Wednesday, February 29, 2012

:: Mengais Rezeki di Dunia ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Antara sedar dan tidak,sehingga ke saat dan detik ini,terlalu banyak nikmat yang telah kita terima.Apabila pagi menjelma,roh kita akan kembali ke dalam jasad kita dan dapatlah kita bangun pagi pada hari tersebut setelah kita tidur pada malam harinya.Ada manusia yang tidur pada malam harinya,lalu tidak bangun-bangun (baca : meninggal dunia) bila pagi menjelma.

Mampukah kita menghitung nikmat ALlah SWT?


Malah kalau dihitung-hitung,pada hakikatnya kita mendapat rezeki sejak berada di dalam rahim ibu kita lagi.Ketika itu kita mendapat rezeki/sumber makanan yang disalurkan melalui tali pusat.Lalu setelah 9 bulan 10 hari,setelah kita lahir ke dunia maka rezeki melalui tali pusat akan dipotong.Sebagai gantinya,kita mendapat rezeki yang di salurkan melalui susu ibu kita pula.Bertambah istimewa lagi,susu ibu itu keluar dari badan ibu kita dan dari bahagian sebelah akan menjadi sumber minuman dan dari bahagian sebelah lagi untuk sumber makanan.Ditambah lagi,kita mendapat bonus tambahan dengan Allah memberi nikmat kasih sayang yang datang dari kedua ibubapa kita.

Apabila anak itu semakin besar,semakin banyaklah nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan kepadanya.Nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dan tidak terhingga banyaknya itu disalurkan kepada si anak dengan perantaraan ibubapa si anak berkenaan.Sehinggakan si anak tadi merasakan seolah-olah ibu dan bapanyalah yang memberikannya rezeki berkenaan.

Tawakkal ibu ayam.

Siapa pun rasanya pernah melihat ibu ayam dengan anak-anaknya.Ketika dalam tempoh tumbesaran,ibu ayam akan sentiasa mendampingi anaknya.Ketika mencari makan,ibu ayam akan cergas ke sana ke mari mengais-ngais tanah mencari serangga,cacing dan sebagainya untuk makanan anak-anaknya.Jika setiap kali si ibu ayam berjumpa makanan pasti si ibu ayam akan mengeluarkan bunyi bagi menarik perhatian anaknya agar datang kepadanya.Begitulah perlakuan si ibu ayam.

Kalau dikira setiap kali menjumpai makanan dia akan memanggil anaknya,bila masakah ibu ayam itu sendiri makan? Itu persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Tawakkal beruang polar.

Salmon untuk beruang.

Mana perginya beruang polar ketika musim sejuk? Sudah tentu mencari makan, terutamanya aktiviti menangkap ikan ketika musim salji adalah sesuatu yang agak mustahil.Permukaan air yang yang menjadi ais disebabkan suhu persekitaran menyebabkan peluang untuk beruang polar berenang dan mencari ikan akan menjadi amat sukar.

Memandangkan peluang untuk menangkap ikan telah menjadi sukar,maka beruang-beruang ini akan berpindah ke hulu sungai di mana ketika musim itu,ikan-ikan salmon akan menentang arus menuju ke hulu sungai untuk tujuan bertelur.Beruang-beruang ini akan menunggu di pertengahan aliran air sungai yang deras sambil menunggu ikan-ikan salmon ini tiba secara berkumpulan.

Siapakah yang menggerakkan agar beruang-beruang ini berpindah dan menuju ke hulu sungai ketika musim sejuk.Dan siapakah mula yang menetapkan agar pada penghujung musim luruh ikan salmon perlu berenang beribu-ribu kilometer dari lautan yang terbentang luas lalu mudik ke hulu sungai? Itu juga persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Tawakkal burung jantan.

Pernah saya melihat satu dokumentari dari National Geographic.Dokumentari itu mengisahkan bagaimana seekor burung jantan yang membina sarang untuk pasangannya mengeramkan telur.Setelah membina sarang berkenaan,sepanjang pasangannya mengeram,si jantan tadilah yang berulang alik terbang ke merata tempat dan pulang ke sarangnya untuk memberi makan si betina.Biasanya seranggalah yang menjadi hasil tangkapan si burung jantan itu.Bayangkan,setiap kali si jantan itu berjaya menangkap sebarang serangga,serangga itu akan disuapkan ke paruh pasangannya.Bila masakah si jantan itu makan? Itu juga persoalan yang menarik untuk difikirkan.

Si ulat dan daun segar.

Ketika Nabi Musa a.s diperintahkan oleh Allah SWT untuk memukul sebiji batu,maka Nabi Musa pun memukul batu tersebut lapisan demi lapisan sehingga ke lapisan yang ke tujuh.Pada lapisan yang ketujuh itu Nabi Musa a.s menemui seekor ulat ada di dalam batu tersebut dan bersama dengan ulat itu adalah sehelai daun yang segar.Sambil itu,Nabi Musa a.s mendengar ulat itu bertasbih,"Aku yakin Allah Maha Melihat,Allah Maha Mengetahui di mana aku berada,Dia yang memberi rezeki kepada aku,Dia tidak pernah lupa pada aku." Lantas siapakah yang meletakkan daun yang segar itu bagi makanan ulat yang duduknya di dalam batu yang berlapis tujuh?

Lantas siapakah yang memberi rezeki kepada kita selama ini?

Sampai terlalu risaunya kita terhadap ketentuan rezeki kita itu,sehinggakan seolah-olah kita anggap Allah tidak mengetahui kita duduk di mana,apa keperluan kita dan sebagainya.

Kata Saidina Umar r.a,"Manusia ada yang terlalu sibuk meminta-minta rezeki di dunia,sedangkan rezeki itu ada di langit."

p/s : Kiblat untuk meminta doa adalah ke langit.

Untuk difikir-fikirkan.

Wak,
TDI.

No comments: