Thursday, October 20, 2011

:: Kuliah Baru (Siri 8)

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan isi kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim (18 Okt 2011-Masjid Paroi Jaya)

Masjid Paroi Jaya.
Kuliah ilmunya hidup dan subur.
Terus berkekalankah ia?

Mukaddimah.

Apabila kita membaca/mendengar pembentangan kisah sahabat Rasulullah SAW,secara langsung kita boleh mengambil contoh cara kehidupan mereka.Ini kerana kehidupan para sahabat adalah merupakan terjemahan amali berkenaan ajaran agama yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.Tambahan lagi akhlak,kehidupan dan perjuangan mereka telah di endorse (disahkan) oleh Allah SWT di dalam Al Quran :

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.(A-li Imran: 110)

Apabila ummat manusia mengkaji cara kehidupan para sahabat,bagaimana permulaan hidup mereka,apa perjuangan mereka,apa pengorbanan mereka,lalu mereka yang mengkaji ini mengambil iktibar dari kisah yang mereka kaji itu,maka mereka boleh berjaya dalam kehidupan ini.Dan sifat-sifat yang dikaji itu pula perlulah di semai dalam masyarakat dan keluarga sejak mereka dari kecil lagi.Jika ini tidak dilakukan dan dilaksanakan dari seawal usia lagi,maka kecuaian ini akan menyebabkan jiwa generasi dan anak-anak muda kita akan kosong tidak dikemudi.Maka kesannya,jiwa yang kosong tadi itu akan mudah terisi dan dipergunakan oleh barat serta musuh-musuh Islam yang sentiasa sahaja bersedia dengan jarum serangan,samada yang halus mahupun yang terang ternyata.

Hidup ini,seperti yang kita sedia maklum,memang mempunyai pelbagai bentuk cabaran,samada ia datangnya dari luar mahupun dari dalam diri kita sendiri.Sebagai contoh,gelombang tsunami dari barat sentiasa sahaja meredah kehidupan ummat manusia dengan mempengaruhi gaya hidup kita agar mengikut gaya hidup mereka.Ternyata,telah wujud dan sampai kepada kita pelbagai bentuk gelombang yang mereka cipta dengan bertujuan tidak lain agar mengalih hala tuju hidup kita agar lebih cintakan kehidupan dunia dan kebendaan.

Kita lihat sahaja disekeliling kita kala ini,kita dilambakkan dengan pelbagai sumber,ideologi yang semestinya bisa mempengaruhi kehidupan kita.Tiap masa dan ketika,ada sahaja samada media massa,tokoh,filem,sistem pendidikan,rancangan TV,artis yang berjenama barat masuk sehingga ke dalam rumah kita melalui pelbagai cara.Maka apabila perancangan teliti yang telah mereka (barat) buat memasuki minda,jiwa dan pemikiran kita,maka tidak mustahillah akan hilang nilai masyarakat yang baik dari dalam diri kita masing-masing.

Kita lihat masyarakat di negara China kala ini.Contohnya,Ghuangzhou adalah salah sebuah negara yang maju di China.Dahulunya bandar ini dikenali sebagai Canton (di negara kita,bangsa cina yang bertutur dengan bahasa kantonis adalah berasal dari Canton).Pesatnya perkembangan di bandar Ghuangzhou jika dibandingkan dengan bandar di negara lain di Asia ini tentulah agak maju ke hadapan.Lapangan terbangnya besar dan lebih canggih dari lapangan terbang KLIA.Bangunan-bangunan tinggi juga pesat membangun.Pendek kata,jika dilihat akan perkembangan dan kemajuan ekonomi mereka,mungkin sedikit masa lagi mereka (negara China) akan menjadi salah satu kuasa besar ekonomi dunia.

Tetapi dunia pada minggu lepas digemparkan seketika bagaimana salah satu CCTV di negara China telah merakamkan satu kejadian yang amat memilukan.Seorang kanak-kanak kecil telah dilanggar oleh lori dihadapan lorong deretan kedai tanpa mendapat belas kasihan dari sesiapun.Malah pemandu lori itu sendiri yang telahpun menyedari akan kejadian itu pun tidak langsung peduli.Lebih teruk lagi,ia terus berlalu pergi malah membiarkan tayar belakang lorinya sekali lagi menggilis kanak-kanak itu.Akhirnya,ada seorang tua yang pergi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Mengapa sehingga sebegitu?
Adakah sifat keperimanusiaan sudah luntur atau hilang?

Kisah di atas bukan satu-satunya sahaja peristiwa yang sedemikian.Kita mungkin pernah dengar kisah-kisah sebegitu ditempat lain,terutamanya di negara-negara yang kononnya diisytihar sebagai negara maju.

Adakah perkara sebegitu tidak mungkin berlaku di Malaysia?

Ustaz Abdul Halim sendiri menceritakan pengalaman beliau.Sekali beliau dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah keluarganya.Dalam perjalanan beliau terserempak dengan satu kemalangan.Khabarnya motorsikal yang ditunggang oleh mangsa kemalangan telah dilanggar lari.Malang bertimpa-timpa lagi bila si mangsa sekali lagi dilanggar oleh kenderaan yang lain pula.Lebih teruk lagi,tiada siapa pun mengambil peduli akan nasib si mangsa.Ketika sampai di tempat kejadian,ramai yang mengerumuni mangsa,tetapi tidak seorang pun yang membuat sebarang tindakan.Lalu Ustaz sendiri menghantar mangsa berkenaan ke Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan.Sebaliknya ajalnya sudah sampai,mangsa meninggal dunia ketika di rawat di hospital berkenaan.

Mengapa ketidakpedulian kita sehingga ke tahap itu?

Tidak disangkalkan lagi,bila kecanggihan,kemajuan dan kemewahan kebendaan yang dikejar semata,manusia akan sedikit demi sedikit hilang nilai kemanusiaan.Apabila matlamat hidup hanyalah kekayaan,kemewahan dan limpahan harta benda,maka manusia akan menjadi seolah-olah seperti mesin.Bila mesin di ON kan,mesin akan berjalan dan berfungsi seperti apa yang telah diprogramkan.Dan manusia apabila sudah diprogramkan mengikut program barat/kuasa luar,maka outputnya adalah sepertimana apa yang telah diprogramkan.

Akhirnya,seerah Rasulullah SAW dan kisah para sahabat baginda hanya tinggal kisah sahaja.Adapun hanya sekadar menjadi silibus dalam sistem pendidikan,dan ianya hanya diambil kisah untuk sekadar lulus peperiksaan tanpa ada sebarang langkah atau tindakan supaya mereka-mereka ini mengambil tauladan di atas kisah yang mereka pelajari.Jauh sekali untuk menerapkannya ke dalam cara hidup dan untuk dijadikan panduan di dalam menempuh dugaan kehidupan yang banyak onak dan durinya.

Banyak tempat dan negara,sistem pendidikan mereka adalah
berasaskan 'LULUS PERIKSA'.
Wajarkah?
(sekadar gambar hiasan)

Moga Allah memelihara kita dan generasi akan datang dari tsunami kebendaan,keduniaan,kebaratan dan kesesatan.

Ayat Al Quran dikumpulkan.

...dari buku ASAS ASAS ISLAM.
(klik gambar untuk paparan besar)

Setelah Al Quran dikumpulkan,100~200 tahun kemudian barulah ada usaha untuk membukukan/ mengumpulkan hadith berjalan.Para sahabat dan tabiin serta golongan seterusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam merealisasikan usaha di atas.Mereka sanggup meredah ribuan kilometer bergerak ke utara,selatan,timur dan barat semata untuk mendapatkan sebuah hadith dan meneliti sendiri susur galur perawinya.Namun begitu,walaupun mereka mendapat 1,2 (baca:sedikit) hadith,tetapi hadith yang mereka perolehi itu mereka amalkan dengan betul-betul sehingga menjadi darah daging mereka.

Berbanding dengan kita di zaman serba canggih ini,Al Quran yang jumlah ayatnya 6000 lebih boleh di baca samada dengan membuka mushaf ataupun lebih canggih lagi Al Quran boleh dipaparkan melalui skrin telefon bimbit kita.Bahkan lebih dari itu,ribuan hadith yang telah dikumpulkan dengan titik peluh para golongan terdahulu juga dapat kita baca dan rujuk juga dengan hanya kita mencarinya di dalam perisian di dalam telefon bimbit pintar kita.

Bukankah mudah?

Namun tugas kita,setelah golongan terdahulu bersusah payah berkorban masa,tenaga,wang ringgit bahkan nyawa untuk usaha yang semulia itu,kita juga perlu berkorban sedaya upaya kita agar ayat-ayat Al Quran dan hadith Nabi tadi,kita baca dan hayati,lalu kita pindahkan di dalam hati,di amalkan agar ia sebati dalam darah daging kita.

Cintanya golongan dahulu dengan ilmu.

Seorang tabiin telah bertemu dengan Abdullah ibni Masud r.a dan bertanyakan bagaimana kehidupannya ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup.Walaupun banyak kisah yang boleh diceritakan kembali,tetapi Abdullah bin Masud menceritakan begini :

"Zaman Rasululluh SAW masih hiudp dulu,kami bila belajar ayat Al Quran,kami akan belajar 10 ayat setiap kali.Dari 10 ayat itu,kami akan memahamkan isi ayat berkenaan,amalkannya dalam kehidupan seharian barulah kami akan duduk lagi di hadapan Nabi untuk mempelajari 10 ayat berikutnya.Kami tidak akan belajar ayat-ayat yang baru sehinggalah kami berjaya menguasai sepenuhnya ayat-ayat yang telah dipelajari."

Begitulah keagungan kisah para sahabat radiallahuanhum.

Semangat orang Barat.
Combat.Cerita yang cukup glamour
di tahun 60~70-an.
Adakah ini rancangan licik barat?

Semasa kita kecil dahulu,kita dapati barat menerbitkan begitu banyak filem perang.Kisah Combat adalah antara salah satu filem terbitan mereka.Antara kesan dari pada ini,anak watan Amerika diterap dengan semangat kebangsaan dan darah mereka sentiasa bersemangat untuk pergi ke medan perang.Lalu berjayalah taktik Amerika untuk meramaikan tentera mereka samada untuk mengisi pengkalan-pengkalan di dalam negara bahkan untuk mengisi pula di pengkalan-pengkalan di luar negara.Jadilah negara-negara yang mempunyai pengkalan tentera Amerika di tempat mereka di tadbir secara tidak langsung oleh Amerika melalui kedutaan dan kekuatan ketenteraan mereka di sana.

(Untuk Nota : Jika bangunan kedutaan Malaysia di Mesir adalah bangunan 3 tingkat,bangunan kedutaan Amerika di Mesir adalah menara berkembar.)

Khabarnya,Amerika akan mengundurkan tentera mereka dari Iraq pada penghujung tahun ini.Tetapi sebaliknya,mereka sedang giat menyempurnakan bangunan besar untuk Kedutaan mereka di Iraq.Maka apalah maknanya berundurnya tentera mereka jika bangunan kedutaan mereka dibina sedemikian rupa?

Kesimpulan.

Masih lalai dan cuai kah kita?

Moga perkongsian memberikan menafaat.

Wak,
TDI.

No comments: