Tuesday, June 22, 2010

:: Golongan manakah kita?? ::

Bismillahhirrahmannirrahim.

Berikut di kongsikan kepada semua catatan dari sebahagian isi kuliah Ustaz Haji Hambali Saat di Surau Al Amin (15 Jun 2010)
alam ciptaan Allah SWT yang di cipta olehNya
untuk kita melihat dengan mata hati
dan mengambil iktibar.
Mukaddimah.

"Sesungguhnya marah itu bara api yang dapat membakar lambung anak Adam. Ingatlah bahwa sebaik-baik orang adalah orang yang melambatkan (menahan) amarah dan mempercepat keredaannya dan seburuk buruk orang adalah orang yang mempercepat amarah dan melambatkan keredaannya" (HR. Ahmad dari Abu Sa’id al-Khudriy).

Golongan manusia.

Terang ustaz,ada 4 golongan dan sifat manusia ketika mereka marah yang di sebut dalam hadith Rasulullah SAW iaitu,

Pertama, orang yang lambat marah, lambat reda.
Kedua, cepat marah dan lambat redanya.
Ketiga, cepat marah dan cepat redanya.
Keempat, lambat marah dan cepat redanya.

Dan terang ustaz lagi,ada 4 golongan dan sifat manusia pula ketika mereka berhutang dan memberi hutang yang di sebut dalam hadith Rasulullah SAW iaitu,

Golongan pertama : Sesungguhnya sebaik baik peniaga adalah yang elok ketika memberi hutang dan baik pula ketika menuntutnya.
Golongan kedua : Seburuk buruk peniaga adalah yang buruk ketika membayar hutang buruk juga dalam meminta hutang.
Golongan ketiga : Baik dalam membayar hutang namun buruk pula dalam menuntut hutang.
Golongan ke empat : Buruk dalam membayar hutang namun baik pula dalam menuntut hutang.

Terang ustaz,sesungguhnya dalam kehidupan seharian,hidup kita tidak boleh lari dari faktor imaniat,ibadat,muamalat,muasyarat dan akhlak.Mengawal marah dan cara kita mentadbir hutang juga termasuk dalam faktor imaniat,ibadat,muamalat,muasyarat dan akhlak.
Malah kata ustaz lagi,seorang yang gugur syahid sekalipun tidak akan dapat masuk syurga jika disisinya ketika masih hidup ada meninggalkan hutang yang belum di selesaikan.

Kisah tauladan.

Ketahuilah kata ustaz,

"Sebesar besar penipu adalah dari 1 orang pemimpin yang menipu rakyatnya."

Dan ustaz mengingatkan,tidak kira apa taraf dan pangkat kita (samada kita pemimpin ataupun rakyat biasa) tidak akan mendatangkan apa apa mudharat kepada diri kita sekiranya kita menyatakan sesuatu untuk menegakkan hak/hukum melainkan dengan izin Allah SWT.

Ustaz mengisahkan tentang kisah Shaqiq al Balkhi.

Pada suatu hari seorang ahli sufi yang mashur,Shaqiq al Balkhi dari Balkhan telah datang ke sebuah negeri.Raja di negeri itu yang tahu akan kedatangan Shaqiq al Balkhi telah menghantar wakilnya untuk menjemput Shaqiq al Balkhi datang ke istananya.Sampai di istana raja menawarkan Shaqiq al Balkhi untuk tinggal di istana.Sultan juga menawarkan pelbagai tawaran kepada Shaqiq al Balkhi bagi memujuknya supaya tinggal di istana.

Apa jawapan Shaqiq al Balkhi kepada raja?

Sebaik sahaja mendengar pelawaan raja,Shaqiq al Balkhi lantas bertanyakan satu soalan kepada raja..

"Sekiranya saya tinggal di istana ini,tiba tiba saya terpikat dengan permaisuri sultan dan saya berhasrat untuk mengahwini permaisuri sultan,apakah perasaan sultan"

Dengar sahaja pertanyaan Shaqiq al Balkhi,raja pun teramat murka dengan beliau.

Lalu Shaqiq al Balkhi berkata,"kalau saya baru menyebut sahaja niat saya tadi sultan sudah murka,bagaimana pula sekiranya hal itu benar benar berlaku.Dan bahawa sesungguhnya saya tidak sekali kali akan tinggal di istana."

Kemudian Ustaz mengisahkan tentang kisah Said bin Jubair.

Said bin Jubair yang merupakan seorang tabi'i dan ulama besar yang terkenal dan lantang dalam menentang gabenor yang zalim.

Kemudian di sebabkan penentangannya terhadap Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqofi,pemerintah itu telah mengarahkan Said bin Jubair di tangkap.Setelah di tangkap dan di hadapkan ke hadapan Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqofi,maka Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqofi bertanyakan pada Said bin Jubair cara bagaimanakah beliau mahu menghabiskan nyawanya.
Said bin Jubair menjawab,"Bunuhlah aku seperti mana kamu suka di bunuh."

Kemudian Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqofi menyuruh supaya muka Said bin Jubair di tekan ke tanah. Mendengar itu , Said membaca ayat, yang bermaksud "Darinya (tanah) Kami menciptakan kalian, dan padanya Kami mengembalikan kalian, dan daripadanya (pula) Kami mengeluarkan (membangkitkan) kamu sekalian.” (Toha:55)

Selepas itu Said bin Jubair memalingkan wajahnya ke kiblat, tapi Hajjaj menyuruh para pengawal untuk memusingkan kepalanya membelakangi kiblat. Walaupun demikian, Said membaca ayat yang bermaksud, ".... kemana saja kamu menghadap, di situlah wajah Allah....”: (Al-Baqarah:115).

Manakala hampir saat di bunuh Said bin Jubair meminta izin untuk solat 2 rakaat dan selepas itu Said bin Jubair pun di jatuhkan hukuman bunuh.Dan semua yang hadir menjadi saksi di mana darah yang mengalir dari tubuh mayat Said bin Jubair amat banyak menandakan saat kematiannya di sambut dengan hati yang penuh tenang.

Ingatan dari ustaz.

Jelas ustaz di akhir kuliah,segala pesanan Rasulullah SAW adalah untuk seluruh ummat Baginda termasuk juga kita.Dan bahawa sesungguhnya orang yang peduli tentang hal ehwal agama maka Allah SWT akan peduli tentang hal ehwal kita.Amal dan sampaikanlah ilmu yang kita dengar dan yang kita tahu.

Nota penulis :
....moga perkongsian dapat memberi sedikit maklumat dan ilmu kepada pembaca.

No comments: