Wednesday, August 24, 2011

:: Universiti Ramadhan-20 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Puasa di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah tahunan,ia seperti juga ibadah haji.Sepertimana cerita pengalaman pergi ke Mekah untuk membuat haji yang sering diulang cerita seperti tidak jemu-jemu oleh para haji/hajah,begitu jugalah pengalaman berpuasa di bulan Ramadhan.

Zaman sekolah.

Sekiranya diingat-ingat,rasa-rasanya tentu antara kita ramai yang merasakan pengalaman berpuasa di zaman sekolahlah/kanak-kanak yang paling banyak ceritanya dan yang paling banyak cabarannya.Saya juga begitu.

Sejarah mula berpuasa.

Saya tidak dapat mengingat secara tepat,bilakah saya mula belajar berpuasa.Tetapi seingat saya bila ada kawan-kawan yang sudah mula berpuasa penuh di zaman sekolah,saya turut sama termotivasi untuk sama-sama berpuasa.

Aktiviti berpuasa.

Apabila tiba bulan Ramadhan,aktiviti makan ketika waktu rehat akan menjadi tiada.Maka waktu terluang yang ada,akan diisi dengan pelbagai macam aktiviti sampingan.Antara aktiviti yang cukup meriah ketika itu adalah permainan ceper (tutup botol oren) dan lompat gelang getah.Mungkin sekiranya kuota untuk permainan tersebut sudah penuh,maka ketinting kapal adalah antara alternatif yang ada.Mungkin sekiranya permaianan yang ada sudah membosankan,maka permainan yang agak agresif menjadi alternatif,capte (baling bulu ayam) dan police and thief contohnya.

Tadarus.

Pada hari tertentu,ustaz sekolah rendah akan mengumpulkan pelajar kelas tertentu di bilik pergigian sekolah untuk bersama-sama bertadarus Al Quran.Selebihnya,tadarus hendaklah disambung ketika berada di rumah.Setiap minggu ustaz berkenaan akan menanyakan progress bacaan tadarus.Ustaz berjanji,siapa yang khatam bacaan Al Quran 30 juzu' akan disediakan hadiah khas.Seingat saya,hanya beberapa orang sahaja di antara kami yang berjaya menyahut cabaran ustaz berkenaan.Yang ramainya hanya mampu menghabiskan tadarus sehingga setengah Al Quran.

Sessi paling mencabar.

Di Johor,majoritinya jika waktu pagi kami akan bersekolah rendah dan pada waktu petangnya pula kami akan bersekolah agama di bawah kelolaan kerajaan Negeri Johor.Waktu sekolahnya adalah jam 2 hingga 3 setengah untuk darjah 1~3,manakala untuk pelajar darjah 4~6 kelas berjalan dari jam 3 setengah hingga 6 setengah petang (bulan Ramadhan hanya hingga jam 6 petang sahaja).

Maka,

Setelah banyak tenaga digunakan pada waktu pagi,termasuk tenaga untuk belajar dan bermain,maka waktu petang ketika pergi ke sekolah agama,tenaga yang tinggal hanyalah tinggal beberapa bar sahaja.Lebih-lebih lagi untuk sessi pertama,waktu yang panas terik (jam 2 hingga 3 setengah) sangatlah menduga ketahanan.Apa yang biasa kami lakukan adalah,pergi ke kolah di tepi kantin,air yang keluar dari paip akan di tadah dengan songkok hitam yang kami pakai dan songkok itu akan ditelangkupkan pula pada kepala kami.Terasa dingin dan nyaman.Itulah sahaja ubatnya jika terlampau panas ketika menghadapi bulan Ramadhan.

Menjelang petang.

Menunggu waktu berbuka adalah suatu penantian yang 'menyeksakan'.Manakan tidak,yang nampak bergerak hanyalah jarum saat,jarum minit seperti tidak berganjak-ganjak,lagi-lagilah jarum jam.Sambil menunggu waktu berbuka sambil mendengar Radio 3 Johor.Bila terdengar sahaja ayat-ayat Al Quran dibacakan oleh qari jemputan,maka itulah tandanya waktu berbuka hampir tiba.Serta merta bar tenaga naik mendadak kerana bersemangat untuk berbuka puasa.

Juadah berbuka.

Dahulu di kampung-kampung langsung tidak tahu akan istilah Bazaar Ramadhan.Juadah untuk berbuka biasanya adalah home-made.Juadah yang paling istimewa ketika itu adalah jemput-jemput udang yang dicampur dengan sedikit hirisan cili merah.

Sahur.

Sahur ketika zaman kanak-kanak adalah waktu untuk makan sambil tidur-tidur ayam.Apabila hendak bersahur,lokasi yang menjadi pilihan adalah tempat yang paling dekat dengan baki tikar yang masih bergulung.Apabila siap makan sahur,tikar yang bergulung itu terus sahaja dijadikan bantal untuk menyambung tidur yang lebih lena.

Kenangan.

Itu semua kisah/pengalaman entah berapa puluh tahun yang dahulu.Namun ia masih segar dalam ingatan bila sahaja Ramadhan menjelma.Ia sebuah kenangan yang perlu dikongsikan,sebagaimana orang yang balik haji begitu bersemangat menceritakan pengalaman haji mereka pada sesiapapun samada orang itu sudah membuat ibadah haji atau belum.Tujuannya hanya satu,berkongsikan sesuatu perkara yang baik yang mungkin dikira-kira boleh dijadikan sedikit panduan dalam hidup di dunia ini.

Moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Wak,
TDI.

No comments: