Thursday, August 25, 2011

:: Universiti Ramadhan-21 (Edisi Khas) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Hari ini sudah pun menjejaki 25 Ramadhan.Ramadhan yang ke 1432 kali selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.Apa khabar semua?

Pagi tadi di tempat kerja,satu perhimpunan khas telah dibuat oleh pihak syarikat bersempena dengan cuti Hari Raya yang bakal menjelang 2 hari lagi.Pengarah Urusan syarikat juga telah turut hadir untuk memberikan ucapan dan beberapa pesanan ringkas.Di akhir ucapan beliau,beliau mengingatkan lagi agar semua pekerja menjaga keselamatan ketika berHari Raya.

Mengambil kesempatan ini juga,saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan kawan-kawan di luar sana tentang,

Trivia : Gembira di sini gembira di SANA.

Alhamdulillah,secara dasarnya kita telah hampir berjaya sampai ke penghujung Ramadhan tahun ini.Ia adalah satu nikmat yang cukup besar kurniaan Allah SWT kepada hambaNya.

Rata-rata dari kita pula telah mula memasuki fasa membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya.Di sana-sini telah berkumandang lagu raya yang menandakan Hari Lebaran memang sudah betul-betul dekat dengan kita.Semua ummat Islam,tidak kira kecil atau besar,tidak kira di mana jua berada sedang dalam mood bergembira untuk menyambutnya.

Kanak-kanak adalah antara golongan yang
paling bergembira ketika Hari Raya.

5 hari dari sekarang,InsyaAllah,kita akan menyambut Hari Raya Idul Fitri di kampung halaman kita yang tercinta bersama ahli keluarga yang tersayang.Kita merayakan Hari Raya Idul Fitri sebagai tanda kesyukuran kerana telah berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga disamping merayakan hari di mana kita kembali kepada fitrah.

Disamping bergembira bersama ahli keluarga dan sanak saudara ketika Hari Raya,jangan lupa juga beberapa perkara yang kadangkala kita terlepas pandang dek kerana sibuk leka melayan tetamu dan berkunjung tamu.

1.Solat berjemaah.

Solat fardhu secara berjemaah adalah dituntut di dalam Islam.Walau apa jua keadaan,di mana jua kita berada,apa juga yang sedang kita lakukan,apabila berkumandangnya sahaja azan,maka solat perlu ditunaikan di tempat azan diazankan.

Oleh itu,apabila kita merancang untuk berziarah ke rumah saudara mara/menuju ke sesuatu destinasi,ambil kira jugalah masjid/surau mana yang kita perlu singgah untuk solat berjemaah.Selain ia mengajar kita menjaga waktu yang lebih utama kita perlu menunaikan kewajipan kita sebagai seorang Islam.

2.Menutup aurat.

Berpakaian baru adalah begitu sinonim dengan Hari Raya.Namun pakaian baru sahaja tidak sempurna sekiranya ia tidak menutup aurat seperti yang di ajar di dalam Islam (menutup aurat tapi sendat juga masih tidak mencukupi syarat).Ingatkan juga pada anak-anak,adik-beradik,anak saudara iaitu ahli keluarga terdekat kita akan kepentingan menutup aurat,tidak kiralah samada mereka perempuan ataupun lelaki.

3.Bersalam-salaman.

Berjumpa sanak-saudara terutama yang duduk berjauhan hanya bisa dilakukan pada Hari Raya.Kita dapat kunjung mengunjungi antara kita sambil kita bertanya khabar disamping mengambil kesempatan memohon maaf di atas kesilapan yang lalu.

Bagi yang bukan ajnabi,cukuplah sekadar menuturkan kata-kata memohon maaf sahaja dengan perkataan tanpa perlu disertakan dengan berjabat tangan.Jika mereka yang menghulurkan tangan terlebih dahulu,cukuplah sekadar dibalas dengan senyuman dan terus melafazkan permohonan maaf.Ia adab yang perlu betul-betul dijaga dan dipraktikkan.

4.Adab berkunjung.

Terlalu banyak adab ketika berziarah.Cukuplah sekiranya diingatkan agar kita memulakan berkunjung dengan memberi salam dan disudahi juga dengan perkara yang sama.Disamping itu kita niatkanlah ziarah kita itu sebagai mengeratkan tali silaturrahim.Sesungguhnya ingatlah pesan Rasulullah SAW,

Dari Umar bin Al-Khathab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : "Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya." (HR. Bukhori: 1)

5.Doa-mendoakan.

Doa adalah senjata ummat Islam.Apabila kita berdoa memohon kepada Allah SWT,ia juga tanda kita ini sebagai hambaNya di atas muka bumi ini.

Amalan doa-mendoakan sesama ummat Islam juga adalah salah satu kebaikan yang ada di dalam Islam.Doakanlah yang baik-baik ke atas saudara-mara serta kenalan kita,samada kita kenal rapat atau kenal biasa-biasa sahaja.

Maka apabila kita bertemu saudara sesama Islam,doakanlah mereka.Jikalau kita berjumpa dengan Ustaz atau guru-guru kita yang lama,mintalah kepada mereka agar mereka mendoakan kebaikan atas kita.Moga amalan doa ini disuburkan dikalangan kita.

6.Doa perjalanan.

Bila bermusafir atau berjalan ketika Hari Raya,mohonlah doa sekurang-kurangnya doa naik kenderaan.Bacalah beramai-ramai jika di dalam kenderaan kita ada penumpang lain.Kembangkanlah syiar Islam biar ia kembali gemilang seperti dahulu kala.

7.Solat sunat dhuha.

Ia solat sunat yang hanya 2 rakaat 1 salam dan hanya memakan masa tidak sampai 5 minit,namun fadhilatnya amat besar.Cubalah luangkan masa kita di pagi hari sehingga sebelum waktu zohor untuk menunaikannya.InsyaAllah ia amat mujarab untuk mengubati jiwa.

.....kita bukan sakit jiwa,tapi jiwa juga perlukan makanan.

8.Sedekah.

Bukan yang kaya sahaja dituntut bersedekah.Selagi kita berharta,walaupun sedikit sumbangkanlahnya kerana Allah.Mungkin boleh dimulakan dengan bersedekah ditabung masjid selepas solat raya.Kita masukkan walau 10 sen pun tiada siapa yang tahu.Sekiranya ia adalah ikhlas,nilainya tetap ada di sisi Allah SWT.Apatah lagi kalau nilainya lebih banyak,diberikan pula kepada anak-anak yatim atau fakir dan miskin,tentu ia akan berlipat kali ganda ganjarannya,InsyaAllah.

9.Jaga pemakanan.

Akhir sekali,bila menyambut Hari Raya yang memang kaya dengan pelbagai juadah yang sedap-sedap dan jarang-jarang kita jumpa pada hari-hari biasa,ingatlah,kita baru sahaja selesai berpuasa selama sebulan.Perut baru sahaja selesai diservis dan kembali kepada fitrah.Menyumbat segala macam makanan ke dalam perut kita tanpa mengira kadar kemampuan perut kita untuk menghadamkannya adalah suatu penyeksaan pada diri sendiri.Yang lebih kita risaukan,makan sedap yang kita nikmati akhirnya cirit-birit/muntah-muntah pula yang kita hadapi kemudiannya.Yang menghidapi kencing manis dan mempunyai gaot,lebih-lebihlah lagi perlu berjaga-jaga.

Cukuplah sekadar itu,moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Bersempena dengan Lebaran yang hampir menjelang dan cuti panjang sempena Hari Raya yang bakal kita nikmati,saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan
"Selamat Hari Raya,Maaf Zahir dan Batin."
dan jadilah kita ummat Islam yang Cemerlang,Gemilang dan Terbilang.

Doa dari kami sekeluarga -
"Taqaballahu Minna Wa Minkum-Moga Allah menerima amal ibadah kita
Wa Ja’alanallahu Minal Aidin Wal Faizin-(Semoga kita) termasuk orang-orang yang kembali kepada yang fitrah dan (semoga kita) menjadi orang yg beruntung dengan mendapatkan rahmat, pengampunan dari segala dosa, serta terhindar dari api neraka"



Wak,
TDI.

Wednesday, August 24, 2011

:: Universiti Ramadhan-20 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Puasa di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah tahunan,ia seperti juga ibadah haji.Sepertimana cerita pengalaman pergi ke Mekah untuk membuat haji yang sering diulang cerita seperti tidak jemu-jemu oleh para haji/hajah,begitu jugalah pengalaman berpuasa di bulan Ramadhan.

Zaman sekolah.

Sekiranya diingat-ingat,rasa-rasanya tentu antara kita ramai yang merasakan pengalaman berpuasa di zaman sekolahlah/kanak-kanak yang paling banyak ceritanya dan yang paling banyak cabarannya.Saya juga begitu.

Sejarah mula berpuasa.

Saya tidak dapat mengingat secara tepat,bilakah saya mula belajar berpuasa.Tetapi seingat saya bila ada kawan-kawan yang sudah mula berpuasa penuh di zaman sekolah,saya turut sama termotivasi untuk sama-sama berpuasa.

Aktiviti berpuasa.

Apabila tiba bulan Ramadhan,aktiviti makan ketika waktu rehat akan menjadi tiada.Maka waktu terluang yang ada,akan diisi dengan pelbagai macam aktiviti sampingan.Antara aktiviti yang cukup meriah ketika itu adalah permainan ceper (tutup botol oren) dan lompat gelang getah.Mungkin sekiranya kuota untuk permainan tersebut sudah penuh,maka ketinting kapal adalah antara alternatif yang ada.Mungkin sekiranya permaianan yang ada sudah membosankan,maka permainan yang agak agresif menjadi alternatif,capte (baling bulu ayam) dan police and thief contohnya.

Tadarus.

Pada hari tertentu,ustaz sekolah rendah akan mengumpulkan pelajar kelas tertentu di bilik pergigian sekolah untuk bersama-sama bertadarus Al Quran.Selebihnya,tadarus hendaklah disambung ketika berada di rumah.Setiap minggu ustaz berkenaan akan menanyakan progress bacaan tadarus.Ustaz berjanji,siapa yang khatam bacaan Al Quran 30 juzu' akan disediakan hadiah khas.Seingat saya,hanya beberapa orang sahaja di antara kami yang berjaya menyahut cabaran ustaz berkenaan.Yang ramainya hanya mampu menghabiskan tadarus sehingga setengah Al Quran.

Sessi paling mencabar.

Di Johor,majoritinya jika waktu pagi kami akan bersekolah rendah dan pada waktu petangnya pula kami akan bersekolah agama di bawah kelolaan kerajaan Negeri Johor.Waktu sekolahnya adalah jam 2 hingga 3 setengah untuk darjah 1~3,manakala untuk pelajar darjah 4~6 kelas berjalan dari jam 3 setengah hingga 6 setengah petang (bulan Ramadhan hanya hingga jam 6 petang sahaja).

Maka,

Setelah banyak tenaga digunakan pada waktu pagi,termasuk tenaga untuk belajar dan bermain,maka waktu petang ketika pergi ke sekolah agama,tenaga yang tinggal hanyalah tinggal beberapa bar sahaja.Lebih-lebih lagi untuk sessi pertama,waktu yang panas terik (jam 2 hingga 3 setengah) sangatlah menduga ketahanan.Apa yang biasa kami lakukan adalah,pergi ke kolah di tepi kantin,air yang keluar dari paip akan di tadah dengan songkok hitam yang kami pakai dan songkok itu akan ditelangkupkan pula pada kepala kami.Terasa dingin dan nyaman.Itulah sahaja ubatnya jika terlampau panas ketika menghadapi bulan Ramadhan.

Menjelang petang.

Menunggu waktu berbuka adalah suatu penantian yang 'menyeksakan'.Manakan tidak,yang nampak bergerak hanyalah jarum saat,jarum minit seperti tidak berganjak-ganjak,lagi-lagilah jarum jam.Sambil menunggu waktu berbuka sambil mendengar Radio 3 Johor.Bila terdengar sahaja ayat-ayat Al Quran dibacakan oleh qari jemputan,maka itulah tandanya waktu berbuka hampir tiba.Serta merta bar tenaga naik mendadak kerana bersemangat untuk berbuka puasa.

Juadah berbuka.

Dahulu di kampung-kampung langsung tidak tahu akan istilah Bazaar Ramadhan.Juadah untuk berbuka biasanya adalah home-made.Juadah yang paling istimewa ketika itu adalah jemput-jemput udang yang dicampur dengan sedikit hirisan cili merah.

Sahur.

Sahur ketika zaman kanak-kanak adalah waktu untuk makan sambil tidur-tidur ayam.Apabila hendak bersahur,lokasi yang menjadi pilihan adalah tempat yang paling dekat dengan baki tikar yang masih bergulung.Apabila siap makan sahur,tikar yang bergulung itu terus sahaja dijadikan bantal untuk menyambung tidur yang lebih lena.

Kenangan.

Itu semua kisah/pengalaman entah berapa puluh tahun yang dahulu.Namun ia masih segar dalam ingatan bila sahaja Ramadhan menjelma.Ia sebuah kenangan yang perlu dikongsikan,sebagaimana orang yang balik haji begitu bersemangat menceritakan pengalaman haji mereka pada sesiapapun samada orang itu sudah membuat ibadah haji atau belum.Tujuannya hanya satu,berkongsikan sesuatu perkara yang baik yang mungkin dikira-kira boleh dijadikan sedikit panduan dalam hidup di dunia ini.

Moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Wak,
TDI.

Tuesday, August 23, 2011

:: Universiti Ramadhan-19 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Merdeka raya.

Semakin dekat dengan Hari Raya,maka secara tidak langsung manusia semakin sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari besar yang dirayakan oleh seluruh ummat Islam di dunia ini.

Maka,

Setelah hampir 8 tahun hidup berkeluarga,tahun ini barulah kami sekeluarga 'berkesempatan' untuk buat-buat sibuk membuat persiapan hari raya.

Konflik.

Sambil-sambil mengemas,sempat saya berbual dengan isteri sekitar persiapan hari raya.Isteri saya mengatakan,dia terdengar dalam satu program di radio berkenaan dengan bagaimana konflik yang dihadapi oleh sepasang suami isteri yang diceritakan oleh seorang ustaz jemputan.

Ceritanya begini,

Si suami menghadapi delima/masalah di mana si isteri bila sahaja tiba hari raya pasti si isteri meminta agar suaminya memberikan peruntukkan/budget untuk menukar langsir baru.Yang membuatkan si suami dalam delima adalah permintaan si isteri itu di buat saban tahun setiap kali hari raya hendak menjelang.

Lalu ustaz tersebut membuat komen begini,

Si suami tidak perlulah susah-susah/pening-pening memikirkan perihal langsir itu.Belikan sahaja langsir untuk ditukar pada hari raya.Sekiranya tahun hadapan masih ada permintaan yang sama,pergi sahaja ke kedai runcit belikan clorox (peluntur warna).Langsir tahun lepas yang masih baru itu,tukarkan sahaja 'coraknya' dengan menggunakan clorox.Pasti menyelesaikan delima/masalah si suami.

Komen isteri saya,

Bijak betul ustaz tersebut menyelesaikan masalah.

Cerita langsir lagi.

Saya pernah terbaca satu kisah tentang persiapan untuk menyambut hari raya seorang isteri yang suaminya ditahan ISA (dipenjara tanpa bicara dan tanpa had masa).Oleh kerana suami tiada disisi,ditambah dengan peruntukkan untuk belanjawan yang terhad,maka persiapan untuk hari raya dibuat secara apa yang ada.Sehinggakan sampai suatu peringkat,pada suatu tahun baju raya anak-anak hanyalah dari kain-kain langsir yang digunapakai semula.

Komen saya,

Alahai...terbaca kisah ini dan setiap kali bila terkenang semula,pasti sifat simpati  dan insaf itu akan terdetik di dalam hati kecil ini.Dan pada yang sama baru tersedar semula,betapa bernasib baiknya kami sekeluarga.Walaupun dengan persiapan yang ala kadar,tapi jika hendak dibandingkan dengan kisah di atas,alangkah jauhnya tahap kesabaran yang dimiliki oleh pasangan keluarga berkenaan.

Mungkin kisah yang saya baca itu patut dikongsikan kepada si isteri yang kerap meminta-minta seperti kisah pada permulaan entri saya pada kali ini.

Nota :

Tidak salah menyambut hari raya dengan sedikit kemeriahan lebih daripada hari-hari biasa untuk menzahirkan rasa gembira kita kerana menyambut Idul Fitri (hari kembali kepada fitrah).Tapi lebih bermakna lagi apabila kita juga berkongsikan kegembiraan tersebut dengan orang-orang yang kurang bernasib baik.

Oleh itu saya cadangkan pada diri saya dan kawan-kawan di luar sana,selepas ini buatlah jamuan hari terbuka bukan sahaja untuk kawan-kawan satu pejabat sahaja (mungkin mereka ini kadangkala lebih berkemampuan dari kita) bahkan jemputlah juga anak-anak yatim dari asrama-asrama mereka,mereka juga ingin mengecapi nikmat berhari raya.

Moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Ain Sofiah.
Keletihan membantu bapaknya mengecat rumah agaknya.
Sampaikan tertidur di atas tangga.
Mungkin dia sedang bermimpikan rumah yang ada tangga agaknya.
Walaupun tertidur di atas tangga,namun ada lagi anak-anak
orang lain yang sampai TERPAKSA tidur di tepi longgokan
sampah di tempat pelupusan sampah kerana menunggu ibu bapa
mereka memilih sampah yang boleh dijual untuk dikitar semula.

Wak,
TDI.

Friday, August 19, 2011

:: Universiti Ramadhan-18 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Berikut dikongsikan catatan dari Kuliah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Ustaz Khusairi Hamthan (SAA-19 Ramadhan).

Ustaz Khusairi Hamthan-SAA
19 Ramadhan 1432H
Merdeka Raya.

Kala ini segala macam media massa baik TV,radio,majalah suratkhabar semuanya sedang sibuk (dengan pelbagai gaya dan cara) mempromosikan bagaimana hendak memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang akan menjelang tinggal beberapa hari sahaja lagi.Maka kita dan ramai lagi golongan manusia yang memang sedang giat membuat persediaan raya juga terpengaruh dan termakan dengan promosi yang hebat ini.Pada masa yang sama,kita terasa pula yang persiapan untuk raya kita belum cukup hebat,maka kita menambah lagi tahap persiapan kita seiring dengan promosi yang kita lihat itu.

Akhirnya,

Manusia yang sibuk (siang dan malam) dengan persiapan hari raya itu akhirnya mengabaikan dan meninggalkan amal ibadah yang sepatutnya mereka jaga dan perbanyakkan terutama di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sunnah Nabi.

Apa yang Nabi SAW lakukan pada 10 malam terakhir Ramadhan?

"Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ramadhan adalah bulan Al Quran.

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan bathil) .." (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Apa yang berlaku kala ini?

Manusia bila ia lupa pada Allah SWT,maka mereka akan membiarkan hukum Allah SWT tidak ditunaikan dan dilaksanakan.

Zina dan anak luar nikah.

Surat khabar semalam (17 Aug 2011) membuat liputan tentang seorang pelajar 17 tahun telah melahirkan anak di dalam tandas sekolah.Tidak pasti samada gadis itu berzina secara sukarela ataupun dirogol.Tetapi walau apapun caranya,anak luar nikah dari hubungan tersebut telah pun lahir ke dunia.Bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini?

Tegur.

Bangsa melayu bukanlah bangsa yang menjuarai budaya tegur-menegur ke arah kebaikan.Kebanyakkan kita terkadang tidak sampai hati untuk menegur atas sebab-sebab tertentu.Kalau yang mampu menegur pun hanya sekadar mengguna bahasa kiasan yang selalunya tidak sampai maksud yang hendak di sampaikan.

Sebaliknya pula,kita lebih gemar sifat hasad ,dengki,irihati menyuburi hati kita berbanding sifat tegur menegur.Ini terbukti bila ada jiran tetangga yang menegur kesalahan kita sebaliknya kita menyalahkan mereka kembali dengan mengatakan mereka sibuk menjaga tepi kain orang.Bila ada saudara-mara yang menegur kita pula berkesudahan yang kita berkerat rotan berpatah arang dengan mereka.Malah apabila isteri kita yang menegur kita pula bila didapati kita ada melakukan kesilapan,sepak terajang pula yang kita beri sebagai ganjaran.

Jadi di mana tempat yang teguran boleh diberikan bagi membetulkan masyarakat yang semakin hari semakin bejat.

2K (Khutbah dan Kuliah).

Apabila hendak menegur sesuatu kesilapan/mengajar manusia agar mengikut dasar dan peruntukkan yang telah diberikan oleh Islam,antara tempatnya adalah di meja kuliah-kuliah (samada di surau atau masjid) yang disampaikan oleh para Ustaz ataupun di mimbar-mimbar masjid,apabila khutbah dibacakan oleh para Khatib.

Sibuk.

Kita sedia maklum,masyarakat kita yang sibuk dengan kerja seharian malah dengan tekanan dalam menyelesaikan permasalahan urusan keduniaan yang tidak kunjung putus,tentu sahaja mereka mempunyai kelonggaran masa yang agak terhad.Dengan sebab inilah,mimbar-mimbar masjid perlulah terus memberikan input dan peringatan agama kepada jemaah yang datang sebaik mungkin,kerana inilah sahaja peluang terbaik yang ada memandangkan yang datang juga ribuan orang jumlahnya.

Namun,jika peluang (kuliah dan khutbah) yang ada tidak di gunakan,malah kebebasan untuk menyampaikan seruan Islam juga disekat-sekat,lebih teruk dari itu,golongan yang ikhlas menyebarkan agama ini juga turut di beri amaran untuk tidak meneruskan usaha dakwah yang sedemikian (atas sebab tertentu),maka sudah tentulah permasalahan yang melanda masyarakat (zina,rogol,bunuh anak,anak luar nikah,minum arak,murtad) akan berterusan berlaku sehingga bila-bila.

Islam itu selamat.

Islam,Allah SWT turunkan ke dunia dan disebarkan kepada hambaNya melalui perantaraan Rasulullah SAW.Islam selain dari mengajar penganutnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan ia juga membawa penganutnya ke jalan yang selamat.Untuk itu,Al Quran dan isinya perlulah dibaca dan diamalkan setiap masa tidak kira apa situasi.Apabila manusia menuju ke jalan selamat ini adalah salah satu tanda kemenangan sebagai salah seorang hambaNya.

Kemenangan yang sebenar.

Seorang kontraktor yang berasal dari Sabah telah singgah di sebuah masjid untuk solat asar.Setelah selesai berwudhu,kontraktor tadi solat sunat Tahiyatul Masjid sementara menunggu waktu asar tiba.Ditakdirkan Allah,ketika kontraktor itu sedang solat,dia telah terjatuh lalu terhantuk pada pintu sliding door.Dan akhirnya kontraktor itu tadi meninggal dunia disitu.

Imam masjid yang berdepan dengan peristiwa di atas menceritakan kembali,ketika hendak diangkat mayat kontraktor tersebut,Imam dapati seperti ada tompokan air pada tubuh kontraktor berkenaan.Sedang Imam berkira-kira samada tompokan air itu air kencing ataupun tidak dan sedang memikirkan bagaimana cara hendak mengankat mayat berkenaan,tiba-tiba Imam mendapati tompokan air tadi telah kering.Bahkan,suatu bau yang harum semerbak dapat dihidu oleh Imam ketika Imam berada di sisi mayat berkenaan.

Meninggal dunia dalam keadaan berwudhu,di dalam masjid dan sedang bersolat.Apa lagi yang kita boleh kecapi lebih baik dari penghujung hidup kita dalam Husnul Khatimah.

Penutup.

Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
"(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca."
(Hadith riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

Thursday, August 18, 2011

:: Universiti Ramadhan-17 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Akhirnya Allah mengkabulkan doa kami semua (baca entry sebelum ini di sini : 'perlukan TAZKIRAH').

Semalam (18 Ramadhan),sebaik sahaja selesai solat sunat terawih di Surau Irsyadiah-TDI,Ustaz Dato’ Haji Arshad bin Abdul Samad,Imam Besar MBBS telah menyampaikan tazkirah ringkas buat kami semua.

Walaupun ia berupa 'Tazkirah 10 Minit',sebenarnya banyak input yang dapat dikongsikan dan sudah tentulah ia amat berguna dalam kehidupan seharian.Malah input-input yang diberikan bukan sahaja untuk panduan hidup pada bulan Ramadhan yang mulia ini sahaja,malah ia berguna untuk dijadikan sumber rujukan bagi kehidupan seluruhnya.

Berikut antara isi tazkirah :

1.10 malam pertama adalah awwaluhu rahmah-dipenuhi dengan keRahmatan Allah SWT ,10 malam kedua adalah wa awsathuhu maghfirah-dipenuhi dengan maghfirah (keampunan) Allah
SWT dan 10 malam terakhir adalah wa akhiruhu itqun min an-nar-kebebasan dari api neraka.

2.Beribadah dengan pergi ke masjid/surau adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT yang akhirnya ia akan membenihkan sifat taqwa.Oleh itu,membuat amal seperti mengimarahkan masjid/surau bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi ia mestilah disambung pada 11 bulan yang seterusnya.

3.Taqwa adalah berkaitan dengan hati.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Hati itu ibarat enjin bagi kereta.Jika tingkap rosak atau bumbung kereta kita bocor selagi enjin kereta di jaga dengan baik dan boleh berfungsi dengan betul,kita masih boleh sampai ke destinasi yang ingin kita tuju.

5.Hati yang dimaksudkan bukanlah yang berbentuk seperti daun keladi itu,ia adalah sebenarnya rohani yang ada di sebalik kewujudan hati itu.Rohani inilah yang sebenarnya membentuk jiwa zahir dan batin.

6.Beramal yang menjurus kepada mencari keredhaan Allah SWT adalah menunaikan suruhan yang wajib disamping menambah banyakkan amalan-amalan yang sunat.

7.Beramallah selagi mampu selagi kita mendapat kekuatan dan kesihatan.Apabila kita sudah sakit/tidak sihat,bukan sahaja kadangkala beramal pun kita tidak mampu,melihat makanan sedap pun kita langsung tidak bernafsu/berselera untuk menikmatinya (walaupun ketika itu harta kita melimpah ruah banyaknya).Allah berfirman yang maksudnya, "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)" - (Asy-Syu'araa' :88~89).

8.Walaupun buku catatan (yang dicatat oleh malaikat) kita dipenuhi dengan amalan yang baik,tetapi sekiranya amalan itu dilakukan diiringi dengan niat dan hati yang tidak baik,maka segala amalan itu tidak langsung bernilai di sisi Allah SWT.Yang paling penting adalah,segala isi hati hanyalah takut dan berharap kepada keredhaan Allah SWT.

9.Biarlah kita beramal dan dengan amalan itu orang-orang di sekeliling kita akan mendapat kebaikan dan tempiasnya.

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, August 17, 2011

:: Universiti Ramadhan-16 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Dalam menilai kualiti pada diri sendiri dalam membuat amal seharian,ia bergantung kepada sejauh mana kita menitikberatkan/memperincikan setiap amalan berkenaan.

Solat.

Jika kita menjaga/rajin bersolat maka dimana pun kita berada,apa situasi pun kita sedang hadapi,pasti solat bukanlah sesuatu tanggungjawab yang kita remeh-remehkan/pandang ringan. (tetapi masih perlu mengharap hidayah dan kekuatan dari Allah SWT).

Tetapi bagi yang kurang/malas menjaga solat,apabila berlaku sesuatu yang menyusahkan untuk mereka solat,maka mereka akan membuat pilihan untuk tidak bersolat.Tetapi bukanlah mereka ini langsung tidak solat.

Namun,ada yang langsung tidak menjaga solat.Tidak pasti apakah masalah mereka.

Saya pernah terdengar,ada sebahagian dari kita yang solat hanya ketika waktu-waktu tertentu,contohnya ketika ayah atau ibu mertua datang melawat ke rumah.Tidak pastilah,adakah mereka beranggapan solat itu sekadar untuk ditunjuk-tunjuk.Wallahua`alam.

Puasa.

Di zaman sekolah dahulu,pernah juga terlihat kawan-kawan seasrama yang tidak berpuasa.Tidak pastilah samada mereka tidak sihat ataupun ada alasan yang lain.Tapi perlukah sekiranya kita tidak berpuasa,kita menunjuk-nunjuk yang kita ini sedang tidak berpuasa.

Semua sedia maklum,puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.Tidak seperti solat yang boleh dibuat seolah-olah kita ini rajin bersolat,puasa tidak boleh dilakukan secara olok-olok.Ia perlukan komitmen seharian selama sebulan.Itu pun puasa tahap orang-orang biasa.

Sisipan.

Pagi tadi sebelum pergi ke tempat kerja sempat saya menyakat anak perempuan saya yang sedang bersarapan pagi di ruang yang agak tersorok.

Saya : Kakak makan apa tu?
Kakak : Makan lempeng.
Saya : Cicah apa tu?
Kakak : Cicah gula.
Saya : Bapak nak sikit.
Kakak : Bapak kan puasa.
Saya : Bapak nak sikit je.
Kakak : Bapak kan puasa.

Selepas 4 kali 'memujuk' akhirnya saya mengalah.Pada tanggapan saya,anak perempuan saya itu sudah mula faham,orang yang sedang berpuasa tidak boleh makan dan tidak boleh meminta makanan dari orang yang tidak berpuasa.Orang yang tidak berpuasa pula tidak boleh bersubahat dengan orang yang tidak mahu berpuasa.

Alhamdulillah,moga-moga ia suatu sifat yang berkekalan sehingga zuriat yang seterusnya.

Wak,
TDI.

:: Universiti Ramadhan-15 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di sebalik itu.

Semalam kami suami isteri kebuntuan mencari menu untuk berbuka.Jika tahun-tahun lepas,apabila berbuka dengan nasi,memikirkan menunya tidaklah sepayah tahun ini.(nota : tahun ini saya sedang membuat eksperimen berbuka tanpa nasi sebab : link).

Untuk orang dewasa seperti kami,berbuka dengan kurma dan air masak sudah berpadanan.Lebih-lebih lagi puasa sudah masuk ke hari yang ke-16 semalam.Jadi,selera untuk makan itu dan ini ketika berbuka tidaklah meruap-ruap seperti hari-hari awal berpuasa.Perjalanan sistem dalaman badan pun seperti sudah faham dengan situasi berpuasa.

Tetapi untuk anak-anak,mereka perlu diraikan.Alhamdulillah,mereka tidaklah meminta itu dan ini,tetapi memandangkan kita juga pernah menjadi kanak-kanak dan pernah belajar erti susah-payahnya menahan getir bulan Ramadhan,sekadar kuih-muih mungkin menceriakan waktu berbuka mereka.Bukan apa sangat pun,sekadar nugget jawa (baca : jemput-jemput) dan pizza melayu (baca : lempeng).Tetapi kalau hari-hari menu yang sama,tentu jemu jadinya.

Tiba-tiba ketika saya berehat sebentar di ruang dapur rumah selepas pulang dari kerja,isteri saya memberitahu jiran rumah sebelah-menyebelah memberi juadah berbuka puasa.Juadahnya memang cukup ceria,cempedak goreng dan kueh teaw goreng.Alhamdulillah,ia cukup-cukup menceriakan anak-anak kami.

Support centre.

Tetiba teringat seorang ustaz yang berceramah di radio IKIM (kalau tak silap).Kata ustaz tersebut,

"Bukanlah dengan gaji bulanan yang kita terima dari majikan/pendapatan tidak tetap kita (dalam kes bekerja sendiri) yang membuatkan rezeki kita cukup (baca : tak miss soru) untuk dalam tempoh tertentu.Gaji/pendapatan itu sebenarnya sebahagian sahaja dari sumber yang kita gunakan untuk menampung kos sara hidup kita seharian.Sebahagian yang lain datang dari sumber yang kita tidak ketahui dan kadangkala langsung kita tidak perasan/peduli.

Contohnya begini....

Dalam bulan tertentu,ada musim dimana majlis kenduri kahwin banyak dilaksanakan.Kita juga turut mendapat undangan.Jika mendapat undangan 3,4 majilis (dikira kadar anggaran purata) dalam 1 bulan,ia sebenarnya rezeki yang datang kepada kita namun seringkala kita pula yang tidak perasan langsung akan hakikat ini.Katakan kadar peruntukkan majlis kenduri kahwin oleh pihak tuan rumah untuk jamuan adalah RM13/pax.Jika kita menghadiri majlis kenduri kahwin itu suami isteri berserta dengan 4 orang anak kita,kita sebenarnya telah mendapat bonus sebanyak RM 50 pada hari tersebut(RM13x2+RM6x4).Maka jumlah bonus pada bulan itu sudah tentulah lebih kurang RM150~RM200.

Bagi yang berpendapatan sederhana,bonus itu merupakan jumlah yang besar.Selain dari menerima bonus,secara tidak langsung dengan menghadiri majlis kenduri kahwin berkenaan,kita telah dapat menjimatkan perbelanjaan untuk makan tengahari pada bulan tersebut.Mungkin jumlah yang dapat dijimatkan tidaklah sebanyak bonus yang kita perolehi itu,tetapi sedikit sebanyak,wang yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan kepada peruntukkan perbelanjaan bulanan kita yang lain."

....ia adalah 'support centre' yang Allah SWT sediakan untuk kita.

Pada bulan Ramadhan,'support centre' ini akan bertambah besar memandangkan ramai dari kita begitu memahami fadhilat memberi makan orang untuk berbuka puasa.

Berjimat.

Kadangkala sebahagian dari kita berfikir yang bulan Ramadhan adalah bulan untuk berjimat dan duit gaji/pendapatan bulanan akan dapat disimpan kerana kita berpuasa pada 30 hari pada bulan itu.

....namun harus diingat,

Walaupun kita berpuasa disiang harinya,kadangkala kita sebenarnya telah memperuntukkan banyak belanja untuk makan berbanding hari-hari di luar bulan Ramadhan.

Contohnya begini :

Kekerapan makan pada hari biasa : Sarapan pagi,makan tengahari,minum petang dan makan malam. (4 kali/hari)
Kekerapan makan pada bulan Ramadhan : Berbuka (makan ringan),makan selepas maghrib (nasi),makan selepas terawih (moreh),makan lewat malam (sambil menonton TV),makan sahur. (5 kali/malam)

Itu belum dikira jenis makanan dan harganya.Jika dikira pasti dan pasti peruntukkan untuk belanja makan/bulan pada bulan Ramadhan sebenarnya akan melebihi hari biasa.

Pengajaran :

1. Dengan hanya gaji/pendapatan bulanan yang kita perolehi bukanlah sebenarnya yang mencukupkan rezeki kita pada bulan itu (walaupun mungkin gaji kita berangka-angka jumlahnya).Yang mencukupkan sebenarnya dari sumber-sumber yang tidak tentu.Ini membuktikan Rahmat Allah SWT kepada hambaNya.
2. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk menggandakan amalan bukan untuk menggandakan belanja makan.

Jom-jom.Ramadhan sudah mencapai 2/3.Masih berbaki 1/3.
Atok abah (boboi boy) kata : Terbaik!!

Wak,
TDI.

Tuesday, August 16, 2011

:: Universiti Ramadhan-14 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan isi kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Haji Hambali (14 Aug 2011-Surau Ibnu Khaldun,Lavendar Height)

Berkat.

Di dalam waktu sahur itu akan turun Rahmat Allah SWT.Apabila kita makan diwaktu sahur,makanan itu akan mendatangkan keberkatan kepada kita.

Apa itu berkat?

Dari makanan yang berkat itu,ia akan menjadikan sesorang itu bertambah keimanannya kepada Maha Pencipta.Ia sekaligus menjadikannya seorang hamba yang bertaqwa kerana dia memahami apa tujuan dia dihantar ke atas muka bumi ini.Apabila maksud ini difahami,segala perintah Allah SWT akan dilakukan dengan penuh taat dan segala tegahan Allah SWT akan dipatuhi.Maka apabila keberkatan itu datang,keimanan pula akan bertambah dan ia akan membawa kita jalan ke syurga Allah SWT.

Kisah Khalifah Umar r.a.

Ketika Khalifah Umar r.a membuat rondaan malam,apabila tiba waktu sahur,Khalifah telah pulang ke masjid untuk solat tahajjud.Apabila tiba di masjid,Khalifah telah terdengar Abdullah ibnu Abbas sedang berdoa.Antara isi doanya adalah memohon keampunan kepada Allah SWT.Lalu Khalifah bertanya kepada Abdullah ibnu Abbas dari manakah dia belajar doa sebegitu.Lalu Abdullah ibnu Abbas berkata,aku mendengar di dalam Al Quran bahawa Allah memberi keampunan di waktu sahur.

Doa.

Apabila ditanya oleh Saidatina Aishah,apakah hari yang paling perit dalam hidup Nabi SAW,Baginda menyebut Yaumul `Aqabah (hari di mana Nabi berdakwah ke Taif tetapi orang Taif menolak dakwah Nabi.)

Diringkaskan cerita,walaupun malaikat penjaga gunung memohon izin dari Rasulullah SAW untuk menghimpit penduduk Taif,tetapi Rasulullah SAW sebaliknya mendoakan agar lahir dari keturunan orang Taif golongan yang akan menyembah Allah semata,tidak disekutukanNya dengan apa pun.

Kesan dari doa Rasulullah SAW di atas,maka pada bulan Ramadhan tahun ke 9 hijrah,berlakulah peristiwa di mana Bani Thaqif dari Taif telah memeluk Islam.

Di zaman Muawiyyah ketika Yazid menjadi Khalifah,berlaku peristiwa di mana jemaah haji telah di bunuh oleh lanun di Kerala India.Seorang pemuda berusia 17 tahun bernama Muhammad bin Qasim telah menawarkan diri untuk memimpin tentera bagi memerangi lanun di India tersebut.

Apabila sampai di India,didapati kubu pertahan musuh sangat kuat dan tentera Islam amat sukar untuk memecah masuk.Lalu Muhammad bin Qasim telah mengira jarak yang sesuai dengan menghantar seekor kuda berlari ke arah kota kubu musuh dan juga mengira tinggi kubu mereka.Lalu dibinanya lastik besar bagi memecahkan kubu itu.Akhirnya tentera Islam menang dan menjadi asbab tersebarnya Islam di India dan seterusnya ke negara berdekatan.Dan Muhammad bin Qasim ini adalah berasal dari Bani Thaqif penduduk Taif yang telah didoakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Jika dikira teori kemasukkan Islam ke Tanah Melayu dengan asbab pedagang India yang datang ke tempat kita,maka ia juga berhubung rapat dengan asbab penyebaran Islam ke Tanah India oleh Muhammad bin Qasim.Dan sudah tentulah ia juga berhubung rapat juga dengan doa Rasulullah SAW.

SubhanaLlah....

Jom banyakkan berdoa di bulan Ramadhan.

"Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."

Wak,
TDI.

Monday, August 15, 2011

:: Universiti Ramadhan-13 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan isi kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Haji Hambali (13 Aug 2011-SAA)

Bulan Ramadhan sangat berkait dengan Al Quran.Malah antara 3 perkara yang apabila kita memandangnya akan mendapat pahala dan menggugurkan dosa kecil.

1. Memandang Kaabah
2. Memandang Al Quran
3. Memandang wajah ibubapa.

Mempertahankan Al Quran.

Di suatu ketika di zaman Imam Ahmad ibnu Hambal,berlaku satu khilaf yang besar di mana ada segolongan manusia yang mengatakan Al Quran itu adalah makhluk bukan qadim (tiada permulaan).Maka Imam Ahmad Ibnu Hambal bersama 5 orang yang lain bertegas dengan pegangan dan pendirian mereka bahawa Al Quran adalah qadim.

Maka apabila ini berlaku Imam Ahmad ibnu Hambal dan 5 orang lagi sahabatnya ditangkap dan dipaksa supaya menukar pendirian mereka.Di ringkaskan cerita,2 dari mereka telah mengaku Al Quran itu makhluk,2 orang lagi telah meninggal dunia.Tinggallah Imam Ahmad ibnu Hambal berdua dengan sahabatnya berpendirian tegas bahawa Al Quran itu qadim.Namun akhirnya setelah dipaksa dan diseksa sahabatnya itu juga telah menukar pendiriannya.Tinggallah Imam Ahmad ibnu Hambal seorang diri memperjuangkan pendiriannya.

Diseksa.

Oleh kerana Imam Ahmad Ibnu Hambal masih berkeras dengan pendiriannya walaupun bersendirian,maka beliaulah antara yang mendapat seksaan yang paling berat.Diriwayatkan Imam Ahmad ibnu Hambal telah dirotan dengan hebat sekali.Dikatakan kuatnya rotan yang disebat ke badan Imam Ahmad Ibnu Hambal itu boleh menumbangkan seekor gajah.Walaupun menerima seksaan yang sebegitu hebat,namun Imam Ahmad ibnu Hambal masih tetap dengan pendiriannya.

Akhirnya,setelah beberapa ketika,golongan yang awalnya tadi mendakwa Al Quran itu makhluk telah menerima hakikat bahawa Al Quran itu sebenarnya adalah qadim.

Doa.

Setelah segalanya perselisihan pegangan selesai,pada suatu hari belakang badan Imam Ahmad ibnu Hambal yang telah rotan sebelum ini membengkak mengeluarkan nanah.Lalu beliau telah pergi berjumpa tabib untuk berubat.

Sampai di tempat tabib,apabila dibelah belakang badan Imam Ahmad ibnu Hambal untuk dikeluarkan nanahnya,sambil menahan kesakitan Imam Ahmad ibnu Hambal sempat melafazkan,"Ya Allah! Engkau ampunkanlah dosa khalifah." Tabib yang mendengar kata-kata Imam Ahmad ibnu Hambal itu amat terkejut dan berkata,"Kenapakah didoakan khalifah itu sedemikian rupa.Bukankah khalifah itulah yang menyebabkan badan Imam Ahmad ibnu Hambal luka dan bernanah." Imam Ahmad ibni Hambal hanya tersenyum.

Begitulah kisah antara 2 orang yang mempertahankan Islam ketika orang lain berbolak-balik pendirian mereka.Orang pertama adalah Saidina Abu Bakar as Siddiq,iaitu selepas kewafatan Rasulullah SAW,di mana sebahagian golongan percaya akan kewafatan Rasulullah dan segolongan lagi tidak mempercayai bahawa Rasulullah itu sudah wafat.Dan orang kedua adalah Imam Ahmad ibni Hambal,iaitu ketika segolongan manusia menganggap Al Quran itu makhluk dan sebahagian lagi mengatakan Al Quran adalah qadim.

Jom mentadabbur ayat-ayat Al Quran!

Wak,
TDI.

Friday, August 12, 2011

:: Universiti Ramadhan-12 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Mengantuk.

Mengantuk ada di mana-mana.Ia boleh datang menyerang dengan berbagai cara.

Memandu.

Bila masa pun memandu kenderaan,kita boleh terdedah dengan penyakit mengantuk.Baik awal pagi,tengahari,petang,malam mahupun lewat malam/tengah malam.Tentu antara kita ada pelbagai macam pengalaman tentang mengantuk ketika memandu.Ketika saya dalam perjalanan ke KLIA tempoh hari,saya sempat berbual dengan Abang Mus,driver syarikat kami.Bagi beliau yang sudah puluhan tahun bekerja sebagai pemandu,perkara yang cukup beliau jaga adalah tidur seketika sebelum memulakan sebarang perjalanan.Ini bagi membolehkan badan akan cergas ketika melakukan tugas.Ia satu tips yang mudah dan amat berguna.

Bekerja.

Ramai di antara kita yang bekerja di dalam pejabat.Sekurang-kurangnya kita menghabiskan masa 8 jam sehari di tempat kerja kita.Sudah tentu istilah/penyakit mengantuk tidak dapat lari pasti akan mendatangi kita.Ada yang mengatakan selepas waktu makan tengahari adalah waktu yang paling mengantuk.Namun ada segolongan pula yang sepanjang masa mengantuk.Biasanya mereka ini dilabel sebagai-'ada anak kecik kat rumah.'

Saya pernah terdengar di negara arab,mereka mengamalkan nap/kailullah diwaktu tengahari.Tidak kiralah ditempat kerja ataupun di tempat belajar (sekolah/universiti).Mungkin kita di Malaysia ini boleh juga mula mengamalkannya.

Solat.

Ketika beramal juga kita tidak dapat lari dari diserang penyakit mengantuk.Pernah sekali ketika saya di sekolah menengah dahulu,ustaz telah mengajak kami para pelajar bersolat tasbih di malam hari di surau asrama.Ketika itu seluruh surau digelapkan dan hanya lampu koridor sahaja dihidupkan.Bila kami selesai solat tasbih 4 rakaat,kami dapati ada sahabat kami yang sudah berdengkur,tapi masih dalam keadaan seolah-olah bersujud.Khusyuk sangat agaknya-usik kami ketika itu.

....tentu antara kita juga ada pengalaman yang sama/berbeza berkaitan mengantuk ketika beramal.

Solat Terawih.

Antara kenangan manis saya ketika solat terawih adalah bersolat di Masjid Kampung Baru sekitar tahun 1998.Ketika itu Imam dijemput khas dari Mekah seramai 2 orang.Waktu itu saya di tahun pertama di Pusat Persediaan Kajian Teknikal ke Jepun (PPKTJ).

Bersolat dengan berimamkan Imam dari Mekah memang seronok.Suara bacaan Al Quran mereka merdu dan sedap.Setiap malam kami bersolat sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat solat witir.Setiap hari pula,Imam akan menghabiskan bacaan 1 juzuk lebih.Ia masa yang sedikit panjang (baca : agak panjang) berbanding dengan solat terawih yang hanya membaca ayat surah lazim.

Kalau saya kepenatan (baca : mengantuk) di tengah jalan,saya akan pandang saf di sekeliling saya.Bayangkan sahaja sekiranya pakcik-pakcik warga emas masih lagi teguh berdiri setiap kali imam bangun selepas salam,tentulah memalukan saya yang masih berumur belasan tahun ketika itu untuk mengalah di tengah jalan.Saya tekadkan hati juga untuk bangun bersama-sama imam menyempurnakan solat sehingga akhir.Puaslah juga keluar masuk masjid untuk mencuci muka.Namun bila selesai sahaja solat,akan rasa satu kepuasan yang tidak terhingga kerana selain dapat melepasi ujian mengantuk,dapat juga mengatasi ujian masa.Ia satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

....bagaimana kalau jemaah sekeliling kita juga ’lemau’/tidak memberangsangkan semangat kita.

Ini juga cabaran.Mengantuk tetap mengantuk kerana selain solat terawih yang agak memakan masa,dengan keadaan perut yang kenyang ia menambah faktor penyebab masalah mengantuk.

Tindakan perlu diambil.

Bagi menyahut sunnah Rasulullah SAW dengan hanya makan kurma dan air masak ketika berbuka,saya cuba amalkannya pada Ramadhan tahun ini.Ia bukan sahaja menu berbuka puasa yang ringkas,malah meringkaskan waktu berbuka puasa kami sekeluarga.Maka selesai sahaja berbuka puasa,saya terus dapat solat maghrib berjemaah di surau.Malah buat setakat ini,hanya 1 malam sahaja di sepanjang bulan Ramadhan saya diserang mengantuk ketika solat terawih.Adakah dengan makan sedikit ketika berbuka puasa,fadhilatnya sepertimana yang saya rasai sekarang ini? Wallahua’lam.

P/S : Jika anda mengalami masalah yang sama,tidak salah rasanya jika anda juga turut mencuba.

Wak,
TDI.

:: Universiti Ramadhan-11 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Mengalir.

Semalam (10 Ogos) apabila saya sampai ke surau untuk solat maghrib,saya dapati imam sedang membuka bungkusan karpet baru di surau.Barangkali ada orang mewakafkannya,itu agakkan saya.

Selepas solat selesai,saya sempat bertanya pada imam,"Imam,karpet tu ada orang sponsor ke?".Lalu imam membalas,"Tak.Guna duit surau ni."

Selepas beberapa ketika,saya dan 2 orang anak lelaki saya membantu jemaah lain membentang karpet baru itu.Memandangkan ia karpet baru,ada habuk-habuk putih yang melekat dipermukaannya dan ia perlu divakum.Selepas selesai divakum barulah ia dibawa kebarisan-barisan saf.

Sementara saya membantu membersihkan karpet yang ada,2 orang anak saya yang sibuk berlarian di atas karpet baru yang telah dibentang,saya arahkan mereka membuang sampul plastik pembalut karpet ke tong sampah.Sambil-sambil itu terdetik juga dihati saya,"Alangkah beruntungnya siapa yang menyumbang duit ke tabung surau.Sumbangan mereka disalurkan dengan membeli karpet baru dan diwakafkan di surau.Pahalanya mengalir tidak berhenti selagi ia digunapakai.Lagi-lagilah ia di buat pada bulan Ramadhan."

Jemputan berbuka.

Semalam (11 Ogos),saya bercadang hendak berbuka di Surau Al Amin (SAA) setelah dijemput oleh Ustaz Haji Hambali pada kuliah subuh pada hari sabtu yang lepas.Tetapi saya memikirkan pula masa antara maghrib dan isya akan terluang,saya batalkan niat saya.

Sebelum Isya’ saya bersiap ke SAA.Saya bercadang hendak solat Isya’ dan Terawih di sana sambil mahu mendengar tazkirah dari Ustaz Haji Hambali (di Surau Seri Pagi ustaz telah menyampaikan tazkirah selepas selesai solat terawih 8 rakaat.).Memang itu pun niat saya kalau saya berbuka puasa di SAA,ingin mendengar kuliah beliau.

Dah selesai.

Saya tiba di SAA 10 minit sebelum waktu Isya.Dari luar surau sudah kedengaran suara Ustaz Haji Hambali sedang menyampaikan kuliah.Apakah saya sudah tersilap perkiraan?

Setelah memarkir motor,saya terus masuk ke dalam surau dan mendengar kuliah yang sudah hampir sampai ke penghujungnya itu.Namun serba sedikit dapatlah juga motivasi untuk meneruskan amal di bulan Ramadhan ini.Antara yang disentuh oleh Ustaz adalah :

1. Kelebihan waktu sahur-Rahmat Allah turun ketika itu dan kita digalakkan banyak berdoa.
2. Isu semasa-pihak gereja membantu saudara muslim kita.

Bersama al-hafiz.

Solat Isya dan Terawih malam itu di pimpin oleh hafiz yang masih lagi muda.Ketika kuliah sebelum ini,Ustaz pernah memberitahu,ibu bapa kepada hafiz bila di akhirat kelak akan dipakaikan mahkota,yang cahayanya lebih terang dari cahaya matahari.Lebih dari itu,ibu bapa mereka akan dinaikkan darjat demi darjat dari pembacaan ayat al quran anak mereka yang hafiz itu.Setiap satu ayat dinaikkan satu darjat sehinggalah ayat terakhir yang dibaca oleh anak mereka itu.Berapakah ayat yang dibaca oleh anak mereka? Berapa pula tinggi darjat ibubapa mereka? Wallahua`alam.

Teringat akan itu,sayu sebentar melihat dua orang hafiz jemputan itu.Melihat wajah mereka yang bersih itu sahaja membuatkan hati kita menjadi tenang.Apatah lagi mendengar bacaan al quran mereka,tentu lebih-lebih lagi.

Pesan ustaz :

Jangan dipandang rendah hafiz/hafizah ini.Mungkin ada yang berpendapat kawasan surau menjadi kotor sebab mereka ini (para hafiz) membuat aktiviti di dalam masjid/surau.Sedangkan entah-entah kanak-kanak lain yang bermain disekitar masjid/surau itu yang membuat kotor.

Minggu hadapan (18 Ogos) : Berbuka dan tazkirah di SAA bersama Ustaz Khusairi.
2 minggu lagi (25 Ogos) : Berbuka dan tazkirah di SAA bersama Ustaz Azamir-Timbalan Mufti NS

Pesan saya :

Beramal juga perlukan motivasi.Perlu tahu fadhilat/kelebihan.Setengah orang kata kita beramal hanya 'lillahi taala' tanpa perlu mengejar fadhilat.Mukim makamnya telah tinggi.Wallahua'alam.

Wak,
TDI.

Wednesday, August 10, 2011

:: Universiti Ramadhan-10 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

(....bacalah dengan hati yang terbuka.)

1/3 Ramadhan.

Ramadhan sudah pun menjangkau hari yang ke 10.Alhamdulillah Surau Irsyadiah TDI masih melimpah jemaahnya.2 hari lepas saya terlewat sedikit tiba di surau,ketika itu Imam baru sahaja membaca Al Fatihah,namun saya terpaksa solat di luar dewan solat surau.Jemaah yang lain juga masih ada yang baru sampai,mereka menambah ramai jemaah yang hadir untuk solat di surau.Yang pasti,mereka yang meramaikan/mengimarahkan masjid/surau di bulan Ramadhan ini adalah kerana mereka faham akan ganjaran yang akan mereka perolehi.

Mengambil peluang.

Dengan kehadiran jemaah yang ramai sebegini,ia adalah suasana tidak seperti biasa pada hari-hari di luar bulan Ramadhan.Dengan kehadiran jemaah yang ramai sebegini sepatutnya pihak pentadbiran surau mengambil inisiatif dengan mengadakan sessi-sessi ceramah/tazkirah/penerangan ringkas samada untuk isu masyarakat/semasa/agama.Ia perlu memandangkan bila berkumpulnya ramai orang,maka ramailah pula yang akan mendapat info yang dikongsikan dari penceramah/pentazkirah.

Bukankah kalau dibuat seminggu sekali,ia sudah memberi 4 input baru /pencerahan kepada jemaah/pendengar.

Masalah.

Saya mengutarakan masalah ini kerana masih dalam bilangan yang terlampau kecil masjid/surau yang memperuntukkan masa/ruang untuk ustaz-ustaz memberi tazkirah di bulan Ramadhan.Tapi sebenarnya banyak lagi masalah yang perlu diperbetulkan/ditegur yang berlaku pada masyarakat setempat.Contohnya :

Saf.

Disebabkan solat Terawikh didirikan 2 rakaat sekali salam,maka ada sela-masa yang membolehkan makmum keluar masuk dari saf ketika setiap kali 2 rakaat solat selesai.Mungkin yang keluar masuk saf ini mempunyai alasan tersendiri (memperbaharui wudhu,mencuci mata kerana mengantuk,menunaikan qadha hajat,dll).Tetapi setiap kali ada makmum yang keluar dari saf mereka,terkadang saf yang tertinggal kosong tidak diisi sesiapa,yang sebaris saf tidak mahu berganjak,yang ada dibelakang pula tidak mahu melangkah masuk.

Lagi haru-biru bila ramai yang meninggalkan saf selepas selesai 8 rakaat solat terawih.Ketika ini yang meninggalkan saf lebih ramai,makanya lompang-lompang saf lebih banyak.Ada saf yang hanya 3 suku penuh,tetapi ada saf yang lain di belakangnya yang lebih sedikit bilangan orangnya.

Mengapa jadi begini?

Bising.

Kanak-kanak memang fitrahnya suka bermain dan tentunyalah dalam ketika mereka bermain,bunyi (baca : suara) akan dikeluarkan.Walaupun mereka duduk di saf belakang tapi suara mereka boleh kedengaran hingga ke saf pertama.Ia menganggu jemaah lain sebenarnya.

Tak solat.

Ini lagi serius.Solat terawikh dijadikan lesen besar untuk mereka (baca : anak-anak) keluar rumah untuk pergi ke masjid/surau.Hakikatnya mereka datang bukan untuk solat Isya dan Terawikh tetapi hanyalah merayau-rayau di halaman masjid/surau sambil bertenggek di atas motorsikal/tempat duduk/tembok longkang.Aktiviti mereka adalah berborak (yang dewasa) ataupun berkejar-kejaran sana sini (yang kanak-kanak).

Pergaulan bebas.

Tak perlu di ulas panjang.Cukup sekadar anda pergi sendiri mengelilingi kawasan masjid/surau anda.Ada atau tidak anak dara berborak bersama dengan yang berlainan jantina dengan mereka.Mereka juga bijak,aktiviti ini tidak dilakukan berdua-duaan.

Merokok.

Isu pelajar merokok bukan lagi satu isu baru.Tetapi merokok dikawasan surau/masjid sedangkan jemaah yang lain sedang sibuk menunaikan solat,menggambarkan yang mereka perlu diajar akan adab-adab.

Tidak boleh diperbaikikah keadaan ini?

Ia bergantung pada AJK masjid/surau.Jika mereka tidak mahu menggunakan peluang bulan Ramadhan ini (dalam keadaan ramai jemaah yang datang) untuk memperbaiki keadaan,usahlah mengharap peluang yang lain.

Nota :
1.Itu baru masalah yang berlaku di dalam/di sekitar masjid/surau.Belum lagi pergi jauh.Itu pun sudah cukup memeningkan kepala.
2.Apa agaknya pandangan penduduk bukan Islam bila melalui masjid/surau (baca : rumah ibadah) kita dalam pada keadaan masjid/surau kita seperti di atas.

Ada 1 lagi peluang besar.

Masjid di Malaysia,terutamanya yang besar dan popular (tidak perlu di sebut,kerana kita semua sedia maklum) menjadi tarikan pelancong untuk datang melawat (samada pelancong luar atau dalam negeri).Kebanyakkan mereka datang lengkap dengan pemandu pelancong yang mereka upah sendiri.

Pemandu pelancong masjid.

Jika pihak masjid menyediakan pemandu pelancong mereka sendiri dengan pihak masjid juga menyediakan infrastruktur yang sesuai (contohnya : dewan kuliah khas) untuk memberi peluang mereka (pelancong-pelancong bukan Islam) mendengar tentang Islam,melihat sendiri Islam itu dari dalam sebuah bangunan yang kita panggil Rumah Allah bukankah itu lebih baik.Ia juga salah satu jalan usaha kita menyebarkan dakwah.

Jika 1 bas pelancong boleh memuatkan 35 orang,jika setahun agak-agaknya berapa banyak bas pelancongkah yang datang melawat masjid-masjid kita?

.....ia perlu dimuhasabahkan.

Bukankah kita akan ditanya kelak?

Wak,
TDI.

:: Universiti Ramadhan-9 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berbuka.

Sabda Rasulullah SAW,"Ada dua macam kegembiraan bagi orang yang berpuasa, satu macam kegembiraan ialah ketika ia akan berbuka dan yang satunya lagi ialah ketika ia bertemu dengan Tuhannya." ( HR.Bukhari & Muslim )

Hari ini kalau kita berpuasa,samada kita sedar atau tidak,kita akan berasa kita akan berbuka pada jam 19:23 (waktu berbuka di Negeri Sembilan).Manakan tidak ketika anak kecil kita yang baru berlajar berpuasa merengek hendak minum air,kita memujuknya dengan berkata,"tunggulah waktu berbuka nanti."

...ia kata-kata yang spontan.

Malah,untuk berbuka pula kita sebagai ibubapa bertungkus lumus menyediakan juadah berbuka sebagai habuan untuk anak-anak yang berlajar berpuasa.Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana.Berbuka bagi masyarakat Malaysia,ia adalah sesuatu kenikmatan.Ia berbetulan seperti sabdaan Nabi Muhammad SAW seperti di atas tadi.

Apa khabar saudara kita?

Ketika kita menjalani ibadah puasa,orang Islam di tempat/negara lain juga sedang menjalani ibadah puasa juga.Ibadah yang dibuat mungkin sama,tapi persekitaran ketika membuat ibadah mungkin berbeza.

Pernahkan anda terfikir/mengetahui bagaimana rakyat di Palestin berpuasa.

...kenapa perlu memikirkan rakyat di sana? Ramai lagi rakyat yang susah di negara kita.

Rasulullah SAW bersabda,"Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam." (Muslim & Ahmad).

Gaza.

Kita sedia maklum yang ummat Islam di Palestin (terutamanya di Gaza) saban hari ditekan oleh Yahudi Zionist.Segala bekalan/bantuan yang hendak masuk ke Gaza disekat.Mereka umpama duduk di dalam sebuah penjara yang besar.Apalah yang boleh mereka harapkan untuk mereka hidup normal seperti kita di Malaysia ini.Jauh sekali untuk bersedapan ketika menjamah juadah berbuka puasa.

Ini yang berlaku di sana.

Rasulullah SAW bersabda,“Seorang mukmin bagi mukmin yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya. Kemudian Rasulullah menggenggam jari-jemarinya.” (HR.Bukhari & Muslim).

Apa yang perlu kita buat?

Abdullah ibn Umar bertanya pada Rasulullah SAW,"Ya Rasulullah,terangkan kepada kami hukum menziarahi Baitul-Maqdis."
Jawab Rasulullah SAW,"Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid)" – Sahih Bukhari.

Maksudnya Rasulullah bukan sekadar menganjurkan masjid ini diziarahi tetapi menjaga dan memastikan masjid ini sentiasa dihidupkan dan dipelihara.

Aqsa Syarif-antara NGO yang giat
menjalankan aktiviti untuk Palestin.

ISMA-Juga aktif membuat promosi
dan memberi kefahaman tentang isu Palestin
kepada masyarakat Malaysia.

Kita perlu menyumbang.

Mungkin bersempena bulan Ramadhan yang Mubarrak ini,kita boleh ikat sedikit perut kita.Lalu,wang yang ada itu kita peruntukkan sedikit untuk disumbangkan kepada saudara-saudara kita di sana.Bukankah rakyat Palestin membantu kita.Mereka di sana menjaga kesucian Masjid Al Aqsa (masjid ketiga suci dalam Islam)mewakili kita,sedangkan ia tanggungjawab bersama.

Membina kilang roti-antara projek yang sudah berjalan.

Back to School-antara projek yang sedang dirancang.

Jom menyumbang! Jangan tunggu lagi!

Wak,
TDI.

Tuesday, August 9, 2011

:: Universiti Ramadhan-8 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Syurga dan Neraka.

Allah mencipta neraka sebenarnya bukan untuk hambaNya masuk ke dalamnya tetapi adalah sebagai memberikan rasa takut terhadap seksa dan azab yang ada di dalam neraka.Apabila manusia berasa takut (baca : takut Allah) mereka akan datang ke jalan menuju syurga di mana di sana dijanjikan dengan pelbagai kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata,didengar oleh telinga dan terlintas oleh fikiran.

Rahmat.

Di dalam Al Quran,terdapat 124,000 perkataan Rahmat Allah SWT berbanding hanya beberapa perkataan sahaja yang menyatakan azab-Nya.Bilangan 124,000 ini sama jumlahnya dengan Nabi-Nabi yang diutuskan dimuka bumi ini.Ini membuktikan yang Rahmat Allah SWT itu sangat besar dan melimpah dengan banyak kepada hambaNya.

Puasa mereka dan puasa kita.

Ajaran Islam.

Berpuasa bulan Ramadhan selain dari menahan diri dari lapar dan dahaga,kita juga dituntut untuk menahan mata,telinga,tangan,kaki,hati dan apa sahaja anggota dari melakukan perkara yang dilarang.Sesungguhnya puasa di dalam Islam adalah puasa luaran dan dalaman.

Ajaran agama lain.

Agama lain juga ada istilah puasa.Malah ada sami-sami yang berpuasa berbulan-bulan lamanya.Tetapi dengan menahan lapar dengan sedemikian rupa,ia bukanlah fitrah dan ia tidak mengikut syariat Islam.Sudah tentulah juga kesan yang hadir disebalik pengamalan puasa berkenaan juga keluar dari fitrah seorang manusia.

.....contohnya begini,

Sebiji kereta menggunakan beberapa jenis minyak yang berbeza untuk fungsi berbeza.Ada minyak untuk power steering,ada minyak untuk brake,ada minyak untuk gear,ada minyak untuk enjin dan ada minyak untuk pembakaran.Apabila minyak-minyak tertentu itu tersalah letak (contoh : minyak petrol dituang ke dalam minyak enjin) tentu ia tidak berfungsi mengikut apa yang sepatutnya kereta itu berfungsi.Mungkin juga ia akan menjahanamkan sistem yang ada di dalam kereta itu sendiri.Jauh lebih teruk kesannya sekiranya tempat letak petrol diisi dengan air,ia amat jauh menyimpang.

Namun dari segi luaran,ia tetap kelihatan sebagai kereta.

Solat kita.

Rakaat pertama - Ketika rukuk nampak seakan objek hitam pada tempat sujud.
Ketika sujud,kita mengelak sedikit supaya tidak terkena objek hitam berkenaan.
Rakaat kedua - Terdetik di dalam hati : "Macamana ketika mula solat tadi tak perasan apa-apa?"
Rakaat ketiga - Terdetik lagi di dalam hati : "Nampak macam tahi cicak.Tapi sebab apa warna hitam sahaja.Tak nampak pun putihnya."
Rakaat keempat - Masih terdetik lagi : "Tahi cicak najis ni.Nanti kalau dah siap beri salam,kena kutip dan buang tahi cicak ni kat luar."
-sedar-sedar sahaja sudah dengar Imam memberi salam dan kita pun turut memberi salam.

...selepas memberi salam terus sahaja membelek objek hitam tadi,

"La....bukan najis ni,batu hitam je rupanya.Patut la tak nampak putihnya."

Begitu sahaja kita menghabiskan 4 rakaat solat kita yang sepatutnya dilakukan dengan khusyuk.Agaknya dapatkah kita menghindar perbuatan keji dan mungkar dengan kualiti solat yang sebegitu?

Ia mungkin juga boleh terjadi kepada puasa Ramadhan kita.Sedar tak sedar 30 Ramadhan telah meninggalkan kita tanpa kita menghayati dan merebut apa yang ada di dalamnya.

Nota :

Ramadhan sudah hampir pada 1/3 bahagian.Sejauh mana pencapaian kita dalam merebut Rahmat Allah SWT di dalamnya.Adakah seperti menatang minyak yang penuh atau sekadar melepaskan batu ditangga?

Muhasabahlah diri sendiri.Anda sedang berada di dalam Universiti Ramadhan.

Wak,
TDI.

Monday, August 8, 2011

:: Universiti Ramadhan-7 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya baru sahaja pulang dari Jepun beberapa minggu yang lepas.Ada sedikit buah tangan yang saya beli khas untuk adik beradik dan anak-anak buah saya.Untuk menunggu Hari Raya ia terlalu lama,jadi spontan saya menjemput 2 adik beradik saya untuk berbuka puasa di rumah saya ujung minggu lepas (6 Ogos 2011) sambil saya boleh menyerahkan ole-ole untuk mereka.

Alahan.

Memikirkan menu untuk 2 orang yang sedang mengandung yang mengalami alahan teruk memang agak payah.Adik perempuan saya tidak boleh melihat nasi yang berbutir,memang tak lalu makan.Kakak saya pula langsung tak lalu makan sekiranya menunya adalah nasi.Lebih teruk,bau masakan pun tidak boleh katanya.Alhamdulillah,mujur isteri saya yang turut sedang mengandung tidak mengalami sebarang alahan.Kalau tidak teruk juga saya hendak memikirkan menu.

Menu.

Akhirnya setelah berbincang dengan isteri,kami mengambil keputusan untuk memilih bubur lambuk dan kebab sebagai menu berbuka kami kelak.Ia juga perlu disesuaikan dengan citarasa kanak-kanak.Menu kanak-kanak pula di tambah dengan french fries.Dan yang paling penting ia perlu disedia awal sebelum jemputan sampai.

Kebetulan.

Adik perempuan saya tinggal di Shah Alam.Rumahnya tidak jauh dari kedai kain Nagoya Textile.Saya hanya menyuarakan yang saya sedang mengira-ngira budget untuk menukar langsir rumah yang baru,sebaliknya dia pula yang sanggup mencarikannya.Katanya lagi Nagoya tengah membuat jualan murah.Setelah saya nyatakan berapa budget saya,adik saya pun melakukan tugasnya.Alhamdulillah hasilnya agak memberangsangkan (samada corak dan harganya).Alhamdulillah,selesai satu hajat.

Jemputan tiba.

Jemputan tiba sekitar jam 6 lebih.Meriah rumah dengan suara anak-anak saya bermain dengan sepupu sepapat mereka.Ketika mereka sampai proses masak sudah selesai,tinggal proses menghidang sahaja.Alhamdulillah,jemputan yang datang membawa juadah yang beraneka jenis.Ada kek cheese keramel,kek lapis serawak,beberapa jenis pizza (produk muslim) dan air oren.Alhamdulillah,Allah memurahkan rezeki kami pada hari itu.

Berbuka.

Alhamdulillah,kami selamat berbuka pada hari tersebut.Menu yang disediakan Alhamdulillah dapat diterima oleh orang yang sedang alahan mengandung dan juga anak-anak buah saya.2 orang dari mereka sedang berlatih puasa.

Terawih.

Anak saya yang kedua Abdul Hadi ada sedikit kelainan.Alasannya untuk tidak membuat sesuatu terkadang tidak terduga oleh kami.Apabila saya mengajaknya untuk solat isya’ dan terawih disurau juga diberikannya beberapa alasan.Saya diamkan sahaja memandangkan umurnya pun baru 5 tahun.Namun pada hari berkenaan,dia dengan sukarela mahu mengikut kami ke surau.Mungkin Taufiq,sepupunya turut pergi pada malam itu ke surau.Alhamdulillah,tiada sebarang kerenah yang tidak diingini berlaku ketika itu (antara kerenah biasa : mengajak saya ke bilik air atau mengajak terus pulang ke rumah).

Moreh.

Selesai solat Isya dan Terawih,kami sekali lagi menjamu selera.Anak-anak pula sibuk melayan DVD Boboi Boy.Sementara kaum bapa melayan makanan yang ada,kaum ibu pula sibuk mengukur kain langsir yang baru untuk dipotong.Alhamdulillah,kain langsir baru yang telah dibeli oleh adik saya,telah selesai dipotong pada malam itu,hanya tinggal dijahit.

Bersurai.

Sekitar jam 11 malam,jemputan mula bersurai menuju ke destinasi masing-masing.Kami mendoakan keselamatan mereka dalam perjalanan.Selesai hajat kami pada hari itu dan secara tidak dirancang selesai juga beberapa hajat kami yang lain.

Tiba-tiba teringat pesanan Ustaz Hambali,

1.Tidak akan miskin orang yang bersedekah dan Allah SWT akan menggantikannya kemudian hari.
2.Bermesyuaratlah ketika hendak membuat keputusan,walaupun ia suatu perkara yang kecil (memilih menu contohnya).Ia pasti akan lebih berkat.

.........ia memang benar-benar satu peringatan kepada kami sekeluarga.


Wak,
TDI.

:: Universiti Ramadhan-6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berbincang.

12 Julai 2011 saya telah menghadiri Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim di Masjid Paroi Jaya.Pada sebelah petangnya saya telah menghantar 1 sms kepada Ustaz Haji Abdul Halim.Saya menyatakan yang saya akan menyerahkan surat jemputan untuk mengisi slot ceramah Hari Keluarga Alumni IPIJ kepada Ustaz selepas kuliah tamat.Beliau bersetuju.

Selesai ceramah saya duduk diruang legar masjid sambil menunggu kelibat Ustaz lalu.Memang tempat saya duduk itu merupakan laluan utama Ustaz untuk menuju ke tempat kereta beliau diparking.Rupanya ustaz sedang berbual dengan seorang pemuda di dalam dewan solat yang mungkin bertanyakan kemusykilan kepada ustaz menyebabkan kelibat ustaz tidak muncul-muncul di hadapan saya.

Selepas saya lihat ustaz telah selesai berurusan dengan pemuda tadi,saya terus pergi menemui ustaz.Pada masa yang sama juga ada lagi seorang yang berhajat untuk menemui ustaz ketika itu.Lantas ustaz ketika itu mengajak kami semua untuk pergi ke warung berhampiran Stadium Paroi dan berbincang di sana.Kami bersetuju.

Sampai di warung,ustaz meminta kami memesan makanan.Seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal,saya yang kebetulan masih lagi berseragam kerja,yang keadaan perut pun sudah berkeroncong terus sahaja memesan makanan seperti apa yang dipesan oleh ustaz,char kueh teaw dan air carrot susu.

Sambil menunggu makanan siap,saya terlebih dahulu membuka cerita.Saya serahkan kepada ustaz surat jemputan yang berkenaan dan menerangkan serba sedikit apa yang terkandung di dalam surat berkenaan.Sebaik sahaja makanan yang kami semua pesan tiba,saya pun telah selesai memberi penerangan kepada ustaz dan tiba masanya untuk menikmati hidangan.

....betapa nikmatnya menjamah makanan dikala perut memang dalam keadaan lapar.

Berbincang lagi.

Sedang kami menjamu selera,datang lagi beberapa orang rakan ustaz.Mereka turut menjamu selera.Rupa-rupanya mereka memang merancang untuk berbincang perihal majlis iftar yang akan diadakan pada Ramadhan tahun ini bagi meraikan para sukarelawan yang baru sahaja mendaftar beberapa minggu lepas.Saya turut serta (lebih kepada pendengar) dalam perbincangan tersebut memandangkan saya juga antara sukarelawan yang baru mendaftar.Sekitar jam 11 malam perbincangan pun selesai dan saya pun meminta diri.

Petang 2 Ogos (2 Ramadhan).

Tiba-tiba 1 sms masuk ke dalam telefon saya.Kandungan sms adalah jemputan untuk majlis iftar bagi meraikan para sukarelawan yang baru sahaja mendaftar.Ia jemputan ke majlis yang telah dibincangkan sebelum ini Cuma tarikhnya sahaja yang berganjak ke hadapan.Ia dibuat pada hari bekerja berbanding apa yang dibincangkan dahulu,ia dirancang untuk dibuat pada hujung minggu.

Lalu saya terus menghantar 1 sms kepada Ustaz Abdul Halim bertanyakan perlukah membawa bersama 'potluck' bersama-sama ketika majlis di atas,seperti yang telah dibincangkan dahulu.Kata ustaz,ia bukan kemestian,tetapi dapat hadir bersama-sama ke majlis adalah lebih dialu-alukan.

Bangunan Baru.

Saya tiba di bangunan baru ISMA di Jalan Jelebu agak lewat petang itu disebabkan melayan kerenah 2 orang anak saya yang sedang belajar berpuasa itu.Setelah membawa mereka bermain gelongsor dan buaian di taman permaian yang berdekatan,saya terus bergegas ke tempat majlis.Alhamdulillah saya selamat tiba.

Saya naik ke tingkat atas bangunan berkenaan dan saya dapati Ustaz Abdul Halim sedang menerangkan aturcara majlis pada hari itu.Saya duduk disisi bilik berkenaan.Sambil itu saya telah ditegursapa oleh salah seorang urusetia majlis.Kami berbual mesra (manakan tidak,orang jawa bertemu orang jawa-meriah jadinya).

Iftar.

Tidak lama kemudian,azan berkumandang dan kami semua pun mulalah berbuka puasa.Juadah yang ada walaupun kelihatan simple,tapi segalanya lazat belaka.Malah ia adalah 'potluck' pada hari itu.

Tazkirah ringkas.

Selepas solat maghrib berjemaah,Ustaz Abdul Halim telah memberikan tazkirah ringkas kepada semua jemaah yang hadir.
Ustaz Abdul Halim sedang menyampaikan tazkirah.

Berikut antara isi pentingnya :

1. YDP Agung/Raja-Raja,apabila hendak mengurniakan pingat,Baginda memilih hari yang paling istimewa iaitu pada hari kelahiran YDP Agung.
2. Allah SWT apabila hendak mengurniakan anugerah (Kitab Al Quran) pada hambaNya,Allah SWT memilih hari yang istimewa iaitu pada bulan Ramadhan.Al Quran diturunkan ke langit dunia pada bulan Ramadhan,iaitu pada amalam Lailatul Qadar.Wahyu yang pertama turun kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada juga pada bulan Ramadhan (17 Ramadhan).
3. Al Quran diturunkan kepada ummat manusia bukan sekadar untuk dibaca bahkan isi kandungan Al Quran sendiri menjadi pembeza antara hak dan bathil.
4. Baru-baru ini New York-NY (negeri yang paling popular di US) telah membenarkan perkhawinan antara gay.Apabila ia merupakan perkhawinan yang dibenarkan,maka secara otomatik mereka akan layak menerima social benefit.Sekiranya NY telah membenarkan perkara di atas,pasti negeri-negeri yang lain juga akan mengikut jejak.Ini bukti apabila sesebuah negeri/negara yang tidak mengikut Al Quran,mereka akan berkelakuan sonsang dari fitrah kejadian manusia.

Contoh kebejatan akhlak dan sosial
apabila Al Quran tidak dijadikan panduan hidup.

5. Bila melihat sejarah,perang adalah titik tolak bagi permulaan sejarah baru.Contohnya apabila kerajaan Soviet kalah perang,negara mereka kembali kepada kerajaan Rusia.Negara kecil yang lain telah bebas mentadbir negara mereka sendiri.Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan,perang pertama bagi ummat Islam.Apabila ummat Islam menang,ia sebenarnya menaikkan populariti Nabi Muhammad SAW dan menurunkan keupayaan dan kegagahan Kaum Quraish di medan perang.
6. Rom dan Parsi jatuh ke tangan ummat Islam pada bulan Ramadhan di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khatab,ketika itu Nabi SAW telah wafat.Antara pengajaran di sini,untuk menjatuhkan kuasa besar tidak semestinya memerlukan Nabi di sisi tapi yang lebih penting adalah dengan mengikut sunnnah Nabi SAW.
Antara jemaah yang hadir.

Solat Isya dan Terawih.

Selesai ustaz memberi tazkirah,kami terus sahaja solat Isya’ diiringi dengan solat Terawih secara berjemaah.Setelah selesai solat kami menjamu selera dengan juadah yang masih banyak terhidang.Sambil itu Ustaz Abdul Halim menerangkan kepada jemaah yang hadir tentang 1 aktiviti yang akan dijalankan pada 5 dan 12 Ogos 2011 iaitu 'Program Beli dan Derma'.Ia tugasan pertama bagi sukarelawan pada bulan Ramadhan 2011.

Mohon Doa semua.

(edisi 7 : Iftar bersama keluarga)

Wak,
TDI.

Friday, August 5, 2011

:: Universiti Ramadhan-5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bacalah dengan hati yang terbuka.

Beberapa bulan yang lepas apabila saya melalui persimpangan jalan Matahari Height,saya telah dapati 1 banner untuk sesiapa yang ingin menempah tapak Bazaar Ramadhan (BR) telah digantung di sisi jalan.Semarak dan aura bulan Ramadhan telah mula terasa ketika itu.Alhamdulillah.Ia peringatan yang cukup baik saya kira.

Selepas itu pada hari ini........

1 Ramadhan.

1 Ramadhan baru-baru ini,ketika pulang dari tempat kerja,saya sempat berpusing sekitar Taman Teratai,Taman Desa Dahlia dan Taman Matahari Height,untuk melihat keadaan BR di sana.Keadaan BR di Taman Teratai tidak jauh berbeza dari tahun lepas,jumlah kedai juga tidak banyak berbeza.Mungkin pelanggan sahaja yang kelihatan bertambah.Sesak jadinya jalan yang sepatutnya 1 hala berkenaan.Mungkin BR menjadi sesak sebab awal Ramadhan tahun ini jatuh pada awal bulan,poket masih lagi tebal.Warga Senawang baru sahaja mendapat imbuhan gaji.Wallahua`alam.

Keadaan BR di Taman Desa Dahlia agak meriah,kedainya melimpah sehingga ke Taman Kobena di seberang jalan.Ia menjadikan kanan kiri jalan menuju ke Pekan Senawang Lama bagaikan pesta.

Keadaan BR di Taman Matahari Height lagi hebat.Berpadanan dengan letaknya di jalan utama.Lagipun bangunan rumah kedai yang baru di hadapan Matahari Height telah hampir siap dan di situ kelihatan pelanggan BR menjadikkannya tempat parking kenderaan mereka.Makin mudah untuk parking kereta makin ramailah yang mahu menyinggah ke BR.

2 Ramadhan.

Hari kedua berpuasa,seorang rakan pejabat saya merungut bila datang kerja pada pagi itu.Katanya harga kuih-muih yang dijual di BR tidak berpadanan dengan saiznya.Kuih-kuih biasa (karipap,koci,buah melaka,ketayap...) dijual dengan harga baru RM2-5 keping (berbanding tahun lepas RM1-3 keping).Namun dengan harga yang telah dinaikkan manakala saiz kuihnya pula yang semakin mengecil,tentu sebagai pelanggan ia dianggap sebagai harga yang mahal.Bagi saya ada logiknya mengapa rakan saya berpendapat sebegitu.

3 Ramadhan.

Seorang rakan saya yang baru sahaja mendirikan rumahtangga pada tahun ini tinggal di kawasan Rembau.Untuk menjimatkan masa,mereka hanya membeli juadah di BR untuk berbuka puasa berdekatan dengan kawasan mereka tinggal.Komen mereka tetap sama,'MAHAL'.Manakan tidak,satu bekas tupperware taufu fa yang kecil berisi bubur jagung dijual degan harga RM2 setengah.Seekor ikan kembung (bersaiz sederhana) dimasak sambal berharga RM3.Begitu juga dengan harga juadah yang lain.Rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai mahal.

Akhirnya,kata kawan saya berbanding dengan hari pertama,pengunjung yang datang ke BR berkenaan pada hari kedua dan ketiga semakin berkurangan.Mungkin mereka juga beranggapan tidak berbaloi kalau mereka memperuntukkan wang mereka untuk membeli juadah yang pada mereka harganya tidak setimpal dengan apa yang mereka dapat.

Namun bukan itu sebenarnya yang saya ingin ketengahkan.

Pernah ke tidak kita perasan di tepi-tepi jalanraya,atau di tempat laluan umum akan ada banner dan papan tanda yang berbentuk mengajak manusia agar berbuat sesuatu.Contohnya mengajak warga Malaysia untuk menjelaskan cukai tanah/pintu/taksiran-ini salah satu ajakan agar manusia mengikut saranan (baca : perintah) kerajaan.

Di satu sudut pula,terutamanya di hadapan masjid akan ada papan tanda yang agak besar saiznya yang mengajak warga Malaysia yang berugama Islam untuk membayar zakat (emas/pendapatan/perniagaan dll)-ini salah satu contoh ajakan agar manusia mengikut saranan (baca : perintah) agama.

Nampak seimbang kan keadaan di Malaysia ni.

Untuk nampak lebih seimbang lagi,harap-harap ada pihak yang selepas ini dapat membuat apa sahaja banner/papan iklan yang mengajak manusia bukan sahaja untuk membuka tapak di BR (untuk kepentingan dunia) tapi agar mereka juga diajak agar menutup aurat sesempurna mungkin,tidak kira  kaum lelaki ataupun perempuan (untuk kepentingan akhirat).

Moga dengan mesej yang pendek ini,Ramadhan tahun hadapan saya tidak lagi perlu menjawab dengan anak saya mengapa ada pakcik yang memakai seluar pendek ketika berada di BR.

Saya doakan sungguh-sungguh hal ini.

(edisi esok : Iftar bersama Sukarelawan)

Wak,
TDI.

Thursday, August 4, 2011

:: Universiti Ramadhan-4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Setiap orang mempunyai cita-cita dan angan-angan.Ada yang mengangankan begitu dan begini.Ada yang bercita-cita besar.Ada yang bercita-cita sekadar kemampuan.Ada yang mengangankan sesuatu disebabkan melihat orang lain telah menikmati apa yang mereka telah perolehi.Ada pula yang mengangankan sesuatu disebabkan ia sukar diperolehi.Begitu juga dengan saya.

Cita-cita Ramadhan.

Biasanya bila masuk Ramadhan dari dahulu hingga sekarang ini adalah di antara cita-cita saya :

1. Mengkhatamkan bacaan Al Quran 30 Juzuk.

Ia suatu yang amat berat sebenarnya.Walaupun ada sifir mudah 1 hari 1 juzuk (iaitu selepas setiap solat fardhu membaca 2 helai lembaran Al Quran) ia tetap tidak banyak membantu saya sebenarnya.Manakan tidak,selepas solat fardhu subuh,setiap kali membaca baru setengah muka,mata sudah diserang penyakit mengantuk dan akhirnya tewas begitu sahaja.Kononnya apabila tersedar nanti ingin kembali menyambung bacaan namun apabila tersedar,mahu bersiap untuk pergi bekerja pula (sudah hutang 1 setengah lembaran).

Apabila sudah tiba di tempat kerja,sudah tentu amat payah untuk dapat membaca 2 lembaran selepas solat zohor dan asar memandangkan waktu yang diperuntukkan oleh syarikat untuk solat begitu singkat (sudah tambah lagi hutang 4 lembaran).

Konon-konon dapat balik awal dari tempat kerja pada bulan puasa (sekitar jam 5 setengah),dapatlah kiranya melangsaikan hutang bacaan Al Quran sambil menunggu waktu berbuka di rumah,namun dek sibuk melayan anak,tahu-tahu dah azan Maghrib.Tinggallah angan-angan sahaja.

Bila selesai sahaja solat fardhu maghrib,yang sepatutnya perlu membaca 2 lembaran lagi,sebaliknya sibuk pula mencari nasi dan lauk pauk yang belum sempat di rasa ketika waktu berbuka tadi.Sedar-sedar kerana leka meratah lauk,azan Isya’ sudah berkumandang (tambah lagi hutang 2 lembaran).

Bergegas pula ke surau untuk solat fardhu Isya’ dan solat sunat Terawikh.

Setelah selesai solat di surau,disebabkan bebanan hutang yang banyak,barulah terkial-kial menghabiskan bacaan Al Quran lembaran demi lembaran.Tapi banyak mana sangatlah yang dapat dihabiskan bacaan tersebut dengan keadaan tubuh badan yang letih setelah seharian membanting tulang di tempat kerja.Paling maksimum pun sekadar 3 atau 4 lembaran (itupun sudah memakan masa 10 minit).Ditambah lagi dengan keadaan perut yang sudah sarat kekenyangan (selepas moreh),tentu sahaja sekali lagi penyakit mengantuk akan cepat datang menyerang.

Jadi,masa apa yang tinggal?

Bila disemak-semak balik,dengan mengambil kira tambah dan tolak,tinggallah peluang untuk menyambung bacaan bagi mencukupkan 1 hari 1 juzuk iaitu di waktu sahur.Itupun sebenarnya masa yang ada cukup terhad.Paling maksimumpun mungkin 2~3 lembaran.Dan apabila dicongak-congak semula,setelah seharian berhempas pulas mencuri masa yang ada,baru sekadar menghabiskan bacaan sebanyak 5 lembaran setengah (masih berhutang 4 lembaran setengah).Sedangkan hari baru telah muncul dan bacaan perlu diteruskan.

Tolak tepi sebentar keluangan masa pada hari bekerja bagi menyedapkan hati.....

Dengan mengambil kira pula keluangan masa yang ada di hujung minggu,rasa-rasanya banyak lembaran yang boleh di baca (pada masa yang sama cuba untuk melangsaikan hutang bacaan untuk sepanjang hari bekerja-4 lembaran setengah x 5 hari bekerja = hampir 2 juzuk lebih).

....boleh tahan juga jumlahnya tu.

Cukuplah membuat kira-kira dan congak-mencongak sampai di tahap itu.Ia sebenarnya satu delima bagi saya.Keazaman yang tinggi tapi pada hakikatnya displin yang tidak seimbang akhirnya azam hanya tinggal azam.Bila berakhir Ramadhan,hanya menumpang gembira orang lain dapat mengkhatamkan Al Quran,tapi bukan diri kita.

"Ya Allah! Berilah aku kekuatan dan izinkanlah untuk aku mengkhatamkan bacaan Al Quranku pada bulan Ramadhan tahun ini.Amin"

Begitulah doa yang saya panjatkan setiap kali bila tiba waktu bersahur. (Itupun setelah saya baru tahu yang pada waktu sahur adalah antara masa yang digalakkan untuk memohon doa)

2. Bangun qiam setiap malam.

....ini juga salah satu cita-cita besar saya.

Seperti yang ramai di antara kita sedia maklum,di dalam Bulan Ramadhan ada suatu malam (Malam Lailatul Qadar-MLQ) yang merupakan malam yang lebih baik dari 1000 bulan.Dan yang pastinya dengan bersandarkan banyak hadith yang berkaitan dengan MLQ,tidak dinyatakan dengan jelas bilakah masanya MLQ akan berlaku.Ingin mendapatkannya bagaikan satu pemburuan dan ia perlu disertakan dengan usaha dan perlu dibuat (bangun Qiam dan beramal ibadah) setiap hari di awal pagi.

....dengan nilai yang sebegitu tinggi,hanya dengan beramal dalam 1 malam,tentu ia menjadi rebutan bagi yang tahu akan nilainya.Namun cabarannya,kita tidak tahu bila ia akan berlaku.

Sebagai hamba Allah yang begitu sedikit amalannya,tentulah saya antara yang terangsang dengan tawaran sebegini.Bertekadlah saya dari awal Ramadhan (setiap tahun) untuk bangun Qiam dan membuat amal,sekurang-kurangnya ada masa yang diperuntukkan untuk tujuan itu sebelum bersahur.Dan sebagai manusia biasa,saya suka menunggu sehingga last minute (malam 10 terakhir) untuk memulakan pemburuan mencari MLQ.Mampukah?

"Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui yang hambaMu ini selalu sahaja bangun lewat untuk bersahur.Masa yang terhad itulah diperuntukkan untuk menjamah makanan dan minuman.Ya Allah! Berilah aku kekuatan untuk bangun awal dan dapat beramal sebelum aku bersahur."

3. Memperbanyakkan sedekah.

Bersedekah mengikut kefahaman saya adalah mengeluarkan harta (duit,makanan,pakaian dll) yang kita ada untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Bulan Ramadhan adalah peluang yang besar untuk menabur sedekah.Terutamanya dengan menjamu orang untuk berbuka puasa.

Sabda Rasulullah SAW,"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun." (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)

"Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui yang hambaMu ini terlalu berkira untuk bersedekah,dengan beralasan takut harta sendiri akan berkurang.Ya Allah! Berilah aku kekuatan untuk bersedekah dengan hartaku yang Engkau pinjamkan ini."

(edisi esok : Melayan kerenah masyarakat di bulan Ramadhan)

Wak,
TDI.