Tuesday, August 14, 2012

:: 16 - Lagenda Kek Lapis Serawak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam semasa berbuka puasa di MBBS,sempat saya berbual dengan jiran saya.Isterinya mengusahakan Kek Lapis Serawak semasa bulan Ramadhan ini,jadi saya bertanyakan sambutannya.

Kini sudah tidak perlu ke Serawak
untuk menikmati kek lapisnya.

Sebenarnya,bukan tahun ini sahaja isterinya mengusahakan Kek Lapis berkenaan,tahun-tahun sebelumnya pun begitu.Saya pernah merasa 'sample' kek tersebut ketika moreh di Surau TDI beberapa tahun lepas.Alhamdulillah,rasanya sedap :)

Cerita jiran saya itu,tahun ini permintaan pelanggan amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun yang lepas.Walaupun agak hambar pada permulaan Ramadhan ianya meningkat mendadak pesanannya bila tiba di pertengahan Ramadhan.Ada pelanggannya sejauh di KL.Mungkin juga pada peringkat awal,faktor harga membuatkan orang berkira-kira untuk membelinya.Saya juga begitu. (Untuk makluman kek lapis yang dijual oleh isteri jiran saya ini seberat 1kg lebih dan berharga RM75.00).

....Namun rezeki adalah dari Allah.
....Yang menggerakkan hati untuk membeli juga adalah Allah.

Sambil berbual,saya tanyakan kepada jiran saya mengapa tidak di komersialkan sahaja kek lapis berkenaan.Tambahan pula pelanggannya sudah sedia ada.Maknanya pelanggan masih lagi berpeluang untuk membuat order di luar bulan Ramadhan.Rupanya bukan jiran saya itu telah terlepas pandang peluang itu tetapi banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menuju ke arah itu.

Kata jiran saya,membuat kek lapis perlu melalui proses yang rumit.Untuk membuat 2 buku kek sahaja,isterinya perlu menumpukan sepenuh masa selama 5 jam.Ia sesungguhnya tugas yang memerlukan tenaga dan tahap kesabaran yang tinggi.Jika urusan membuat kek sahaja sudah memakan masa dan tenaga,bagaimana pula urusan rumahtangga yang lain seperti memasak,mengemas dll.

Kata jiran saya itu lagi,

Bulan puasa kebiasaan orang kita akan berbelanja lebih.Tidak kira tahap kemampuan,yang penting adalah tahap kepuashatian mereka.Pada hari biasa,mungkin sebuku kek lapis yang berharga RM75 akan dikira cukup mahal untuk dibeli,tetapi bila bulan Ramadhan ia sanggup dibeli untuk persediaan hari raya.

Mengapa?

Lihat sahaja bila tiba musim perayaan.Bermacam-macam barang baru di jual,tidak seperti bulan-bulan biasa.Ia seperti bulan pesta membeli belah.Maka,perabut lama diganti,langsir lusuh diganti malah kereta yang harganya puluhan ribu juga diganti.

Lalu,apa sangat lah dengan sebuku kek yang harganya baru sekitar RM75.

Ya,manusia seronok membeli-belah bila tiba bulan Ramadhan untuk persiapan Hari Raya di bulan Syawal.

Salahkah perilaku mereka?

Nak menyalahkan peniaga? Mana mungkin,mereka hanya berniaga.

Nak menyalahkan pembeli? Mana mungkin,mereka semua mampu adakalanya terlebih dari mampu.

Cuma,

Ingatlah jiran-jiran,sahabat-handai,adik-beradik,saudara-mara yang tidak berkemampuan yang ada di sekeliling kita.Mungkin mereka tidak mengharapkan wang ringgit kita tetapi tanggungjawab dan kesedaran kitalah yang membangkitkan dorongan untuk kita membantu mereka.

Moga Ramadhan 1433H kita lebih baik dari Ramadhan yang lepas-lepas.

Wak,
TDI.

No comments: