniaga itu boleh bertolak ansur dengan para pelanggannya serta bercakap dengan penuh sopan santun demi menjaga hati para pelanggannya itu sedangkan pada masa yang lain dia kerap memarahi dan tidak langsung menunjukkan tanda tolak ansur kepada isterinya ketika berada di rumah.

Kerana apakah semua ini?

Kerana si peniaga itu faham akan dunia perniagaannya dan kepentingan apa yang ada di lamanya.

Dengan kata lain,untuk faham akan dunia dan isinya (contohnya : dunia perniagaan) apabila kita duduk di dalamnya kita akan faham akan dunia dan keperluannya.

Oleh itu,bagaimana pula caranya untuk kita faham akan akhirat dan keperluannya?

Faham.

Kerana kita faham yang dunia ini merupakan darul asbab maka setiap kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini juga berasbab.

Jika kita memberikan ruang yang besar dalam hidup kita untuk kita faham akan perihal dunia,kita akan faham akan kepentingan dan kehendak dunia.

Sebaliknya,

Jika kita memberikan ruang yang besar dalam hidup kita untuk kita faham akan perihal akhirat,kita akan faham akan kepentingan dan kehendak akhirat.

Kelapa dan santannya.

Santan keluar setelah diperah dari kelapa yang telah di parut.Santan yang diperah pada peringkat mula-mula adalah santan yang pekat.Apabila dibuat kuih rasanya sedap.Apabila dibuat nasi lemak,wangian aromanya akan naik.Apabila hendak membuat dodol,santan yang pekat inilah yang dipilih.

Kelapa yang telah diperah,bila semakin diperah santan yang keluar akan menjadi cair dan semakin cair.Apabila hendak dibuat kuih,rasa kuihnya sudah tidak sedap.Apabila dibuat nasi lemak,rasa nasi lemaknya sudah tidak asli.Apabila dibuat dodol,keenakkan rasa dodol akan hilang.

Begitu juga manusia.Dalam kesibukkan mengejar kepuasan dunia,dengan runtunan kehendak hati sebagai orang muda,tentulah kebanyakkan aktiviti adalah menyibukkan diri dalam urusan dunia.Dalam kesibukkan dan keterikatan itu,jika seorang muda dapat membuat amal soleh (seperti dapat istiqomah untuk bangun tahajjud) maka kenikmatan membuat ibadah itu sudah tentu lebih lazat berbanding dengan orang yang telah berumur yang melakukan amalan yang sama.Nikmat dan kelazatan orang muda yang bangun 2 rakaat solat tahajud mungkin lebih hebat dari ibadah yang sama yang dilakukan oleh seorang yang telah lanjut umurnya.

Mana hilangnya.

Sahabat-sahabat di zaman Nabi SAW dalam kehidupan seharian,mereka tidak akan lari dari batas-batas agama,walaupun di mana mereka berada.Di pasar-pasar walaupun mereka sibuk dengan urusan jual beli,kehidupan beragama tetap diteruskan.Hadith-hadith dari Nabi SAW yang mereka dengar disebarkan kepada mereka yang tidak berkesempatan mendengarnya.Ayat-ayat Al Quran akan kedengaran dibaca dan dihafal oleh mereka.

Kebanyakkan kehidupan para sahabat ketika itu,mereka sedikit ketawa dan banyak menangis.Setelah sibuk dengan urusan disiang hari,kehidupan di kala malam mereka isi dengan menangis bertaubat kepada Allah SWT.Ketenangan malam diselang seli dengan bunyi tangisan para sahabat yang bangun malam.Kehidupan selepas zaman itu juga hampir sama.Di ceritakan Imam Abu Hanifah menangis ketika solat malam,sehinggakan orang yang mendengar tangisan itu,beranggapan beliau telah kematian anak.

Setelah beberapa abad selepas itu,di kampung-kampung di tempat kita apabila muncul sahaja waktu maghrib,akan kedengaran suara orang mengaji samada dari kalangan orang dewasa mahupun dari kalangan kanak-kanak.Kadangkala kedengaran ibubapa sibuk mengajar anak-anak mereka mengaji.

Kini situasi di atas semakin lama semakin pudar ditelan zaman.Waktu maghrib sudah tidak lagi kedengaran bunyi orang mengaji dari rumah-rumah di tempat kita tinggal.

Siram.

Tanah yang kering kontang apabila kita hendak meletakkan benih ia perlu digembur dan disiram.Setelah itu bolehlah kita meletakkan benih untuk benih itu bertunas dan membesar menjadi pokok lalu akhirnya membuahkan hasil.

Begitu juga hati manusia.Untuk menghidupkan hati manusia,ia perlu banyak mengingati akan perihal mati.Kerana dengan banyak mengingati mati,hati akan hidup yang nantinya hati-hati ini akan menyedarkan kita akan tujuan dan matlamat kita hidup.

Moga perkongsian memberikan manafaat.

Wak,
TDI.