Saturday, May 7, 2011

:: Travelog Anak Kampung-3 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

"Jauh perjalanan,luas pemandangan."

SKAH Bt 15-Di sini segalanya bermula.

Ketika keputusan UPSR diumumkan keluar pada tahun 1991,saya merajuk di bawah pokok sawit di tepi padang sekolah.Itu hanya kerana gara-gara saya mendapat keputusan 3A1B.Keputusan matapelajaran Bahasa Inggeris tidak menyebelahi saya.Manakala dua rakan ketat saya berjaya mendapat 4A.Habuannya mereka dijamu makan sate!! Apapun,Tahniah buat mereka!
 
Namun sebagai gantinya (baca :pengubat hati) pada hari penyampaian hadiah tahun tersebut hampir 10 kali saya naik turun pentas untuk menerima hadiah termasuk mendapat nombor 1 dalam kelas darjah 6.Ia sesuatu sejarah yang tidak pernah terjangkau dalam pemikiran saya sebelumnya.

1992 (Sek Men Air Hitam-SMAH)

Ketika memulakan tahun baru sebagai seorang pelajar sekolah menengah,tentunya aura sekeliling begitu baru.Kawan-kawan baru,guru-guru baru,kakitangan pejabat baru malah yang paling gah adalah bangunan sekolah keseluruhannya yang baru (kami merupakan kumpulan murid pertama yang menggunakan bangunan sekolah tersebut).Minggu orientasi dipenuhi dengan aktiviti mengusung bangku dan kerusi dari bangunan sekolah rendah yang hanya dipisahkan oleh pagar untuk dipindah masuk ke dalam kelas-kelas baru.Pelajar yang mendaftar hanya terdiri dari kami pelajar tingkatan 1,4 kelas jumlahnya.Manakala sahabat saya yang mendapat 4A pada keputusan UPSR,seorang telah selamat berhijrah ke Sek Sultan Hj Ahmad Shah,Pekan dan seorang lagi ke High Scholl,Muar.

Sek Tun Perak.

Di bawah program Rancangan Khas Agama (RKA),saya mendapat tawaran untuk memasuki asrama Sek Tun Perak,Muar beberapa minggu selepas mendaftar diri di SMAH.Teruja dengan perkataan ‘asrama’ saya mengikut sahaja untuk di hantar ke sana.

Langit tak selalunya cerah......

Minggu pertama di alam asrama bukan 1 perkara yang manis.Sepanjang minggu tekak berasa pahit,makan tak lalu,terutamanya sekali waktu sarapan pagi-aura terpisah dari keluarga.Petang Jumaat,abah datang menjemput untuk cuti hujung minggu.Sebaliknya,saya telah packing segala barangan saya sama seperti pada hari mendaftar seminggu sebelum itu.Saya bernekad,saya tidak mahu tinggal di asrama lagi.Tapi hajat tidak dikabulkan.Berlinanganlah air mata di atas motor sepanjang perjalanan balik ke rumah.Hari Ahad saya terpaksa memunculkan diri di pagar asrama.

Rezeki datang lagi....

Ketika saya berlatih untuk persediaan hari sukan di padang sekolah,saya dipanggil ke kantin sekolah kerana abah datang pada suatu petang untuk berjumpa saya.Ketika saya berjumpa abah,warden asrama ada bersama-sama.Di tangan abah ada surat tawaran untuk memasuki Sekolah Maahad Muar.Setelah mendapat perlepasan dari warden asrama,saya segera balik ke dorm dan mengemas segala barangan saya.Gembiranya bukan kepalang!

Sekolah Maahad Muar.

Maahad Muar adalah 1 sekolah yang elit dalam fikiran saya ketika itu.Sekolah di Bandar Muar tidak banyak yang berasrama.Yang berasrama penuh hanyalah SMS Muar dan MRSM Bakri.Yang lainnya (Sek Men Sultan Abu Bakar-SAB (asrama pusat puteri),High School (asrama pusat putera) dan Maahad Muar) hanyalah sekolah asrama harian biasa.Tetapi yang berminat dengan aliran agama,Maahad tentu menjadi pilihan sekiranya mendapat tawaran.

Jauh dari jangkaan,Maahad Muar memang sebenarnya sebuah sekolah yang begitu tersusun sistemnya.Pelajar tingkatan 1 di asingkan kelas antara pelajar lelaki dan perempuan.Matapelajaran Bahasa Arab adalah matapelajaran wajib selain dari matapelajaran KBSM yang lain.Aktiviti asrama pula di susun rapi seperti usrah sebelum masuk waktu maghrib.Pelajar junior dilatih untuk memberi salam kepada pelajar senior.Solat fardhu wajib ditunaikan berjemaah di surau.Ia sesuatu yang baru dalam diari hidup seorang anak kampung seperti saya.

Dorm asrama pelajar tingkatan 1 di asingkan dari pelajar-pelajar yang lain.Ketua dorm kami (dorm al Farabi) –abang Daim,seorang pelajar tingkatan 6 atas.Setiap malam sebelum tidur,kami di wajibkan memasang kelambu.Jika tersedar di tengah awal pagi,akan kedengaran enjin bot nelayan menyusuri sungai tidak jauh dari kawasan sekolah.Kenangan indah!

Kenangan yang pasti tidak akan luput dalam ingatan......

Hujung minggu pelajar asrama dibenarkan untuk pulang ke rumah 2 minggu sekali.Saya mengambil kesempatan yang ada untuk balik kampung.Pertama kali menaiki bas sendiri bukan satu pengalaman yang menyeronokkan.Dengan beg baju yang di sandang,berbaju hijau dan berseluar hitam serta lengkap bersongkok saya bersama rakan lain menuju ke bas stop di hadapan sekolah.Dari Jalan Joned,saya bersesak dengan pelajar lain menaiki bas mini ke Stesen Bas.Dari stesen bas saya perlu menaiki bas bernombor 23-syarikat bas Lien Hoe (Muar-Yong Peng) untuk pulang ke kampung.Tunggu punya tunggu,hanya bas bernombor 18 (Muar-Batu Pahat) yang kunjung pergi.

Kerana sudah terlalu lama menunggu dan hari sudah semakin petang,saya menggagahkan diri untuk bertanya.Pemandangan dan situasi di Stesen Bas itu sungguh asing bagi saya akhirnya membuatkan saya tidak tahu kepada siapakah harus saya bertanya.Akhirnya saya hampiri seorang pakcik pemandu teksi.Selepas selesai bertanya,barulah saya tahu yang bas 23 stesennya bukan di situ tetapi berada berhampiran dengan pasaraya Up Well.Lalu,bergegas saya berjalan kaki ke sana.Alhamdulillah,bas 23 masih sedia menunggu untuk menghantar penumpang termasuk jugalah saya.

Sebulan.

Genap lebih kurang sebulan mendaftar diri di Maahad Muar,saya mendapat tawaran sekolah berasrama lagi.Kali ini dari Sekolah Menengah Sains Selangor-SMSS (lokasinya di Bandar Tun Razak,Cheras-dahulunya lebih dikenali dengan Kampung Congo).Abah menerangkan yang sekolah berkenaan adalah sekolah bantuan kerajaan penuh.Dengan erti kata lain,segala perbelanjaan sekolah,yuran,duit makan,buku teks,perkakas dan pakaian semuanya di tanggung oleh pihak kerajaan.Teruja dengan lokasi sekolah di Kuala Lumpur,saya menurut sahaja kehendak abah.

Jalan Tenteram.....

Saya tak ke seorangan ke SMSS.Zainuddin (anak Ketua Kampung kami-Almarhum Haji Haron) turut sekali mendapat tawaran yang sama.Dia adalah salah seorang rakan ketat saya yang mendapat 4A ketika UPSR.Abah,Arwah Haji Haron,Udin dan saya pada pagi yang bersejarah itu dengan menaiki kereta atuk Salleh menuju ke destinasi yang hendak di tuju.

Tiba di sekolah,kami di sambut oleh Tuan Hj Khamis (PK HEM) lalu terus di jemput untuk berkumpul di dalam bilik mesyuarat guru bagi urusan pendaftaran dan taklimat.Tika itu tidak ramai yang turut sama mendaftar bersama kami.Ada lebih kurang 10 orang semuanya (kalau tidak silap).Di fahamkan kami adalah dari kumpalan pengambilan kedua untuk pelajar tingkatan 1 tahun tersebut.Selepas selesai urusan pendaftaran,kami di bawa menuju ke bangunan asrama Blok D,lokasinya di atas bukit.Bilik asrama (dorm) saya berada di tingkat 3 (dorm 3-2).Berpeluh juga mengusung segala barangan dan perkakas saya untuk naik ke atas bilik asrama.Rakan sebilik saya ketika itu adalah Zainuddin Haron,Abdul Aziz Kamarudin,Aminuddin (?)

Selesai mengemas barangan,giliran untuk melihat bangunan kelas belajar pula.Setelah di bawa ke bangunan kelas,kami terus memilih tempat duduk.Sebelum masuk ke dalam kelas,terpampang di pintu papan tanda 1 Usaha.Ustazah Nur Halijah pula akan menjadi guru kelas kami.Sejak hari itu nama saya tercatat sebagai salah seorang pelajar :

Sekolah Menengah Sains Selangor,
Jalan Tenteram,Bandar Tun Razak,
56000,Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur.

Saat berpisah.....

Setelah segalanya selesai,para ibu bapa mula bertemu anak mereka masing-masing untuk sessi pesanan terakhir sebelum meninggalkan anak mereka di alam yang baru,termasuk juga abah.Seperti mendapat kekuatan entah dari mana,tidak setitik pun air mata jatuh kala itu.Walaupun akan ditinggalkan jauh,saya tetap tabah untuk kali itu.

Assembly asrama....

Ketika malam pertama saya berada di SMSS,mini orientasi telah di buat untuk kumpulan kami (kumpulan pengambilan kedua).Ketua-ketua dorm blok D (dorm 1-4 (?),1-5 (Faizal Amat),2-2 (Ramlan Thani) ,2-3 (Zuraimi),2-4 (Zainul Arifin Keliwon),2-5 (Zahari),3-2 (Khairul Nizam) dan 3-3 (Arif) telah mengumpulkan kami semua (termasuk kumpulan pertama) di bilik TV asrama.Kami telah diterangkan dengan lebih lanjut tentang peraturan yang perlu kami patuhi ketika berada di dalam sekolah,terutamanya ketika berada di dalam kawasan asrama.Ketika malam itu juga saya dijadikan contoh kerana pada siangnya saya memberi salam kepada senior-senior yang ada walaupun baru hari pertama menjejakkan kaki ke SMSS-ini adalah hasil didikan di Maahad Muar.

Blok D (Minggu Pertama).....

Kehidupan asrama SMSS tidak jauh berbeza dengan asrama Maahad Muar,cumanya asrama SMSS adalah asrama penuh.Seperti di Maahad,kami pelajar tingkatan 1 wajib memberi salam kepada pelajar senior,setelah diberi tunjuk ajar.Sampaikan terlalu taat menjaga peraturan tersebut,senior yang tidak beragama Islam pun kami terberi salam.Mujur ada senior lain yang memberi teguran.

Rindu.....

Rindu! Itu perasaan yang biasa akan melanda siapapun bila berjauhan dengan seseorang.Ini kan pula kami yang duduk berjauhan dari ibu bapa.Namun kawan-kawan yang lain ada yang datang dari Kelantan,Trengganu malah Sabah dan Serawak,tentunya rindu mereka lebih-lebih lagi terhadap keluarga mereka.Sekurang-kurangnya saya dapat menumpang kasih pada pakcik dan makcik saya yang duduk di sekitar KL (pakcik Haron di Setapak,Pakcik Bari di Keramat,Cik Mis di Shah Alam).Setiap kali kami di benarkan untuk balik bermalam,kerapkali ke sanalah destinasi saya sepanjang 5 tahun saya berada di SMSS.Dapatlah juga melepaskan rindu walaupun bukan pada emak dan abah.Dan dapatlah juga saya menukar selera dari nasi kawah dan ikan jaket kepada hidangan-hidangan yang sedikit kelaianan.

Rindu yang berulang.

Kini setelah 15 tahun meninggalkan bangku sekolah,banyak kenangan/memori/pahit manis yang kerapkali menjelma semula dalam minda saya.Setiap kali saya teringatkan kenangan itu,rindu terhadap kenangan silam pasti akan melanda diri.Apakan daya,yang telah lepas tidak boleh digapai lagi,yang tinggal hanyalah kenangan.

Terima kasih Allah terima kasih semua pihak,kerana semua itu saya berada di sini sekarang!

Kesimpulan :

1. Sekolah adalah salah satu institusi yang mendidik kita sekurang-kurangnya selama 11 tahun malah lebih.Jika institusi ini tidak di menafaatkan dan ditadbir dengan betul,ikhlas,tulus dan jujur,maka alangkah ruginya siapa yang berada di dalamnya.
2. Ibubapa mengharapkan setiap anak mereka menjadi yang terbaik maka mereka mengusahakan yang terbaik.Kita memang tidak mampu membalas jasa/pengorbanan mereka selama ini.Doakanlah akan kebaikan kepada mereka sentiasa walaupun mereka telah berada di alam kubur.
3. Kita duduk di atas muka bumi Allah yang sama.Hormat menghormati adalah perkara yang amat dituntut,walau siapa pun kita,walaupun dengan siapa kita berada.
4. Bila kita duduk dalam situasi agama/mengingati Allah,walau tidak banyak,hati dan perangai kita sedikit sebanyak akan dipengaruhi dengan sifat yang baik.Maka usahakanlah agar kita dan ahli keluarga kita menyokong dan berada di dalam produk agama.
5. Sesuatu yang lepas adalah telah berlalu dan kita perlu mengenang dan mengambil iktibar darinya.Perkara yang akan datang kita berusaha agar ia boleh diolah supaya menjadi sebuah kebajikan kepada semua.
6. Berpisah dengan keluarga adalah sesuatu yang menyiksakan tetapi sebagai pulangan kita akan lebih memahami akan erti mengasihi orangtua kita.
7. Siapapun kita,kaya manapun kita,berpangkat tinggi sekalipun,ikatan keluarga tidak boleh dileraikan jauh sekali untuk dilupakan.Yang jauh di dekatkan,yang dekat di rapatkan.

Wak,
TDI.

2 comments:

Siti Zuraidah said...

Assalam....

Tahniah di atas kejayaan anda. Kita pernah satu sekolah di SMAH 15 dulu tapi x pasti samada sempat kenal @pun tidak sebab masa persekolahan anda di SMAH 15 tidak lama. Sama2 pernah mengusung kerusi meja dari SKAH 15.. Tahniah sekali di atas kejayaan anda.

Form 1 Cekal
-1992-

Siti Zuraidah said...

Assalam..

Sy dh tengok profile td..Rizal yang duk kat Pt Zain tu kan...adik kak Lin kalau x salah...btul x...lama x dgr berita...
Di mana sekarang...Kak Lin apa khabar...Maaf sy main terjah saje...kalau saya salah org abaikan saje la kata2 saya ni.

Akhir kalam, Salam Zulkaedah saya ucapkan dan terima kasih kerana membenarkan saya utk menulis seuatu d sini.

Terima kasih..

:)