Wednesday, September 28, 2011

:: Mengeratkan Ukhwah (pasca Ramadhan) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Syauwal sudah tiba ke penghujungnya.Kala ini sebahagian dari rakyat Malaysia sedang sibuk bersiap untuk menjadi tetamu Allah bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu Menunaikan Haji.KT1 dijangka akan bertolak ke Jeddah pada 29 September 2011.

Sebelum itu,

Ketika saya membuat jamuan sempena Hari Raya yang lepas,saya telah dijemput oleh Ustaz Romzi-Penasihat Pasti al-Mumtaz untuk sama-sama memeriahkan jamuan sempena Hari Raya di Pasti al- Mumtaz,Taman Bukit Chedang pada 15 September yang lepas.Sebagai menghormati dan memenuhi jemputan,kami sekeluarga telah pergi ke majlis berkenaan,di mana dibuat secara pot-luck.

Kami tiba di tempat majlis disambut dengan kemeriahan suasana kanak-kanak yang merupakan sebahagian dari pelajar Pasti berkenaan.Seperti semua sedia maklum,kegemaran kanak-kanak seusia 4,5 dan 6 tahun adalah berlari berkejaran ke sana dan ke sini,tidak kira lelaki atau perempuan.Kemeriahan keadaan yang dicipta oleh mereka sebenarnya menaikkan suasana petang tersebut.

Setelah meletakkan pencuci mulut (barli,sagu rendang dan jagung yang dicurah dengan susu cair dan air gula merah) yang telah ditempah oleh Ustaz Romzi di atas meja yang disediakan,kami mengambil kesempatan untuk berkenal-kenal dan beramah mesra dengan beberapa ibu bapa pelajar Pasti berkenaan yang hadir ketika itu.

Bila masuk sahaja waktu maghrib,Ustaz telah mengarahkan salah seorang pelajar Pasti berkenaan melaungkan azan.Saya dan isteri pula mengambil kesempatan untuk berbuka puasa dengan bekal air yang kami bawa dari rumah.Sambil meneguk air,saya sempat berbisik kepada isteri,”Ini betul-betul diraikan ni.” Sebenarnya hari tersebut kami berdua baru sahaja dapat menyelesaikan puasa sunat Syauwal,dan kesyukuran dapat menunaikan tuntutan itu ditambah dengan jamuan yang dianjurkan,walaupun bukan bersempena untuk kami.

Selepas sahaja menunaikan solat fardhu maghrib berjemaah,para hadirin mula menjamu selera dengan juadah yang mereka bawa masing masing dari rumah.Punyalah banyak jenis makanan,dari nasi impit,lontong,nasi putih berlauk ayam masak kari,mee rebus,mee laksa,spagheti,kuih-muih hinggalah kebuah-buahan,semuanya ada.Jenuh jugalah enzim-enzim di dalam usus berkerja malam itu untuk menghadam makanan.

Para hadirin mula menjamu selera.

Sambil melayan kerenah anak-anak sendiri dan anak-anak Pasti,sempat juga saya bertanyakan pada Abdul Hadi tentang persekitaran Pasti yang kami ziarahi pada hari itu.Alhamdulillah,respon Abdul Hadi agak baik.Respon itu perlu,memandangkan tahun depan,InsyaAllah giliran Abdul Hadi pula untuk mendaftar di Pasti Al Haazim,Taman Desa Ixora.

Melayan anak-anak dan anak-anak PASTI.

Sambil menjamu selera,tanpa saya sedar kehadiran Cik Nuar,juga salah seorang jiran lama saya,telah menegur sapa saya.Apalagi,memandangkan kami sudah agak lama tidak bertemu muka,maka banyaklah sesama kami bertukar berita.Katanya dia sekarang sudah berjaya mendapat lesen memandu teksi setelah hampir bertahun lamanya memohon sejak dia pencen dari berkhidmat dengan ATM."Alhamdulillah,tidak susahlah saya untuk berulang alik ke KLIA selepas ini," usik saya.

Jam menunjukkan hampir 9 malam.Hadirin yang datang masih ada yang menjamu selera dan ada juga yang sedang beramah mesra antara mereka.Saya juga sempat berborak panjang dengan Abang Mad Nor,jiran lama saya.Sambil-sambil itu,saya menyempatkan mata untuk melihat jam ketika itu.Oleh kerana belum ada kelihatan tanda solat Isya’ hendak didirikan,saya menguatkan diri untuk bertanyakan kepada Ustaz Romzi tentang agenda program malam itu.Alhamdulillah,sebaik sahaja saya bertanyakan mengenai hal berkenaan,Ustaz terus sahaja mengajak hadirin yang ada untuk menunaikan solat Isya` secara berjemaah.Azan telah dikumandangkan dengan lancar dan bersemangat oleh adik Khairuddin,anak lelaki kedua Abang Mad Nor yang berusia 6 tahun.

Muazzin muda-Adik Khairuddin.

Setelah selesai solat,tetamu jemputan dari Labu,Negeri Sembilan,telah sudi meluangkan masa untuk memberi sumbangan yang merupakan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.Cukup gembira mereka.

Beratur! Beratur!

Majlis selesai dengan jayanya kira-kira jam sepuluh malam.Saya pun meminta diri setelah membantu mengemas semula tempat majlis mana yang termampu.

Pengajaran.

1. Pendidikan awal anak adalah amat penting.Ia bukannya sesuatu yang boleh di try and error kan.Pilihlah dan telitilah isi pembelajaran yang diajar kepada anak kita.
2. Berukhwah dan menjaganya adalah salah satu tuntutan beragama.
3. Dedahkan anak dengan suasana beragama.Ia juga salah satu dari usaha dakwah iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan.
4. Berkerjasama dan berganding bahu sesama kita adalah salah satu usaha untuk mengeratkan ukhwah sesama kita.Kita hidup di dunia diajak untuk hidup berjemaah bukannya hidup hanya dengan mementingkan tempurung kelapa dan periuk nasi kita sahaja.
5. Kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah dilihat dari segi GAHnya sahaja,pengisian di dalam menuju kejayaan itu sebenarnya lebih penting.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Ustaz Romzi-Penasihat Pasti Al Mumtaz (berbaju ungu).
Berbaju kemeja adalah Tetamu Jemputan dari Labu
(maaf,tidak sempat bertanyakan nama)

Terima kasih semua.Jumpa lagi nanti.

Wak,
TDI.

1 comment:

syu said...

salam, majlis haul memperingati kewafatan imam al hadad pada 29 sept - 8 okt ini di seluruh malaysia, dekat seremban pun ada. try search ni http://www.alhawi.net/