Wednesday, September 9, 2009

Manis gula @ Manis I.M.A.N

hening dan sepi.....

Pagi sabtu (05.09.09) yang hening menggamit pilu perasaan saya.Tanpa di duga,anak ke dua saya Abdul Hadi tiba tiba di serang sesak nafas.Memang saya sedari ketika pulang kerja hari Jumaat,saya nampak air hidungnya sedikit meleleh.Saya membuat sedikit perkiraan.Setelah berbincang dengan isteri,saya bawa Abdul Hadi ke klinik panel di pekan Senawang.Ini kali pertama Abdul Hadi di serang sesak nafas. Badannya juga agak lemah.

Sampai di klinik,ada beberapa orang sedang menunggu giliran untuk bertemu dengan doktor.Abdul Hadi hanya mahu di dokong.Mungkin di sebabkan badannya lesu.Saya ajak dia berbual,itupun hanya satu dua patah perkataan yang keluar.Hati saya sedikit risau…

Hampir setengah jam menunggu,tiba giliran saya dan Abdul Hadi masuk ke bilik bertemu dengan seorang doktor yang berbangsa cina.Ada tanda demam setelah doktor memeriksa suhu badan anak saya.Setelah memeriksa dengan stetoskop,doktor hanya menggelengkan kepala.’Paru paru mungkin sudah di jangkiti kuman.Kena pergi hospital untuk pemeriksaan lanjut,’ terang doktor tersebut.Saya tanyakan mengapa boleh jadi begitu.Doktor menerangkan,faktor sekeliling adalah antara penyumbang kuman boleh masuk ke dalam paru paru melalui pernafasan.

Penerangan doktor saya minta lagi penjelasan lanjut.Saya mahu pastikan tiada maklumat yang tertinggal.Doktor hanya menerangkan,sekiranya ada symptom sebegitu,pesakit hanya boleh tinggal di persekitaran yang di jaga rapi dan perlu di berikan ‘gas’ setiap 2 jam sekali.Dan pesakit perlulah tinggal di dalam wad.Saya tersentak seketika.Saya dengar lagi penjelasan doktor.Doktor hanya membuat rumusan ringkas,anak saya perlu rawatan lanjut di hospital.Akhirnya doktor tersebut hanya memberikan surat rujukan untuk di serahkan kepada doktor bertugas di Hospital Besar Seremban.Saya terkedu seketika.Kepala memikir mikir apa tindakan yang sepatutnya saya buat.

Sampai di rumah saya khabarkan ulasan doktor kepada isteri saya.Kesimpulan perbincangan, saya meminta isteri saya menelefon kakaknya yang juga seorang doktor pakar di Hospital Besar Kuala Lumpur.Panggillan di jawab,namun kakak ipar saya sedang sibuk bersama pesakitnya.Saya biarkan isteri saya melayan seketika Abdul Hadi.Sambil sambil di suap dengan air barli suam.Petua yang telah lama saya amalkan sekiranya di serang batuk.

Ketika itu hati saya masih dilanda sedikit rungsing.Bercelaru dan sedikit terganggu.Saya ambil wuduk dan melakukan 2 rakaat solat taubat.Selepas solat hajat saya membaca beberapa helaian Al Quran untuk menenangkan hati.Selepas beberapa ketika,saya pun keluar dari bilik solat.Saya perhatikan Abdul Hadi ada sedikit peningkatan.Nafasnya masih berbunyi,tapi tidak sekerap sebelumnya.Bila di ajak bercakap,nampak ada sedikit tenaga terserlah dari cahaya matanya.Hati saya sedikit lega dan bersyukur ke Hadrat Illahi.

Setelah berbincang lagi dengan isteri saya,kami membuat keputusan untuk tidak menghantar anak saya ke Hospital Besar.Kami akan teruskan jadual asal kami pada hari itu iaitu bersama IPIJ dan Alumni IPIJ untuk program yang di rancang di Nur Bukit Unggul,Selangor.Saya bergegas ke kilang kerana ada janji temu yang saya telah susun.Selesai urusan di kilang,saya terus kembali ke rumah.Isteri saya memberi kabaran gembira.Doktor Zabedah,kakak ipar saya telah menelefonnya kembali sebentar tadi.Menerangkan apakah sebenarnya symptom yang di hadapi oleh anak saya.

Sesak nafas memang perlu di beri gas.Itu merupakan asas rawatan.Sepatutnya mana mana klinik swasta perlu ada kelengkapan itu.Pesakit tidak perlu menunggu giliran dan boleh terus berjumpa doktor untuk menerima rawatan.Sementara keadaan yang sedikit lesu itu di sebabkan kurang tenaga kerana tidak makan.Apabila sesak nafas,tekak tidak dapat mengawal dengan baik kemasukkan makanan menyebabkan pesakit akan hilang selera.Panjang lebar isteri saya menerangkan dengan sungguh sungguh maklumat dan pertayaan yang saya tinggalkan untuk di tanyakan pada kakak ipar saya.Alhamdulillah saya bersyukur sekali lagi.Allah Maha Agung....

Seketika,hampir menitik air mata saya selepas mendengar penjelasan dari isteri saya.Tapi saya sembunyikan dari pandangan isteri.Saya masih lagi ingat pesan Ustaz Ravi ketika menyampaikan ceramah sekitar tahun 2000.Ketika itu di adakan majlis sambutan Maulid Nabi oleh persatuan Pekerja syarikat tempat saya bertugas,Mitsumi Batu Pahat.Ustaz ada menyatakan,sekiranya di serang apa jua penyakit,tempat rujukan pertama kita adalah dengan Pencipta penyakit tersebut.Lakukan solat taubat dan di iringi dengan solat hajat.Istiqamah sehingga penyakit itu sembuh.Alhamdulillah…pesanan itu masih lekat di hati saya.Terima kasih Ustaz…..

Berbalik pada program Jalinan Kasih (Aijyou Tappuri) yang di anjurkan bersama antara IPIJ dan alumninya.Saya bertolak dari Senawang sekitar 12 setengah tengah hari.Saya berkira kira mungkin saya akan dapat solat zohor di pertengahan jalan.Saya sempat perhatikan keadaan Abdul Hadi sebelum kami bergerak keluar.Nampak kadar pernafasannya semakin stabil.Mulutnya pun mula berceloteh dengan abangnya Abdul Aziz serta adiknya Ain Sofiah.

Alhamdulillah.Saya panjatkan setinggi tinggi kesyukuran.Allah Maha Mengetahui apakah sebenarnya hikmah yang tersembunyi di sebalik ‘kisah’ Abdul Hadi diserang sesak nafas.

Saya sampai di sebuah masjid yang tidak saya ingat namanya untuk berhenti solat Zuhor.Ketika saya sampai Imam baru sahaja mengangkat Takbiratul Ihram.Saya lantas mengambil wuduk di kolah masjid.’Jarang masjid yang ada kolah wuduk seperti ini,’ detik hati saya.Selesai solat saya keluar dari masjid dan berjumpa dengan seorang pakcik.Saya tanyakan di mana letaknya Nur Bukit Unggul untuk kepastian.Dengan petunjuk yang di beri Alhamdulillah saya dapat terus berjumpa tempat program walaupun kawasan itu agak ‘tersorok’ jalan masuknya.

Saya sampai ke halaman Nur Bukit Unggul terus menghubungi sahabat saya,Tasmim untuk mendapatkan pengesahan yang saya tidak salah tempat.Alhamdulillah saya selamat tiba ke tempat yang di tuju dan majlis untuk sessi petang baru sahaja bermula.Pengisian di beri oleh ustaz Kamaruzzaman yang berasal dari Trengganu.

Nur Bukit Unggul

Saya nukilkan antara isi penting kuliah petang itu:

Kuliah adalah sekitar bulan Ramadhan dan erti di sebalik keberkatannya.

1) Ramadhan adalah Jihad.Antara contoh jihad Fisabillah yang berlaku di dalam bulan Ramadhan adalah :
i. Badr al Kubra
ii. Fathul Makkah
iii. Perang Andalusia.

2) Antara syarat utama untuk masuk kedalam syurga adalah bersih dari dosa.

Antara 5 perkara penghapus dosa adalah :

i. Taubat dengan bersungguh sungguh (Taubat nasuha)
ii. Beristighfar berulang ulang kali.
iii. Memperbanyakkan sedekah
iv. Menitiskan air mata kerana mengenang dosa
v. Bercengkang mata untuk berjihad di jalan Allah.

3) Manusia yang mengucapkan 2 kalimah syahadah sebenarnya telah mendapat kunci syurga tapi tidak bergigi.Kunci yang tidak bergigi tidak dapat membuka mana mana pintu sekalipun.Jadi untuk membuat gigi pada kunci tersebut perlulah di lakukan amal ibadat terhadap Allah SWT.Setiap ibadah tadi akan di ibaratkan sebagai gigi pada kunci syurga.Semakin banyak ibadah,semakin banyak gigi yang dapat di buat dan semakin banyaklah pintu syurga yang dapat di buka.Wallahua’alam.

Kunci....hanya gambar hiasan

Di sessi soal jawab,saya sempat bertanyakan kepada ustaz panduan menyambut ‘Idul Fitri mengikut syariat Islam.

Berikut jawapan Ustaz.....

Antara amalan yang di galakkan :

i. Banyakkan bertakbir.
ii. Menhidupkan malam ‘Idul Fitri dengan amalan soleh.
iii. Masukkan rasa/perasaan gembira kepada orang yang kita jumpa.
(contohnya dengan memberi ‘duit raya’)
iv. Pergi dan balik ke masjid untuk melakukan solat sunat ‘Idul Fitri melalui jalan yang berbeza.Ini dengan tujuan untuk dapat berjumpa dengan lebih ramai orang dan dapat beramah mesra.
v. Sambung tali persaudaraan antara kita dengan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi.

Tamat aktiviti di Nur Bukit Unggul kami bergerak ke Masjid Ubudiyah.

Sedikit saya kongsikan pengisian oleh ustaz Anuar di Masjid S19 Shah Alam pada sessi pertemuan dengan pelajar junior pusat persediaan bahasa jepun.

Masjid seksyen 19

1) Pada persepsi biasa,tindakan adalah berdasarkan 3 perkara.
i. Rasional
ii. Buat
iii. Percaya

Contoh : Kita pergi ke pasar ramadhan aka param kita nampak juadah yang sedap (rasional).Lalu kita beli juadah itu (buat).Bila waktu berbuka kita menikmati juadah yang enak itu dan memang rasanya sedap (percaya).

Namun persepsi itu tidak sama dalam hal Ugama yang menekankan:
i. Percaya
ii. Buat
iii. Betul

Ini bagi menjelaskan dalam hal ugama,kita tidak boleh menggunakan konsep LOGIK akal.

2) Kemanisan iman yang bersangkut paut dengan faktor kepercayaan tidak dapat di kecap kalau kita sendiri tidak mengamalkan perintah Allah SWT.

Seperti biasa,saya tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan.Kali ini saya bertanya tentang turun naiknya iman dan apa yang boleh kita lakukan sekiranya iman kita menurun.

Jawapan ustaz :

Iman ketika menurun,perlu di monitor seperti mana kita memonitor suhu sesuatu tempat.Sekiranya suhu tadi kritikal,perlu di ambil tindakan untuk mengelakkan dari berlakunya sesuatu yang tidak di ingini.

Sedikit saya ingin kongsikan penerangaan yang ustaz keutarakan tentang wujudnya perbezaan antara mazhab.Ustaz memberikan sedikit contoh sebagai perbandingan :

Ada 2 orang Jepun yang ingin menuju ke desinasi yang sama.Seorang memilih untuk menunggang basikal dan seorang lagi memilih untuk memandu kereta.Mereka tetap akan sampai ke destinasi dan yang pentingnya mereka tetap masih orang Jepun.

Selagi ‘jalan’ yang kita pilih tidak menuju kesesatan,mengapa perlu ragu ragu tentang wujudnya pelbagai mazhab.

Ustaz juga ada memberikan tips sekiranya kita di datangani oleh pendakwah agama lain terutamanya pendakwah kristian.Untuk berhujah mungkin sesetengah dari kita tidak mahir untuk membalas ‘kilasan’ pihak lawan.Untuk mencari kelemahan pihak lawan jauh sekali.Di anjurkan supaya agar kita mengajak mereka ini berbincang tentang agama mereka.Berbincang ini dengan harapan,mereka tidak nampak kelemahan diri kita yang sebenar.

Wallahua’alam.

Mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan Nur Bukit Unggul di atas usaha mereka menerima kami sebagai tetamu mereka.Terutama sekali kepada En Fauzi dan rakan rakannya.Tunjuk ajar dan buah fikiran mereka amat amat kami hargai.Teruskan usaha anda semua!

Begitu juga kepada pengurusan dan pentadbiran Masjid Ubudiyah Seksyen 19 Shah Alam.Kemudahan dan ruang yang di sediakan kepada kami hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

sahabat...penerus perjuangan


Kepada adik adik IPIJ,teruskan perjuangan.Memetik kata Dr Hamdi :
'Kita ini adalah mata mata rantai perjuangan.Kita bukan pemula,namun jangan jadikan kita sebagai pengakhir mata rantai.'

Peliharalah adab sesungguhnya Islam mengajar kita hidup dengan beradab.

Kepada pihak ALUMNI,supaya dapat terus berdoa agar kita sama sama dapat terus ISTIQAMAH dalam perjuangan.Berdoa juga kita dapat melahirkan lebih ramai lagi generasi pewaris yang akan meneruskan perjuangan ini.

Akhir sekali,'Selamat menyambut 10 Ramadhan yang terakhir.'



(,”) Jom semak semak kekuatan Iman kita. (“,)

No comments: