Siapalah kita....
Antara sedar dan tidak,ramai yang menyangka bahawa yang mencukupkan makan dan pakai kita setiap bulan adalah datang dari duit gaji/pendapatan bulanan kita.Semakin kuat kita bekerja,semakin banyak wang gaji/pendapatan yang akan masuk ke dalam akaun.Maka bila bilangan angka semakin banyak nombornya, tersenyumlah kita kebahagiaan.Malah ada golongan yang berbangga dengan status bebas wang (Financial Freedom)-wang bukan masalah bagi mereka dalam hal berbelanja.
Sejauh manakah teori ini benar?
Duit bukan pencukup rezeki.
Tempohari saya meminta bantuan dari seorang kenalan saya untuk memasak juadah yang saya akan bawa ke surau sempena kuliah maghrib.Setelah berbincang tentang jenis makanan dan harga,maka bersetujulah kenalan saya itu untuk memasakkan menu permintaan saya pada hari dan masa yang telah ditetapkan.Kami membuat perbincangan tersebut pada hari Isnin.
Entah bagaimana,Selasa petang saya tergerak untuk pergi menziarahi kenalan saya itu.Tanpa saya sangka,rupanya kenalan saya beserta pembantunya sedang sibuk membungkus sesuatu.Bila saya tanyakan,rupa-rupanya mereka sedang membungkus makanan sepertimana yang saya tempah pada semalamnya.Saya tergamam sebentar.Manakan tidak,tempahan yang saya buat belum sampai masanya lagi untuk diambil.Masing-masing tergamam bila saya menyatakan kembali hari tempahan yang saya buat belum lagi tiba.
Saya bertenang sebentar mahu mencari idea untuk menyelesaikan masalah di depan mata.
Akhirnya baru terlintas idea yang tempahan makanan itu boleh di bawa ke Surau Al Amin (SAA),tempat Ustaz Haji Hambali berkuliah setiap hari Selasa.Cepat-cepat saya menelifon pengerusi surau SAA untuk menyampaikan hajat saya,takut-takut kuliah dibatalkan disaat terakhir.Sekiranya begitu,bolehlah saya membuat Plan B.Namun telifon tidak berjawab.Akhirnya saya bertawakal sahaja membawa tempahan yang sudah siap dibungkus itu.
Tiba di SAA,Alhamdulillah,kuliah Ustaz Haji Hambali berjalan seperti biasa.Lalu saya mengambil tempat di dalam surau seperti biasa.Sementara kuliah Ustaz berjalan,sempat saya berbisik kepada Pengerusi Surau mengenai hajat saya.Setelah mendapat persetujuan Pengerusi Surau,saya pun membawa masuk juadah makanan berkenaan melalui pintu belakang.Setelah selesai,saya masuk ke dalam surau kembali.Selesai masalah saya.Alhamdulillah.
Di akhir kuliah,selepas seluruh jemaah surau beransur pulang,saya dapati tiada lagi bekas makanan yang berbaki di atas meja.Moga ianya diterima oleh Allah SWT.
Seketika saya teringat kembali suatu pesanan,
"Sesungguhnya mungkin sahaja makanan (baca : rezeki) yang kita terima dari jemputan,sedekah dan hadiah dari sesiapa,yang menjadikan rezeki (makan,minum) kita untuk bulan itu cukup,bukannya datang dari gaji/pendapatan kita semata-mata.Malah yang paling utama,ia datang dari khazanah Allah SWT-itu yang perlu kita Imani."
Sangkaan saya,dapatlah kelak saya menjamu makan ahli jemaah kuliah maghrib di surau tempat taman saya tinggal,tetapi sebaliknya rezeki itu milik ahli jemaah SAA.
SubhanaLlah,ia ibrah dalam kehidupan.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment