Wednesday, June 8, 2011

:: Mencari Yang Dahulu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Pantas.

Dalam keadaan dan kitaran dunia yang terasa semakin pantas ini,kadangkala membuatkan diri kita juga terikut dengan putaran kesibukan tersebut.Dan dalam tidak sedar,kita kerapkali terlupa untuk mensyukuri nikmat yang dianugerahkan kepada kita.Bahkan kadangkala kita tidak menyedari langsung dengan apa yang dianugerahkan kepada kita itu adalah sebuah nikmat.Hakikatnya,samada nikmat itu besar mahupun kecil,nampak atau tidak nampak,sebagai hambaAllah,kita sepatutnya mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkanNya.

Membuka ruang.

Sekiranya ruang/masa dalam hidup kita,kita memberi ruang yang besar dalam hal keduniaan maka kita akan faham akan hal keduniaan.

Contohnya,seorang tuan kedai,sekiranya dia menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada peniagaannya,dia akan mahir akan ilmu perniagaan.Bila dia mula berniaga di kedainya,semakin hari melalui pemerhatiannya,dia akan mula tahu barang apa yang perlu dibeli untuk stok di dalam kedai dan di mana ia boleh di beli dengan harga modal yang murah,walaupun pada asalnya dia tidak ada ilmu langsung tentang bidang tersebut.

Malah kadangkala,sesibuk manapun si peniaga tersebut,dia pasti akan melayan pelanggan yang masuk ke dalam kedainya tersebut.Si peniaga sanggup mengenepikan segala urusannya demi melayan pelanggannya itu walaupun ketika itu dia sedang menikmati hidangan makan tengaharinya.

Lebih dari itu,walaupun tatkala kedainya sudah ditutup dan si peniaga itu sudah dalam perjalanan pulang ke rumahnya,dia sanggup berpatah kembali ke kedainya semata-mata memenuhi hasrat pelanggannya yang menelefon untuk membeli beberapa senarai barangan.

Malah jauh dari itu,si peniaga itu boleh bertolak ansur dengan para pelanggannya serta bercakap dengan penuh sopan santun demi menjaga hati para pelanggannya itu sedangkan pada masa yang lain dia kerap memarahi dan tidak langsung menunjukkan tanda tolak ansur kepada isterinya ketika berada di rumah.

Kerana apakah semua ini?

Kerana si peniaga itu faham akan dunia perniagaannya dan kepentingan apa yang ada di lamanya.

Dengan kata lain,untuk faham akan dunia dan isinya (contohnya : dunia perniagaan) apabila kita duduk di dalamnya kita akan faham akan dunia dan keperluannya.

Oleh itu,bagaimana pula caranya untuk kita faham akan akhirat dan keperluannya?

Faham.

Kerana kita faham yang dunia ini merupakan darul asbab maka setiap kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini juga berasbab.

Jika kita memberikan ruang yang besar dalam hidup kita untuk kita faham akan perihal dunia,kita akan faham akan kepentingan dan kehendak dunia.

Sebaliknya,

Jika kita memberikan ruang yang besar dalam hidup kita untuk kita faham akan perihal akhirat,kita akan faham akan kepentingan dan kehendak akhirat.

Kelapa dan santannya.

Santan keluar setelah diperah dari kelapa yang telah di parut.Santan yang diperah pada peringkat mula-mula adalah santan yang pekat.Apabila dibuat kuih rasanya sedap.Apabila dibuat nasi lemak,wangian aromanya akan naik.Apabila hendak membuat dodol,santan yang pekat inilah yang dipilih.

Kelapa yang telah diperah,bila semakin diperah santan yang keluar akan menjadi cair dan semakin cair.Apabila hendak dibuat kuih,rasa kuihnya sudah tidak sedap.Apabila dibuat nasi lemak,rasa nasi lemaknya sudah tidak asli.Apabila dibuat dodol,keenakkan rasa dodol akan hilang.

Begitu juga manusia.Dalam kesibukkan mengejar kepuasan dunia,dengan runtunan kehendak hati sebagai orang muda,tentulah kebanyakkan aktiviti adalah menyibukkan diri dalam urusan dunia.Dalam kesibukkan dan keterikatan itu,jika seorang muda dapat membuat amal soleh (seperti dapat istiqomah untuk bangun tahajjud) maka kenikmatan membuat ibadah itu sudah tentu lebih lazat berbanding dengan orang yang telah berumur yang melakukan amalan yang sama.Nikmat dan kelazatan orang muda yang bangun 2 rakaat solat tahajud mungkin lebih hebat dari ibadah yang sama yang dilakukan oleh seorang yang telah lanjut umurnya.

Mana hilangnya.

Sahabat-sahabat di zaman Nabi SAW dalam kehidupan seharian,mereka tidak akan lari dari batas-batas agama,walaupun di mana mereka berada.Di pasar-pasar walaupun mereka sibuk dengan urusan jual beli,kehidupan beragama tetap diteruskan.Hadith-hadith dari Nabi SAW yang mereka dengar disebarkan kepada mereka yang tidak berkesempatan mendengarnya.Ayat-ayat Al Quran akan kedengaran dibaca dan dihafal oleh mereka.

Kebanyakkan kehidupan para sahabat ketika itu,mereka sedikit ketawa dan banyak menangis.Setelah sibuk dengan urusan disiang hari,kehidupan di kala malam mereka isi dengan menangis bertaubat kepada Allah SWT.Ketenangan malam diselang seli dengan bunyi tangisan para sahabat yang bangun malam.Kehidupan selepas zaman itu juga hampir sama.Di ceritakan Imam Abu Hanifah menangis ketika solat malam,sehinggakan orang yang mendengar tangisan itu,beranggapan beliau telah kematian anak.

Setelah beberapa abad selepas itu,di kampung-kampung di tempat kita apabila muncul sahaja waktu maghrib,akan kedengaran suara orang mengaji samada dari kalangan orang dewasa mahupun dari kalangan kanak-kanak.Kadangkala kedengaran ibubapa sibuk mengajar anak-anak mereka mengaji.

Kini situasi di atas semakin lama semakin pudar ditelan zaman.Waktu maghrib sudah tidak lagi kedengaran bunyi orang mengaji dari rumah-rumah di tempat kita tinggal.

Siram.

Tanah yang kering kontang apabila kita hendak meletakkan benih ia perlu digembur dan disiram.Setelah itu bolehlah kita meletakkan benih untuk benih itu bertunas dan membesar menjadi pokok lalu akhirnya membuahkan hasil.

Begitu juga hati manusia.Untuk menghidupkan hati manusia,ia perlu banyak mengingati akan perihal mati.Kerana dengan banyak mengingati mati,hati akan hidup yang nantinya hati-hati ini akan menyedarkan kita akan tujuan dan matlamat kita hidup.

Moga perkongsian memberikan manafaat.

Wak,
TDI.

No comments: