Friday, October 7, 2011

:: Ugly Bag? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Begku.
Ugly Sport Bag by Canterbury of New Zealand.

Beg ini terlalu berjasa pada saya.Ia dibeli ketika saya berada di tingkatan 3 dengan duit hasil berjimat cermat selama beberapa lama.Ia adalah beg yang menjadi idaman saya ketika itu.Walaupun keadaannya sudah sedikit uzur,sehingga tarikh artikel ini di tulis,beg ini masih boleh berfungsi dengan baik.


Sejarahnya.

Beg ini juga menjadi tulang belakang perjalanan hidup saya selama ini.Beg ini berkhidmat dengan penuh setia selama 3 tahun ketika saya di SMSS.Kemudian ia menyambung bakti dengan penuh cemerlang sepanjang 2 tahun saya di PPKTJ.Lalu dari tahun 1999~2002,saya membawa beg ini mengembara jauh hingga ke negara matahari terbit,Jepun.Dari 2002 hingga 2005,beg ini menjadi teman rapat saya ketika berulang alik pada hujung minggu dari rumah sewa saya di Jalan Congkak,Taman Hajat,Parit Bilal ketika bekerja di Batu Pahat untuk balik kampung di Muar.Pada masa yang sama beg ini mula berkhidmat juga dengan isteri saya sebagai beg pakaian rasmi keluarga sehingga kini.

Cerita di sebalik sejarah.

Setiap sekolah mesti mempunyai acara tahunan bagi memeriahkan takwim aktiviti.Antara yang menjadi acara tahunan SMSS adalah perlawanan bola antara kelas.Perlawanan ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu menengah rendah (Ting 1~Ting 3) dan menengah atas (Ting 4 ~ Ting 5).Dan secara tradisinya para pelajar Tingkatan 3 ditugaskan sebagai pengendali/pihak penganjur bagi setiap edisi.

Untuk edisi 1994,secara tradisinya kamilah pelajar Tingkatan 3 pada tahun tersebut yang akan menjadi penganjur dan urusetianya.Saya ditugaskan untuk sebagai AJK bahagian hadiah.

1993 vs 1994.

Berdasarkan kepada keputusan edisi 1993,pasukan bolasepak kelas kami ketika itu 2 Usaha,memperolehi keputusan yang memberangsangkan walaupun tidak memperolehi 3 tempat teratas.Jadinya untuk edisi 1994, pasukan bolasepak kelas kami ketika itu 3 Usaha menjadi antara pasukan pilihan,selain dari pasukan bolasepak kelas 3 Budi,yang juga merupakan musuh ketat kami ketika di padang.

Oleh kerana menjadi pasukan pilihan,makanya sebagai AJK bahagian hadiah saya bertekad untuk mencari hadiah yang agak menarik sedikit agar berbaloi kemenangan yang bakal diraikan kelak.Memandangkan kami tinggal di asrama penuh,peruntukkan masa untuk mencari hadiah amat terhad.Ia bukanlah satu halangan.

Setelah berbincang dengan Tuan Syed (cikgu Kemahiran Hidup merangkap jurulatih Ragbi sekolah untuk bawah 15),beliau telah bersetuju untuk membawa saya ke pejabat Alumni kami SMS Old Boys di Taman Maluri,Cheras untuk urusan penempahan hadiah.

Pada hari dan waktu yang dijanjikan,saya bersama Tuan Syed,dengan menunggang motor Honda Cup C70nya menuju ke Taman Maluri yang tidak berapa jauh dari SMSS yang terletak di Bandar Tun Razak (Kampung Congo).Tiba di pejabat Alumni,saya dibawa berjumpa dengan staff yang ada disitu.Setelah menerangkan tujuan kedatangan kami,staff berkenaan telah menunjukkan kepada saya beberapa sample hadiah yang sesuai.Dengan sedikit nasihat dari Tuan Syed dan dengan mengambil kira budget yang ada,kami pun bersetuju untuk memilih hadiah yang berbentuk medal.Medal yang ditempah akan siap dalam tempoh yang ditetapkan dan apabila ianya siap,akan terus dihantar ke SMSS.Sebagai servis,saya akan diberikan satu medal extra.Bertuah juga menjadi AJK hadiah,kalau sekiranya 3 Usaha tidak berjaya menduduki 3 tempat teratas,sekurang-kurangnya saya sudah ada medal kenangan.

Sebelum pulang semula ke SMSS setelah selesai urusan menempah hadiah,mata saya menangkap sesuatu ketika berada di dalam pejabat Alumni.Ya,ia sebuah beg yang sudah lama menjadi idaman.Setelah melalui proses tawar menawar,saya berjaya juga membawa pulang beg idaman tersebut dengan harga yang berpatutan.

Hari penentu.

Setelah tiba hari yang dijanjikan,medal yang ditempah pun siap beberapa hari sebelum perlawanan bola sepak tersebut.

Menjadi penganjur dan urusetia sesuatu aktiviti merupakan tanggungjawab yang besar.Di tambah ketika itu kami juga perlu menumpukan perhatian kepada perlawanan-perlawanan bola yang kami perlu tempuhi.Ya lah,memandangkan juara adalah impian kami,maka sudah tentulah usaha yang lebih perlu dibuat untuk merealisasikan impian kami.

Ke Akhir.

Setelah berhempas pulas untuk memenangi setiap perlawanan yang dijalankan di Padang Sahara,akhirnya seperti yang dijangkakan pasukan 3 Usaha bertemu pasukan 3 budi di perlawanan akhir.Perlawana ketika itu diadakan di padang rasmi SMSS iaitu Padang Wembly.

Dengan kerjasama semua pemain,akhirnya pasukan kami muncul juara kategori menengah rendah edisi 2004 dengan mengalahkan pasukan 3 Budi 1-0.Untuk kenangan,saya sendiri menjadi penjaring tunggal untuk perlawanan tersebut.

Berbaloi-baloi.

Setelah selesai pertandingan saya tersenyum seorang diri.Beg idaman dapat,medal cenderahati dapat,medal JUARA pun dapat.Sungguh berbaloi-baloi.

Akhir kata.

Setiap benda/perkara pasti ada cerita/peristiwa disebaliknya yang kita panggil sejarah/history walaupun ia sekecil cerita sebuah beg lama.Apatah lagi kalau ia membabitkan sesuatu perkara yang besar seperti sejarah sesuatu negara contohnya,tentu lebih banyak dan menarik cerita yang ada disebaliknya.

Selain sejarah sesuatu perkara yang terjadi itu dapat diketahui dengan membaca tulisan (buku,majalah,surat khabar,artikel,manuskrip dll) ia juga dapat diketahui dengan mendengar sendiri cerita berkenaan dari individu tertentu.

Tentunya amat sukar untuk mengetahui kisah sebenar sesuatu sejarah.Namun jika kita cuba untuk mengetahuinya dengan bertanya/membuat kajian walaupun kita tidak bertemu dengan punca/cerita sebenar,itu lebih baik dari kita hanya menjadi PAK TURUT,yang hanya percaya bulat-bulat dengan sumber yang 1 yang dipersembahkan oleh pihak tertentu demi untuk menjaga kepentingan mereka sahaja.

Wallahua’alam.

Wak,
TDI.

2 comments:

yusuf mujahidin ™ said...

Asalamualaikum

teringat kisah masa sekolah bila diminta cikgu tulis autobiografi.

dan nak tahu kesudahan barang yang dahulunya disayang-sayang.

WAK said...

yusuf mujahidin :

Waalaikumsalam.

barang yang kita tak sayang juga mempunyai kesudahan....

Wak,TDI.