Friday, February 17, 2012

:: 15 Februari ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kek sempena hari lahir saya yang ke-33.
(home made edition)

Saya tidak pasti dari mana sejarah dan asal-usul acara sambutan hari lahir lalu ia dikaitkan dengan kek.Ia pasti ada cerita di sebaliknya.Sepanjang pengamatan,saya kira di mana-mana tempat sekalipun di dunia ini,kek adalah salah satu 'objek' utama yang akan ada dalam menu acara sambutan mengenang hari lahir.

Sebelum itu,

Mengikut kisahnya,saya dilahirkan ke dunia melalui pembedahan.Sekitar tahun 1979,kes ibu bersalin di hospital bukanlah kes biasa,barangkali hampir 1 dalam 1000 kelahiran.Yang banyaknya ketika itu,ibu yang mengandung hanya melahirkan anak di rumah dengan dibantu oleh mak bidan kampung.

Dengar kisahnya lagi,sebelum melahirkan saya,emak telah tumpah darah ketika berada di rumah.Kemudiannya barulah emak dibawa ke Hospital Daerah Muar dan saya dilahirkan di sana.Lalu pada 15 Feb 1979,seorang bayi lelaki telah selamat dilahirkan yang kemudiannya dinamakan dengan nama Mohd Rizal.

Terkenang.

Semasa saya sekitar berumur 8 atau 9 tahun,ketika hampir dengan tarikh 15 Feb (baca : tarikh lahir saya) saya pernah menyatakan hasrat kepada emak saya agar emak membuatkan kek.Alhamdulillah,emak membuatkan kek batik untuk saya yang dimakan bersama dengan seisi keluarga.

Ya,kek batik adalah kek rasmi keluarga kami selain dari kek pisang.Sehingga kini ia masih lagi menjadi kek rasmi keluarga kami walaupun emak sudah lama meninggal dunia.Warisan itu diteruskan oleh kakak saya yang sulung.Walaupun emak sudah tiada di dunia ini,rasa kek batik dan kek pisang yang kakak saya buat hampir mirip dengan kek rasmi yang emak saya hasilkan dahulu.Istilah orang jepun ‘ofukuro no aji’ : masakan yang dimasak oleh emak kita.

24 tahun selepas itu.

Setelah usia menjangkau umur 33 tahun,sambutan harijadi bukanlah sesuatu keperluan yang mesti.Ia sekadar ingatan sahaja.Namun 33 tahun dahulu,saya dilahirkan oleh seorang ibu dalam keadaan saya sekeluarga beragama Islam,ia merupakan sesuatu kurniaan dan nikmat yang cukup besar.

Kek dari yang tersayang.

Tepat umur saya 33 tahun,saya menerima hadiah yang merupakan sebiji kek dari isteri tersayang.Dengar kisahnya,kek tersebut hasil kerja tangan isteri dan anak-anak kami.Selain rasanya yang sedap,ia sebenarnya bukan sekadar kek untuk dimakan.Kek itu sebenarnya membawa saya mengimbau kepada peristiwa-peristiwa yang lepas,terutamanya kepada kisah-kisah yang berkaitan dengan kelahiran saya ke dunia.

Alhamdulillah.

Segala puji-pujian kepada Allah SWT dan berbanyak-banyak kesyukuran di atas nikmat yang tidak terhingga banyaknya yang telah dianugerahkan kepada saya selama ini oleh-Nya.Moga usia selama 33 tahun ini,segala kesalahan dan kesilapan samada disedari ataupun tidak mendapat keampunanMu.

Untuk emak tercinta.

Terima kasih kerana mengandungkan dan melahirkan saya ke dunia.Pengorbanan emak tidak mampu saya bayar jauh sekali untuk membalas setimpalnya.Moga roh emak aman dan sentosa di alam sana.Doa keampunan untuk emak akan saya panjatkan selagi ada kemampuan dan kekuatan dalam diri ini.

Untuk isteri tercinta.

Terima kasih kerana menjadi isteri yang terbaik.

Akhir kata,

Sesuatu sambutan hari lahir,selain dari mengenang si tuan punya badan,kenang-kenanglah sekali siapa yang ada di sekitar si tuan punya badan.Ia tentu lebih mendatangkan keinsafan.

Wak
TDI.

No comments: