Friday, August 27, 2010

:: Selamat Hari Lahir Abdul Hadi ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Abdul Hadi anak ke dua saya yang mempunyai pelbagai ‘keanehan’ dalam dirinya.Bocah cilik ini berkulit putih langsat,mungkin mewarisi dari keturunan emak mertua saya yang mempunyai darah kacukan cina.Ketika umur masih bayi,badannya agak berisi sehinggakan kulit lengan dan pehanya berlipat-lipat.Salah satu kegemarannya adalah menyorokkan diri di ruang ruang kecil seperti kabinet TV dan di celah rak radio.Sewaktu usia kecil juga,Abdul Hadi kerap ‘mengamuk’ di tengah malam.Dalam keadaan tidur yang lena,tiba tiba di tengah malam dia boleh melalak tanpa sebab yang dapat di pastikan.Apabila di pujuk oleh umminya,meronta rontalah dia.Bayangkanlah seorang kanak kanak yang berbadan semangat meronta ronta dalam dukungan umminya.Biasanya,apa yang saya lakukan adalah membawanya masuk ke bilik office kami dan saya akan memeluknya erat erat agar dia tidak meronta lagi.Walaupun tidak boleh meronta ketika itu,tangisannya masih berdesibel tinggi namun yang peliknya matanya tetap pejam seolah olah dalam keadaan tidur.Memujuk agar dia tidak menangis dalam keadaan dia tidak sedarkan diri/tidur adalah satu perkara yang agak mustahil.Apa yang saya lakukan,saya cubit sedikit pehanya yang gebu itu maka secara refleknya dia akan menangis semakin kuat.Dan ketika itulah matanya akan terbuka.Yang nyata,tidak lama selepas itu tangisannya hanyalah tinggal sedu dan aksi rontaannya juga sudah tiada.Selepas itu mungkin kerana penat menangis,dia akan tidur kembali.
Abdul Hadi (sekitar usia setahun).
Oleh kerana badan yang agak berisi,
lipatan kulit boleh kelihatan di lengannya.

Ada juga kawan kawan saya mengatakan yang anak kedua ini suka 'lone ranger'.Tidak pastilah saya untuk mengiakan atau tidak pendapat ini.Tapi Abdul Hadi amat suka bermain bersendirian.Tapi yang saya cukup kagum,hasil 'gubahan' permainnya amat kreatif dan inovatif.Kusyen sofa boleh disusun menjadi lori trailer yang panjang di samping beberapa aksesori tambahan yang lain yang pada tanggapan dirinya itulah streng,gear dan hand break.

Tapi dalam banyak banyak tabiat Abdul Hadi,hisap ibu jari bersama rabbit (bantal busuk) kesayangannyalah yang tidak dapat di tinggalkan sehingga ke hari ini.
Disney on Ice @ Bukit Jalil.
Bersama makcik dan pakcik serta sepupu.

Abdul Hadi semakin hari semakin membesar, potongan badannya kecil mulus.Sangat sensitif,mempunyai tahap ingatan yang baik,petah berkata kata,mempunyai bacaan ayat hafazan yang baik namun dalam keadaan tertentu cepat merajuk dengan muncungnya yang agak panjang. Saya mengharapkan sikap dan nilai yang baik yang ada pada dirinya akan berkekalan sehingga Abdul Hadi dewasa.

"Abdul Hadi nak belajar di mana, bila besar? " Tanya saya suatu ketika. Cuba untuk memancing jawapan yang terbaik seoarang anak kecil. "Adik nak naik kapalterbang belajar kat Jepun macam bapak." jawab Abdul Hadi dan jawapan ini sangat konsisten semenjak dahulu.

"Tak apalah,kat mana pun kita belajar,jika di iringi dengan niat dan tindakan yang disandarkan pada agama,pasti akan beroleh kejayaan," bisik hati saya.
sayalah JUARA!!!
...ketika meraikan majlis perkhawinan sepupunya
di Alor Star,Kedah.

"Welcome Abdul Hadi, welcome to our club," perjuangan zaman kontemporari ini bukan menghunus pedang tetapi dengan segudang ilmu untuk berdada dengan musuh, fikrah didebat dengan fikrah, hujjah diterjah dengan hujjah.

Hari ini tanggal 27 Ogos 2010 genaplah umur Abdul Hadi 4 tahun."Selamat Hari Lahir Abdul Hadi," semoga kamu akan menjejaki langkah dalam menuntut ilmu sama sepertimana Abdul Hadi yang seorang itu.

...sibuk bersama adik beradik yang lain
membungkus hadiah 'mini' untuk diagihkan
kepada jiran-jiran bersempena hari lahirnya.

Sempena mengingat Hari Kelahiran Abdul Hadi,bapak nukilkan sebuah coretan yang di ambil dari sebuah buku kecil yang berimpak besar dalam institusi keluarga,CINTA DI RUMAH HASSAN AL BANNA.

Siapa yang tidak kenal akan As syahid Hassan al Banna,seorang tokoh yang telah merubah cara pemikiran ummat Islam dengan juga merupakan pelopor kepada al Ikhwan al-Muslimun (IKHWAN).

Ikutilah dan telitilah dengan mendalam antara isi buku yang di pilih untuk di hayati.

CINTA DI RUMAH
HASAN AL BANNA.

.....Tidak ada yang menafikan peranan besar yang ada di tangan seorang ibu dalam mendidik anak anak.Lalu,bagaimanakah dengan peranan seorang ayah? Sebahagian masyarakat-mungkin dapat dikatakan sebahagian besar-cenderung berpandangan bahawa asuhan dan didikan anak anak adalah tugas ibu.Sedangkan ayah,hanya bekerja dan memberikan keperluan material semata.Si Ayah yang sibuk bekerja manakala ibu pula sibuk menguruskan anakdi rumah.

Bagaimana pandangan Islam melihat peranan ayah dalam keluarga? Satu pertanyaan yang amat penting untuk dikaji lebih mendalam.Kerana ternyata sejarah hidup tokoh tokoh besar dunia umumnya dilatarbelakangi sentuhan pendidikan yang diberikan oleh ayahnya.Dalam Al Quran sendiri,tiada satu pun dialog anak dengan orangtuanya mewakili ibu.Yang ada hanyalah dialog anak dengan ayahnya.Hatta Nabi Ismail a.s yang sejak kecil di asuh dan di didik oleh ibunya juga Al Quran mengetengahkan dialog hanya antara Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. (as Shaffat :102)

Wang belanja anak.

Saiful Islam menjawab,Ayah (Hassan al Banna) sangat pemurah dengan anak anaknya.Saya masih ingat setiap orang daripada kami mendapat wang setiap hari pada tahun 1942 dan 1943 sebanyak 3 qirsy.Ini jumlah yang besar ketika itu.Kerana teman teman saya pada ketika itu umumnya mendapat wang hanya ¼ qirsy ataupun ½ qirsy sahaja.

Apabila di tanya kepada Saiful Islam,apakah wang belanja yang banyak itu akan merosakkan anak anak? Saiful Islam menerangkan,Pendidikan dan tarbiah di dalam keluarga dihasilkan daripada pelbagai cara.Contohnya dari masakan yang menggunakan sejumlah adunan dengan bahan bahan yang baik.Itu akan memberikan hasil yang bersih.Yang penting bukan pada jumlah wang belanja itu besar mahupun kecil,tapi yang penting adalah cara pendidikan dan pembinaan yang dilakukan di rumah.

Lemah lembut bukan berkeras.

Tradisi lemah lembut (ar-rifq) dalam menguruskan rumah tangga mempunyai banyak manfaat.Misalnya,seorang ayah menjadi lebih mudah mencapai keinginannya kepada keluarga dengan sifat lemah lembut dan itu juga membuatkan hatinya lebih lapang.Sifat lemah lembut juga akan menguatkan ikatan batin antara anggota keluarga dan memperkuatkan pertalian keluarga.Manfaat lainnya,anak anak tidak taku untuk berterus terang mengakui kesalahan kepada orang tuanya kerana mereka tahu bahawa tindak balas ibubapa kepada mereka pasti tidak dalam bentuk kekerasan,hanya dengan lemah lembut semata mata.

Pengajaran dari sebuah hukuman.

Maka,pemberian hukuman di atas kesalahan anak anak juga harus mempunyai formula tersendiri dalam melaksanakannya.Antara lain,sebuah hukuman adalah untuk menyedarkan seseorang atas kesalahan yang dilakukannya,supaya dia serik dan tidak akan mengulangi kesilapan yan sama.

Mengikat talian kasih.

Sebuah pelukan seorang ayah/ibu boleh menghantar tenaga tenaga yang kuat ke dalam diri seseorang.Bagi seorang anak,itulah yang menjadi sumber kekuatan yang dapat membangkit perasaannya yang paling dalam.Kehangatan pelukan itu juga boleh menerbitkan ketenangan,kepercayaan,juga hubungan batin yang kuat antara seorang anak dengan orang tuanya.

Gaya seorang pemimpin masa hadapan.
agaknya apalah yang sedang di renung oleh 'birthday boy' itu....
berpandangan jauhlah melepasi sempadan yang ada
bagi merungkai masalah yang tidak kunjung sudah.

Moga keberkatan hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari ini dapat terasa tempias limpahannya kepada Abdul Hadi dan ahli keluarganya yang lain.

27 Ogos 2010.
Senawang,Negeri Sembilan.

Tuesday, August 24, 2010

:: Kembara memburu Lailatul Qadr ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semenjak saya bermastautin di Negeri Sembilan ini,apa yang saya perhatikan,rata rata penduduk di sini, sekiranya mereka ingin membeli daging untuk di masak,pilihan mereka adalah daging segar/fresh.Sepanjang pemerhatian saya,di manapun tempat,warung/gerai yang menjual daging berkenaan,amat mudah di jumpai.Biasanya lokasi warung/gerai berkenaan terletak di tepi-tepi jalan.Jadinya,para pelanggan/pembeli daging lembu tidak perlu pergi jauh hingga ke pasar.Warung/gerai menjual daging ini akan meningkat secara mendadak pada musim tertentu terutamanya ketika tibanya 'mantai' (acara sambutan sehari sebelum puasa Ramadhan dan sehari sebelum Hari Raya ‘Idil Fitri)

Walaupun sebenarnya daging segar ini di jual dengan harga yang agak mahal,namun mungkin disebabkan rasa 'manisnya' yang istimewa,maka kepopularannya tidak dapat di tandingini oleh daging yang di import dari luar negara.Malah ketika majlis besar seperti majlis kerja khawin sekalipun,terdapat juga tuan rumah yang 'menumbang lembu' untuk di jadikan jamuan kepada tetamu jemputan.

Berbeza di tempat saya di Johor,amat jarang melihat gerai daging segar di tepi jalan.Daging segar hanya boleh di dapati di pasar besar.Orang ramai lebih suka membeli daging import/kotak memandangkan harganya agak murah.

Tidak pasti,mengapa ada perbezaan seperti di atas......

Lalu teringatlah kisah di bawah.

Kisah 1 : Lembu.

Semasa mendengar kuliah subuh di sebuah surau,ustaz yang menyampaikan kuliah ada menyebutkan,kita melakukan amal biarlah di sertakan dengan roh.Kata ustaz berkenaan lagi,perbandingan antara ibadah yang mempunyai roh dengan ibadah yang tidak mempunyai roh adalah seperti seekor lembu.

Lembu yang mempunyai roh membolehkan pemiliknya mengambil manafaat dari lembu berkenaan.Susunya boleh diperah dan diminum atau dibuat keju.Dagingnya boleh di buat rendang.Ekornya boleh di buat sup (harganya pun antara yang termahal).Bukan itu sahaja,sendi-sendi kaki nya pula boelh di buat sup 'gear box' yang amat popular itu.

Sebaliknya,lembu yang tidak mempunyai roh pula (lembu patung) tidak akan dapat memberikan apa-apa manafaat kepada pemiliknya.Mungkin cantik pada pandangan mata,tetapi mungkin hanya sekadar mampu di jadikan hiasan sahaja.

Begitulah juga dengan amal ibadah kita.Amalan yang mempunyai roh,pengamalnya secara tidak langsung dapat mengambil manafaat darinya.

Contohnya....

Zaman sahabat dahulu,dengan solat 2 rakaat sahaja boleh menyelesaikan masalah mereka.Abdullah bin Rawahah r.a telah masuk ke dalam kebunnya yang kering kontang.Sampai ke dalam tanah miliknya,beliau telah solat 2 rakaat.Selepas selesai solat,beliau mengangkat tangan dan berdoa ke Hadrat Illahi.Dengan izinNya,Allah menurunkan hujan membasahi tanah miliknya dan akhirnya tanah tersebut menjadi subur.

Dahsyat sungguh zaman sahabat....

Suatu ketika lain pula,Nabi SAW bertemu dengan seorang sahabat.Nabi SAW bertanya dengan sahabat berkenaan,apa yang telah dilihatnya.Sahabat berkenaan berkata kepada Nabi SAW,aku melihat akan penghuni syurga bersukaria di dalamnya,sedangkan aku dengar jeritan penuh keseksaan dari ahli neraka.Nabi SAW membenarkan kata sahabat berkenaan.Nabi SAW berpesan akan sahabat berkenaan mengekalkan amalannya kerana Iman sahabat berkenaan telah sampai ke satu tahap yang tinggi.

Bagaimana pula dengan kualiti amalan kita?

Kisah 2 : Kuda.

Kata ustaz itu lagi,dengan melihat seekor kuda lumba yang sedang berlumba lari,adalah salah satu contoh terbaik untuk mengambil iktibar dan pengajaran.Seekor kuda lumba akan di pakaikan dengan satu topeng khas.Topeng khas berkenaan akan di lubangkan sedikit untuk tujuan penglihatan kuda tersebut. Hasilnya,kuda tadi akan berlari terus menuju garisan penamat tanpa mempedulikan apa yang ada di kanan atau di kirinya.Sekiranya tidak di buat demikian,maka kuda tadi tidak dapat memberi fokus yang tinggi untuk berlari laju ke garisan penamat dengan pantas.Lebih teruk dari itu,mungkin kuda tadi akan berlari keluar dari trek kerana satu tarikan lain.Bukan sahaja ia tidak menuju ke garisan penamat,bahkan berkemungkinan tinggi ia akan di rempuh oleh kuda-kuda yang lain.

Begitulah juga kita.Dalam hidup yang hanya sementara di muka bumi ini,fokus kita dalam hidup adalah,segala gerak geri kita mestila dengan matlamat untuk mencari sebanyak mungkin bekalan amal soleh yang akan di bawa ke akhirat.Sekiranya yang di kejar adalah harta dunia yang melekakan,di khuatiri nanti apabila malaikat maut datang menjemput,amalan yang telah di buat tidak mampu menyelamatkan kita di sana.Nauzubillah.

Kisah 3 : Puasa.

Kata ustaz lagi,puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu latihan untuk kita menghadapi cabaran 11 bulan yang berikutnya.

Puasa mengikut istilah syarak adalah menahan lapar dan dahaga serta perkara perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Namun,Imam Ghazali mentafsirkan puasa kepada beberapa bahagian.Di antaranya adalah puasa dengan menjaga fizikal,puasa dengan menjaga jasad,puasa dengan menjaga nafsu dan puasa dengan menjaga hati.

Persoalan dari ustaz,adakah dengan tamat bulan Ramadhan maka kita tamat dari tuntutan berpuasa.Dari segi puasa nafsu mungkin kita tidak perlu lagi menahan lapar dan dahaga.Bagaimana pula dengan tuntutan puasa fizikal,jasad dan hati?

Sebenarnya terang ustaz,sekiranya ketika berpuasa,apabilakita dengan sengaja melihat wanita bukan mahram maka pahala puasa kita akan berkurang dan secara tidak langsung dosa kita meningkat di sebabkan maksiat yang kita lakukan itu.Tetapi ada segelintir individu yang tidak sedar akan hakikat ini.Mereka berfikiran hanya,"ah,tidak mengapa,hanya pahala puasa yang berkurang." Sebenarnya tidak begitu,maksiat tetap berdosa walau bila masa sekalipun tetapi di dalam bulan Ramadhan,maksiat yang sama itu boleh mengurangkan pahala puasa.

Untuk mudah faham,mari kita perhatikan pemandu kereta.Bila masa pun,ketika memandu kereta,tidak memakai tali pinggang keledar adalah salah satu kesalahan undang undang dan boleh di denda.Tapi bila kesalahan ini di lakukan ketika pemandu sedang di uji oleh JPJ,maka secara automatik markah ujian akan di tolak dan mungkin kebarangkalian untuk gagal ujian mendapatkan lesen memandu juga besar.Begitulah juga bulan Ramadhan.Ramadhan amat berkait rapat dengan bulan ujian.Mungkin sebab tiada markah ujian yang akan di tolak (pahala yang berkurangan) di luar bulan Ramadhan,maka ada segelintir individu yang dengan 'slamber' nya melakukan maksiat.Agaknya mereka ‘'erlupa' yang maksiat tadi akan menyebabkannya menanggung dosa dan akan di hisab kelak.

Oleh sebab itulah ustaz menegaskan,orang Islam perlu 'berpuasa' sepanjang masa.Pergerakkan mata perlu dikawal,pendengaran telinga perlu di tapis,tangan perlu di hadkan pergerakkan demi mengelakkan hati dari terkesan dari perbuatan maksiat kita itu.Kerana hati akan menjadi kotor/karat/gelap setiap kali kita membuat maksiat.Mana mungkin cermin muka yang comot dapat melihat wajah muka yang cantik.Begitu jugalah hati,hati yang bersih,berkilat akan dapat melihat segalanya dengan sempurna (yang mana maksiat yang mana pula ibadah) dengan bantuan Hidayah Illahi.

Maka kata ustaz lagi,'berbukanya' manusia yang memeluk agama Islam adalah ketika di syurga,tempat yang akan kekal selama lamanya.Tempat segala amal ibadah yang kita lakukan,kita tuai hasilnya. Mata,telinga,tangan,kaki boleh berbuat sesuka hatinya di sana.Kerana di syurga sudah tiada apa lagi larangan yang perlu kita patuhi.Hari yang berlalu di penuhi dengan nikmat dan bila kita bertemu dengan sahabat yang lain di dalam syurga,kita memberi salam dan menceritakan akan kenikmatan yang kita rasai.Sebab itulah ustaz mengingatkan,kita di galakkan menyebarkan salam,kerana ibadah memberi salam itu merupakan amalan ahli syurga.

Lebih teruja bila ustaz mengatakan,meninggalnya seorang Islam yang beriman,akan merasakan mereka berada di alam barzakh terlampau sebentar seperti melakukan 2 rakaat solat.Di padang mahsyar kelak tempat bersarapan pagi dan di syurga nanti tempat mereka menjamu selera untuk makan tengahari.

Allahuakbar!

Seronoknya.Adakah aku mampu menjadi salah seorang dari golongan itu?

Ya Allah,aku memohon padaMu dengan keberkatan waktu sahur dan keberkatan waktu berbuka,Engkau Ampunilah dosa-dosa ku dan dosa kaum keluargaku,dan masukkanlah kami ke dalam syurga FirdausMu tanpa hisab.

Amin.

Selamat berbuka!!

Tazkirah 15 Ramadhan 1431.
Taman Desa Ixora,
Senawang.

Wednesday, August 18, 2010

:: tiGa ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Apa ada dengan  angka 3?

kalau filem melayu ada DO RE MI dan 3 ABDUL,
filem barat pula ada cerita 3 stooges.

sampai 3 serangkai imunisasi untuk bayi ???
sampai demam dek kerana penangan 'jap' tuan doc.

walau ada 30 huruf jawi,26 tulisan rumi dan 10 nombor asas,
sebutan tetap 3 yang pangkal sebagai singkatan.
(jom belajar ABC,alif ba ta,123)

Hari ini ku bawakan pula 3 cerita untuk perkongsian petang ramadhan.

Kisah 1.

Mengikut sirah,ketika berusia 12 tahun,Nabi Musa telah melarikan diri ke Madyan (sebahagian daripada Jordan dan Saudi) akibat diburu orang-orang firaun kerana baginda telah memukul seorang Qibti pengikut firaun.Dengan izin Allah orang Qibti (bangsa firaun) itu meninggal dunia.

Setelah beberapa lama ALlah telah mengarahkan Nabi Musa datang semula semula ke Mesir untuk menyeru firaun dan pengikut-pengikutnya agar kembali beriman kepada Allah.Di situlah berlakunya kejadian Nabi Musa mengalahkan ahli sihir firaun.Akibat dari itukan Nabi Musa dan pengikut-pengikut baginda dikejar firaun dan pengikut-pengikutnya dan Nabi Musa mengarahkan pengikutnya untuk menuju ke laut merah. Dengan kekuasaan Allah,Nabi Musa menghentakkan tongkat lalu terbelahlah lautan dan lautan itu bercantum kembali dan matilah firaun (Mafatah) bersama pengikut-pengikutnya di laut merah.

Kemudian Bani Israel yang bersama-sama baginda yang terselamat dari firaun meneruskan perjalanan mereka.Sehinggalah sampai di suatu tempat,pengikut baginda meminta kepada baginda agar Allah berikan air.Ketika inilah sekali lagi mengetuk tongkatnya kepada batu dan keluarlah 12 mata air bagi minuman 12 kaum pengikutnya tadi.

Kemudian dipohon mereka pula akan makanan dari langit,maka Allah turunkan Manna wa Salwa.

Sesetengan meriwayatkan Manna wa Salwa merupakan 2 makanan dari syurga.Dan ada juga yang memberitahu bahawa asbab Bani Israel (orang yahudi) bijak sehingga ke kala ini di sebabkan nenek moyang mereka pernah makan dari sumber makanan syurga.Wallahua'alam.

Kesimpulan :
Allah memberi kelebihan kaum Nabi Musa dengan Manna wa Salwa.

Kisah 2.

Dalam berdakwah, Nabi Isa didampingi para pengikutnya yang disebut al-Hawariyyiin,yang jumlahnya 12 orang, sesuai dengan jumlah suku (sibith) Bani Israil.Masing-masing hawari ini ditugaskan untuk menyampaikan risalah Injil bagi masing-masing suku Bani Israil. Namun nama-nama hawari tersebut tidaklah disebutkan di dalam Al-Quran. Kisah para sahabat Nabi Isa ini terdapat dalam surat Al-Ma'idah: ayat111-115.Dalam ayat tersebut diceritakan bahwa al-Hawariyyiin ini meminta kepada Nabi Isa supaya berdoa kepada Allah agar menurunkan makanan dari langit.Permintaan mereka di tunaikan oleh ALlah makadengan itu makin bertambah ketebalan iman para pengikut Nabi Isa.

Nama surat Al-Maidah yang berarti makanan/hidangan diambil kerana mengandung kisah ini.
 
Kesimpulan :
Allah memberi kelebihan kaum Nabi Isa dengan makanan yang turun dari langit.

Ummat Nabi terdahulu sahajakah yang mendapat makanan istimewa?
Ummat Nabi Muhammad SAW pula bagaimana?

Kisah 3.

Di sinilah yang membezakan pengikut Nabi terdahulu dengan pengikut awal Nabi Muhammad SAW.

-Sahabat Nabi SAW tidak pernah meminta makanan yang istimewa kepada Nabi SAW.Bahkan ketika perang Badar,ketika Nabi SAW memberi kelonggaran untuk dengan membenarkan para sahabat tidak berpuasa,mereka terus sahaja berpuasa.

Namun ALlah SWT itu bersifat Ar Rahman dan Ar Rahim.Sebenarnya ummat Nabi SAW juga mendapat makanan yang istimewa tanpa kita sedari.

Kepada siapa? dan bila?

Nabi Muhammad SAW bersabda,"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." – Hadis riwayat al-Bukhari

(Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani : Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah Nabi SAW, menyelisihi amalan puasa ahli kitab,menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah,menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar,menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu,menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.)

Nabi Muhammad SAW bersabda,"Makan sahur ada keberkatan.Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." – Hadis riwayat Ahmad.

Mungkin ada yang terlintas dalam hati, "Berkat itu apa? Dengan hanya minum air segelas pun boleh datang BERKAT ke??"

Kata ustaz Haji Hambali,antara salah satu maksud BERKAT/BAROKAH itu adalah sesuatu yang kita terima dari rezeki kurniaan Allah tanpa kita mengeluh di sebabkan sedikit/tidak cukup dan tidak pula kita membuangnya/membazir kerana terlalu banyak/berlebihan.

SUBHANALLAH!!!

Tungguuuuuuu!!!!!

Al kisah tentang 'TIGA' ni masih belum habis.....

Dalam Islam juga ada beberapa perkara yang di kaitkan dengan tiga.

3 tanah suci ummat Islam.
(Tanah Haram Mekah dan Madinah serta Masjidil Aqsa)

bacaan 3 Qul kerap di kaitkan
ketika zikir selepas solat dan ketika
bacaan tahlil.

Rejab (isra` dan mikraj),Syaaban (nisfu syaaban)
dan Ramadhan (puasa dan Lailatul Qadar).
Antara 3 Bulan istimewa dalam kalendar Islam.

dan yang paling istimewa sekali adalah...

"3 makam dalam 1 masjid"
Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi
bersama 2 orang sahabatnya yang di janjikan Syurga
iaitu Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a.

Madrasah 8 Ramadhan.
Taman Desa Ixora,
Senawang.

Nota :
Sebahagian di atas adalah catatn dari isi kuliah subuh Ustaz Haji Hambali sempena ramadhon di Surau Al Amin (14 Aug 2010)

Tuesday, August 17, 2010

:: duduk semeja ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Rumahku Syurgaku!
Slogan yang biasa kita dengar cuma pegertiannya sahaja bisa menjadi berbeza bergantung kepada bagaimana isi rumah berkenaan merealisasikan rumah mereka menjadi syurga di dunia.

Jom kita menjelajah Rumahku Syurgaku!
apa pun jua bentuk rumah yang kita lihat,
masing masing menginginkan rumah mereka
menjadi yang terbaik dari segi luaran dan dalaman.

Situasi di dalam sebuah rumah pada :

1.Hari biasa.

Anak yang bersekolah tadika sejurus sahaja selesai main di padang,dia terus sahaja mandi dan makan malam.Itu pun kerana telah 'di ugut' oleh umminya.Manakan tidak,umminya tidak membenarkannya menonton kartun kegemarannya 'Shin-chan' selagi dia tidak makan malam.

Kakak yang bersekolah darjah 3 pula makan malam selepas solat maghrib.Makanlah si Kakak bersama sama abang Lang yang bersekolah menengah sessi petang.

Ummi selaku chef,kerana telah kenyang secara tidak langsung disebabkan menghidu kesemua wap masakannya,makan malam agak lambat sedikit.Itupun setelah selesai melipat baju,mengemas rumah,menggosok pakaian kerja suami dan pakaian sekolah anak-anak.Itupun makan malam sambil menonton drama minggu ini.

Kakak yang sulong pula kerana hujung tahun ini akan menduduki peperiksaan SPM,sibuk dengan kelas tambahan dan ulangkajinya.Kerana terlalu leka dengan tugasan,kakak makan malam jam 11.

Ayah sejak awal petang lagi telah keluar rumah kerana ada urusan bersama sama dengan rakan perniagaanya yang lain.Balik ke rumah pula bila jam berdetik 12 malam.Kala itu jugalah ummi akan menghidangkan makanan kepada ayah.
aktiviti seharian menyebabkan kita sibuk.
semua orang di peruntukkan 24 jam sehari,terpulang
bagaimana kita menyusun aturnya.

Selepas itu keadaan rumah akan senyap sepi kerana masing masing sedang/sudah masuk tidur.

.....jam 2 pagi.

Tiba tiba,terdengar pintu kabinet dapur di buka.Beberapa ketika selepas itu terdengar air paip mencurah ke sinki.Tidak lama kemudian kedengaran bunyi kerusi di tarik di ruang dapur.Sah,abang yang bujang seorang itu baru pulang entah dari mana.Bila perut lapar,tahu pula jalan balik ke rumah.

(....agak agaknya,sekiranya rumah boleh menyuarakan isi hatinya,ini lah agaknya luahan yang boleh kita dengar...)

2.Hari pada bulan Ramadhan.
Jam ke tu????
MasyaAllah...besarnya!!!!
Beruntung orang yang berada di Mekah beroleh
jam sebesar ini.Dari jauh pun dah tahu jam sudah pukul berapa.

Bermula dari jam 3 petang,masing sudah mula kerap melihat angka jam,terutama si adik bongsu.Sejurus selepas asar,ummi sudah mula menyingsing lengan di dapur dengan di bantu oleh kakak sulung.

Jam 5 setengah ayah sudah tiba di rumah dengan membawa beberapa bungkus air tebu.

Jam 6 setengah petang ummi dan kakak sudah siap memasak di dapur.

Hampir sahaja jam 7,seorang demi seorang masuk ke dalam bilik mandi untuk membersihkan badan.Jam 7 malam,semua sudah selesai mandi dan bersiap untuk ke meja makan.Tika itu,Ayah seperti biasa masih lagi menghadap TV.

15 minit sebelum masuk waktu maghrib,bunyi motorsikal abang bujang kedengaran masuk ke dalam halaman rumah.Dia pun bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri.

5 minit sebelum masuk waktu maghrib,semua isi rumah sudah duduk mengelilingi meja yang sarat dengan makanan.Seorang pun tidak berani menyentuh makanan melainkan melihatnya sahaja dengan penuh bernafsu.

Bila azan yang berkumandang sahaja di dengari oleh isi rumah,lantas masing masing berdoa untuk berbuka puasa dan cepat cepat mencapai buah kurma.

...jangan lupa ye...
dahulukan makan kurma ketika berbuka.
Itu yang di ajar oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ummatnya.

Nah…lantas juadah makanan untuk berbuka pun mula di jamah satu persatu oleh seorang demi seorang.

Begitulah tarbiah ketika bukan Ramadhan.Pada hari dan bulan biasa,amat sukar menyatukan isi rumah walaupun ketika makan sekalipun.Namun dengan masuk/sampainya sahaja bulan Ramadhan,ahli keluarga dapat di satukan semeja ketika waktu berbuka malah ketika waktu sahur juga.Ukhwah dapat di eratkan,tanggungjawab beragama juga dapat di laksanakan sebaiknya….

Ramadhan,penuh barokah penuh RahmatNya.
Rebut jangan tak rebut!!!!!

Madrasah 7 Ramadhan 1431.
Taman Desa Ixora.
Senawang.

Monday, August 16, 2010

:: di sebat atau di penjara ::

Bismillah hirrahman

Di sebat.

Dahulu ada seorang sahabat (N) yang di kenakan hukuman sebat di sebabkan kesalahan menyeludup masuk barangan terlarang dari Negara jiran.N menceritakan semula detik detik bagaimana hukuman itu di jatuhkan.

Apabila hukuman hendak di jatuhkan,pesalah akan di kejutkan seawal 4 pagi.Tanpa di beritahu dengan terlebih dahulu,pesalah akan di bawa ke bilik rawatan untuk di periksa keadaan kesihatan fizikal tubuh badan mereka.Apabila doktor mengesahkan pesalah terbabit yang akan di jatuhkan hukuman sebat berada dalam kesihatan yang baik,maka hukuman pun akan di jalankan.
dulu ketika zaman sekolah di asrama,malam Jumaat setelah pelajar
selesai membaca Yaasin,warden akan menghukum mereka yang
melakukan kesalahan displin dengan merotan mereka di khalayak ramai.
Ternyata,hampir muka yang sama sahaja yang 'naik' namanya.

Kata N,sebelum dia di jatuhkan hukuman,di dapati ada 2 orang pesalah lain yang baru sahaja di sebat.Kata N lagi,2 orang berkenaan kelihatan terduduk ke lantai akibat hukuman tersebut berkemungkinan disebabkan tidak dapat menahan kesakitan.Namun cerita N,ketika dia pulang semula ke dalam sel,2 orang berkenaan begitu bangga menceritakan saat-saat ketika mereka di sebat.Mereka mengatakan di hadapan rakan rakan yang lain seolah-olah mereka hebat kerana mereka dapat menahan segala sebatan berkenaan.Padahal sebenarnya mereka terkulai layu menahan sakit.

(...Oooo,masih eksen rupanya..)
ini baru demo.itupun dah NGERI
kita sebagai orang biasa-biasa yang melihatnya.
Di penjara.

Kerana seorang pesalah (A) telah di hukum penjara selama 25 tahun,dia terhalang untuk bertemu muka di tempat terbuka dengan pelawatnya melainkan bertemu di bilik khas.Bilik khas tersebut memerlukan si pesalah dengan pelawatnya berbual hanya dengan menggunakan interkom.
penjara atau kurungan?
Adakah itu warisan dari penjajah??

Berikut adalah salah satu perbualan A ketika menerima pelawat :

Pelawat (B) : Ko nak tau,area ko dulu,C dah ambik alih.Dia dah bolot abis.Kita orang pun dia pijak-pijak jugak.Dia nak angkat anak anak buah dia naik atas.
A : #$!@k3 punya C!!! (sambil mengepal penumbuk).Tunggu aku keluar besok.Aku cincang lumat dia hidup-hidup.

(.....aik! Dah kena 25 tahun penjara pun masih nak cincang orang ke???)

Mengapa jadi begitu?

Ya.Kerana nafsu itu sifatnya memang begitu.Keras dan angkuh.Walau telah di sebat bahkan di penjara sekalipun,nafsu tetap degil dan mengekalkan keangkuhan sifatnya.Maka dengan di sebat dan di penjara sekalipun,nafsu belum boleh di didik.

Ada cerita lebih dahsyat????

Si Syaitan Laknatullah.

Kerana tahu yang Nabi Musa boleh berkata kata dengan Allah SWT,suatu hari syaitan telah berupa dengan seorang manusia dan pergi menemui Nabi Musa.Di hadapan Nabi Musa,syaitan telah menyatakan yang dia ingin bertaubat di hadapan Allah SWT tentang kesalahannya yang lalu.Maka Nabi Musa pun memanjat Bukit Tursina lalu menyatakan hajat syaitan kepada Allah SWT.Lalu Allah SWT memberikan syarat bahawa sekiranya syaitan ingin bertaubat,Allah memerintahkan syaitan supaya sujud pada kubur Nabi Adam.

Apabila Nabi Adam mendengar begitu,Nabi Adam pun turun bertemu semula dengan syaitan dengan membawa perkabaran tersebut.Dengar sahaja syarat yang telah di berikan oleh Allah SWT,syaitan terus menolaknya bulat bulat dengan mengatakan,”Ketika Adam masih hidup pun aku tidak sujud kepadanya,inikan pula ketika dia sudah mati.”

Begitulah hakikat dan sifat makhluk Allah yang bernama nafsu.Degil dan terlalu bongkak.

Mari kita lihat asal kejadian nafsu.

Dari kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, menerang bahawa,setelah Allah menciptakan akal,Allah SWT telah menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." Akibat dari itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun.

Setelah di keluarkan dari Neraka Jahim,Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun.

Setelah dikeluarkan dari neraka Juu’ maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Begitu degil sekalikah nafsu??
Bagaimana kita hendak mengawalnya??

Allah SWT telah memfardhukan kita supaya berpuasa selama sebulan sepanjang bulan Ramadhan.
Oleh itu :

1. Orang yang berpuasa tidak boleh makan dan minum.
2. Orang yang berpuasa tidak boleh melakukan hubungan jenis.
3. Orang yang berpuasa tidak boleh melihat sesuatu yang di larang.
4. Orang yang berpuasa tidak boleh marah tidak tentu pasal.
5. Orang yang berpuasa tidak boleh menipu.

Semua yang di sebut di atas dan banyak lagi larangan adalah berkaitan dengan NAFSU.Sekiranya perkara tersebut di atas dilakukan samada boleh membatalkan puasa ataupun mengurangkan pahala puasa.

Ya,salah satu cara untuk mendidik nafsu adalah dengan berpuasa....

Kata Ustaz Haji Hambali,puasa itu ibarat ‘maintenance’ kepada badan.Seumpama kereta yang memerlukan maintenance bila sampai tempuhnya,begitulah juga badan manusia.Dengan berpuasa sebulan,maka sebelas bulan yang mendatang nafsu kita akan dapat di tarbiah dari kesan kita berpuasa.

Namun tetapi,

Kereta yang telah di maintenance,sekiranya kita menukar alat ganti kereta kita dengan alat ganti ‘local’ dan murah/cap AYAM,maka di sebabkan alat ganti tersebut tidak tahan lama,maka ia mudah rosak.

Dengan demikian,

Untuk mendapat kesan tarbiah dari puasa yang berpanjangan selama 11 bulan berikutnya,maka kita hendaklah berpuasa dengan kadar yang ORI bukan sambil lewa dan menggunakan konsep ‘local’.

InsyaAllah,tinggal lagi lebih kurang 23/24 hari lagi bulan Ramadhan yang tinggal/berbaki.

pastikan kereta kita tidak 'BARAI'
di tengah jalan.Begitu juga halnya dengan puasa kita....

Jom jom perhebatkan keORIan puasa kita!!!

Madrasah 6 Ramadhan 1431.
Taman Desa Ixora,
Senawang.

Nota:
Di atas adalah sebahagian dari pengisian Tazkirah Ramadhan yang di sampaikan oleh Ustaz Haji Hambali di Surau Ibn Khaldun (15 Aug 2010).Sebahagian pula di cedok dari sumber lain dengan harapan tidak mencacatkan isi kandungan Tazkirah.

Thursday, August 12, 2010

:: Mana datangnya cahaya itu ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Nun di sana kokokan ayam jantan yang sayup sayup kedengaran mula bersahut sahutan.Sahutan yang bersambung sambung itu terus sahaja memecah kesunyian dan kedinginan pagi hari yang amat damai.Entah apa yang di sahutkan oleh si Jaguh-Jaguh berkenaan.Kata seorang Ustaz,Ayam berkokok tanda nampak malaikat....Wallahua`lam.

Begitulah suasana bila dapat sekali sekali balik ke kampung.Kampung yang menjadi saksi kepada pengembaraan ku di dunia ini dari usia kecil sehinggalah ke umur dewasa.Di setiap lekok lekok pada jalan masuk kampung mungkin ada kisah dan peristiwa yang termendap dan tidak mungkin dapat di turap sekalipun jalan kampung kini tidaklah sedaif dahulu kala.

Kampung yang tidak lah semaju pekan besar,namun jiwa jiwa yang bermastautin di dalamnya hidup dengan penuh azam walau kerjanya hanyalah bertani.Ku lihat rumah rumah jiran sebelah mula di terangi dengan lampu yang seketika malam di padamkan.Walaupun masih awal pagi,mereka telah bangkit dari tidur bagi memulakan hari baru seawal mungkin.

Tiba-tiba fikiran ku seperti mahu mengimbas kenangan lama.....

Antara yang menggamit kenangan tentang suasana kampung adalah,panorama kampung bila masuk sahaja waktu senja.Kegelapan malam yang mula melabuhkan tirai hitamnya akan di sulami dengan cahaya samar samar.Api dari lampu minyak tanah akan melentuk liuk kanan dan kiri.Walaupun terlalu suram cahayanya,itulah sebenarnya cahaya yang penuh dengan kebaktian.Kalau adapun cahaya yang agak terang,adalah dari lampu gasolin,itupun cukup sikit jumlahnya.

Entah mengapa,memori ku terus sahaja pergi jauh kebelakan.....

Awal umur remaja,aku bersama sama beberapa orang sahabat telah pergi bertamu ke sebuah masjid di sebuah kampung.Pemandangan kampung berkenaan memang agak menarik kerana lautan sawah bendang yang terdampar luas.Seluas mata memandang jaraknya,seakan-akan sawah padi itu terhampar kehijauan sehinggakan seperti kaki gunung itu menjadi batas pandangan.Dan masjid kampung itu menjadi pelengkap pemandangan dengan duduk letaknya betul betul di tengah tengah sawah bendang berkenaan.

Setelah terlebih dahulu meminta izin dari ketua kampung untuk bertamu di masjid kampung tersebut,kami pun melabuhkan lelah perjalanan musafir ketika itu di serambi masjid.Sambil pemandangan di lontarkan nun jauh di kaki gunung,angin lembut pula menyambut kami dan menyapu keringat yang tadinya mula menitis dari hujung dahi.Sahabat yang lain pula mengambil kesempatan membasahkan tekak dengan air yang di ceduk dari kolah tempat orang mengambil wuduk.Kelihatan juga Abang Hamid cuba membetulkan sandarannya di tiang tangga sambil kakinya di luruskan.Setelah seketika dan lelah dapat lepaskan, ku lihat seorang demi seorang sahabatku mula menyempurnakan wudhu masing masing dan terus bergegas ke dalam masjid bagi menunaikan solat Tahiyatul Masjid.Aku perlahan lahan memimpin Abang Hamid ke tepi kolah sambil ku cecahkan tangannya ke dalam air.Lantas dia pun mula menyempurnakan wudhunya.

Setelah aku juga turut menyempurnakan wudhuku,sekali lagi aku memimpin Abang Hamid untuk masuk semula ke dalam masjid.Dengan langkah kanan dan doa "Allahummaftahlii abwaa ba rohmatik" aku terus sahaja membaca niat iktikaf.

Masuk sahaja ke dalam masjid,aku terus memimpin tangan Abang Hamid untuk ku tunjukkan tempat meletak barang yang berada betul-betul di penjuru masjid.Ku biarkan Abang Hamid seketika di situ sambil ku perhatikan dia mengambil sesuatu dari dalam beg bajunya.Setelah semuanya selesai,kutanyakan padanya dimanakah ia mahu menunaikan solat Tahiyatul Masjidnya.Katanya di belakang tiang masjid yang paling hadapan.Aku yang cuba memahami kehendak Abang Hamid itu,terus sahaja membawanya ke tempat yang di kehendaki tadi.Aku perbetulkan arah berdiri Abang Hamid agar betul betul menghadap kiblat dan aku pun membiarkannya dengan urusannya di situ.

Aku pula maju beberapa langkah dan memilih di tepi sudut masjid untuk melakukan solat Tahiyatul Masjid.Sungguh kurasakan kedamaian suasana pagi ketika itu menemani aku ketika aku mengangkat Takbiratul Ihram.Aku biarkan kesepian dan keheningan itu menyelubungi ruang lingkup yang ada dan ternyata ia menghadirkan rasa syahdu di dalam hati ku.

Baki kesejukan suasana pagi masih lagi bersisa kurasakan tika aku menyelesaikan solat sunat dhuha ku.Lalu suasana yang masih hening ketika itu ku ambil kesempatan untuk memanjatkan doa dengan hati yang penuh harapan,

"Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu,kecantikan itu ialah kecantikanMu,keindahan itu keindahanMu,kekuatan itu kekuatanMu,kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit,turunkanlah dan jika ada di dalam bumi,keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah,jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh."

Selesai membaca doa,aku terus sahaja menarik nafasku dalam-dalam.Ternyata,udara segar dalam masjid yang dikelilingi oleh sawah bendang itu turut memberikan kesegaran minda.Seketika aku menoleh pada Abang Hamid,dia masih berteleku di atas hamparan riddahnya.

Di satu sudut lain,Abang Sufian telah mula mencari cari tempat yang sesuai untuk kami memulakan aktiviti di dalam masjid.Seperti biasa bila Abang Sufian sudah membuka rehalnya dan buku Fadhail Amal di letakkan di atasnya,maka serentak kami akan membuat bulatan kecil berdekatan dengan tempat rehal itu diletakkan.Setelah Abang Sufian mengambil tempat duduknya aku kembali mendekati Abang Hamid untuk memimpinya pula duduk di dalam bulatan berkenaan.

Setelah kami semua selesai membaca Al Fatihah sebagai pembuka majlis,Abang Sufian pun menerangkan kepada kami semua adab adab di dalam masjid.Aku,Abang Hamid,Jali,Latif,Saring dan Aripin mendengar penerangan Abang Sufian dengan penuh teliti.Walau adab-adab di dalam masjid sudah agak kerap kali kami dengar dan baca,namun kerana gusar terlupa mana-mana adab terutamanya yang agak remeh,kami bukakan telinga untuk menadah isi-isi penting.

Selesai sahaja menerangkan adab-adab di dalam masjid,Abang Sufian mula membahagi bahagikan tugas.Jali telah menempah tugas Taam (menyediakan makanan) sambil di bantu oleh Abang Sufian.Aripin dan Saring pula bertugas menjaga kebersihan kawasan dalaman dan luaran masjid,Latif pula akan menjadi perantara antara jemaah kami dengan AJK Masjid memandangkan dia adalah orang tempatan dan aku pula di beri tugas khas untuk menjadi pembantu kepada Abang Hamid yang mengalami masalah penglihatan.

Sedang masing masing memulakan tugas,aku pula mendekati Abang Hamid yang sedang duduk berehat.Aku katakan padanya yang aku akan tunjukkan beberapa tempat asas di kawasan masjid.Abang Hamid menyambut pelawaan aku dengan wajah yang penuh dengan senyuman.Lalu aku pun membawa Abang Hamid ke hadapan masjid dan ku tunjukkan arah mihrab dan mimbar masjid.Selang beberapa ketika,aku membawa Abang Hamid menuruni tangga masjid untuk kutunjukkan sekali lagi tempat untuk berwudhu.Memandangkan kami sudah ada di luar,aku terus membawa Abang Hamid ke bangunan tandas dan bilik air Masjid.Dari situ aku membawa Abang Hamid ke tempat Jali menyediakan makanan bersama Abang Sufian.Memandangkan ketika itu sudah hampir waktu zohor,aku bersama sama Abang Hamid pun pergi mengambil wudhu.

Aku saat itu,memilih mengambil wudhu di pinggir perigi yang aku percaya airnya cukup dingin untuk menyejukkan anggota badan yang sudah mula berpeluh di sapa panas matahari.Setiba aku di pinggir perigi,ku turuni tangga perigi perlahan lahan.Kaki yang mula mencecah gigi air sudah mentafsir kadar kesejukannya.Maha Suci Allah…dalam hati aku memuji Kebesaran Illahi atas penciptaanNya.Walaupun terik mentari memanah segenap pelusuk alam dan aku sendiri terasa kebahangannya namun makhluk yang bernama air tidak pula menjadi panas.

Tersedar bahawa Abang Hamid sedang menunggu aku di tempat wudhu,aku bergegas berkumur kumur dan membasuh tangan.Bila air perigi mula membasahi mukaku,dapat kurasakan segala urat-urat saraf di mukaku mula memberikan tindakbalas diluar kawal.Kesejukan air perigi itu benar benar melegakan bahang tengahari.Selesai menyempurnakan wudhu,di tepi perigi itu juga ku panjatkan doa,

"Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah,wa asyhadu anna Muhammadan 'Abduhu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin waj'alni min ‘ibadikassolihin."
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah,tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Ya Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri dan jadikanlah aku dari kalangan hamba yang soleh."

Selesai berdoa,mataku mula meliar mencari kelibat Abang Hamid di tempat wudhu.Ternyata tiada.Yang tinggal hanyalah lopak aliran air wuduk.Aku cuba meninjau ke tepi tangga surau.Aku seperti mengecam kasut yang di pakai oleh Abang Hamid sudah di berada di sana.Mungkin ada sesiapa yang memimpin Abang Hamid masuk ke dalam masjid.

Di dalam masjid kelihatan beberapa susuk tubuh sedang mendirikan solat sunat.Dari susuk susuk tubuh berkenaan,ada beberapa orang tempatan yang sudah sama sama masuk ke dalam masjid sambil menunggu waktu zohor.Di belakang tiang paling hadapan kelihatan Abang Hamid sedang solat sunat.Hati berasa reda sebab Abang Hamid sudah berada di tempatnya.Agak gusar juga seketika tadi memandangkan ketika itu aku pertama kali di tugaskan menjadi pembantu Abang Hamid.Kalaulah terjadi apa apa pada Abang Hamid,tentu akulah yang perlu bertanggungjawab.Ternyata Allah masih sayangkan hamba-hambaNya.

Tatkala matahari mula menggelincirkan dirinya,azan zohor pun di kemundangkan oleh Tok Bilal.Aku pula sambil telinga mendengar azan,pandangan mata ku pula ku arahkan ke luar masjid melihat kehijauan daun padi yang di simbah terik matahari.Tidak ketinggalan juga sayup sayup pemandangan orang-orang yang di pacak di tengah bendang bergerak-gerak di tiup angin.Namun tuan punya bendang tidak nampak kelibat di mana mana sudut bendang.Mungkin mereka sudah berehat rehat di pondok sambil menjamu selera dengan bekal makanan yang di bawa.Tidak kurang juga yang menyempatkan diri dari kesibukan di sawah bendang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.Rata-rata penduduk tempatan ku kira mereka bekerja keras membanting tulang empat kerat di sawah bendang.Tenaga yang di kerah bukan sedikit jumlahnya.Namun masih ada di antara mereka yang sedar akan tanggungjawab mereka dalam amalan beragama.

Sambil bibir kumat kamit menjawab seruan azan,entah mengapa jiwaku seperti tidak dapat di tahan tahan untuk menyelami ke dalam jiwa-jiwa kental si pemilik sawah sawah bendang berkenaan.

Teringat kata kata dan pesanan ustaz,dengan menjawab seruan azan dan berdoa selepasnya,Rasulullah SAW akan memberikan safaatnya ketika di padang Mahsyar kelak.

Selesai sahaja azan di kumandangkan aku sekali lagi menadahkan tangan berdoa,

"Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."

Aku cuba menenangkan jiwa ku buat seketika sebelum solat bermula.Dalam pada itu aku melangkah ke tempat Abang Hamid berada lalu aku bawanya ke tempat saf solat.Lalu aku pun berdiri solat di sisinya.

Selesai solat berjemaah dan solat sunat aku melihat Aripin,Latif dan Saring menyantuni penduduk tempatan.Mungkin ada sesuatu yang mereka bincangkan.Aku pula membantu Jali di tempat Taam setelah mendapat persetujuan dari Abang Sufian dan Abang Hamid.Kebetulan pula Abang Hamid ingin menyertai mereka yang sedang menyantuni penduduk tempatan,jadi dapatlah aku meluangkan masa bersama Jali.

Di tempat Taam,aku melihat Jali sedang bertungkus lumus menyiapkan hidangan.Aku terus sahaja mencapai talam makan untuk di lap dan aku mencari juga kain safrah untuk di hamparkan sebagai alas makan.Setelah segalanya selesai,Jali pun memberitahu kepada Abang Sufian.Abang Sufian pun mempersilakan yang lain untuk makan tengahari.Turut serta makan tengahari ketika itu adalah beberapa orang penduduk tempatan yang di santuni oleh mereka sebentar tadi.

Selesai sahaja makan tengahari,Abang Sufian memberitahu,kami boleh membuat aktiviti bebas sehingga sebelum asar,kerana sebelum asar akan ada sedikit tazkirah ringkas yang akan di sampaikan sendiri oleh Abang Sufian.

Selesai sahaja aku membantu Jali mengemas,aku kembali ke dalam masjid.Aku bertanyakan kepada Abang Hamid adakah dia mahu melenakan matanya seketika.Mendengar pertanyaan ku,dia terus mengajak ku ke tempat letak barang.Kami terus sahaja menghampar kain untuk di jadikan alas tidur lalu membiarkan mata terbuai lena.

Sedar dari lena hanyalah bila Saring mengerak-gerakkan hujung kaki ku.Terasa kenikmatan tidur masih tersisa lagi.Namun ku gagahkan diri untuk bangun lantas mengambil wudhu.Kesejukan air terus sahaja menghilangkan baki rasa mengantuk yang dari tadi menguasai diri.

Bila masuk semula ke dalam ruang masjid,Abang Sufian telah bersedia di sisi rehal.Bila semua antara kami duduk membentuk bulatan,Abang Sufian pun memulakan bacaan Kitab Fadhail Amal.Satu yang aku sedari,Abang Hamid telah dahulu duduk di dalam bulatan mendahului kami semua.Mungkin Abang Sufian yang membawanya ke situ.Lalu selepas itu,satu demi satu hadith Rasulullah SAW di baca oleh Abang Sufian.
Kami mendengarnya dan mengutip setiap hadith mengenai fadhilat amal yang di bacakan.
Majlis tazkirah petang itu di tangguhkan sejerus sahaja sebelum tiba waktu asar.

Sejurus sahaja azan di laungkan,solat Asar pun didirikan secara berjemaah.

Selesai berwirid dan berdoa,kami sekali lagi membuat bulatan untuk bermesyuarat tentang aktiviti kami selepas itu.Abang Sufian menerangkan bahawa 2 orang sukarela di perlukan untuk menyertainya bersama-sama dengan Latif untuk menziarahi penduduk tempatan yang berdekatan.Lantas setelah kesepakatan di bentuk,tinggalah aku,Abang Hamid dan Jali di dalam masjid untuk meneruskan amal zikir dan doa sambil menunggu waktu Maghrib.

Hampir waktu maghrib,barulah aku dapati kumpulan Abang Sufian muncul semula ke arah masjid dari menziarahi penduduk tempatan.Kami pun terus sahaja bersiap siap untuk solat Maghrib.

Sebelum kegelapan memenuhi ruang malam,nampak satu susuk tubuh menuju ke satu arah di sisi luar masjid.Rupanya susuk tubuh itu menghidupkan enjin generator yang di letak di stor barang.Seketika ruang masjid telahpun di limpahi cahaya putih.Sejurus kemudian terdengar laungan azan di kumandangkan dan pembesar suara melontarkan bunyi azan itu agar dapat di dengari oleh penduduk kampung.

Malam yang menjadi pembatas pandangan telah di buka tirainya dengan para jemaah menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah.Selepas solat fardhu,setelah mendapat keizinan Tuan Imam,Abang Sufian sekali lagi menyampaikan tazkirah ringkas,kali ini di hadapan semua jemaah.Buah butir percakapan Abang Sufian amat jelas bunyinya.Satu demi satu perkataan keluar dari mulutnya seolah olah berjaya menaut hati kami supaya mendengarnya dengan penuh perhatian.Daku sempat mengerling keadaan sekeliling ku,mereka yang lain turut sama memberi perhatian dengan pengisian yang Abang Sufian sampaikan.Betapa sungguh Kebesaran Allah SWT yang memilih kami untuk berada di dalam majlis ilmu berkenaan.Sekiranya Allah SWT tidak menakdirkan kami duduk di majlis itu,di manakah kami agakanya ketika itu.

Majlis ilmu di tangguhkan beberapa minit sebelum masuk waktu Isya`.Kelihatan para Jemaah mula menuju ke tempat wudhu.Aku mendekati Abang Hamid untuk bertanyakan keperluannya.Memandangkan Abang Hamid mengatakan wudhunya masih belum terbatal,aku terus sahaja turun ke kolah untuk mengambil wudhu.

Usai solat Isya’,Jali dan Abang Sufian menjemput semua jemaah yang ada untuk menjamu selera dengan juadah yang telah disediakan.Nampak ketika itu ikatan ukhwah antara kami dengan penduduk tempatan mula terjalin erat.Sekali lagi butir-butir pujian ke Hadrat Illahi ku sebut di dalam hati.

Apabila jemaah semua sudah menjamu selera,mereka seorang demi seorang meninggalkan masjid.Sempat kami titipkan pesanan agar mereka dapat hadir untuk solat subuh keesokan harinya.Nampak riak di wajah mereka menggambarkan mereka menyambut pesanan kami dengan hati yang penuh dengan keterbukaan.

Abang Sufian menutup aktiviti malam itu dengan sedikit mesyuarat dan menerangkan adab-adab tidur kepada kami semua.Selesai sahaja majlis tersebut,aku cuba gigihkan semangat untuk memulakan bacaan surah Al Waqiah sebelum masuk tidur.Begitulah yang di pesan oleh Abang Sufian seketika itu.Dengan bertemankan cahaya lilin dan dalam keadaan mata yang hampir terkatup,dapat juga akan menghabiskan bacaan surah Al Waqiah malam itu. Kata Abang Sufian lagi,sebelum kita tidur elok merenung dahulu segala apa yang telah kita lakukan sepanjang 1 hari.Ini bagi menyedarkan diri sendiri tentang mana-mana dosa yang telah kita lakukan dan kita minta ampun pada Allah SWT sebelum kita tidur.Manakala bacaan surah Al Waqiah pula bagi mengingatkan hati tentang Hari Akhirat kerana di dalam surah Al Waqiah,Allah SWT menyebutkan tentang apa yang akan terjadi waktu itu.

Selesai mencium Al Quran tersebut,aku bingkas bangun untuk meletakkan Al Quran yang kubaca tadi ke tempatnya semula.Sempat aku menoleh pada Abang Hamid yang masih duduk berteleku di tempat biasanya di belakang tiang.Khusyuk nampaknya dia walaupun duduk dalam kegelapan yang makin lama makin pekat.Hanya bunyi biji tasbih sahaja yang kedengaran dari susuk tubuh itu.Mungkin Abang Hamid ingin menghabiskan zikir malamnya.Aku membiarkan sahaja dia tanpa mahu mengganggu.Lagipun dalam diam,tanpa aku sedari sebenarnya Abang Hamid sudah boleh bergerak ke tempat tertentu tanpa aku pimpin.Agaknya apakah yang di jadikan panduan oleh Abang Hamid ketika mengorak langkah.Aku sendiri dalam keadaan yang serba gelap yang pekat likat ini,walaupun dengan mata yang berfungsi baik sekalipun masih teraba-raba kerana takut terlanggar tiang masjid.Maha Suci Allah SWT yang Maha Adil terhadap seluruh hambaNya.Makhluknya yang buta kadangkala hatinya bercahaya lebih dari yang celik.Agaknya cahaya itulah yang membantu Abang Hamid.Wallahua`alam.

Aku terus menuju ke tempat pembaringan.Aku kibas beberapa kali lantai masjid yang hendak di jadikan tempat tidurku dengan kain selimut.Kain selimut itu tadi pula dijadikan alas tidurku.Ku capai bantal kecil yang ku bawa dan aku baringkan sekujur tubuh badanku.Lelah sepanjang hari akan ku cuba luputkan dalam tidurku.Sambil mata melirik kanan dan kiri,aku panjatkan doa agar Allah memberi kekuatan padaku untuk bangun Tahajjud pada malam itu.Entah jam berapa,mata dan jiwa ku pun hanyut dalam arus angin malam.

Enaknya nikmat tidur yang di kurniakan Allah kepada hambaNya.

Aku terkejut dan terus terjaga dari tidur bila mendengar sayup sayup bunyi esakan orang menangis. Kadangkala kuat kadangkala perlahan.Bingkas sahaja aku mendudukkan diri ku.Menoleh kanan dan kiri,sahabat yang lain sudah tiada di sisi.Dalam kegelapan awal pagi itu aku terus mencapai kelengkapan ku dan turun ke bilik air.Kerana sejuk pada pagi itu amat menggigit tulang,aku percepatkan langkah ku.Aku sirami badanku dengan air yang amat dingin sehinggakan selepas siap membersihkan badan,air hidungku meleleh menahan kesejukan.Aku terus sahaja segera berwudhu dan naik ke dalam masjid.

Selesai sahaja bersiap,aku terus sahaja menuju ke saf paling hadapan dalam masjid.Perlahan lahan aku melangkah memandangkan hanya suram cahaya lilin sahaja yang menjadi sumber penglihatan ketika itu.Aku melihat sahabat ku yang lain sudah sibuk dengan aktiviti qiamulail mereka.

Perlahan lahan aku mulakan solat sunat ku.Seperti yang di ajar oleh Abang Sufian,aku terlebih dahulu memulakan dengan solat sunat taubat 2 rakaat.Selepas salam,aku berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.Kata Abang Sufian lagi,biarlah berdoa dalam bahasa melayu sekalipun,kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui dan Maha Mendengar.Dalam aku bermunajat itu,telinga ku masih dapat mendengar suara esakan yang aku dengar tatkala aku terjaga tadi.Entah mengapa,jiwa dan sanubari aku juga tiba tiba di rentap sayu.Aku teruskan bermunajat,entah mengapa terasa air hangat sedikit demi sedikit mula turun di pipiku.Perasaan ketika itu tidak dapat di gambarkan,hati terasa sebak dan penuh seperti tidak dapat bernafas.Suara hampir hampir tidak dapat keluar.Aku kuatkan hati sehinggalah aku rasa sebak hatiku seperti tidak dapat di kawal lagi.Aura manakah yang menjadikan diriku menjadi seperti itu.

Aku bangun untuk meneruskan solat tahajjud ku.Selepas salam aku berdoa lagi.

Akhirnya dalam sujud selepas salam solat Hajat,aku luahkan isi hati ku ketika itu di hadapan Allah SWT.Betapa kerdilnya terasa jiwaku ketika itu.

"Ya Allah berilah kami kekuatan untuk terus menetapkan kaki kami di atas jalan dakwahMu."

Tatkala kokokan ayam mula kedengaran,aku sudah menyudahkan sunat witirku.Aku menoleh dan mendongak sejenak untuk melihat langit yang terbentang luas itu.Ada sedikit tompok tompok putih di sana sini.Panorama yang begitu indah yang menggambarkan Kekuasan Allah SWT.Aku panjatkan doa sekali lagi dalam iringan kokokan ayam itu tadi.Kalaulah betul ayam tadi melihat malaikat ketika berkokok,aku cuba rebut keberkatan tika itu untuk berdoa.Ya Allah,Kau terimalah taubat hambaMu yang serba daif ini.

Tidak lama selepas itu,kedengaran suara bilal melaungkan suara azan subuh.Aku bangkit untuk membawa Abang Hamid ke dalam saf solat,namun apa yang aku dapati,Abang Hamid sudah terlebih dahulu berada di situ.Ah,Abang Hamid ni,langsung tidak memberi aku peluang untuk berbakti kepadanya,bisikku dalam hati.Namun dalam diam aku sedar,Kuasa Allah melebihi kuasa seluruh makhluknya.Biarlah,mungkin Abang Hamid tidak suka menyusahkan orang lain agaknya dalam keterbatasan pancainderanya.

Usai solat subuh,Abang Sufian sekali lagi melontarkan puji pujian kepada Allah SWT di hadapan jemaah yang datang bersolat.Abang Sufian memperdengarkan kepada semua jemaah tentang Kebesaran Allah,yang sekiranya di sebut satu persatu kita akan berasa kita ini amat lemah dan amat kerdil.Segala nikmat yang kita kecapai ini hanyalah pinjaman sementara,dunia juga hanya tempat persinggahan sementara dan hala tuju semua kita adalah akhirat,tempat yang kekal untuk selama lamanya.Begitulah antara isi penting tazkirah ringkas Abang Sufian pagi itu.

Dan bermulalah hari yang baru pada pagi itu,dan kami akan mengulang semula segala kegiatan kami seperti hari sebelumnya.

Genap 3 hari kami bermalam di masjid itu,pada solat Maghrib berkenaan,tika Jali sedang menyampaikan tazkirah kepada jemaah,tiba tiba lampu masjid padam.Malam yang tadinya terang di simbahi cahaya lampu,tiba tiba sahaja menjadi hitam pekat.Ya,3 hari berkampung di masjid itu mengajar kami akan kegelapan malam di sawah bendang.Gelap segelap-gelapnya.Tok Bilal membisikkan kepada Abang Sufian yang duduk di sampingnya tadi bahawa mungkin enjin generator tidak berfungsi.Abang Sufian atas persetujuan Tok Imam menyuruh agar Jali meneruskan tazkirahnya.Dalam kegelapan itu,butir kata kata Jali seperti menyelusup masuk ke pangkal hati.Kata Jali pada jemaah semua,sedar tak sedar,manusia sebenarnya kian lama kian lalai dengan tugas mereka sebenar sebagai kalifah di muka bumi.Dunia yang sementara dijadikan kiblat menyebabkan Kebesaran dan KeEsaan Allah pudar dari hati-hati manusia.Jali menamatkan tazkirah malam itu dengan mengajak sekalian jemaah untuk sama sama berusaha untuk berdakwah sesama manusia demi dijadikan bekalan untuk hari kemudian.

Tamat sahaja majlis berkenaan,Tok Bilal memberitahu Tok Imam yang dia akan cuba melihat enjin generator di dalam stor kalau kalau boleh di hidupkan semula.Namun,Tok Bilal menyatakan,yang menjadi masalahnya sekarang tiada seorang pun ketika itu membawa lampu picit.Entah macamana takdir Tuhan,manusia tidak mampu mengagak.Tanpa di sangka sangka,Abang Hamid tiba tiba pergi mendekati Tok Bilal.Di pegangnya tangan Tok Bilal lantas Abang Hamid mengajak Tok Bilal ke arah belakang masjid.Kami yang ketika itu sedang duduk,tergamam dengan tindakan Abang Hamid.Kemanakah agaknya Abang Hamid ingin membawa Tok Bilal berkenaan dalam kegelapan itu.Namun tiba tiba,dari belakang masjid kelihatan lampu lilin menyala.Kelihatan Abang Hamid masih terbongkok-bongkok di sisi beg pakaiannya seperti memasukkan sesuatu.Sejurus kemudian,nampak susuk tubuh Tok Bilal menuju ke luar masjid.Agak kami mungkin Tok Bilal terus ke stor untuk melihat keadaan enjin generator.

Tidak lama kemudian,kedengaran sayup sayup enjin generator berbunyi.Serentak dengan itu lampu masjid pun kembali menyala menerangi dewan solat.Dalam keadaan yang masih tergamam,kami melantunkan ucapan Alhamdulillah atas kurniaan nikmat Allah SWT.Dalam fikiran masing masing mungkin sedang sibuk menanyakan diri sendiri tentang kejadian sebentar tadi.

Tadi,lampu yang menerangi masjid tiba tiba padam dan hilanglah cahaya.Manusia yang duduk dalam kegelapan baru terasa yang cahaya tadi itu juga satu nikmat dari Allah SWT.Manakan tidak,dalam kegelapan,semuanya tampak hitam.Hanya cahaya sahaja yang dapat memberi bantuan kepada mata untuk membezakan yang mana berwarna yang mana tidak.Namun lebih besar dari itu,Allah menunjukkan bahawa secara normalnya,manusia yang celik akan menuntun manusia yang buta bila berjalan kerana yang buta tidak nampak seperti yang celik lihat.Namun pada masa yang lain,tidak mustahil si buta boleh memimpin si celik kerana si celik tidak dapat melihat ketika gelap sepertimana si buta itu melihat.”Ya Allah sungguh Engkau menunjukkan Kebesaran Mu kepada Kami sebentar tadi.Tiada daya tiada kuasa antara kami.Bantulah kami Ya Allah dalam meneruskan hidup di muka bumi ini untuk menjadi hambaMu yang soleh.”

Setelah cahaya kembali berfungsi seperti sediakala,kami pun solat isya dan selepas solat,kami mengucapkan terima kasih pada Tok Imam dan penduduk tempatan kerana mengizinkan kami untuk berkampung sementara di masjid mereka.Kami berpisah malam itu sambil kami berpelukan sesama kami.Tok Imam menyeka air matanya ketika melepaskan pelukannya dengan Abang Hamid.Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan Tok Imam syahdu bila memeluk Abang Hamid tadi.Abang Sufian sekali lagi sebagai wakil kami semua,memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Tok Imam.

Setelah penduduk tempatan bersurai,kami pun bersiap siap untuk berkemas,kerana esok pagi pagi lagi,kami akan bertolak pulang ke destinasi asal kami.Kami akan kembali kepada keluarga dan meneruskan tanggungjawab kami seperti sediakala.Abang Sufian akan kembali ke madrasahnya semula meneruskan tugasnya sebagai mudir.Jali akan kembali semula membuka kedai makannya.Saring,Aripin dan Latip akan kembali ke kebun getahnya.Abang Hamid,aku sendiri tidak pasti apa yang akan di lakukannya selepas ini.Terlalu berat untuk mulutku bertanya,memandangkan aku terlalu hormat akannya.Sepanjang tempoh 3 hari aku bersamanya,aku terasa bahawa semangat dan jiwa Abang Hamid terlalu besar dan utuh dan bisa membuatkan manusia normal seperti aku malu akan usaha dan tawakkal kami dalam hidup seharian.Aku pula,akan meneruskan pembelajaranku yang masih panjang perjalanannya.Moga semangat dan bekal yang kau pelajari dalam tempoh singkat ini bisa menjadi pendorong kepadaku untuk terus kekal dijalanNya.

Aku tersedar dari lamunan bila emak mengetuk bilikku mengejutkan anak anaknya.Aku terus sahaja menutup daun tingkap dan menghidupkan lampu bilik.Adik adikku kelihatan masih enak di ulit mimpi.Lantas aku kejut mereka seorang demi seorang untuk bangun dan seterusnya bersiap untuk sahur pada pagi berkenaan. Apabila mereka semua sudah bangkit dan meninggalkan aku keseorangan dalam bilik itu,aku tiba tiba di serang rasa rindu kepada sahabat sahabatku yang telah lama ku tinggalkan semenjak aku berpindah ke selatan.InsyaAllah,hari lebaran nanti,aku akan pulang ke rumah nenek di utara,akan ku cari mereka seorang demi seorang.Apakah khabar mereka sekarang.Aku seperti tidak sabar menunggu tika itu....

Tamat.

Nota :
Dari kisah benar yang pernah di ceritakan kepadaku oleh seorang yang aku amat sanjungi pengorbanannya dengan sedikit tokok tambah untuk menghidupkan jalan cerita.


Madrasah 1 Ramadhan 1431.
Taman Desa Ixora,
Senawang Negeri Sembilan.

Thursday, August 5, 2010

:: Hanyut tanpa tali ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Zaman ini manusia menganggap surat khabar adalah segalanya dalam penyampaian berita.

Lihat sahaja sekeliling kita....

Adalah menjadi fenomena biasa sekiranya kita melihat orang di sekeliling kita sibuk membaca akhbar untuk mengetahui perkembangan dunia masa kini.

A sibuk dengan membaca isu dunia.
B sibuk dengan membaca berita tempatan.
C sibuk dengan membaca gosip hiburan.
D sibuk dengan membaca rencah politik.
E sibuk dengan membaca ruangan sukan.
F sibuk dengan membelek ruangan iklan.

Terkadang F bukan minat/mampu pun untuk membeli/menukar keretanya yang sedia ada kepada kereta WISH/ESTIMA/BMW,tetapi F tetap membelek ruangan itu.

G?
G pula sibuk membaca kertas lapik pembungkus nasi lemaknya walau dia sendiri tidak tahu keratan itu dari suratkhabar edisi tahun bila.
....akhbar harian dan tabloid yang ada di Malaysia.
(sekadar gambar hiasan)
Singkatnya,manusia sibuk untuk membaca.

Lalu.....

Puak puak Yahudi dan Nasrani pun memainkan peranan mereka dengan menguasai syarikat-syarikat akhbar tertentu.Lalu jarum-jarum dakyah mereka pun di suntik secara sedikit demi sedikit di dalam akhbar keluaran mereka.Akhirnya secara tidak sedar,pembaca/pelanggan akhbar mereka lebih mempercayai apa yang mereka baca dari segalanya.

Akhirnya.....

Pelbagai gejala maksiat berlaku dan melanda masyarakat tanpa dapat di kawal sebaiknya.Setiap hari/masa ada sahaja gejala maksiat yang timbul dan berlaku.Anak gadis sudah tanpa segan silu menghisap rokok di tempat awam.Anak muda pula dengan 'muka keringnya' menegok air arak tanpa ada berasa sekelumit pun perasaan berdosa,hatta di siang hari sekalipun.Pakcik tua seusia 72 tahun pula di tangkap bersosial di dalam kelab malam.Si kecil pula amat ringan sahaja mulut mereka mengungkapkan kata-kata kesat/kasar dalam pertuturan harian.
Masyarakat kala ini amat kurang peka terhadap
hak antara kita.Tegur-menegur dalam kehidupan seharian
juga jarang sekali di praktikan.Mereka lebih suka
mendiamkan diri.Menegur,takut nanti kita pula yang di salahkan.
(sekadar gambar hiasan)

Sebab apakah ini.....

Ini tidak lain dan tidak bukan kerana Kalamullah telah tercicir dari dalam diri mereka.Malah hati mereka ini pula tiada keinginan untuk belajar/memperbaiki pemahaman tentang agama.Anak anak pula tidak di dedahkan dengan pengetahuan Islam dengan serius.

Lantas.....

Dari minda mereka berfikiran,apa guna anak belajar dan mendalami ilmu Al Quran/menjadi seorang hafiz/hafizah? Nanti mereka mahu bekerja sebagai apa? Mahu makan apa mereka kelak apabila mereka sudah tiba masa untuk mencari rezeki.Namun di sebalik itu,mereka sedar/tahu/yakin walaupun dalam diam,apabila seorang yang sudah/sedang belajar Al Quran/menjadi hafiz/hafizah,kelak akan menjadi insan yang baik akhlak budi mereka.
Adakah Al Quran hanya di baca ketika
bulan Ramadhan sahaja.Itu pun hanya sebilangan
kecil dari masyarakat yang melibatkan diri.
Lalu...

Apabila mereka tidak berjaya mendidik anak mereka,di sebabkan anak mereka juga sudah tidak mahu mendengar kata,lalu di hantarlah anak-anak itu ke pusat-pusat pengajian/madrasah tahfiz.Akhirnya,di sebabkan sifat,perangai dan tingkah laku lama yang terbawa bawa,mereka ini sebaliknya memberi impak negatif kepada pusat pengajian/madrasah tahfiz.Mana tidaknya,perlakuan negatif mereka yang terbawa bawa dengan perangai lama menyebabkan pandangan umum menyalahkan pusat tahfiz sebagai  tidak berjaya kerana melahirkan pelajar bermasalah.

Apa tindakan kita?

Mari renung sejenak kisah di bawah....

Di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang bapa datang berjumpa Saidina Umar Al-Khattab dengan katanya "Wahai Amirul Mukimnin, sesungguhnya anakku telah derhaka kepada ku."

Lalu Khalifah Umar Khattab memanggil anak yang di katakan derhaka oleh bapanya itu dan ditanyakan kenapa dia derhaka kepada bapanya.Lalu selaku anak muda,dia telah bertanya kepada Khalifah Umar Al-Khattab tentang tanggungjawab seorang bapa kepada anaknya.Maka Khalifah Umar Al-Khattab memberitahu bahawa tanggungjawab bapa kepada anak itu 3 perkara iaitu :-

1.Mencari ibu yang baik untuk anaknya.
2.Menamakan anaknya dengan nama yang baik.
3.Mengajar dengan didikan yang terkandung di dalam Al Quran.

Dengar sahaja penjelasan Khalifah Umar Al-Khattab,lantas anak itu memberitahu Khalifah,bahawa ke tiga tiga perkara itu tidak ditunaikan oleh bapanya.Anak itu seterusnya memberitahu Khalifah Umar Al-Khattab :

1. Ayahnya mengahwini seorang pelacur yang merupakan ibunya sekarang ini.
2. Ayahnya menamakannya dengan nama yang bermaksud “Kelawar Jantan”
3. Ayahnya tidak mendidiknya dengan ajaran yang ada di dalam Al Quran.

Dengar sahaja kata anak itu,lantas Khalifah Umar Al-Khattab bertanyakan bapa tersebut. "Betulkah begitu wahai bapa budak." Bapa anak itu menundukkan kepalanya.Lantas kata Khalifah Umar Al-Khattab, "Kamulah yang dahulu derhaka kepada anakmu."
Mengikut nafsu serakah...
kadangkala manusia sudah tidak boleh
mempertimbangkan kewarasan mereka.
Adakah dengan cara begini kita mencari seorang wanita yang
hendak di jadikan isteri lantas ibu kepada anak kita.
(sekadar gambar hiasan)

Ya Allah,Segala puji pujian hanya kepada Engkau,
Engkaulah yang mentadbir sekalian alam ini,
Maha Suci Engkau dari sifat kekurangan.

Ya Allah,
Tiada daya dan tiada kuasa pada diri ku ini,
Aku hanyalah hambaMu yang terlalu kerdil,
Dosaku terlalu banyak,

Ya Allah,
Engkaulah Maha Pengampun segala kesalahan dan dosa,
Ampunkanlah dosaku Ya Allah,
Ampunkanlah dosa sekalian ummat Islam ini Ya Allah,
Berilah kami kekuatan untuk mengikut segala suruhanMu Ya Allah,
Berilah kami kekuatan untuk meninggalkan segala laranganMu Ya Allah,
Peliharalah kami Ya Allah,
Selamatkanlah kami Ya Allah dari fitnah dunia yang teramat dahsyat.

Ya Allah,jadikanlah kami golongan yang soleh/solehah,
Jauhkanlah kami dari jalan jalan menuju ke nerakaMu Ya Allah,
Dekatkanlah kami dengan jalan jalan menuju ke syurgaMu Ya Allah,
Tetapkanlah kaki-kaki kami di situ...

Allahumma balighna Ramadhan....