Saya ada membela beberapa ekor ayam kampung yang rebannya ada di belakang rumah.Tetapi sebab jumlahnya yang tidaklah terlampau banyak dan dengan sifat semulajadi ayam kampung adalah hidup bebas,maka saya lepaskan sahaja ayam-ayam itu berkeliaran di dalam kawasan rumah.
Pepatah melayu kata,"Seperti ayam-bertelur sebiji riuh sekampung"
Tentu ayam itu bangga dengan telurnya,kalau tidak masakan
si ayam itu membuat riuh sebegitu.
Suatu hari maka tibalah masa salah seekor dari ayam betina saya itu untuk bertelur.Punyalah baik pasangannya,si ayam jantan yang berwarna oren itu kerana mencarikan tempat untuk si betina itu bertelur.Cari punyalah cari,akhirnya di atas bonet hadapan kereta sayalah lokasinya.
Mulanya saya tidak perasan yang bonet kereta saya itu menjadi sasaran tempat ayam betina saya bertelur.Sehinggalah pada suatu hari saya dapati bonet kereta saya penuh dengan calar balar.Siapa yang biasa melihat ayam bertelur,sebelum bertelur,kaki ayam akan mengais-ngais dahulu tempat ia bertelur itu.Sebab itulah penuh calar balar pada bonet saya.
Sedih juga melihat kesan calar-balar itu.Tetapi apakan daya,ayam kalau itu tempat bertelurnya pada biji yang pertama,maka pada biji yang kedua,di tempat itu jugalah yang akan dipilihnya.Akhirnya saya mengalah pada ayam yang sedang gian hendak bertelur itu.Saya biarkan juga ayam itu bertelur disitu tetapi saya tutup bonet kereta saya dengan kain langsir lama.
Tentang calar di atas bonet kereta itu,sakit juga mata melihatnya.Suatu hari saya bersama Ustaz Azhar (http://rijalunsodaqu.wordpress.com/) dalam perjalanan ke pejabat ISMA Seremban.Sempat Ustaz menegur calar pada kereta saya itu.Saya pun ceritalah apa yang berlaku.Rupanya Ustaz juga pernah mengalami kisah yang sama ketika Ustaz duduk di Klang dahulu,ayam bertelur di atas kereta.Senasib rupanya.
Disebabkan terlalu sakit mata,saya ikhtiarkanlah juga untuk menghilangkannya.Untuk menghantarkannya ke kedai cat untuk dicat semula,sudah tentulah ianya memerlukan modal yang besar,mungkin ia pilihan yang terakhir.Ikhtiar punya ikhtiar,akhirnya hilang juga calar balar yang berselirat itu bila saya sental dan tonyoh dengan kain yang saya curahkan cecair WAX ke atasnya.Alhamdulillah,mata sudah tidak sakit lagi kini.
Ada lagi kisah,
Walaupun saya kutip setiap telur pada hampir setiap hari,rupanya ada telur yang tidak sempat diselamatkan.Ada yang jatuh tergolek ke lantai malah ada yang bergolek masuk ke scoop intercooler turbo kereta saya.Agaknya si betina itu berfikiran yang lubang scoop itu tempat yang selamat baginya untuk menyimpan telur.Apa taknya setiap kali bertelur,setiap kali jugalah telurnya hilang.Akhirnya jadilah telur itu bertaburan isinya menjadi scramble egg yang tidak berapa menjadi di atas intercooler turbo kereta saya.
Dan akhirnya,ayam betina itu hanya penat bertelur tanpa dapat mengeram dan menetaskan telurnya.
Lain pula kisahnya.
Seminggu lepas,ayam yang sama telah tiba musim untuk bertelur lagi.Entah mengapa si jantan membawa si betina itu ke tempat yang sama iaitu di tempat saya parkir kereta.Sedangkan ayam betina yang lain pandai pula si jantan itu bawa ke tempat bertelur yang agak selesa,di bawah rimbunan pokok bunga saya contohnya.Agakan saya,jadi tempat bertelur lagilah kereta saya kali ini.
Tapi yang peliknya,si jantan dan si betina tidak memanjat kereta saya.Mungkin kerana kebetulan saya hadapkan kereta saya menghadap pagar.Itupun tujuan sebenarnya agar mudah isteri saya untuk mengeluarkan kereta untuk menjemput Abdul Hadi di Pasti Al Haazim.Samada ayam itu tidak mahu bertelur menghadap panas,ataupun pasangan ayam itu sudah memerhatikan yang keadaan tempat bertelur (baca : bonet kereta) sudah tidak sama seperti dahulu.
Mungkin juga kereta ini diparkir di kawasan yang tidak sama tinggi
kedudukannya,sebab itulah ayam tidak bertelur di atasnya lagi.
(yang berlubang di atas bonet itulah scoop intercooler turbo kereta saya)
Lalu,Si ayam tadi tetap juga mahu bertelur di kawasan parking kereta tetapi kali ini hanya di bawah,iaitu di atas lantai sahaja.Lega hati saya.Kereta tidak calar-balar lagi,telur tiada yang pecah bahkan buka sahaja pintu hadapan rumah,sudah ada sebiji telur ayam kampung,bak orang kata 'fresh from the farm'.Dapatlah kami anak beranak menumpang rezeki si ayam.Kalau dikira-kira setakat posting ini ditulis,tidak kurang dari sepuluh biji telur ayam berkenaan sudah kami kumpul untuk musim kali ini.
Sengaja saya tidak mahu ibu itu mengeramkan telurnya.Manakan tidak,ada dua ekor lagi ibu ayam yang sedang mengeram dan telurnya akan bakal menetas tidak lama lagi.Kalau si betina ini juga turut mengeram,manalah nanti si jantan itu hendak mengadu nasib.Tahu-tahu sahajalah,lepas mengeram dan apabila telur menetas,ibu ayam juga agak berpantang dari mengawan sebab sibuk menjaga anak ayam.2~3 bulan juga tempoh lamanya.Kesian si jantan itu nanti,hidup tanpa betinanya.
Fresh from the farm.
Telur yang dikutip selepas asar 11 Feb 2012.
Namun di sebalik itu,sempat saya berkata kepada isteri saya,"Tengok Allah nak beri rezeki kepada kita,betul-betul depan muka pintu.Takpelah,bekas calar kat bonet kereta tu biarlah menjadi peringatan untuk kita sepaya ingat rezeki depan pintu ni."
Moga rezeki tersebut adalah rezeki yang penuh keberkatan dan mendatangkan menafaat kepada kami sekeluarga.
Sekian,cerita ayam dan telurnya.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment