Saturday, November 12, 2011

Cahaya Mata Baru (Part 4 - Urut Bersalin)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Urut orang bersalin.

Urut selepas bersalin bukanlah sesuatu yang dimestikan.Tetapi ia amat digalakkan.Itu yang diajar oleh Arwah Emak Mertua (AEM) saya ketika isteri saya dalam tempoh berpantang selepas anak saya yang pertama dilahirkan.Ujar AEM mertua saya lagi,"Orang lepas bersalin ni senang masuk angin,jadi berurut dengan mak bidan tu selain buang angin dalam badan,nak betulkan balik kedudukan rahim dalam badan orang perempuan." Saya bak kata perpatah melayu,"Buah cempedak di luar pagar….."-mengikut sahaja kata orang tua,mana yang baik.

Apabila anak yang kelima ini lahir,ia adalah pengalaman pertama kami suami-isteri,berpantang tanpa pantauan dari sesiapa.Semua kami perlu uruskan sendiri dari A-Z.Dengan bantuan Allah,Alhamdulillah,satu persatu urusan kami dapat diselesaikan dengan mudah.

Mula perkenalan.

Beberapa bulan yang lalu,salah seorang staff saya sakit-sakit badan.Lalu beliau pergi berurut dengan tukang urut yang diperkenalkan oleh kakak iparnya.Tukang urut itu khabarnya duduk tidak jauh dari rumah kakak iparnya itu.Berdasarkan testimoni yang yang dikongsikan dengan saya,nampak gayanya tukang urut itu boleh saya ambil khidmatnya jika perlu dikemudian hari kelak.Lalu saya mengambil nombor telefon tukang urut berkenaan dari staff saya tadi.

Tawakkal.

Apabila tempoh jangkaan tarikh bersalin isteri saya semakin hampir,saya telah menghubungi tukang urut tersebut.Itupun setelah mengambil kira banyak faktor dan ia dibincangkan agak teliti bersama isteri saya.Kata sepakat telah diambil,cuba dahulu dan sekiranya tukang urut itu 'jodoh' maka kami akan meneruskan urutan lepas bersalin sehingga selesai-itu kata putus kami.

Hari pertama.

Sebelum pergi berurut,hari sebelumnya saya telah sekali lagi menelifon tukang urut berkenaan untuk menentukan tarikh dan masa.Akhirnya kami bersetuju untuk isteri saya mula berurut pada 1 Nov 2011 jam 8 pagi di rumahnya.Jam 7 setengah pagi,setelah semuanya bersiap (ummi dan baby) kami bersarapan pagi dan terus ke rumah tukang urut berkenaan.Jarak rumahnya tidak jauh sekitar 5km dari rumah kami.

Saya hantar isteri saya di hadapan rumah tukang urut dan katanya urusan mengurut lebih kurang memakan masa 2 jam.Saya pun balik semula ke rumah sementara menunggu urusan urut selesai.

Akhirnya sekitar jam 11 barulah saya datang menjemput isteri saya kembali.Alhamdulillah secara umumnya isteri saya berpuas hati dengan cara urutan kakak tersebut.Urutannya tidak sakit bahkan diulang-ulang urutannya diseluruh badan.Sebelum pulang,bengkong yang telah dibawa dari rumah,diikat rapi oleh tukang urut.Bayi pula lengkap dimandikan dan dibedakkan pada hari tersebut oleh tukang urut.

Ketika balik,kami dibekalkan dengan pelbagai jenis daunan (serai wangi,daun kunyit,daun sireh,daun pandan,daun limau purut,daun halia-untuk stok 3 hari) untuk dijadikan bahan mandian isteri saya kelak.

Hari kedua.

Hari kedua urutan tertumpu pada bertungku.Terlena juga isteri saya dibuatnya disebabkan syoknya bertungku.Yang lain semuanya sama seperti pada hari pertama.Cumanya selepas urutan yang pertama,ketulan-ketulan darah yang agak besar keluar bersama darah nifas selepas isteri saya pulang ke rumah.Kata tukang urut berkenaan,darah beku itu apabila keluar memang agak sakit,tetapi sekiranya belum keluar,tukang urut akan mengurut lagi pada bahagian berkaitan bagi membolehkan darah beku yang berketul itu keluar.

Hari ketiga.

Selesai sessi mengurut ( 3 Nov 2011).Memandang air muka isteri saya,nampak dia berpuas hati dengan hasil urutan kakak tersebut.Saya pula yang serba salah untuk membayar kepada kakak berkenaan.Terlebih bayar tidak mengapa,takutnya terkurang dari sepatutnya.Ini memandangkan kakak berkenaan tidak menetapkan bayaran.Saya amat berharap bayaran saya itu dapat membantu kakak berkenaan untuk apa urusan sekalipun.Untuk membalas khidmatnya dengan bayaran yang sepatutnya,saya sendiri tidak tahu berapa.

Orang berbudi kita berbahasa.

Sebagai membalas jasa kakak tukang urut berkenaan,saya mengambil kesempatan untuk mewar-warkan khidmat urut beliau (apa sahaja jenis urut-jatuh,terseliuh,mencari zuriat) di dalam blog ini,khusus untuk orang N9 atau yang ingin mencuba berurut dengannya.Kesannya saya tidak janjikan apa-apa jaminan,saya hanyalah membantu dan saya pula tidak mempunyai apa-apa jua kepentingan/kaitan dengan khidmat beliau.

Cubalah,mana tahu 'jodoh',InsyaAllah.

Papan tanda Taman Senawang Indah.
Jalan masuk ke dalam taman berada di sebelah kanan
sebelum berjumpa dengan Taman Bandar Senawang.

Nama jalan.
Jalan Orkid 6.


Tanyalah dengan orang di mana 'Kak Kas tukang urut'
pasti ditunjukkan di mana rumahnya. 


Wak,
TDI.

Thursday, November 10, 2011

:: Genekologi Wanita-Dr Nur Intan Zainal Shah (siri 3-Bahagian Akhir) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pada siri 1,saya ada menyatakan saya telah menghubungi individu bernama En Melvin dari Hospital Colombia Asia bertanyakan pakej ibu bersalin.Oleh kerana kenyataan beliau tiada hitam putih,maka dengan inisiatif sendiri,saya telah meminta pamplet berkenaan pakej bersalin di hospital Colombia Asia sendiri.Berikut saya kongsikan pamplet yang saya perolehi dikaunter pertanyaan.

Maternity Packages Pamphlet.
(Colombia Asia Hospital)

Maternity Packages (page 2).

A.Choice of room.

Single deluxe : RM250
Single standard : RM200
2 bedded room : RM125

B.Mother package (normal delivery).

RM1298.00

C.Baby package.

RM295.00

Total :

A+B+C

Additional :

Catheterization : RM50.00
Instrumental : RM50.00
Induction : RM100.00

Maternity Packages (page 3)

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

:: Genekologi Wanita-Dr Nur Intan Zainal Shah (siri 2) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

12 Okt - 10 Nov entry ini tercatat 39 pageviews.

Berdasarkan pageviews,alhamdulillah,entry tentang :: Genekologi Wanita-Dr Nur Intan Zainal Shah (siri 1) :: mendapat sambutan pembaca.Pembacanya datang dari segala pelusuk tempat samada dari dalam atau luar negara.Moga perkongsian berikutnya dapat menambah lagi info bagi pembaca di luar sana.

Bayaran.

Berikut dikongsikan bayaran yang dikenakan (bergantung kepada kes) sepanjang isteri saya menjalani ujian dan rawatan di Hospital Colombia di bawah seliaan Dr Nur Intan Zainal Shah.

1st visit (14 Sept 2011).

Details 1st visit :

Doctor charges
1.Consultation : RM50.00

Hospital Charges
1.Consumables/Medical supplies : RM1.50
2.Lab test : RM1.00
3.Medicine/drug : RM14.70 (Ibaret Folic for 1 week)
4.Misc : RM2.00
5.Service fee : RM2.00

Total : RM71.20

2nd visit (25 Sept 2011).

Details 2nd visit :

Doctor charges
1.Consultation : RM50.00

Hospital Charges
1.Consumables/Medical supplies : RM1.50
2.Lab test : RM10.00 (1st blood test)
3.Medicine/drug : RM14.70 (Ibaret Folic for 1 week)
4.Misc : RM2.00
5.Service fee : RM2.00

Total : RM80.20

3rd visit (8 Oct 2011).
Details 3rd visit :

Doctor charges
1.Consultation : RM50.00

Hospital Charges
1.Consumables/Medical supplies : RM4.50
2.Lab test : RM134.00 (2nd blood test)
3.Misc : RM2.00
4.Service fee : RM2.00

Total : RM192.50

Selepas perjumpaan ketiga,saya mengambil keputusan untuk terus ke labour room pada perjumpaan berikutnya.Tips dari Dr Nur Intan sendiri,elakkan dari pergi ke Emergency Room pada hari berkenaan,keberangkalian ibu bersalin di bilik berkenaan amat tinggi memandangkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi.

Nasihat Dr Nur Intan,apabila sampai ke Hospital Colombia Asia,terus sahaja menaiki lif ke tingkat 1.Belok ke kiri dan tidak jauh dari situ terdapat 1 pintu di sebelah kiri.Buka pintu itu,di sebelah kiri lorong berkenaan adalah labour room.Setelah memberitahu segala detail di kaunter labour room,barulah proses pendaftaran di kaunter pendaftaran (di lobi hospital) boleh dilakukan.Ini bagi mengelakkan ibu terperangkap di tengah-tengah suasana yang kelam kabut.

Tips yang amat membantu.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Cahaya Mata Baru (Part 3 - Daftar Kelahiran)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Ain Sofiah anak saya yang ketiga dilahirkan di Hospital Putrajaya kira-kira 4 tahun yang lepas.Ketika hari yang sama sebenarnya saya sedang ditemuduga untuk satu jawatan di sebuah pusat pengajian tinggi milik kerajaan.Tergerak pada hari itu untuk saya bawa sekali ahli keluarga saya termasuk isteri yang sedang sarat mengandung.

Dijadikan cerita,selesai sahaja menjalani temuduga,apabila saya kembali ke tempat letak kereta,isteri saya sedang sakit untuk bersalin.Dengan bantuan seorang staff di situ yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kami memakir kereta,beliau dengan baik hati menawarkan diri untuk menunjukkan jalan ke Hospital Putrajaya,memandangkan itulah hospital terdekat dengan lokasi kami ketika itu.

Di pendekkan cerita,isteri saya telah selamat melahirkan anak saya yang ketiga tidak lama setelah kami sampai di Hospital Putrajaya.

Mengikut prosedur Jabatan Pendaftaran Negara (ketika itu-tahun 2007),anak perlu di daftarkan di Pejabat Pendaftaran di negeri tempat anak itu dilahirkan.Memandangkan kakak saya bermastautin di Bangi,maka selepas sahaja keluar dari hospital,saya,isteri dan anak-anak terus sahaja singgah ke Bangi sebelum pulang ke Seremban.Tujuannya bagi menjimatkan masa,kerana saya perlu ke JPN Kajang untuk proses pendaftaran kelahiran.

Sampai-sampai di pejabat JPN Kajang,dokumen pula tidak mencukupi,terpaksalah saya pulang dengan tangan kosong.Kecewa dan terpaksalah saya pulang semula ke Seremban dan datang kembali ke JPN Kajang kemudiannya.

Untuk itu,bagi mengelakkan orang lain juga kecewa seperti saya,berikut disenaraikan dokumen yang perlu di bawa ke JPN bagi proses pendaftaran kelahiran.

6 Dokumen Original :

1.Sijil Nikah.
2.Borang daftar kelahiran-JPN.LM01 yang lengkap diisi.
3.Buku kesihatan ibu.
4.Kad pengenalan suami.
5.Kad pengenalan isteri.
6.Surat pengesahan hospital (Borang Pengesahan Kelahiran Kementerian Kesihatan Malaysia).

Sijil nikah yang asal.

Borang daftar kelahiran-JPN.LM01
dan
Borang Pengesahan Kelahiran KKM.

Buku kesihatan ibu (buku merah)
Nota : Bagi kes yang membuat pemeriksaan di hospital/klinik swasta
kad adalah berlaian warna.

6 dokumen salinan :

1.Salinan sijil nikah (semua muka surat)
2.Muka depan buku kesihatan ibu
3.Muka surat 28 buku kesihatan ibu (Bahagian D : Kemasukan ke Hospital)
4.Muka surat 29 buku kesihatan ibu (Bahagian E : Perihal Kelahiran Bayi)
5.Salinan kad penganalan suami (depan dan belakang)
6.Salinan kad pengenalan isteri (depan dan belakang)

info terbaru dari laman web JPN.
(klik pada gambar untuk paparan besar)

Nota : Saya baru sahaja menelefon JPN Putrajaya,wakil mereka mengatakan sejak tahun lepas,daftar kelahiran boleh dibuat dimanapun tidak kira dimana anak kita dilahirkan.
(komen saya : Bukankah mudah begitu) 

Urusan surat beranak telah pun selesai.
Alhamdulillah.


Wak,
TDI.

Wednesday, November 9, 2011

Cahaya Mata Baru (Part 2 - Tahnik)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Tahnik atau dalam istilah bahasa kita ‘belah mulut’ adalah salah satu adab dalam menyambut kelahiran bayi.Tahnik dari segi bahasa ialah lelangit di dalam mulut.(al-Marbawi, Kamus Idris al-Marbawi : 153).

Malah ia juga menjadi sunnah Nabi SAW sepertimana hadith di bawah :

Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, ya. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya meghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut : “Yang disukai orang ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, Lihat al-Nawawi, Syarah sahih Muslim 7/269).

Setelah mengambil kira beberapa faktor dan pandangan dari hasil pembacaan dan ilmu yang pernah saya dengar dari beberapa orang ustaz,maka upacara tahnik kepada bayi saya yang baru lahir ini buat kali pertamanya telah dilakukan oleh saya sendiri pada hari bayi saya dilahirkan.Bayi saya dilahirkan sekitar jam 9 pagi,tiba di labour room pada jam 10 pagi dan masuk ke wad bersalin 1A Hospital Tuanku Jaafar pada sekitar jam 12 tengahari.Ketika itulah saya mengambil kesempatan untuk mentahnik bayi saya.

Dengan berbekalkan kurma yang saya bawa dari rumah,saya kunyahkan menjadi lembut dan saya sapukan pada lelangit bayi saya.2,3 kali percubaan barulah saya berjaya betul-betul meletakkan butiran kurma itu pada lelangitnya.Terasalah sedutan yang kuat dari bayi saya ketika itu.Begitulah apa yang saya belajar,proses tahnik sebenarnya selain dari sunnah Nabi SAW ia merangsang sel-sel di dalam mulut bayi agar nanti bayi akan mudah menghisap susu ibunya.

Setelah keluar dari wad Hospital Tuanku Jaafar,sekali lagi saya telah membuat upacara tahnik bagi bayi saya.Upacara ringkas ini telah dilakukan di Bilik Imam Masjid Bandar Baru Senawang oleh Ustaz Dato Hj Arshad Abd Samad,Imam 1 MBBS.Moga ayat-ayat Al Quran yang di bacakan berserta iringan doa yang dipanjatkan menjadi bekal kepada bayi saya kemudian hari.

Sebelum ditahnik buat kali kedua.
Menunggu Imam di ruang legar masjid.

Set tahnik pada hari tersebut.
Kurma dan air zam zam.

Selepas ditahnik buat kali kedua.
Alhamdulillah,bergambar kenangan
bayi bersama Ustaz Dato Hj Arshad.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

Tuesday, November 8, 2011

:: Selamat Hari Raya Edul Adha 1432H ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di sebabkan keadaan yang agak tidak mengizinkan,akhirnya kami sekeluarga mengambil keputusan untuk menyambut Edul Adha pada tahun ini di rumah kami sendiri,di Taman Desa Ixora.

Berikut di kongsikan beberapa aktiviti yang telah disusun oleh jawatankuasa taman.

Solat Hari Raya.

Solat Hari Raya telah dilaksanakan di Masjid Bandar Baru Senawang yang di Imamkan sendiri oleh Ustaz Dato Hj Arshad (mantan Ketua Hakim Syarie N.Sembilan),Imam 1 masjid berkenaan.Solat dimulakan tepat jam 8 pagi.Selesai solat dan khutbah,satu tahlil ringkas telah dibuat dipimpin oleh Ustaz Dato Hj Arshad.

Ibadat Korban.

Surau Irsyadiah Taman Desa Ixora telah membuat program korban berkelompok dan sebanyak 3 ekor lembu telah berjaya dikumpulkan.Dengan kerjasama sebahagian ahli taman,lembu telah siap dibaringkan di atas tanah sekitar jam 9 setengah pagi sebelum disembelih sendiri oleh Imam kesayangan ramai,Ustaz Dato Hj Arshad.

Satu peristiwa telah berlaku petang sebelum raya di mana salah seekor lembu korban telah berjaya melepaskan diri.Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan,lembu itu masih belum berjaya ditangkap semula sehingga ke hari ini.

Ibadah korban selesai sebaik sahaja azan zohor dikumandangkan.

Sekalung tahniah dan ribuan terima kasih kepada seluruh warga kerja Ibadah Korban Berkelompok Surau Irsyadiah,Taman Desa Ixora edisi 2011!!

Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih pada chef Hj Badar yang saban tahun sudi meluangkan masa dan memerah tenaga untuk memasak sup tulang spesel untuk sajian kami semua.

Takbir rumah ke rumah.

Seperti kelaziman tahun-tahun yang lalu,tahun ini juga aktiviti takbir dari rumah ke rumah masih berjaya dikekalkan.Seperti juga kelaziman biasa,rumah Ustaz Dato Hj Arshad adalah rumah pertama.Pada malam raya,sebanyak 9 rumah telah disenaraikan untuk dikunjungi.Oleh kerana kesuntukkan masa,ahli taman telah dibahagikan kepada 2 kumpulan.Majlis selesai sekitar jam 11 setengah malam.

Bertakbir beramai-ramai selepas solat Isya' berjemaah
pada malam raya di Surau Irsyadiah.
Hampir 50 orang berkumpul pada malam itu.

Takbir rumah ke rumah pada malam raya.
Rumah Ustaz Dato Hj Arshad adalah
rumah pertama yang di kunjungi.

Rumah kedua di rumah Hj Aziz-orang besar KPJ Seremban.
Selepas dari itu,kami berpecah kepada 2 kumpulan
untuk menghabiskan baki 7 lagi rumah.

Takbir rumah ke rumah pada malam raya kedua
di rumah saya.Anak-anak turut meramaikan
tetamu sekitar 20 orang.
Menu : Mee Hoon Singapore,Salad Timun dan Pencuci mulut.
Kebetulan menu malam itu 99% sama dengan menu di rumah
Haji Badar.Kebetulan yang tidak langsung dirancang oleh kami.

Mengambil sedikit ucapan salah seorang warga taman,"Moga aktiviti takbir dari rumah ke rumah pada tahun ini bukanlah untuk kali yang terakhir." InsyaAllah,saya juga mengharapkan begitu.

Akhir kata,mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Edul Adha kepada pembaca blog ini.

Wak,
TDI.

Cahaya Mata Baru (Part 1 - Ia terlalu pantas)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Tarikh 29 Oktober 2011 menjadi salah satu lagi tarikh bersejarah dalam lembaran diari keluarga saya.Isteri saya yang telah sarat mengandungkan anak kami yang kelima telah melahirkan bayi kandungannya pada hari berkenaan.Peristiwa manis itu berlaku dengan begitu pantas (baca : F1).Itu yang dapat saya simpulkan mengenai kelahiran bayi kami yang kelima ini.

Ceritanya begini,

Pagi sabtu biasanya saya akan ke kuliah subuh Ustaz Hambali di SAA.Di sebabkan Ustaz Hambali sedang outstation beliau tidak dapat mengajar kuliah subuh pada pagi berkenaan.Sebagai mengambil jalan alternatif,saya telah menghadiri kuliah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Dato’ Haji Arshad di MBBS.Ustaz membaca beberapa potong hadith pada pagi itu.

Selesai kuliah,saya bersama-sama jemaah yang lain meluangkan masa untuk bersarapan pagi bersama di ruang legar masjid.Menu pada pagi itu adalah mee bandung yang dihidangkan bersama-sama dengan lengkung cendol dan air teh.Selesai bersarapan kami semua bersurai,jam ketika itu kira-kira hampir jam 8 pagi.

Tiba di rumah,isteri membukakan pintu.Anak-anak semuanya masih lagi nyenyak tidur.Soalan pertama saya tujukan kepada isteri saya adalah,"OK lagi tak?". Ini memandangkan beberapa hari sebelumnya,sudah ada tanda-tanda awal yang menunjukkan saat kelahiran bayi akan tiba (ex : bayi banyak mengeras dan sudah tidak banyak pergerakkan).

Ketika menjawab soalan saya,isteri telah mengatakan sakit untuk bersalin ( baca : contraction) telah dapat dirasai setengah jam sekali. (Nota : Tarikh jangkaan bayi untuk dilahirkan adalah pada 6 Nov 2011).Mendengar jawapan tersebut,saya terus membuat persiapan.Berdasarkan kelahiran anak-anak yang lepas,jika sudah ada tanda-tanda yang sedemikian,masih ada sekitar 3~4 jam lagi tempoh sebelum bayi lahir ke dunia.

Sambil bersiap mengeluarkan beg untuk di bawa ke hospital (beg untuk kegunaan bayi,beg untuk ummi dan beg untuk anak-anak yang lain) untuk di letak di dalam kereta,sempat saya berbual-bual lagi dengan isteri saya di atas sofa.Sambil itu juga saya bertanyakan kepada isteri adakah dia mahu bersarapan dahulu sebelum ke hospital.Mendengar jawapan isteri,saya terus menghangatkan nasi dan baki lauk malam sebelumnya untuk dijadikan sarapan.

Sambil melayan isteri bersarapan,saya mula mengangkut beg satu persatu ke dalam kereta.Sambil itu juga saya mengejutkan anak-anak yang masih tidur untuk mereka mandi dan bersiap ke hospital bersama-sama dengan ummi mereka.Sedang saya sibuk menyiapkan segalanya,sekali apabila saya pergi ke ruang belajar anak-anak tempat isteri saya sedang bersarapan,saya dapati dia sudah duduk membongkok menahan kesakitan.

Keadaan menjadi panik tiba-tiba.

Mengambil kira pengalaman yang lepas,jika keadaan kesakitan untuk bersalin sudah ditahap sudah tidak mampu untuk bangun,maka ia sudah di kira memang telah tiba saat-saat akhir untuk bersalin.Berdasarkan fakta dan pengalaman itu,saya terus sahaja mendail nombor telefon Hospital Besar Tuanku Jaafar,Seremban untuk mendapatkan bantuan ambulans.Apabila panggilan disambut,penjelasan saya hanya seringkas,"Isteri saya dah nak bersalin."

Ia cebisan kecil iklan di dalam majalah City Explorer,
namun cukup berguna apabila isteri saya
menampalnya di almari kaca di dapur.

Ini gambar close upnya.
Hospital Tuanku Jaafar : 06 762 3330

Pihak hospital terus sahaja memberikan respons yang pantas (cerita lanjut akan diceritakan di part akhir : Penghargaan),setelah saya memberikan segala butiran tentang diri dan lokasi di mana saya berada,mereka akan menghantar sebuah ambulans ke rumah saya.

Debaran semakin memuncak.

Selang beberapa minit,saya menerima panggilan semula dari pihak hospital yang menyatakan ambulans telah bergerak keluar dari hospital.Saya diminta untuk bersedia dan menunggu di luar rumah takut-takut ambulans tidak berjaya mengesan lokasi rumah saya.Debaran terus sahaja memuncak lagi.

Di dalam rumah isteri sudah mengerang kesakitan.Saya mengingatkannya agar banyak menyebut perkataan 'Allah'.Sakit hendak bersalinnya semakin menjadi-jadi.

Anak-anak pula yang sudah pandai bersiap sendiri telah mula selesai mandi dan siap berbaju.Sambil melayan isteri yang kesakitan,saya menyiapkan Abdul Halim untuk mandi dan bersiap.Anak-anak yang telah bersiap pula,melihat umminya yang kesakitan,mereka pula kekalutan.Seorang demi seorang pula menangis.Keadaan semakin gamat dengan beberapa sumber suara.

Apa harus aku buat?

Dalam keadaan begitu,sekiranya ambulans tiba,saya perlu ke hospital untuk menemani isteri saya? Anak-anak hampir mustahil untuk dibawa bersama.Siapa yang hendak mengambil alih tugas menjaga mereka? Kepala mula ligat berpusing.

Memikirkan hal itu,saya lantas keluar rumah menuju ke rumah jiran sebelah saya,pasangan Cikgu Azmi dan Puan Rehan.Ketika sampai di luar pagar,Cikgu Azmi sedang berada di luar rumah.Setelah menyatakan tujuan saya datang,beliau terus menuju ke dalam rumah memanggil isterinya.Sebentar kemudian,Puan Rehan bersama bibik muncul keluar.Muka mereka nampak kekalutan.Tanpa berlengah masa,kami terus menuju ke dalam rumah saya.

Tiba di dalam rumah,kebingitan anak-anak menangis semakin ternyata.Abdul Aziz pula sambil menangis menyebut, "Ummi berdarah.." Kami terus menuju ke ruang makan.

Begitu rupanya ketentuanMu.

Alhamdulillah,rupa-rupanya bayi sudah selamat lahir ke dunia ketika saya keluar memanggil jiran sebelah.Kelam kabut juga ketika melihat bayi sudah lahir,memandangkan tiada siapa pun antara kami yang pernah menyambut bayi lahir.Dengan sedikit ilmu yang ada hasil perkongsian cerita mulut ke mulut,maka tindakan pertama adalah membengkokkan saluran talian pusat dari uri ke badan bayi untuk di ikat.Ini bagi membolehkan bayi bernafas melalui sistem paru-parunya.

Sedang saya sibuk melayan isteri yang baru bersalin,terdengar pula suara anak saya menjerit,"Bapak! Ada ambulans!".Dalam suasana yang penuh kekalutan itu,saya pun berlari keluar.Rupanya anak saya,Abdul Aziz dan Abdul Hadi sedang duduk di luar bersama dengan cikgu Azmi.Mereka yang menjerit tadi.Bila saya keluar ke pintu pagar,saya dapati memang benar kelibat ambulans berada tidak jauh dari rumah saya.Saya lambai-lambaikan tangan saya. (Gayanya seperti yang biasa kita dalam cerita perang di mana mangsa perang akan melambai-lambai bila melihat helikopter bantuan tiba.) Tetapi ambulans tidak membelok ke lorong yang betul,mungkin mereka tidak perasan lambaian saya tadi.Saya berlari ingin mengejar ambulans yang bergerak perlahan-lahan itu.Rupanya salah seorang dari anggota ambulans itu sedang bertanyakan sesuatu pada orang ramai yang sedang minum pagi di Restoran Iqbal di simpang masuk lorong ke rumah saya.Saya terus mendapatkan mereka.

Ambulans akhirnya membelok ke lorong rumah kami.Orang ramai yang sedang bersarapan di situ agak ramai yang tumpuan mereka beralih kepada ambulans dan saya.Seorang makcik sempat menegur saya,saya hanya sempat berkata, "Isteri nak bersalin."

Tiba di rumah semula,saya terus membawa team ambulans masuk ke dalam rumah.4 orang semuanya mereka.Pemandu dan pembantunya berada diluar rumah sahaja.Seorang MO dan nurse (bidan) mengikut saya masuk ke dalam rumah.

Masuk ke dalam rumah,setelah bertanyakan beberapa butiran kepada kami,nurse memulakan tugasnya.Antara yang mula di lakukan adalah memotong tali pusat bayi.Jam ketika itu sekitar jam 9 suku pagi.Itu pun saya baru sedar waktu jam ketika itu setelah ditanya oleh nurse.Maknanya dari saat saya mencecah kaki ke dalam rumah hinggalah saat bayi lahir adalah sekitar 1 jam.Ia terlalu pantas.

Pengalaman baru.

Saya sempat memerhatikan dari dekat ketika nurse membuat pemeriksaan ke atas bayi dan isteri saya.Kerjanya cukup pantas dan cekap ditambah dengan kit beg kelengakapan yang memang sudah dibawa dari hospital.Dengan bantuan MO beberapa suntikan juga telah diberikan kepada bayi dan isteri saya.Antara suntikan awal adalah suntikan untuk mengecutkan rahim.Bayi pula diberikan vitamin K.Walaupun sudah menangis ketika pertama kali melihat dunia,bayi tidak pula menangis ketika diberikan suntikan.Alhamdulillah...

Azan.

Ketika tugas-tugas awal sudah nampaknya reda,saya meminta izin untuk mengazankan bayi saya.Lalu dengan lafaz bismillah,saya mengazankan bayi di telinga kanannya dan melafazkan iqamat pada telinga kirinya.

Di bawa ke hospital.

Setelah selesai diberikan pra rawatan di rumah,saya diberitahu oleh nurse,isteri saya terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.Saya hanya menurut.Lalu isteri diletak di atas stretcher dan ditolak masuk ke dalam ambulans,saya mengikut dari belakang sambil membimbit beg kelengkapan yang tadinya sudah berada di dalam kereta.

Tahniah terawal.

Di dalam ambulans,saya dapat mendengar perbualan walkie talkie antara MO dan pihak hospital yang menyatakan bayi sudah selamat dilahirkan.Terdengar juga ucapan tahniah dari pihak hospital di hujung perbualan mereka.

Siren!

Beberapa ketika selepas itu,ambulans bergerak menuju ke hospital.Keluar dari simpang Taman Desa Ixora,siren ambulans dibunyikan.Saya sempat menoleh ke arah luar,kenderaan di jalanraya memberikan laluan kepada kami.Orang-orang yang ada di tepi-tepi jalan ternyata mengalihkan tumpuan mereka ke arah bunyi ambulans yang mereka dengar.Saya sempat berbisik kepada isteri,"Dapat juga pengalaman naik ambulans,agak macam ni rasanya".Akhirnya kami tersenyum bersama.Agaknya bayi ingin mewar-warkan kepada dunia bahawa dirinya telah selamat lahir ke dunia :)

Seminggu sudah.

Hari ini (ketika entry ini di tulis) tepat seminggu bayi kami yang kelima dilahirkan.Ia merupakan saat-saat manis buat kami sekeluarga.Walaupun telah empat kali menimang bayi,debaran pada setiap kali kelahiran yang baru pasti sesautu yang tidak dapat dielakkan.Tambahan lagi kali ini,bayi itu sendiri telah ditulis ketentuannya bahawa kelahirannya adalah di rumah,debarannya sudah tentu suatu kenangan baru buat kami.
(Nota : Pada awalnya kami telah merancang untuk isteri saya bersalin di Hospital Colombia di bawah seliaan Dr Nur Intan)

Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga buat isteri saya kerana telah selamat melahirkan anak kami.Di doakan moga cepat sembuh dan cergas 100%.

Mengambil kesempatan ini,dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim,saya memberikan nama kepada bayi saya yang ke lima ini dengan nama AINUL HUDA BINTI MOHD RIZAL.Moga bayi yang baru dilahirkan ini terus mendapat cahaya dan hidayah dari Allah agar boleh menjadi menjadi hamba Allah yang solehah sehinggalah zuriat seterusnya.

Ainul Huda binti Mohd Rizal.
Wak,
TDI.