Thursday, April 7, 2011

:: Kuliah baru ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Entah mengapa hari Selasa pasti menjadi hari yang amat sukar untuk membuat pilihan.MBBS menjanjikan kehadiran Ust Hj Norazman (Tafsir Al Munir Juz Amma- blog ustaz )manakala Surau Al Amin menjanjikan kehadiran Ust Hj Hambali (Muntakhab Ahadith- blog ustaz).Di mana pula saya perlu menghadirkan diri?

Baru-baru ini saya mendapat jemputan dan makluman dari Ust Hj Abdul Halim (blog ustaz) tentang kuliah mingguannya di Masjid Paroi Jaya,juga setiap hari Selasa.Beliau akan berkuliah menggunakan buku yang bertajuk Asas-asas Islam (Dr Ali Laban).

Jemputan yang sukar untuk ditolak.

Tentu sahaja jemputan ini tidak dapat tidak,perlu juga dipenuhi.Tapi bagaimana pula untuk minggu-minggu yang mendatang? Bagaimanalah saya boleh menyusun aktiviti hari selasa saya.Kalau ikutkan hati dan perasaan serta runtunan kehendak,pasti saya tidak mahu ketinggalan untuk menghadiri ketiga-tiga kuliah tersebut.Tapi mana mungkin.Ya Allah berilah aku kekuatan.

Ust Hj Abdul Halim Abdullah,disalah sebuah majlis.
(ehsan ismaweb.net)

Alhamdulillah,Selasa yang lepas (5 Mac 2011) saya diberi kesempatan dan kekuatan untuk sampai ke kuliah Ustaz Hj Abdul Halim di Masjid Paroi Jaya.Malam itu Ustaz membacakan salah satu hadith yang tertulis dalam buku terbitan ISMA berkenaan.

Buku yang akan dihadam isinya.

Berikut serba sedikit catatan yang mampu dikongsikan.Semoga mendapat manafaat.

Daripada Saiyidina Umar r.a beliau berkata,"Ketika kami sedang di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, dan tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun dikalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha baginda seraya berkata,"Wahai Muhammad!Terangkan kepadaku tentang Islam".Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Islam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya".Lelaki tersebut berkata,"Benarlah engkau." Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.Dia bertanya,"Terangkan kepadaku tentang iman." Baginda bersabda,"(Iman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk." Lelaki itu berkata,"Benarlah engkau." Dia berkata lagi,"Terangkan kepadaku tentang ehsan." Baginda bersabda,"Ehsan itu bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Lelaki itu bertanya lagi,"Terangkan kepadaku tentang Qiamat." Baginda bersabda,"Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya." Lelaki itu berkata,"Maka terangkanlah aku tentang tanda-tandanya." Baginda bersabda," (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing, berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)."

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian baginda bertanya,"Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?" Aku berkata,"Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Baginda bersabda,"Sesungguhnya dia adalah malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu." (Hadith riwayat MUSLIM)

Ustaz menerangkan Islam itu adalah menyerah diri pada ketentuan Allah SWT.Dalam perkataan lain,Istislam adalah menyerah diri.

Iman pula bukan sahaja meyakini sesuatu itu di dalam hati tetapi diiringi dengan amalan.Dengan kata lain,iman itu perlu tertanam kukuh di dalam hati dan membenarkannya dengan amalan.Sebaliknya sesiapa yang mengingkari (tidak percaya atau tidak beramal) mereka adalah tergolong dalam golongan yang sesat dan gagal.

Di dalam hadith di atas juga,Islam mengajar kita agar menjadi seorang Islam yang beriman sehingga ke peringkat ehsan.

Sebagai contoh,

Tumpuan dalam kerja.

Jika kita ada sesuatu tugas kerja yang perlu diselasaikan,tentu sahaja berbeza tahap penumpuan kita terhadap apa yang kita lakukan bila ia dilakukan/diselesaikan di rumah berbanding sekiranya kerja yang sama kita lakukan/selesaikan di pejabat.Di rumah tentu sukar untuk kita memberi penumpuan yang terbaik terhadap kerja di sebabkan faktor persekitaran yang selalu sahaja menganggu tahap penumpuan kita.Contohnya seperti gangguan suara ahli keluarga mahupun gangguan suara yang keluar dari kaca telivisyen.Berbanding di pejabat,ia merupakan tempat di mana suasana dan persekitaran untuk bekerja.Tentu sahaja kita dapat menyelesaikan tugasan kita dengan daya tumpuan yang tinggi dan kualiti kerja yang baik.

Khusyuk dalam solat.

Begitu juga dengan solat.Tentu berbeza suasana solat yang dilakukan di rumah dengan dilakukan di masjid/surau.Ini membuktikan,salah satu faktor untuk mendapatkan mutu solat yang baik serta dapat dilakukan dengan khusyuk adalah dengan melakukannya di masjid atau surau dimana seruan azan dilaungkan dan dilakukan di awal waktu.Ini tidak lain kerana,suasana yang ada di dalam masjid/surau itu mempengaruhi daya tumpuan/kusyuk kita di dalam solat.

Harta.

Kita digalakkan untuk menderma sebahagian dari harta kita.Tetapi apabila harta kita itu sudah mencukupi haul dan nisab,maka ia wajib di keluarkan zakat.Kerana harta yang perlu dizakat itu bukan lagi milik kita tetapi harta orang yang berada di dalam poket/akaun kita.

Manusia.

Akhir sekali ustaz mengingatkan para hadirin bahawasanya manusia itu adalah gabungan dari roh dan jasad.Setiap dari roh dan jasad itu pula memerlukan keperluan masing-masing. Rumah,kereta,makanan,pakaian adalah contoh keperluan jasad.Manakala amalan solat,puasa,haji,sedekah,membaca Al Quran pula adalah untuk keperluan roh kita.Dengan erti kata lain,sekiranya keperluan itu tidak diseimbangkan maka kehidupan kita juga tidak seimbang dan yang paling ditakuti,kita menjadi golongan yang sesat dan rugi.

Wak,
TDI.

No comments: