Tuesday, May 3, 2011

:: Travelog Anak Kampung-2 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Berkisah-kisah dahulu,
Ambil iktibar kemudian.

Dulu masa zaman kanak-kanak,aktiviti memancing adalah kegiatan dalam ertikata sebagai mengisi masa kosong/lapang.Itulah antara aktiviti wajib dan menyeronokkan.Tanyalah hobi apa paling popular kala itu,pasti 'memancing' adalah jawapan yang mempunyai rating yang tinggi.

Tapi,sebab apa?

Sebelum itu......

Serok.

Aktiviti menyerok (menangguk ikan dengan menggunakan sauk/tapis makanan/tudung saji) juga salah satu jenis aktiviti menangkap ikan.Biasanya lokasi aktiviti adalah di parit-parit kebun yang aliran airnya agak kecil.Antara ikan yang menjadi sasaran adalah ikan pelaga yang gemar menyorok dicelah-celah daun pokok getah yang gugur di dalam tali air.

Waktu malam juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk yang gemar menyerok.Dengan berbekalkan lampu picit/obor,cahaya lampu akan diarahkan ke gigi air di dalam parit.Mata ikan yang tersuluh dengan cahaya akan memantulkan warna merah,ia amat mudah dikesan.Dengan berhati-hati,salah seorang akan menangguk ikan berkenaan.Biasanya ikan haruanlah hasilnya.Untung-untung mendapat belut.Tapi hati-hati,jangan sampai terserok ular.

Lukah.

Mengikut abah ke kebun getah pada setiap hujung minggu adalah suatu perkara yang amat membosankan ketika itu.Kebun getah yang memang terkenal dengan banyaknya nyamuk ditambah dengan bau getah lantun yang amat menyengat hidung itu membuatkan saya tidak gemar ke sana.Namun ada 1 kegiatan yang saya gemar lakukan apabila tugas mengutip getah lantun selesai dibuat,iaitu mengangkat lukah.

Lokah yang ditahan beberapa hari sebelum,sekiranya hujung minggu sayalah yang menjadi tukang angkatnya.Kebiasaannya ikan seperti kepo,sepat siam,tembakang adalah antara yang berjaya didaratkan.Manakala keli atau haruan adalah bonus jika mengena.Umpannya juga mudah,gesekkan biji sawit yang telah masak dan telah luruh ke tanah dimana-mana permukaan yang kasar dan dimasukkan ke dalam lukah.Minyak yang mengalir keluar dari biji sawit tadi bisa menarik perhatian ikan untuk menuju ke puncanya bila lukah dibenamkan di dalam air.

Ada tips yang tidak boleh diambil sambil lewa untuk menahan lukah.Mulut lukah harus mengikut arah arus air bukan melawan arus.Kerana ikan yang telah tertarik dengan minyak sawit tadi,bila berjumpa dengan puncanya hanya berada diluar lukah kerana tidak menjumpai pintunya.Saya telah melakukan kesilapan ini.Patutlah berminggu ikan tidak berjaya didaratkan,rupanya mulut lukah diarahkan melawan arus (dengan tanggapan ikan berenang dari atas-walhal umpannya mengalir ke bawah).Pancang yang menahan lukah juga harus di benamkan sekuat hati bagi mengelakkan lukah hanyut dibawa arus selepas hujan dan untuk mengelakkan orang jalanan mengesan kehadiran lukah kita.

Oyak.

Oyak atau menghalau ikan masuk ke dalam jaring juga tidak kurang mencabarnya.Jaring besar yang dianyam menjadi tangguk bersaiz besar diletakkan ditengah-tengah parit.Seorang penjaga akan menjaga jaring berkenaan dari rebah.Beberapa orang yang lain pula akan masuk ke dalam parit tidak jauh dari tempat jaring tadi di tahan.Mereka ini akan berjalan di dalam air menuju ke arah jaring tadi sambil menghayun tangan di dalam air untuk menghalau ikan.Yang agak berani,segala celah tunggul serta lubang yang boleh dianggap lubuk ikan juga diterjah sama.Setelah kumpulan yang menghalau ikan tadi sampai ke jaring yang menunggu,serta merta mereka semua mengangkat mulut jaring tadi dari dasar parit dan didaratkan ditepi jalan.Segala isi jaring tadi akan diluahkan ke atas tanah dan ikan yang berjaya dihalau masuk ke dalam jaring akan dimasukkan ke dalam bekas.Begitulah seterusnya sehinggalah penuh bekas ikan yang kemudian hasilnya dibahagi samarata.Dapatlah dijadikan lauk makan malam.Ikan parit yang digoreng kering oleh arwah emak memang tiada tandingan rasanya.

Tuba.

Akar tuba yang dititik/dilumatkan dan dicampur dengan santan kelapa,bila dicampakkan ke dalam air dapat melumpuhkan sistem insang ikan yang berada di sekitar kawasan itu.Ikan yang terkena campuran akar tuba tadi akan timbul di permukaan air dan proses mengutip ikan boleh dilakukan ketika itu.Itu yang saya pelajari dari salah seorang sahabat saya suatu ketika dahulu ketika sekolah rendah.

Oleh kerana terlalu teruja dengan ilmu baru tersebut,saya memujuknya agar membawa sedikit sampel sebagai bahan uji kaji.Pada hari yang telah dijanjikan,setelah mendapat bahan ujikaji,saya bersama-sama dengan sahabat saya tadi membawa akar tuba tersebut ke sebuah londang (takungan air yang terjadi pada kuari tanah merah yang tinggal).Di sana akar tuba yang telah dititik dan diperam saya campakkan ke dalam air londang yang dikenalpasti mempunyai ikan.Kerana yakin dengan langkah-langkah ujikaji telah lengkap dijalankan,kami meninggalkan kawasan londang berkenaan.

Beberapa hari selepas itu,kami melawat tapak ujikaji semula.Hasilnya amat memberangsangkan.Hati segera terdetik,'Banyaknya ikan yang timbul'.Tapi malang sekali,walau hasil ujikaji berjaya tapi semua ikan tadi sudah berbau busuk dan tidak boleh di makan lagi.Terkejut dengan hasil ujikaji,kami lantas meninggalkan kawasan londang dengan seribu pertanyaan yang tidak terjawab sehingga kini.

Berbalik kepada isu pancing...

Secara ikhlas saya tidak pandai memancing.Sejak saya kecil hinggalah ke tahap dewasa ini,boleh dikira berapa kali umpan pancing saya yang mengena.Kalau dahulu kami memancing ikan berkumpulan,2 atau 3 orang.Masing-masing memilih lubuk masing-masing,namun sesama kami tidak duduk berjauhan.Namun dalam banyak situasi,hasil tangkapan saya hanyalah sekadar lumut parit mahupun tunggul reput.Pernah kail yang saya tinggalkan dimana batang jorannya dipacak ke dalam tanah disembat ikan keli.Habis tali joran saya terbelit setelah ikan keli itu menarik mata kail saya masuk ke dalam lubuknya.Dengan bantuan rakan,akhirnya dapat juga saya mendaratkan ikan berkenaan.Gembiranya bukan kepalang.

Ketika di Jepun saya pernah memancing dengan beberapa sahabat,sahabat jepun dan sahabat setanah air.Hasilnya tetap sama,tangan kosong.Itupun kedua-dua jenis lokasi memancing telah saya terokai,air manis dan air tawar.

Ketika melawat Perth,Australia saya juga berkesempatan untuk memancing di sebuah jeti bersama 2 orang lagi sahabat.Umpan yang sama,cara memancing yang sama,jeti yang sama,tapi kail yang mengena hanyalah kail 2 orang sahabat saya.Mat Salleh yang berada disekeliling tidak perlu diceritakan.Mereka semua terlebih otai.Saya hanya mampu membantu menyiang ikan hasil tangkapan di tepi jeti.

Entah mengapa,bukan rezeki saya pada memancing agaknya.

Kesimpulan.

1. Mengisi masa lapang dengan aktiviti tertentu memang menyeronokkan,terutama sekali bila mendapat hasil.Lebih menyeronokkan bila hasilnya berjaya menambat hati orang yang kita sayangi.
2. Rezeki adalah ketentuan Illahi,kita hanya sekadar berusaha.Tetapi jangan menyalah gunakan sumber alam,menuba ikan contohnya.
3. Ilmu dituntut bukan di dalam dewan kuliah,kelas,majlis ilmu sahaja,ilmu juga boleh dituntut dari seorang yang pakar,walaupun lokasinya di tepi londang.
4. Untuk menjadi pandai perlu bertanya.Untuk menjadi ‘pandai-pandai’ bolehlah mengikut lojik akal sendiri,tapi kerap kali pasti ia akan melawan hukum alam.
5. Kita duduk di muka bumi ini,hasil masyhulnya bukan milik kita semuanya tetapi kita meminjam dari anak/generasi kita seterusnya.Ia wajib dijaga.
6. Orang tamak selalu rugi,bagai kisah anjing dengan bayang-bayangnya.

Wak,
TDI.

2 comments:

Anonymous said...

salam wak yg mulia,
alhamdulillah, syukran atas perkongsian info memancing ini (walau pun sy bukanlah gemar memancing, belum cukup tahap kesabaran lg he3). sy suka dgn pantun wak yg inovatif. bg sy, ianya suatu usaha murni wak bg memartabatkan semula budaya Melayu mengikut keadaan semasa di kaca mata wak sendiri. moga Allah swt permudahkan wak di blog ini, Insya Allah amin 99x :)
p/s: sy dpt tahu blog wak ini drpd KRTS. benarlah, Allah swt akan menghubungkan & mempertemukan di antara org yg baik dgn org baik yg lain. bertuahnya sy dpt brhbg dgn kalian :)
- Ain LAm Mim -

WAK said...

Ain Lam Mim :
Salam.

alhamdulillah,segala puji-pujian hanya pada Allah SWT,Tuhan Pencipta sekelian alam.

Terima kasih di atas kunjungan dan doa.Moga Allah memBerkati dan meRahmati kita semua :)

p/s : terima kasih dan syukur kerana adanya teknologi internet ni.ilmu dapat di timba dari yang pakar dan yang lebih arif (sperti prof Kamil dan ramai lagi hamba Allah yang ada di luar sana) dalam pada masa yang sama silaturahim dapat di jalin.

Munggo Teko Meneh Yo!