Wednesday, August 3, 2011

:: Universiti Ramadhan-3 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bulan Puasa adalah bulan manusia.....(ah,tersasul lagi bulan puasa).

Bulan Ramadhan adalah bulan manusia menjadi baik-taqwa (InsyaAllah).Saya juga ingin melatih anak saya supaya menjadi insan yang boleh menjadi baik pada diri sendiri dan boleh mengajak orang lain untuk sama-sama menjadi baik.Itu satu tekad.

Abdul Aziz.

Tahun ini Abdul Aziz,anak saya yang sulung berumur 7 tahun.Ini tahun ke tiga dia berpuasa.Alhamdulillah dia tidak menunjukkan kerenah yang pelik-pelik bila dilatih untuk berpuasa sejak awal lagi.Namun tahun ini saya dapat mengagak yang dia mungkin akan berasa lebih mencabar sebab dia akan berasa pula berpuasa di alam persekolahan.Tahu-tahu sajalah,apa yang lebih menyeronokkan pelajar tahun 1 di mana-mana sekolah sekalipun selain dari berkejaran sana-sini bersama rakan-rakan.Sampai ke satu tahap ia pasti meletihkan badan dan tekak akan terasa kering dan dahaga.Ditambah dengan cuaca yang memang panas terik kala ini bila tengahari menjelma.

Wajah ceria di 1 Ramadhan 2011M.
(ketika ini jam 19:00)

Apa pun,tahun ini saya anjakkan latihan untuknya ke satu tahap yang baru.Saya baru melatih dia untuk solat Jumaat dan solat terawikh secara berjemaah.

Abdul Hadi.

Abdul Hadi,anak saya yang kedua berumur 5 tahun.Ini tahun kedua dia berpuasa.Tahun lepas bila hari pertama dia berpuasa,cukup mencabar dugaan untuk melayan kerenahnya.Kata uminya,"sampai nak cair taik telinga mendengar dia merengek nak minta minum."

Namun bila saya pulang dari kerja,kerenahnya semakin menjadi-jadi.Untuk mengelak taik telinga saya juga turut mencair,saya pujuk dia mengelilingi kawasan taman perumahan kami dengan menunggang motosikal.Sempat juga kami singgah di gerai menjual kuih dengan membeli beberapa juadah berbuka sebagai hadiah kepada orang yang mula belajar puasa pada hari ini.

Selepas puas meronda,kami sampai semula di rumah agak lewat petang.Memang saya sengaja berbuat begitu agar dia tidak lagi terasa terlalu lama untuk menunggu waktu berbuka.Namun kejadian selepas itu sungguh tidak diduga.Sampai sahaja di tempat letak motor,Abdul Hadi terus sahaja meluru berlari ke dalam rumah menuju ke peti sejuk.Hampir sahaja dia dapat meneguk air yang memang tersedia khas untuk berbuka.Mujur dapat diselamatkan,kalau tidak.......

Tamat cabaran/dugaan hari pertama,hari seterusnya nampaknya dia sudah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk membuat kerenah yang mencabar kesabaran kami.Alhamdulillah,dalam sebulan Ramadhan tahun lepas,hanya 2 hari sahaja dia meninggalkan puasa.Itupun sebab terlalu penat bermain dengan sepupunya ketika berada di kampung sebelum Hari Raya.

Itu cerita tahun lepas....

Tahun ini,hari pertamanya berpuasa ada sedikit kemajuan.Tiada lagi adegan kejar mengejar.Tapi biarlah gambar yang menceritakan segalanya.

1 Ramadhan 2011M-Sedikit tidak bermaya.
Habis dikumpul makanan di depan mata.
Dalam peti sejuk disumbatnya pulasan
dan manggis (takut basi katanya)

"Ya Allah kurniakanlah kepada Abdul Hadi kekuatan agar dia dapat menjadi orang yang baik dan boleh mengajak orang lain supaya sama-sama menjadi baik."

Ain Sofiah.

Ain Sofiah,adalah satu-satunya anak perempuan saya buat masa ini.Umurnya baru menjangkau 3 tahun lebih.Tahun ini adalah tahun pertama dia belajar berpuasa.

1 Ramadhan-hanya bertahan sehingga ke tengahari.Sahur pagi hanya dengan meminum susu secawan.
2 Ramadhan-Alhamdulillah,bertahan puasanya sampai ke waktu berbuka setelah kami terpaksa melayan pelbagai macam kerenah dan rengekkan yang mendayu-dayu.

1 Ramadhan 2011M.
Hanya mampu bertahan hingga ke tengahari.

Sambil itu terpaksa juga saya mengotakan janji dengan membawanya ke taman permaianan (untuk bermain papan gelongsor dan buaian-walaupun petang semalam saya terpaksa berkejar ke suatu majlis di Jalan Jelebu) sekiranya dia berjaya menahan puasa hingga ke petang.Tapi seperti juga di zaman Abdul Hadi mula belajar puasa,semakin dekat dengan waktu berbuka,semakin besar dugaan untuk menahan kerenah si anak dara seorang ini.Namun,berjaya menahan lapar dan dahaga seharian (+ dapat menahan dugaan melihat adiknya minum susu) adalah satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.Alhamdulillah.

Apa pun,saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana mengurniakan kami anak-anak yang amat mendengar kata walaupun kadangkalanya amat cukup mencabar kesabaran untuk mendidik mereka.Mungkin ini salah satu jalan untuk diri kami sendiri di tarbiyah.

"Ya Allah,kurniakanlah kekuatan dan kesabaran di dalam diri kami ini.Amin."

(edisi esok : Melayan kerenah diri sendiri di bulan Ramadhan)

Wak,
TDI.

Tuesday, August 2, 2011

:: Universiti Ramadhan-2 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di akhir Syaaban.

Hujung minggu yang baru ini saya telah pulang ke kampung di Muar,Johor.Hajatnya ingin menyambut puasa hari pertama di kampung tetapi rupanya tidak kesampaian.Tidak seperti warga di negeri Johor dan Melaka,awal Ramadhan merupakan cuti umum bagi mereka,bagi Negeri Sembilan ia tidak digazetkan sebagai cuti umum.

Tidak ternilai.

Walau tidak dapat menyambut puasa di kampung,namun dapat pulang ke kampung halaman sendiri sambil dapat bertemu keluarga adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya.Tambahan pula tika ini musim buah sedang memuncak sekali.Buah durian masih lagi belum putus-putus untuk gugur ke bumi,rambutan pula sudah mula menguning dan memerah.Buah langsat,duku,manggis,pulasan semuanya baru sahaja memasuki fasa masak ranum.Ia tentu begitu menggoda nafsu makan bila melihatnya di kala bulan Ramadhan ini.

Punggahan.

Punggahan adalah istilah jawa yang bermaksud kenduri dan tahlil arwah bersempena untuk menyambut Ramadhan.Ia dilakukan hampir di setiap rumah.Hujung minggu yang baru ini saya berkesempatan menghadiri dua majlis kenduri dan tahlil arwah pada hari yang sama.

Ia majlis yang cukup meriah walaupun simple.Selepas maghrib majlis di buat di surau kampung manakala selepas isya’ majlis dibuat di rumah ketua masyarakat yang merupakan penutup segala punggahan.Memandangkan saya sudah agak lama tidak dapat menyertai majlis yang sedemikian,serba sedikit ia membangkitkan memori ketika zaman kanak-kanak dan awal remaja (di mana ketika itu,majlis kenduri sahajalah peluang untuk kami dapat makan berlauk ayam,subhanaLlah-Allah melimpahkan rezeki melalui kenduri).

Bertemu pimpinan masyarakat.

Tanpa saya sedari,ketika majlis kenduri berkenaan saya duduk berdekatan dengan Hj M (Ketua Kampung) dan Hj A (aktivis masyarakat).Sambil makan mereka berdua sempat bertanyakan kepada saya tentang status kesihatan abah.Sambil itu juga sempat mereka berdua menceritakan beberapa masalah yang sedang melanda masyarakat kini.Saya yakin mereka bercerita dengan ikhlas tanpa memikirkan kecenderungan masyarakat tentang hala tuju politik masing-masing.

Kata mereka,

"Masalah yang timbul di kalangan masyarakat kita sekarang banyaknya tidak ditangani dengan cara yang betul.Pemimpin masyarakat yang dipilih rata-ratanya dipilih berdasarkan faktor tertentu.Namun kebanyakkannya faktor agama pula diletak ke tepi,jauh sekali untuk dibuat kayu pengukur bagi melayakkan mereka menjadi pemimpin masyarakat."

"Lihat sahaja dalam organisasi yang ada.Walupun dalam Perlembagaan Malaysia,Agama Islam diletak cukup tinggi sebagai Agama Rasmi namun pada hakikatnya ia tidak begitu.Yang menjawat Jawatan Agama,mereka tidak menjadi decision maker.Sepatutnya dengan kedudukan Agama Islam yang tinggi di dalam Perlembagaan Malaysia,maka ia patut digunakan sepenuhnya terutama sekali dalam menyelesaikan masalah masyarakat yang semakin hari semakin meruncing dan amat membimbangkan peningkatannya."

......Itu kata orang yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran dan perihal masalah masyarakat.

Bulan Ramadhan menyatukan semua.

Bulan Ramadhan sebenarnya bukan sekadar bulan puasa,yang biasa kita sebut-sebut selama ini.Bulan Ramadhan adalah bulan penyatu.Lihat sahaja surau-surau dan masjid-masjid ketika ini.Jemaah yang datang melimpah ruah melebihi hari biasa.Yang datang ke rumah Allah dari pelbagai golongan,kanak-kanak,dewasa,lelaki,perempuan,kaya,miskin,rendah,tinggi,gemuk,kurus,mereka semuanya datang untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan membuat amal ibadah.

Selain dari itu,bila tiba bulan Ramadhan,pasti akan ada sahaja majlis berbuka puasa bersama-sama.Samada ia dianjurkan untuk sesama mereka mahupun untuk menjamu golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim,fakir miskin mahupun ibu tunggal.

Bulan Ramadhan jugalah ummat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.Menurut sumber yang saya perolehi,ramai di antara kita juga selain dari membayar zakat fitrah,mereka mengambil kesempatan pada Bulan Ramadhan ini untuk membayar zakat-zakat yang lain (zakat pendapatan,zakat perniagaan,zakat emas dll).

3 situasi di atas membuktikan adanya kerjasama,usaha untuk bersatu dan bantu membantu antara sesama ummat Islam demi untuk menghidupkan syiar Islam di muka bumi Allah ini.Contoh di atas menggambarkan sekiranya sikap dan usaha ini dapat diterapkan dalam menyelesaikan masalah masyarakat yang ada kala ini,pasti sedikit demi sedikit masalah yang ada dapat ditangani dan diatasi.Dan yang paling penting sekali,ia dilakukan bukan untuk mendapatkan sokongan ataupun nama.

Moga Allah membuka hati-hati semua ummat Islam agar mempertahankan agama yang kita anuti ini dari terjahan-terjahan pihak musuh yang memang sentiasa mencemburui kualiti dan kejayaan agama Islam.

(edisi esok : Melayan kerenah anak-anak di bulan Ramadhan)

Wak,
TDI.

Monday, August 1, 2011

:: Universiti Ramadhan-1 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Memohon.

Setiap tahun bila sahaja ummat Islam berjumpa dengan bulan Rejab,maka doa berikut mula di baca oleh para Imam apabila selepas sahaja solat berjemaah.


Doa itu sebenarnya berupa permohonan kita kepada Allah SWT untuk memasuki Universiti Ramadhan,bulan di mana segala keberkatan terkumpul dan amal ibadah pula akan dilipat gandakan pahalanya.

Ya,ia adalah bulan yang ramai di kalangan Ummat Islam yang amat menantikan kemunculannya tetapi sebaliknya bukan semua dari kita yang diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk sempat/layak bertemunya.

Jemputan yang tidak diduga.

Semalam ketika saya membaca beberapa keratan akhbar tempatan,saya dapati beberapa laporan tentang beberapa orang saudara seIslam kita yang telah meninggal dunia dengan pelbagai sebab tertentu (contohnya kemalangan jalanraya).Bercampur baur perasaan saya membaca berita yang sedemikian,ia satu kematian yang benar-benar sudah hampir dengan bulan Ramadhan.

"Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti." – Menteri Besar Kelantan (sempena perutusan Bulan Ramadhan 2011M).

Ia memberi keinsafan.


Golongan beruntung.

Sebentar tadi,seluruh ummat Islam di Malaysia (dan negara-negara yang sama waktu dengannya) telah memulakan Ibadah berpuasa bulan Ramadhan.Alhamdulillah,ia suatu nikmat yang cukup besar.Lebih dari itu,kita bukan sekadar wajib mensyukuri nikmat dapat bertemu dengan Bulan Ramadhan yang penuh mulia ini dengan menambah amal ibadah peribadi kita sahaja (membaca al Quran,Qiam dll.) bahkan kita juga digalakkan untuk turut menggembirakan orang lain yang turut sama-sama menjalani ibadah puasa juga.

Bersedekah.

Jika pada hari biasa kita digalakkan untuk bersedekah pada golongan fakir dan miskin,tetapi pada bulan Ramadhan kita digalakkan juga untuk bersedekah pada jiran tetangga kita dengan sama-sama berkongsi juadah berbuka yang ada di dalam rumah kita.

Sabda Rasulullah SAW,“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)

Ia satu tawaran yang lumayan.

Jom sedekah.Jom menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Wak,
TDI.

Thursday, July 28, 2011

:: Muhasabah Sebelum Ramadhan-8 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kenangan.

Terlalu banyak kenangan yang terimbas yang berlaku sepanjang seminggu berada di Jepun.

1. Presentation di HQ berjalan dengan sempurna walaupun sessi soal jawab agak tidak lancar disebabkan soalan di luar batasan saya untuk menjawab.

Skrip untuk presentation.
Keluar segala macam peluh-peluh seram sejuk mahupun peluh jantan.

2. Praktikal untuk produk dan mesin baru dapat disudahkan mengikut jadual dengan kerjasama dari local staff Jepun.Selepas ini homework perlu dibuat mengikut schedule juga memandangkan ketibaan mesin baru sudah semakin hampir.

Bersiar-siar di pagi hari mengelilingi kilang
di Komagane yang dikelilingi gunung ganang serta
sawah padi.Buah epal di kebun sebelah kilang masih
lagi kehijauan.Lambat lagi mahu menunggu autumn.

3. Makan malam bersama OB Malaysia (Manager dan Staf Jepun yang pernah berkhidmat di Malaysia) sebagai ucapan selamat tinggal pada malam terakhir di Komagane banyak memberikan pengajaran,di antaranya adalah betapa ikatan kemanusiaan itu bisa terjalin walaupun berlainan bahasa dan budaya.

Bersama OB (Old Boy Jepun @Malaysia).
Meraikan tetamu adalah antara budaya mulia mereka.

4. Malam terakhir di Jepun kami menginap di Toyoko Inn Hotel,bersebelahan dengan Centrair,Cyuubu International Airport untuk penerbangan domestik dari Nagoya ke Narita.Dalam banyak-banyak hotel saya menginap,ini adalah antara hotel yang meletakkan beberapa keping kitab agama lain di dalam bilik mereka.Lihat bahawa agama lain juga sentiasa berusaha untuk mengembangkan dan menambah baik dakwah mereka.Mungkin adakalanya pihak tertentu yang memainkan peranan menyebabkan dakwah mereka lebih mudah tertonjol.

Masanya sudah hampir tiba.JL 723 sedang memanaskan enjinnya.
Bye Bye Jepun.Moga ke temu lagi,InsyaALlah.

5. Dalam penerbangan balik Narita-KLIA kami dikejutkan dengan menu untuk kami di atas kapalterbang yang saya syak mungkin berasaskan daging.Ini bercanggah kerana sebelum kami bertolak dari Malaysia dahulu saya terlebih dahulu menyatakan yang kami memesan menu vegetarian.Setelah memanggil pramugari bertugas,pihak JAL dengan bersungguh-sungguh menyatakan itu adalah menu halal.Setelah saya siasat serba sedikit mereka memberikan jaminan yang dapur mereka mampu memberikan makanan halal kepada orang Muslim mengikut syarat yang telah mereka patuhi.Bahkan dipertengahan jalan,pramugari tersebut berjumpa saya sekali lagi memohon maaf sekiranya saya tidak selesa dengan kewujudan situasi seperti di atas.Saya hanya mampu tersenyum.

6. Kami tiba di KLIA agak lewat petang.Bahkan ia di tambah lewat dengan kelewatan bagasi kami untuk tiba di tempat tuntutan bagasi.Ramai yang merungut terutamanya pelancong Jepun yang memang agak cerewet tentang masa.Ini bukan perkara luar biasa,bahkan ketika saya masih di zaman pelajar sekitar tahun 1999 dahulu lagi,perkara yang sama sudah timbul,iaitu kelewatan bagasi tiba.Bahkan ditambah parah dengan bagasi yang seringkali rosak apabila tiba ditangan tuannya kembali.

Saya yang sudah masak dengan masalah sebegitu terus sahaja menuju ke surau berhampiran dengan tempat tuntutan bagasi untuk solat Jama’ Takhir (zuhur dan asar).Selepas solat sempat saya sujud syukur sebagai tanda terima kasih ke Hadrat Illahi di atas kenikmatan yang di berikanNya kepada saya,yang sekiranya mahu dihitung tentu terlampau banyak jumlahnya.

Sejurus keluar dari surau,saya menuju ke conveyor tuntutan bagasi.Maha Suci Allah,beg untuk penerbangan JL723 baru sahaja muncul satu per satu.Dan beg biru saya adalah di antara yang awal.Adakah ini salah satu tanda Kebesaran Illahi.Wallahua'alam.

Selamat pergi dan selamat pulang.

KLIA-Narita.
Nagoya-Narita-KLIA.
Terima Kasih JAL di atas khidmat yang selesa.

Setelah melalui imigresen saya mahu segera pulang.Esok (23 dan 24 Julai 2011) saya ada 2 agenda besar.Kenduri arwah keluarga di Bukit Mahkota,Bangi dan Hari Keluarga Alumni IPIJ di Teluk Kemang,Port Dickson.Ia perlu mengenepikan keletihan untuk dijadikan alasan untuk tidak menghadiri 2 majlis besar itu.

Allahumma Yassir...

Wak,
Kuala Lumpur International Airport,
Sepang,Selangor.

:: Muhasabah Sebelum Ramadhan-7 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian kepada Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.
Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,para keluarga dan para sahabat Baginda.

Bertarikh 23 dan 24 Julai 2011,bertempat di Laman Tok Sidek,Telok Kemang,Port Dickson,telah berlangsungnya Hari Keluarga dan Muktamar Alumni IPIJ.Ia acara yang dirancang dan alhamdulillah ia berlangsung dan selesai menurut seperti aturcara yang telah disediakan.
IPIJ-Ikatan Persaudaraan Islam Jepun.
Sakura,Jepun dan tangan yang saling berpautan.

Tahniah kepada Pengarah Program dan penganjur Hari Keluarga 2011 yang bertungkus lumus menjayakan majlis kali ini dari awal sehingga selesai semuanya.

Tahniah juga pada peserta-peserta Hari Keluarga 2011 yang berjaya meluangkan masa,mencurahkan wang dan tenaga bagi menjayakan majlis kali ini (ada yang datang dari dekat dan ada yang datang dari jauh).

Tahniah juga pada barisan kepimpinan baru yang telah dilantik dan bakal menerajui tampuk alumni IPIJ.Moga kekuatan yang Allah pinjamkan kepada kita semua dapat kita manafaatkan kepada jalan yang diberkatiNya.

Kepada yang tidak berkesempatan menghadirkan diri,saya percaya doa-doa dari antum semua
menjadi asbab berjayanya majlis pada kali ini.Berdoa juga semoga dapat bertemu di lain
kesempatan.
Surat jemputan untuk penceramah.
Asalnya ia sebagai majlis pengisian tetapi
terpaksa dibatalkan.

Akhir sekali,dengan penuh rendah diri memohon kepada Allah SWT,moga-moga mata-mata rantai yang bersambung-sambung di atas jalan dakwah di muka bumi ini,akan terus bersinar dan memohon agar dijauhkan sama sekali ianya berkarat dimamah usia.

Kami sekeluarga juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan,

"Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al Mubarak."-kepada seluruh ummat Islam baik dimana anda berada.

Moga kita dapat bertemu dengannya sekali lagi pada tahun ini dan dapat menyempurnakan segala ibadah yang wajib mahupun yang sunat di sepanjang bulan yang penuh berkat ini.

Allahumma Balighna Ramadhan. Allahumma Balighna Ramadhan. Allahumma Balighna Ramadhan. Ya ALLAH, sampaikan kepada ku Ramadhan.

Ingatan ikhlas dari kami,



















Wak,
TDI.

:: Muhasabah Sebelum Ramadhan-6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kembara.

Setelah menaiki kapalterbang (JL724) selama lebih kurang 7 jam kami telah selamat tiba di Narita International Airport (15 July 2011-07:15).

Melalui Imigresen dan Kastam Jepun yang memang agak ketat kawalannya (semenjak tragedi Sept 11) agak meletihkan sebenarnya.Di tambah dengan kepenatan dalam perjalanan jauh dengan tidur yang tidak lena,ia memang memenatkan.Alhamdulillah ia dapat dilepasi tanpa sebarang halangan.

Keluar sahaja dari balai ketibaan,kami di tahan pula oleh 3 orang pegawai polis Jepun yang berpakaian biasa.Setelah menunjukkan identiti pengenalan mereka,kami disoal serba sedikit tentang perjalanan kami dan tujuan kami datang ke Jepun.Alhamdulillah,kami dapat menyelesaikan halangan tersebut tanpa sebarang masalah.

Yokohama.

Seperti yang tercatat pada schedule yang kami terima,kami perlu menaiki bas ekspress untuk sampai ke bandar Yokohama.Lantas kami segera ke kaunter penjualan tiket bas untuk urusan pembelian tiket.Setelah tiket bertukar tangan,kami terus sahaja menuju ke tempat menunggu tidak jauh dari kaunter menjual tiket.

Tepat jam 08:00 bas ekspress terus sahaja bergerak menuju ke destinasi.Lebih kurang 2 jam perjalanan kami sampai ke destinasi iaitu Y-CAT (Yokohama Centre Air Terminal).Seorang pegawai telah sedia menanti kami di sana bila kami tiba.

Santapan.

Setelah bertanya khabar serba sedikit dan saya menyerahkan sedikit buah tangan dari Malaysia,kami telah di bawa ke sebuah restoran untuk makan tengahari tidak jauh dari tempat kami turun dari bas.Menu tengahari itu adalah Ebi-Ten (Ebi Tenpura-Nasi berlauk Udang Goreng serta salad sayur-HEALTHY!!)

Setelah selesai makan,kami meneruskan perjalanan kami untuk terus ke HQ bagi urusan rehearsal untuk presentation kami.Urusan turun naik tangga untuk bertukar keretapi (Y-CAT - Shinsugita - Shidai Igakubu)amat memenatkan sebenarnya.Di tambah dengan beg tarik yang berat isinya serta badan yang agak berpeluh di musim panas yang menyegit (sekitar 38 darjah) itu memang amat tidak menyelesakan.Apakan daya,kita berada di tempat orang.

Rehearsal.

Rehearsal yang sepatutnya berjalan 30 minit sahaja di sebelah petang berlanjutan sehingga sejam setengah.Walaupun rehearsal kami memang berjalan lancar,namun masih ada komentar yang diutarakan dari pihak tertentu dan kami perlu memperbaikinya secepat mungkin.Alhamdulillah,ianya berjalan lancar pada hari tersebut.

Check In.

Selesai sahaja rehearsal,kami terpaksa sekali lagi turun naik tangga untuk bertukar stesen keretapi (Shidai Igakubu - Shinsugita - Kannai) untuk menuju ke hotel.Naik lenguh juga tangan menarik beg.

Kami tiba di hotel sudah lewat petang dan pegawai berkenaan terus sahaja mahu mengajak kami makan malam.Disebabkan keadaan tubuh yang sudah lesu ditambah dengan hampir seharian masih belum mandi,kami meminta izin untuk mandi dahulu di hotel sebelum makan malam.

Alhamdulillah,selepas mandi dan bertukar pakaian,badan kembali segar dan perut pun baru mula terasa lapar.

Bersantap lagi.

Turun ke lobi hotel,pegawai yang bertugas mengiringi kami sentiasa setia menunggu.Petang itu kami di bawa ke restoran seafood tidak berapa jauh dari hotel tempat kami menginap.Menu petang itu tidak lain dan tidak bukan tentulah sashimi (raw fish slice),sushi,ama ebi (udang mentah manis yang di cicah dengan kicap soya) dan beberapa menu tambahan lain.

Belajar Bahasa Inggeris.

Sambil menjamu selera kami bertukar-tukar cerita perihal diri masing-masing.Pegawai yang bertugas berkenaan mengatakan yang beliau sedang giat mempelajari Bahasa Inggeris (khusus untuk perbualan bagi golongan bisnesman).Selain dari membeli set audio berserta kit pembelajaran,beliau juga membayar secara khusus seorang guru berbangsa Kanada untuk mengajar kepadanya Bahasa Inggeris yang betul.Kata beliau,biasanya tempat pembelajaran adalah di restoran-restoran kecil tidak jauh dari tempat beliau tinggal.Sambil bercerita sambil beliau menunjukkan beberapa teks yang sedang beliau belajar untuk dialih bahasakan ke Bahasa Inggeris.Bagi pendapat saya,beliau seorang yang begitu tekun untuk belajar walaupun saya kira umur beliau sudah mencecah 50 tahun.

Selesai.

Selesai bercerita dan menu pada malam itu pun sudah disapu bersih oleh 3 orang yang memang sedang kelaparan,tibalah masanya untuk berpisah.Kami ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pegawai tersebut dan kami akan berjumpa lagi keesokkan paginya di HQ untuk acara presentation yang sebenar.

Berehat dalam gegaran.

Perut sudah kenyang manakala badan pula memang sudah sediakala letih kerana sudah hampir 24 jam badan tidak mendapat rehat yang sepatutnya.Lalu setelah selesai makan kami terus sahaja kembali ke bilik.Sambil menyiapkan diri untuk hari yang penting pada keesokan harinya,tiba-tiba saya berasa seperti bergoyang-goyang.Adakah ini tanda saya terlampau letih sehingga fizikal badan menjadi tidak stabil?

Selang beberapa saat kemudian,saya dapati baju yang saya gantung di dinding bilik hotel pula mula bergoyang-goyang.Pada masa yang sama kedengaran bunyi berkeriot menandakan memang ada pergerakkan yang kuat pada bilik saya itu.Saya terus sahaja melihat ke bawah meja, (prosedur apabila menghadapi gempa bumi adalah segera berlindung di bawah meja) namun ia terlalu kecil untuk dijadikan tempat berlindung.Lantas saya teringat pesan seorang ustaz (tidak ingat siapa),"Apabila melihat kebakaran,ribut atau gempa bumi,laungkanlah azan,insyaAllah api,ribut atau gempa berkenaan akan reda." Alhamdulillah,selepas melaungkan azan di dalam bilik,keadaan di dalam bilik kembali tenang.Namun hati masih berdebar-debar ketakutan.

Tiba-tiba pintu bilik saya di ketuk dari luar.Apabila saya buka,rakan sekerja saya di bilik sebelah telah tercegat berdiri di luar.Dia menceritakan pengalaman yang sama.Saya ajak rakan saya itu untuk masuk ke bilik dan terus sahaja menghidupkan TV yang ada di sisi.Sah,memang ada jishin (gempa bumi).Siaran TV yang saya sedang lihat didapati di bahagian bawahnya tertulis beberapa kawasan telah mengalami jishin.Kawasan Yokohama jishin shindonya 5 jyaku ( skala rektar : 5 lemah).Kawasan kawasan lain juga turut terjejas.Bahkan di Tokyo Dome perlawanan baseball yang sedang berlangsung terus sahaja dihentikan buat seketika.

Gempa (15 Julai 2011).

Trauma.

Walaupun bukan kali pertama mengalami jishin,berada di tingkat 16 adalah sesuatu pengalaman baru.Ia benar-benar menakutkan.Terus teringat keluarga di tanahair dan terus teringat akan mati.Namun Allah terus mengilhamkan saya untuk melaungkan azan.SubhanaLlah....

Walaupun keadaan telah reda kesan gegaran/trauma gegaran terus sahaja terasa.Mata yang amat mengantuk tadinya terus sahaja terkebil-kebil tidak boleh tidur.Allahumma Yassir…

Kejutan sekali lagi.

Sambil melayan mata,saya biarkan TV terus terpasang.Siaran berita seperti biasa mengulas jishin yang baru sahaja berlaku.Namun belum sempat reda tentang berita jishin,mata dan telinga saya menangkap satu lagi berita gempar.Pada 21 dan 22 Julai dijangkakan taufan nombor 6 akan melanda kawasan sekitar Nagoya hinggalah ke Tokyo.Ya,taufan itu bakal melanda di tarikh sepatutnya kami dijangkakan pulang melalui Narita International Airport,Tokyo.Sekali lagi saya berdoa di dalam hati,Allahumma Yassir...

Taufan Nombor 6.
Dijangka akan melanda Jepun pada 21 dan 22 Julai.

"Allahumma Balighna Ramadhan,Allahumma Balighna Ramadhan,Allahumma Balighna Ramadhan.Ya ALLAH, sampaikan kepada ku Ramadhan."

Wak,
The Apa Hotel,
Kannai,Yokohama City.

Wednesday, July 27, 2011

:: Muhasabah Sebelum Ramadhan-5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Merdeka!

2 tahun lepas adalah antara tahun sejarah (baca : MERDEKA) bagi saya.Salah seorang Manager Jepun saya telah pulang ke Jepun setelah lebih 6 tahun lebih berkhidmat di Malaysia.Saya menyambut berita itu dengan gembira memandangkan beliau adalah antara individu yang di harap sangat agar kontrak perkhidmatannya ditamatkan segera.

Sekiranya diikutkan kadar biasa (sejarah lampau),seorang Manager Jepun hanya berkhidmat sekitar 4~5 tahun sahaja di Malaysia.Amat jarang pula Manager yang disambung/menyambung kontrak selepas tempoh berkenaan,tapi tidak pada Manager yang seorang ini.

Teliti.

Mungkin ada yang sedia maklum bahawa orang Jepun amat teliti dalam bidang kerja mereka.Saya mengiakan tanggapan ini.Tapi bagi Manager yang seorang ini tidak begitu,beliau seorang yang super-duper (terlebih) teliti.

Sebagai seorang Manager,tanggungjawab untuk memastikan segala anak buahnya membuat kerja mengikut standard tertentu memanglah sesuatu yang normal.Namun bila ianya menjangkau lebih dari itu,ia sesuatu yang abnormal.

'Mangsa'.

Saya asalnya adalah salah seorang yang bekerja di bahagian production.Bahagian saya (BP 1 & 2) adalah antara bahagian yang paling tinggi menyumbang reject percentage (NG %).Bila tiba mesyuarat mingguan dan bulanan,pasti muka sayalah yang seringkala membentangkan hasil penyiasatan dan seterusnya membentangkan juga tindakan-tindakan yang telah di ambil bagi menurunkan NG % yang memang sudah sediakala tinggi itu.

Komentar.
Komen adalah perkara biasa.....

Tapi komen dari Manager yang seorang ini bisa menusuk kalbu pedasnya.Selalu yang beliau tekankan adahah,segala report yang dibuat WAJIB berdasarkan 3 GEN (Genba-actual place ; Genbutsu-actual product ; Genjitsu-actual root cause) dan 5 why analysis.Ini yang selalu saya ambil ringan dan akibatnya saya akan dileter panjang akibat report yang dibuat dianggap beliau diselesaikan sambil lewa.

Kerja harian.

Kerja harian juga tidak dapat lari dari dileteri oleh beliau.Ada sahaja yang tidak kena bila saya selesai membuat sesuatu task dan menghantar task tersebut kepada beliau melalui e-mail.Dileteri sehingga 1 jam sambil berdiri adalah perkara lumrah bagi saya dalam kerja harian.Tapi kadangkala hilang juga tahap kesabaran saya,tapi hanya mampu dipendamkan di dalam hati.

Task baru.

Ini yang paling saya cuba mengelak.Apabila ada task baru dari beliau,selain dari bersedia untuk dileteri apabila task itu selesai kelak,sessi penerangan untuk task baru juga menduga kekuatan mental.Sessi penerangan akan dijalankan dan beliau akan kerap mengulang kembali mana-mana yang dirasakan perlu beliau ulangi penerangannya.Kadangkala sehingga 3~4 kali diulang.Fuuhhhhh!! Memang kejang otot-otot kaki dek kerana terlalu lama berdiri.

Itu sekitar kisah hidup yang pernah saya alami selama 6 tahun lebih dan ia telahpun berlalu lebih dari 2 tahun.Cukuplah sekadar itu sessi penceritaan semula.

Ke Jepun.

Waktu ini saya dan seorang rakan saya yang lain berada di Jepun untuk mengikuti praktikal kerana ada model dan mesin baru yang akan masuk ke kilang kami di Malaysia.

Saya tiba agak lewat malam di check in di Hotel Premont,Komagane (16 Julai 2011).Saya diberitahu oleh pegawai yang menghantar kami ke hotel malam tersebut bahawa Mr A (Bekas Manager saya seperti cerita di atas) sudah berjanji akan menjemput kami di lobi hotel pada esok hari jam 10 pagi.Kami agak terkejut.

Semakin terkejut.

Esok pagi,seperti yang dijanjikan,walaupun terlewat 15 minit saya turun ke lobi dan Mr A sudah sedia menunggu di lobi hotel.Setelah bertanya khabar serba sedikit,Mr A menelifon isterinya pula dengan mengatakan sesuatu.Selepas itu kami terus sahaja ke rumah Mr A untuk menjemput isteri beliau untuk ke satu destinasi.

Naik Gunung.

Setelah menjemput isterinya,kami terus sahaja ke destinasi yang hendak di tuju.Ia adalah sebuah gunung tempat orang yang suka mendaki gunung menjalankan aktiviti ketika musim panas.Jalan rayanya yang cukup mendaki serta bengkang bengkok memang cukup mencabar.Namun pemandangan kanan kiri jalan yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar amat meredupkan pandangan.Cuaca musim panas yang sedang memuncak itu dapat diredakan dengan melihat pemandangan sedemikian.

Hijau bumi Tuhan.

Anjung tinjau.

Sampai di pertengahan jalan,kami turun untuk pergi melihat anjung tinjau yang di bina khas.Dari situ kami dapat melihat lembah Komagane yang menjadi penempatan utama penduduk di kawasan tersebut.Pemandangan yang cukup indah.

Lembah Komagane di lihat dari Anjung Tinjau.

Air gunung.

Bergerak menuruni gunung tersebut,kami singgah di tepi jalan untuk menikmati air gunung semulajadi yang sungguh sejuk dan enak rasanya.Tidak perlu pergi jauh hingga ke Alpine di Swiss,hanya perlu ke Komagane,saya sudah boleh menikmati air semulajadi yang sungguh enak.

Air Gunung yang sejuk dan enak.
Orang ramai yang datang turut sama menikmati..
Ia adalah salah satu nikmat dari Allah SWT.

Santap.

Setelah penat berehlah menikmati alam semulajadi,tiba masa untuk makan tengahari.Mr A membawa kami semua ke sebuah restoran di tepi lereng gunung untuk menikmati menu istimewa masyarakat Jepun di kawasan berkenaan.Menu pada hari itu adalah nasi kukus herba dan kopi dari East Timor.

Nasi kukus herba.
Healthy!!!

Kopi hasil cucuk tanam
penduduk East Timor. 

Selesai makan kami berehat sebentar di tepi sungai sambil menyejukkan diri memandangkan panas terik tengahari yang amat terasa.Sungai jepun berlainan dengan sungai di Malaysia,ia berbatu batan dan airnya tidaklah terlalu dalam.

Sungai Jepun yang penuh dengan batu-batan.
Kanten Papa.

Selesai menyejukkan diri kami bergerak lagi ke Kanten Papa lebih kurang 15 minit perjalanan dari tempat kami bersantap.Ia adalah suatu tempat rekriasi yang dikelilingi dengan hutan gunung.Kami sempat membeli sedikit buah tangan di situ.Kantin Papa adalah sebuah tempat yang juga mempromosikan produk (rumpai laut) sea-weed yang memang cukup popular di Jepun.

Sea-weed

Di Kanten Papa,selain sea-weed yang di jadikan makanan,ia juga di jadikan alat kecantikan bagi kaun wanita.Malah di Kanten Papa juga,kami boleh menikmati Jelly berperisa strawberri dan epal sebanyak mana yang mahu kami makan dengan percuma.

Berpisah.

Kami mengakhiri kembara kami dengan Mr A setelah Mr A membawa kami ke kedai 100 Yen Shop dan sebuah gedung pakaian.Sempat juga kami membeli ole-ole untuk orang tercinta yang berada di tanah air.

Akhirnya setelah dihantar ke lobi hotel,kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas sambutan Mr A dan isterinya pada hari itu.Ia sebuah kenangan yang tidak mampu dicoretkan dalam bentuk perkataan.

Lalu tiba-tiba sahaja teringat ungkapan Ustaz Hj Hambali,

"Janganlah kamu membenci sesoarang itu,kerana para ibu mengandungkan anak mereka di dalam rahim dengan penuh kasih sayang."

Wak,
The Premont Hotel,
Komagane-Shi,
Nagano-Ken.

Sebagai tanda terima kasih,setelah pulang ke Malaysia saya mengirim satu e-mail dan beberpa gambar kenangan kepada Mr A.

...email to Mr A.

....reply from Mr A.