Tuesday, September 13, 2011

:: Tips bila diserang cirit-birit ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di kala kanak-kanak meriah dan bergembira menyambut Lebaran sambil tersenyum lebar kerana menerima sejumlah sampul yang berisi duit raya,saya pula 'meriah' menyambut Lebaran dengan diserang cirit-birit.Ya saya 'diziarahi' dengan penyakit itu seawal raya kedua.

Bagi mereka yang senasib dengan saya,pasti lebih arif bagaimana cabarannya ketika diserang cirit-birit dimusim perayaan.Bayangkan sahaja,makanan yang melimpah ruah dan bermacam jenis ada di hadapan mata,tetapi anda tidak mampu untuk menikmatinya walaupun sedikit.Jika pantang ini dilanggar,pasti serangan cirit-birit akan berterusan sehingga langsung menghidratkan kandungan air di dalam badan.Dan yang lebih pasti,anda tidak mampu berhari raya langsung (baca : menziarahi rumah saudara-mara) kerana anda lebih setia menunggu 'panggilan alam' di rumah.

Lalu pada pagi raya ketiga,saya meminta adik saya membuatkan teh pekat tanpa gula untuk saya.Ia merupakan petua orang lama yang pernah saya pelajari untuk mengubati cirit-birit.Saya tidak pasti sejauh mana kemujarabannya.

Kerana sudah agak reda dengan serangan 'panggilan alam' yang saya hadapi,maka pada tengahari hari raya ketiga saya gagahkan diri untuk memenuhi jemputan Wak Ngah untuk jamuan Hari Raya di rumahnya.Walaupun dengan juadah yang begitu banyak dan pelbagai rasa,sedikit pun saya tidak berani untuk menjamahnya memandangkan saya masih lagi trauma.Akhirnya saya hanya mampu melihat dari jauh rojak petis,laksa,nasi minyak,daging kurma dan entah apa lagi juadah pada hari itu dan yang pasti makanan itu semua adalah antara makanan kegemaran saya.Mencabar sungguh untuk menahan nafsu.

Petang itu saya meneruskan destinasi raya saya ke Yong Peng melawat Mak Uda saya di sana.Selain dari ziarah raya,ia juga merangkap ziarah kesyukuran selepas Mak Uda saya selamat pulang dari umrah dan merangkap juga ziarah hormat kerana tidak dapat menghadiri majlis perkhawinan anak perempuannya pada 11 Syawal ini.Ketika di sana,saya dijamu dengan sup tulang.Oleh kerana mengambil kira saya masih belum menjamah sebarang bentuk makanan untuk sepanjang hari,ditambah dengan semerbaknya bau sup tulang,saya menjamah sedikit hidangan sebagai alas perut.Alhamdulillah,perut saya tidak meragam sehinggalah saya sampai semula ke kampung isteri saya di Rengit.

Di Rengit,memandangkan saya rasa perut saya sudah agak stabil,langsung saya agak berani sedikit untuk makan pada malam itu.Rasanya tidak banyak yang saya jamah malam itu,namun akibatnya saya menjadi pengunjung setia tandas sejak awal pagi hinggalah hampir masuk waktu subuh.Namun sebelum saya masuk tidur,saya sempat berpesan kepada isteri agar menggoreng sedikit beras tanpa minyak sehingga kehitaman.Beras itu seperti yang dipesan oleh pakcik saya,seorang pensyarah UiTM Shah Alam,perlulah direndam dengan sedikit air dan airnya perlu diminum.Kandungan karbon pada beras yang kehitaman itu akan dapat membunuh bakteria yang telah menyerang sistem di dalam usus dan perut.

Menurut pakcik saya lagi,pil chi kit teck aun yang cukup sinonim dengan cirit-birit sebenarnya hanya berfungsi untuk menyerap kandungan air dalam najis supaya najis kita menjadi ketulan,tetapi bakteria di dalam perut dan usus masih lagi tertinggal aktif.Untuk itu,orang tua-tua dahulu menggunakan petua dengan menggoreng beras.Jika ia masih tidak mujarab,pil karbon boleh diambil sebagai ikhtiar seterusnya.

Mengambil saranan dari pakcik saya,pada perjalanan pulang ke Muar saya telah singgah di kedai ubat seng seh (kedai ubat cina) di Rengit dan bertanyakan tentang ubat cirit –birit.Ternyata,pakcik di dalam kedai seng seh itu menyarankan untuk memakan pil karbon.Dengan harga RM5,pil berjumlah 24 butir itu telah bertukar tangan.Malah pakcik itu sempat memberikan tips tambahan iaitu sebelum memakan ubat berkenaan,ada eloknya terlebih dahulu meminum air 100Plus untuk membuang gas di dalam perut.Saya mengambil saranan pakcik berkenaan.

(opss!...sebelum terlupa,kurangkan dahulu gas yang ada di dalam air 100Plus berkenaan sebelum diminum)

Selepas meminum air 100 Plus saya meneruskan perjalanan untuk ke Senggarang,rumah kakak ipar saya berada di sana.Sampai di sana saya terus dipelawa untuk makan.Namun sebelum itu saya telah terlebih dahulu menelan pil karbon yang telah saya beli.Kerana takut panggilan alam malam tadi berulang lagi,saya hanya mampu menahan nafsu untuk menjamu lauk tempe kegemaran saya sahaja.Ia mengambil kira dengan jarak perjalanan yang masih jauh untuk ditempuh sebelum sampai kembali ke Muar.

Alhamdulillah,perjalanan amat lancar pada petang itu tanpa gangguan 'panggilan alam'.Malah saya sempat singgah ke Parit Amat di Tongkah Pechah,melawat sahabat lama sekilang saya yang kini telah berhijrah menetap di Kajang.Ia merupakan pertemuan selepas terpisah sekian lama (baca : bertahun).

Tiba kembali di Muar,saya meneruskan untuk memakan pil karbon yang berbaki.Tinggal beberapa butir,saya kongsikan pil berkenaan dengan kakak saya yang juga diserang cirit birit.Alhamdulillah,selepas itu 'panggilan alam' yang kerap sudah tidak lagi membunyikan alarmnya.Saya rasa saya sudah sembuh 100%.

Setibanya kembali ke Senawang selepas cuti raya yang panjang,saya terus sahaja melihat di internet perihal penyakit cirit-birit.Ternyata pil karbon menjadi bahan perbualan/forum bagi mereka yang pernah diserang penyakit itu.Selain dari itu,dari informasi yang saya baca,air 100Plus juga adalah pengganti garam mineral dan air yang banyak hilang akibat terlalu kerap ke bilik air.Malah sebagai tambahan,saya ada terbaca,sekiranya diserang cirit –birit kita hendaklah mengelak untuk makan makanan yang berkarbohidrat tinggi seperti nasi dan roti.Sebaliknya banyakkan memakan makanan berprotein tinggi seperti daging dan ikan.

Tips dari seorang biras saya yang merupakan seorang cikgu Sekolah Menengah di Senggarang : Hanya makan makanan yang panas-panas ketika berziarah di musim perayaan.Makanan yang telah sejuk,yang telah disentuh oleh banyak tangan,amat berisiko akan dijangkiti bakteria.Yang paling wajib diingat,jauhkan sebarang minuman bergas.

Ah…saya sudah tahu antara penyebab saya diserang penyakit cirit-birit itu.

Wak,
TDI.

No comments: