Thursday, February 2, 2012

:: Dinar dan Dirham ::

Bismillah hirrahman nirrahim

Antara pejam dan celik,kini sudah pun masuk ke bulan Februari 2012.Januari sudah kita tinggalkan di belakang.Sedangkan rasanya penduduk dunia seperti baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru 2012.

Dan sedar tak sedar juga,umur yang kita capai pun semakin bertambah bila masuknya tahun baru.Pada masa yang sama juga,antara sedar tak sedar,sebenarnya kita semakin dekat dengan saat kematian kita.

Silih berganti.

Selain berganti tahun,banyak lagi perkara yang berganti selain dari usia yang telah kita capai.Antaranya yang muda akan bertukar menjadi semakin berusia.Manakala kanak-kanak akan bertukar menjadi remaja.Bahkan yang bayi juga akan bertukar menjadi kanak-kanak.Ia adalah proses semulajadi.Semua orang yang diberikan kesempatan olehNya akan melalui proses yang sama.

Begitu juga dengan saya.Sedar tak sedar angka 33 sudah ada di dalam simpanan.Tidak pasti bila angka itu akan mencapai penghujungnya.Yang pasti,kini saya sudah punyai seorang isteri dan 5 orang anak,Alhamdulillah.Jika di zaman bujang dahulu,saya hanya perlu memikirkan dan menguruskan diri sendiri sahaja,kini ia tidak lagi.Tanggungjawab dan tugas semakin bertambah sepertimana bertambahnya usia walau hakikatnya kederat yang menanggung tidaklah sebanyak mana.

Sebut sahaja perihal anak,ia bukanlah semudah menyebut ABC atau Alif Ba dan Ta.Ia memerlukan segala bentuk usaha dan pengorbanan yang bersungguh-sungguh bagi kita mengungkap perkataan 'ANAK' itu sendiri

Antara yang selalu diperkatakan perihal anak adalah tentang peri pentingnya pendidikan yang perlu diberikan kepada mereka.Dan yang pasti memberi pendidikan kepada anak bukanlah setakat mengenalkan huruf ABC,Alif Ba Ta atau nombor 123 sahaja.Itu hanya sekadar asas sahaja.

Sejenak,

Baru-baru ini saya menghadiri perjumpaan semula (re union) bekas pelajar SMSS tahun 1992~1996.Ia perjumpaan terbesar selepas kami terakhir berjumpa bersama kira-kira 15 tahun dahulu.Kini kebanyakkan dari mereka sudah pun menjadi ibu dan bapa serta mempunyai anak-anak yang comel.Masa amat cepat berlalu.

Antara yang menjadi perbincangan antara kami adalah sekitar pendidikan anak.Ada yang mengharapkan anak mereka supaya pandai berbahasa Inggeris maka dari sejak tadika lagi,anak mereka telah dihantar ke sekolah yang lebih menekankan pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris.Juga sama halnya bagi ibu bapa yang menginginkan anaknya fasih berbahasa Mandarin.Mungkin kelak ada ibubapa yang menginginkan anaknya fasih berbahasa Tamil pula.

Selain dari itu,ada juga ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan sistem yang telah pihak kerajaan terapkan iaitu melalui sistem tadika KEMAS/pra-sekolah dan sekolah rendah kerajaan.Mungkin pilihan itu dibuat kerana mereka mengambil kesempatan dan kelebihan dari apa yang mereka/pasangan mereka ada iaitu status sebagai seorang guru di sekolah kerajaan.

Di lain sudut,ada pula ibubapa yang sanggup bergolok bergadai mengumpul dinar dan dirham, (baca : wang ringgit) semata-mata untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai sistem yang mereka anggap terbaik dan yang menggunakan sistem pembelajaran baru,Metode Khalifah contohnya ataupun Montessori Method.

Malah,masih ramai lagi ibubapa yang inginkan anak mereka belajar di dalam suasana yang Islamik,lalu menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai latarbelakang yang sebegitu.Ternyata disebabkan sambutan ramai,bilangan sekolah yang seperti ini makin tahun makin bertambah.

Ia suatu pilihan dari pelbagai banyak pilihan.

Apa pula pilihan kita?

Sejenak lagi,

Proses mendidik anak bukan semudah menghasilkan sebuah enjin kereta yang lengkap dengan transmission,yang memang terkenal dengan kepayahan/kerumitan untuk menghasilkannya.Enjin walaupun sesusah mana pun proses untuk menghasilkannya,jurutera masih boleh dibantu dengan pelbagai software untuk proses simulasi.Pendidikan anak tiada simulasi.

Lalu bagaimana?

Di dunia tanpa sempadan ini,teknologi semakin hari semakin canggih.Ditambah lagi,di dalam dunia yang semakin canggih ini,di mana-mana jua akan wujud persaingan,tidak kira apa jua faktor.Maka yang membolehkan kita supaya tidak ketinggalan dalam persaingan tersebut antaranya adalah dengan ilmu.Memang mempunyai bukti,dengan ilmulah membolehkan kita sentiasa berdaya saing di dunia yang penuh mencabar ini.

Ilmu itu ada di mana?

Di luar sana ada pelbagai bentuk/jenis buku.Buku adalah hasil tulisan para ilmuwan.Di dalam bukulah tersembunyi ilmu yang perlu kita bongkar.Dan tentunyalah buku mengenai pendidikan anak amatlah banyak dan mudah untuk di dapati.

Mengapa?

Pendidikan selain dari satu keperluan,bagi sesetengah pihak ia adalah suatu peluang perniagaan.Maka buku-buku perihal pendidikan anak-anak,antara yang menjadi modal perniagaan mereka untuk meraih keuntungan.Semakin banyak modal yang ditabur semakin banyaklah peluang untuk meraih keuntungan.

Lalu buku bagaimanakah yang perlu kita pilih?

Ini buku pilihan saya.Ia walaupun kecil tetapi amat signifikan bagi saya.Ia mudah di bawa ke mana-mana malah tidak jemu saya mengulang bacanya berulang-ulang kali.

Hasan Al Banna.
Ia adalah tokoh pertama yang bangkit selepas kejatuhan sistem pemerintahan khilafah.
Buku ini sedang di bedah dari kulit ke kulit
oleh Ustaz Ariffin-bekas Pengetua SMK Agama Sultan Muhamad Bt Beremdam
(suami Ustazah Salbiah Omar-Forum Ehwal Islam) di
surau Taman Desa Ixora (setiap khamis selepas solat maghrib) 

Antara tajuk yang akan di bincangkan.

Murabbi Cinta.
Salah 1 lagi buku kegemaran saya.

Antara bab yang tertulis di dalam buku tersebut.

Rancang Hidup Rancang Wang-Hamdy
(sesuai untuk umur 40 tahun ke bawah)

Rancang Hidup-Mendidik Anak.
Bab 7-Antara bab yang di sentuh secara terperinci
berserta dengan testimoni sekitar pendidikan anak-anak.
Ia amat menarik ulasannya. 
Walaupun dengan banyaknya jumlah buku yang kita miliki dan baca sebagai rujukan,ia belum lagi lengkap dan sempurna tanpa panduan dan garis panduan yang sepatutnya.

Lalu apa pula panduan kita?

Di dalam Al Quran begitu banyak kisah pendidikan anak-anak.
Antaranya adalah gandingan kisah Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya Nabi Ismail a.s.

Di dalam surah Luqman juga ada dinyatakan pendidikan terhadap anak.

Apa pula yang perlu kita lakukan?

Walaubagaimana teruknya pun akhlak seorang perompak,ia tetap tidak mahu anaknya menjadi seorang perompak.Dia tetap ingin menjadikan anaknya seorang yang pandai dan bijak.Kita sebagai ummat Islam pula,tanggungjawab kita bukan hanya tamat/selesai dengan menjadikan anak kita pandai dan bijak sahaja,malah lebih dari itu,kita perlu memastikan yang anak-anak kita berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Berjaya dunia cemerlang akhirat itu bagaimana?

Sesetengah ibu bapa teringin sangat agar akan ada salah seorang anak mereka yang akan menjadi seorang ustaz/ustazah.Kerana mereka sangat mengidam agar anak itu nanti bakal menjadi saham yang berterusan apabila mereka mati kelak.Lalu tidak hairanlah kalau ramai di antara kita yang berpusu-pusu menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai latar belakang dan persekitaran keagamaan yang baik,kelak dengan harapan anak mereka boleh menjadi ORANG AGAMA (baca : ustaz/ustazah).

Lalu,1 persoalan bagi mereka..

Jika pihak ibubapa sudah menjuruskan anak-anak mereka supaya menjadi orang agama,sudahkah ibubapa tersebut bersedia untuk menjuruskan anak mereka ke mana selepas mereka tamat pembelajaran kelak?

Orang agama vs org ahli agama.

Melalui buku di atas (Murabbi Cinta),

"Tetapi adakalanya ibu bapa keliru,antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama."

Tentunya,kalau dinilai semula,kita tidak boleh memaksa anak kita
sehingga menjadi orang agama,tetapi kita memang dipaksa
agar anak kita menjadi orang yang beragama.

Kebal.

Antara yang menjadi kerisauan ibubapa kala ini sebenarnya adalah tentang banyaknya maksiat,keburukan dan nilai negatif di luar sana.Bagi mereka,untuk menyelamatkan anak dan keturunan mereka seterusnya,anak mereka perlu memiliki ilmu kebal.Lalu di manakah perlu dicari untuk mendapatkan ilmu kebal tersebut? Kita perlu memikirkannya bersama.

Munajat.

Perihal sekecil memakai baju pun Islam mengajar penganutnya agar didahului dengan doa,ini apatah lagi perkara sebesar pendidikan Islam kepada anak-anak.Berdoalah dan teruskanlah berdoa.Bermunajatlah dan teruskanlah bermunajat.Tiada siapa yang boleh menjamin anak kita selamat dunia dan akhirat.Namun kita masih boleh berusaha dan berharap,moga-moga usaha kita boleh dituai di Akhirat kelak.

Akhir kalam,

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kita semua baru belajar,
Ada ilmu kita kongsi-kongsikan.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

No comments: