Monday, June 27, 2011

:: Travelog Anak Kampung-6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Intro.

1994 adalah tahun saya mengambil peperiksaan PMR.Saya adalah batch kedua selepas sistem peperiksaan tingkatan 3 ditukar dari Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ke Penilaian Menegah Rendah (PMR) pada tahun 1993.

Sebagai sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pastinya prestasi keputusan peperiksaan adalah amat dititik beratkan.

Ustaz baru.

Setiap tahun pertukaran guru yang mengajar dalam matapelajaran tertentu memang tidak dapat dielakkan.Ia samada memberikan kesan positif mahupun sebaliknya.

Ustaz Lukman Mamat adalah ustaz yang baru bagi kelas kami (3 Usaha) pada tahun itu.Beliau yang berasal dari Trengganu baru sahaja berpindah ke sekolah kami dari sebuah sekolah harian di Johor.

Sewaktu berbual dengan beliau pada suatu hari setelah tamat kelas agama di surau asrama,beliau mengatakan sekolah yang diajarnya sebelum itu adalah sekolah yang agak pendalaman.Anak murid sekolah tersebut perlu dicari dan dipanggil terlebih dahulu sebelum kelas ingin dimulakan.Itupun sekiranya dicari ada di antara mereka yang masih leka bermandi-manda di tali air.

Sebenarnya kelas kami sering sahaja bertukar ustaz/ustazah untuk matapelajaran agama sejak dari tingkatan 1 lagi.Ketika berada di tingkatan 1 Usaha Ustazah Hjh Norhalizah mengajar kami matapelajaran agama manakala ketika di tingkatan 2 Usaha Ustaz Hj Rosli pula yang mengajar kami.Kedua-dua guru berkenaan adalah juga warden asrama.Selain dari mereka mengajar kami di kelas,mereka juga menjaga kebajikan kami ketika di asrama.Jadinya sebagai warden dan guru,mereka ini amat masak dengan perangai-perangai anak muridnya kerana boleh dikatakan sebahagian besar masa mereka adalah bersama kami.

Begitu juga dengan Ustaz Lukman.Beliau juga terus menjadi warden asrama kami ketika mula-mula bertugas di SMSS.

Tegas.

Mungkin latarbelakang dan pengalaman mengajar sebelum-sebelum ini membuatkan Ustaz Lukman dianggap sedikit tegas oleh warga asrama sekolah.Sebenarnya banyak aktiviti baru yang diterapkan oleh Ustaz Lukman terutamanya aktiviti di dalam surau.Saya rasa aktiviti yang dilakukan itu itu serba sebanyak mengambil masa pelajar ketika di asrama dan secara langsung telah menyempitkan ruang untuk mereka bersantai.Mungkin dari situ mulanya kami telah melabelkan Ustaz Lukman sebagai seorang yang tegas.

Taklim.

Antara contoh aktiviti baru kami warga asrama ketika itu adalah mendengar majlis taklim setiap pagi sejurus sahaja selesai solat subuh berjemaah di surau.Walaupun tidak mengambil masa yang terlalu panjang,ia sebenarnya mengurangkan masa untuk pelajar tidur kembali selepas solat subuh sementara menunggu loceng dewan makan berbunyi untuk sarapan pagi.

Kuliah subuh.

Selain dari itu,kuliah subuh untuk pagi Sabtu dan Ahad pula semakin aktif memandangkan sudah ada 2 orang Ustaz yang menjadi warden,iaitu Ustaz Hj Rosli dan Ustaz Lukman sendiri.Mereka berdua bergilir-gilir menyampaikan kuliah subuh.Kalau dahulu sekiranya kelibat Ustaz Rosli tidak kelihatan di dalam surau ketika pagi Sabtu atau Ahad,bermakna tiada kuliah subuh hujung minggu.Ia bererti MERDEKA bagi kami.Dan masa senggang sementara menunggu aktiviti persatuan pada hari sabtu yang bermula sekitar pukul 8 akan diisi sepenuhnya oleh kebanyakkan dari kami dengan aktiviti menarik kembali selimut untuk menyelubungi badan.Begitu juga hari ahad,riadah pagi hanya akan bermula sekitar jam 7 setengah.Dengan jadual harian pada hari persekolahan yang begitu padat,tentu sekali peluang dapat tidur lebih diwaktu pagi jarang-jarang ditolak.

Tutup aurat.
Malah ketika itu juga sudah berkurangan melihat kelibat pelajar yang berkeliaran di dalam kawasan sekolah terutamanya ketika hari minggu tanpa menutup aurat.

Mengapa?

Ustaz Lukman memang saban masa berada di dalam kawasan sekolah/asrama walaupun pada hujung minggu.Kadangkala beliau rajin meronda kawasan sekolah pada waktu malam dihujung minggu.Tentu sekali sesiapa yang berkelakuan yang mencurigakan akan pasti didekati oleh beliau.Jika dalam soal siasat ringkas itu pelajar berkenaan gagal memberikan jawapan yang memuaskan,pasti akan mendapat hukuman kala itu juga,termasuk mereka yang dengan sengaja tidak menutup aurat,tentu sekali tidak dapat melarikan diri,walau apa jua alasan yang diberi.

Team ragbi.

Team Ragbi SMSS memang bukan calang-calang pasukan.Ia adalah pasukan ragbi yang bukan ampuh untuk dikalahkan.Tetapi dengan syarat yang telah diperketatkan,mereka terpaksa akur dengan nasihat Ustaz Lukman.Mereka tidak lagi boleh berjalan dari asrama untuk ke padang ragbi dengan berseluar pendek ragbi.

Konsert Hari Raya.

Malam hari terakhir sebelum semua pelajar pulang ke kampung untuk berhari raya adalah hari yang paling happening.Pelajar yang jauh (dari pantai timur dan utara) akan pulang pada malam itu dengan bas yang telah disediakan oleh pihak sekolah.Bakinya akan pulang pada keesokan paginya juga dengan cara yang sama.

Malam terakhir itu pula akan dimanfaatkan oleh baki pelajar yang tinggal dengan mengadakan mini-konsert di dataran mini di kawasan sekolah.Ia adalah salah satu aktiviti turun temurun.Ia suatu upacara/tradisi yang begitu meriah.

Begitu juga tahun berkenaan (1993),beberapa kelompok pelajar terus ingin mengekalkan tradisi berkenaan.Akhirnya belum sempat mini konsert itu panas enjinnya,mereka yang hadir telah bertempiaran lari ke seluruh kawasan sekolah kerana aktiviti mereka telah dapat dikesan oleh Ustaz Lukman.

Oleh kerana telah dikejar oleh Ustaz Lukman dan salah seorang dari pengawal sekolah,maka ada yang berlari dan menyorok dirimbunan pokok ubi dihujung kawasan sekolah.Ada yang sempat kembali ke kawasan asrama,terus sahaja ke bilik basuhan berpura-pura membasuh baju.Tak kurang juga yang menyerah diri.Tentu kala ini ada yang tersenyum mengenang aksi kejar mengejar itu,dimana ketika itu sambil dikejar sambil Ustaz Lukman melaungkan kalimah 'Allahuakbar!'.

Senarai nama.

Shahmizart Tumingan adalah ketua kelas kami (3 Usaha).Beliau dan ketua-ketua kelas (seluruh tingkatan) yang lain telah ditugaskan oleh Ustaz Lukman untuk menyenaraikan nama seluruh pelajar lelaki dan menyerahkannya kepada beliau,tidak tahu mengapa.

Suatu pagi yang damai,setelah kami selesai bersolat subuh dan mendengar taklim,Ustaz Lukman telah mengeluarkan beberapa helai kertas.Beliau telah memilih sehelai dari helaian-helaian kertas yang ada.Beliau mula membaca isi kertas berkenaan yang kebetulan merupakan senarai nama pelajar tingkatan 1.Nama yang dipanggil dikehendaki menjawab dan mengangkat tangan tanda mereka telah hadir solat subuh pada pagi itu.Alhamdulillah,tentu sekali pelajar tingkatan 1 mestilah ada kesemuanya di dalam surau,mereka memang wajib solat berjemaah.

Di suatu pagi yang lain tiba-tiba telinga salah seorang dari kami mendengar mirip-mirip nama pelajar 3 Usaha dipanggil oleh Ustaz Lukman di surau.Lantas dia mengejut kami semua bangun.Entah macamana hari itu kami 1 dorm (majoritinya pelajar 3 Usaha) tidak seorang pun terjaga untuk bangun solat subuh.Kami bergegas mencapai kain pelikat dan baju (itupun mana yang dapat tercapai sahaja).Seperti lipas kudung kami terus berlari ke dalam surau di tingkat bawah.Mujurlah ada beberapa orang wakil 3 Usaha yang bangun awal,mereka serba sedikit menyelamatkan keadaan.Kami hanya menjawab panggilan setelah kali kedua nama kami diulang baca.Fuhhhh.....

Membaca Yaasin.

Satu lagi aktiviti yang telah disusun oleh Ustaz Lukman ketika itu adalah membaca surah Yaasin sebaik sahaja selesai solat Subuh.Saya tidak berapa ingat samada ia dibaca secara beramai-ramai ataupun khusus dibaca oleh pelajar tingkatan 3 yang akan menghadapi peperiksaan PMR pada tahun itu.Tetapi seingat saya,antara kelebihan membaca Yaasin di awal pagi yang diajarkan oleh Ustaz Lukman ketika itu adalah segala urusan sepanjang hari akan dimudahkan ALlah SWT.

Entah mengapa saya 'termakan' dengan nasihat Ustaz Lukman.Membaca Yaasin di setiap pagi,selagi mampu saya cuba kekalkan.Ia ternyata memberi kesan.Berlalu waktu pagi tanpa membaca surah Yaasin tentu membuatkan hati dan diri saya berasa tidak selesa.

Alhamdulillah,berkat doa,usaha dan tunjuk ajar dari seluruh pihak,keputusan PMR yang diumumkan pada tahun itu,walaupun saya tidak mendapat 8A,tetapi ia satu keputusan yang agak memberangsangkan dan mengejutkan terutama sekali diri saya sendiri.Manakan tidak,sewaktu peperiksaan percubaan,jangankan 8A,1 A pun tidak mampu saya perolehi.Mungkin keputusan PMR itu juga berkat tunjuk ajar Ustaz Lukman agar anak didiknya mengamalkan bacaan Yaasin setiap pagi.Wallahua’alam.

Moga perkongsian memberikan manfaat.

p/s : Aku hadiahkan manfaat penulisan ini (jika ada) kepada guruku tercinta Ustaz Lukman bin Mamat.Moga Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat cikgu.

Terima Kasih Cikgu!

Wak,
TDI.

1 comment:

syu said...

dulu-dulu lepas pmr aku n girls 3usaha selalulepak kat rumah ustaz lukman. isteri dia sporting giler...
ustlukman tegas..cara dia mengajar pun lain, kena hafal hadis, hafal surah lazim, hafal takbir raya...kalau dulu2 nampak mcm boring... tapi bila dah berumur ni baru terasa kepentingannya.