Thursday, August 25, 2011

:: Universiti Ramadhan-21 (Edisi Khas) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Hari ini sudah pun menjejaki 25 Ramadhan.Ramadhan yang ke 1432 kali selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.Apa khabar semua?

Pagi tadi di tempat kerja,satu perhimpunan khas telah dibuat oleh pihak syarikat bersempena dengan cuti Hari Raya yang bakal menjelang 2 hari lagi.Pengarah Urusan syarikat juga telah turut hadir untuk memberikan ucapan dan beberapa pesanan ringkas.Di akhir ucapan beliau,beliau mengingatkan lagi agar semua pekerja menjaga keselamatan ketika berHari Raya.

Mengambil kesempatan ini juga,saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan kawan-kawan di luar sana tentang,

Trivia : Gembira di sini gembira di SANA.

Alhamdulillah,secara dasarnya kita telah hampir berjaya sampai ke penghujung Ramadhan tahun ini.Ia adalah satu nikmat yang cukup besar kurniaan Allah SWT kepada hambaNya.

Rata-rata dari kita pula telah mula memasuki fasa membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya.Di sana-sini telah berkumandang lagu raya yang menandakan Hari Lebaran memang sudah betul-betul dekat dengan kita.Semua ummat Islam,tidak kira kecil atau besar,tidak kira di mana jua berada sedang dalam mood bergembira untuk menyambutnya.

Kanak-kanak adalah antara golongan yang
paling bergembira ketika Hari Raya.

5 hari dari sekarang,InsyaAllah,kita akan menyambut Hari Raya Idul Fitri di kampung halaman kita yang tercinta bersama ahli keluarga yang tersayang.Kita merayakan Hari Raya Idul Fitri sebagai tanda kesyukuran kerana telah berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga disamping merayakan hari di mana kita kembali kepada fitrah.

Disamping bergembira bersama ahli keluarga dan sanak saudara ketika Hari Raya,jangan lupa juga beberapa perkara yang kadangkala kita terlepas pandang dek kerana sibuk leka melayan tetamu dan berkunjung tamu.

1.Solat berjemaah.

Solat fardhu secara berjemaah adalah dituntut di dalam Islam.Walau apa jua keadaan,di mana jua kita berada,apa juga yang sedang kita lakukan,apabila berkumandangnya sahaja azan,maka solat perlu ditunaikan di tempat azan diazankan.

Oleh itu,apabila kita merancang untuk berziarah ke rumah saudara mara/menuju ke sesuatu destinasi,ambil kira jugalah masjid/surau mana yang kita perlu singgah untuk solat berjemaah.Selain ia mengajar kita menjaga waktu yang lebih utama kita perlu menunaikan kewajipan kita sebagai seorang Islam.

2.Menutup aurat.

Berpakaian baru adalah begitu sinonim dengan Hari Raya.Namun pakaian baru sahaja tidak sempurna sekiranya ia tidak menutup aurat seperti yang di ajar di dalam Islam (menutup aurat tapi sendat juga masih tidak mencukupi syarat).Ingatkan juga pada anak-anak,adik-beradik,anak saudara iaitu ahli keluarga terdekat kita akan kepentingan menutup aurat,tidak kiralah samada mereka perempuan ataupun lelaki.

3.Bersalam-salaman.

Berjumpa sanak-saudara terutama yang duduk berjauhan hanya bisa dilakukan pada Hari Raya.Kita dapat kunjung mengunjungi antara kita sambil kita bertanya khabar disamping mengambil kesempatan memohon maaf di atas kesilapan yang lalu.

Bagi yang bukan ajnabi,cukuplah sekadar menuturkan kata-kata memohon maaf sahaja dengan perkataan tanpa perlu disertakan dengan berjabat tangan.Jika mereka yang menghulurkan tangan terlebih dahulu,cukuplah sekadar dibalas dengan senyuman dan terus melafazkan permohonan maaf.Ia adab yang perlu betul-betul dijaga dan dipraktikkan.

4.Adab berkunjung.

Terlalu banyak adab ketika berziarah.Cukuplah sekiranya diingatkan agar kita memulakan berkunjung dengan memberi salam dan disudahi juga dengan perkara yang sama.Disamping itu kita niatkanlah ziarah kita itu sebagai mengeratkan tali silaturrahim.Sesungguhnya ingatlah pesan Rasulullah SAW,

Dari Umar bin Al-Khathab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : "Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya." (HR. Bukhori: 1)

5.Doa-mendoakan.

Doa adalah senjata ummat Islam.Apabila kita berdoa memohon kepada Allah SWT,ia juga tanda kita ini sebagai hambaNya di atas muka bumi ini.

Amalan doa-mendoakan sesama ummat Islam juga adalah salah satu kebaikan yang ada di dalam Islam.Doakanlah yang baik-baik ke atas saudara-mara serta kenalan kita,samada kita kenal rapat atau kenal biasa-biasa sahaja.

Maka apabila kita bertemu saudara sesama Islam,doakanlah mereka.Jikalau kita berjumpa dengan Ustaz atau guru-guru kita yang lama,mintalah kepada mereka agar mereka mendoakan kebaikan atas kita.Moga amalan doa ini disuburkan dikalangan kita.

6.Doa perjalanan.

Bila bermusafir atau berjalan ketika Hari Raya,mohonlah doa sekurang-kurangnya doa naik kenderaan.Bacalah beramai-ramai jika di dalam kenderaan kita ada penumpang lain.Kembangkanlah syiar Islam biar ia kembali gemilang seperti dahulu kala.

7.Solat sunat dhuha.

Ia solat sunat yang hanya 2 rakaat 1 salam dan hanya memakan masa tidak sampai 5 minit,namun fadhilatnya amat besar.Cubalah luangkan masa kita di pagi hari sehingga sebelum waktu zohor untuk menunaikannya.InsyaAllah ia amat mujarab untuk mengubati jiwa.

.....kita bukan sakit jiwa,tapi jiwa juga perlukan makanan.

8.Sedekah.

Bukan yang kaya sahaja dituntut bersedekah.Selagi kita berharta,walaupun sedikit sumbangkanlahnya kerana Allah.Mungkin boleh dimulakan dengan bersedekah ditabung masjid selepas solat raya.Kita masukkan walau 10 sen pun tiada siapa yang tahu.Sekiranya ia adalah ikhlas,nilainya tetap ada di sisi Allah SWT.Apatah lagi kalau nilainya lebih banyak,diberikan pula kepada anak-anak yatim atau fakir dan miskin,tentu ia akan berlipat kali ganda ganjarannya,InsyaAllah.

9.Jaga pemakanan.

Akhir sekali,bila menyambut Hari Raya yang memang kaya dengan pelbagai juadah yang sedap-sedap dan jarang-jarang kita jumpa pada hari-hari biasa,ingatlah,kita baru sahaja selesai berpuasa selama sebulan.Perut baru sahaja selesai diservis dan kembali kepada fitrah.Menyumbat segala macam makanan ke dalam perut kita tanpa mengira kadar kemampuan perut kita untuk menghadamkannya adalah suatu penyeksaan pada diri sendiri.Yang lebih kita risaukan,makan sedap yang kita nikmati akhirnya cirit-birit/muntah-muntah pula yang kita hadapi kemudiannya.Yang menghidapi kencing manis dan mempunyai gaot,lebih-lebihlah lagi perlu berjaga-jaga.

Cukuplah sekadar itu,moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Bersempena dengan Lebaran yang hampir menjelang dan cuti panjang sempena Hari Raya yang bakal kita nikmati,saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan
"Selamat Hari Raya,Maaf Zahir dan Batin."
dan jadilah kita ummat Islam yang Cemerlang,Gemilang dan Terbilang.

Doa dari kami sekeluarga -
"Taqaballahu Minna Wa Minkum-Moga Allah menerima amal ibadah kita
Wa Ja’alanallahu Minal Aidin Wal Faizin-(Semoga kita) termasuk orang-orang yang kembali kepada yang fitrah dan (semoga kita) menjadi orang yg beruntung dengan mendapatkan rahmat, pengampunan dari segala dosa, serta terhindar dari api neraka"



Wak,
TDI.

Wednesday, August 24, 2011

:: Universiti Ramadhan-20 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Puasa di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah tahunan,ia seperti juga ibadah haji.Sepertimana cerita pengalaman pergi ke Mekah untuk membuat haji yang sering diulang cerita seperti tidak jemu-jemu oleh para haji/hajah,begitu jugalah pengalaman berpuasa di bulan Ramadhan.

Zaman sekolah.

Sekiranya diingat-ingat,rasa-rasanya tentu antara kita ramai yang merasakan pengalaman berpuasa di zaman sekolahlah/kanak-kanak yang paling banyak ceritanya dan yang paling banyak cabarannya.Saya juga begitu.

Sejarah mula berpuasa.

Saya tidak dapat mengingat secara tepat,bilakah saya mula belajar berpuasa.Tetapi seingat saya bila ada kawan-kawan yang sudah mula berpuasa penuh di zaman sekolah,saya turut sama termotivasi untuk sama-sama berpuasa.

Aktiviti berpuasa.

Apabila tiba bulan Ramadhan,aktiviti makan ketika waktu rehat akan menjadi tiada.Maka waktu terluang yang ada,akan diisi dengan pelbagai macam aktiviti sampingan.Antara aktiviti yang cukup meriah ketika itu adalah permainan ceper (tutup botol oren) dan lompat gelang getah.Mungkin sekiranya kuota untuk permainan tersebut sudah penuh,maka ketinting kapal adalah antara alternatif yang ada.Mungkin sekiranya permaianan yang ada sudah membosankan,maka permainan yang agak agresif menjadi alternatif,capte (baling bulu ayam) dan police and thief contohnya.

Tadarus.

Pada hari tertentu,ustaz sekolah rendah akan mengumpulkan pelajar kelas tertentu di bilik pergigian sekolah untuk bersama-sama bertadarus Al Quran.Selebihnya,tadarus hendaklah disambung ketika berada di rumah.Setiap minggu ustaz berkenaan akan menanyakan progress bacaan tadarus.Ustaz berjanji,siapa yang khatam bacaan Al Quran 30 juzu' akan disediakan hadiah khas.Seingat saya,hanya beberapa orang sahaja di antara kami yang berjaya menyahut cabaran ustaz berkenaan.Yang ramainya hanya mampu menghabiskan tadarus sehingga setengah Al Quran.

Sessi paling mencabar.

Di Johor,majoritinya jika waktu pagi kami akan bersekolah rendah dan pada waktu petangnya pula kami akan bersekolah agama di bawah kelolaan kerajaan Negeri Johor.Waktu sekolahnya adalah jam 2 hingga 3 setengah untuk darjah 1~3,manakala untuk pelajar darjah 4~6 kelas berjalan dari jam 3 setengah hingga 6 setengah petang (bulan Ramadhan hanya hingga jam 6 petang sahaja).

Maka,

Setelah banyak tenaga digunakan pada waktu pagi,termasuk tenaga untuk belajar dan bermain,maka waktu petang ketika pergi ke sekolah agama,tenaga yang tinggal hanyalah tinggal beberapa bar sahaja.Lebih-lebih lagi untuk sessi pertama,waktu yang panas terik (jam 2 hingga 3 setengah) sangatlah menduga ketahanan.Apa yang biasa kami lakukan adalah,pergi ke kolah di tepi kantin,air yang keluar dari paip akan di tadah dengan songkok hitam yang kami pakai dan songkok itu akan ditelangkupkan pula pada kepala kami.Terasa dingin dan nyaman.Itulah sahaja ubatnya jika terlampau panas ketika menghadapi bulan Ramadhan.

Menjelang petang.

Menunggu waktu berbuka adalah suatu penantian yang 'menyeksakan'.Manakan tidak,yang nampak bergerak hanyalah jarum saat,jarum minit seperti tidak berganjak-ganjak,lagi-lagilah jarum jam.Sambil menunggu waktu berbuka sambil mendengar Radio 3 Johor.Bila terdengar sahaja ayat-ayat Al Quran dibacakan oleh qari jemputan,maka itulah tandanya waktu berbuka hampir tiba.Serta merta bar tenaga naik mendadak kerana bersemangat untuk berbuka puasa.

Juadah berbuka.

Dahulu di kampung-kampung langsung tidak tahu akan istilah Bazaar Ramadhan.Juadah untuk berbuka biasanya adalah home-made.Juadah yang paling istimewa ketika itu adalah jemput-jemput udang yang dicampur dengan sedikit hirisan cili merah.

Sahur.

Sahur ketika zaman kanak-kanak adalah waktu untuk makan sambil tidur-tidur ayam.Apabila hendak bersahur,lokasi yang menjadi pilihan adalah tempat yang paling dekat dengan baki tikar yang masih bergulung.Apabila siap makan sahur,tikar yang bergulung itu terus sahaja dijadikan bantal untuk menyambung tidur yang lebih lena.

Kenangan.

Itu semua kisah/pengalaman entah berapa puluh tahun yang dahulu.Namun ia masih segar dalam ingatan bila sahaja Ramadhan menjelma.Ia sebuah kenangan yang perlu dikongsikan,sebagaimana orang yang balik haji begitu bersemangat menceritakan pengalaman haji mereka pada sesiapapun samada orang itu sudah membuat ibadah haji atau belum.Tujuannya hanya satu,berkongsikan sesuatu perkara yang baik yang mungkin dikira-kira boleh dijadikan sedikit panduan dalam hidup di dunia ini.

Moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Wak,
TDI.

Tuesday, August 23, 2011

:: Universiti Ramadhan-19 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Merdeka raya.

Semakin dekat dengan Hari Raya,maka secara tidak langsung manusia semakin sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari besar yang dirayakan oleh seluruh ummat Islam di dunia ini.

Maka,

Setelah hampir 8 tahun hidup berkeluarga,tahun ini barulah kami sekeluarga 'berkesempatan' untuk buat-buat sibuk membuat persiapan hari raya.

Konflik.

Sambil-sambil mengemas,sempat saya berbual dengan isteri sekitar persiapan hari raya.Isteri saya mengatakan,dia terdengar dalam satu program di radio berkenaan dengan bagaimana konflik yang dihadapi oleh sepasang suami isteri yang diceritakan oleh seorang ustaz jemputan.

Ceritanya begini,

Si suami menghadapi delima/masalah di mana si isteri bila sahaja tiba hari raya pasti si isteri meminta agar suaminya memberikan peruntukkan/budget untuk menukar langsir baru.Yang membuatkan si suami dalam delima adalah permintaan si isteri itu di buat saban tahun setiap kali hari raya hendak menjelang.

Lalu ustaz tersebut membuat komen begini,

Si suami tidak perlulah susah-susah/pening-pening memikirkan perihal langsir itu.Belikan sahaja langsir untuk ditukar pada hari raya.Sekiranya tahun hadapan masih ada permintaan yang sama,pergi sahaja ke kedai runcit belikan clorox (peluntur warna).Langsir tahun lepas yang masih baru itu,tukarkan sahaja 'coraknya' dengan menggunakan clorox.Pasti menyelesaikan delima/masalah si suami.

Komen isteri saya,

Bijak betul ustaz tersebut menyelesaikan masalah.

Cerita langsir lagi.

Saya pernah terbaca satu kisah tentang persiapan untuk menyambut hari raya seorang isteri yang suaminya ditahan ISA (dipenjara tanpa bicara dan tanpa had masa).Oleh kerana suami tiada disisi,ditambah dengan peruntukkan untuk belanjawan yang terhad,maka persiapan untuk hari raya dibuat secara apa yang ada.Sehinggakan sampai suatu peringkat,pada suatu tahun baju raya anak-anak hanyalah dari kain-kain langsir yang digunapakai semula.

Komen saya,

Alahai...terbaca kisah ini dan setiap kali bila terkenang semula,pasti sifat simpati  dan insaf itu akan terdetik di dalam hati kecil ini.Dan pada yang sama baru tersedar semula,betapa bernasib baiknya kami sekeluarga.Walaupun dengan persiapan yang ala kadar,tapi jika hendak dibandingkan dengan kisah di atas,alangkah jauhnya tahap kesabaran yang dimiliki oleh pasangan keluarga berkenaan.

Mungkin kisah yang saya baca itu patut dikongsikan kepada si isteri yang kerap meminta-minta seperti kisah pada permulaan entri saya pada kali ini.

Nota :

Tidak salah menyambut hari raya dengan sedikit kemeriahan lebih daripada hari-hari biasa untuk menzahirkan rasa gembira kita kerana menyambut Idul Fitri (hari kembali kepada fitrah).Tapi lebih bermakna lagi apabila kita juga berkongsikan kegembiraan tersebut dengan orang-orang yang kurang bernasib baik.

Oleh itu saya cadangkan pada diri saya dan kawan-kawan di luar sana,selepas ini buatlah jamuan hari terbuka bukan sahaja untuk kawan-kawan satu pejabat sahaja (mungkin mereka ini kadangkala lebih berkemampuan dari kita) bahkan jemputlah juga anak-anak yatim dari asrama-asrama mereka,mereka juga ingin mengecapi nikmat berhari raya.

Moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Ain Sofiah.
Keletihan membantu bapaknya mengecat rumah agaknya.
Sampaikan tertidur di atas tangga.
Mungkin dia sedang bermimpikan rumah yang ada tangga agaknya.
Walaupun tertidur di atas tangga,namun ada lagi anak-anak
orang lain yang sampai TERPAKSA tidur di tepi longgokan
sampah di tempat pelupusan sampah kerana menunggu ibu bapa
mereka memilih sampah yang boleh dijual untuk dikitar semula.

Wak,
TDI.

Friday, August 19, 2011

:: Universiti Ramadhan-18 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Berikut dikongsikan catatan dari Kuliah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Ustaz Khusairi Hamthan (SAA-19 Ramadhan).

Ustaz Khusairi Hamthan-SAA
19 Ramadhan 1432H
Merdeka Raya.

Kala ini segala macam media massa baik TV,radio,majalah suratkhabar semuanya sedang sibuk (dengan pelbagai gaya dan cara) mempromosikan bagaimana hendak memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang akan menjelang tinggal beberapa hari sahaja lagi.Maka kita dan ramai lagi golongan manusia yang memang sedang giat membuat persediaan raya juga terpengaruh dan termakan dengan promosi yang hebat ini.Pada masa yang sama,kita terasa pula yang persiapan untuk raya kita belum cukup hebat,maka kita menambah lagi tahap persiapan kita seiring dengan promosi yang kita lihat itu.

Akhirnya,

Manusia yang sibuk (siang dan malam) dengan persiapan hari raya itu akhirnya mengabaikan dan meninggalkan amal ibadah yang sepatutnya mereka jaga dan perbanyakkan terutama di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sunnah Nabi.

Apa yang Nabi SAW lakukan pada 10 malam terakhir Ramadhan?

"Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ramadhan adalah bulan Al Quran.

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan bathil) .." (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Apa yang berlaku kala ini?

Manusia bila ia lupa pada Allah SWT,maka mereka akan membiarkan hukum Allah SWT tidak ditunaikan dan dilaksanakan.

Zina dan anak luar nikah.

Surat khabar semalam (17 Aug 2011) membuat liputan tentang seorang pelajar 17 tahun telah melahirkan anak di dalam tandas sekolah.Tidak pasti samada gadis itu berzina secara sukarela ataupun dirogol.Tetapi walau apapun caranya,anak luar nikah dari hubungan tersebut telah pun lahir ke dunia.Bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini?

Tegur.

Bangsa melayu bukanlah bangsa yang menjuarai budaya tegur-menegur ke arah kebaikan.Kebanyakkan kita terkadang tidak sampai hati untuk menegur atas sebab-sebab tertentu.Kalau yang mampu menegur pun hanya sekadar mengguna bahasa kiasan yang selalunya tidak sampai maksud yang hendak di sampaikan.

Sebaliknya pula,kita lebih gemar sifat hasad ,dengki,irihati menyuburi hati kita berbanding sifat tegur menegur.Ini terbukti bila ada jiran tetangga yang menegur kesalahan kita sebaliknya kita menyalahkan mereka kembali dengan mengatakan mereka sibuk menjaga tepi kain orang.Bila ada saudara-mara yang menegur kita pula berkesudahan yang kita berkerat rotan berpatah arang dengan mereka.Malah apabila isteri kita yang menegur kita pula bila didapati kita ada melakukan kesilapan,sepak terajang pula yang kita beri sebagai ganjaran.

Jadi di mana tempat yang teguran boleh diberikan bagi membetulkan masyarakat yang semakin hari semakin bejat.

2K (Khutbah dan Kuliah).

Apabila hendak menegur sesuatu kesilapan/mengajar manusia agar mengikut dasar dan peruntukkan yang telah diberikan oleh Islam,antara tempatnya adalah di meja kuliah-kuliah (samada di surau atau masjid) yang disampaikan oleh para Ustaz ataupun di mimbar-mimbar masjid,apabila khutbah dibacakan oleh para Khatib.

Sibuk.

Kita sedia maklum,masyarakat kita yang sibuk dengan kerja seharian malah dengan tekanan dalam menyelesaikan permasalahan urusan keduniaan yang tidak kunjung putus,tentu sahaja mereka mempunyai kelonggaran masa yang agak terhad.Dengan sebab inilah,mimbar-mimbar masjid perlulah terus memberikan input dan peringatan agama kepada jemaah yang datang sebaik mungkin,kerana inilah sahaja peluang terbaik yang ada memandangkan yang datang juga ribuan orang jumlahnya.

Namun,jika peluang (kuliah dan khutbah) yang ada tidak di gunakan,malah kebebasan untuk menyampaikan seruan Islam juga disekat-sekat,lebih teruk dari itu,golongan yang ikhlas menyebarkan agama ini juga turut di beri amaran untuk tidak meneruskan usaha dakwah yang sedemikian (atas sebab tertentu),maka sudah tentulah permasalahan yang melanda masyarakat (zina,rogol,bunuh anak,anak luar nikah,minum arak,murtad) akan berterusan berlaku sehingga bila-bila.

Islam itu selamat.

Islam,Allah SWT turunkan ke dunia dan disebarkan kepada hambaNya melalui perantaraan Rasulullah SAW.Islam selain dari mengajar penganutnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan ia juga membawa penganutnya ke jalan yang selamat.Untuk itu,Al Quran dan isinya perlulah dibaca dan diamalkan setiap masa tidak kira apa situasi.Apabila manusia menuju ke jalan selamat ini adalah salah satu tanda kemenangan sebagai salah seorang hambaNya.

Kemenangan yang sebenar.

Seorang kontraktor yang berasal dari Sabah telah singgah di sebuah masjid untuk solat asar.Setelah selesai berwudhu,kontraktor tadi solat sunat Tahiyatul Masjid sementara menunggu waktu asar tiba.Ditakdirkan Allah,ketika kontraktor itu sedang solat,dia telah terjatuh lalu terhantuk pada pintu sliding door.Dan akhirnya kontraktor itu tadi meninggal dunia disitu.

Imam masjid yang berdepan dengan peristiwa di atas menceritakan kembali,ketika hendak diangkat mayat kontraktor tersebut,Imam dapati seperti ada tompokan air pada tubuh kontraktor berkenaan.Sedang Imam berkira-kira samada tompokan air itu air kencing ataupun tidak dan sedang memikirkan bagaimana cara hendak mengankat mayat berkenaan,tiba-tiba Imam mendapati tompokan air tadi telah kering.Bahkan,suatu bau yang harum semerbak dapat dihidu oleh Imam ketika Imam berada di sisi mayat berkenaan.

Meninggal dunia dalam keadaan berwudhu,di dalam masjid dan sedang bersolat.Apa lagi yang kita boleh kecapi lebih baik dari penghujung hidup kita dalam Husnul Khatimah.

Penutup.

Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
"(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca."
(Hadith riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, August 18, 2011

:: Universiti Ramadhan-17 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Akhirnya Allah mengkabulkan doa kami semua (baca entry sebelum ini di sini : 'perlukan TAZKIRAH').

Semalam (18 Ramadhan),sebaik sahaja selesai solat sunat terawih di Surau Irsyadiah-TDI,Ustaz Dato’ Haji Arshad bin Abdul Samad,Imam Besar MBBS telah menyampaikan tazkirah ringkas buat kami semua.

Walaupun ia berupa 'Tazkirah 10 Minit',sebenarnya banyak input yang dapat dikongsikan dan sudah tentulah ia amat berguna dalam kehidupan seharian.Malah input-input yang diberikan bukan sahaja untuk panduan hidup pada bulan Ramadhan yang mulia ini sahaja,malah ia berguna untuk dijadikan sumber rujukan bagi kehidupan seluruhnya.

Berikut antara isi tazkirah :

1.10 malam pertama adalah awwaluhu rahmah-dipenuhi dengan keRahmatan Allah SWT ,10 malam kedua adalah wa awsathuhu maghfirah-dipenuhi dengan maghfirah (keampunan) Allah
SWT dan 10 malam terakhir adalah wa akhiruhu itqun min an-nar-kebebasan dari api neraka.

2.Beribadah dengan pergi ke masjid/surau adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT yang akhirnya ia akan membenihkan sifat taqwa.Oleh itu,membuat amal seperti mengimarahkan masjid/surau bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi ia mestilah disambung pada 11 bulan yang seterusnya.

3.Taqwa adalah berkaitan dengan hati.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Hati itu ibarat enjin bagi kereta.Jika tingkap rosak atau bumbung kereta kita bocor selagi enjin kereta di jaga dengan baik dan boleh berfungsi dengan betul,kita masih boleh sampai ke destinasi yang ingin kita tuju.

5.Hati yang dimaksudkan bukanlah yang berbentuk seperti daun keladi itu,ia adalah sebenarnya rohani yang ada di sebalik kewujudan hati itu.Rohani inilah yang sebenarnya membentuk jiwa zahir dan batin.

6.Beramal yang menjurus kepada mencari keredhaan Allah SWT adalah menunaikan suruhan yang wajib disamping menambah banyakkan amalan-amalan yang sunat.

7.Beramallah selagi mampu selagi kita mendapat kekuatan dan kesihatan.Apabila kita sudah sakit/tidak sihat,bukan sahaja kadangkala beramal pun kita tidak mampu,melihat makanan sedap pun kita langsung tidak bernafsu/berselera untuk menikmatinya (walaupun ketika itu harta kita melimpah ruah banyaknya).Allah berfirman yang maksudnya, "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)" - (Asy-Syu'araa' :88~89).

8.Walaupun buku catatan (yang dicatat oleh malaikat) kita dipenuhi dengan amalan yang baik,tetapi sekiranya amalan itu dilakukan diiringi dengan niat dan hati yang tidak baik,maka segala amalan itu tidak langsung bernilai di sisi Allah SWT.Yang paling penting adalah,segala isi hati hanyalah takut dan berharap kepada keredhaan Allah SWT.

9.Biarlah kita beramal dan dengan amalan itu orang-orang di sekeliling kita akan mendapat kebaikan dan tempiasnya.

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, August 17, 2011

:: Universiti Ramadhan-16 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Dalam menilai kualiti pada diri sendiri dalam membuat amal seharian,ia bergantung kepada sejauh mana kita menitikberatkan/memperincikan setiap amalan berkenaan.

Solat.

Jika kita menjaga/rajin bersolat maka dimana pun kita berada,apa situasi pun kita sedang hadapi,pasti solat bukanlah sesuatu tanggungjawab yang kita remeh-remehkan/pandang ringan. (tetapi masih perlu mengharap hidayah dan kekuatan dari Allah SWT).

Tetapi bagi yang kurang/malas menjaga solat,apabila berlaku sesuatu yang menyusahkan untuk mereka solat,maka mereka akan membuat pilihan untuk tidak bersolat.Tetapi bukanlah mereka ini langsung tidak solat.

Namun,ada yang langsung tidak menjaga solat.Tidak pasti apakah masalah mereka.

Saya pernah terdengar,ada sebahagian dari kita yang solat hanya ketika waktu-waktu tertentu,contohnya ketika ayah atau ibu mertua datang melawat ke rumah.Tidak pastilah,adakah mereka beranggapan solat itu sekadar untuk ditunjuk-tunjuk.Wallahua`alam.

Puasa.

Di zaman sekolah dahulu,pernah juga terlihat kawan-kawan seasrama yang tidak berpuasa.Tidak pastilah samada mereka tidak sihat ataupun ada alasan yang lain.Tapi perlukah sekiranya kita tidak berpuasa,kita menunjuk-nunjuk yang kita ini sedang tidak berpuasa.

Semua sedia maklum,puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.Tidak seperti solat yang boleh dibuat seolah-olah kita ini rajin bersolat,puasa tidak boleh dilakukan secara olok-olok.Ia perlukan komitmen seharian selama sebulan.Itu pun puasa tahap orang-orang biasa.

Sisipan.

Pagi tadi sebelum pergi ke tempat kerja sempat saya menyakat anak perempuan saya yang sedang bersarapan pagi di ruang yang agak tersorok.

Saya : Kakak makan apa tu?
Kakak : Makan lempeng.
Saya : Cicah apa tu?
Kakak : Cicah gula.
Saya : Bapak nak sikit.
Kakak : Bapak kan puasa.
Saya : Bapak nak sikit je.
Kakak : Bapak kan puasa.

Selepas 4 kali 'memujuk' akhirnya saya mengalah.Pada tanggapan saya,anak perempuan saya itu sudah mula faham,orang yang sedang berpuasa tidak boleh makan dan tidak boleh meminta makanan dari orang yang tidak berpuasa.Orang yang tidak berpuasa pula tidak boleh bersubahat dengan orang yang tidak mahu berpuasa.

Alhamdulillah,moga-moga ia suatu sifat yang berkekalan sehingga zuriat yang seterusnya.

Wak,
TDI.

:: Universiti Ramadhan-15 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di sebalik itu.

Semalam kami suami isteri kebuntuan mencari menu untuk berbuka.Jika tahun-tahun lepas,apabila berbuka dengan nasi,memikirkan menunya tidaklah sepayah tahun ini.(nota : tahun ini saya sedang membuat eksperimen berbuka tanpa nasi sebab : link).

Untuk orang dewasa seperti kami,berbuka dengan kurma dan air masak sudah berpadanan.Lebih-lebih lagi puasa sudah masuk ke hari yang ke-16 semalam.Jadi,selera untuk makan itu dan ini ketika berbuka tidaklah meruap-ruap seperti hari-hari awal berpuasa.Perjalanan sistem dalaman badan pun seperti sudah faham dengan situasi berpuasa.

Tetapi untuk anak-anak,mereka perlu diraikan.Alhamdulillah,mereka tidaklah meminta itu dan ini,tetapi memandangkan kita juga pernah menjadi kanak-kanak dan pernah belajar erti susah-payahnya menahan getir bulan Ramadhan,sekadar kuih-muih mungkin menceriakan waktu berbuka mereka.Bukan apa sangat pun,sekadar nugget jawa (baca : jemput-jemput) dan pizza melayu (baca : lempeng).Tetapi kalau hari-hari menu yang sama,tentu jemu jadinya.

Tiba-tiba ketika saya berehat sebentar di ruang dapur rumah selepas pulang dari kerja,isteri saya memberitahu jiran rumah sebelah-menyebelah memberi juadah berbuka puasa.Juadahnya memang cukup ceria,cempedak goreng dan kueh teaw goreng.Alhamdulillah,ia cukup-cukup menceriakan anak-anak kami.

Support centre.

Tetiba teringat seorang ustaz yang berceramah di radio IKIM (kalau tak silap).Kata ustaz tersebut,

"Bukanlah dengan gaji bulanan yang kita terima dari majikan/pendapatan tidak tetap kita (dalam kes bekerja sendiri) yang membuatkan rezeki kita cukup (baca : tak miss soru) untuk dalam tempoh tertentu.Gaji/pendapatan itu sebenarnya sebahagian sahaja dari sumber yang kita gunakan untuk menampung kos sara hidup kita seharian.Sebahagian yang lain datang dari sumber yang kita tidak ketahui dan kadangkala langsung kita tidak perasan/peduli.

Contohnya begini....

Dalam bulan tertentu,ada musim dimana majlis kenduri kahwin banyak dilaksanakan.Kita juga turut mendapat undangan.Jika mendapat undangan 3,4 majilis (dikira kadar anggaran purata) dalam 1 bulan,ia sebenarnya rezeki yang datang kepada kita namun seringkala kita pula yang tidak perasan langsung akan hakikat ini.Katakan kadar peruntukkan majlis kenduri kahwin oleh pihak tuan rumah untuk jamuan adalah RM13/pax.Jika kita menghadiri majlis kenduri kahwin itu suami isteri berserta dengan 4 orang anak kita,kita sebenarnya telah mendapat bonus sebanyak RM 50 pada hari tersebut(RM13x2+RM6x4).Maka jumlah bonus pada bulan itu sudah tentulah lebih kurang RM150~RM200.

Bagi yang berpendapatan sederhana,bonus itu merupakan jumlah yang besar.Selain dari menerima bonus,secara tidak langsung dengan menghadiri majlis kenduri kahwin berkenaan,kita telah dapat menjimatkan perbelanjaan untuk makan tengahari pada bulan tersebut.Mungkin jumlah yang dapat dijimatkan tidaklah sebanyak bonus yang kita perolehi itu,tetapi sedikit sebanyak,wang yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan kepada peruntukkan perbelanjaan bulanan kita yang lain."

....ia adalah 'support centre' yang Allah SWT sediakan untuk kita.

Pada bulan Ramadhan,'support centre' ini akan bertambah besar memandangkan ramai dari kita begitu memahami fadhilat memberi makan orang untuk berbuka puasa.

Berjimat.

Kadangkala sebahagian dari kita berfikir yang bulan Ramadhan adalah bulan untuk berjimat dan duit gaji/pendapatan bulanan akan dapat disimpan kerana kita berpuasa pada 30 hari pada bulan itu.

....namun harus diingat,

Walaupun kita berpuasa disiang harinya,kadangkala kita sebenarnya telah memperuntukkan banyak belanja untuk makan berbanding hari-hari di luar bulan Ramadhan.

Contohnya begini :

Kekerapan makan pada hari biasa : Sarapan pagi,makan tengahari,minum petang dan makan malam. (4 kali/hari)
Kekerapan makan pada bulan Ramadhan : Berbuka (makan ringan),makan selepas maghrib (nasi),makan selepas terawih (moreh),makan lewat malam (sambil menonton TV),makan sahur. (5 kali/malam)

Itu belum dikira jenis makanan dan harganya.Jika dikira pasti dan pasti peruntukkan untuk belanja makan/bulan pada bulan Ramadhan sebenarnya akan melebihi hari biasa.

Pengajaran :

1. Dengan hanya gaji/pendapatan bulanan yang kita perolehi bukanlah sebenarnya yang mencukupkan rezeki kita pada bulan itu (walaupun mungkin gaji kita berangka-angka jumlahnya).Yang mencukupkan sebenarnya dari sumber-sumber yang tidak tentu.Ini membuktikan Rahmat Allah SWT kepada hambaNya.
2. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk menggandakan amalan bukan untuk menggandakan belanja makan.

Jom-jom.Ramadhan sudah mencapai 2/3.Masih berbaki 1/3.
Atok abah (boboi boy) kata : Terbaik!!

Wak,
TDI.