20 Muharram 1431
Tahun Baru 2010 Masehi baru sahaja menjelma.Tahun Baru 1431 Hijrah lebih dahulu membuka tirainya.Tidak terlalu lambat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru untuk semua.
Cukupkah dengan hanya ucapan?
Kalau tak cukup,saya nukilkan sedikit pengisian sekitar Maal Hijrah yang saya perolehi baru baru ini.
Kebiasaan sambutan sempena meingingati peristiwa Hijrah yang dilakukan di Malaysia diisi dengan perarakan,slogan tahunan,alunan nasyid bertemakan Hijrah dan penganugerahan tokoh Maal Hijrah.Sambutan yang di adakan sekurang kurangnya dapat mengimbas kembali peristiwa berkenaan yang terisi dengan 1001 pengajaran.Secara tidak langsung kita mengembangkan syiar Islam kepada generasi baru di muka bumi ini.
Renung sejenak…..
Adakah peristiwa HIJRAH yang berlaku 1400 tahun yang lepas hanyalah satu peristiwa yang kebetulan?
Adakah HIJRAH itu hanyalah sekadar perpindahan segolongan manusia dari kota Mekah ke Kota Madinah?
Adakah HIJRAH Nabi SAW bersama sahabat,sama situasinya seperti kita berpindah dari Johor ke Negeri Sembilan?
Apakah HIJRAH ketika itu hilang jejak kesan terhadap kehidupan kita sepertimana hilangnya `jejak perjalanan ` Nabi SAW yang sengaja di padam?
Namun apa yang jelas,impak peristiwa Hijrah sebenarnya dapat dilihat kesannya sepanjang zaman melalui perkembangan Islam di merata dunia.
Mari kita lihat contoh HIJRAH sahabat r.a. yang di kisahkan semula oleh Ustaz Hj Hambali (bersempena Sambutan Maal Hijrah Surau Al Amin).
Kisah Hijrah Suhaib ibn Sinan.
Ketika mahu keluar menyertai Nabi SAW Hijrah ke Madinah,dia di tahan oleh golongan kafir Mekah.Ketika di tahan,Suhaib berteriak, “Wahai orang-orang Quraisy, di tangan kananku ada pedang dan di tangan kiriku ada busur panah.Kamu semua mengetahui aku adalah seorang pemanah ulung. Demi Allah kamu tidak akan dapat mendekatiku sebelum aku melepaskan tiap panah dari busur ini, kemudian aku akan membunuh kalian dengan senjataku sehingga senjataku habis. Majulah kalian sekiranya ingin mencubanya. Atau sekiranya kalian setuju aku akan beritahu tempat penyimpanan hartaku asal kamu melepaskan aku pergi.”
Mereka bersetuju untuk menerima hartanya dengan berkata, “Engkau datang kepada kami dalam keadaan miskin. Hartamu menjadi melimpah ruah di tanah kami dan mempunyai kedudukan yang tinggi di antara kami, dan sekarang kamu ingin melarikan diri bersama hartamu?”
Suhaib pun menyatakan jumlah harta yang ditinggalkannya di Mekah.Sebuah rumah,2 orang hamba dan harta di dalam rumahnya.Tambah Suhaib lagi,di bawah pintu rumahnya ada tertanam emas yang sengaja dijadikan tempat rahsianya menyimpan harta.
Kafir Quraisy tadipun kembali ke Mekah. Cukup aneh, mereka mempercayai ucapan Suhaib tanpa keraguan. Mereka tidak meminta agar beliau membuktikan ucapannya, juga tidak memintanya mengucapkan sumpah. Kenyataan ini menunjukkan tingginya kedudukan Suhaib di mata mereka sebagai orang yang jujur dan dapat dipercaya.
Suhaib lalu melanjutkan perjalannya seorang diri sampai berhasil menyusul RasululLah di Quba’. Ketika ia datang, RasululLah sedang duduk dikelilingi para sahabat. Setelah beliau melihatnya, lalu berseru dengan gembira. “Wahai abu Yahya! Beruntunglah perdaganganmu! Beruntung perdaganganmu!”
Dan seketika itu juga turunlah ayat., “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Al-Baqarah:207).
Ini baru kisah seorang sahabat.Belum lagi kisah sahabat sahabat Nabi SAW yang lain.
Pengajaran pengajaran sebeginilah yang ingin kita ambil untuk di jadikan iktibar dan matlamat hidup.Tiada pengorbanan yang lebih mulia dalam hidup ini melebihi pengorbanan dalam usaha di atas jalan deen (Agama Islam).
Namun cukupkah sekadar mengambil iktibar?
Sambutan sempena mengingati peristiwa Hijrah hanya sehari,bagaimana dengan baki 360 hari yang lain? Apakah kesan sambutan tadi dapat di rasai sehingga sambutan untuk tahun hadapan?
Cuba kita renungkan sejenak peristiwa selepas Nabi Musa dan kaumnya keluar dari Mesir….
Setelah melintasi Laut Merah dan Firaun telah tenggelam di dalamnya Nabi Musa dan ummatnya pergi ke Thur Sina.Setelah itu,perjalanan Nabi Musa dan Bani Israil dilanjutkan ke Gurun Sinai. Ketika itu bekalan makanan dan minuman mereka sudah berkurangan dan tidak mencukupi keperluan. Allah menurunkan hidangan makanan "manna" - sejenis makanan yang manis seperti madu dan "salwa" - burung sebangsa puyuh.
Demikian pula tatkala pengikut-pengikut Nabi Musa mengeluh kehabisan air untuk minum dan mandi di tempat yang tandus dan kering itu, Allah mewahyukan kepada Musa agar memukul batu dengan tongkatnya. Lalu memancarlah dari batu yang dipukul itu dua belas mata air, untuk dua belas suku bangsa Israil yg mengikuti Nabi Musa, masing-masing suku mengetahui sendiri dari mata air mana mereka mengambil keperluan airnya.
Bani Israil pengikut Nabi Musa yang sangat manja itu, merasa masih belum cukup atas apa yang telah Allah berikan kepada mereka.Allah telah menyelamatkan mereka dari perhambaan dan penindasan Firaun, memberikan mereka hidangan makanan dan minuman yang lazat dan segar di tempat yg kering dan tandus, mereka menuntut lagi dari Nabi Musa agar memohon kepada Allah menurunkan bagi mereka apa yang ditumbuhkan oleh bumi dari sayuran kerana mereka tidak puas dengan satu macam makanan.
Terhadap tuntutan mereka yang aneh-aneh itu berkatalah Nabi Musa: "Mahukah kamu memperoleh sesuatu yang rendah nilai dan harganya sebagai pengganti dari apa yg lebih baik yg telah Allah kurniakan kepada kamu? Pergilah kamu ke suatu kota di mana pasti kamu akan dapat apa yg telah kamu inginkan dan kamu minta."
Cerita tersebut di atas dikisahkan oleh Al-Quran sebagai berikut :~
Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yg masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kpdnya: "Pukullah batu itu dgn tongkatmu". Maka memancarlah drpnya dua belas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungkan Awan di atas mereka dan Kami turunkan kpd mereka manna dan salwa. {Kami berfirman}: "Makanlah baik-baik dari apa yg Kami telah rezekikan kpdmu." Mereka tidak menganiaya Kami, tetapi merekalah yg selalu menganiaya dirinya sendiri." { Al-Araaf : 160 }
Di manakah kita?
1. Golongan yang sedia berkorban harta,masa dan nyawa?
Ataupun..
2. Golongan yang hanya mengharapkan kesenangan dan kemudahan dalam hidup ini tanpa berusaha mendapatkannya?
Sebagai kesimpulan,kesan dari Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah boleh di lihat begini : Agak agaknya,masih wujudkah pokok yang di tanam 1400 tahun dahulu yang masih mengeluarkan hasil sehingga ke hari ini malahan akan berbuah sehingga bila bila.Hampir mustahil bukan?
Begitulah sekiranya boleh di buat perbandingan.Kesan usaha dalam jalan agama akan terus berkekalan manafaatnya sehingga bila bila.
Namun di manakah duduk dirinya kita....
Wallahua`alam.
Yang Mengharap Redha Illahi....
:: WAK ::
No comments:
Post a Comment