Bismillah hirrahman nirrahim.
Segala puji-pujian kepada ALlah SWT yang telah memberikan peluang untuk kita hidup dalam keadaan kita beriman dan beragama Islam.Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,para keluarga dan sahabat baginda yang berhempas-pulas mempertahankan ajaran agama Islam sehinggalah ia bertahan sehingga kini dan kita dapat menikmati kemanisan Iman dan Islam.
Setiap saat dan detik,manusia berhadapan dengan pilihan yang ada di depan mata.Ia satu situasi yang tidak dapat dielak atau dihindari.
Baik vs Baik.
Setiap amalan dan kebaikan mempunyai fadhilat tersendiri.Fadhilat atau kelebihan inilah yang mendorong dan memberi semangat bagi manusia untuk beramal dan berbuat kebaikan.Contohnya,fadhilat/kebaikan bersedekah di pagi hari ialah ia mendatangkan keberkatan kepada rezeki kita.Siapa yang tidak mahukan rezekinya berkat?
Maka disebabkan adanya golongan manusia yang faham akan fadhilat dan kebaikan sesuatu amal,maka berebutlah golongan ini untuk beramal,maka beruntunglah mereka.Lebih beruntunglah jika Allah memberikan kekuatan untuk mereka untuk terus beramal.
Dengan kata lain,golongan ini berniat untuk berbuat kebaikan dan ALlah SWT tunaikan niat mereka.
Baik vs Tak Baik.
Berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi merupakan cita-cita setiap manusia.Berjaya di dalam hidup di dunia ini adalah sesuatu yang kita impi-impikan.Bagi orang Islam pula selain dari kejayaan di dunia yang kita cari,kita juga pada masa yang sama perlu mencari kejayaan untuk akhirat.
Oleh kerana kejayaan adalah suatu cita-cita,maka tidak mustahil manusia akan berbuat apa sahaja demi mencapai cita-cita mereka.
Ustaz Ariffin,dalam menceritakan pengalaman hidup beliau,ketika beliau menuntut di Universiti Al Azhar pada masa yang sama beliau menuntut di sebuah Universiti yang lain dalam bidang pendidikan.Alhamdulillah, beliau lulus dalam kedua-dua jurusan dengan cemerlang.
Namun ada sebahagian golongan manusia,kerana terlampau mengejar cita-cita lalu mereka terlupa akan batas-batas agama.Lalu wujudlah penyakit seperti rasuah,tikam belakang,gunting dalam lipatan dan sebagainya.Malah hingga ada yang sanggup mengorbankan akidah mereka semata-mata mengejar kejayaan dunia.Manakan tidak,mereka lebih meyakini kuasa bomoh,tangkal dan jampi mentera dari meyakini akan Kekuasaan Allah SWT.
Pendek kata,kejayaan dalam mengejar cita-cita adalah tidak dilarang di dalam Islam.Tetapi kejayaan yang dikejar tadi tidak dapat menghalalkan cara kita berusaha sekiranya ia bercanggah dari tatacara yang dibenarkan dalam Islam.
Tak Baik vs Tak Baik.
Judi dan segala yang berkaitan dengannya bukanlah sesuatu yang baru di alam ini.Ia jelas diharamkan di dalam Islam.Haram maknanya,bila dilakukan dapat dosa,ditinggalkan dapat pahala.Malah judi merupakan tergolong dalam kesalahan-kesalahan dosa besar.
Tetapi kerana kecanggihan zaman dan teknologi,judi sekarang bukan hanya dilakukan di casino atau kedai nombor ekor,malah berjudi boleh dilakukan dengan melayari sahaja internet.Tetapi bijaknya tipu muslihat syaitan,maka judi yang memang sah haram,ia tampak halal setelah dikaburi dengan pelbagai cara dan muslihat.Bahkan,ada pihak pemerintah/berkuasa yang memberi keizinan untuk aktiviti judi menjadi 'halal' dengan memberi kelulusan lesen operasi.
Dahlah judi itu haram,bertambah-tambahlah dosanya bila ada yang menyalahgunakan kuasa untuk meng'halal'kan sesuatu yang haram.
Tak Baik vs Baik.
Ustaz saya pernah bercerita,pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang tidak menyukai dengan ajaran Islam.Bahkan bukan itu sahaja,pemuda itu juga mempunyai ramai musuh dek kerana sifat dan sikapnya yang memang buruk itu.Buruknya perangai pemuda itu sehinggakan dia mengejek-ejek ajaran agama Islam secara terang-terangan.
Nak dijadikan cerita,pemuda itu ada mendengar yang ajaran Islam ada mengajar penganutnya agar menutup kepala ketika membuang air.Maka pada suatu hari,pemuda itu pun menutup kepalanya dengan tangan ketika membuang air.Dia menutup kepala itu bukan kerana ingin mengikut ajaran Islam,tetapi dengan niat hendak mengejek-ejek dan merendah-rendahkan amalan berkenaan.
Entah bagaimana,sedang dia buang air,lalu datang musuhnya dan menjerut lehernya dengan tali.Kerana tangannya sedang menutup kepalanya,maka jerutan tadi tidak dapat terus menjerut lehernya.Dengan kekuatan yang ada,maka lelaki tadi sedaya-upaya melawan musuhnya tadi dan terselamatlah dia dari jerutan yang boleh membawa maut itu.
Tersedar dari kejadiaan itu,pemuda tadi terus sahaja insaf dan akhirnya memeluk agama Islam dengan rela hatinya.Walaupun niat awalnya tadi untuk mempermainkan ajaran agama Islam tetapi akhirnya kerana terbukti ajaran Islam itu mempunyai pelbagai kebaikan dan menafaat akhirnya si lelaki itu bertukar menjadi pemuda yang beriman dan beragama Islam.
Lalu,apa pilihan kita sekarang? Beruntunglah mereka yang dipilih oleh Allah SWT untuk terus berada di jalan yang penuh dengan kebaikan.
Mengelak untuk membuat kebaikan.
Sedikit perkongsian kisah benar.Hari Sabtu kebiasaanya saya akan hadir ke kuliah subuh Ustaz Hambali.Ustaz akan membacakan Kitab Bahrul Mazi jilid 4 (kalau saya tak silap).Pagi tadi,entah apa sebabnya,terasa benar malas untuk pergi ke kuliah berkenaan.Hati lebih kuat menarik untuk pergi beriadah di Kompleks Belia dan Sukan,Paroi.Yang peliknya,dalam malas-malas berkenaan,saya terus mengejutkan anak lelaki saya yang sulung untuk dia bangun solat subuh.Anak lelaki saya ini pula,dia yang tahu setiap hari Sabtu saya akan pergi ke Surau Al Amin,terus sahaja mandi dan bersiap.Tidak lama kemudiaan,dia terus sahaja meletakkan begnya yang telah siap berisi buku dan alat tulisnya di tepi pintu.Tahulah saya yang dia hendak mengikut saya ke Surau Al Amin.Demi untuk tidak mengecewakan anak lelaki saya,saya gagahkan diri juga untuk pergi ke sana.Alhamdulillah,sampai juga saya menghadirkan diri ke kuliah berkenaan hingga ke akhir.Benarlah kata-kata Ustaz Hambali ketika memulakan kuliah pagi tadi,"Kita harus bersyukur kerana terpilih untuk dapat solat subuh secara berjemaah dan dapat duduk di dalam taman taman syurga."
Moga Allah SWT terus memberikan kekuatan untuk saya dan seluruh ummat Islam agar dapat berbuat amal kebaikan dan seterusnya dapat menarik Rahmat Allah SWT dalam kehidupan kita.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment