Berikut dikongsikan hasil catatan dari Ceramah Majlis Maulid Nabi SAW oleh Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki (Surau As Sobirin,Taman Tuanku Jaafar-12 Feb 2012)
Majlis dimulakan dengan berqasidah beramai-ramai
dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.
Sedap.
Naluri manusia memang gemar mencuba pelbagai jenis makanan dan minuman.Ada yang suka pada yang manis,pedas,masin dan sebagainya.Pendek kata,mana makanan yang sedap rasanya,sudah tentulah ada peminatnya.
Apa tandanya?
Bila manusia berasa suka pada makanan yang lazat mengikut selera masing-masing,ia menunjukkan yang perasaan (deria rasa) kita dalam keadaan sihat.Sebaliknya,apabila kita tidak dapat membezakan mana makanan atau minuman yang sedap,maka perasaan (deria rasa) kita sedang sakit.
Naluri.
Salah satu kecenderungan naluri kita adalah suka kepada hiburan.Kita berhibur biasanya dengan menyanjung dengan apa yang kita suka atau cinta.Biasanya pula bila disebut tentang hiburan,maka lagulah yang menjadi pilihan.Sebab itulah,disebabkan kecenderungan yang berbeza,maka bermacam bentuk lagu dan irama telah tercipta kala ini.
Untuk apa lagu itu dicipta?
Selain dari menjadi halwa telinga,lagu juga ada yang berunsur puji-pujian.Ada yang mencintai alam semulajadi,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan alam semulajadi.Ada yang mencintai manusia/kekasih,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan manusia/kekasih.Ada yang mencintai agama,maka mereka mencipta lagu yang ada kena mengena dengan keagamaan.
Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki yang
sentiasa bersemangat untuk berkongsikan ilmu.
Jadi apa sebenarnya yang patut kita puji?
Naluri semulajadi atau gharizah antaranya suka/gemar pada makanan, minuman, hiburan, hubungan dengan pasangan serta beribadah kepada Pencipta.Antara contoh bentuk ibadah adalah bertasbih,bertahmid,bertakbir dan berselawat kepada Rasulullah SAW.
Mengapa kita mesti memuji dan menyanjung Rasulullah SAW?
1.Bagindalah yang menyelamatkan kita dari syirik kepada Allah SWT.
2.Bagindalah yang mendekatkan hati kita kepada Allah SWT,seterusnya kita mendapat maghfirahNya,lalu Allah redha kepada hambaNya lalu kita dapat masuk syurga Allah SWT.
Bagaimana kita boleh bersungguh untuk memuji Allah SWT dan Rasulullah SAW?
Ada manusia yang bila mendengar penyanyi yang mereka puja menyanyi,mereka terus seperti terawang-awang.Mata seperti tidak berkerdip,mulut diam membisu,telinga dipasang dengan penuh khusyuk,seolah-olah kenikmatan yang teramat bila mendengar persembahan dari penyanyi yang mereka puja-puja itu.
Jadinya bila melihat situasi di atas,tidak mustahil jika kita juga boleh menimbulkan kekhusyukkan bila kita memuji Allah SWT dan Rasulullah SAW,malah lebih dari itu.Jiwa dan naluri yang sihat adalah jiwa dan naluri yang mencintai akan perkara-perkara kebaikan.
Apa kemahuan naluri?
Naluri semulajadi memang mempunyai kemahuan yang tertentu.Sebagai manusia,kita mesti menyalurkan naluri berkenaan.Jika kita tidak menyalurkannya,maka naluri akan terkongkong.Namun jika naluri yang semulajadi tadi tidak disalurkan ke tempat kebaikan,maka naluri tadi pasti akan tersalur ke tempat kemaksiatan.
Kejadian makhluk.
Sepertimana sang ikan tidak boleh hidup tanpa air,begitu juga kejadian manusia.Jasad dan anggota manusia tidak dapat hidup tanpa udara.Malah naluri juga mempunyai keperluan.Maka naluri tidak dapat hidup tanpa ajaran,contoh untuk dituruti.
Berjaya dan bahagia.
Makhluk hidup dijadikan untuk berpasang-pasangan.Maka si lelaki biasanya akan melamar wanita untuk dijadikan isteri.Akhirnya pasangan tadi bila berkhawin lalu mendapat anak.Namun kebahagian mendapat isteri dan anak belum cukup selagi kita tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa.
Mendoakan dan beruasaha agar keluarga dan anak-anak
serta zuriat seterusnya supaya sentiasa di bawah
Peliharaan Allah SWT adalah tugas ketua keluarga.
Begitu juga halnya jika kita seorang peniaga.Maka pasangan peniaga tentulah si pelanggan.Belum cukup bahagia peniaga jika tiada barang yang hendak dijual.Tidak cukup bahagia jika barang yang hendak dijual tidak menarik perhatian pelanggan untuk membeli.Belum cukup bahagia jika ada pembeli tetapi perniagaan tidak pulang modal.Tidak cukup bahagia jika perniagaan pulang modal tetapi tidak mendatangkan keuntungan.
Begitu juga halnya dengan ibadah haji.Belum cukup bahagia jika kita hanya ada passport.Belum cukup bahagia jika kita hanya ada tiket kapalterbang untuk pergi ke Tanah Haram.Belum cukup bahagia jika kita hanya mendapat visa.Belum cukup bahagia jika kita hanya dapat pergi ke Tanah Haram sehinggalah kita dapat menyelesaikan rukun dan syarat sah ibadah haji.
Begitu juga sebagai manusia.Belum cukup bahagia jika hidup tanpa ilmu.Belum cukup bahagia manusia jika hanya berilmu tanpa belajar.Belum cukup bahagia manusia jika berilmu dan belajar tanpa beramal.Belum cukup bahagia manusia jika berilmu,belajar, beramal tapi tidak mendapat maghfirah Allah SWT yang akhirnya membawa kita ke dalam syurga Allah SWT.
Pesanan terakhir.
1.Menjadi mukmin bukan seperti layang-layang yang terputus talinya.Bila sudah terputus tali,layang-layang tadi mudah terbang ke sana dan ke mari tidak ada hala tuju dan akhirnya terhempas ke bumi dan tidak mampu terbang lagi.
2.Sepertimana kita bangun pagi pergi ke kedai mencari kuih seperti karipap atau donat untuk sarapan pagi bagi mengelak kita lapar dan tidak bertenaga untuk membuat kerja,begitu jugalah dengan naluri dan jiwa kita.Naluri dan jiwa perlu diberi makan dengan ilmu dan yakin agar kita dapat beramal dengan ilmu yang kita ada dan yang lebih penting kita tidak mudah digoda oleh musuh kita.
3.Istiqomahlah dalam beribadah.
Moga perkongsian memberikan menafaatnya kepada semua.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment