Friday, July 31, 2009

...dan begitulah ketentuan & kehendakNya

Selasa yang lepas sepatutnya jadual kuliah Ust Nor Azman di MBBS untuk tafsir Al Munir (Juz Amma) surah As Syams.Tetapi mungkin di sebabkan ada keuzuran,tempat Ustaz digantikan dengan Ustaz gantian.Minggu sebelumnya,Ustaz Nor Azman ada juga memberi pesan,di sebabkan sekarang ini musim ceramah untuk Program Israk & Mikraj,mungkin jadual kuliah biasa akan bertindih dengan jadual ceramah.Mungkin agaknya itulah sebab Ustaz tidak dapat hadir untuk kuliah minggu ini.Wallahua`lam…

Pada masa yang sama,di sebabkan urusan lain,saya hadir agak lewat sedikit dari biasa. Mulanya saya berasa sedikit kecewa ketika hendak memakir motor di halaman MBBS.Saya lihat,kawasan khas parking untuk penceramah kosong.’Ustaz tak de ke hari ini,’ detik hati saya.Tapi semua itu terjawab ketika saya menapak masuk ke ruang legar masjid.Kuliah sedang berjalan tetapi disampaikan oleh Ustaz lain.

’Pengganti agaknya,’ fikir saya sendirian.Lega rasanya……

Ketika saya melabuhkan punggung,Ustaz sedang membicarakan tentang Hadith 40,Matan Arba’in karangan Al Imam An Nawawi.Terasa rugi juga kerana tidak dapat mengikuti kuliah dari awal.Sebenarnya ustaz sedang membacakan hadith pertama dalam Matan Arba’in.

Berikut adalah maksud hadithnya:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.


Pokok perbincangan hadith:
1. Sebab keluar hadith ini-Iaitu kisah hijrah Ummu Qais.
2. Sedikit huraian tentang niat dan hubung kait dengan amalan seharian.

Sedikit untuk di kongsi berkisar ulasan tentang hadith dan isi kuliah :

1. Dalam hidup ini,semua perkara mesti mempunyai niat,di antara kita sedar atau tidak.Tetapi menurut kata Ustaz,hanya 2 perkara yang kita lakukan tapi tanpa niat,iaitu mengigau dan melatah.Mungkin juga ada lagi…..

2. Terdapat istilah ‘Niat tidak menghalalkan cara.’
Penjelasan : Niat berhubung rapat dengan perbuatan.Namun sekiranya niat kita baik,contohnya untuk membantu orang tetapi dengan cara mencuri atau merampas harta dari orang lain maka niat baik tadi tidak dapat menghalalkan hukum mencuri tadi.

3. Sedikit Ustaz menceritakan tentang sahabat besar Nabi SAW,iaitu Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a.Bagaimana ketika zaman Nabi SAW dan zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq r.a, Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a terkenal dengan sikap dan perwatakannya yang agak keras.Tetapi ketika Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a menjadi Amirrul Mukminin,berlaku pula sebaliknya.Beliaulah yang mewarisi kelembutan sifat Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a.Tiada lagi jiwa dan perwatakan yang keras di dalam diri Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a.

Berkaitan kisah di atas,Ustaz telah memberi contoh perbandingan.Dalam satu sekolah,kita dapat lihat,akan ada Guru Displin dan Guru Kaunseling.Maka di ibaratkan pada zaman Rasulullah masih lagi hidup, Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a adalah guru kaunseling dan guru displinnya adalah Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a.Sebab itulah jiwa Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a. ketika itu agak keras.Tetapi ketika Saidina 'Umar ibn al-Katthab r.a. menjadi khalifah mungkinlah beliau sedar beliau perlu mewarisi kelembutan jiwa Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a. sebab itulah terdapat perubahan yang mendadak ketika beliau menjadi Amirul Mukminin.

Setelah hampir tamat kuliah,barulah terjawab soalan yang bermain di kepala saya.Benarlah Ustaz Nor Azman uzur di sebabkan hal yang tidak dapat dielakkan.Ustaz pada malam itu adalah Ustaz yang sedang balik bercuti dari Timur Tengah dan diamanahkan untuk menjadi pengganti.

Sedikit keluhan ustaz pada malam itu.Isu yang menjadi perhatian Ustaz adalah isu yang masih lagi hangat ketika ini iaitu wabak H1N1.

Apa yang Ustaz perhatikan adalah,media setiap hari membuat liputan tentang peningkatan kes H1N1 termasuk juga beberapa kes kematian.Tetapi segelintir pihak berwajib ada membuat kenyataan bahawa di Malaysia penyakit atau wabak ini masih lagi terkawal.Namun begitu realiti adalah sebaliknya,hari demi hari kes semakin bertambah.Di mana fakta yang diambil yang mengatakan wabak ini masih lagi terkawal?

antara langkah pencegahan.....

Apa yang ustaz ingatkan kepada semua jemaah pada malam itu,segala penyakit dan kesembuhan datangnya dari Allah.Penyakit yang datang mungkin sebagai bala atau mungkin juga sebagai peringatan.Manusia tidak boleh angkuh sekiranya sesuatu penyakit atau wabak tidak lagi menular.Kerana manusia langsung tidak punya kuasa bahkan ‘kuasa’ yang sedikit itu pun di pinjamkan olehNya.

...langkah kawalan (saringan & kuarantin)

Apa yang patut kita lakukan sekiranya terdapat ujian penyakit atau wabak di sekitar kita?
Apa yang Nabi SAW ajar adalah:

“Jika kamu mendengarnya (taun) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar lari daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini mengajar tentang tindakan ‘kuarantin’ agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Satu lagi pesanan ustaz pada malam itu adalah gesaan supaya semua dari kita dapat menunaikan solat hajat khas untuk menjauhkan dari terkena jangkitan wabak dan berdoa semoga wabak atau penyakit H1N1 yang melanda ini di hilangkan dari tempat kita.Sebab yang berkuasa untuk menurunkan dan menarik kembali penyakit hanyalah Allah SWT.Tetapi peringatan ini sering kali kita lupa.

Jom muhasabah!!

Niat dalam hati untuk menyahut seruan ustaz……



Jom Solat Hajat!!

No comments: