Saturday, December 31, 2011

:: Forum : Ancaman Kristianisasi di Malaysia ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

(klik gambar untuk paparan lebih besar)

Dengan kerjasama Masjid Jamek Dato` Kelana Petra Sendeng dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),akan diadakan "Forum Maal Hijrah : Ancaman Kristianisasi " pada hari Ahad 8 Januari 2012 di Masjid Jamek Dato` Kelana Petra Sendeng,Ampangan,Seremban,Negeri Sembilan. Semua dijemput hadir. Moga kita dapat menyedarkan masyarakat sekeliling dengan lebih giat dan kuat akan usaha gerakan Kristianisasi yang cuba menyelewengkan akidah umat Islam sejak akhir-akhir ini. Ameen.

Wak,
TDI.

Monday, November 28, 2011

:: Ia bagaikan keluarga ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

1999-2000.

Setelah setengah tahun saya tinggal di Jepun,saya mula mencari-cari aktiviti untuk mengisi masa yang terluang.Suatu hari sensei taiiku (baca : cikgu PJ) kelas saya (3 nen 3 kumi) mengajak saya untuk menyertai kelab ragbi kolej tempat saya belajar.
(Nota : Sebenarnya rata-rata pelajar Jepun mempunyai kelab sukan mereka sendiri.Kebanyakkan kelab sukan yang mereka sertai bermula dari sekolah rendah hinggalah ke kolej/universiti.Malah mereka setia pada kelab yang sama.Tidak hairanlah bakat ahli sukan mereka terserlah.Mereka terlatih dari kecil.)

Kerana malu dengan ajakan yang berulangkali,saya pun suatu hari membawa sepasang kasut bola dan pakaian sukan ke tepi padang.Di sana saya berjumpa dengan Manager kelab ragbi kolej kami.
(Nota : Manager bagi kelab sukan biasanya adalah pelajar-pelajar perempuan.Mereka diberi tugas sebagai pembantu kelab sukan seperti mengemas stor,menyediakan kelengkapan dan mengambil kedatangan.Ia langsung tidak menggambarkan istilah MANAGER seperti yang ada di dalam kepala saya.)

Selepas memberikan kedatangan kepada Manager,saya terus berjumpa Arai Sensei,jurulatih kelab ragbi kolej.Saya terus menyertai ahli kelab yang lain untuk memenaskan badan dan seterusnya aktiviti-aktiviti yang lain.

Di pendekkan cerita,saya telah terpilih untuk mewakili Tsuyama Kosen ke pertandingan ragbi antara kolej cyugoku-bu (cyugoku-bu adalah kawasan yang merangkumi Okayama-ken,Shimane-ken,Hiroshima dan Totori-ken).

Pertandingan pada tahun tersebut telah diadakan di padang bandar Shimane.Ia sebuah padang yang luas dan cantik.

Sehari sebelum pertandingan dimulakan,kami sudah diwajibkan oleh pihak penganjur untuk berada di bandar Shimane.Pada petang hari berkenaan,seluruh kontijen setiap pasukan telah dijemput untuk sessi menyesuaikan diri di atas padang perlawanan.Kami telah diberi kesempatan untuk memanaskan badan di atas padang.

Unik.

Aktiviti memanaskan badan pada petang itu dibuat secara kolaburasi.Kapten pasukan Kolej Shimane telah menerajui seluruh 4 pasukan yang menyertai pertandingan selama 2 hari itu untuk membuat warm-up.Setelah aktiviti warm-up selesai,kami yang yang sedang berada di dalam bulatan diarahkan untuk membilang 1~4.Pemain yang membilang angka 1 di arahkan pula untuk berkumpul di suatu kelompok.Begitu juga pemain yang membilang angka 2,3 dan 4.

Setelah membentuk 4 kelompok kami memulakan aktiviti masing-masing.Setiap kelompok mempunyai pemain yang bercampur-campur dari kolej yang berlainan.Walaupun buat kali pertama bertemu muka,kami tidak kekok untuk membuat aktiviti bersama seperti bersilang-silang menghantar bola dan banyak formasi lain yang biasa kami buat ketika berlatih di kolej.

Selesai aktiviti berkelompok itu kami berkumpul sekali lagi ditengah padang.Ketika itulah wakil dari setiap pasukan yang merupakan jurulatih rugbi memberi kata-kata aluan kepada kami semua.

Selesai mendengar kata-kata aluan,kami dipecahkan sekali lagi.Kali ini kami dipecahkan menjadi kumpulan mengikut posisi kami.Pemain di bahagian forwards dikumpulkan di satu sudut manakala pemain di bahagian backs pula di satu sudut lain.

Setelah berada di kumpulan kami (baca : backs),kami sekali lagi membuat beberapa aktiviti bersama,tidak kira kami dari pasukan mana.Begitu juga kumpalan forwards.Saya melihat mereka berasak bersama membuat aktiviti mereka.Mereka juga berlatih bersama tidak mengira pasukan apa.

Tamat latihan memanaskan badan.

Setelah menjelang petang,barulah latihan petang itu tamat.Sebelum pulang kami berkumpul sekali lagi di tengah padang.Jurulatih pasukan Shimane Kosen membuat ucapan penutup.Apa yang ditekankan pada ucapan pada petang itu adalah,pertandingan yang dianjurkan bukanlah untuk menampilkan pasukan mana yang lebih kuat semata,tetapi adalah untuk menaikkan lagi taraf dan skill permaianan rugbi pada setiap pasukan.Latihan kolaburasi pada petang itu pula adalah untuk membangkitkan semangat setia kawan.Semangat untuk menang ketika pertandingan adalah salah satu objektif.Tetapi ikatan antara hati yang terjalin ketika latihan pemanas badan pada petang itu diharap agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,ketika perlawanan berlangsung.Semua sedia maklum,ragbi adalah satu sukan yang lasak.Emosi yang tidak terkawal bisa menjadi punca pergaduhan jika ianya tidak dikawal.Kami akhiri sessi petang itu dengan harapan esok cuaca akan cerah bercahaya.

....itu kisah 11 tahun dahulu.

Usrah : Ikatan antara hati.

Antara tujuan usrah adalah membentuk kumpulan-kumpulan yang membuat beberapa aktiviti bersama dalam menghala dan membawa ummat Islam menuju kejayaan yang sebenar.Selain dari itu juga,tujuan usrah adalah bagi menjalin hati-hati ahli di dalam usrah.Jalinan antara hati ini penting bagi mengelakkan berlakunya perpecahan di dalam antara ahli usrah.Bila berlakunya perpecahan,ini bukan sahaja merugikan,malah hala tuju bagi membawa masyarakat menuju kejayaan juga akan terbantut dan tidak berkembang.

Bukankah ianya begitu?

Sebab itulah,usrah bukanlah terhad dengan hanya berkumpul dan berbincang tentang Islam sahaja dan permasalahan yang timbul di antara ahli usrah.Bahkan aktiviti usrah amat luas.Rehlah,riadah/bersukan,ziarah,majlis jamuan,ia adalah antara beberapa contoh aktiviti yang boleh diusrahkan.

Sepertimana pasukan ragbi cyugoku-bu diharap dapat terjalin hati-hati mereka ketika melakukan latihan secara kolabirasi maka begitu jugalah pasukan usrah.Malah hala tuju usrah sebenarnya lebih besar.

Jadinya,untuk menyertai usrah,ia bukanlah hanya memerlukan ahli yang nampaknya baik-baik sahaja,bahkan pemain ragbi juga boleh menyertai usrah.Ia ada simboliknya di sebalik aktiviti yang dijalankan.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

:: Perjalanan perlu diteruskan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Orang dahulu memang kaya dengan kata bidalan dan perumpamaan.Lalu mereka membuat kisah si buta dengan si gajah.

Arakian......Lalu bila 3 orang buta berjumpa gajah,yang seorang memegang perut gajah dikatakannya gajah itu seperti dinding yang rata.Bila seorang memegang telinga gajah,dikatakan gajah itu umpama kipas.Dan bila yang sorang lagi memegang ekor gajah,dikatakannya gajah itu umpama tali.Mereka masing-masing membuat kesimpulan tentang rupa bentuk gajah berdasarkan apa yang mereka rasa sahaja.Sedangkan mereka hanya memegang sebahagian dari tubuh badan gajah sahaja.

...itu kisah/perumpamaan orang dahulu.

Kisah orang sekarang.

Sebahagian orang sekarang melihat Islam berdasarkan apa yang mereka 'rasa'.Sebahagian dari kita melihat Islam hanyalah menunaikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan sahaja.Sebahagian dari kita pula,melihat Islam hanya solat fardhu Jumaat dan solat 2 hari raya sahaja.Manakala ada sebahagian dari kita pula melihat Islam hanya dengan pergi menunaikan ibadat haji ke Mekah sahaja.

Teruk sangatkah ummat Islam sekarang?

Adakah sudah tidak ada lagi orang yang betul-betul baik di atas muka bumi ini?

'Kisah orang sekarang' bukan bermaksud begitu.Syiar Islam di atas muka bumi ini masih lagi bersinar.Orang masih lagi ke masjid-masjid untuk menunaikan solat fardhu.Majlis-majlis ilmu masih boleh dijumpai di sana-sini.Kumpulan-kumpulan tareqat masih lagi aktif membuat aktiviti mereka.Malah semua ini menunjukkan orang-orang yang berakhlak baik dan beramal ibadat masih lagi ramai.

Musuh Islam.

Tidak cukup jika hanya kita menjadi seorang Islam yang baik dengan hanya melakukan amal ibadah untuk diri sendiri sahaja.Ini kerana Islam itu syumul-lengkap dan sempurna.Kita tidak mahu orang yang baik-baik ini diserang oleh musuh-musuh Islam di luar sana.Gerakan fahaman liberal contohnya,ia berjaya mempengaruhi ramai dari golongan ummat Islam.Akhirnya,golongan yang dipengaruhi ini beranggapan agama itu semuanya sama-iaitu mengajar penganutnya agar berbuat baik.Jika ada penganut agama lain yang lebih baik dari penganut agama Islam,maka boleh dianggap penganut agama lain itu lebih baik darjatnya.Sedangkan Islam itu tinggi dan lebih tinggi dari yang lain.

Lebih dahsyat dari itu,bila ada dari kita yang mengamalkan Islam yang sebenarnya,dengan mengambil kira keseluruhan intipatinya,orang itu dianggap sebagai 'ekstrim'.Berapa ramai dari kita termakan doktrin ini?

Senjata musuh.

Musuh Islam merancang strategi untuk melalaikan ummat Islam dengan pelbagai cara.Ini termasuklah dengan serangan tentera dan serangan budaya.

Mungkin sesuatu yang pelik dan luarbiasa bila kita melihat satu ceramah agama di masjid kariah kita,lalu tiba-tiba keluar seorang gadis di hadapan pentas untuk mengiklankan sesuatu barangan.Ia belum pernah berlaku.Tetapi ia tidak pelik apabila kita melihat ceramah agama melalui siaran televisyen,bila tiba ruangan iklan,kaca tv tiba-tiba memaparkan 2,3 iklan yang wanitanya tidak menutup aurat.Ia sudah benar-benar tidak memelikkan.Dan ini sudah tentulah serangan halus dari musuh Islam.

Masyarakat terleka.

Selepas Nabi Ibrahim tiada,amalan solat dan berpuasa sudah tidak lagi diamalkan oleh orang ketika itu.Yang berkekalan terus hanyalah ibadah haji.Ini kerana ramai pedagang yang memperdagangkan barangan mereka datang ke Mekah dan menjadikan Mekah sebagai pusat perniagaan.

Jika mengambil kira kisah sejarah ini,manusia memang tertarik dan tidak boleh lari dengan apa sahaja bentuk yang mengarah kepada wang dan kekayaan.Apa sahaja yang boleh mendatangkan nilai komersial akan diambil berat dan diberi sepenuh perhatian.Manakala yang tidak mendatangkan apa jua bentuk keuntungan boleh diletak tepi.

Risau.

Kita tidak mahu lahir generasi yang bila tiba waktu solat mereka solat tetapi selepas mereka selesai menunaikan solat mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu termasuk perlakuan maksiat.Malah kita juga tidak mahu lahir satu generasi yang melihat perlakuan maksiat dan mereka tidak langsung mengambil peduli kerana bagi mereka itu tidak mendatangkan 1 apapun keuntungan.

Tunjukkan jalan.

Bagi mengelakkan generasi dan zuriat yang bakal lahir nanti semakin songsang pemikiran mereka terhadap Islam,kita mestilah menunjukkan jalan kepada mereka jalan Islam yang sebenar.

Dari mana  pula kita hendak mengambil sumber sebagai penunjuk jalan berkenaan?

Dari beribu-ribu ayat Al Quran,hanya sekitar 800 ayat sahaja yang berkaitan tentang hukum-hakam.Yang selebihnya pula banyak ayat yang menceritakan tentang kisah dan iktibar (kisah Nabi Musa,Kisah Nabi Yusuf,Kisah Mariam,Kisah Bani Israel dll).

Bagaimana kita hendak menjadikan kisah di atas sebagai penunjuk jalan?

Nabi Muhammad SAW telah lama wafat dan tiada lagi nabi selepas itu.Nabi Muhammad SAW sehingga ke umur wafatnya memperuntukkan hidup baginda untuk berdakwah.Begitu juga Nabi-Nabi yang lain.Kita pula sebagai manusia,diutuskan ke muka bumi ini untuk menjadi khalifah dan tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk mentadbir bumi.Jika kita tidak membuat kerja Nabi,iaitu berdakwah maka kita tidak dapat menerapkan kisah-kisah hidup yang tercatat di dalam Al Quran di dalam hidup kita.

Masakan seorang ayah yang bekerja di tengah lautan berminggu-minggu lamanya dapat menerapkan kisah hidup Nabi Ibrahim ke dalam hidupnya dan keluarganya jika ia tidak membuat kerja dakwah.Malah bagi si ayah itu,gajinya yang beribu-ribu USD itulah yang dapat menjamin keselesaan hidup anak dan isteri yang ditinggalkan itu.Sedangkan Nabi Ibrahim yang meninggalkan isteri dan anaknya yang masih kecil di lembah yang penuh gersang hanya berserah penuh dirinya dan mengharap rezeki dari Allah.

Adakah kita mahukan diri kita menjadi seperti kisah si buta di atas tadi?

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433.

Wak,
TDI.

Friday, November 18, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung- Bahagian 7 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

18 November 2011 seperti yang tercatat dalam surat jemputan yang saya terima adalah merupakan Hari Anugerah Cemerlang SRIAS sessi 2011.Majlis dilaksanakan di Dataran SRIAS.

Saya tiba di sekolah sekitar jam 8 malam.Sebelum masuk ke dalam kawasan sekolah,saya dan Abdul Aziz menjamu selera dahulu dengan bekal yang telah dibawa dari rumah.Menunya,nasi dan daging masak spesel (resepi dari Alor Star).

Masuk ke dalam kawasan sekolah saya melalui di tepi bangunan surau MTAS dan SRIAS.Kedengaran suara anak-anak MTAS sedang berqasidah dari dalam surau.Kami terus ke Dataran SRIAS.

Setelah berpusing-pusing mencari rakan-rakan Abdul Aziz dan Abdul Aziz pun sudah memasuki tempat berkumpul untuk murid-murid,saya berpatah balik untuk ke surau,memandangkan masih ramai ibubapa yang belum sampai (kerusi di bawah khemah masih banyak yang kosong).Dalam perjalanan ke surau,terserempak pula dengan Ustaz Zamani,beliau yang saya kenal merupakan pengganti sementara Ustaz Abdul Halim untuk Kuliah Maghrib (setiap selasa) di Masjid Taman Paroi Jaya kerana Ustaz Abdul Halim pergi menunaikan haji.

Selesai Solat Isya berjemaah di Surau,saya berpatah balik ke Dataran SRIAS.Ramai ibubapa sudah memenuhi kerusi di bawah khemah.Saya cepat-cepat mencari tempat yang terbaik.

Biar gambar pula yang berbicara :

Muallimah Nur Hayati (Mudirah SRIAS)
...sedang memberikan ucapan.
SRIAS-20 pelajarnya mendapat 5A dalam UPSR.Tahniah Semua!
Ia merupakan pencapaian yang cemerlang.

Ucapan perasmian oleh Ustaz Zamani Ibrahim (orang besar di JHEAINS).
Beliau juga merupakan bekas pengetua Institut Tahfiz Al-Quran (ITQAN) Negeri Sembilan.
...pesan beliau :
"Pesanlah pada anak-anak agar mereka belajar bersungguh-sungguh
bukan supaya mereka apabila dewasa esok menjadi senang (kejayaan keperibadian sahaja)
tetapi pesanlah agar mereka berjaya kelak dapat berkhidmat kepada ummat (untuk semua)."

Salah satu persembahan dari Kelab Nasyid SRIAS.

Abdul Aziz ketika menerima hadiah di atas pentas.
"Terima kasih ustaz!"-itu katanya ketika menerima hadiah.

Moga SRIAS,pentadbir,tenaga pengajar,anak didik dan ibubapa semua terus diberikan kesihatan dan kecemerlangan.Moga mereka semua dapat berkhidmat untuk ummat.

Jumpa lagi tahun hadapan,InsyaAllah.

Wak,
TDI.

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung- Bahagian 6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

11.11.11 saya bertemankan anak saya Abdul Hadi telah pergi ke SRIAS untuk mengambil buku rekod kemajuan.Saya sampai di sekolah sekitar jam 10 pagi.Ia waktu yang telah saya janjikan dengan Abdul Aziz.

Alhamdulillah,ketika saya tiba di kelas 1 Ibnu Khaldun,tiada seorang pun ibubapa yang sedang berurusan dengan Muallimah Aishah di dalam kelas.Saya terus masuk ke dalam.Selesai mendengar penerangan tahap pencapaian pelajaran anak saya bagi keseluruhan 1 tahun,Alhamdulillah,secara keseluruhan keputusannya adalah memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan.Malah tidak disangka-sangka Abdul Aziz dan saya dijemput ke Hari Anugerah Cemerlang SRIAS sessi 2011 untuk menerima hadiah.Alhamdulillah,ia rezeki semua orang dan sudah tentunya datang dari Allah SWT.

Laporan Pelajaran Semester 2 (sessi 2011)

Laporan Keseluruhan untuk Akademik dan SPPM
.....dari sumber laman web sekolah.
(srias-saidiyyah.edu.my-e waris)

Jemputan ke Hari Anugerah Cemerlang.

Alhamdulillah.Ia permulaan yang memberangsangkan.
Abdul Aziz juga sudah memulakan proses "Mencari Sesuatu Untuk Dipandu"

Wak,
TDI.

Wednesday, November 16, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pepatah orang putih ada mengatakan,"Adalah tidak bijak mematikan api apabila air sedang mengelegak."

Semangat.

Abdul Hadi anak kedua saya sudah berumur 5 tahun.Mengikut 'trend' semasa,tahun depan dia perlu bersekolah tadika.Namun,awal-awal lagi,dengan penuh bersemangat dia sudah menyiapkan dirinya sendiri dengan perkakas sekolahnya.Baju PASTI Abdul Aziz sudah menjadi hak mutlaknya.Sudahpun dipakai beberapa kali termasuk ketika mengikut saya solat di surau berdekatan.

Mendaftar.

Kebetulan ketika isteri saya bersalin tempohari,saya mengambil cuti tahun yang agak panjang.Saya mengambil kesempatan untuk mendaftarkan Abdul Hadi ke PASTI Taman Desa Ixora yang berada selang beberapa lorong dari rumah saya.

Punyalah gembira Abdul Hadi ketika diberitahu akan tujuan saya itu.Malam sebelum hari mendaftar,dia mengikut seperti aktiviti Abdul Aziz tiap-tiap hari,iaitu menjadual buku untuk dimasukkan ke dalam beg.Habis diselongkar almari buku untuk mencari buku teks Abdul Aziz ketika di PASTI dahulu.Turut menjadi sasasaran adalah fail kertas peperiksaan juga milik Abdul Aziz ketika di PASTI.Apa yang dijumpa habis 'dijadualkan' dan dimasukkan di dalam beg Transformernya.

Hari mendaftar.

Pagi 31 Okt 2011,Abdul Hadi mengikut saya ke Pasti Al Haazim,Taman Desa Ixora untuk proses pendaftaran.Sampai di pintu pagar,apabila Cikgu Zawati membuka pintu,pelajar-pelajar di dalam juga turut keluar menerpa kami."Budak baru!",jerit mereka.

Kami dijemput masuk ke dalam.Pelajar-pelajar tadi yang berada di luar turut mengiringi kami masuk.Sebahagian dari mereka berlari ke bilik hujung PASTI di mana kelas pelajar 6 tahun berada."Budak baru,budak baru!",jerit mereka lagi kepada kawan mereka yang berada di dalam kelas tersebut.Apalagi,mereka sepakat lari keluar dari kelas mereka dan mencari kami di bilik yang dijadikan pejabat pengurusan PASTI.

Borang pendaftaran.

Cikgu Zawati dan Cikgu Raja Azlina memang telah saling mengenali antara kami sekeluarga.Malah mereka juga turut mengetahui isteri saya sudah bersalin.Sambil saya mengambil borang pendaftaran sambil itu jugalah kami bertukar-tukar cerita mengenai perkembangan semasa antara kami,terutamanya Abdul Aziz,bekas anak murid PASTI Al Haazim.

Setelah selesai mendapat penerangan berkenaan pendaftaran,saya dikehendaki mengisi beberapa borang berserta beberapa dokumen yang perlu dikepilkan sekali bagi proses pendaftaran.Akhirnya borang saya terima itu saya bawa pulang untuk dilengkapkan.

Selain borang pendaftaran,saya juga mendapat
senarai yuran pendaftaran PASTI 2012.

Pulang.

Sebelum pulang,sempat Cikgu Zawati mempelawa Abdul Hadi untuk tinggal sebentar di PASTI,memandangkan ketika itu sudah menjejak jam 10 pagi.Tetapi nampak gaya bahasa tubuhnya,Abdul Hadi tidak mahu ditinggalkan.Lalu kami pun balik ke rumah.

Serah borang.

Pagi 1 Nov 2011,saya datang lagi ke PASTI.Kali ini untuk menyerahkan borang yang telah lengkap diisi dan untuk membayar yuran pendaftaran.Namun,apa yang peliknya,Abdul Hadi begitu bersemangat untuk mengikut saya dan berjanji akan tinggal di PASTI.

Bersemangat!
Berfoto kenangan dengan borang pendaftaran yang
sudah lengkap saya isi.

Ain Sofiah nak enter frame :)

Ain Sofiah lagi tapi solo kali ini.
"Kita nak ambik gambar macam hadi tu....."

Sampai di PASTI,saya menyerahkan borang dan membayar yuran pendaftaran.Abdul Hadi pula menyesuaikan diri dengan kawan-kawan barunya.Nampaknya dia boleh 'masuk' dengan suasana dan situasi baru itu.

Alhamdulillah.Settle 1 tanggungjawab.
Duit yuran sudah dibayar.
Tentunya duit itu diambil dari duit bonus segera.
(baki duit yang sepatutnya diperuntukkan untuk ke Hospital Colombia Asia)


Orientasi.

Saya meminta izin dengan Cikgu Zawati untuk meninggalkan Abdul Hadi seharian di PASTI pada hari itu.Biar dia merasai hari suai kenal disitu.

Selesai hari pertama.

Alhamdulillah,jam 11 setengah apabila saya menjemput Abdul Hadi di PASTI,nampak-nampak seperti semuanya berjalan lancar.Tiada tanda yang dia menangis.Hanya 1 soalan dari saya? "Ada pergi bilik air tak kat PASTI tadi?" Dia hanya menggeleng sambil tersenyum simpul.Risau juga saya kalau dia membuat perangai seperti di rumah,seluar dibuka merata tempat lalu berlari ke bilik air.

Tahun hadapan.

2012,Abdul Hadi akan memulakan sessi persekolahan di PASTI.Moga silibus,pengajaran dan penerapan yang berlatarbelakangkang Islam itu dapat mendidik anak saya menjadi seorang Islam yang bertaqwa.InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Tuesday, November 15, 2011

Cahaya Mata Baru (Part akhir - Penghargaan)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,hari ini sudah genap 16 hari Ainul Huda lahir ke dunia.Dengan berat ketika lahir 2.75kg saya dapat mengagak beratnya kini mungkin melebihi 3kg berkat murahnya rezeki yang Allah beri kepadanya melalui susu ibu.

Tali pusatnya juga sudah tanggal beberapa hari yang lepas.Antara petua yang kami gunakan agar tali pusat cepat kering dan cepat tanggal adalah menyapukan tepung ubi sekitar tali pusat bayi.Apabila tali pusat sudah tanggal,umminya sudah boleh memakan lauk pauk yang 'gatal' seperti udang,sotong dan ayam.Proses memandikan bayi juga menjadi semakin mudah,kerana jika masih ada tali pusat,perlu berhati-hati ketika memandikan bayi.

Mengambil kesempatan ini,saya ingin memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua individu yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung sehinggalah isteri dan anak saya yang baru lahir selamat dalam segala urusan.Jasa,budi,ucapan,doa kalian semua memang saya tidak mampu membalasnya.Apa yang mampu saya lakukan hanya mendoakan kalian semua sentiasa berada dalam iman,sentiasa dapat menjaga solat lima waktu,dimurahkan rezeki dan dapat masuk syurga dengan izinNya.

Pihak Hospital.

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak hospital Tuanku Jaafar terutamanya pihak yang menyambut panggilan telefon saya.Ketika saya dalam kecemasan dan penuh debaran,suara yang saya tidak kenali itu menjawab panggilan telefon saya dengan penuh berhemah dan berjaya meredakan perasaan saya.

Tidak lupa juga kepada team ambulans (pemandu,pembantu,MO dan bidan) yang cekap menjalankan tugas.Kepada mereka,khas doa dari saya,moga kerja yang diamanahkan menjadi sedekah dan kemudiannya menjadi amal jariah yang pahalanya mengalir sehingga bila-bila.

Tidak lupa juga pada doktor,jururawat (labour room dan wad 1a) yang sentiasa bertungkus lumus memastikan isteri dan anak saya dalam keadaan sihat.Kepada mereka,moga mereka mendapat kejayaan yang lebih dalam kerier mereka masing-masing.

Jiran tersayang.

Kepada Cikgu Azmi,Puan Rehan seisi keluarga dan bibik.Tidak ada kata yang mampu saya ungkapkan.Merekalah yang bersusah payah membantu saya dari menyambut bayi,mengemas kesan darah di atas lantai tempat bersalin,mengunci rumah,menjaga,memandikan dan memberi makan anak saya seharian seramai 4 orang dan banyak lagi sebenarnya jika ingin disenaraikan.Namun yang pastinya saya tidak mampu membalas jasa dan budi mereka semua.

Kepada kakak dan adik tercinta.

Walaupun mereka sebenarnya sedang sarat mengandung,mereka sekeluarga meluangkan masa bukan sekadar melawat isteri saya dan bayi yang baru lahir,bahkan membantu saya menguruskan anak-anak dan isteri yang sedang berpantang.

Aduhai...apalah yang boleh diharap sangat dari saya,seorang bapa yang pandai mengarah sahaja.

Kepada yang lain.

Kepada ipar-duai,sepupu-sepapat,kawan-kawan sekerja & ex-sekerja,se-1sekolah,seJepun,sahabat seusrah,jiran tetangga,ahli jemaah surau Irsyadiah dan yang lain-lain,ucapan dari saya-"Terima kasih di atas segala ucapan tahniah dan doa.Moga-moga Allah memberkati hidup kita semua,menganugerahkan kekuatan untuk terus beramal di atas muka bumi ini dan akhirnya kita mati dalam khusnul khatimah (pengakhiran yang baik) InsyaAllah."

Ya Allah,aku memohon kepadaMu.....

Wak,
TDI.