Thursday, March 8, 2012

:: Mati di atas katil ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

1 Mar 2012.

Minggu lepas,selepas waktu bekerja hari khamis saya terus pulang ke kampung.Memandangkan hari Jumaat saya perlu menyelesaikan banyak urusan,saya memilih untuk pulang menggunakan Lebuhraya PLUS berbanding menggunakan jalan raya biasa.Selain dapat memendekkan waktu perjalanan,saya juga cuba untuk mengelak dari diserang mengantuk ketika memandu dek sudah keletihan bekerja di siang hari.Alhamdulillah,selamat juga tiba di kampung halaman sekitar jam 10 malam.

2 Mar 2012.

Hari Jumaat,seawal jam 8 setengah pagi lagi saya sudah terpacak di hadapan Pejabat Daerah Muar.Setelah menyelesaikan tugasan di situ,saya bekejar pula ke Pejabat Agama Daerah Muar.Memandangkan hari semakin tinggi,setelah selesai tugasan di Pejabat Agama Daerah Muar,saya terus pergi ke dua buah bank untuk urusan selanjutnya.Selesai urusan di bank,jam menunjukkan 12 setengah tengahari.

Memandangkan perut pun sudah berdondang sayang,saya menuju ke Tanjung Emas untuk menjamu selera.Menu tengahari tersebut adalah asam pedas ikan merah bersama sayur tauge goreng yang cukup membuka selera.Selesai makan,saya terus ke Masjid Jamek Daerah Muar untuk solat Jumaat.Ya,sudah sekian lama saya tidak bersolat Jumaat di masjid yang cukup indah ini.Lokasinya yang berada betul-betul di tepi muara Sungai Muar membuatkan masjid ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri.Silap haribulan,mata akan menjadi layu dek kerana dibuai angin tepi sungai.

Selesai solat,sempat saya membasahkan tekak dengan cendol kacang merah.Terasa segarnya badan dikala waktu yang masih agak terik ketika itu.Setelah menikmati cendol tepi sungai,saya terus bergegas ke Pasar Ikan Pekan Parit Jawa.

Tiba di Pasar,berpusing-pusing juga saya mencari ikan yang hendak dibeli.Lain yang dicari,lain pula yang dibeli.Hari tersebut,ikan Duri Malim langsung tidak memunculkan diri di atas meja jualan.Akhirnya hanya membeli seekor ikan merah saiz sederhana,itupun nyonya di pasar itu menjualnya dengan harga RM28 sekilo.Hajat dihati ingin membeli ikan Jenahak,memandangkan harganya sahaja RM48 sekilo,hajat dipendam begitu sahaja.

Dalam perjalanan pulang,saya mendapat pesanan ringkas dari kakak saya pula agar menghantarkan anaknya ke sekolah jam 3:45 petang.Apalagi,terus saya pulang tanpa menyimpang ke destinasi yang lain.

Sampai di rumah kakak,anak buah saya sedang bersiap untuk ke sekolah.Dapatlah saya melepaskan lelah sebentar sambil menunggunya siap setelah hampir setengah hari ke sana dan ke mari menyelesaikan urusan dunia.Siap sahaja anak buah saya bersiap,saya hantar ke sekolah.Pada masa yang sama,saya menunggu anak kakak saya yang seorang lagi pulang dari sekolah yang sama.Setelah menghantar balik anak buah saya yang seorang ini,jam 4 petang barulah saya melabuhkan punggung ke rumah abah.

Sambil menunggu waktu Asar,saya membaringkan diri disamping kipas yang berputar laju.Hampir-hampir juga terlena bila azan mula berkumandang dari surau berdekatan.Kalau tidak dek kerana kekuatan yang Allah berikan,mungkin saya hanyut melayan kepenatan pada petang itu.

Malam tersebut,kerana sudah lama tidak berjumpa dengan makcik saya,saya menziarahi rumah beliau yang berada di Bt 17.Kebetulan atuk perempuan saya juga ada bersama di rumah beliau ketika itu,apalagi berbual panjanglah kami.Sedar-sedar jam sudah menjangkau jam 11 malam.Akhirnya,walaupun cerita masih lagi banyak untuk diperdengarkan,walaupun mata masih lagi sedar,tetapi kekangan masa dan kudrat,saya mengalah juga akhirnya.

3 Mar 2012.

Sabtu pagi,jam 8 setengah saya sudah tiba di pekan Parit Sulong.Hubungan Parit Sulong dan hari Sabtu adalah umpama aur dengan tebing.Hari Sabtu adalah hari Pasar Lambak bagi Pekan Parit Sulong.Bermacam jenis jualan ada di sana dan jelas suasana agak sibuk dengan aktiviti jual beli.Saya antara yang menggilai suasana hiruk pikuk itu.

Tengok punya tengok,pilih punya pilih akhirnya dapat juga ikan Jenahak yang dicita-citakan semalam.Harganya pula jauh lebih murah,hanya RM24 sekilo.Ditambah sikit dengan 2 kerat ikan Parang,jumlah harga 2 jenis ikan itu tidak sampai pun RM30.Alhamdulillah,sampai juga hajat.

Jam 11,saya sudah tiba kembali di rumah abah.Ikan untuk dimasak ikan pedas telah diserah kepada chef untuk disempurnakan.Manakala saya mengambil kesempatan untuk berehat sebentar.

Selepas solat zohor,setelah selesai makan tengahari,saya berkemas untuk bertolak pulang.Sekitar jam 4 petang saya pun bertolak dari rumah abah.Destinasi seterusnya sebelum pulang adalah rumah Wak Asror untuk mengambil ikan haruan dan rumah kakak untuk mengambil segala macam jenis daun untuk mandian orang pantang selepas bersalin.Tepat jam 4 setengah saya memulakan perjalan pulang dari kampung.

Kerana perjalanan masih lagi jauh untuk menuju ke rumah adik di Shah Alam,saya sekali lagi memilih untuk menggunakan Lebuhraya PLUS.Dari Tangkak saya terus sahaja menuju ke Exit Shah Alam Bt 3 untuk menuju ke Seksyen 6.Oleh kerana saya tiba di Shah Alam sekitar jam 7 petang,saya lencongkan kereta saya ke Masjid Negeri untuk solat Maghrib.Alhamdulillah,sampai juga hajat saya membawa keluarga untuk riadah santai di Masjid Negeri yang tersergam indah itu.

Setelah bersiar-siar sedikit sekitar Masjid Negeri,azan Maghrib pun berkumandang.Saya terus sahaja ke dewan solat utama di tingkat atas bersama Abdul Aziz.Umi dan anak saya yang lain menunggu giliran di tingkat bawah.

Sampai di tingkat atas,saf pertama telah penuh.Saya hanya sempat berdiri di belakang bilal untuk membentuk saf kedua.Selepas imam sampai ke tempatnya,bilal pun melaungkan iqamat.Saya perasan saf kedua juga telah penuh,dan saya lihat saf ketiga telah mula berisi setelah diatur susun oleh pegawai masjid.

Entah mengapa,tiba tiba dalam hati terlintas,alangkah baiknya kalau dapat solat di dalam saf paling dekat dengan imam.Entah bagaimana,bilal tiba-tiba berlalu pergi dari tempatnya di saf pertama.Makmum di kiri dan kanan bilal seperti terpinga-pinga,mungkin memikirkan apa yang terjadi kepada bilal.Namun mereka tetap berdiri ditempat asal mereka tanpa merapatkan saf yang kosong dek kerana bilal sudah tidak berdiri disitu.Sambil dari itu,mereka menoleh ke belakang seperti isyarat agar orang di belakang mengisi ruang kosong itu.Saya tanpa berlengah lagi melangkah ke hadapan dan terus berdiri betul-betul di belakang Imam.

Alangkah nikmatnya dapat berdiri solat di belakang Imam.Ia sukar digambarkan.Segala butir bacaan solat dapat di dengari dengan jelas.Ditambah pula bacaan Imam malam itu cukup merdu menambah lagi kesayuaan di dalam hati.Tanpa saya sedari,ia terapi yang cukup mujarab sebenarnya.Hilang segala kepenatan yang saya kumpul sepanjang perjalanan musafir.

Setelah saya dan isteri selesai bersolat segera kami bertolak ke rumah adik saya.Sampai di Seksyen 6 sekitar jam 9 malam,saya terus memunggah naik segala macam barang pesanan dari kampung untuk adik saya yang sedang berpantang selepas bersalin anaknya yang pertama.

Belum pun kering peluh dibadan,tiba-tiba anak saya Abdul Aziz mengadu sakit kaki.Saya pegang badannya dan terasa agak panas tanda demam.Cepat-cepat saya suakan air 100 Plus kepadanya.Tidak lama kemudian,Abdul Aziz muntah dan badannya kembali sejuk tanda demamnya mula kebah.Alhamdulillah.

Namun,Abdul Hadi pula diserang gatal-gatal pada badannya.Simptomnya naik biji air seperti cacar tapi badannya tidak panas.Puas saya memujuknya agar tidak keterlaluan menggaru.Akhirnya saya tertidur keletihan disamping 2 orang anak yang tidak berapa sihat.Terjaga juga beberapa kali apabila Abdul Hadi mengadu kegatalan.Setiap kali terjaga,saya periksa keadaan Abdul Aziz juga.Keadaan Abdul Aziz semakin stabil tetapi keadaan Abdul Hadi sedikit membimbangkan,biji air semakin banyak yang timbul.

4 Mar 2012.

Terjaga dari tidur pagi berkenaan,jam menunjukkan hampir waktu subuh.Saya bergegas bersiap untuk bertolak ke Masjid Negeri.Tiba di Masjid Negeri,beberapa saat kemudian terdengar muazzin melaungkan azan Subuh.Saya bergegas ke atas dewan solat utama.

Selepas solat,Imam Masjid menyampaikan tazkirah.Beliau membacakan sepotong hadith di mana Nabi SAW mengajar agar apabila kita mendapat nikmat kita hendaklah mengucap 'Alhamdulillah',bila rezeki kita agak payah kita perbanyakkan beristighfar,bila kita dilanda penyakit banyakkan mengucap 'Laa Hawla wa laa Qawwuta Illaa Billah'.

Alhamdulillah,banyak hikmah yang saya dapat dari hadith yang saya dengar dan perkongsiaan dari kuliah Subuh pada pagi itu.Terima kasih Allah.

Setelah selesai bersarapan pagi di rumah adik,kami bersiap pula untuk ke Seksyen 2 Bangi.Kakak saya juga sedang berpantang selepas bersalin anaknya yang ke 4.Khabarnya bayinya masih di tahan di wad Hospital Putrajaya walaupun sudah hampir 2 minggu lebih lahir ke dunia.

Sampai di Bangi jam hampir 12 tengahari.Setelah memunggah naik segala barang pesanan dari kampung untuk kakak,saya berehat di Gazebo baru di rumah kakak saya.Alhamdulillah,nikmatnya dapat berehat sambil angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Azan sekali lagi berkumandang dari corong pembesar suara Surau An Nur yang terletak tidak jauh dari rumah kakak.Saya bergegas ke sana untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.Bahgia dan nikmatnyanya dapat solat di surau secantik dan seaktif Surau An Nur.Fasilitinya serba lengkap dan canggih,malah aktiviti surau sentiasa diimarahkan dengan pengisian dari Ustaz dan Tuan Guru yang cukup besar namanya dalam bidang dakwah tanahair,Al Fadhil Tuan Guru Ustaz Hj Harun Din misalnya.

Usai solat saya berehat sebentar dengan melelapkan mata di rumah kakak bagi menjana kembali tenaga yang tersisa.Bangun dari tidur,saya menjamu selera makan petang dan terus bersiap untuk ke Bukit Mahkota pula.Di sana saya ingin menziarahi sepupu saya yang baru sahaja menimang anaknya yang ketiga setelah beberapa kali keguguran.

Tiba di Bukit Mahkota,hari sudah larut petang.Sambil melayan anak dan anak sepupu saya bermain azan Maghrib pun berkumandang.Sejurus selesai bersolat,saya meminta diri untuk pulang ke Senawang.

Dengan baki tenaga yang bersisa,saya gigihkan juga untuk memandu kereta.Dengan menggunakan lebuhraya LEKAS,Alhamdulillah dengan bantuan dari Allah SWT memang lekas (baca : cepat) betul saya sampai di Senawang.

Tiba di Senawang,anak semua sudah tidur kepenatan.Saya alihkan mereka ke dalam bilik lalu saya mengemas apa yang patut lalu masuk tidur untuk menyediakan diri bagi urusan hari esoknya.

Hari ini.

Ketika entri ini ditulis (7-8 Mar) keadaan fizikal saya tidak terlalu cergas 100%.Mungkin kesan kepenatan yang dialami oleh anggota badan menyebabkan kecergasan fizikal saya agak terhad.Bila dilihat kembali,rupanya keadaan umur mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan badan dan fizikal lagi tidak selasak dulu.

Kalau dahulu ketika zaman muda remaja,saya amat menggilai permainan kriket.Saya boleh bermain 25 overs bagi 1 Inning yang memakan masa 3-4 jam (bergantung kepada faktor) sambil terpacak berdiri di bawah sinaran matahari yang terik. Bayangkan,saya perlu menempuhi 1 perlawanan setiap hari.Maknanya jika dikira jumlah masa 2 Inning (setiap pasukan sempurna memukul dan memadang),ia sekitar minimum 6 jam saya berada di atas padang dalam masa sehari.Malah saya perlu melalui 4-5 perlawanan (bergantung kepada faktor) dalam tempoh pertandingan yang dijalankan.Biasanya ia memakan masa seminggu.Namun selepas sahaja pertandingan tamat,saya masih lagi cergas dan bersedia untuk bermain lagi pada bila-bila masa sekalipun.

....itu cerita dahulu.

Bila badan dan fizikal tidak selasak dahulu,dengan badan yang kerap kali sakit-sakit,sekali sekala terasa seram sejuk seperti hendak demam,ketika itu pasti akan terlintas akan saat kematiaan seperti sudah amat dekat.Walaupun terasa umur masa lagi panjang,siapa tahu,Malaikat maut akan menjemput saya pada bila-bila masa sahaja.

Cuma 1 harapan saya.Biarlah saya mati bukan di atas katil.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya dalam keadaan suci berwudhu.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya mampu melafazkan kalimah syahadah.Biarlah saya mati sekurang-kurangnya dalam medan dakwah.Itu cita-cita dan doa saya.

Ya Allah,Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Wak,
TDI.

No comments: