Thursday, November 25, 2010

:: Langit tak selamanya biru ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Nun di sana langit kelihatan sungguh membiru,
di bawahnya alunan ombak beralun lesu,
dan isi bumi tabah menadah rezeki dan restu.

Kebelakangan ini antara sedar atau tidak,Negara kita telah dilanda pelbagai bentuk bencana/bala.Samada bencana/bala yang datang secara berterusan mahupun yang datang sekali sekala.

Kes bunuh.

Terlampau banyak kes bunuh yang berlaku di Negara kita.Saban hari di dada akhbar pasti akan ada liputan mengenai kes pembunuhan.Walaupun dengan motif berbeza,namun bila sebut sahaja kes bunuh pasti kematian mangsa adalah amat mengerikan.Dari sekecil-kecil bayi sehinggalah seusia datuk atau nenek,mereka tidak dapat lari dari menjadi mangsa pembunuhan.Itu belum lagi kes-kes yang 'terpencil' dan langsung tidak mendapat liputan.

Kes kemalangan maut.

Sebut sahaja berapa jumlah kematian per hari,samada ketika dipantau seperti pada musim perayaan ataupun pada hari-hari biasa,manusia seperti sudah tidak menghiraukan kenyataan itu malah mereka mengalpakannya begitu sahaja.Saban hari jumlah kenderaan yang berada di atas jalanraya semakin bertambah ganda.Maka dengan kadar sebegitu,kebarangkalian untuk pengguna jalanraya ditimpa kemalangan memang ada.Namun kesedaran tentang perlunya berhati-hati dijalanraya masih terlalu jauh untuk dinilai sebagai mencapai tahap keselamatan.Lampu kuning dianggap tempoh untuk menekan pedal minyak bukan untuk memperlahankan kenderaan malah yang gemar dengan aktiviti 'mencucuk angin' dari belakang kenderaan bukan sikit jumlahnya.Bukankah itu boleh membahayakan keadaan.

Para pemerintah pula seperti tidak sedar yang peripentingnya mereka mengalih pandangan rakyat agar bertukar arah menggunakan kenderaan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang berada di jalanraya.Malah sesetengah tempat,sistem pengangkutan awam kita masih jauh dibawah paras mesra pengguna menyebabkan rakyat lebih suka menggunakan kenderaan sendiri.

Renunglah sejenak….

Di Palestin,rakyat mereka ramai yang mati di atas jalan jihad ketika perang menentang Zionis tapi dalam pada masa yang sama rakyat kita ramai yang mati di atas jalanraya.

Banjir.

Samada banjir kilat,banjir musim tengkujuh ataupun banjir disebabkan sistem saliran yang buruk,tanah air tumpah darah kita ini kerap digenangi air.Parasnya sahaja yang berbeza-beza.Di kawasan pantai timur,bagi penduduk di sana,fenomena banjir mungkin sudah menjadi acara tahunan,maka mereka sudah tidak pelik.Bagaimana dengan fenomena 'banjir termenung' yang pernah melanda kawasan Johor beberapa tahun lepas?
Banjir 'termenung' di Seri Medan,Johor.
Keadaan muka bumi yang seperti kawah menyebabkan
air bergenang di kawasan rendah dan tidak kunjung surut.

Baru-baru ini pula,kawasan utara tanah air pula di landa banjir.Kawasan Bandaraya Alor Star menjadi lumpuh akibat banjir berkenaan.Lapangan terbang di genangi air dan terpaksa ditutup untuk sebarang penerbangan.Malah majlis konvokesyen di sebuah Universiti di sana juga terpaksa di tangguhkan dan di pindahkan ke ibu kota di atas masalah yang sama.Perlu diingat,Bandaraya Alor Star adalah kawasan yang jarang sekali di landa banjir.

Pembuangan bayi.

Seolah-olah entah bila akan berakhirnya gejala buruk ini,yang anehnya banyak pihak masih lagi tidak sepakat akan penyebab utama munculnya gejala ini.Walaupun gejala ini mula berombak tinggi di zaman era millennium,namun peningkatan datanya amat menggerunkan.Ada bayi yang di buang dan terus menemui ajalnya dan ada pula bayi yang dibuang dengan harapan ada yang datang mengambilnya.Itu belum termasuk bayi yang dilahirkan di luar nikah.Apakah masih ada harapan pada masa hadapan mereka?

Penagihan dadah.

'Teknologi' penyalahgunaan dadah makin lama makin berkembang.Kalau dahulu hanya terdengar nama jenis dadah seperti candu,ganja,morfin ataupun heroin.Namun sekarang sudah ada ecstasy,phetamine,syabu dan bermacam lagi nama yang pelik,tetapi fungsi dan kesan penggunaannya hanya satu,mendatangkan khayal pada si penggunanya.

Berapakah sebenarnya jumlah masyarakat kita yang telah ketagihan dadah?  1000? 10,000? 1,000,000?
Bukankah tenaga mereka boleh disalurkan ke tempat yang lebih bermanafaat sekiranya mereka tidak terlibat dengan najis dadah.

edar dadah = hukuman gantung = selesai masalah?

Hukumlah bunuh di tali gantung sebanyak kali manapun,hakikatnya jumlah penagih dan pengedar dadah akan sentiasa berubah dan semakin berkembang sehinggalah penguatkuasa benar-benar menjalankan sekatan di mana sumber dadah itu sendiri tidak masuk dan di hasilkan/di proses di tanah air tercinta kita ini.

Penyelewengan harta dan kuasa.

Saya pernah menjadi fasilitator pada 1 kursus motivasi yang di anjurkan oleh sebuah institusi kerajaan suatu ketika dahulu.Di hujung program,saya di beri kejutan kerana dalam tempoh saya mencurah tenaga sebagai fasilitator,sebagai tanda terima kasih sedikit elaun akan di beri kepada saya.Ianya tidak dimaklumkan terlebih dahulu.Namun sebelum saya mendapat elaun berkenaan saya perlulah mengisi 2 jenis borang.Borang berkenaan perlu saya isikan berkenaan dengan maklumat lengkap diri saya dan ebebrapa maklumat lain termasuk nombor akaun bank.

Setelah selesai mengisi borang berkenaan,pegawai yang bertugas sebagai wakil pihak institusi berkenaan memaklumkan kepada saya,proses pembayaran elaun mengambil sedikit masa,kerana perlu mendapat kelulusan banyak pihak.Diam tak diam hampir 2 bulan lebih,akhirnya cek bayaran elaun berkenaan telah diposkan ke rumah saya.Walaupun jumlahnya tidaklah sebesar mana,tapi ia cukup membungakan hati saya kerana serba sedikit curahan keringat saya dihargai oleh mereka.

Tetapi di sebalik itu,saya terkadang agak sedikit terkilan,bagaimana agaknya dalam prosedur yang pelbagai borang perlu di isi,pengesahan banyak pihak perlu di perolehi sebelum pembayaran sesuatu perkara dapat di tunaikan,tapi mengapa agaknya duit yang berjuta malah berbillion dapat digelapkan malah disenyapkan begitu sahaja kehilangannya.Sedangkan duit yang digelapkan itu bukan milik individu tertentu tapi milik orang ramai.Adakah penguatkuasaan sesuatu prosedur itu hanya pada rakyat biasa seperti saya namun tidak pada golongan yang tertentu.

Sistem ekonomi dan masyarakatnya.

Pihak pemerintah lebih sukakan dasar yang di gubal entah pakar dari mana asal-usulnya.Sistem ekonomi di ciplak dari sistem kapitalis yang terlalu mengejar keuntungan sedangkan ada golongan yang 'terjerut' di bawah sana .

Cubalah fikir sejenak wahai manusia sekalian.

Di peringkat Negara :

Belumpun kita mula berniaga,malah barang niaga kita yang ingin kita import masih lagi di luar sana,kita sudah dikenakan cukai sehinggakan 300 % sedangkan dalam ajaran Islam,zakat perniagaan akan dikenakan setelah jaul beli di jalankan dan mendatangkan pulangan.Itupun sekiranya cukup nisab dan haul.

Di peringkat masyarakat :

Terlalu sukar masyarakat kita untuk memisahkan tradisi turun temurun yang sudah sebati dengan kehidupan.Majlis perkhawinan masih lagi bercampur baur dengan tradisi entah dari mana datangnya.Sambil memasak lauk pauk,ada golongan kelompok manusia yang khusyuk membelek daun terup sambil beberapa wang kertas dipertaruhkan di atas meja.Bersanding,menepung tawar,joget lambak,karaoke masih lagi kental melekat bila saja majlis berlangsung.Di balik dapur pula bermacam-macam tangkal di letakkan untuk menghalang hujan.

Adakah ini semua ajaran/praktikal yang di ambil dari Al Quran dan As Sunnah?

Itu baru sekelumit permasalahan yang sepatutnya perlu di ambil tindakan sewajarnya.Malah,di luar sana masih lagi banyak selupat-selupat yang perlu di bersihkan bahana maksiat dan dosa yang kita kongsikan bersama sahamnya sekiranya kita duduk diam tanpa menyuarakan kebenaran.

Ayuh,bangunlah anak bangsaku.

Masih tidak sedarkah kita?

Apalagi yang boleh kita harapkan di muka bumi ini sekiranya cara hidup dan sandaran pegangan masyarakat tidak berlandaskan Al Quran dan Sunnah yang telah di ajar oleh Baginda Nabi SAW.

Indonesia yang hanya sepelaung jaraknya sudah di uji beberapa kali dengan pelbagai musibah yang amat dahsyat.Kita di Malaysia,jika sekiranya sesuatu tindakan pembaikpulihan tidak dilakukan segera,kita hanya meletakkan negara tanah tumpah darah kita ini tempat  menunggu giliran untuk di azab yang boleh tiba bila-bila masa sahaja.Nauzubillah!
Sehari selepas TSUNAMI melanda Indonesia.

5 tahun selepas itu....

5 tahun selepas itu juga...
Gunung Merapi pula yang meletus dan inilah
kesannya...Masih tidak insafkah kita?

Masihkah kita mahu duduk selesa di zon yang kita ada selama ini?

Al Quran dan ayatnya terbentang luas di hadapan kita.Saban hari kita mengulang bacanya.Namun hakikatnya kita jarang menghadam maksud dan tafsiran dari ayat berkenaan.Jauh sekali untuk mengetahui asbabun nuzulnya.

Renung lah sedalam-dalamnya wahai manusia yang dianugerahkan akal fikiran dan kewarasan oleh Allah SWT :

"Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az Zumar :9)

"Ya Allah Dikau jauhkan lah muka bumi ini dari bala bencana dan azab seksa yang kami sesungguhnya tiada kuasa dan tiada daya untuk menanganinya."

Wak,
Senawang,N9.

Wednesday, November 24, 2010

:: Perginya tidak akan kembali ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Tidur adalah rehat yang sementara,
Mati adalah rehat selamanya.

Tanggal 11 November 2010,jam 5:20 minit pagi,saya menerima 1 panggilan telefon dari pakcik saya,mengkhabarkan akan kematian Nenek saya,Allahyarhamah Hjh Rianah bte Bakri.
Innalillahi wainnailai hiroojiun.
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan jasa.

Selepas selesai solat subuh,kami sekeluarga mula berkemas untuk bertolak ke rumah pakcik saya di Taman Sri Pulai,Johor Bahru,di mana jenazah nenek saya berada.Mereka (pakcik dan makcik saya) telah sepakat ingin mengkebumikan jenazah Nenek di sana walaupun rumah  dan kampung halaman nenek berada di Kampung Parit Haji Zain,Ayer Hitam,Muar,Johor.

Jam 8:00 pagi saya telah berada di tol Senawang dan bersedia untuk bergerak menuju ke destinasi.Setelah singgah sebentar di kampung untuk mengambil kakak dan anaknya,saya teruskan baki perjalanan dan sampai ke destinasi lebih kurang jam 12:20 tengahari.Ketika saya sampai,jenazah sudah siap di kapankan dan telah bersedia untuk di bawa ke Masjid Intan Abu Bakar,Taman Sri Pulai untuk solat jenazah.

Dunia hanya tempat persinggahan sementara.
Akhirat adalah tempat yang kekal selama lamanya.
(Masjid Intan Abu Bakar : Tempat jenazah atok di solatkan)

Setelah solat zohor,para jemaah yang solat berjemaah telah solat jenazah untuk Allahyarhamah Nenek (baca : atok).Dan Jenazah nenek selepas itu di bawa ke tanah perkuburan Islam Kangkar Pulai,kira-kira 15 km dari Taman Sri Pulai.

Jam 3:00 petang,imam telah menyelesaikan bacaan talkin,maka selesailah majlis pengkebumian.

Jam 3:30 petang,para jemaah yang hadir sekali lagi berkumpul di rumah Tn Hj Bajuri untuk membaca tahlil arwah dan selepas tahlil,semua hadirin menjamu selera dengan juadah yang telah dihidangkan.

Jam 4:00 petang,jemaah telah selesai menjamu selera dan mereka mula pulang ke rumah masing masing.

Jam 5:00 petang,atas urusan keluarga,saya meminta diri dari rumah pakcik untuk pulang ke kampung di Muar,Johor.

Sorotan Kisah.
1.Muqaddam itu.

Ketika umur saya 5 tahun,suatu hari atok dalam perjalanan untuk ke Pasar Minggu Parit Sulong,telah singgah ke rumah abah.Kebetulan pula tiada siapa di rumah ketika itu.Dengan spontan saya lari naik ke rumah dan turun semula ke bawah bertemu atok dengan membawa muqaddam saya.Muqaddam yang sedikit koyak itu saya tunjukkan kepada atok dengan harapan mendapat muqaddam yang baru.Alhamdulillah,selepas atok pulang dari Parit Sulong,hajat saya tertunai jua akhirnya.Arwah emak yang sedikit pelik dengan hadiah pemberian atok itu,akhirnya mendapat tahu yang saya yang meng'order'nya terlebih dahulu sebelum itu.

2.Lepat pulut atok.

Lazimnya,tradisi di kampung saya,bila tiba hari lebaran,antara juadah rasmi adalah ketupat/nasi impit,ayam masak kicap,kuah lodeh dan sambal kacang.Tapi di rumah atok,saban tahun akan ada sahaja juadah tambahan yang amat istimewa iaitu lepat pulut.

Sehari sebelum raya pasti atok akan 'nyetuk’'di tepi tangga memilih 'janor' kelapa yang berdaun lebar untuk di jadikan pembungkus lepat.Beras pulut yang telah di rendam dengan santan dan di campur sedikit dengan kelapa dan sedikit garam akan dibungus dan diikat dengan tali raffia.

Apabila sudah di rebus bersama-sama ketupat dan sudah cukup masak,lepat pulut tadi akan di gantung di tepi pintu bagi membolehkan air dari bekas rendaman tos dengan sempurna.Ini bagi membolehkan lepat pulut dapat bertahan dengan lebih lama.
Lepat pulut.
(sekadar gambar hiasan)

Lepat pulut vs sambal kacang atok memang akan dikenang selamanya.

3.Suara kecik.

Walaupun sejak saya kecil atok jarang demam atau sakit yang berat,tapi salah satu cara untuk mengesan atok 'tak sedap badan' adalah bila mendengar suaranya di kecilkan agak lirih.

4.Banjir.

Satu ketika dahulu banjir amat kerap melanda kampung kami.Oleh kerana atok duduk seorang diri di rumah,abah telah membawa atok ke rumah kami.Tatkala banjir hampir surut,abah telah membina titi dari batang paip PVC untuk ke kolam yang terletak di belakang rumah kami.Entah bagaimana ketika atok meniti titi buatan itu,atok telah tergelincir dari atas titi tersebut.Akibat kejadian itu,tulang di bahagian tangan atok patah dan telah disimen oleh salah seorang pakar urut di Parit Jawa.

Oleh kerana tidak mahu merisaukan hati anaknya yang lain,atok tidak menghebahkan kejadian tersebut.Namun apabila salah seorang pakcik saya pulang ke kampung dan menyedari tangan atok sedang di simen,mereka agak terkejut.Itupun mereka dapat tahu secara kebetulan kerana atok sedaya upaya menyembunyikan tangannya yang berbalut itu.

5.Di hujung usia.

Sesungguhnya nikmat di dunia ini hanya sementara.

Di hujung usia atok,jarak penglihatan atok tidak begitu sempurna,namun Alhamdulillah atok masih dapat mengenal tetamunya berdasarkan suara.Kerap ditanyakan kepada saya,apa yang boleh dibuat dalam pada keadaan kesihatan yang semakin lemah itu.Saya hanya mampu menggenggamkan tangan atok dengan erat dengan utasan tasbih yang memang sedia ada di sisi atok saban masa.

Dan pada usia atok 87 tahun,maka ajalnya telah dijemput oleh malaikat maut.

Mungkin banyak lagi kenangan-kenangan yang dapat di cungkil sepanjang saya bersama atok ketika hayatnya.Namun cukuplah sekadar itu yang mampu saya coretkan dengan hati yang berat dan penuh sebak.

Ternyata pemergian atok amat meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya.Namun dalam hati saya,saya yakin banyak hikmah baik yang akan muncul di sebalik ketiadaan atok di muka bumi ini.Saya doakan ukhwah anak cucu atok akan bertambah erat dan moga mereka juga dapat sama sama mendoakan moga roh atok dicucuri Rahmat.

Atok telah menyelesaikan perjalanannya di muka bumi ini.Kami yang tinggal,masih ada banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan."Ya Allah,matikanlah kami dalamana keadaan kami bersedia untuk mati."

Khususan illa Allahyarhamah Hjh Rianah binti Bakri,Al Fatihah.
"Allahumma firlaha warhamha waafini wa’fuanha."

Wak,
Senawang,
Negeri Sembilan.

Wednesday, November 3, 2010

:: Adakah itu secara kebetulan? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Juadah Buka Puasa.

Bulan Ramadhan yang lepas,saya ada menerima beberapa juadah untuk berbuka puasa dari jiran-jiran terdekat.Alhamdulillah,dapatlah kami sekeluarga menukar selera kami sekali-sekala,menjamu selera dari hasil air tangan jiran-jiran yang cukup baik hati.

Bak kata orang,"Orang berbudi kita berbahasa,orang memberi kita merasa."

Dipenghujung Ramadhan pula,saya bersama isteri berkesempatan untuk memasak juadah berbuka dengan niat untuk diagih-agihkan kepada jiran terdekat.Menunya tidaklah seistimewa mana,tapi memandangkan dalam ajaran Islam menggalakkan kita berkongsi juadah berbuka di dalam bulan puasa,maka dalam hati saya berdoa,agar makanan yang akan dihadiahkan itu nanti memberi keberkatan kepada semua.

Selesai sahaja kerja memasak dan membungkus,tiba giliran untuk mengagihkan juadah.Namun,ada jiran yang tiada di rumah,setelah ditelifon mereka sebenarnya mempunyai program berbuka di luar rumah.Bukan kali ini agaknya rezeki mereka dapat merasa masakan dari kami,telah saya dalam hati.

Oleh kerana sudah berniat untuk menghadiahkan juadah yang ada di dalam bakul motorsikal saya,maka saya berfikir sejenak,kepada siapakah juadah ini bakal di beri.Entah macamana timbul ilham,juadah itu saya terus sahaja tujukan ke rumah imam surau.Alhamdulillah,beliau ada dirumah.Rezeki imam agaknya.

Suatu hari,hujan turun dengan agak lebat,ketika itu saya sedang membaiki motorsikal saya yang tidak boleh di start enjinnya di anjung hadapan.Tiba-tiba muncul satu kelibat motorsikal di hadapan saya.Penunggang motorsikal yang lengkap memakai baju hujan itu terus sahaja memberi salam kepada saya.Ya Allah! Tuan Imam rupanya.Beliau terus sahaja menghulurkan bungkusan plastik kepada saya.Kerana hari masih hujan,Imam memendekkan perbualan kami ketika itu dan terus berlalu pulang.Saya serahkan bungkusan itu kepada isteri,sementara saya menyelesaikan tugasan yang masih berbaki itu.

Sewaktu berbuka puasa,saya lihat ada terhidang kuih buah Melaka di hadapan kami semua.Tahulah saya,Imam datang tadi membawa juadah untuk berbuka.Siapa sangka,saya memang sudah lama mengidamkan kuih buah Melaka.Maklumlah,pada bulan puasa macam macam yang di idam,macam-macam pula yang terlintas dalam fikiran.Petang tersebut dapatlah saya melunaskan idaman saya itu.

Adakah itu secara kebetulan?

Sayang anak.
Tidak tahu mengapa,saya amat senang sekali dengan kanak kanak,sejak dari saya masih berstatus bujang lagi.Bermula dengan anak pakcik(sepupu),selepas itu dengan anak kakak (anak buah),saya suka bermain-main dengan mereka,kadangkala ketika saya menunggang motorsikal di dalam kampung,saya bawa mereka sekali bersiar-siar.

Dan ketika saya belajar di Jepun,sekiranya ada 交流会 (culture interchange?) bersama pelajar sekolah rendah,saya akan sediakan permainan tradisional untuk mereka.Gembiralah mereka menendang bola takraw selepas melihat kami membuat demo permainan sepak raga bulatan.

Kini,saya senang sekali bergurau senda dengan 4 org permata hati saya itu.Bayangkan sahajalah,kalau saya mendokong salah seorang dari mereka untuk diajak ke dapur untuk makan malam,yang lain juga turut sama ingin didokong.Untuk tidak mengecewakan mereka,salah seorang saya akan dokong dibelakang saya dan dua orang lagi saya akan dokong dihadapan.Yang bongsu memang sentiasa bersama umminya.Memang kadangkala letih terutama saya selalu pulang lewat dari kerja,ditambah mereka sekarang sudah besar panjang,tapi hati anak turut perlu dijaga.

4 permata hatiku....(buat setakat ini)

Namun terubat juga rasa penat bila terkadang mereka datang kepada saya dan terus memeluk dan mencium pipi saya sambil berkata,"Saaaaaaaaayang bapak!"

Adakah itu secara kebetulan?

Kereta ucu.

Setahun lepas kereta Myvi adik bungsu saya telah melanggar batang pokok kelapa yang berada di tepi rumah kami di kampung.Hasilnya,cermin belakang keretanya pecah dan ada sedikit kemek pada pintu bonet belakang.Cermin kereta telah di ganti di bengkel kawan saya di Senawang dengan harga yang jauh lebih murah dari harga yang ditawarkan oleh pusat servis Perodua,namun kemek pada pintu hanya sempat di ketuk sahaja tanpa dapat dicat ke warna asal.Oleh kerana tidak dicat kembali,kesan tempat diketuk itu menjadi karat kerana terdedah pada udara sekeliling.

Bulan lepas,bahagian belakang kereta adik saya sekali lagi mengalami kemalangan.Kali ini di langgar oleh sebuah lori di Shah Alam.Disebabkan kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori berkenaan,kos kerosakkan kereta Myvi adik saya ditanggung keseluruhannya oleh pemandu lori terbabit.

Minggu lepas ketika saya tanyakan perihal keretanya,dia mengatakan keretanya sudah keluar dari bengkel dan keadaan kereta yang baru dibaiki itu amat memuaskan hatinya.Tambahan pula,kawasan kemek yang berkarat dulu kini telah bercat baru.

Adakah itu secara kebetulan?

Doktor Pakar.
Beberapa belas tahun lepas,setelah berhempas pulas dan bertungkus lumus untuk menamatkan pelajaran dalam bidang kedoktoran,termasuk melanjutkan pelajarannya di UK,akhirnya Pn Zabedah Othman berjaya menjadi seorang Doktor Pakar Kanser.

Kini,Mak Mertua saya sedang menjalani rawatan radiotherapy di Wad Kelas 1,Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Besar KL di bawah seliaan tidak lain dan tidak bukan,anaknya sendiri Dr Zabedah Othman yang merupakan salah seorang Doktor Pakar di Jabatan berkenaan.

Adakah itu secara kebetulan?

Wak,
3 Nov 2010
Senawang,N9.

Tuesday, November 2, 2010

:: Rokok di hisap & di HISAB?? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Baru baru ini berbetulan jadual saya pada hari minggu agak terbuka.Alhamdulillah saya sekeluarga dapat memenuhi undangan En Shaari bagi mewakili keluarga ibunya.Majlis undangan walimah itu merupakan bagi meraikan pasangan pengantin baru yang merupakan adik bongsu bagi En Shaari.Saya tiba ke tempat majlis lebih kurang jam 2 petang.

Tiba di tempat majlis,saya diraikan dan disambut oleh En Shaari yang memang terkenal murah dengan senyuman.Saya sekeluarga dipersilakan duduk di meja yang telah dihidangkan juadah makanan.Cukup meriah,selain dari meraikan pasangan pengantin baru,tuan rumah telah memilih untuk meraikan dan menyambut para tetamu mereka dengan makanan siap dihidang berbanding trend masakini yang lebih kepada secara buffet.

Kerana terlalu khusyuk menyuap makanan mengisi ruang perut yang memang tersedia kosong,membuatkan saya tidak perasan bila masanya meja di sebelah kami diisi dengan tetamu lain.Nampak gaya pemakaiannya seperti bukan calang-calang orang,detik hati saya.Lalu,kerana anak bungsu saya di dalam dakapan saya kala itu,saya memantaskan suapan nasi saya untuk segera menghabiskan juadah di dalam pinggan.

Sedang saya bertungkus lumus menghabiskan juadah makanan,tiba-tiba hidung saya menangkap sesuatu bau yang cukup saya kenal.Lalu,saya mencari-cari di mana puncanya.Akhirnya saya dapati,jiran yang makan bersama-sama serta duduk di sebelah sayalah yang telah menyalakan api rokoknya yang menyebabkan saya terhidu asapnya.Secara jujurnya dari hati yang tulus ikhlas saya memang cukup tidak menyukai orang yang menghisap rokok.Lagi- lagi orang yang menghisap rokok di khalayak ramai.Bertambah lagilah kemuakkan hati saya apabila orang yang merokok di khalayak ramai itu tidak mempedulikan langsung siapakah yang ada di sekelilingnya.

Biasakah anda dengan situasi sebegini?
Mengapa ia boleh berlaku?
Di manakah kurangnya?

Minta para pembaca meluangkan sedikit masa untuk menghadam apa yang saya ingin kongsikan di bawah ini....

Saya telah di beri keizinan Allah untuk tinggal di rantau orang selama 3 tahun.Dan negeri yang saya pilih adalah Jepun,sebuah negara yang memang sudah lama terkenal sebagai negara maju di rantau Asia.Penduduknya seperti kita di Malaysia dimana makanan ruji mereka adalah nasi.

Saya kongsikan serba sedikit himpunan pengalaman saya ketika di sana.

Kisah 1-Kelab Sukan.

Aktiviti kelab sukan/persatuan yang di lakukan di peringkat sekolah di Jepun seperti juga di Malaysia,merupakan aktiviti ko-kurikulum yang di jalankan samada harian ataupun mingguan.Setiap murid mempunyai satu kelab sukan yang mereka sertai.Kelab sukan ini pula mempunyai MANAGER yang terdiri dari beberapa murid perempuan yang terpilih di kalangan ahli kelab.Tugas mereka adalah menjadi pembantu kepada guru kelab seperti mencatat kedatangan,menyediakan alatan dan kelengkapan,kadangkala membancuh air dan beberapa tugasan kecil yang lain.Dengan kehadiran/kewujudan MANAGER ini,tugas guru kelab lebih mudah dan mereka boleh terus lebih mengfokus pada aktiviti dan target utama kelab mereka.Rasanya inilah salah satu penyumbang utama guru/jurulatih pasukan dapat memantau dengan lebih terperinci ahli kelabnya.Dan saya secara peribadi tidak menidakkan faktor pemantauan guru kelab terhadap prestasi ahli kelabnya,menyebabkan ada satu daya ikatan yang membuatkan ahli kelabnya jarang yang bertukar kelab ke sana ke mari atas alasan tertentu yang tidak boleh diterima.(contohnya:sekejap kelab badminton,sekejap kelab bola sepak)

Maka saya dapat lihat dan perhatikan,sekiranya murid itu ketika sekolah rendahnya menyertai kelab olahraga maka kelab itu akan terus di sertai sehinggalah sekolah menengah mahupun di peringkat universiti.Malah kelab sukan yang agak glamour seperti bola sepak,softball/besball dan bola tamper,mereka masih terus sedia aktif walaupun mereka sudah berada di alam pekerjaan.Tapi harus di ingat juga,kelab-kelab yang glamour ini mempunyai saringan tertentu bagi memilih ahli kelab mereka.Dan mereka yang betul-betul layak sahaja akan dapat terus kekal di dalamnya.Jika tidak di buat begitu,maka lambakkan ahli kelab pula akan terjadi.

Maka saya simpulkan di sini,dengan suasana dan fenomena di atas,di mana setiap individu begitu setia dengan kelab sukan mereka dari sekolah rendah hinggalah ke alam universiti,menjadikan Jepun mempunyai sumber atlet sukan yang begitu ramai.Dan dengan itu dapat terjawablah persoalan yang terbuku di dalam pemikiran kita,mengapa pasukan bola sepak mereka berjaya sehingga ke Piala Dunia sedangkan dalam tahun 70-an dulu,mereka adalah pasukan belasahan Harimau Belang.

Kisah 2-5S.

Sistem pembuangan sampah di Jepun memang agak unik kadangkala boleh menjadi rumit.Ia memerlukan kita mengasingkan segala jenis sampah mengikut kategori.Sampah di kelaskan mengikut bahan basah & kering,bahan plastik,bahan kertas,bahan kaca,bahan aluminium dan bahan besi.Sisa makanan adalah kategori bahan basah manakala segala macam pembalut makanan pula perlu di buang berasingan di dalam beg plastik yang berasingan.Dan hari pemungutan sampah oleh lori sampah juga berlaianan.Walaupun sampah basah sudah kita longokkan di hadapan rumah kita,namun sekiranya hari berkenaan adalah hari untuk pemungutan sampah kertas,lori sampah akan membiarkan sahaja sampah basah itu di hadapan rumah kita sehinggalah hari gilirannya tiba untuk di pungut.Walaupun ia sudah berbau!!!

Dan yang amat menariknya,sistem ini dipraktikan oleh sebahagian besar penduduk di sana.Jarang sekali kita dapati mereka tidak patuh dengan arahan dengan mencampur adukkan sampah mereka.Setiap isi rumah dididik sedemikian rupa untuk mengasingkan sampah mereka walaupun sekecil-kecil anak.Jadinya sikap tidak mencampur adukkan sampah ketika membuangnya memang terdidik sejak mereka kecil lagi.Maka bila generasi ini membesar menjadi dewasa,mereka terus sahaja mempraktikkan apa yang mereka pelajari sejak mereka kecil.

Kata pepatah melayu,melentur buluh biar dari rebung.
Malah ada juga pepatah mengatakan alah bisa tegal biasa.

Kisah 3-Rewang.

Saya pernah dijemput untuk menghadiri majlis pertukaran budaya antara kami pelajar Malaysia dengan pelajar sekolah rendah di sebuah bandar kecil di Jepun.Antara aktiviti yang di buat adalah sessi memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit tentang negara asal kami.Maklumlah Malaysia antara negara yang kurang mendapat pendedahan di Jepun,maka ramai kanak-kanak sekolah di sana kurang mendapat informasi tentang Malaysia.Selain itu kami mendemonstrasikan beberapa permainan tradisional termasuk sepak raga bulatan.Bukan main gembira mereka dapat menimang bola rotan yang kami sengaja bawa dari kolej kami.

Di pertengahan sessi berkenaan,kami diberi kesempatan pula untuk meninjau ke beberapa bilik darjah tempat mereka belajar sambil diiringi oleh beberapa orang guru mereka.Kebetulan ketika kami meninjau kelas mereka,waktu rehat pagi mereka pun tiba.Kelihatan beberapa orang dari murid di dalam kelas yang kami lawat itu mula menyusun meja menjadi seperti mini kaunter.Bila saya tanyakan kepada guru pengiring,barulah saya tahu,mini kaunter itu akan dijadikan tempat mereka membahagi bahagikan makanan sesama mereka untuk waktu rehat pagi.Dan menu pada pagi itu adalah Sup Mee Udon.Memang betul langkah kanan kami pagi itu,dapatlah kami merasa Mee Udon panas itu bersama sama mereka.Dan saya juga turut sama sama beratur,sambil pelajar yang bertugas mencedokkan Mee dan Sup untuk kami semua.Bayangkan sahajalah pelajar yang saya kira umur sekitar 8~9 tahun sudah di ajar berdikari dan mempunyai semangat bantu membantu antara satu sama lain.

Kisah 4-Mencabut ubi keledek.

Sekali lagi kami di jemput untuk sessi pertukaran budaya,kali ini juga dengan pelajar sekolah rendah.Lokasinya pula di adakan di sebuah kebun ubi keledek milik salah seorang penduduk tempatan.Kami tiba di kebun berkenaan agak awal pagi,namun pemilik kebun bersama beberapa orang guru dan murid sekolah terlebih dahulu tiba sebelum kami.Apa yang kami dapat perhatikan ketika itu adalah,kebun ubi keledek tersebut telah di bersihkan terlebih dahulu oleh tuan tanah berkenaan.Yang kelihatan ketika itu adalah batas-batas tanah dan batang keledek yang sedia untuk di cabut.Selepas upacara ucapan ringkas dan mengalas perut dengan sedikit teh jepun(kocya) kami pun memulakan aktiviti kami.Sebelum mencabut keledek,pelajar sekolah rendah berkenaan telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap dari kami mendapat 1 kumpulan yang terdiri dari lebih kurang 6 orang pelajar.

Ketika acara mencabut keledek itulah,kami sesama ahli kumpulan bertukar tukar perbualan sekitar latar belakang dan cara hidup kanak kanak di Malaysia.Walaupun acara berkenaan di jalankan tidak terlalu formal,tapi bagi saya ia memberikan satu bentuk latihan kepada pelajar cara berkomunikasi dalam sebuah masyarakat yang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

Dari situasi-situasi di atas,saya dapat membuat agakan peribadi mengapa agaknya warga Jepun boleh maju sejauh yang mereka kecapi sekarang berbanding dengan Negara kita.Penduduknya sejak mereka kecil di terap dengan beberapa latihan khusus yang secara tidak langsung mendidik peribadi mereka apabila mereka besar kelak.Bukankah begitu?

Bagaimana pula dengan kita?
Apa yang kita telah didik kepada anak dan bangsa kita selama ini?

Cukuplah kiranya pada peringkat awal ini kita menerapkan kesedaran kepada semua peringkat umur,bahawa kita hidup di muka bumi ini adalah secara bermasyarakat/berjemaah dan bukannya secara individu.

Adakah dengan tindakan sedemikian,fenomena dalaman di negara kita boleh berubah?
Tidak mustahil bukan?

"GreenPeace"
2 November 2010
Senawang,Negeri Sembilan.