Monday, November 28, 2011

:: Perjalanan perlu diteruskan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Orang dahulu memang kaya dengan kata bidalan dan perumpamaan.Lalu mereka membuat kisah si buta dengan si gajah.

Arakian......Lalu bila 3 orang buta berjumpa gajah,yang seorang memegang perut gajah dikatakannya gajah itu seperti dinding yang rata.Bila seorang memegang telinga gajah,dikatakan gajah itu umpama kipas.Dan bila yang sorang lagi memegang ekor gajah,dikatakannya gajah itu umpama tali.Mereka masing-masing membuat kesimpulan tentang rupa bentuk gajah berdasarkan apa yang mereka rasa sahaja.Sedangkan mereka hanya memegang sebahagian dari tubuh badan gajah sahaja.

...itu kisah/perumpamaan orang dahulu.

Kisah orang sekarang.

Sebahagian orang sekarang melihat Islam berdasarkan apa yang mereka 'rasa'.Sebahagian dari kita melihat Islam hanyalah menunaikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan sahaja.Sebahagian dari kita pula,melihat Islam hanya solat fardhu Jumaat dan solat 2 hari raya sahaja.Manakala ada sebahagian dari kita pula melihat Islam hanya dengan pergi menunaikan ibadat haji ke Mekah sahaja.

Teruk sangatkah ummat Islam sekarang?

Adakah sudah tidak ada lagi orang yang betul-betul baik di atas muka bumi ini?

'Kisah orang sekarang' bukan bermaksud begitu.Syiar Islam di atas muka bumi ini masih lagi bersinar.Orang masih lagi ke masjid-masjid untuk menunaikan solat fardhu.Majlis-majlis ilmu masih boleh dijumpai di sana-sini.Kumpulan-kumpulan tareqat masih lagi aktif membuat aktiviti mereka.Malah semua ini menunjukkan orang-orang yang berakhlak baik dan beramal ibadat masih lagi ramai.

Musuh Islam.

Tidak cukup jika hanya kita menjadi seorang Islam yang baik dengan hanya melakukan amal ibadah untuk diri sendiri sahaja.Ini kerana Islam itu syumul-lengkap dan sempurna.Kita tidak mahu orang yang baik-baik ini diserang oleh musuh-musuh Islam di luar sana.Gerakan fahaman liberal contohnya,ia berjaya mempengaruhi ramai dari golongan ummat Islam.Akhirnya,golongan yang dipengaruhi ini beranggapan agama itu semuanya sama-iaitu mengajar penganutnya agar berbuat baik.Jika ada penganut agama lain yang lebih baik dari penganut agama Islam,maka boleh dianggap penganut agama lain itu lebih baik darjatnya.Sedangkan Islam itu tinggi dan lebih tinggi dari yang lain.

Lebih dahsyat dari itu,bila ada dari kita yang mengamalkan Islam yang sebenarnya,dengan mengambil kira keseluruhan intipatinya,orang itu dianggap sebagai 'ekstrim'.Berapa ramai dari kita termakan doktrin ini?

Senjata musuh.

Musuh Islam merancang strategi untuk melalaikan ummat Islam dengan pelbagai cara.Ini termasuklah dengan serangan tentera dan serangan budaya.

Mungkin sesuatu yang pelik dan luarbiasa bila kita melihat satu ceramah agama di masjid kariah kita,lalu tiba-tiba keluar seorang gadis di hadapan pentas untuk mengiklankan sesuatu barangan.Ia belum pernah berlaku.Tetapi ia tidak pelik apabila kita melihat ceramah agama melalui siaran televisyen,bila tiba ruangan iklan,kaca tv tiba-tiba memaparkan 2,3 iklan yang wanitanya tidak menutup aurat.Ia sudah benar-benar tidak memelikkan.Dan ini sudah tentulah serangan halus dari musuh Islam.

Masyarakat terleka.

Selepas Nabi Ibrahim tiada,amalan solat dan berpuasa sudah tidak lagi diamalkan oleh orang ketika itu.Yang berkekalan terus hanyalah ibadah haji.Ini kerana ramai pedagang yang memperdagangkan barangan mereka datang ke Mekah dan menjadikan Mekah sebagai pusat perniagaan.

Jika mengambil kira kisah sejarah ini,manusia memang tertarik dan tidak boleh lari dengan apa sahaja bentuk yang mengarah kepada wang dan kekayaan.Apa sahaja yang boleh mendatangkan nilai komersial akan diambil berat dan diberi sepenuh perhatian.Manakala yang tidak mendatangkan apa jua bentuk keuntungan boleh diletak tepi.

Risau.

Kita tidak mahu lahir generasi yang bila tiba waktu solat mereka solat tetapi selepas mereka selesai menunaikan solat mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu termasuk perlakuan maksiat.Malah kita juga tidak mahu lahir satu generasi yang melihat perlakuan maksiat dan mereka tidak langsung mengambil peduli kerana bagi mereka itu tidak mendatangkan 1 apapun keuntungan.

Tunjukkan jalan.

Bagi mengelakkan generasi dan zuriat yang bakal lahir nanti semakin songsang pemikiran mereka terhadap Islam,kita mestilah menunjukkan jalan kepada mereka jalan Islam yang sebenar.

Dari mana  pula kita hendak mengambil sumber sebagai penunjuk jalan berkenaan?

Dari beribu-ribu ayat Al Quran,hanya sekitar 800 ayat sahaja yang berkaitan tentang hukum-hakam.Yang selebihnya pula banyak ayat yang menceritakan tentang kisah dan iktibar (kisah Nabi Musa,Kisah Nabi Yusuf,Kisah Mariam,Kisah Bani Israel dll).

Bagaimana kita hendak menjadikan kisah di atas sebagai penunjuk jalan?

Nabi Muhammad SAW telah lama wafat dan tiada lagi nabi selepas itu.Nabi Muhammad SAW sehingga ke umur wafatnya memperuntukkan hidup baginda untuk berdakwah.Begitu juga Nabi-Nabi yang lain.Kita pula sebagai manusia,diutuskan ke muka bumi ini untuk menjadi khalifah dan tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk mentadbir bumi.Jika kita tidak membuat kerja Nabi,iaitu berdakwah maka kita tidak dapat menerapkan kisah-kisah hidup yang tercatat di dalam Al Quran di dalam hidup kita.

Masakan seorang ayah yang bekerja di tengah lautan berminggu-minggu lamanya dapat menerapkan kisah hidup Nabi Ibrahim ke dalam hidupnya dan keluarganya jika ia tidak membuat kerja dakwah.Malah bagi si ayah itu,gajinya yang beribu-ribu USD itulah yang dapat menjamin keselesaan hidup anak dan isteri yang ditinggalkan itu.Sedangkan Nabi Ibrahim yang meninggalkan isteri dan anaknya yang masih kecil di lembah yang penuh gersang hanya berserah penuh dirinya dan mengharap rezeki dari Allah.

Adakah kita mahukan diri kita menjadi seperti kisah si buta di atas tadi?

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433.

Wak,
TDI.

Friday, November 18, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung- Bahagian 7 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

18 November 2011 seperti yang tercatat dalam surat jemputan yang saya terima adalah merupakan Hari Anugerah Cemerlang SRIAS sessi 2011.Majlis dilaksanakan di Dataran SRIAS.

Saya tiba di sekolah sekitar jam 8 malam.Sebelum masuk ke dalam kawasan sekolah,saya dan Abdul Aziz menjamu selera dahulu dengan bekal yang telah dibawa dari rumah.Menunya,nasi dan daging masak spesel (resepi dari Alor Star).

Masuk ke dalam kawasan sekolah saya melalui di tepi bangunan surau MTAS dan SRIAS.Kedengaran suara anak-anak MTAS sedang berqasidah dari dalam surau.Kami terus ke Dataran SRIAS.

Setelah berpusing-pusing mencari rakan-rakan Abdul Aziz dan Abdul Aziz pun sudah memasuki tempat berkumpul untuk murid-murid,saya berpatah balik untuk ke surau,memandangkan masih ramai ibubapa yang belum sampai (kerusi di bawah khemah masih banyak yang kosong).Dalam perjalanan ke surau,terserempak pula dengan Ustaz Zamani,beliau yang saya kenal merupakan pengganti sementara Ustaz Abdul Halim untuk Kuliah Maghrib (setiap selasa) di Masjid Taman Paroi Jaya kerana Ustaz Abdul Halim pergi menunaikan haji.

Selesai Solat Isya berjemaah di Surau,saya berpatah balik ke Dataran SRIAS.Ramai ibubapa sudah memenuhi kerusi di bawah khemah.Saya cepat-cepat mencari tempat yang terbaik.

Biar gambar pula yang berbicara :

Muallimah Nur Hayati (Mudirah SRIAS)
...sedang memberikan ucapan.
SRIAS-20 pelajarnya mendapat 5A dalam UPSR.Tahniah Semua!
Ia merupakan pencapaian yang cemerlang.

Ucapan perasmian oleh Ustaz Zamani Ibrahim (orang besar di JHEAINS).
Beliau juga merupakan bekas pengetua Institut Tahfiz Al-Quran (ITQAN) Negeri Sembilan.
...pesan beliau :
"Pesanlah pada anak-anak agar mereka belajar bersungguh-sungguh
bukan supaya mereka apabila dewasa esok menjadi senang (kejayaan keperibadian sahaja)
tetapi pesanlah agar mereka berjaya kelak dapat berkhidmat kepada ummat (untuk semua)."

Salah satu persembahan dari Kelab Nasyid SRIAS.

Abdul Aziz ketika menerima hadiah di atas pentas.
"Terima kasih ustaz!"-itu katanya ketika menerima hadiah.

Moga SRIAS,pentadbir,tenaga pengajar,anak didik dan ibubapa semua terus diberikan kesihatan dan kecemerlangan.Moga mereka semua dapat berkhidmat untuk ummat.

Jumpa lagi tahun hadapan,InsyaAllah.

Wak,
TDI.

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung- Bahagian 6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

11.11.11 saya bertemankan anak saya Abdul Hadi telah pergi ke SRIAS untuk mengambil buku rekod kemajuan.Saya sampai di sekolah sekitar jam 10 pagi.Ia waktu yang telah saya janjikan dengan Abdul Aziz.

Alhamdulillah,ketika saya tiba di kelas 1 Ibnu Khaldun,tiada seorang pun ibubapa yang sedang berurusan dengan Muallimah Aishah di dalam kelas.Saya terus masuk ke dalam.Selesai mendengar penerangan tahap pencapaian pelajaran anak saya bagi keseluruhan 1 tahun,Alhamdulillah,secara keseluruhan keputusannya adalah memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan.Malah tidak disangka-sangka Abdul Aziz dan saya dijemput ke Hari Anugerah Cemerlang SRIAS sessi 2011 untuk menerima hadiah.Alhamdulillah,ia rezeki semua orang dan sudah tentunya datang dari Allah SWT.

Laporan Pelajaran Semester 2 (sessi 2011)

Laporan Keseluruhan untuk Akademik dan SPPM
.....dari sumber laman web sekolah.
(srias-saidiyyah.edu.my-e waris)

Jemputan ke Hari Anugerah Cemerlang.

Alhamdulillah.Ia permulaan yang memberangsangkan.
Abdul Aziz juga sudah memulakan proses "Mencari Sesuatu Untuk Dipandu"

Wak,
TDI.

Wednesday, November 16, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pepatah orang putih ada mengatakan,"Adalah tidak bijak mematikan api apabila air sedang mengelegak."

Semangat.

Abdul Hadi anak kedua saya sudah berumur 5 tahun.Mengikut 'trend' semasa,tahun depan dia perlu bersekolah tadika.Namun,awal-awal lagi,dengan penuh bersemangat dia sudah menyiapkan dirinya sendiri dengan perkakas sekolahnya.Baju PASTI Abdul Aziz sudah menjadi hak mutlaknya.Sudahpun dipakai beberapa kali termasuk ketika mengikut saya solat di surau berdekatan.

Mendaftar.

Kebetulan ketika isteri saya bersalin tempohari,saya mengambil cuti tahun yang agak panjang.Saya mengambil kesempatan untuk mendaftarkan Abdul Hadi ke PASTI Taman Desa Ixora yang berada selang beberapa lorong dari rumah saya.

Punyalah gembira Abdul Hadi ketika diberitahu akan tujuan saya itu.Malam sebelum hari mendaftar,dia mengikut seperti aktiviti Abdul Aziz tiap-tiap hari,iaitu menjadual buku untuk dimasukkan ke dalam beg.Habis diselongkar almari buku untuk mencari buku teks Abdul Aziz ketika di PASTI dahulu.Turut menjadi sasasaran adalah fail kertas peperiksaan juga milik Abdul Aziz ketika di PASTI.Apa yang dijumpa habis 'dijadualkan' dan dimasukkan di dalam beg Transformernya.

Hari mendaftar.

Pagi 31 Okt 2011,Abdul Hadi mengikut saya ke Pasti Al Haazim,Taman Desa Ixora untuk proses pendaftaran.Sampai di pintu pagar,apabila Cikgu Zawati membuka pintu,pelajar-pelajar di dalam juga turut keluar menerpa kami."Budak baru!",jerit mereka.

Kami dijemput masuk ke dalam.Pelajar-pelajar tadi yang berada di luar turut mengiringi kami masuk.Sebahagian dari mereka berlari ke bilik hujung PASTI di mana kelas pelajar 6 tahun berada."Budak baru,budak baru!",jerit mereka lagi kepada kawan mereka yang berada di dalam kelas tersebut.Apalagi,mereka sepakat lari keluar dari kelas mereka dan mencari kami di bilik yang dijadikan pejabat pengurusan PASTI.

Borang pendaftaran.

Cikgu Zawati dan Cikgu Raja Azlina memang telah saling mengenali antara kami sekeluarga.Malah mereka juga turut mengetahui isteri saya sudah bersalin.Sambil saya mengambil borang pendaftaran sambil itu jugalah kami bertukar-tukar cerita mengenai perkembangan semasa antara kami,terutamanya Abdul Aziz,bekas anak murid PASTI Al Haazim.

Setelah selesai mendapat penerangan berkenaan pendaftaran,saya dikehendaki mengisi beberapa borang berserta beberapa dokumen yang perlu dikepilkan sekali bagi proses pendaftaran.Akhirnya borang saya terima itu saya bawa pulang untuk dilengkapkan.

Selain borang pendaftaran,saya juga mendapat
senarai yuran pendaftaran PASTI 2012.

Pulang.

Sebelum pulang,sempat Cikgu Zawati mempelawa Abdul Hadi untuk tinggal sebentar di PASTI,memandangkan ketika itu sudah menjejak jam 10 pagi.Tetapi nampak gaya bahasa tubuhnya,Abdul Hadi tidak mahu ditinggalkan.Lalu kami pun balik ke rumah.

Serah borang.

Pagi 1 Nov 2011,saya datang lagi ke PASTI.Kali ini untuk menyerahkan borang yang telah lengkap diisi dan untuk membayar yuran pendaftaran.Namun,apa yang peliknya,Abdul Hadi begitu bersemangat untuk mengikut saya dan berjanji akan tinggal di PASTI.

Bersemangat!
Berfoto kenangan dengan borang pendaftaran yang
sudah lengkap saya isi.

Ain Sofiah nak enter frame :)

Ain Sofiah lagi tapi solo kali ini.
"Kita nak ambik gambar macam hadi tu....."

Sampai di PASTI,saya menyerahkan borang dan membayar yuran pendaftaran.Abdul Hadi pula menyesuaikan diri dengan kawan-kawan barunya.Nampaknya dia boleh 'masuk' dengan suasana dan situasi baru itu.

Alhamdulillah.Settle 1 tanggungjawab.
Duit yuran sudah dibayar.
Tentunya duit itu diambil dari duit bonus segera.
(baki duit yang sepatutnya diperuntukkan untuk ke Hospital Colombia Asia)


Orientasi.

Saya meminta izin dengan Cikgu Zawati untuk meninggalkan Abdul Hadi seharian di PASTI pada hari itu.Biar dia merasai hari suai kenal disitu.

Selesai hari pertama.

Alhamdulillah,jam 11 setengah apabila saya menjemput Abdul Hadi di PASTI,nampak-nampak seperti semuanya berjalan lancar.Tiada tanda yang dia menangis.Hanya 1 soalan dari saya? "Ada pergi bilik air tak kat PASTI tadi?" Dia hanya menggeleng sambil tersenyum simpul.Risau juga saya kalau dia membuat perangai seperti di rumah,seluar dibuka merata tempat lalu berlari ke bilik air.

Tahun hadapan.

2012,Abdul Hadi akan memulakan sessi persekolahan di PASTI.Moga silibus,pengajaran dan penerapan yang berlatarbelakangkang Islam itu dapat mendidik anak saya menjadi seorang Islam yang bertaqwa.InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Tuesday, November 15, 2011

Cahaya Mata Baru (Part akhir - Penghargaan)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,hari ini sudah genap 16 hari Ainul Huda lahir ke dunia.Dengan berat ketika lahir 2.75kg saya dapat mengagak beratnya kini mungkin melebihi 3kg berkat murahnya rezeki yang Allah beri kepadanya melalui susu ibu.

Tali pusatnya juga sudah tanggal beberapa hari yang lepas.Antara petua yang kami gunakan agar tali pusat cepat kering dan cepat tanggal adalah menyapukan tepung ubi sekitar tali pusat bayi.Apabila tali pusat sudah tanggal,umminya sudah boleh memakan lauk pauk yang 'gatal' seperti udang,sotong dan ayam.Proses memandikan bayi juga menjadi semakin mudah,kerana jika masih ada tali pusat,perlu berhati-hati ketika memandikan bayi.

Mengambil kesempatan ini,saya ingin memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua individu yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung sehinggalah isteri dan anak saya yang baru lahir selamat dalam segala urusan.Jasa,budi,ucapan,doa kalian semua memang saya tidak mampu membalasnya.Apa yang mampu saya lakukan hanya mendoakan kalian semua sentiasa berada dalam iman,sentiasa dapat menjaga solat lima waktu,dimurahkan rezeki dan dapat masuk syurga dengan izinNya.

Pihak Hospital.

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak hospital Tuanku Jaafar terutamanya pihak yang menyambut panggilan telefon saya.Ketika saya dalam kecemasan dan penuh debaran,suara yang saya tidak kenali itu menjawab panggilan telefon saya dengan penuh berhemah dan berjaya meredakan perasaan saya.

Tidak lupa juga kepada team ambulans (pemandu,pembantu,MO dan bidan) yang cekap menjalankan tugas.Kepada mereka,khas doa dari saya,moga kerja yang diamanahkan menjadi sedekah dan kemudiannya menjadi amal jariah yang pahalanya mengalir sehingga bila-bila.

Tidak lupa juga pada doktor,jururawat (labour room dan wad 1a) yang sentiasa bertungkus lumus memastikan isteri dan anak saya dalam keadaan sihat.Kepada mereka,moga mereka mendapat kejayaan yang lebih dalam kerier mereka masing-masing.

Jiran tersayang.

Kepada Cikgu Azmi,Puan Rehan seisi keluarga dan bibik.Tidak ada kata yang mampu saya ungkapkan.Merekalah yang bersusah payah membantu saya dari menyambut bayi,mengemas kesan darah di atas lantai tempat bersalin,mengunci rumah,menjaga,memandikan dan memberi makan anak saya seharian seramai 4 orang dan banyak lagi sebenarnya jika ingin disenaraikan.Namun yang pastinya saya tidak mampu membalas jasa dan budi mereka semua.

Kepada kakak dan adik tercinta.

Walaupun mereka sebenarnya sedang sarat mengandung,mereka sekeluarga meluangkan masa bukan sekadar melawat isteri saya dan bayi yang baru lahir,bahkan membantu saya menguruskan anak-anak dan isteri yang sedang berpantang.

Aduhai...apalah yang boleh diharap sangat dari saya,seorang bapa yang pandai mengarah sahaja.

Kepada yang lain.

Kepada ipar-duai,sepupu-sepapat,kawan-kawan sekerja & ex-sekerja,se-1sekolah,seJepun,sahabat seusrah,jiran tetangga,ahli jemaah surau Irsyadiah dan yang lain-lain,ucapan dari saya-"Terima kasih di atas segala ucapan tahniah dan doa.Moga-moga Allah memberkati hidup kita semua,menganugerahkan kekuatan untuk terus beramal di atas muka bumi ini dan akhirnya kita mati dalam khusnul khatimah (pengakhiran yang baik) InsyaAllah."

Ya Allah,aku memohon kepadaMu.....

Wak,
TDI.

Monday, November 14, 2011

Cahaya Mata Baru (Part 5 - Rezeki )

Bismillah hirrahman nirrahim.

Anak ramai,perlukah?

Dalam beberapa situasi,ada yang bertanya kepada saya :

Mengapa saya ada anak ramai?
Jawapan saya : "Ia adalah anugerah dan rezeki dari Allah."

Tak merancang keluarga ke?
Jawapan saya : "Kita merancang,Allah juga Merancang,dan Allah adalah sebaik-baik Perancang."

Gaji cukup?
Jawapan saya : "Orang gaji 5 angka malah ada 2 orang anak je pun,tak tentu bila di tanya ‘gaji cukup ke tak’ akan menjawab 'cukup'."

Macamana pula kalau yang bertanya itu orang bukan Islam.Mereka ini tidak beriman seperti kita orang Islam.

Jawapan saya : I believe in God.I think,you also believe in God. (Dan diiringi dengan senyuman)

Bagi yang masih tertanya-tanya,

Jawapan saya : "Anak yang lahir itu telah dituliskan baginya rezeki dan ajalnya."

Jawapan-jawapan di atas bukan jawapan yang saya reka atau fikir sendiri,bahkan ia adalah jawapan-jawapan biasa yang mungkin orang lain akan juga menggunakan jawapan tersebut.

Tapi,mana buktinya?

Duit Muyi.

Bagi masyarakat jawa,apabila ada bayi yang baru lahir,jiran terdekat akan datang melawat.Melawat atau dalam bahasa jawanya 'telek' bayi baru lahir pula di panggil 'muyi'.Kerap kali tetamu yang datang muyi itu,sebelum pulang akan menyelitkan beberapa wang kertas berdekatan tempat bayi sebagai hadiah atau duit 'muyi'.

Bukankah itu salah satu rezeki untuk bayi yang baru lahir?

Hadiah.

Bagi yang agak moden sedikit,apabila datang melawat bayi yang baru lahir,mereka datang membawa set kelengkapan bayi yang dijadikan sebagai bungkusan hamper sebagai hadiah dan diberikan kepada bayi berkenaan.

Antara hadiah awal buat Ainul Huda.
Sumbangan dari Cik Faizal dan Cik Na (LHDN Seremban)

Bukankah itu juga salah satu rezeki untuk bayi yang baru lahir?

Tahniah dan doa.

Saya banyak mendapat sms.Antara ucapan awal dari ramai sahabat handai,ahli keluarga dan rakan sekerja apabila saya memaklumkan akan kelahiran bayi saya yang baru lahir adalah ucapan tahniah.Malah hampir semua dari mereka,yang turut sama mengiringi dengan pelbagai jenis macam doa dalam mesej mereka kepada saya.Antaranya mendoakan anak saya agar menjadi anak yang solehah.

Antara mesej yang masuk ke dalam telefon.
Mesej dari Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah-Naqib usrah kami.
Tentunya keberkatan pasti hadir dari doa orang alim
yang dipanjatkan di tempat yang semulia Masjidil Haram.

Bukankah itu juga rezeki untuk bayi yang baru lahir?

Almari baju.

Kelmarin,ketika membantu anak mengemas rak baju mereka yang agak bersepah,baru saya perasan yang rak baju Ain Sofiahlah yang paling banyak bilangan bajunya.Ternyata,seingat saya,kebanyakkan dari baju itu bukan saya yang membelinya sendiri.Ia datang dari pelbagai sumber.Ain Sofiah pula semakin hari semakin membesar,banyak bajunya yang sudah lagi tidak muat untuk dipakai.Siapalagi yang boleh memakainya selain Ainul Huda,anak saya yang baru lahir.

Bukankah itu juga rezeki untuk bayi yang baru lahir?

Duit bonus.

Pada awalnya saya bercadang untuk menghantar isteri saya di Hospital Colombia Asia untuk proses kelahiran anak saya yang kelima ini.Hasil dari sedikit perancangan awal,saya berdikit menyimpan dan akhirnya berjaya mengumpul sekitar RM2500 untuk tujuan itu.Sudah suratan,isteri saya bersalin dirumah dan mendapat rawatan lanjutan di Hospital Tuanku Jaafar.Ketika mendaftar masuk isteri saya di Hospital Tuanku Jaafar,saya dikehendaki membayar RM30 sebagai wang cagaran.Apabila isteri saya discaj dari wad,saya pergi ke kaunter pendaftaran untuk menjelaskan bil,sebaliknya saya menerima RM13 pula kerana wang cagaran yang saya bayar melebihi caj yang dikenakan oleh pihak hospital.

Bil dari Hospital Tuanku Jaafar.
Ia sejumlah RM17.00.

Selepas selesai urusan di hospital,ditolak bayaran bil yang dikenakan,ditangan saya masih berbaki RM2483.Wang itu pada asalnya saya sudah ketepikan untuk bayaran kepada pihak Hospital Colombia Asia,sebaliknya wang itu seperti balik ke tangan saya kembali.Ia seolah-olah bonus yang tidak terduga.

Bagi orang seperti saya,jumlah wang itu memang agak besar.Lagi-lagilah bayi baru sahaja lahir,pelbagai urusan yang berkaitan dengan wang perlu diselesaikan.Dan wang itu tentulah sahaja amat-amat membantu.Bukankahkah itu satu suratan.

Malah,bukankah itu juga rezeki untuk bayi yang baru lahir?

Itu baru sedikit senarai dari rezeki yang boleh dilihat oleh mata kasar manusia.Bagaimana pula rezeki yang tidak langsung terlihat/terlintas/terpikir oleh pancaindera manusia yang terhad ini?

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" -Ar Rahmaan.

Lalu,jika rezeki anak yang baru lahir sudah ditentukanNya,apa yang perlu kita risaukan?

Sabda RasulullahSAW bermaksud: "Setiap anak dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci bersih) seperti kain putih. Ibu bapa yang berperanan mencoraknya sama menjadi seorang Yahudi, Nasrani (Kristian) atau Majusi."

Moga perkongsian memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

:: Turun Hidayah Ketika Makan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Seorang pakcik dari PD menceritakan suatu kisah ketika kami duduk semeja ketika makan di satu majlis perkhawinan.

Bunga rampai-begitu sinonim dengan majlis orang khawin.
Saya gemar baunya yang semulajadi.

Ceritanya begini,

Salah seorang sahabat pakcik ini mempunyai 4 orang isteri.Bagi sahabat pakcik ini,mempunyai 4 orang isteri adalah satu nikmat anugerah Allah SWT yang besar dan bukan calang-calang orang dapat merasai nikmatnya.Bahkan status sebagai ketua pemerintah negara pun belum pasti dapat mengecapi nikmatnya.

Suatu hari,ketika sahabat itu sedang makan dan hendak menyuap nasi ke mulutnya,tiba-tiba dia meletakkan kembali nasi dalam genggaman itu ke dalam pinggannya.Lalu,tiba-tiba dia menangis teresak-esak.Sambil menangis teresak-esak itu dia teringatkan kenangan zaman lampaunya.

Rupanya sahabat itu teringatkan saat ketika ibunya menyuapkan nasi kepada adik beradiknya ketika mereka kecil.Ketika itu,ibunya akan melenyek pisang dan digaul dengan nasi dan akan menyuapkannya kepada adik beradiknya termasuklah kemulutnya.

Apabila teringatkan akan kisah itu,rupanya ketika sahabat tadi itu hendak menyuap nasi ke dalam mulutnya,entah bagaimana terlintas di dalam hatinya,sesungguhnya dia tidak mampu mengira berapakah butiran nasi yang ada di dalam genggamannya itu.Sebenarnya nikmat itulah jauh lebih besar baginya.

Selepas dari itu,sahabat itu bertaubat bersungguh-sungguh untuk tidak berbangga dengan sebarang nikmat yang diperolehinya,terutama sekali nikmat yang orang lain tidak dapat mengecapinya.

Sesudah reda tangisnya dan sudah bertaubat,barulah sahabat tadi itu meneruskan niatnya untuk menyuap nasi ke mulutnya.

Mendapat hidayah ketika makan.

Kata pakcik dari PD itu tadi,kadang-kadang lintasan di dalam hati itu berlaku dalam suatu masa yang cukup sekejap,tetapi kesannya mendalam dan cukup lama akan terpendam di dalam hati dan sanubari orang tersebut.

"Hidayah itu milik Allah" - Ya Allah terangilah hati kami ini dengan cahaya HidayahMu sepertimana Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya matahariMu.Amin.

Moga perkongsian dapat memberikan emnafaat.

Wak,
TDI.