Masa sentiasa berlari.
Jika kita berjalan,kita akan tertinggal di belakang masa.
Sekolah Rendah.
Saya bersekolah di Johor.Sehingga kini sistem pendidikan di Johor adalah bersekolah rendah kebangsaan di sebelah pagi dan bersekolah agama aliran Kerajaan Johor di sebelah petang.Ada tempat/bandar berjalan dengan sistem yang sebaliknya.
Bayangkan sahaja,kalau dahulu seawal jam 6 lebih pagi saya telah mandi di parit di hadapan rumah saya yang sejuknya sehingga menggigit tulang di dalam kegelapan subuh hari.Selesai mandi,berlari pula naik ke rumah untuk bersiap.Selesai bersiap,sebelum 7 pagi saya telah mula mengayuh basikal ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 4 km dari rumah.Bila jarum jam menunjukkan jam 12 setengah barulah selesai sekolah sessi pagi dan saya mengayuh basikal untuk balik ke rumah.
Setelah berehat serba sedikit,jam 2 petang saya bertolak pula ke sekolah agama yang jaraknya 2 km dari rumah dalam cuaca yang biasanya masih lagi berbasi panas teriknya.Walaupun jadual waktunya hanya sehingga jam 3 setengah,ia cukup melesukan badan.Sudahlah belajar di bangunan lama,kipas pula tiada,hiruk pikuk murid didalam kelas menambahkan lagi kerimasan.
Berkurang sedikit bebanan bila sekolah agama meningkat ke darjah 4.Pelajar darjah 4 hingga darjah 6 jadual waktunya dari jam 3 setengah hingga 6 setengah petang.Namun seharian sibuk pergi dan balik ke sekolah ditambah dengan bebanan belajar dan tanggungjawab menyelesaikan kerja rumah menyebabkan hari Jumaat dan Sabtu seperti ditunggu-tunggu.Ya,cuti adalah waktu untuk berehat-rehat sambil bersantai menonton kartun di TV.
Sekolah Menengah.
Diam tak diam,6 tahun waktu persekolahan bagi sekolah rendah berlalu dengan amat pantas.Selepas mendapat keputusan UPSR yang memberangsangkan,saya telah terpilih untuk bersekolah berasrama penuh di Cheras,KL.
Hidup di asrama lagilah bertambah sibuk.Seawal sebelum subuh terpaksa bangun tidur untuk bersiap.Jika terlambat bangun selain dari terpaksa beratur lama untuk mandi pagi,pasti akan didenda oleh Ketua Dorm,hanger (penyangkut baju) besi yang dijadikan rotan akan menunggu di hadapan bilik 1-5-pintu utama kami untuk ke surau.
Selepas bersarapan pagi,semua murid bergegas ke bangunan akedemik untuk memulakan hari persekolahan.Tamat sessi persekolahan pada jam 1 setengah petang,para pelajar bergegas pula pulang ke blok asrama untuk makan tengahari,solat zuhur dan bersiap untuk kelas persediaan petang.
Rush Hour!!!!
Jam 3 hingga 4 setengah petang,para penghuni asrama terpaksa berada di dalam kelas masing-masing semula untuk menyelesaikan kerja rumah.Walau kelopak mata terasa amat berat,digagahkan juga fizikal dan mental menempuhi 1 jam setengah itu.Ternyata jika tidak digagahi,segunung tugasan kerja rumah pasti akan tergendala.Ia tugasan harian yang mesti.
Selesai kelas persediaan petang serta setelah selesai minum petang dan solat asar,jam 5 hingga 6 setengah,sekali lagi penghuni asrama terpaksa turun ke bawah blok akedemi.Kali ini pula adalah untuk sessi riadah.Masing-masing agak bergerak ke lokasi masing-masing mengikut kelab sukan.Saya ahli kelab setia sukan kriket dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
Selepas siap bersolat maghrib dan makan malam,sekali lagi para penghuni asrama menuju ke kelas untuk bersedia mengulangkaji pelajaran pada sessi kelas persediaan malam.Ia akan berlarutan sehingga jam 11 malam.Selesai tugasan di dalam kelas,kami menuju semula ke blok asrama untuk bersiap-siap sebelum beradu di atas katil mengumpul tenaga untuk keesokkan harinya.
Begitulah rutin hidup kami.Apa pun yang pastinya Sabtu dan Ahad adalah waktu merdeka bagi kami.Kami bebas dari kesibukan.Namun 5 tahun yang perlu ditempuhi ketika itu.Ia jangka masa yang cukup panjang rasanya.Manakan tidak,asrama amat sinonim dengan penjara masa dan undang-undang buat kami pelajar yang berusia remaja.
Pusat Persediaan ke Jepun.
Selepas mendapat keputusan SPM,saya mendapat pula tawaran untuk belajar ke Jepun.Selain dari kursus persediaan yang perlu kami tempuhi,ujian untuk menguasai bahasa Jepun untuk tempoh jangkamasa 2 tahun sebenarnya amat pendek dan amat perit rasanya kalau diingat kembali.Manakan tidak,segala macam huruf dan perkataan perlu dihadam dan diingat betul-betul.Segala macam ujian bertulis samada kecil ataupun besar perlu lulus,manakala kedatangan amat-amatlah diambil kira.Hinggakan perjalanan menaiki bas dari Kampung Baru menuju ke Jalan Semarak kami penuhi dengan mengimbas semula segala ingatan dan hafalan malam sebelumnya.Ya,setiap hari kami perlu menduduki ujian.Jika tidak lulus ujian harian,ujian ulangan (saishi-moichido) perlu kami duduki diakhir kelas pada sebelah petang.Sungguh memerangi saraf fizikal dan mental.
Setelah siang malam bertungkus lumus dan berhempas pulas akhirnya berjayalah juga kami anak-anak Malaysia bertutur dalam bahasa Jepun selepas 2 tahun dan berjaya melepasi halangan kelayakan untuk belajar ke Jepun.
Kolej Jepun.
Sudahlah ditempatkan diceruk kampung,kolej tempat saya belajar adalah nun dipuncak bukit.Di hadapan kolej saya adalah tempat buluh hidup subur.Jika mahu berurusan rasmi dengan sebarang bank ataupun pejabat,saya perlu mengayuh basikal lebih kurang 45 minit lamanya.Mujur jalannya menurun bukit,tapi untuk menempuh jalan pulang,sungguh bercinta untuk mengayuh basikal.Jika mahu memperbaharui permit untuk tinggal Jepun,kami perlu menaiki keretapi sangkut-sangkut.Itupun hampir sehari perlu diperuntukkan khas untuk urusan berkenaan.
Jika mahu diceritakan kisah belajar,ia tidak seindah/se-gah khabar yang kami belajar di luar negera.Kelas bermula jam 8 dan berakhir jam 5,setiap hari.Bila bertukar sensei untuk matapelajaran berikutnya,ada selang masa 5 minit.Itulah masa untuk ke tandas dan lain-lain urusan.Semua orang tahu,bangsa Jepun sangat tegas dalam isu masa.
Bila bertembung dengan masa yang terlalu mencemburui kita dan dengan kawalan yang amat dipantau,mengatur hidup bersesuaian dengan kehendak agama perlu juga dititikberatkan.Solat zohor biasanya tidak ada masalah,ia bertepatan dengan rehat kami sejam disebelah tengahari.Solat asar pada musim panas juga tidak menimbulkan masalah,ia boleh dilakukan selepas pulang dari kelas jam 5.Bila tiba musim sejuk,waktu maghrib adalah seawal jam 5 setengah petang.Waktu asar perlu ditempuh ketika berada di kelas.Untuk itu,sebelum bertukar sensei,saya akan bergegas ke tandas untuk mengambil wudhu-menggunakan sepenuhnya take 5 yang ada.Setelah selesai kelas berkenaan,saya akan menggunakan 5 minit yang ada untuk bergegas solat di bilik foreigner di bawah perpustakaan.Biasanya saya akan terlajak 5 minit selepas kelas bermula.Tetapi sistem kelas saya,5 minit terlewat masih dikira datang kelas tetapi dicop sebagai si chikoku (si lewat).Bayangkan,untuk lulus tahun berkenaan.saya perlu datang 80% dari seluruh kelas dan diperuntukkan dengan beberapa chikoku.Indahnya bergelar sebagai pelajar obesi (baca : luar negara) yang tidak sempat menjadi seorang obesiti.
Selesai 3 tahun saya pun berjaya menamatkan tempoh pembelajaran saya di Jepun.Saya pulang ke Malaysia membawa segulung sijil bertulisan Jepun dan membawa segunung kenangan yang pastinya masih dikenang sehingga kini.
Kerja.
Pulang ke Malaysia,saya bekerja di sebuah syarikat Jepun di Batu Pahat.Pada mulanya saya berkerja mengikut waktu pejabat,namun tuntuan produktiviti yang meningkat saya terpaksa bekerja shift 8-8 (8 pagi-8 malam ; 8 malam 8 pagi).Bila waktu siang bekerja,kami seperti terkongkong dek kerana bos Jepun seolah-olah sentiasa memerhatikan kami dari tingkat atas.Sehinggakan waktu minum pagi 10 minit kami terpaksa bergegas untuk makan dan minum.Rasanya mee atau nasi goreng hanya melalui tekak sahaja tanpa sempat dikunyah dengan sempurna.
Sibuk bukan alasan untuk kita masam mencuka.
Senyum adalah terapi untuk awet muda.
Lantas bilakah saya mampu duduk rehat dengan aman dan damai?
Kubur.
Kata orang,mati adalah tempat rehat.Saya tidak pasti sebab saya masih belum pernah melalui fasa itu.Tetapi ustaz saya pernah memberitahu,di dalam alam kubur,manusia-manusia terpilih akan sibuk diseksa oleh malaikat disebabkan perkara-perkara tertentu yang mereka lakukan di atas dunia.
Masih belum terlepas juga dari kesibukan.
Akhirat.
Adakah alam akhirat menjanjikan kemanisan yang mengamankan dan mendamaikan? Saya juga tidak pasti kerana saya juga belum pernah melalui fasa itu.
Namun yang pasti di alam sana,adanya syurga dan neraka.Manusia-manusia terpilih yang masuk ke dalam neraka akan sibuk diazab dengan azab yang pedih,yang tidak terbayang dengan mata,tidak terlintas dalam hati.Dan ia adalah azab buat selama-lamanya bagi golongan tertentu.
Masih belum terlepas juga dari kesibukan.
Lalu waktu bila kita mampu hidup tenang tanpa perkataan SIBUK?
"Ya Allah,Engkau sibukkanlah aku dengan perkara yang kelak dapat melepaskan akan dari sibuk diseksa di dalam kubur dan terlepas dari sibuk diazab di dalam neraka."
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment