...2010...2011...2012...
Sudah lama tidak menulis atas beberapa alasan,menyebabkan skil untuk memulakan tulisan kembali,menjadi sedikit hambar.Umpama pemain badminton yang berehat panjang,walaupun skil smash dan drop shot masih lagi istimewa,ada sesetengah langkah atau pukulan akan menjadi sedikit 'asing' dan sumbang.Ia suatu kenyataan.
Cuti hujung tahun.
22 hingga 27 Dis saya telah mengambil cuti tahun bersempena cuti yang bersambung 25 dan 26 Dis 2011.Sebahagian besar masanya saya peruntukkan untuk berada di kampung (Ayer Hitam,Muar dan Rengit,Batu Pahat).Keluangan masa yang ada memberikan kesempatan kepada saya menziarahi sanak-saudara.Bertemu dengan mereka,tentu sahaja banyak cerita yang dapat di dengar samada kisah semasa ataupun kisah yang berulang.Ia sedikit sebanyak merapatkan tali silaturrahim antara kami.
Maka input-input saya perolehi,saya akan kongsikan bersama.Moga-moga menjadi peringatan buat saya sendiri dan para pembaca sekalian.
Tong gas meletup?
Nenek (orang Johor panggil atok) saya tinggal berseorangan di rumahnya. Umurnya saya kira lebih tua sedikit dari bekas PM yang ke 4,TDM.Atok agak sekian lama sudah tidak mampu berdiri.Beliau bergerak hanya dengan mengesut perlahan-lahan.Mengapa tidak duduk dengan anak-anak? Jawapan yang bertukar ganti akan diberikan oleh atok saya.Antaranya takut rumahnya menjadi rumah semut,nanti bunga-bunganya mati kekeringan dan banyak lagi 'nanti-nanti' yang lain.Namun atok Besah (adik ipar kepada arwah atok lelaki saya) menjadi jirannya yang terdekat,sedikit sebanyak amat-amat membantunya.
Namun ada kisah yang diceritakan.
Bulan lepas,ada seorang lelaki yang datang ke rumah atok saya.Katanya untuk memeriksa nombor tong gas.Menurut lelaki tersebut,ada satu kes di Parit Sulong,seorang maut kerana tong gasnya meletup.Jadinya,lelaki tersebut menerangkan yang ia perlu naik ke atas rumah untuk memeriksa tong gas yang berada di dalam.
Atok saya walaupun sudah tua,pendengaran dan penglihatannya masih lagi jelas.Lebih jelas dari saya kerana beliau tidak memakai cermin mata.Pemikirannya juga masih lagi tajam.Lebih tajam dari saya.Beliau masih mampu menghujahkan cerita-cerita politik kepada saya.Antaranya,isu pilihanraya (PRU 13) yang bila-bila sahaja akan berlangsung.
Atas fakta di atas,sudah tentulah beliau tidak membenarkan lelaki asing itu naik ke rumahnya.Entah apa yang akan berlaku agaknya jika dibenarkan lelaki itu naik jua?
Namun lelaki itu tidak putus asa.Beberapa kali dia menyatakan ketegasan atas keperluan baginya untuk memeriksa tong gas milik atok saya.Akhirnya,atok saya mengatakan yang cucunya bila balik kerja petang nanti akan memeriksa sendiri keadaan tong gas berkenaan.Lelaki berkenaan mengalah dan berlalu pergi.
Kesimpulan : Atok sebenarnya menipu lelaki berkenaan.Namun skil 'menipu' begitu dibolehkan di dalam Islam.
Modus operandi.
Antara yang banyak menjadi sasaran SKIM orang CEPAT nak KAYA adalah golongan-golongan tua di kampung-kampung yang tinggal berseorangan.Waktu sasaran adalah di sebelah pagi di mana kebanyakkan orang sibuk di tempat kerja.
Golongan seperti mereka ini memang cekap membuat homework dan kajian selidik.
Ini cerita Atok Besah.
Ada seorang lelaki datang ke rumahnya di suatu pagi.Anak beliau sedang bekerja di bandar Muar.Lelaki berkenaan katanya datang ingin menyerahkan sesuatu.
Selepas beberapa kali lelaki tersebut memberi salam tanpa berjawab,lelaki itu terus bersuara,"Tak baik tau makcik beri salam tapi tak di jawab."
Atok Besah masih lagi mematikan dirinya di dalam rumah.
Dalam pada itu,lelaki berkenaan 2,3 kali berpusing di kawasan rumah Atok Besah seperti mencari-cari sesuatu.Selepas beberapa ketika,lelaki berkenaan bersuara lagi."Makcik jangan risau,saya datang berdua.Kawan saya seorang lagi ni perempuan.Ada kat depan tu."
Dengar sahaja datang berteman dan berdua,lagilah gusar perasaan Atok Besah.
Akhirnya lelaki itu kedengaran berdengus dan berlalu pergi setelah hilang sabar agaknya.Setelah agak lama,barulah Atok Besah menjenguk keluar.Walaupun bayang lelaki tersebut sudah tiada,tapi kulit-kulit rambutan yang seperti baru sahaja lepas dikopek bertaburan di hadapan pintu rumahnya.Agak hairan juga Atok Besah,sedangkan ketika itu adalah bulan Ramadhan.Masakan orang yang tidak berpuasa datang dengan niat yang baik ke rumahnya tadi.Itu telah Atok Besah.
Weekend Husband Wife.
Ia seperti sudah menjadi kebiasaan orang sekarang.Suami kerja berasingan dengan isteri.Malah suami juga duduk berasingan dek kerana tempat kerjanya terlalu jauh untuk membolehkan mereka suami isteri duduk sebumbung pada hari bekerja.Meraka hanya berjumpa pada hujung minggu.'Weekend Husband' kata orang-orang sekarang.
Oleh kerana isteri juga bekerja,anak-anak terpaksa di hantar ke rumah pengasuh.Maka anak-anak hanya berjumpa dengan ibu mereka pada sebelah malam sahaja.Itupun dengan jumlah jam yang amat terhad.Malah ibunya pula sudah tentu kepenatan kerana bekerja seharian.Di tambah pula dengan bebanan kerja dan tanggungjawab di rumah pula.
Begitu juga dengan masa anak bertemu dengan bapanya.Hanya pada hujung minggu.Itupun masa cukup terhad.
Masing-masing ada keperluan masing-masing.
Apakah nasib anak-anak seperti ini?
Adakah tiada alternatif yang membolehkan mereka suami isteri duduk sebumbung?
Atau,
Adakah perlu si isteri berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa?
Ia soalan yang terlalu subjektif tetapi perlu dipikirkan dan diberi perhatian oleh semua pihak.
Untuk nota :
Cuba tanya diri anda sendiri.Berapa ramai kenalan anda yang tergolong sebagai 'Weekend Husband'.Nanti anda akan tahu berapa peratuskah golongan ini.
Harus di ingat!!!
Sekiranya nasi sudah menjadi bubur,ia tidak mengapa.Ia masih boleh dimakan.
Jangan sampai nasi dah basi baru nak mengambil tindakan.
Khutbah Jumaat.
Johor dan beberapa negeri seperti Pahang dan Trengganu di landa banjir pada penghujung Disember 2011.Di Johor antara yang terjejas teruk adalah daerah Mersing dan Segamat.Daerah Muar,walaupun tidak di landa banjir,namun hari demi hari dilalui dengan hujan yang masih lagi berterusan ketika itu.
Khutbah Jumaat adalah satu masa di mana masyarakat lelaki datang ke masjid dan mendengar apa yang diperkatakan oleh khatib.Oleh itu,apakah tiada keperluan untuk memperkatan isu hujan,banjir,kesihatan dikala musim tengkujuh ini?
Saya bukanlah orang yang bijak agama,jauh sekali menjadi pakar dalam bidang tertentu.Tapi perasaan ingin tahu amat meninggi di dalam diri.Walaupun telah acap kali dilanda banjir,musim hujan lebat,musim tengkujuh,tidak salah kiranya jika perihal itu dibicarakan di dalam khutbah masjid.Ini perlu diambil kira,kerana hujung tahun adalah musim cuti sekolah dan juga musim kenduri perkhawinan.Kita tidak mahu nanti,dek kerana musim hujan,tuan tumah menyumpah seranah hujan yang juga nikmat pemberian Allah.
"Alah,asyik hujan aje ni." Ia bisa terhambur dari mulut sesiapa pun.Walaupun kita tidak pasti apakah yang terbuku di dalam hati si penyebut,tapi kita mungkin boleh beranggapan yang si penyebut seolah-olah tidak akur dengan ketentuan Allah.Ia mungkin spontan.Manakan tidak,belanja kenduri perkhawinan zaman sekarang bukan calang-calang RMnya.Kalau hujan turun mencurah-curah,bagaimana tetamu yang dijemput hendak datang.Maka bagaimana pula 'salam kaut' dapat dilakukan.
Namun jika khutbah Jumaat memperkatakan tentang qada dan qadar,nikmat pemberian Allah di dalam musim hujan,tentu sahaja masyarakat akan menjadi celik maklumat (IT) walaupun sudah berusia emas.
Bukankah elok begitu?
Tahun Baru.
Hari Tahun Baru (pertukaran tahun masehi),adalah hari-hari biasa jika sekiranya bukan cuti umum.Malah di Johor,cuti Tahun Baru tidak digazetkan sebagai cuti umum.Tetapi sekadar menjadikan Tahun Baru sebagai lonjakan untuk berubah,ia sesuatu yang positif.Dalam bahasa Inggeris lonjakan tersebut dipanggil IMPROVEMENT,dalam bahasa Jepun ia disebut KAIZEN.Sebagai orang Islam ia disebut sebagai HIJRAH.
Ada seorang kawan saya bertanya,"Dalam bahasa Jawa apa pula?”
Jawapan saya mudah,"Jika si Jawa itu ISLAM,ia masih disebut HIJRAH."
Bersempena dengan itu,saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Tahun Baru 2012M."
Semoga tahun yang mendatang ini menjadikan pendorong bagi kita berubah menjadi yang lebih baik.Terutamanya dalam berkhidmat kepada ummah.
Jangan lupa juga,bertukarnya tahun,maka semakin dekatlah kita dengan saat kematian kita.
Wallahua`alam.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment