Berikut dikongsikan catatan dari kuliah subuh yang telah disampaikan oleh USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI (pengasas darul fuqaha)-pada 24 Sept 2011 (Masjid Negeri,Shah Alam)
USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
(pengasas Darul Fuqaha)
Dari Abu Hurairah r.a,Rasulullah SAW bersabda,“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tamu-tamunya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah menjaga hubungan silaturrahimnya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik (benar) atau lebih baik diam.” [HR. Bukhari Muslim]
1. memuliakan tamu-tamunya - urusan antara manusia dengan manusia.
2. menjaga hubungan silaturrahimnya - urusan manusia dengan manusia yang dekat hubungannya.
3. berkata baik (benar) atau lebih baik diam - melibatkan diri sendiri.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
(Masjid Negeri Selangor)
Masjid Negeri dan kebanyakkan masjid dan surau di Selangor
sejak 3 tahun kebelakangan ini dihidupkan dengan
bermacam majlis ilmu dan aktiviti yang berjaya menarik ramai ummat Islam
untuk kembali menghidupkan rumah Allah.
Kata pinjam.
Banyak istilah dalam bahasa melayu adalah merupakan kata pinjam dari bahasa tertentu dan di antara kata pinjam berkenaan adalah dari bahasa arab. Ada kata pinjam yang dikekalkan maknanya dan ada pula kata pinjam yang diubah maknanya.
Perkataan sama,maksud sama-Rabb,Ilaah.
Rabb-ditafsirkan sebagai Tuhan begitu juga dengan Ilaah. (merujuk tafsir Surah An Naas)
Tetapi ada juga perkataan walaupun dalam bahasa melayu yang sama tetapi mempunyai tafsiran yang berbeza.
Contoh 1.
Timba : Bagi orang Trengganu ia bermaksud gayung.
Timba : Bagi orang Kedah ia bermaksud baldi.
Contoh 2.
Tuak : Bagi orang Trengganu ia bermaksud air nira kelapa.
Tuak : Bagi orang Selangor ia bermaksud air arak.
Perkataan sama,maksud berbeza-Silaturrahim.
Silaturrahim bila diterjemahkan secara umum di Malaysia ia memberi pengertian ukhwah atau persaudaraan Islam.Sedangkan kalimah ( الصلة )-silah bermaksud sambung manakala kalimah ( الرحم ) bermaksud rahim iaitu tempat bayi dikandungkan.Dengan erti kata lain maksud tuntutan menjaga/menyambung silaturahim adalah keperluan menjaga/menyambung ikatan persaudaraan yang dijalin disebabkan ada ikatan rahim.
Berselawat (Marhaban) ke rumah-rumah ketika Hari Raya
adalah sambutan rasmi di kampung saya di Muar.
Ia adalah tali pengukuh ukhwah sesama saudara Islam.
(Gambar Kenangan Marhaban dalam Kampung-2011)
Jenis-jenis ikatan rahim.
1.Rahim yang mahram :
a.Adik beradik,mak,bapak,datuk dan ke atas.
b.Anak,cucu,cicit dan ke bawah.
2.Rahim yang tidak mahram :
a.Sepupu,2 pupu,3 pupu,saudara bau-bau bacang.
3.Tidak rahim tetapi mahram :
a.Ada hubungan susuan (Anak susuan,adik beradik susuan,pakcik susuan,makcik susuan).
Hari Raya dan kunjung mengunjung adalah amat sinonim.
Ia adalah langkah terbaik untuk menyambung rahim.
(Keluarga Allahyarham Haji Ali bin Haji Muhammad
-Edul Fitri 2011)
Hukum Silaturrahim.
1.Rahim yang wajib sambung : Rahim yang mahram (sepakat ulama)
2.Rahim yang sunat sambung : Rahim yang tidak mahram
3.Manakala bukan rahim tetapi mahram,khilaf ulama mengenai hukumnya iaitu sunat atau wajib.
Iman.
Iman adalah membenarkan dengan hati,melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota.
Ulama tafsir merumuskan bila ada sahaja ayat Al Quran yang dimulai dengan "Wahai orang-oarang yang beriman…" perlu diberi perhatian ayat seterusnya,kerana ayat-ayat seterusnya merupakan ayat-ayat yang penting,samada ayah perintah ataupun ayat larangan.
Contoh ayat perintah.
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)
Contoh ayat larangan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." (A-li'Imraan 3:130)
Dari ayat di atas secara pemahamannya,bila seseorang itu beriman,golongan ini akan rasa terpanggil untuk beramal.
Contohnya begini,
Sekiranya di hadapan kita ada ramai khalayak yang mereka datangnya dari Shah Alam,tiba-tiba kita seru, "Wahai orang-orang Bangi!" tentu sahaja mereka langsung tidak menghiraukan seruan itu.Tetapi apabila kita seru, "Wahai orang-orang Shah Alam!" tentu seruan itu berjaya menarik perhatian mereka dan mereka akan mendengar apa yang hendak dituturkan oleh orang yang hendak membuat seruan itu.
Contoh beriman hanya pada hati.
Najashi adalah seorang Raja Habsyah.Raja Najashi memeluk Islam tetapi tidak istihar pada rakyatnya.Akhirnya apabila Raja Najashi meninggal dunia lalu Rasulullah SAW bersama sahabat telah melakukan solat ghaib untuk Raja Najashi.Mengapa Rasulullah menunaikan shalat ghaib untuk Raja Najashi,kerana di tempat Raja Najashi meninggal dunia,tidak ada yang melakukan shalat jenazah untuknya.
Hakikat silaturrahim.
1.Sambung rahim bukan kerana balas.
Sesetengah dari masyarakat kita,mereka menyambung rahim kerana tanda membalas.Contohnya jikalau adik yang berumur 25 tahun datang menyambung rahim kepada kakaknya yang berumur 45 tahun,barulah kakaknya itu akan turut menyambung rahim.Tetapi kakak itu sendiri tidak berinisiatif untuk menyambung rahim kerana bagi tanggapannya,yang mudalah yang perlu terlebih dahulu menyambung rahim.
2.Sambung rahim kena ada pendirian bukan Pak Turut.
Terkadang,oleh kerana bapa kita berkrisis dengan adik-beradiknya (pakcik dan makcik kita) maka kita telah turut sama di larang untuk berbaik-baik dengan pakcik dan makcik kita.Dalam hal sebegini,kita haruslah berpendirian,biarlah kita sebagai anak saudara yang menyambung rahim dengan pakcik dan makcik kita.
Kebaikan/fadhilat sambung rahim.
Dari Abu Hurairah r.a Maksud: Sesiapa yang suka untuk diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim (hubungan kekeluargaan). - Sahih Bukhari.
Kisah menyambung rahim.
Kisah 1.
Saidina Abu Bakar r.a adalah seorang yang kaya.Saidina Abu Bakar r.a mempunyai seorang saudara yang bernama Musattah bin Anasah.Saidina Abu Bakar r.a juga telah menanggung Musattah bin Anasah dengan membantunya dari segi kewangan.Oleh kerana Musattah pernah bercakap dusta sehinggakan Saidina Abu Bakar r.a bersumpah akan berhenti memberi nafkah seperti biasa kepada saudaranya itu.
Sehinggalah Allah menurunkan perintah yang berbunyi, "Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya, bersumpah tidak mahu lagi memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah. Dan sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu." ( An-Nur: 22)
Dan sebaik-baik sahaja perintah itu diberitahu kepada Abu Bakar, dia segera insaf dan patuh reda dan menebus kembali sumpahnya itu.
Kisah 2.
Anas bin Malik berkata : “Dulu ada dua orang bersaudara pada masa Rasulullah. Salah seorang mendatangi (menuntut ilmu) Rasulullah,sedangkan yang lainnya bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu kepada Rasulullah (lantaran ia memberi nafkah kepada saudaranya itu), maka Baginda bersabda,“Mudah-Mudahan engkau diberi rezeki dengan sebab dia”. (HSR.Tirmidzi dan Al Hakim, Lihat Shahih Sunan Tirmidzi)
Nota: Di tulis dari apa yang diingat dan apa yang didengar.
Moga mendapat menafaat.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment