Friday, December 28, 2012

:: Kem Cuti Sekolah @ Surau Desa Ixora (Hari 5) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Laporan bergambar untuk hari terakhir dan majlis penutupan (28 Disember 2012).

Berqasidah pada hari terakhir.

Bersama Ustaz Rahmat.
"Mengenal Sifat 20"

Pelajar lelaki di hari terakhir.

Pelajar perempuan di hari terakhir.

Majlis penutup.

Sesudah menerima sijil penyertaan.

Ustaz menunggu hingga ke saat akhir majlis.

Bergambar kenangan.
Bersama melaung khalimah
ALLAHUAKBAR!!

Pelajar perempuan juga bersemangat.

Alhamdulillah,selesai sudah majlis.
Moga didoakan Allah memberkati majlis dan memberkati semua yang menjayakan program.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: Kem Cuti Sekolah @ Surau Desa Ixora (Hari 2) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

...sambungan laporan untuk hari kedua.

Lagi tambahan bilangan yang mendaftar
pada hari kedua seramai 20.

Sessi kuliah pada hari kedua.

Khusyuk mendengar.

Fokus.

Apalah yang kelakar agaknya tu.

Murid cilik.

Tamat hari kedua.
Alhamdulillah.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: Kem Cuti Sekolah @ Surau Desa Ixora (Hari 1) ::

Bismillah hirrrahman nirrahim.

Alhamdulillah,Kem Cuti Sekolah " Mengenal Sifat 20" telah berjaya di anjurkan di Surau Irsyadiah,Taman Desa Ixora bermula 24 Disember yang lepas.

Ikuti laporan bergambarnya.

Pendaftaran.
Haji Abu dan Haji Anuar sedang bertungkus lumus bertugas.

Senarai nama.
Hampir 80 mendaftar pada hari pertama.
Alhamdulillah.

Aktiviti pertama.
Berqasidah.
(dipimpin oleh Adik Mohd Haizim)

Selepas solat dhuha.
Pelajar lelaki.

Selepas solat dhuha.
Pelajar perempuan.

Kapten (B) Nawaz sedang berucap
mewakili AJK Surau.

Acara utama.
Ustaz sedang memberi kuliah.
"Adab Penuntut."

Acara menggembirakan.
Makan time.

Tamat Hari Pertama.Alhamdulillah.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, December 26, 2012

:: Tidak Mustahil! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kita berkomunikasi.

Nak kata saya ramai sahabat,tak juga.Tapi ramai sahabat yang saya kenal dari pelbagai peringkat dan golongan.

Di antaranya,

Setelah 16 tahun meninggalkan bangku sekolah menengah,kini sahabat-sahabat saya ramai yang telah mengecapi kejayaan masing-masing.Ada yang bergelar Peguam, Doktor, Pensyarah, Bussinesman, Guru, Jurutera dan lain-lain lagi kerjaya yang ternyata menjanjikan imbuhan lumayan yang berupa gaji dan pendapatan.

Malah sahabat-sahabat ketika sama-sama berhempas pulas di Pusat Kajian Teknikal ke Jepun (PPKTJ 97-99) dahulu,kini mereka juga sudah menjawat jawatan yang bagus-bagus.Ada yang sudah berjawatan Pengurus dan sebagainya.

Setelah berpisah sekain lama dengan sahabat-sahabat 1 sekolah dan sahabat-sahabat PPKTJ,sekali-sekala dapat berborak ketika berjumpa/bertelefon sesama kami,banyak perkara yang kami bincangkan dan perkatakan.Seronok rasanya dapat mendengar kisah kejayaan mereka.Sedikit sebanyak memberikan dorongan kepada saya untuk terus maju ke hadapan.

Malah,ketika saya sempat menimba pengalaman sebagai petani jagung beberapa tahun lepas,memberikan saya peluang untuk berkenalan dengan ramai petani di sekitar daerah Kuala Pilah.Ada yang menanam Buah Naga,menternak ikan keli,menyemai benih getah,menanam sayur-sayuran dan bermacam lagi.Mereka ada yang muda dan ada yang tua.

Bila bertemu dengan golongan ini,pelbagai kisah suka duka dapat saya perolehi.Malah pelbagai tips pertanian dan perniagaan yang dapat saya kutip dari mereka juga.Pendek kata mereka bukan sahaja menunjuk ajar bagaimana mahu berjaya malah mereka menunjuk ajar agar tidak gagal.

Selain itu,

Ketika saya memasuki dunia kerjaya tahun 2002,saya sempat berkenalan dengan pelbagai lapisan manusia.Dari operator kilang,pekerja am,tukang masak,Line Leader,Supervisor,Juruteknik sehinggalah ke peringkat Pengurus Jabatan.Sebagai seorang pelajar ketika sebelum itu,ia pengalaman baru yang sukar untuk diadaptasikan pada peringkat awalnya.Namun setelah beberapa lama,ia sebenarnya melatih saya untuk memperbetulkan cara berkomunikasi secara dua hala agar menjadi lebih baik.

Sebenarnya yang nak saya katakan adalah begini,

Dalam berkomunikasi seharian,mustahil golongan kurang berada akan memperkatakan perihal kereta BMW 5 seriesnya perlu diservis ataupun kisah pengembaraannya ke Eropah dan sebagainya.Juga amat mustahil bagi golongan yang berada memperkatakan perihal stok beras di rumahnya yang kerap dicatu mahupun kesempitan menyediakan keperluan anak-anak menjelang musim cuti sekolah hujung tahun yang hampir tamat.Itu secara realitinya.

Namun di sebalik kenyataan/realiti di atas,

Amat mustahil,walau siapapun kita,samada golongan berada mahupun yang kurang berkeupayaan,kita tidak mampu mengajak sahabat kita untuk sama-sama solat 5 waktu secara berjemaah di tempat azan dilaungkan,dilakukan di awal waktu walau dimana jua kita berada.

Jom carilah jalan agar ia tidak mustahil.

Ya Allah berilah kami Taufik dan Hidayah!

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Thursday, December 20, 2012

:: 20-12-2012 - Tips mahu berjaya ::

Bismillah hirrahman nirrahim.



Semua orang ingin berjaya di dalam bidang yang mereka lakukan.Tak kiralah orang itu seorang pelajar,buruh kasar,petani,penebar roti canai,usahawan,cendiakawan,ahli politik mahupun ahli TOP (team orang pencen).Semua orang mahu berjaya,mahu maju ke hadapan dan mahu berada di puncak.

...dan

Semua orang sedar,tahu dan yakin bahawa jika ingin berjaya,antara faktor terpenting yang perlu dipatuhi dalam menempuhi jalan menuju kejayaan adalah DISPLIN.

Kita tinggalkan bab di atas sebentar.

Semalam saya ada menulis di FB lebih kurang begini,

Amatlah tidak berbaloi jika kita meninggalkan solat fardhu (yang hanya memerlukan 5 minit) sekiranya balasan di akhirat esok adalah azab di dalam NERAKA ALLAH SWT. "nanti aku taubatlah." - aku doakan engkau sempat bertaubat,Ya Sahabat yang aku kasihi.

...lalu ada yg memberi komen begini,

Bagaimana pula kalau orang itu suka menangguh-nangguhkan solat?

...saya tidak pasti apa yang patut saya balas,tapi saya suka menulis begini,

Amatlah tidak berbaloi jika kita suka melengah-lengahkan solat,takut nanti malaikat maut mencabut roh/nyawa kita tatkala kita belum sempat melangsaikan tanggunjawab kita itu. "aku tau lah.lagipun aku bukannya tak solat langsung." – Ya Allah,janganlah Kau cabut nyawanya sebelum sempat dia menyempurnakan tanggunjawabnya kepadaMu.

...kembali ke tajuk asal.

Berjaya atau tidak sesuatu pekerjaan/usaha yang kita lakukan,kita harus tahu dari manakah kejayaan itu hadir.Ya,ia adalah dari khazanah Allah SWT yang tidak ternilai banyaknya.

Semua orang tahu,solat itu tiang agama.Dan semua orang tahu agama (deen) itu adalah cara hidup.Lantas apa yang kita tunggu lagi?

p/s : Kalau kita dah boleh 'maintain' solat fardhu,cubalah perbanyakkan solat sunat pula.Boleh di mulakan dengan solat sunat yang mengiringi solat fardhu (Solat sunat qobliyah dan ba`diyah).Bagi yang ingin dimurahkan rezeki,boleh cuba biasakan diri dengan istiqomah solat sunat dhuha (waktunya 28 minit selepas syuruk dan sebelum matahari tergelincir).

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, December 12, 2012

:: 12.12.12 - Pengalaman bermalam di penjara ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Ada seorang lelaki tiba-tiba telah dimasukkan ke dalam penjara di atas satu tuduhan yang belum pasti kesahihannya.Lalu di dalam keadaan terdesak dan tertekan itu,dia menghubungi beberapa kenalan rapatnya.Itupun setelah merayu dengan pihak penjara.

Apabila lelaki tadi menelefon sahabatnya yang pertama,sahabatnya itu mengatakan dia tidak dapat membantu kerana ia perlu bekerja outstation pada keesokkan harinya.Dia perlu berehat secukupnya di rumah.

Masih belum berputus asa,maka lelaki tadi menelefon sahabatnya yang kedua.Sahabatnya yang kedua tadi berkata,dia boleh datang ke penjara tempat lelaki itu ditahan,tapi dia pun tidak boleh membantu apa-apa,kecuali melihatnya sahaja dari luar penjara.

Setelah hampir putus asa,entah macamana lelaki tadi teringatkan sahabat lamanya yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.Sahabatnya itu tidaklah terlalu rapat dengannya bahkan kadangkala lelaki itu mempermainkan dan memperlekehkan pula sahabatnya tadi.Dengan erti kata lain,sahabatnya itu tidaklah ada sebarang kepentingan baginya sebelum ini.

Apabila talian telefon bersambung,alangkah bahagianya lelaki itu apabila sahabatnya itu masih mengenalinya.Setelah menceritakan segala peristiwa dan dugaan yang sedang menimpanya,sahabatnya itu sanggup berkorban apa sahaja demi lelaki itu.Bahkan yang lebih terharu,sahabatnya itu sanggup menemani lelaki itu di dalam penjara jika keperluannya begitu.Lelaki itu sangat gembira lalu dia pun menantilah sahabatnya itu datang ke penjara untuk membantunya.

...........................................................................................................................................................

Sesungguhnya tidak mustahil kita juga akan melalui saat-saat seperti lelaki di atas.

Lelaki itu adalah kita sebenarnya apabila kita sudah meninggal dunia dan dimasukkan ke dalam kubur kelak.Sahabat pertama itu adalah harta kita.Apabila kita meninggal dunia harta kita hanya tinggal di rumah kita menunggu di bawa keluar oleh pemilik seterusnya.

Sahabat yang kedua itu adalah ahli keluarga kita.Ketika kita dikebumikan,mereka duduk disamping kubur lalu meninggalkan kita keseorangan selepas itu.
Sahabat yang ketiga itulah amalan kita sebenarnya.Ketika kita hidup,kita langsung tidak menitikberatkan untuk menjaga amal ibadah kita.Namun bila kita meninggal dunia,amal ibadah itulah yang akan menemani kita di dalam kubur.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Nota : Seperti yang dikuliahkan oleh Dr Zahazan Mohamed @ IKIM.

Wak,
TDI.

Tuesday, December 11, 2012

:: 11-12-12 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Sesetengah orang memandang kelebihan yang dimiliki oleh orang lain itu membuatkan orang itu menjadi istimewa.Sejauh manakah kebenarannya.

Contohnya begini,

Ada orang menganggap,sesiapa yang dapat bertutur dalam bahasa Mandarin/Cina maka orang itu akan mendapat banyak keistimewaan dan menafaat.Contohnya sekiranya dalam proses tawar menawar dalam pembelian sesuatu barang,golongan ini mendapat harga yang istimewa.Mungkin juga dalam proses temuduga,golongan ini akan mudah disenarai pendekkan untuk proses terakhir pemilihan.

Kalau begitulah tanggapan kita,beruntung benarlah masyarakat cina.Mereka tidak perlu lagi membeli belah di pasaraya kerana mereka pun sudah mudah mendapat sesuatu barang dengan harga istimewa jika mereka membeli barangan di kedai orang cina.Dan tidak perlulah masyarakat cina bersusah payah mencari kerja,kerana mereka senang mendapat keistimewaan jika mereka mencari kerja dengan syarikat yang dimiliki oleh bangsa cina.

Cuba kita berfikir begini,

Suatu hari,kita mempunyai buah lemon.Lalu kita pun menyimpan buah lemon itu untuk kegunaan sendiri.Mengikut kadar biasa,mempunyai buah lemon bukanlah sesuatu keistimewaan.

Namun sesuatu yang biasa juga boleh menjadi istimewa.

Contohnya begini,

Dari buah lemon tadi,kita perah jusnya lalu kita bancuh menjadi air jus lemonade yang boleh diminum oleh beberapa orang.Bukankah tindakan kita itu menyebabkan buah lemon itu menjadi air lemonade yang istimewa.
Pepatah Inggeris ada mengatakan,

"When life hands you a lemons,make lemonade."

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Monday, December 3, 2012

:: Majlis Konvokesyen PASTI 2012 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Alhamdulillah,dengan izin Allah,pada 11 Nov 2012 yang lalu anak saya yang kedua Abdul Hadi telah pun menghadiri Majlis Konvokesyen PASTI bahagian Rembau.Majlis telah diadakan di ILP Pedas.

Berikut sebahagian liputan bergambarnya.

Bersarapan ketika baru sampai di ILP Pedas.

Tempat menunggu pelajar sebelum naik ke pentas.

Di dalam dewan besar ILP Pedas.

Abdul Hadi dengan salah seorang kawannya.

Bersama Ummi Zawati.

Kenangan sekeluarga.
Mengimbau kembali kenangan sendiri.

1985,saya juga melalui pengalaman yang sama.Saya bersekolah di Tadika Kemas di kampung saya,Muar Johor.Seingat saya ketika itu hari penyampaian sijil Tadika Kemas di buat di Balai Raya Kampung Parit Tengah,Jalan Parit Karim.Selain dari mendapat sijil,saya juga memenangi pertandingan bercerita ketika itu.Cerita yang saya sampaikan ketika itu adalah Kisah Anjing Dengan Bayang-Bayangnya.Terima kasih kepada cikru Rashidah (dari Kampung parit Arab),Cikgu Zaiton (dari Kampung Pt Yaakob) dan Cikgu Rashidah (dari Batu 16) yang telah mendidik kami mengenal A,B,C dan 1,2,3.

Itu kisah hampir 27 tahun lepas.

Kini anak saya sudahpun melalui pengalaman yang serupa dengan saya.Terima kasih kepada Ummi Raja Azlina dan Ummi Zawati (pendidik di PASTI Al Haazim) yang begitu gigih mendidik anak-anak PASTI selama ini.

Moga ilmu yang Abdul Hadi terima di PASTI diberkatiNya.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: Anda dihujani dengan bebanan kewangan?? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Diam tak diam,sudah pun masuk ke bulan Disember.Hujung tahun,seperti yang sedia maklum,ia adalah bulan untuk berbelanja selain dari bulan Ramadhan.Tetapi bulan Disember adalah bulan berbelanja untuk persediaan musim sekolah sessi akan datang.

Tahun depan 2 orang anak saya akan bersekolah,Abdul Aziz akan masuk darjah 3 dan Abdul Hadi akan memulakan persekolahannya di darjah 1.Kedua mereka bersekolah di SRIAS pada tahun hadapan.

Beberapa minggu lepas,saya telah menerima senarai segala yuran dan buku yang perlu di beli untuk mereka.Setelah dijumlahkan mencecah juga RM1500 untuk mereka berdua.Sedang mengira-ngira peruntukkan untuk mereka,tiba-tiba sahabat lama saya ketika belajar di Jepun menghantar SMS kepada saya.Katanya dia telah memasukkan RM1000 ke dalam akaun saya kerana ingin melunaskan hutangnya kepada saya.Alhamdulillah,hampir selesai satu tugasan.

Belek punya belek,cukai jalan kereta saya pula tamat tempohnya pada 30 November.Insurans dan cukai jalan sahaja sudah berjumlah RM1700.Memang sudah ada peruntukkan untuk membayarnya tapi entah bagaimana…

Beberapa bulan lepas,entah bagaimana saya tergerak untuk menyemak semula pembayaran bulanan rumah saya.Setelah mengambil kira pelbagai nasihat dari kawan-kawan dan pihak bank,akhirnya saya mempertimbangkan untuk REFINANCE rumah saya ke sebuah bank yang berlainan.Di samping bayaran bulanannya akan menjadi semakin kurang malah jumlah tahun yang saya perlu bayar pun menjadi kurang.

Urus punya urus,akhir November barulah semuanya selesai.Bank A telah melunaskan hutang saya dengan Bank B dengan bantuan syarikat guaman C.Alhamdulillah,bayaran guamannya saya bayar dengan lebihan pinjaman yang ada dari Bank A.

Beberapa hari lepas,saya mendapat surat dari Bank B mengatakan ada lebihan pula dari pembayaran dari bank A.Duit itu telah pun dimasukkan kedalam akaun saya di Bank B.Alhamdulillah,setelah dikira semula,duit itu dapat membantu saya melunaskan pula pembayaran cukai kereta dan insuransnya sekali.

Alhamdulillah,kini saya sudah pun mula membayar bayaran bulanan rumah saya dengan bank A.Urusan sekolah pun hampir selesai,urusan kereta pun sudah selesai.Kalau dijumlahkan,RM5000 untuk yuran guaman,RM1700 untuk urusan kereta dan RM1500 untuk yuran persekolahan,RM8000 jumlahnya.1 jumlah yang memang besar dan hampir mustahil saya dapat menyelesaikannya sekali gus dalam masa sebulan.

Ternyata,pemberian rezeki adalah urusan Allah SWT.

Cuma sedikit tips yang saya dapat dari beberapa sumber.

Antara yang boleh menjadi sebab boleh menjadi ‘magnet’ untuk menarik rezeki dalam kehidupan kita adalah :

1. Memperbanyakkan sedekah,terutamanya kepada ahli keluarga.Terutamanya sekali kepada kedua ibu bapa kita.
2. Menjadikan solat dhuha sebagai rutin harian.

Cubalah...buatlah dan amalkanlah samada ada sedang dibebani dengan masalah kewangan ataupun tidak.Ia amalan yang menenangkan jiwa.

Moga Allah SWT memurahkan rezeki kita dan memberkatinya.

Wak,
TDI.

Thursday, November 8, 2012

:: Bola Sepak vs Bola Keranjang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Pagi tadi ketika minum pagi di kantin kilang,saya dan beberapa rakan berborak perihal perlawanan bolasepak persahabatan Malaysia-Thailand malam kelmarin.Keputusan penuh 2-0.Perbualan melarut sehinggalah masuk ke bab perlawanan 'tenis' Arsenal-Reading yang berakhir dengan keputusan 7-5.

Tiba-tiba rakan saya Vincent menyertai kumpulan kami untuk duduk semeja.Selepas beberapa ketika,salah seorang rakan saya bertanyakan kepada Vincent mengapa bangsa cina (dulu dan kini) kurang melibatkan diri dalam sukan bolasepak.Dan mengapa pula bangsa cina lebih ramai/suka  melibatkan diri dalam sukan bola keranjang.

Ini jawapan Vincent,

"Untuk bermain bolasepak,perlu mengumpulkan ramai orang baru perlawanan boleh dimulakan.Berbanding dengan bola keranjang,jika sudah ada 3 orang sepasukan pun sudah boleh mula bermain.

Selain itu,dalam perlawanan bolasepak,kadangkala hanya beberapa gol dapat dijaringkan bila perlawanan tamat.Malah kadangkala lebih teruk lagi,langsung tiada gol yang dapat dihasilkan sepanjang permainan.Berbanding dengan bola keranjang,bila tamat sahaja permainan,berpuluh-puluh jaringan dapat dihasilkan.Malah kadangkara sehingga beratus.Ia lebih puas!"

Penerangan yang bernas....

Kalaulah semangat orang cina ini boleh diambil dan diterapkan dalam kehidupan seharian,ia tentu dapat menambah baik lagi tahap kemajuan kita.

1. Jangan tunggu ramai orang baru hendak memulakan sesuatu kerja.
2. Buatlah sesuatu kerja yang dapat menghasilkan banyak pulangan.

Terima kasih Vincent!

Mungkin juga konsep ini boleh diterapkan dalam medan dakwah.

"Dakwah ala bola sepak vs dakwah ala bola keranjang." -Mana yang anda pilih?

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Monday, November 5, 2012

:: Mudah untuk bersugi di mana-mana ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Ramai Ustaz telah menerangkan kepada saya akan fadhilat bersiwak/bersugi (gosok gigi) terutamanya sebelum solat.

Antara fadhilat yang biasa saya dengar adalah hadith dari Nabi SAW,

Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda : “ Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “. ( Riwayat Ahmad)

dan

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi “. ( Riwayat Muslim )

Malah saya pernah dengar juga dari Ustaz Alizan (mengajar Bidayatul Hidayah di Surau TDI) bahawa dengan bersiwak/bersugi :

1) Dapat menambahkan akal.
2) Dapat mencerahkan mata.
3) Melambatkan tumbuh uban .
4) Dapat menggandakan pahala.
5) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal.

Siapa yang tidak mahu akhir hayatnya dapat menyebut khalimah Syahadah?

Namun,satu masalah untuk istiqomah untuk sentiasa bersugi setiap kali sebelum bersolat adalah untuk membawa peralatan bersugi ke mana-mana.

Entah bagaimana,beberapa minggu lepas,saya telah pergi ke sebuah kedai menjual peralatan haji dan umrah di Senawang.Di situ saya dapati ada menjual kayu sugi berserta holder yang berbentuk ala-ala pen.Harganya pun sekitar RM5.Apa lagi saya pun membelinya untuk keperluan saya.Walaupun tidaklah secanggih mana,sekurang-kurangnya holder itu memudahkan saya menyimpan dan membawa kayu sugi saya ke mana-mana.

Miswak Holder.

Handy dan mudah untuk di bawa ke mana-mana. 

Jom hidupkan sunnah Nabi SAW.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, October 31, 2012

:: Happy birthday anak-anak bapak! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Oktober adalah bulan paling sibuk dalam diari keluarga kami.

1.13 Okt 2012 - Meraikan Abdul Aziz yang telah berumur 8 tahun.

2.27 Okt 2012-Meraikan Abdul Halim yang telah berumur 3 tahun.

2.29 Okt 2012-Meraikan Ainul Huda yang telah berumur 1 tahun.

Alhamdulillah,moga menjadi anak yang soleh dan solehah hingga generasi akan datang.

Birthday boy in 27 Oct @ Black Water (Ayer Hitam).

Birthday girl in 29 Oct @ Easy Money (Senawang).

Thursday, October 25, 2012

:: SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Hari ini,25 Oktober 2012 adalah hari Wukuf di Arafah.Berjuta ummat manusia berkumpul di sana demi untuk melengkapkan rukun haji.Selain dari melengkapkan rukun haji,ketika ibadah Wukuf inilah antara masa di mana segala doa akan dimakbulkan.

Setelah berwukuf masih ada lagi beberapa rukun dan wajib haji yang perlu disempurnakan oleh para bakal haji dalam perjalanan untuk mendapatkan haji mabrur.

Haji adalah ibadah yang mempunyai sejarah yang mendalam maksudnya.Disebalik ibadah haji tersembunyi begitu banyak hikmah terutamanya hikmah disebalik pengorbanan Nabi Ibrahim,Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail.Disebabkan pengorbanan mereka dan Allah teramat suka akan sifat murni mereka,Allah telah memfardhukan Ibadah Haji yang rukun serta wajib hajinya berkisar tentang pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim.

Bermula dengan kisah susah payah Siti Hajar berulang-alik sebanyak 7 kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah yang kemudiannya ia dijadikan ibadah Saie yang merupakan rukun haji.Ya,suatu pengorbanan dari wanita mulia,lalu kerana Allah suka,seluruh ummat Islam sehingga ke akhir zaman yang mengerjakan haji,samada lelaki ataupun perempuan mesti melakukan Saie.

Begitu juga dengan tawaf di Kaabah di mana Kaabah itulah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.Begitu juga dengan ibadah melontar Jamrah.

Apa pun bagi kita ummat akhir zaman,kita wajib mengkaji dan mengetahui disebalik perintah Allah yang kadangkala berlawanan dengan akal dan logik kita,jika kita patuhi dengan taat,pasti akan kita kecapi kemanisannya kelak.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA!

Wak,
TDI.

Tuesday, October 23, 2012

:: Makan ibadah vs makan sia-sia ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Makanan adalah untuk dinikmati.
Keberkatannya juga kita harus titik beratkan.

Saya suka memasak walaupun secara realitinya tidaklah banyak mana pun jenis masakan yang saya boleh memasak dengan baik dari segi rasa mahupun rupanya.

Itu suatu kisah....

Namun ada 1 kisah yang lain pula.Perasan atau tidak,sesuatu masakan itu tidak kiralah apa pun rasa dan jenisnya,masa yang diperuntukkan untuk kita menjamah/memakannya adalah lebih sekejap berbanding dengan masa yang diperuntukkan untuk ia dimasak.

Contohnya masakan ini,

Nasi beryani selain rasanya yang sedap ia juga antara masakan yang mempunyai harga yang mahal.Bagi harga sepinggan nasi beryani berlauk ayam/daging ia boleh mencecah belasan ringgit.Mengapa ia boleh mencecah harga yang sedemikian? Mengikut tukang masak nasi beryani,selain dari bahan resepinya yang mahal,masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan nasi beryani yang berkualiti pun memakan masa yang agak lama.

Bila selesai sahaja dimasak,rasanya tidak sampai beberapa minit sahaja,makanan itu sudah pun dihabiskan.Rasanya tukang masak pun belum hilang lagi penatnya menyediakan bahan masakan dan tugas memasak,nasi dipinggan sudah selesai licin.

Lalu,adakah berbaloi sebenarnya masa yang diperuntukkan untuk memasak sesuatu juadah jika dibandingkan dengan masa yang diperuntukkan untuk menikmati makanan tersebut.

Dan juga,adakah berbaloi sebenarnya duit yang kita bayar untuk sesuatu makanan yang mahal sedangkan keenakkan masakan itu hanya dapat dirasa sekelip mata sahaja.Rasa keenakkan makanan itu hilang sejurus sahaja makanan itu melepasi anak tekak kita.Mungkin ya,kekenyangan kesan dari makanan itu dapat dirasai kemudian.Namun selama mana?

Lalu,ini yang diajar oleh Ustaz saya suatu ketika dahulu:

"Setiap amalan anak adam samada ia menjadi ibadah ataupun menjadi sia-sia,ia begantung kepada cara perlaksanaannya,walaupun dalam pemakanan.

Makanan adalah keperluan dalam kehidupan.Makanan juga sumber tenaga.Tanda kita tidak cukup makan adalah kita tiada tenaga dalam badan.Lalu kita pun makan lagi untuk menambah tenaga.Proses ini berulang dan terus berulang.

Manusia perlu makan.Binatang besar juga perlu makan.Binatang kecil juga perlu makan.Mikro organisma juga perlu makan.Habis sahaja kita makan,makanan itu akan diproses oleh badan untuk dijadikan tenaga.Habis makanan habislah tenaga.

Tetapi,

Jika sebelum makan kita baca doa,ia menjadi amalan ibadah.Pahalanya akan berkekalan hingga ke hari Akhirat.

Jika sebelum makan kita mengharapkan keberkatan makanan itu agar bila kita dapat bertenaga untuk berkerja mencari rezeki halal,biar darinya kita dapat memberi makan minum anak kita,biar dari rezeki yang halal itu anak-anak kita serta generasi akan datang menjadi manusia yang membantu menaikkan agama Allah di muka bumi.Anak-anak ini juga InsyaALlah akan mendoakan akan kebaikan dan keampunan kepada kita walaupun kita sudah meninggal dunia.

Jika sebelum makan kita memohon kepada Allah agar makanan itu menjadi tenaga agar kita dapat bangun solat berjemaah di tempat azan di azankan dan kita dapat solat di awal waktu,maka perilaku makanan kita itu akan menjadi ibadah."

Sekarang,tinggal kita mahu mempraktikkan atau tidak sahaja.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Friday, October 12, 2012

:: Agar kelihatan menarik... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Bahagian kepala adalah antara anggota yang menjadi tumpuan ramai.

Ada kajian mengatakan yang setiap lelaki secara purata membelanjakan sebanyak 200 dolar setahun untuk membuatkan luaran kepalanya kelihatan menarik (termasuk kos memotong rambut dan kos pembelian set penjagaan rambut).

Bagaimana pula perbelanjaan purata bagi golongan perempuan?

Itu dari satu sudut kajian.

Sejumlah mana pula purata pembelanjaan samada dikalangan kaum lelaki mahupun perempuan untuk menjadikan dalaman kepala juga kelihatan ’menarik’.

Umum mengetahui dengan membaca bahan bacaan yang berfaedah kita dapat menambah ilmu dan pengetahuan kita.Umum juga mengetahui,semakin banyak kita membaca,semakin banyaklah maklumat yang kita dapat perolehi.Namun tentu ada yang bertanya,bila masakah hendak meluangkan masa untuk membaca memandangkan jadual dan aktiviti harian yang amat padat dan meletihkan.

Ini sedikit tips yang saya perolehi dari pembacaan dan pengalaman sendiri untuk dikongsikan berkenaan kaedah untuk menambah ilmu dengan cara membaca.

1. Membaca bukan perlu menghabiskan sehingga 1 bab atau beberapa bab,cukup sekadar semuka atau beberapa muka sahaja,bergantung kepada masa dan keadaan.
2. Letakkan beberapa buah buku ditempat mana yang senang dicapai ketika berada di dalam rumah.Mungkin ketika kita ingin duduk rehat atau sebagainya buku tersebut boleh menjadi peneman.
3. Jadikan kebiasaan membawa walaupun sebuah buku ketika berurusan di luar rumah (pasar,bank atau sebagainya.) Isikan waktu senggang menunggu giliran atau sebagainya dengan membaca buku berkenaan.

Selain dari membaca,mendengar juga salah satu cara yang boleh memberikan kita input dan informasi terbaru. Namun tentu sahaja ada yang bertanya,bila masakah hendak meluangkan masa untuk mendengar? Saya tiada radio di rumah.

Ini sedikit tips yang saya perolehi dari pembacaan dan pengalaman sendiri untuk dikongsikan berkenaan kaedah untuk menambah ilmu dengan cara mendengar.

1. Belilah beberapa kaset/CD/MP3 motivasi dan pasangkan ketika memandu ke mana-mana.
2. Dengarlah kaset/CD/MP3 berkenaan berulangkali,kerana ia menjadi pencerahan kepada sessi pendengaran kita yang sebelumnya.

Diringkaskan,mendengarlah ketika berjalan,membacalah ketika berhenti.

Moga perkongsian dapat memeberikan menafaat.

*Sebagai ummat Islam,juga boleh mempraktikkan dengan meletak beberapa utas tasbih di tempat-tempat strategik (di ruang tamu,bilik tidur,di dalam kereta).Utas tasbih tadi sebenarnya menjadi pengingat kita untuk membasahkan lidah dengan berzikir.

Wak,
TDI.

Monday, October 8, 2012

:: Orang dulu-dulu..... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Entah bagaimana secara tiba-tiba minat saya kepada jam dinding lama (baca : antik) terlalu mendalam.Ia bagaikan minat yang tidak dapat ditahan-tahan.

Deretan jam antik.

Seingat saya,dahulu di rumah abah ada sebuah jam antik.Selidik-punya selidik,abah sudah jual rupanya jam berkenaan.Sebelum dijual jam itu sudah rosak katanya.Tidak mengapalah,tidak rezeki saya agaknya.

Balik raya Aidil Fitri tempoh hari,ketika marhaban dan ziarah hari raya,sempat juga saya meninjau-ninjau mana-mana rumah yang ada menyimpan khazanah idaman berkenaan,ternyata masih tiada rezeki saya.

Ketika perjalanan pulang bercuti raya,saya singgah untuk solat maghrib di sebuah kampung berdekatan Ayer Molek,Melaka.Masjidnya agak masuk ke dalam.Selesai solat,entah macamana mata saya menangkap satu objek di dinding hadapan masjid berkenaan.Ya,jam dinding lama yang menjadi idaman saya.Tetapi di dalam hati terdetik,mana mungkin saya memiliki jam berkenaan kerana ianya milik masjid.Mungkin ada orang yang telah mewakafkannya disitu.

Terasa gembira ketika itu walaupun hanya sekadar berjaya menatap jam berkenaan,saya ceritakan kepada isteri ketika meneruskan perjalanan balik ke Senawang.

Sebenarnya saya pernah singgah di sebuah kedai menjual barangan lama di Pekan Rembau.Di sana ada menjual beberapa buah jam dinding lama.Namun bila ditanyakan harganya,paling minima pun berharga RM500,ia di luar jangkauan.

Balik ke Senawang selepas cuti hari raya pula majlis rumah terbuka kunjung tidak berhenti.Saban hujung minggu ada sahaja jemputan,samada yang dekat mahupun yang jauh.Nak dijadikan cerita,ketika menzirahi ke rumah Bilal Masjid Negeri,Encik Nasir,sekali lagi saya melihat sebuah jam dinding lama di rumahnya.Dek kerana perasaan ingin tahu yang mendalam,saya tanyakan kepada En Nasir bagaimana beliau boleh memiliki jam berkenaan.Rupanya ada orang yang menghadiahkan jam itu kepada beliau.Mana mungkin hadiah orang saya mampu memujuk En Nasir untuk menjualnya kepada saya.

....terpendam lagi hajat.

Baru-baru ini,ketika perjalanan pulang dari kampung ke Senawang,saya singgah ke mini Pasar Karat di Muar.Dipendekkan cerita,setelah bertukar-tukar cerita,akhirnya saya dapat memiliki juga sebuah jam lama dari salah seorang peniaga di situ.Walaupun berat untuk melepaskan jam berkenaan,akhirnya jam berkenaan bertukar tangan.Sebelum itu,Abang Razak,pemilik jam berkenaan sempat mengajar saya cara menggunakan jam antik berkenaan.Alangkah gembiranya rasa di hati.

akhirnya.....Ia menjadi milik saya.
Alhamdulillah.

Sempat saya berbual dengan isteri perihal jam dinding berkenaan,

"Tengok orang dulu buat jam,siap ada loceng,tak payah tengok jam pun dah tau pukul berapa."

"Ye lah,tak payah gaduh bateri habis pun kan..",tambah isteri saya lagi.

Orang sekarang?

Jam sekarang walaupun boleh dibeli dengan mudah dan murah,tapi nilai dan kualitinya tidak sama dengan jam lama.

Mungkin pengaruh kapitalisma agaknya-detik hati saya.

Moga perkongsian ada menfaat darinya.

Wak,
TDI.

Friday, September 28, 2012

:: Usah pandang ke bawah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Kehidupan kita tidak akan lepas dari cabaran.
Mungkin ada kalanya kecil,mungkin ada kalanya besar.

Ada seorang kelasi kapal yang baru sahaja menamatkan kursus teorinya.Setelah sekian lama memerah otak dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu laut dan perlayaran,akhirnya kelasi berkenaan telah diarahkan untuk menyertai pelayaran pertamanya bersama-sama kelasi yang senior dan seorang kapten yang berpengalaman.Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh kelasi berkenaan.

Sampai di suatu kawasan perairan,salah sebuah layar telah mengalami kerosakan.Lalu kapten kapal mengarahkan kelasi baru tadi untuk membaiki layar kapal terbabit.Dengan semangat berkobar-kobar,si kelasi tadi pun mulalah memanjat tiang layar.Di dalam hatinya,selain untuk mempraktikkan ilmu yang ada di dada,inilah peluang untuk meyakinkan kapten kapalnya.
Sampai dipertengah jalan,kelasi itu mula kepenatan.Lalu dia mengambil keputusan untuk berhenti rehat seketika.Entah bagaimana,kelasi tadi tergerak untuk melihat ke bawah,tempat di mana dia mula-mula memanjat tadi.

Lalu...

Tidak semena-mena 1 fenomena pelik berlaku kepada kelasi tadi.Kakinya seperti terpacak kaku pada tiang layar.Begitu juga tangannya.Semangat yang melonjak-lonjak tadi terus lesu selepas si kelasi tadi melihat ke bawah.

Di sudut yang lain...

Sebagai kapten kapal yang berpengalaman,kapten tadi terus menjerit kepada kelasi barunya tadi.”Jangan pandang ke bawah,teruskan memanjat.Layar itu perlu dibaiki segera!”

Tidak lama kemudian,kelihatan kelasi muda tadi meneruskan usaha memanjat tiang layar untuk membaiki layar yang rosak itu.

Pengajaran.

1.Ada ketika dan situasi,kita tidak boleh memandang ke bawah ketika menuju ke matlamat atau destinasi kita.

2.Untuk menjadi seorang ketua yang bagus,kita mesti mengajar/mencurah ilmu dan peringatan kepada orang bawahan kita agar mereka berjaya menuju objektif dan sasaran.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Thursday, September 27, 2012

:: Rahsia untuk menjadi JUTAWAN ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Ingat lagi rancangan More Jutaria? Pengacaranya adalah Ahmad Tarmimi Siregar (kini Datuk).Ia adalah rancangan kuiz menduga akal yang disiarkan sekitar tahun 80-an.Masih saya ingat lagi Ahmad Samerin Dzulkifli telah berjaya memenangi pusingan terakhir siri kuiz tersebut.Ketika itu dengan memilih huruf S.A.M.E.R.I.N,beliau dapat meneka dengan tepat perkataan SIJIL SIMPANAN PREMIUM.

Dan tentulah disebabkan rancangan More Jutaria hadiahnya adalah wang berjumlah sejuta ringgit.

...dan sekelip mata Ahmad Samerin Dzulkifli telah menjadi jutawan pada tahu 80-an.Jika dinilai wang sejumlah satu juta ringgit yang dimenangi oleh beliau ketika tahun 80-an itu sekarang (tahun 2012),mungkin nilainya berganda-ganda.

Siapa yang tidak mahu menjadi jutawan?

Siapa mahu menjadi jutawan?

Oleh itu,hendak atau tidak saya kongsikan tips mudah untuk menjadi jutawan?

Saya pernah terbaca kisah sedih bagaimana seorang wanita yang hilang penglihatannya disebabkan dia memakai satu krim penjagaan muka.Kesan dari itu,wanita berkenaan mengalami trauma yang amat dahsyat.

Setelah pulih dari trauma berkenaan,wanita itu telah mengambil tindakan menyaman syarikat pengeluar krim berkenaan.Akhirnya,setelah berhempas pulas,mahkamah menetapkan syarikat berkenaan membayar ganti rugi sebanyak 1 juta kepada wanita tersebut.

Dengan sekelip mata wanita berkenaan telah menjadi jutawan.

Adakah anda sanggup menggantikan tempatnya untuk menjadi jutawan dengan mengorbankan penglihatan anda?

Kisah lain,

Seorang lelaki yang cacat anggota disebabkan 1 kemalangan ngeri akhirnya mendapat ganti rugi sebanyak 1 juta dari pihak insurans.

Dengan sekelip mata lelaki berkenaan juga telah menjadi jutawan.

Adakah anda sanggup menggantikan tempatnya untuk menjadi jutawan dengan mengorbankan anggota anda?

Lalu,

Sebenarnya jika dilihat dari sudut yang berlainan,bergelar jutawannya sesorang itu bukan sahaja diukur dengan wang ringgit sahaja,malah jumlah aset juga boleh membuatkan seseorang itu bergelar jutawan.

Maka anda semuanya juga sebenarnya seorang jutawan disebabkan aset (anggota badan dan pancaindera) kurniaan dari Allah SWT.Oleh itu jagalah aset berkenaan sebaik mungkin agar kita tidak M.U.F.L.I.S pula di Akhirat sana.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: Tukang Urut Bersalin @ Kuala Pilah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari Raya baru-baru ini,rumah saya dikunjungi oleh salah seorang rakan lama saya.Kami sebenarnya sama-sama bersekolah di Tadika Kemas dan SKAH 15 suatu masa dahulu.Bila sekolah menengah,kami membawa haluan masing-masing.Kini beliau berkerja dan menetap di Rawang,Selangor.

Yang menambah kegembiraan selain dikunjungi oleh sahabat lama,turut serta dalam rombongan itu adalah ibu beliau,Mak Siti namanya.

Cerita punya cerita,Mak Siti kini sudah menjadi warga Kuala Pilah rupanya.Anak bongsu Mak Siti,Cikgu Mariam kini mengajar di STJ,Kuala Pilah.Anak menantunya pula seorang pelayar kapal.Oleh kerana tidak mahu anak bongsunya keseorangan,lalu Mak Siti pun tinggal bersama dengan anaknya.Tinggallah rumah di kampung di bawah jagaan anak lelakinya yang seorang lagi.

Sambil-sambil bercerita,rupanya Mak Siti masih meneruskan aktiviti mengurutnya.Untuk pengetahuan semua,Mak Siti adalah salah seorang bidan kampung di tempat kami,Ayer Hitam Muar.Sebut sahaja Wak Siti Urut (panggilan di kampung) pasti mana pelusuk kampung mengenalinya.

Minggu lepas (22 Sept 2012) saya ada menerima jemputan kenduri kahwin di Batu Kikir.Alang-alang melalui pekan Kuala Pilah,saya sekeluarga telah singgah ke rumah Cikgu Mariam di Taman Angkasa Jaya.Bertemulah kami dengan Mak Siti di sana.Sempat juga Mak Siti mengurut anak saya yang bongsu Ainul Huda.Moga Ainul Huda cepat berjalan,InsyaAllah :)

Mak Siti @ Taman Angakasa Jaya,Kuala Pilah.

Mengambil kesempatan ini,saya ingin mewar-warkan,sesiapa yang memerlukan khidmat tukang urut wanita (sakit-sakit badan,pra-natal/post-natal) bolehlah mencuba dengan khidmat Mak Siti.Boleh inbox saya untuk mendapatkan maklumat lanjut : paritzain@yahoo.com.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, September 26, 2012

:: Pilihan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bidayatul Hidayah
(Permulaan Jalan Hidayah)

Minggu lepas ketika duduk di dalam kuliah Ustaz di STDI (kuliah membincangkan buku Bidayatul Hidayah),ustaz memulakan kuliah dengan ayat ini :

"Bersyukur kita kepada nikmat Allah SWT yang telah memilih kita untuk berada di sini.Segala puji-pujian kepada Allah SWT yang telah menurunkan Rahmat dan Kasih Sayang-Nya kepada kita lalu kita dapat solat berjemaah Maghrib dan duduk di dalam majlis di mana berlangsungnya pembahagaian harta pusaka Nabi SAW iaitu duduk di dalam majlis ilmu.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita ada kenderaan,kerana ada orang lain yang mempunyai kenderaan lebih baik dari kita tetapi mereka tidak ada di sini.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita sihat,kerana ada orang lain yang mempunyai kesihatan lebih baik dari kita tetapi mereka tidak ada di sini.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita ada kelapangan masa,kerana ada orang lain yang mempunyai lebih kelapangan masa dari kita tetapi mereka tidak ada di sini."

Sesungguhnya bersyukurlah pada insan-insan yang telah dipilih oleh Allah SWT dan mendapat kekuatan untuk berbuat amal kebaikan.

Moga perkongsian memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, September 12, 2012

:: Jauh lagikah perjalanan kita? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Manusia mudah runsing dan risau bila dilanda masalah.

Agaknya sekiranya kita seorang kontraktor,mungkin ini yang bermain di dalam kepala kita :

Bila kita tengok orang dapat projek baru yang berjuta-juta harganya,kita pula berkira-kira sendiri,bilakah agaknya giliran kita untuk mendapat projek yang baru.

Agaknya sekiranya kita seorang yang makan gaji,mungkin ini antara yang merisaukan kita :

Bila kita tengok orang dapat bonus 5,6 bulan/kenaikan gaji yang lumayan,kita pula berkira-kira sendiri,bilakah agaknya giliran kita untuk mendapat durian runtuh seperti itu.

Adakah ini termasuk dalam kerunsingan kita?

Bila kita tengok kawan-kawan rapat kita yang sebaya dengan kita,tiba-tiba kita dengar khabar mereka ada yang sudah meninggal dunia,adakah kita juga berkira-kira bilakah agaknya giliran kita pula...?

Ya Allah,akhirilah saat kehidupanku dengan dapat menyebut kalimah Laa ilaha illallah.

Wak,
TDI.

Tuesday, August 14, 2012

:: 16 - Lagenda Kek Lapis Serawak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam semasa berbuka puasa di MBBS,sempat saya berbual dengan jiran saya.Isterinya mengusahakan Kek Lapis Serawak semasa bulan Ramadhan ini,jadi saya bertanyakan sambutannya.

Kini sudah tidak perlu ke Serawak
untuk menikmati kek lapisnya.

Sebenarnya,bukan tahun ini sahaja isterinya mengusahakan Kek Lapis berkenaan,tahun-tahun sebelumnya pun begitu.Saya pernah merasa 'sample' kek tersebut ketika moreh di Surau TDI beberapa tahun lepas.Alhamdulillah,rasanya sedap :)

Cerita jiran saya itu,tahun ini permintaan pelanggan amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun yang lepas.Walaupun agak hambar pada permulaan Ramadhan ianya meningkat mendadak pesanannya bila tiba di pertengahan Ramadhan.Ada pelanggannya sejauh di KL.Mungkin juga pada peringkat awal,faktor harga membuatkan orang berkira-kira untuk membelinya.Saya juga begitu. (Untuk makluman kek lapis yang dijual oleh isteri jiran saya ini seberat 1kg lebih dan berharga RM75.00).

....Namun rezeki adalah dari Allah.
....Yang menggerakkan hati untuk membeli juga adalah Allah.

Sambil berbual,saya tanyakan kepada jiran saya mengapa tidak di komersialkan sahaja kek lapis berkenaan.Tambahan pula pelanggannya sudah sedia ada.Maknanya pelanggan masih lagi berpeluang untuk membuat order di luar bulan Ramadhan.Rupanya bukan jiran saya itu telah terlepas pandang peluang itu tetapi banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menuju ke arah itu.

Kata jiran saya,membuat kek lapis perlu melalui proses yang rumit.Untuk membuat 2 buku kek sahaja,isterinya perlu menumpukan sepenuh masa selama 5 jam.Ia sesungguhnya tugas yang memerlukan tenaga dan tahap kesabaran yang tinggi.Jika urusan membuat kek sahaja sudah memakan masa dan tenaga,bagaimana pula urusan rumahtangga yang lain seperti memasak,mengemas dll.

Kata jiran saya itu lagi,

Bulan puasa kebiasaan orang kita akan berbelanja lebih.Tidak kira tahap kemampuan,yang penting adalah tahap kepuashatian mereka.Pada hari biasa,mungkin sebuku kek lapis yang berharga RM75 akan dikira cukup mahal untuk dibeli,tetapi bila bulan Ramadhan ia sanggup dibeli untuk persediaan hari raya.

Mengapa?

Lihat sahaja bila tiba musim perayaan.Bermacam-macam barang baru di jual,tidak seperti bulan-bulan biasa.Ia seperti bulan pesta membeli belah.Maka,perabut lama diganti,langsir lusuh diganti malah kereta yang harganya puluhan ribu juga diganti.

Lalu,apa sangat lah dengan sebuku kek yang harganya baru sekitar RM75.

Ya,manusia seronok membeli-belah bila tiba bulan Ramadhan untuk persiapan Hari Raya di bulan Syawal.

Salahkah perilaku mereka?

Nak menyalahkan peniaga? Mana mungkin,mereka hanya berniaga.

Nak menyalahkan pembeli? Mana mungkin,mereka semua mampu adakalanya terlebih dari mampu.

Cuma,

Ingatlah jiran-jiran,sahabat-handai,adik-beradik,saudara-mara yang tidak berkemampuan yang ada di sekeliling kita.Mungkin mereka tidak mengharapkan wang ringgit kita tetapi tanggungjawab dan kesedaran kitalah yang membangkitkan dorongan untuk kita membantu mereka.

Moga Ramadhan 1433H kita lebih baik dari Ramadhan yang lepas-lepas.

Wak,
TDI.

Friday, August 10, 2012

:: 15 - Meraikan anak yatim ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam,majlis berbuka puasa di MBBS dimeriahkan oleh kehadiran kumpulan anak yatim yang berbuka puasa bersama kami.

Mereka sedang beratur mengambil juadah berbuka.
Umur mereka rata-rata sekitar sekolah rendah.
Bagaimanakah perasaan mereka berpuasa tanpa ibu/bapa
yang telah pergi untuk selamanya.

Ini wajah berbuka puasa anak
yang masih mempunyai ibu dan bapa di sisi.

Juga begitu...

Jiran rumah saya.
Beliau juga merenung nasib
anak-anak yatim berkenaan.

Mereka kini anak yatim.

Berpuasa selain dari dapat merasai kepayahan serta bersabar bagi menahan lapar dan dahaga (bagi merasai apa yang dirasai oleh golongan fakir dan miskin),ia juga mengajar kita sesungguhnya ada lagi golongan yang perlu kita ambil berat keadaan mereka iaitu,golongan anak yatim.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.