Tuesday, March 2, 2010

:: Maulidur Rasul era 2010 ::

Seperti yang telah di janjikan,ku titipkan di sini hasil catatan lemahku ketika Forum Maulidur Rasul anjuran Surau Taman Tasik Jaya pada tanggal 14 Rabiul awal yang lepas.

Forum kali ini di laksanakan di halaman surau dengan pengerusi surau sendiri menjadi moderator pada malam itu.Panel jemputan adalah terdiri dari Al Ustaz Tuan Haji Khazri bin Osman (Pensyarah UKM) sebagai ahli panel pertama dan Al Ustaz Tuan Haji Abdul Basit bin Abdul Rahman sebagai ahli panel kedua.

Berikut adalah catatanku.

Segala puji pujian hanya untuk Allah Tuhan sekian Alam.
Selawat dan salam pada Nabi Junjungan Baginda Muhammad SAW.

Round 1 (Jawapan dari ahli panel pertama)

Makna sebenar kelahiran Nabi SAW menurut Syed Qutb ialah :
1. Membersihkan hati dari sifat syirik kepada mentauhidkan Allah SWT.
2. Membersihkan amal dari hidup bersosial tanpa adab dan peraturan kepada hidup yang berpandukan peraturan dan ketetapan dari Illahi.

Lahirnya Nabi SAW ketika membuat usaha dakwah kepada penduduk Mekah ketika itu amat tidak di senangi dari kaum kerabat Baginda.Ini kerana kehidupan masyarakat ketika itu adalah terlalu mengejar keduniaan.Perangai hampir kebanyakkan masyarakat jahiliyah ketika itu adalah tatayyur/tasayyur iaitu terlalu mempercayai akan ada hari yang baik dan ada hari yang tidak baik,ada binatang yang baik dan ada binatang yang tidak baik.Tambahan pula mereka amat gemar menggunakan ahli nujum dan tukang telek untuk menentukan nasib mereka.

Atas sebab masyarakat Arab Jahiliyah ketika hidup tanpa asas panduan deen (agama),maka mereka menganggap kalau tidak kerana si fulan berbuat begitu atau begini,maka kita tidak dapat begitu dan begini (mendapat sesuatu kebaikan,menafaat ataupun sebarang harta).Oleh sebab itulah,kebanyakkan si fulan yang rata rata mempunyai kuasa telah membuat syarat tertentu,sekiranya orang ramai tidak mengikut syarat yang di tentukan maka mereka tidak dapat sesuatu yang mereka harapkan.Jadilah masyarakat jahiliyah ketika itu menganggap dan berpikiran,manusialah yang berkuasa memberikan sesuatu.Sekiranya manusia yang berkuasa itu tidak di sokong maka rakyat biasa akan menerima padahnya.

Sekiranya di renung kisah di atas,masih adakah manusia yang berpikiran sebegitu di kala zaman yang di anggap moden kini? Tentu para pembaca ada jawapan masing masing.Dan ustaz menerangkan jahiliyah itu bukanlah berlaku pada masa lampau sahaja,bahkan ia adalah satu fahaman yang akan berlaku pada bila bila masa sahaja sekiranya hidup tidak berpandukan deen (agama) yang di wahyukan dari Allah SWT.

Agak agak masih jahiliyyah ke kita? Saya tinggalkan persoalan ini kepada para pembaca.

Round 1 (Jawapan dari ahli panel ke 2)

Sedikit sejarah awal sambutan Maulidur Rasul:

Maulidur Rasul sebenarnya hanya di sambut 300 tahun selepas Nabi SAW wafat.Pertama kali ia di sambut ketika zaman pemerintahan Khalifah Abasiyah dan sambutan di lakukan di Iraq.

Hakikat tuntutan dalam Islam :

Sebenar benarnya sambutan Maulidur Rasul adalah salah satu cara untuk kita mengembalikan ingatan dan memperkasakan jiwa kita supaya sentiasa mengingati Nabi SAW dan cara hidup Baginda.Namun begitu,sesungguhnya bukan malam Maulidur Rasul sahaja kita mengenang dan mengingati Nabi SAW,tetapi selagi jiwa dan raga kita hidup menarik nafas menyedut udara kurniaan Allah,maka di situ kita WAJIB mengikut cara hidup Nabi SAW.

Sebahagian dari kita,secara tidak di sedari terkadang hanya mengikut cara dan gaya hidup Nabi SAW apabila berada di dalam masjid atau surau samada ketika solat ataupun ibadah ibadah sunat yang lain.Malang sekali,apabila setengah dari kita,bila keluar sahaja dari kawasan masjid atau surau,kita sudah tidak lagi mengikut seruan dan ajaran yang datang dari Nabi SAW.

Sesungguhnya Al Fadil Ustaz mengingatkan bahawa perbuatan,tingkahlaku dan perkataan yang datang dari Nabi SAW adalah Khudwah Hasanah (ikutan yang baik).Dengan contoh contoh cara hidup yang di tunjukkan oleh Nabi SAW inilah sepatutnya yang menjadi panduan dan cara hidup kita.

Kita juga seharusnya menanam kecintaan kita terhadap Nabi SAW sepertimana yang para sahabat/sahabiah Nabi SAW lakukan.Mereka dengan penuh taat dan patuh mengutip segala apa sahaja ajaran Nabi.Ustaz mengatakan para sahabat faham kemuliaan yang ada di dalam diri Nabi SAW dengan sebenar benarnya.Atas kefahaman inilah maka apa sahaja yang keluar dari Nabi SAW mereka berebut mengambil keberkatan darinya sekalipun ludah dan darah bekam yang keluar dari jasad Nabi SAW sekalipun mereka ambil dan minum.Ustaz menegaskan,air ludah dan darah bekam Nabi SAW adalah mulia kerana ia lahir dari sifat tawadduk dan ketakwaan dari seorang hamba Allah yang paling mulia di muka bumi ini.

Ada 1 kisah di mana sahabat Nabi SAW,ibnu Umar r.a suatu hari mengikut Nabi SAW berjalan jalan.Sampai di suatu kawasan,Nabi SAW berpusing 2 kali di tempat tersebut dan ibnu Umar pun mengikut sahaja tindakan Nabi SAW tanpa soal dan periksa.Di sini ustaz menerangkan bahawa segala apa tindak tanduk Nabi SAW adalah mengikut wahyu dari Allah SWT.Dan sesungguhnya ilmu dan hikmah dari tindak tanduk Rasulullah SAW sebenarnya kadangkala tidak mampu di tafsir oleh akal manusia biasa.Atas kefahaman inilah para sahabat r.a mengikut sahaja apa tindak tanduk dan tunjuk ajar Nabi SAW.

Ustaz juga ada menyatakan,bahawa segala wahyu Allah SWT yang turun ke atas Nabi SAW mendahului sebarang ilmu,kajian dan analisa.Dengan sebab itu jugalah,apa yang para sahabat r.a lakukan apabila mendapat curahan ilmu dari Nabi SAW adalah memahami,menghafal dam mempraktikkan.Sebagai contoh Nabi SAW mengajar para sahabat r.a mencolet sedikit garam ke lidah sebelum makan.Ketika itu Nabi SAW tidak menyatakan sebarang fadhilat tentang perlakuan Baginda itu.Kebelakangan ini barulah manusia tahu,bahawa dengan mencolet garam ke lidah akan merangsang kepekaan dalam otot otot lidah untuk bersedia dalam proses pemakanan.

Ustaz Abdul Basit menutup round pertama dengan mengingatkan para hadirin bahawa orang yang mengikut dan menjadikan Nabi SAW adalah orang yang sentiasa berzikir.Berzikir dengan hati sentiasa ingat pada Allah SWt dalam keadaan berdiri,duduk ataupun berbaring.Berzikir bukan sahaja dalam erti kata yang terzahir dari perkataan yang terucap,bahkan zikir juga boleh di laksanakan dengan amal amal ibadah dari anggota kita yang lain.
Antara isi di dalam Qasidah Nabawiyah As Sofa
(Yayasan Sofa Negeri Sembilan) 

Round 2 (Jawapan dari ahli panel pertama)

Kata Ustaz Khazri,sesungguhnya tiada skala tertentu untuk membuat perbandingan sejauh manakah kita mengikut Sunnah Nabi SAW.

Namun antara kerisauan Nabi SAW terhadap ummat akhir zaman adalah terlalu cintakan harta dunia.Dan sesungguhnya kata Ustaz lagi,manusia akhir zaman ini bersifat halua’ iaitu bila di timpa musibbah orang itu akan menjadi kelam kabut dan berkeluh kesah namun bila orang yang sama itu mendapat sebarang kebaikan dia menjadi seorang yang amat kedekut.

Dan Ustaz menerangkan Nabi SAW adalah manusia paling adil di muka bumi ini.Di kisahkan,seminggu sebelum Nabi SAW wafat,dalam keadaan demam Nabi SAW yang masih belum kebah,Nabi SAW masih lagi bertanya,”Besok aku di mana,besok aku di mana”. Iaitu Nabi SAW bertanyakan pada isteri isteri baginda,esok dan esok giliran rumah siapa untuk Nabi SAW bermalam.Dan isteri isteri Nabi SAW sepakat bahawa Nabi SAW berada di rumah Saidatina Aisyah r.ha dan akhirnya di rumah itu jugalah Nabi SAW wafat.

Ustaz juga mengisahkan bagaimana ada seorang hamba Allah yang menuntut hutang dari Nabi SAW sebanyak 3 dirham.Ustaz membandingkan unit dirham ini sebagai unit sen dalam matawang kita.Sekiranya di ikut kan logik akal,hutang dalam lingkungan sen kalau nak di halalkan ke atas orang yang bergelar penghulu segala Nabi memang wajar.Tetapi bagi Nabi saw,itu adalah tuntutan hak.Tanpa Nabi SAW tanya dengan lebih lanjut sebab apa Baginda berhutang dengannya,di mana etc,Nabi SAW menyuruh sepupunya membayar hutang lelaki tersebut.Sepupu Nabi SAW pun membayarkan hutang tersebut.Dengan itu,ustaz menegaskan,membayar hutang juga adalah salah satu sunnah Nabi SAW.

Ustaz Khazri menutup soalan dari moderator dengan mengisahkan bahawa Abu Zar al Ghifari adalah org yang tidak suka dengan jawatan dan tidak suka melihat orang mendapat jawatan.Kerana baginya,jawatan adalah amanah yang akan di tanya balik bila di hari akhirat kelak.

Round 2 (Jawapan dari ahli panel ke 2)

Ustaz Abdul Basit menyatakan slogan yang seringkali di gunakan untuk satu satu sambutan.Sambutan Maulidur Rasul tahun ini membawa slogan Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Umat.Bagi ustaz,walau slogan kadangkala berubah ubah mengikut masa,namun apa yang penting bagi ummat Islam adalah prinsip yang di pegang perlulah tidah berubah ubah.Dan prinsip yang di pegang itu semestinyalah bersandarkan dari AL Quran dan sunnah Nabi SAW.

Meneliti sedikit tentang slogan sambutan Maulidur Rasul tahun ini,Ustaz menyatakan ukhwah (persaudaraan) yang berdasarkan deen (agama) lebih besar nilainya dan lebih kuat ikatannya berbanding persaudaraan nasab (talian darah).Ini kerana ikatan nasab boleh putus sekiranya tidak di sandarkan dengan asas deen (agama).

Dan ustaz mengingatkan kepada hadirin malam itu bahawa antara tanggungjawab dan hak yang perlu di jaga sesama muslim adalah :

1. Jangan menzalimi saudara seIslam kita.
2. Jangan serah saudara seIslam kita kepada musuh.
3. Jangan mengecewakan sebarang hasrat.

Ustaz Abdul Basit mengambil contoh hak yang ke 3 untuk di sentuh sedikit.Ketika mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dahulu berkhidmat,beliau selalu menegaskan tentang menitik beratkan supaya sebarang hasrat yang datang dari pengunjung jabatan mufti harus di ambil perhatian.Ini memandangkan yang datang ke jabatan mufti adalah orang yang berhajat dan ditambah pula Jabatan Mufti berada di tingkat 4,sudah tentulah tenaga yang di kerah oleh pengunjung akan mengecewakan mereka sekiranya di sambut dengan dingin oleh kakitangan beliau.Begitulah kata Ustaz,kalau kita duduk dengan orang `alim kita akan berasa diri kita jahil dan bila kita duduk dengan geng geng kita,mulalah kita rasa kitalah yang paling bagus antara mereka.

Ustaz Abdul Basit menutup round ke 2 dengan menyatakan,bahawasanya Al Quran adalah mukjizat terbesar dalam muka bumi.Dengan ayat sejumlah 6000 lebih itu,pelbagai ilmu serta rahsia terkandung dalam ayat ayat Al Quran.Dan segala rahsia dalam ayat ayat Al Quran sebenarnya terkandung di dalam Surah Al Fatihah.Dan segala rahsia dalam Al Fatihah itu sebnarnya terkandung dalam Basmallah di permulaan ayat Al Fatihah.Maka dengan hikmah dan rahsia yang amat besar itulah Ustaz menggesa para hadirin yang datang pada malam itu supaya beramal dengan membaca Basmallah ketika hendak memulakan sebarang kerja.

Begitulah tamat majlis forum Maulidur Rasul yang saya kira penuh dengan informasi informasi yang amat bernilai harganya.Dan ketika forum itu jugalah Ustaz Abdul Basit menerangkan,sebenarnya sambutan Maulidur Rasul bukan hanya sebagai sambutan tahunan,tapi ia adalah kemuncak aktiviti kita sepanjang tahun.Sepanjang tahun surau dan masjid qariah ada menyusun pelbagai aktiviti,contohnya majlis ilmu,taffaquh,usrah dan pelbagai majlis amal lain dan sebagai kemuncak aktiviti sepanjang tahun,maka diadakan sambutan Maulid Nabi.Jika kita tidak menjana pemikiran kita begitu,maka bila tamatnya sambutan Maulidur Rasul maka tiada lagi kesinambungan sambutan melainkan bila tibanya sambutan pada tahun berikutnya.

Boleh di renung dan di kongsi kongsi informasi ini.

Wallahua`alam.

No comments: